"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Jumaat, 31 Disember 2021

Covid19: Pentingkan keuntungan’ teruskan operasi, kilang kotak ingkar arahan tutup diserbu

 

Siasatan mendapati wakil syarikat memberikan alasan kilang tersebut terpaksa dibuka demi memenuhi permintaan pelanggan.

PETALING JAYA: Bukan saja ingkar arahan penutupan operasi, sebuah kilang kotak di Jasin, Melaka turut mengarahkan 112 pekerja yang merupakan kontak rapat 30 kes positif Covid-19 tetap datang bekerja.

Kilang tersebut sepatutnya memberhentikan operasi selepas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari, susulan 30 daripada 170 pekerja yang disaring dikesan positif Covid-19, semalam.

Bagaimanapun, tindakan tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu sepasukan penguat kuasa JKN bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Muhamad berkata, kilang kotak itu diarahkan tutup sehingga 5 Januari depan, namun pihaknya mendapat maklumat ia masih beroperasi.

Katanya, pihaknya juga mendapati syarikat tersebut meminta pekerja yang merupakan kontak rapat kes, bekerja pada hari ini, menurut laporan Utusan Online.

Berikutan itu, katanya syarikat tersebut dikenakan kompuan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati wakil syarikat memberikan alasan kilang tersebut terpaksa dibuka demi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kita amat kecewa kerana pihak syarikat lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan dan nyawa orang ramai.

“Mereka memberikan alasan meneruskan operasi untuk memastikan tempahan dapat disiapkan,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua 112 pekerja terbabit telah dipakaikan gelang kuarantin bagi mengawal pergerakan mereka.-FMT

Banjir: Hulur bantuan dengan ikhlas, hindari menunjuk-nunjuk dirakam jurufoto – Khutbah Jumaat

UMAT Islam menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

 IPOH: Khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri ini hari ini menyentuh mengenai banjir teruk yang melanda beberapa negeri dengan menyifatkan ia sebagai musibah yang turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Allah.

Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)  bertajuk ‘Musibah Banjir: Ujian dan Peringatan Ilahi’ mentakrifkan makna perkataan musibah yang berasal daripada bahasa Arab iaitu ‘asoba’ bermaksud menimpa atau membinasakan.

Menurut al-Quran, kata khutbah itu, musibah adalah bentuk ujian dan teguran dari Allah SWT  melalui bencana, kemarau, banjir, ribut, tanah runtuh, kehilangan harta dan pelbagai lagi.

“Musibah sebagai satu bentuk ujian yang ditimpakan kepada manusia agar manusia menginsafi kewujudan Allah SWT, bermakna musibah secara hakikatnya ialah ujian dan teguran Ilahi agar melahirkan keinsafan untuk mengembalikan manusia mengenali kebesaran Allah yang maha berkuasa.

“Khutbah mendoakan agar musibah banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di negara kita, turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri dan berani mengaku kesilapan-kesilapan yang mungkin telah kita lakukan atau kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita.

“Ketika diamanahkan tanggungjawab untuk mengurus bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai. Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang-orang yang tidak berdosa terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar pada masa akan datang,” kata khutbah berkenaan.

Khutbah juga menyentuh mengenai mangsa banjir yang kehilangan rumah, harta benda, sumber pendapatan, tanaman dan ternakan malah ada yang kehilangan nyawa serta ahli keluarga dan mendoakan mereka dikurniakan kesabaran, ketabahan, kegigihan dan kekuatan melalui detik-detik ujian yang berat.

“Melalui media terutama saluran media sosial kita dapat mengikuti pengalaman dahsyat dan ngeri yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir.

“Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa-mangsa banjir terutama orang-orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu yang berada dalam kesejukan di atas bumbung-bumbung bangunan sangat menyayat hati. Mangsa-mangsa banjir ini amat wajib dihulurkan pertolongan,” kata khutbah berkenaan.

Kandungan khutbah juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada masyarakat yang turun padang membantu mangsa banjir dan mereka yang telah memberi pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral.

Dalam masa yang sama, kandungan teks khutbah turut menasihatkan agar masyarakat menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana Allah SWT.

“Hindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakamkan oleh jurufoto dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian hingga mengakibatkan kita bakal tergelincir bersifat riak.

“Sedarilah Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat,” kata khutbah tersebut.

