DUSSELDORF (Jerman): Murat Yakin berkata Manuel Akanji merasakan jiwanya 'kosong' selepas gagal menyempurnakan sepakan penentuan penalti yang menyebabkan Switzerland tersingkir daripada kempen Euro 2024.
Switzerland tewas di tangan England menerusi penentuan penalti sekali gus meranapkan impian mereka untuk mara ke separuh akhir pertama mereka di kejohanan utama.
Switzerland tewas 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dengan England dan sepakan pertama Switzerland diambil Akanji adalah satu-satunya yang tidak menembusi gawang dalam aksi berkenaan.
"Tidak ada kata-kata menggembirakan dapat membantunya, ada kekosongan dan kesedihan yang mendalam. Semua orang perlu berusaha untuk menempuhnya tetapi kami boleh berbangga dengan diri sendiri.
"Manu berkata dia mahu mengambil sepakan pertama, kamu memberikan pemain tanggungjawab dan kamu tidak boleh marah kepada pemain," kata Yakin.
Switzerland hampir melangkah mara ke pusingan empat terbaik apabila Breel Embolo meletakkan pasukan di hadapan pada baki 15 minit terakhir perlawanan.
Bukayo Saka selepas itu menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian.
"Sudah tentu ia mengecewakan apabila kami sudah menunjukkan usaha dan meraih peluang.
"Saya sangat sedih bagi pihak pemain dan negara... selepas mempamerkan prestasi yang baik, kami terpaksa meninggalkan kejohanan.
"Kami sudah melihat cara kami bermain menentang pasukan besar, kami tidak perlu berselindung lagi.
"Kami memberikan saingan sengit kepada pasukan besar jadi kami tidak boleh terlalu merendah diri. Akan ada yang menang dan kalah... malangnya hari ini kami bukanlah pasukan yang menang," katanya. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan