"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Meninggal Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Meninggal Dunia. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Oktober 2025

Pempengaruh Media Sosial Rambo Castello Meninggal Dunia di Indonesia

 Pempengaruh Media Sosial Rambo Castello Meninggal Dunia di Indonesia

Oleh Mynewshub | 17 Oktober 2025

KOTA BHARU – Pempengaruh media sosial terkenal, Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, selepas lebih seminggu ditidurkan akibat serangan jantung.

Berita pemergian Rambo Castello, yang juga mesra disapa sebagai Cikgu Li, disahkan anak ketiganya, Hafizul Fazli, 30.

Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.38 pagi waktu Indonesia, di sisi beliau dan ibu, Asiah Abdullah, 55.

“Jenazah bapa akan dibawa pulang ke Kampung Wakaf Zing, Jeli dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berdekatan rumah.

“Kami sedang menguruskan proses membawa pulang jenazah dan dijangka tiba ke kampung hari ini,” katanya ketika dihubungi media.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital berkenaan sejak 5 Oktober lalu selepas diserang sakit jantung ketika berada di Indonesia.

Difahamkan, Rambo Castello merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, selain aktif sebagai pempengaruh media sosial yang sering berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang pendidikan serta isu masyarakat.

Pemergian beliau mendapat perhatian ramai rakan serta pengikut di media sosial yang menzahirkan ucapan takziah dan doa agar rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

#mynewshub

Isnin, 14 April 2025

Innalillahiwainnailaihiraajiuun: Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia

 

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.10 petang tadi di Institut Jantung Negara.

Berita pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu dikongsikan oleh menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di ruangan Instagram Story hari ini.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 PM di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Al Fatihah,” menurut hantaran itu hari ini.

Sebelum ini, beliau yang juga antara pemimpin UMNO itu dikejarkan ke hospital selama beberapa kali atas faktor kesihatan dan keuzuran.

Bekas pemimpin negara itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada Oktober 2003 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu melepaskan jawatannya.

Sepanjang karier politik Allahyarham, Tun Abdullah turut memegang beberapa portfolio penting antaranya Ahli Parlimen Kepala Batas, Ketua UMNO Cawangan Bertam, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dan seterusnya menjadi Presiden UMNO pada 2004.

Allahyarham turut memegang beberapa potfolio penting dalam kerajaan antaranya termasuklah Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri, dan Timbalan Perdana Menteri.

Buletin TV3 akan membawakan perkembangannya dari masa ke masa dan setakat ini, wartawan kami telah digerakkan ke beberapa lokasi tumpuan bagi butiran selanjutnya.

-BuletinTV3

Jumaat, 14 Februari 2025

Innalillahiwainnailaihiraajiuun:Pilihan Allah meninggal dunia sejurus selesai tawaf di Kaabah

Ustaz Abdullah Khairi (dua dari kiri), Jamaluddin (kiri), Marina (kanan) di Masjidil Haram. Foto Instagram Ustaz Abdullah Khairi

Ustaz Abdullah Khairi (dua dari kiri), Jamaluddin (kiri), Marina (kanan) di Masjidil Haram. Foto Instagram Ustaz Abdullah Khairi

"Innalillahi wa inna Ilaihi Raji’un, pengakhiran hayat yang hebat!” demikian ungkapan penceramah bebas, Ustaz Abdullah Khairi Harun setelah memaklumkan isteri kepada rakan baiknya meninggal dunia di Masjidil Haram sejurus selesai menunaikan tawaf.

Abdullah Khairi menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat memberitahu, isteri sahabatnya, Jamaluddin, Marina Abdul Wahab baru sahaja melaksanakan tawaf wada' dan masih berwuduk sebelum tiba-tiba rebah.

“Baru lepas tawaf wada’, menangis dalam doa, masih dalam wuduk... berjalan dengan ceria... tiba-tiba jatuh dalam masjid dan meninggal!

“Hebat puan Marina Abdul Wahab, isteri sahabatku Jamaluddin,” katanya.

Marina meninggal dunia di Masjidil Haram. Foto Instagram Ustaz Abdullah Khairi
Marina meninggal dunia di Masjidil Haram. Foto Instagram Ustaz Abdullah Khairi

Dalam pada itu, Sinar Harian sempat menghubungi Abdullah Khairi menerusi WhatsApp kerana kini beliau berada di Makkah.

Kongsi beliau, jenazah sudah dikebumikan pada Khamis (waktu tempatan) di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram sejurus selesai solat Maghrib.

Abdullah Khairi turut berkongsi, amalan arwah semasa hidupnya adalah selalu memasak dan memberikan makanan kepada orang ramai.