-Utusan Online

Covid 19: Russia catat kes kematian kedua tertinggi di dunia selepas AS

 

Pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. - Gambar AFP

Russia mengatasi Brazil di tempat kedua dengan jumlah kematian tertinggi di dunia akibat pandemik Covid-19, di belakang Amerika Syarikat (AS), menurut data negara itu serta kiraan Reuters pada Khamis.

Perkhidmatan statistik, Rosstat, berkata 87,527 pesakit meninggal dunia yang berpunca daripada Covid-19 pada November, menjadikannya bulan paling maut di Russia sejak permulaan wabak pada 2020.

Keseluruhannya, jumlah kematian akibat pandemik itu di Russia mencecah 658,634, menurut kiraan Reuters berdasarkan angka dikeluarkan Rosstat sehingga akhir November dan data daripada pasukan petugas Covid-19 untuk Disember, mengatasi Brazil yang mencatatkan 618,800 kematian.

Jumlah kematian di AS lebih tinggi, iaitu 825,663 pesakit, menurut pengiraan Reuters, tetapi populasinya dua kali ganda lebih besar daripada Russia.

Pengiraan Reuters juga menunjukkan Russia mencatatkan 835,000 lebihan kematian sejak awal wabak pada April 2020 hingga akhir November, berbanding purata kematian pada 2015-2019.

Sesetengah ahli epidemiologi mengatakan bahawa mengira lebihan kematian adalah cara terbaik untuk menilai kesan sebenar wabak.

Setakat ini, jumlah kematian si Russia tidak terjejas oleh varian Omicron dan kebanyakannya disebabkan oleh lonjakan jangkitan pada Oktober dan November, di mana pihak berkuasa kesihatan menyalahkan varian Delta dan kempen vaksinasi yang perlahan.

Pada Khamis, pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. – Reuters

Khamis, 30 Disember 2021

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di 8 negeri hingga Ahad ini - MetMalaysia

 

Keadaan air banjir yang mula naik di Taman SBJ Bandar Baru Pasir Pekan ekoran hujan berterusan dan lebat di negeri Kelantan bulan lalu. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di lapan buah negeri sehingga 2 Januari nanti.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan bagi negeri Kelantan iaitu melibatkan daerah Jeli sehingga esok.

“Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka melanda daerah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang sehingga 1 Januari.

“Keadaan sama juga diramalkan berlaku di Terengganu melibatkan daerah Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Manakala di Pahang, daerah Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan turut dikenakan amaran sama,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, MetMalaysia memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku 1 Januari 2022 di seluruh negeri Perlis.

“Keadaan sama juga dijangka berlaku di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

“Manakala cuaca sama juga boleh melanda daerah Hulu Perak di Perak,” ujarnya.

Sementara itu, keadaan tersebut juga diramalkan melanda beberapa daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

“Manakala cuaca sama juga dijangka berlaku di Terengganu melibatkan daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang).

“Di Pahang juga, kawasan seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Rompin turut diberikan amaran tersebut. Amaran sama juga diberikan kepada keseluruhan negeri Johor,” tambahnya.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga 2 Januari 2022. – K! ONLINE.

Scammer: Polis dedah khidmat pembersihan palsu, kerugian lebih RM77,888

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan wujud modus operandi penipuan konsep baharu yang menawarkan perkhidmatan pembersihan palsu kepada orang ramai.

Setakat ini, 10 laporan polis diterima berkaitan kes berkenaan membabitkan kerugian lebih RM77,888.40.

Berdasarkan siasatan, sindiket menggunakan beberapa nama syarikat berbeza itu akan mengiklankan perkhidmatan pembersihan rumah, pejabat dan seumpamanya melalui laman sosial.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din, berkata mangsa yang berminat kemudian akan diminta berhubung dengan mereka melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas bersetuju dengan harga ditetapkan, mangsa diminta membuat pembayaran melalui pautan dihantar pihak sindiket.

 Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din

"Pautan itu akan membawa mangsa ke laman web yang kelihatan sama dengan laman web perbankan secara dalam talian yang biasa digunakan mangsa sebelum itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, mangsa kemudian cuba membuat pembayaran melalui laman web itu namun gagal dan hanya menyedari ditipu apabila mendapati wang daripada akaun bank sudah berkurangan.

"Siasatan mendapati laman web palsu yang diakses mangsa akan menyimpan semua data perbankan dimasukkan dan data itu akan digunakan sindiket untuk mengakses akaun mangsa serta membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mangsa.

"Siasatan kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta denda," katanya.

Kamarudin berkata, polis menggesa orang ramai yang menjadi mangsa untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Sebarang nasihat mahupun pertanyaan berkaitan jenayah komersial, boleh berhubung dengan polis melalui CCID SCAM Responce Center di talian 03-26101559/1599," katanya.-BH Online

Polis buru raja dadah - TKPN

RAZARUDIN ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. FOTO Fariz Iswadi Ismail
RAZARUDIN ketika sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan 279 sindiket dadah di seluruh negara sepanjang tahun ini termasuk ada yang diketuai oleh golongan kenamaan bergelar Datuk.

Ada juga sindiket diketuai individu bergelar usahawan yang berselindung di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan pengedaran dadah di dalam dan luar negara.

Kewujudan mereka yang digelar 'kingpin' atau raja dadah sebagai dalang besar kegiatan pengedaran dadah di negara ini dibimbangi memonopoli ekonomi gelap seterusnya merugikan negara.

Menyuarakan kebimbangan itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, pemain ekonomi gelap itu berselindung di sebalik perniagaan bersih untuk mengedar dan menjual dadah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati 'kingpin' menjalankan perniagaan lain yang sah bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa antaranya pelancongan, pengangkutan, perkapalan, kilang, hotel, logistik dan pelbagai lagi.

 "Kita (polis) akui memang sukar untuk mengenalpasti 'kingpin' kerana kebanyakan tangkapan yang dilakukan sebelum ini membabitkan ahli sindiket bawahan. Cabaran paling besar disebabkan mereka menjalankan perniagaan untuk elak dikesan polis.

"Selagi mereka tidak ditangkap, selagi itu mereka akan boleh rekrut ahli lain. Namun hasil siasatan dan maklumat awam, pengedar terbabit boleh dikesan dan ditumpaskan.

"Setakat ini sebanyak 279 sindiket dadah ditumpaskan membabitkan seramai 1,147 pengedar termasuk kingpin berjaya ditahan tahun ini sehingga tempoh November lalu," katanya pada sidang media khas pencapaian JSJN di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Razarudin berkata, polis kini giat memburu seorang ahli perniagaan yang juga 'kingpin' dipercayai bersembunyi di sebuah negara Asia Tenggara.

Katanya, lelaki berasal dari utara tanah air itu melarikan diri ke luar negara sebaik mengetahui polis menumpaskan sindiket didalanginya selain sudah mengeluarkan waran tangkap bagi menahannya.

"Kita mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan kedudukan lelaki itu. Malah, kita mempunyai kerjasama rapat dengan polis narkotik dari beberapa negara luar untuk mengesan sindiket pengedaran dadah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kewujudan pemain ekonomi gelap itu boleh memberi impak terhadap negara.

Menurutnya, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian RM158,131,029.29 iaitu nilai sitaan aset yang dipercayai tidak membayar cukai kerana menjalankan kegiatan mengedar dadah.

Bagaimanapun, katanya, polis sentiasa berusaha memastikan perkara itu tidak berlaku dan terus memperhebatkan risikan serta operasi dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.-myMetro

Final AFF 2020:Foto ‘Isyarat’ 5 Jari Shin Tae-yong Kepada Alexandre Polking Petanda ‘Baik’ Buat Indonesia?


Seorang pengguna Twitter, @nuryantofajar, membuat ciapan sebelum pertembungan Thailand dan Indonesia mengenai ‘isyarat’ lima jari pengendali Indonesia, Shin Tae-yong kepada Alexandre Polking di sidang media.

Ciapnya, “Menjelang duel raksasa, kedua jurulatih dan pemain terlihat tertawa bahagia saat sidang media. Ada gestur lima jari Shin Tae-yong ke Mano Polking. Entahlah, semoga ini petanda baik buat timnas Indonesia.”

Beliau mungkin berharap isyarat itu menandakan yang Indonesia akan cuba untuk menang dengan defisit yang besar ke atas Thailand – sesuatu yang tentunya mustahil. Mungkin foto itu juga tersalah memberi gambaran.

