KEKALAHAN tipis 0-1 secara agregat menyaksikan Penang FC dalam saingan Piala FA terhenti di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat suku akhir.
Mereka yang tewas di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Jun lalu gagal melakukan kebangkitan dalam aksi kedua yang berlangsung Jumaat lalu.
Penyingkiran berkenaan sudah tentu sukar diterima rata-rata penyokong skuad Harimau Kumbang memandangkan pasukan itu ditunjukkan jalan keluar oleh seteru utama.
Insiden yang menyaksikan Fairuz Zakaria dibuang padang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Malah, sebilangan anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut dijadikan tumpuan, seperti Nabil Ahmad Latpi dan Rodrigo Dias yang gagal menampilkan persembahan terbaik dalam kedua-dua perlawanan.
Bagaimanapun, ada daripada penyokong yang bertindak keterlaluan dengan melontarkan kata-kata cacian terhadap bek kiri Penang FC, Fairuz Zakaria.
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain berkenaan menceritakan bagaimana terdapat penyokong bertindak menghina keluarganya.
"Assalamualaikum, saya Mohammad Fairuz Zakaria nak minta maaf kepada semua kalau ada kelakuan saya tidak sopan sebelum ini.
Luahan kekecewaan dibuat Fairuz di akaun Instagram peribadinya.
"Terima kasih yang mana ada mesej saya dan menghina anak saya muka (seperti) anjing dan lain-lain lagi. Saya maafkan orang yang menghina anak dan keluarga saya yang tiada kaitan dengan bola sepak, terima kasih," katanya.
Fairuz dilayangkan kad merah pada minit ke-88 ketika aksi di tempat sendiri setelah menerima dua kad kuning sebelum didapati melakukan isyarat lucah ke arah penjaga garisan.
Selain itu, pemain berusia 27 tahun berkenaan dilihat melepaskan tumbukan ke arah wajah pemain Kedah, Habib Haroon ketika melakukan protes ke arah keputusan tersebut.
Tindakan sedemikian membuatkannya berkemungkinan dikenakan hukuman lebih berat, namun masih belum terdapat sebarang keputusan dibuat terhadapnya.
Ultras Panthers menempelak tindakan penyokong yang mengaibkan keluarga Fairuz Zakaria. — Twitter/UP11
Luahan dibuat bekas pemain itu menerima respons penyokong yang beranggapan tindakan memberikan kata-kata cacian itu sepatutnya tidak berlaku.
Antara yang mempertikaikan perkara berkenaan adalah kumpulan penyokong Ultras Panthers yang menyatakan solidariti terhadap Fairuz.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya individu yang menghina paras rupa anak dan keluarga! Walau apa pun terjadi dalam padang, jangan sesekali main isu hinaan kepada paras rupa anak, isteri serta keluarga!" tulisnya.
Setakat ini, tempoh penggantungan dihadapi Fairuz masih belum dipastikan dengan dia sudah terlepas aksi timbal balik Piala FA di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat lalu. — Majoriti
0 ulasan:
Catat Ulasan