Allahyarhamah disolatkan oleh ribuan manusia di Masjidil Haram selepas solat Maghrib jam 7 malam... meninggal pada hari Jumaat dan malam Nisfu Syaaban.

“Suami dia juga ada beritahu, arwah selalu masak jamu orang makan. Selalu sedekah dan tak banyak bercakap dengan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kematian tersebut merupakan kematian yang dicemburui oleh setiap umat Islam dan meruntun jiwa.

Menjengah di ruang komen, rata-rata warganet juga mencemburui pemergian Marina dan mendoakan rohnya di cucuri rahmat ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Kata Mukrizmuhd, "Kematian yang dicemburui, moga kita semua juga mempunyai pengakhiran yang baik."

Ujar qyrata pula, "Pada malam nisfu Syaban pula, hebat bukan biasa-biasa, semoga ditempatkan bersama-sama mereka yang beramal soleh dan dikasihi ALLAH SWT."

-SH Online 

Jumaat, 2 Ogos 2024

Al Fatihah:Adun Mahkota, Sharifah Azizah meninggal dunia

 SHARIFAH Azizah. FOTO NSTP

SHARIFAH Azizah. FOTO NSTP

Kluang: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia, kira-kira 12.25 tengah hari tadi.

Perkhabaran duka itu disahkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di akaun Facebooknya, tadi.

"Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian Adun Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain

"Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.

"Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan.

"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya dalam kenyataan berkenaan.

-myMetro 

Isnin, 22 Julai 2024

Mayat Manusia di Angkasa: Apa yang Akan Terjadi?

 Mayat Manusia di Angkasa: Apa yang Akan Terjadi?

MasyaAllah, pujian kepada Allah yang mencipta dunia ini dan memberi akal fikiran kepada manusia.

Salah satu topik menarik dalam dunia sains dan angkasa adalah apa yang akan terjadi jika angkasawan mati di angkasa. Ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang keadaan mayat dalam persekitaran vakum dan tanpa graviti.

Apa yang Akan Berlaku kepada Mayat di Angkasa?

Dalam persekitaran vakum di angkasa, proses pembusukan mayat akan berbeza berbanding di Bumi. Di Bumi, mikroorganisma bertanggungjawab untuk proses pembusukan, tetapi di angkasa, ketiadaan udara dan mikroorganisma menyebabkan mayat tidak akan membusuk dengan cara yang sama. Berikut adalah beberapa kemungkinan keadaan mayat di angkasa:

1. Pembekuan: Dalam persekitaran vakum dan suhu yang sangat rendah di angkasa, mayat akan cepat membeku. Ini akan menghentikan sebarang proses pembusukan yang biasa berlaku di Bumi.

2. Pengawetan: Ketiadaan udara dan mikroorganisma menyebabkan mayat boleh kekal dalam keadaan yang hampir tidak berubah untuk tempoh yang sangat lama, berkemungkinan selama berjuta-juta tahun.

3. Dehidrasi: Dalam keadaan vakum, air dalam tubuh akan cepat menguap, menyebabkan mayat menjadi kering dan mumia.

Teknologi dan Pengurusan Mayat di Angkasa

NASA dan agensi angkasa lain telah memikirkan tentang prosedur untuk menguruskan kematian angkasawan di angkasa. Antaranya adalah:

1. Penyimpanan dalam Suit Angkasa: Mayat boleh disimpan dalam suit angkasa untuk mengelakkan sebarang pencemaran kepada persekitaran kapal angkasa.

2. Kapsul Khusus: Reka bentuk kapsul khusus untuk menyimpan mayat dan mencegah sebarang risiko kepada anggota kru yang masih hidup.

3. Penghantaran Pulang: Sekiranya misi angkasa lepas membenarkan, mayat boleh dihantar pulang ke Bumi untuk urusan pengkebumian yang lebih teratur.

Kesukaran Menguruskan Mayat di Angkasa

Menguruskan mayat di angkasa menghadirkan pelbagai cabaran unik:

1. Ketiadaan Graviti: Tanpa graviti, menguruskan dan mengendalikan mayat menjadi lebih sukar.

2. Ruang Terhad: Kapal angkasa mempunyai ruang yang sangat terhad, menjadikan penyimpanan mayat satu cabaran besar.

3. Kesihatan Mental Kru: Menguruskan mayat dalam ruang yang terhad boleh memberi kesan psikologi yang mendalam kepada kru yang masih hidup.

Keadaan Fizikal di Angkasa

Selain daripada suhu yang sangat rendah, ruang angkasa juga adalah vakum, yang bermaksud tiada udara untuk menyokong kehidupan atau proses pembusukan. Proses dekomposisi yang normal memerlukan oksigen dan mikroorganisma, yang kedua-duanya tidak terdapat di angkasa. Ini menyebabkan mayat tidak akan reput seperti di Bumi, tetapi akan membeku dan menjadi mumia.