Apa yang berlaku adalah Indonesia ditewaskan dengan keputusan 0-4 dalam pentas final pertama Piala AFF Suzuki 2020, malam tadi. Ia kemenangan total buat Thailand dengan Indonesia mungkin sukar untuk bangkit.

Dua gol daripada Chanathip Songkrasin dan satu gol oleh Supachok Sarachat dan Bordin Phala memberikan kelebihan besar buat Thailand untuk menjulang kejuaraan kelima mereka dan bakal menghadiahkan Indonesia status naib juara buat kali keenam sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996. Indonesia belum pernah juara.

Adakah isyarat lima jari itu satu petanda baik atau pun sebaliknya? Mereka hampir dibolosi dengan jumlah lebih besar jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol, Nadeo Argawinata yang dilihat ‘sibuk’ bertugas di gawangnya.

Adakah foto ini menggambarkan yang Shin Tae-yong meminta Alexandre Polking untuk ‘melepaskan’ lima gol kepada mereka dalam perlawanan pertama atau pun kedua? Hanya mereka yang tahu apa yang dibicarakan.

 Mungkinkah lima itu isyarat Shin Tae-yong kepada Alexandre Polking dengan kata-kata, “cukuplah lima kali juara” atau “lima kali kami naib juara, ini kalilah”. Sebaliknya, mereka yang hampir tewas dengan jumlah isyarat jari Shin Tae-yong itu – atau mungkin lebih daripada itu. Dominasi penuh daripada Gajah Perang ke atas Garuda.

Thailand melakar sembilan percubaan tepat sepanjang perlawanan berbanding Indonesia yang hanya ada satu percubaan tepat. Mereka turut merekodkan 67 peratus penguasaan permainan berbanding lawan mereka.

Thailand membuat rombakan di benteng pertahanan selepas kehilangan dua pemain akibat penggantungan dan kecederaan iaitu Manuel Bihr dan Theerathon Bunmathan dan memasukkan Philip Roller dan Tristan Do selain menyenaraikan Elias Dolah yang tidak beraksi dalam dua aksi separuh akhir berdepan Vietnam.

Indonesia juga merombak senarai pemain walaupun hanya kehilangan Pratama Arhan akibat penggantungan apabila turut merehatkan Ramai Rumakiek dan Ezra Walian. Begitupun, jelas mereka sangat terkesan.

Aksi final kedua akan berlangsung pada 1 Januari 2022 di mana, kejohanan edisi 2020 ini dilangsungkan pada tahun 2021 dan juaranya bakal ditabal pada tahun 2022. Mampukah Indonesia menidakkan Thailand?

-semuanyabola.com

Kertas siasatan kes gangguan Ebit Lew sudah lengkap

USTAZ EBIT LEW

PETALING JAYA: Kertas siasatan melibatkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual telah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan selanjutnya.

“Kita sedang menunggu maklum balas daripada AGC dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.

 “Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada untuk menyenaraikan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) susulan pendakwah terbabit yang difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal, Abd. Jalil berkata, buat masa ini tiada sebarang keperluan.

“Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya. Jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan,” katanya.

Julai lalu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit Lew dirakam percakapan sebanyak dua kali membantu siasatan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.- UTUSAN ONLINE

Rabu, 29 Disember 2021

Long Tiger cuba lolos ke Thailand, Indonesia bersama pondan

Polis menahan Abdul Hamim Ab. Hamid atau Long Tiger selepas meloloskan diri baru-baru ini.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, lelaki keturunan Rohingya, yang ditangkap di sebuah rumah di Sungai Petani semalam, dipercayai cuba untuk meloloskan diri ke Thailand atau Indonesia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan awal polis mendapati ‘Long Tiger’ berkenalan dengan seorang lelaki di Sungai Petani melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati Long Tiger berkenalan dengan lelaki yang membantunya bersembunyi di Sungai Petani melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Polis percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Bagaimanapun, rancangan itu gagal apabila sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Petani dan menahannya bersama seorang pondan, kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Dalam cubaan mengelak daripada ditangkap, ‘Long Tiger’ dilaporkan memanjat bumbung rumah itu, tetapi tergelincir dan jatuh.

Menurut Ayob Khan, siasatan polis juga membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 36 dan 38 tahun kerana dipercayai bersekongkol dengan suspek pada jam 7.25 malam hingga 3 pagi tadi di Batu Pahat.

“Kedua-dua lelaki itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke Kedah,” katanya.

Terdahulu, keempat-empat mereka ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari.

Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.

Long Tiger sebelum ini meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

-Agenda Daily

Banjir diramal di 4 negeri bermula Jumaat ini - PRABN

 

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meminta semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan.

PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.

Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.

Selain itu, banjir juga diramal berlaku di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah berkenaan.

“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.

Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.-FMT

Wow.....banyaknya balak ...macam gerabak keretapi

 Boleh tanya sikit. Nak dapat batang balak sebanyak ini, berapa bukit perlu digondolkan dan berapa ribu batang pokok harus ditebang? Pakcik tanya jer!

Selasa, 28 Disember 2021

Pencuri tabung masjid tinggalkan surat maklumkan mahu beli telefon bimbit untuk anak

 

SURAT yang dipercayai ditulis suspek selepas mencuri tabung masjid di Jepara, Jawa Tengah. - AGENSI

JEPARA: Satu video menunjukkan seorang suspek mencuri tabung sumbangan di sebuah masjid di Jepara, Jawa Tengah menjadi tular dalam media sosial.

Video itu menunjukkan pelaku berhati-hati masuk ke dalam masjid dan mengambil tabung tersebut sebelum dia meninggalkan sepucuk surat.

Isi kandungan surat itu memaklumkan, dia terpaksa mencuri tabung masjid kerana terdesak membeli telefon bimbit untuk kegunaan sekolah anaknya.

Selain itu, suspek turut berjanji untuk menggantikan duit yang dicurinya dalam tempoh setahun.

Berhubung kejadian itu, pengurusan masjid membuat laporan polis dan mengesahkan duit yang dicuri dalam tabung itu berjumlah 150,000 rupiah (RM44).

Dalam pada itu, jurucakap polis, Rozi mengesahkan laporan yang dibuat dan memaklumkan kes akan disiasat untuk menahan suspek.

“Dalam kes ini, suspek memang bersalah kerana mencuri, tapi polis akan menyiasat perkara sebenar dan jika memang benar dia orang susah.

“Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk mendidik masyarakat supaya tidak melanggar undang-undang, biarpun keadaan terdesak,” katanya.

-utusanonline

Tegur pihak persoal ‘halal haram’ bantuan makanan, wanita tak putus asa bersuara

 

Tangkap layar catatan Facebook Noor Shamera Hassan mengenai videonya.

PETALING JAYA: Noor Shamera Hassan tahu beliau akan berdepan situasi sukar apabila membuat kenyataan terbuka mengenai orang Islam yang mempersoalkan status halal makanan sumbangan orang bukan Islam kepada mangsa banjir.

Namun itu tidak mematahkan semangatnya.

Dalam klip video berdurasi 90 saat yang dimuat naik di media sosial, beliau menegur mereka yang disifatkannya mengamalkan dwistandard apabila rakyat hanya ingin meneruskan hidup selepas terjejas akibat banjir besar minggu lalu.

Beliau kelihatan beremosi dalam video berkenaan dan menyeru agar orang ramai agar berfikir secara rasional.

Video itu menjadi tular di media sosial dan tanpa disangkanya, menerima ribuan komen positif daripada orang Islam sendiri.

“Semestinya ada orang Islam lain yang menegur, siapa saya untuk bercakap mengenai halal dan haram. Namun saya tidak putus asa kerana saya sentiasa bersuara menegakkan keadilan.

“Namun, 90% daripada orang Islam yang meninggalkan komen menyokong (pendapat) saya, termasuk seorang ustaz yang memuji saya kerana bersuara,” kata wanita berusia 39 tahun itu kepada FMT.

Dalam video berkenaan, ibu kepada dua anak remaja itu membidas mereka yang bertanya sama ada makanan yang disumbangkan itu halal atau tidak, walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan dan mungkin boleh mati kelaparan.

“Saya nak tanya, waktu darurat macam ni, kamu semua masih nak tanya pasal halal dan haram? Orang yang tinggal di Malaysia mesti tahu tentang halal dan haram,” katanya dalam video itu, selain turut bertanya mengapa amalan lain yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pasangan belum berkahwin bebas berpegangan tangan tidak ditegur.

“Tahu tak betapa susahnya sukarelawan (berusaha) hantar makanan? Tak makan dan minum, cari dana, penat masak, naik bot, agihkan makanan semata-mata tak mahu kamu semua mati kelaparan.