Suhu di Angkasa

Suhu di angkasa boleh berbeza-beza bergantung kepada kedudukan relatif kepada sumber haba seperti matahari. Di kawasan yang terkena cahaya matahari langsung, suhu boleh mencapai sehingga 121°C (250°F), manakala di kawasan yang terlindung daripada matahari, suhu boleh menurun sehingga -157°C (-250°F).

Apakah yang Akan Terjadi Jika Angkasawan Terkena Angkasa Tanpa Suit?

Jika seorang angkasawan terkena angkasa tanpa memakai suit angkasa, beberapa perkara akan berlaku dengan cepat:

1. Kehilangan Kesedaran: Tanpa oksigen, angkasawan akan kehilangan kesedaran dalam masa 15 saat kerana kekurangan oksigen ke otak.

2. Pembekuan dan Dehidrasi: Tanpa tekanan atmosfera, air dalam tubuh akan mula mendidih dan menguap, menyebabkan tisu menjadi kering dan membeku.

3. Kematian: Kematian akan berlaku dalam masa satu atau dua minit akibat kekurangan oksigen dan keadaan ekstrem yang dihadapi oleh tubuh.

Kesimpulan

Dengan pengetahuan yang terus berkembang dalam bidang sains dan teknologi angkasa, pemahaman kita tentang bagaimana menguruskan situasi seperti kematian di angkasa akan terus bertambah baik. Ini adalah satu lagi bukti kebesaran ciptaan Allah dan kebolehan manusia untuk memahami alam semesta yang luas ini.

Source 

Sabtu, 8 Jun 2024

Al Fatihah:Mantan Menteri Pendidikan,Musa Mohamad meninggal dunia

 

Musa Mohamad ialah individu pertama bukan ahli politik menjadi menteri pendidikan dari 1999 hingga 2004. (Gambar USM)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Musa Mohamad, meninggal dunia akibat kanser darah pada usia 81 tahun.

Menurut anak perempuannya, Aisya Natasha, Musa menghembuskan nafas terakhir pada 7.12 malam di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya akibat kanser darah ‘multiple myeloma’

“(Beliau) akan dikebumikan esok, InsyaAllah,” katanya ringkas.

Anak jati Bagan Datuk itu merupakan individu pertama bukan ahli politik menjadi menteri pendidikan dari 1999 hingga 2004.

Selain pernah berkhidmat di USM, beliau turut memegang beberapa jawatan penting lain, antaranya presiden Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Antarabangsa dari 2001 hingga 2003.

Selain itu, Musa juga merupakan bekas pengerusi Universiti Multimedia dan pengerusi Majlis Universiti UCSI.-FMT

Selasa, 4 Jun 2024

Al Fatihah:Pyan Habib meninggal dunia

 


[TERKINI] Penyair, Pyanhabib Rahman, 66, atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman telah meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini (4 Jun 2024). 

Berita pemergian seniman itu dikongsi oleh isterinya di laman Facebook Pyanhabib Rahman.

Al-Fatihah

Sumber Bernama

Isnin, 19 Februari 2024

ALFATIHAH:KEMBARA AKHIR SEORANG PEMIMPIN.........

 KEMBARA AKHIR SEORANG PEMIMPIN.........

Hari ini, UPSI kehilangan Naib Canselornya yang Kelima. Allahyarham Prof Dato Dr Zakaria Kasa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak pada jam 12.30 tengahari.

Dua hari sebelumnya, beliau telah dibebas dari tuduhan mahkamah. Dalam perjalanan pulang ke Kedah, kesihatan beliau merosot lalu singgah di Tanjong Malim. 

Rupa-rupanya, itulah persinggahan beliau yang terakhir di Tanjong Malim, bumi letaknya UPSI yang beliau sayangi.

Persinggahan singkat melampias rindu,

Persinggahan mulia mengingat tika bertamu,

Persinggahan kasih ke menara ilmu,

Persinggahan akhir untuk kembara abadimu.

Sayangnya beliau pada universiti ini, hingga akhir hayatnya pun Allah suratkan untuk dijemput di UPSI....

Mengenali Allahyarham, bukan cecalang jasanya pada UPSI dan negara. Berkat usaha, jasa dan kepimpinan beliaulah tertubuhnya:

1. UPSI Sports City

2. UPSI Adventure Park

3. Scholar Suites (Hotel UPSI)

4. Kompleks Bowling UPSI

5. Driving Range UPSI

6. Kompleks Akademik UPSI

7. Fakulti Teknikal & Vokasional UPSI

8. Kampus Teluk Intan UPSI

9. CAPEU (Consortium of Asia Pasific Education University)

10. KIESTA dan banyak lagi....

Dipenghujung kepimpinan, beliau diduga dengan musibah yang amat hebat. Dikhianat dan didengki oleh individu yang tak berhati perasaan.

Cabaran yang tak cencalang orang boleh menghadapinya. 

Walau beliau tabah, gigih dan istiqomah dalam menghadapinya, musibah ini sedikit sebanyak memakan dirinya. 

Inilah dunia akhir zaman. Yang hasad asyik mengadu domba, dek yang gigih berkerja mendiamkan diri tak bersuara.

Prof Z, damailah Prof di sana..... 

Disetiap inci kompleks akademik yang Prof bina, mengalir pahala membawa ke syurga

Di setiap sudut Scholar Suites yang Prof ilhamkan, mencurah barakah untuk keluarga kesayangan.

Disetiap gelanggang Sports City yang Prof laksana, berjurai pahala dan juga jasa.

Disetiap ilmu anak anak FTV yang berkelana, mengalir cahaya iman dari Yang Maha Esa.

Disetiap senyum, mesra dan kegigihanmu, terselit rindu dari kami yang satu hari nanti bakal dijemput Dia Yang Satu.

Bagi yang hasad & dengki, semoga pemergian kalian kelak dipermudahkan Allah swt........

sumber

Sabtu, 9 Oktober 2021

Al Fatihah:`Perginya’ wanita tertua di Malaysia

 


WANITA tertua di negara ini, Safiah Ujang berusia 128 tahun meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Seberang, Batu Hampar, Rembau, hari ini.

Safiah yang dilahirkan pada 11 Februari 1889 menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga, jam 12 tengah hari tadi.

Cucunya, Mohammad Hafiz Abdul Ghani, 29, berkata, arwah neneknya sebelum ini menghidap sakit tua dan kanser usus.

“Kesihatan nenek semakin merosot sejak tiga minggu lalu. €œNenek tidak boleh menelan makanan pejal dan hanya menjamah buah yang lembut seperti limau serta mangga selain meminum susu,” katanya ketika dihubungi.

Dia memberitahu, jenazah neneknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau, selepas solat Asar.

Mohammad Hafiz berkata, walaupun tidak pernah menerima surat pengiktirafan sebagai wanita tertua di Malaysia namun perkara itu dimaklumkan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan yang berkunjung ke rumah mereka beberapa bulan lalu.

Arwah meninggalkan seorang anak, Abdul Ghani Daud, 74, enam cucu serta 30 cicit.

-terkniviral.com

Jumaat, 8 Oktober 2021

Subhanallah:Sarjan Mejar meninggal ketika imamkan solat Subuh

 

Sarjan Major Rosli Maskan, 56, meninggal dunia pada rakaat pertama ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali, hari ini. - Gambar PDRM

Timbalan Ketua Balai Polis Gohtong Jaya di Hulu Selangor berpangkat Sarjan Mejar (SM) dilaporkan meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di sebuah surah di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Allahyarham Sarjan Major Rosli Maskan, 56, berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 36 tahun lalu.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau berkata SM Rosli meninggal di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali pada jam 6.15 pagi tadi.

“Seluruh warga Polis Kontinjen Selangor menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Sarjan Mejar 111829 Rosli bin Maskan,” katanya.

SM Rosli dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin, berkata SM Rosli meninggal dunia ketika mengimamkan rakaat pertama solat Subuh.

“Allahyarham bertugas di balai polis berkenaan sejak dua tahun lalu dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Balai Polis.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, khususnya Balai Polis Goh Tong Jaya, amat merasai kehilangannya dan akan berusaha memberikan bantuan kepada warisnya selepas ini,” katanya.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, untuk ujian saringan Covid-19.

Allahyarham Rosli meninggalkan seorang isteri, Rossilawati Abd Rahim dan empat anak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kuantan, Batang Kali.