Pendapat Noor Shamera Hassan turut disokong ramai orang Islam lain, termasuk bekas personaliti TV Normala Samsudin.

“Waktu darurat begini, sila hormati mereka yang menyumbang makanan.”

Apabila ditanya faktor yang mendorong beliau membuat video berkenaan meskipun tahu akan menerima reaksi negatif, beliau berkata, beliau kecewa melihat orang Islam menolak bantuan makanan daripada orang bukan Islam kerana ia dianggap tidak halal.

“Saya geram apabila makanan daripada gurdwara Sikh dipersoalkan walaupun mereka hanya menghidangkan makanan ‘vegetarian’. Diketahui mereka tidak masak daging dalam pekarangan gurdwara,” katanya.

Disebabkan video itu, Shamera mendapat lebih 20,000 pengikut baharu di akaun media sosialnya.

Ibunya yang bangga dengannya turut memintanya meneruskan apa yang sedang dilakukannya.

“Saya bersyukur atas sokongan ini. Saya juga ajar anak-anak saya tentang keperluan hidup bersama dalam masyarakat majmuk,” kata Shamera.

Tambahnya, tindakan orang Islam membantu membersihkan kuil dan orang bukan Islam membersihkan masjid di kawasan terjejas banjir menunjukkan bahawa rakyat dapat mengatasi rasisme.

“Saya ada ramai rakan bukan Islam dan sebagaimana mereka melihat begitu banyak kebaikan dalam Islam, saya juga lihat mereka sebagai insan yang baik.

“Jangan kita lupa bagaimana rakyat saling membantu. Jika kita tak dapat belajar toleransi melalui episod ini, saya khuatir masa depan kita akan kelam,” katanya.-FMT

Isnin, 27 Disember 2021

Rakyat jaga rakyat: Kerajaan kayangan susah turun ke bumi


Nafsu memuncak pemimpin kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan pangkat serta kedudukan sesama sendiri mengakibatkan nasib rakyat menjadi korban banjir teruk di beberapa negeri.

Kerakusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengekalkan dan memusatkan kuasa politik menyebabkan nyawa rakyat terancam. Amalan ini berterusan sejak ketika permulaan wabak Covid-19 sehingga bencana banjir.

Semakin ramai menteri, yang kini berjumlah lebih tujuh puluh orang, dan penasihat Perdana Menteri yang dilantik, semakin bercelaru dan tiada arah tuju kerajaan hari ini.

Pada awal lagi apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan berkaitan Mesyuarat Alam Sekitar Antarabangsa, yang Malaysia tidak terkesan sangat dari kesan Global Warming, masalah besar sudah patut dapat kita jangka.

Selepas itu ucapan beliau dalam bahasa Malaysia di acara Alam Sekitar peringkat dunia yang tidak mempunyai terjemahan untuk media antarabangsa, sekali lagi menunjukkan sikap tidak serius dan amat lemah Malaysia. Tidak ada sikap profesional dan malahan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan.

Ramai pemangku jawatan penting di lantik tanpa mengetahui apakah tugas mereka walaupun puluhan ribu gaji sebulan di bayar. Itu pun Perdana Menteri memberi markah ajaib 90 peratus atas “prestasi” mereka.

Pelantikan tersebut adalah semata mata sebagai ganjaran mengumpul kuasa serta wang orang politik tamak dan bukan untuk menjaga kebajikan rakyat yang makin susah.

Di tengah tengah berlaku banjir dahsyat di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri negeri melibatkan ratusan ribu rakyat, Umno dan Bersatu meneruskan majlis besar mesyuarat utama mereka di Lembah Kelang. Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuh pula meneruskan majlis besar besaran penerimaan ahli baru pada hari yang sama.

Hanya Parti AMANAH telah membatalkan Konvensyen mereka dan mengarahkan ahli jawatankuasa dan ahli keluar membantu rakyat walaupun belanja besar mesyuarat telah dibuat.

Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Abdul Latif Ahmad yang menerajui NADMA tidak bertindak seperti sepatutnya ke atas banjir teruk telah mendapat kecaman hebat dari rakyat.

Cubaan rakannya Wan Saiful dari Bersatu membela beliau telah mengundang tuduhan ‘bodoh’ dari Tan Sri Nazri Aziz dari Umno mendedahkan pertelingkahan dahsyat secara terbuka di antara parti-parti kerajaan sendiri.