-Agenda Daily

Isnin, 12 Julai 2021

"Temankan mama, Ben" - Ahli keluarga, rakan artis tangisi pemergian Benjy

 "Temankan mama, Ben" - Ahli keluarga, rakan artis tangisi pemergian Benjy

Hantaran adik Benjy, Elza Irdalynna di Twitter mengenai abangnya yang kini menemani ibu mereka, Allahyarham Azean Irdawaty menyentuh hati ramai netizen. - Gambar Twitter ELZA IRDALYNNA
KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon berbakat besar, Benjy Ibrahim hari ini ditangisi ramai.
Bagi penggiat seni dan rakan selebriti, Allahyarham akan dikenang bukan sahaja sebagai insan seni dengan bakat luar biasa, malah saudara, abang dan adik yang sangat dikasihi.
Antara yang paling awal memuat naik perkongsian berkenaan Benjy ialah para pelakon yang bersama-samanya dalam drama yang pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu, Kerana Cintaku Saerah, Noor Khiriah.
Nomi dah tak tunggu Jibek lagi, sebab Jibek dah tak balik terus. Semoga Jibek bahagia dan tak sedih lagi," itu kapsyen pelakon Nor Khiriah, merujuk kepada watak yang dibawa dalam drama tersebut.
Turut berkongsi kesedihan ialah pengarah drama itu, Shahrulezad Mohamedin.
Aktres Melissa Saila pula berkongsi cerita kali terakhir berhubung dengan Allahyarham pada 2018.
"Bersyukur sempat dapat berkomunikasi dengan Ben last in 2018. Great to hear the same intelligent and warm person he had always been and always be remembered,' tulisnya di Facebook.
Selain itu, rakan artis seperti Sharifah Amani, Pekin Ibrahim, Shaheizy Sam dan Datuk Hans Isaac turut memuat naik entri memperingati Allahyarham.
Paling menyentuh hati tentunya entri yang dimuat naik adik Benjy, Elza Irdalynna.
"Temankan Mama sekarang, Ben," tulisnya dalam bahasa Inggeris di Twitter, disertakan gambar Benjy bersama Allahyarham ibu mereka, seniwati Azean Irdawaty, yang meninggal dunia pada 2013.
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia juga mengucapkan takziah dan sedang dalam proses perbincangan dengan pihak di Indonesia tentang pengurusan jenazah Benjy.
"Seniman sedang berhubung rapat dengan Konsulat General Malaysia di Medan Indonesia, pihak penjara dan keluarga Benjy," kata Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah.
Dalam perkembangan berkaitan, kelaurga Benjy sudah memberi keizinan kepada pengurusan penjara di Medan untuk menguruskan pengebumian Allahyarham di sana.
“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara di Medan mengebumikan jasad (Benjy) di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok,” kata keluarga Allahyarham Benjy.
Bahkan, adik Allahyarham Benjy, Inessa Irdayanty dalam wawancara bersama Astro AWANI berkata, abangnya yang mesra dipanggil Ben tidak mahu ahli keluarga atau mana-mana individu berdepan kesulitan untuk membawa jenazahnya pulang ke tanah air.
"Sejak dahulu lagi, sebelum COVID-19 bermula lagi, Ben sudah lama pesan, kalau apa-apa jadi dekat kepada dia di sana, tak perlu bawa balik jenazah ke Malaysia. Dia minta sedekahkan Al-Fatihah, biar kebumi di sana," kata Innesa.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada pukul sekitar 11 pagi Ahad akibat penyakit asma.
Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.
Allahyarham Benjy yang banyak membintangi drama dan filem sejak usia remajanya pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004.
Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2013 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.
-AstroAwani

Ahad, 20 Jun 2021

Innalillahiwainnalillahirajiun: Ulama besar keturunan Sayyidina Umar meninggal dunia.

Mendapat khabar sedih 😭

Lagi wafatnya Ulama

انا لله وانا اليه راجعون

Madinah al-Munawwarah - Allahu..mendapat berita sedih dari bumi kinanah bahawa telah wafatnya antara Ulama tertua mereka iaitu Syeikh Muhiy al-Din (Mempunyai jalur dari keturunan Sayyidina Umar ibn al-Khattab) pada hari ini Sabtu, 19 Jun 2021 dalam usia lebih 115tahun. 

Didoakan beliau diberikan dengan kematian husnul khatimah dan semoga Allah SWT mengangkat derajat dan martabat beliau ke Syurga paling tinggi bersama Kekasih Agung Sayyidina Rasulullah SAW dan disamping Datuknya juga Sayyidina Umar Al-Khattab inshaAllah ameen.

Sama-sama kita hadiahkan Al-Fatehah buat Almarhum Syeikh Muhiy.

Semoga ALLAH merahmati roh Auliya dan kekasihNya

#WafatnyaUlama

Ahad, 30 Mei 2021

BELASUNGKAWA: Tan Sri Dato' Seri Dr Haji Harussani Zakaria - Mufti Perak Ke-8 ( 1939 - 2021 )

Oleh : Tengku Yusuff

Tan Sri Dato' Seri Dr Haji Harussani Bin Tuan Guru Haji Zakaria dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak pada 31 Julai 1939. Ayahnya, Tuan Guru Haji Zakaria adalah ulama' terkenal di kawasan Tanjung Piandang suatu ketika dahulu dan merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Hussin Parit Gabis. 

Kakaknya juga adalah seorang alimat yang mengajar kitab di Parit Buntar dahulu bernama Hajah Zainab. Beliau bersuamikan Tuan Guru Haji Muhammad Bin Tuan Guru Haji Mokhtar Sungai Labu.

Pendidikan beliau bermula di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak dan Angklo Chinese School, Parit Buntar, Perak sehingga tamat. Pada tahun 1956 hingga tahun 1959, beliau menyambung pengajian di Madrasah Idrisiah. Kuala Kangsar, Perak dan seterusnya pada tahun 1959 hingga tahun 1960 di Kuliah al-Attas, Johor Bahru, Johor. Beliau juga telah menyambung pengajian di Kolej Islam Malaya, Klang, dan memperolehi Diploma Pendidikan, Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya. Di antara gurunya ialah Syeikh Haji Zubir Bin Ahmad al-Filfulani.

Perkhidmatan beliau dimulakan pada tahun 1964 di Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri sehingga tahun 1967. Beliau telah dilantik menjadi Qadhi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang pada tahun 1967 sehingga 1973 iaitu selama enam tahun. Di samping menjadi Qadhi, beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Persekutuan Gelugur dari tahun 1968 hingga 1978 dan di Sekolah Latihan Pergigian Pulau Pinang selama lebih kurang 14 tahun iaitu pada tahun 1970 hingga 1984. 

Setelah itu, beliau telah dilantik sebagai Qadhi Besar di Jabatan Agama Pulau Pinang pada tahun 1973 hingga 1985. Setelah hampir 12 tahun menjawat jawatan tersebut, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1985 sehingga meninggal dunia pada 30 May 2021.

Tan Sri amat dikenali kerana penglibatan beliau yang meluas dalam masyarakat. Di antara jawatan beliau di peringkat negeri Perak ialah :

1.  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Darul Ridzuan (mulai Oktober 2000)

2. Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak

3. Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelaras Dakwah dan Pembelajaran Negeri

4. Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam

5. Ahli Jawatankuasa Majlis Keutuhan Negeri Perak Darul Ridzuan

6. Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak

7. Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

8. Ahli Lembaga Pengarah IDC Urus Ladang Sdn. Bhd. dan IDC Urus Sdn. Bhd

9. Yang DiPertua Persekutuan Seruan Islam Negeri Perak

10. Ahli Dewan Negara Negeri Perak

11. Ahli Tetap Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan

Di dalam peringkat kebangsaan pula, beliau pernah dilantik sebagai :

1  Ahli Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ugama Islam Malaysia

2. Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran (Kementerian Dalam Negeri)

3. Ahli Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

4. Ahli Majlis Pengawasan Syariah Takaful Nasional Sdn. Bhd

Beliau juga terlibat secara aktif dalam menyumbang kepada bidang keilmuan dengan menyertai beberapa persidangan, seminar dan dialog. Di antaranya adalah :

1. Persidangan Ulama' Nusantara: Islam di Alaf Baru: Menggaris Agenda Alaf Baru pada 26 November 1998

2. Pada 6 - 8 Mei 1994, beliau menghadiri Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan yang dihadapi Islam di rantau ini yang diadakan di Singapura

3. Dialog Agama di antara penganut Islam, Yahudi dan Kristian pada tahun 1989 di Bendor, Jerman

4. Ceramah dan dialog bersama pelajar-pelajar di Washington, Amerika pada tahun 1996

5. Lawatan sambil belajar ke Negara-negara Timur Tengah dan Eropah anjuran Lembaga Perancang Keluarga Negara dari 1 hingga 9 Mac 1977

6. Menghadiri Muzakarah Ulama' Nusantara: "Islam di Alaf Baru: Menggaris Agenda Alaf Baru" pada 26 November 1998

7. Kursus Pendedahan di Muslim College of London, United Kingdom pada 10 Januari hingga 29 Jun 1989

Bagi menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh beliau dalam menyebarkan agama di Malaysia, beliau telah dianugerahi beberapa anugerah daripada kerajaan negeri dan peringkat pusat seperti :

1. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1975

2. Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) pada tahun 1976 

3. Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1978 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang

4. Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) pada tahun 1986 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak

5. Pingat Jaksa Setia Mahkota pada tahun 1994 oleh DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong

6. Pingat Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) pada tahun 1999 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak 

7. Darjah Kehormat Doktor Syariah yang memberi gelaran Dr. oleh Tuanku Canselor Universiti Malaya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 2001

Tokoh yang memegang jawatan mufti paling lama dalam sejarah Malaysia iaitu selama 36 tahun ini meninggal dunia pada 30 Mac 2021 ketika berusia 82 tahun.