Inilah kecelaruan menyedihkan anggota parti-parti kerajaan yang sibuk berebut jawatan dan kuasa serta gaji tinggi tanpa memikul atau memahami tanggungjawab sepatutnya.

Tidak wajar Malaysia mempunyai lebih dari 70 orang berstatus menteri dan timbalan menteri dan ramai penasihat berstatus menteri tetapi masih teraba-raba tidak mengetahui tugas atau rasa tanggungjawab terhadap rakyat yang menderita.

Kalau tidak kerana tindakan terpuji dan berani pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas tanpa menerima perintah dari kerajaan, bayangkan betapa lebih teruk lagi korban banjir ini.

Situasi pihak tentera berani “melanggar birokrasi” demi nyawa rakyat membayangkan betapa tidak upaya dan lemah serta lembabnya kerajaan Malaysia pimpinan Umno, Pas dan Bersatu ini. Tahniah kepada wira negara dari ATM.

Bandingkan yang berebut jawatan bergaji lumayan serta gila kuasa dengan sikap rasa prihatin anggota angkatan tentera yang bergaji rendah dan berkorban bertugas dihutan belantara yang mengambil inisiatif membantu rakyat sebelum diperintah oleh mereka yang berkuasa yang sibuk mengadakan mesyuarat tahunan parti politik masing masing di bangunan mewah sementara rakyat lemas dan menderita.

Apa jenis kerajaan kayangan yang kita miliki hari ini yang begitu buta hati dan membelakangkan nyawa rakyat di tengah-tengah kemewahan yang mereka membolot hadiahkan pada diri sendiri tampa rasa bersalah di tengah malapetaka menimpa rakyat.

Mana perginya Menteri Alam Sekitar dan Air yang menghilang diri di tengah-tengah kemusnahan dan penderitaan rakyat?

Mana suara para agamawan kerajaan Melayu Islam yang pandai menghukum atas musibah atas orang lain tetapi menjadi ulama bisu dalam situasi di hadapi kerajaan sendiri yang mengaku serba sempurna dan suci?

Sama ada berhadapan skandal wang besar atau malapetaka melibat nyawa rakyat, para agamawan diam membisu, terus tidak berperanan menjadi pasif menjaga kepentingan perut dan diri serta politik dan bukan menjalankan tanggungjawab dituntut Allah.

Allah membuka hati para anggota Tentera Malaysia yang bergaji rendah dan hidup dalam kesederhanaan untuk membantu rakyat menghadapi banjir.

Menteri menteri kerajaan yang berebut jawatan dan dalam segala kemewahan terus mabuk ibarat hidup di kayangan memandang rendah penderitaan rakyat tertutup hati peristiwa menghayat hati di depan mata.

Apa yang paling jelas rakyat kini lebih sedar rakyat berbilang kaum dan Agama memerlukan satu antara lain dalam saat dugaan bencana kerana Kerajaan yang bertopengkan diri kerajaan Melayu Islam hanya memperalatkan agama dan kaum untuk kepentingan politik semata mata dan tidak boleh di harap.

Sikap ditunjukkan kerajaan hari ini sebenarnya tidak Islamik kerana membelakangkan mereka yang lemah dan menderita.

Solidariti rakyat berbilang agama dan kaum di pusat perlindungan rumah ibadat Islam, Sikh, Kristian dan Buddha semasa bencana tanpa bantuan kerajaan ini patut sudah menyedarkan sifat palsu, hipokrit kerajaan hari ini yang bertopengkan agama.

 Bersatu berbagai agama dan kaum rakyat akan terus makmur dan selamat sementara muslihat kerajaan hari ini untuk terus pecah perintah “divide and rule” rakyat berbilang agama dan kaum adalah senjata politik mereka untuk terus berkuasa merompak kekayaan negara.

Musibah banjir ini menyampaikan mesej penting, berbeza agama dan kaum bukan menjadikan rakyat Malaysia saling bermusuhan, sebaliknya membuktikan mereka boleh bantu membantu secara muhibah untuk selamat bersama ‐ survive.

Musuh sebenar rakyat adalah kerajaan mabuk kuasa dan tamak memecahkan perpaduan rakyat supaya mereka terus berkuasa.