Moga Allah Taala merahmati roh Tan Sri. Amin

*Sumber - Buku Biografi Mufti-mufti Malaysia & Buku Pengenalan Madrasah Idrisiah

#KenaliUlamak

Isnin, 24 Mei 2021

Covid19:'Saya kehilangan mak, ayah, adik...' - Siti Nurul Hawana

ARWAH Amran (tiga dari kiri) dan Hasminah (tiga dari kanan) meninggal dunia Jumaat lalu. Manakala Arwah Luqman (dua dari kiri) meninggal dunia jam 6 pagi hari ini. Nurul (kiri).
ARWAH Amran (tiga dari kiri) dan Hasminah (tiga dari kanan) meninggal dunia Jumaat lalu. Manakala Arwah Luqman (dua dari kiri) meninggal dunia jam 6 pagi hari ini. Nurul (kiri).

Kuala Lumpur: Potret bersama keluarga menyambut Aidilfitri tahun ini menjadi kenangan terakhir buat Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran apabila kehilangan insan tersayang, ibu bapa dan adiknya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bapanya, Amran Sadon, 56, dan ibunya, Hasminah Parmin, 57, meninggal dunia Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Hospital Cancelor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, Khamis lalu.

Manakala, adiknya Muhammad Luqman Idham Amran, 20, pula menghembus nafas terakhirnya jam 6 pagi hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Lebih menyedihkan, Siti Nurul berkata, arwah orang tuanya juga tidak sempat meninggalkan pesanan buat dirinya selepas dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, arwah ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelum itu.

"Sepanjang Ramadan lalu mereka ada mengerjakan solat tarawih di surau berhampiran rumah kami di Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi dan kemungkinan mendapat jangkitan daripada situ.

"Selepas mengetahui mereka positif saya dan adik-beradik membuat ujian sama namun hanya adik yang disahkan positif manakala saya negatif," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata, ibunya dihantar ke HCTM pada petang Khamis lalu kerana keadaannya yang semakin teruk ketika itu.

"Namun apabila saya memberitahu arwah ayah, emak semakin kritikal, tiba-tiba ayah mengadu sesak nafas sebelum kami menghubungi ambulans dan dia dihantar ke hospital sama pada sebelah malam.

"Namun mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia keesokannya dan yang ralatnya, mereka tidak sempat meninggal apa-apa pesanan buat saya," katanya.

Katanya, adiknya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh juga hilang semangat apabila mengetahui ibu bapanya sudah tiada.

"Namun tidak sangka hari ini adik pula pergi meninggalkan kami.

"Saya bersama anak buah, adik ipar juga perlu menjalani kuarantin sehingga 30 Mei ini selepas menjalani ujian calitan jam 10 pagi tadi," katanya.

Katanya, dia berharap dirinya dan keluarga adiknya tidak dijangkiti Covid-19.

"Arwah orang tua saya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Besi sekitar jam 4 petang Jumaat lalu sementara adik dikebumikan jam 1 tengah hari tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang anggotanya kini menjalani kuarantin selepas ibu bapa dan adiknya meninggal dunia akibat Covid-19.

"Anggota polis terbabit sudah dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia Cheras untuk menjalani ujian calitan.

"Setakat ini, IPD beroperasi seperti biasa dan kawasan ini memang sentiasa disanitasi bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya.-myMetro

Selasa, 27 April 2021

Jenazah kru KRI Nanggala 402 akan dibawa ke Surabaya

KAPAL peronda KRI Bontang (907) tiba di pangkalan tentera laut di Banyuwangi, Jawa Timur. FOTO AFP
KAPAL peronda KRI Bontang (907) tiba di pangkalan tentera laut di Banyuwangi, Jawa Timur. FOTO AFP

Jakarta: Jenazah kru kapal selam Indonesia KRI Nanggala-402 akan dibawa ke Surabaya, Jawa Timur.

Ketua Angkatan Laut Laksamana Yudo Margono berkata, proses evakuasi mangsa dan kaedahnya akan dikoordinasikan kemudian.

"Evakuasi nanti kita ke Surabaya, atau sesuai permintaan keluarga kerana di Banyuwangi ini ada tiga orang juga," katanya dalam sidang media secara maya, semalam.

Media sebelum ini Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 terkorban.

Menurutnya berdasarkan visual daripada Remotely Operated Underwater Vehicle yang digunakan dalam pencarian kapal itu, kapal berkenaan 'terbelah menjadi tiga bahagian' di kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lalu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.

Berita berkaitan:

  • Semua kru kapal selam KRI Nanggala 402 terkorban - Panglima TNI2

  • KRI Nanggala-402 ditemui, 53 kru sah terkorban

  • Tahlil berterusan di rumah waris kru KRI Nanggala-402

  • Panglima TNI yakin KRI Nanggala-402 tidak meletup

  • Status KRI Nanggala-402 diubah dari 'submiss' kepada 'subsunk'

  • Ada bahagian dalam KRI Nanggala-402 tidak akan dimasuki air

  • Serpihan KRI Nanggala-402 ditemui [METROTV]

  • Anak kru KRI Nanggala-402 larang bapa pergi kerja

  • KRI Nanggala 402 bukan insiden pertama babit kapal selam2

  • Doakan kru KRI Nanggala 402

  • P-8 Poseidon tiba, bantu cari KRI Nanggala 402

  • Tentera kesan isyarat objek kemagnetan tinggi

  • AS hantar aset bantu pencarian kapal selam Indonesia

  • Bekalan oksigen ada 72 jam lagi

  • Kapal selam Indonesia hilang

  • Kesan tumpahan minyak

  • TLDM bantu pencarian kapal selam Indonesia

  • Serpihan KRI Nanggala-402 ditemui
  • Rabu, 7 April 2021

    'Mak cik petir' meninggal dunia

    NORYATI Taib. FOTO FB Faizul Hafiz Hashim
    NORYATI Taib. FOTO FB Faizul Hafiz Hashim

    Johor Bahru: Pelakon, Noryati Taib atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mak Cik Petir' menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.45 pagi hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan anaknya, Faizul Hafiz Hashim di akaun sosial Facebooknya.

    "Dukacita dimaklumkan mama saya (Noryati Taib) telah meninggal dunia pada 1.45 pagi sebentar tadi.

    "Saya minta jasa baik anda semua mendoakan semoga Allahyarhamah di tempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya dalam hantaran berserta gambar.

    Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, jam 10 pagi.

    Terdahulu, pada September 2017, Noryati pernah kritikal dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

    Noryati menjalani pembedahan akibat komplikasi diabetes dan dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

    Namun, pelakon itu mengalami sesak nafas sehari kemudian hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September 2017.

    Noryati terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama lakonannya seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty, Tari Tirana dan banyak lagi.

    Noryati yang mula berlakon dalam drama Abang Mak Panggil Balik kerap berlakon dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd milik anak saudaranya Shahrulezad Mohammeddin.

    -myMetro

    Jumaat, 5 Mac 2021

    Siasatan rapi punca kes kematian selepas disuntik vaksin


     BERNAMA

    Seoul: Kerajaan Korea Selatan akan menjalankan siasatan rapi berhubung kematian lima rakyatnya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun, pada Khamis.

    Beliau meminta masyarakat untuk terus memberikan kepercayaan kepada kempen vaksinasi yang dijalankan sejak akhir bulan lalu.

    Dua pesakit yang menerima rawatan lanjut di hospital wilayah Gyeonggi berhampiran Seoul maut selepas menerima suntukan vaksin AstraZeneca.

    Kematian seterusnya dilaporkan di Daejeon, dan dua lagi di Jeolla Utara dan mereka mempunyai sejarah penyakit.

    Jurucakap rasmi kesihatan berkata, siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengetahui punca kematian sama ada ia disebabkan kesan sampingan vaksin atau sebaliknya.


    -myMetro

    Selasa, 2 Mac 2021

    Penerima hati pertama, Afiq Ikmal meninggal dunia


    KUALA LUMPUR: Penerima hati pertama di Malaysia, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini menghembuskan nafas terakhirnya akibat komplikasi hati, awal pagi tadi.

    Perkara itu dimaklumkan penderma hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

    Mohd Afiq Ikmal, 23, yang dirawat di Hospital Selayang, Selangor, sejak 13 Februari lalu, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 5 pagi tadi.

    "Berita kematian adik Afiq dimaklumkan kepada saya oleh bapa Allahyarham, pagi tadi.

    Kini jenazah sedang dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang .Jenazah akan dibawa pulang ke kampung bapa Allahyarham di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah," katanya.

    Bagaimanapun, usaha BH menghubungi waris Mohd Afiq Ikmal masih belum berjaya.

     Baru-baru ini, BH melaporkan, Mohd Afiq Ikmal dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati, selepas 23 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati.

    Pemuda berkenaan menjalani pembedahan itu ketika berusia 14 bulan, selepas Wan Mohd Hafizam menyatakan kesediaan mendermakan sebahagian hatinya.

    Paparan kisah Mohd Afiq Ikmal itu mendorong Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu, walaupun antara mereka tiada pertalian saudara dengan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

    -BH Online