Apabila musibah banjir melanda, Ali, Ah Chong, Muthu dan Steven lah yang terdahulu sampai membantu sementara menteri sibuk bermesyuarat politik dan mengambil gambar di majlis pelancaran di bangunan bangunan mewah khusus bagi golongan kayangan. Lebih 24 jam baru tersentak dari mimpi kayangan mereka.

Semoga timbul kesedaran kita rakyat sendiri perlu jaga rakyat.

Orang kerajaan kayangan yang mulia mabuk kuasa dan wang susah nak turun ke bumi yang mereka pandang hina.-wrlr

Roket bawa teleskop NASA melintasi Malaysia

ROKET yang membawa JWST dirakamkan melintasi ruang angkasa negara kita malam tadi. – FOTO FALAK ONLINE

PUTRAJAYA: Ramai peminat sains angkasa dilaporkan teruja apabila roket yang membawa Teleskop Angkasa James Webb (JWST) melintasi ruang angkasa Malaysia lewat malam tadi.

Malah rakaman video insiden tidak dijangka itu berjaya dimuat naik warganet bernama Syida Nazlin yang dirakamkan suaminya, Ahmad Faaiz Anuar dari pekarangan rumah teres mereka.

 Visual berdurasi selama 1 minit 31 saat itu kemudian dikongsi laman sosial astronomi terkenal tempatan, Falak Online diusahakan pemiliknya dan juga peminat isu angkasa, Shahrin Ahmad.

“Antara video mengenai roket yang membawa JWST ketika ia lintas langit negara kita malam tadi. Sesiapa yang ternampak macam ini, memang betullah roket itu,” kata hantaran laman itu.

Beliau memaklumkan masyarakat tempatan supaya tidak terkeliru kerana jisim terbang itu bukannya komet Leonard atau kod C/2021 A1 yang kebetulan terbang di angkasa ketika ini dan hantaran tersebut turut tular diperkatakan ramai netizen yang berkongsi pengalaman sama dapat menyaksikan roket terbang sayup di langit dengan ramai mulanya menyangka ia sebagai komet.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, satelit milik Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS) itu diangkut dengan roket khas yang dikenali Ariane 5 dan berlepas dari tapak pelancaran Agensi Angkasa Eropah (ESA) di Korou, Guiana, sebuah negara kecil yang ditadbir Perancis di rantau Amerika Selatan pada pukul 7.20 petang waktu Malaysia.

Teleskop dibawa roket tersebut dinamakan bersempena dengan tokoh mendiang James Edwin Webb, pentadbir kedua NASA yang amat berjasa ketika berkhidmat dari 1961 sehingga 1968.

JWST dengan berat kasarnya lebih 6.1 tan dan bernilai lebih RM2 bilion itu dikatakan bakal mengambil alih tugas Teleskop Angkasa Hubble yang telah lama dilancarkan NASA pada 1990 dan uniknya, dengan cermin berbentuk segmen heksagon berukur lilit 6.5 meter, lebih besar daripada Hubble cuma diameter 2.4 meter, ia direka ribuan saintis dan jurutera dari 14 buah negara.

Mereka termasuk dari kalangan penyelidik ESA dan Agensi Angkasa Kanada dengan tempoh jumlah keseluruhan 40 juta jam bagi membina JWST yang akhirnya siap hujung 2016 lepas.

-Utusanonline

Baik pulih rumah sejarah:Waris Datuk Maharajalela puas hati

 

KEADAAN rumah Datuk Maharajalela di Pasir Salak yang dalam proses baik pulih. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

PASIR SALAK: Waris kepada Datuk Maharajalela berpuas hati dengan kerja baik pulih yang dijalankan di rumah tokoh pejuang negara itu dalam kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini setelah sebelum ini daif akibat terbiar.

Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, berkata, beliau gembira kerana kerajaan menunaikan janji untuk membaik pulih rumah itu setelah lama tidak dijaga menyebabkan berlaku kerosakan pada bangunan rumah berusia lebih 100 tahun itu.

Menurutnya, setakat ini kerja baik pulih sudah mencapai 45 peratus, melibatkan baik pulih bahagian atap manakala bahagian dinding akan dipasang de­ngan dinding baharu.

“Saya berpuas hati dengan kerja baik pulih rumah ini yang telah dijalankan walaupun agak perlahan disebabkan Covid-19. Malah kawasan ini juga sudah ditempatkan pengawal keselamatan untuk menjaga dan memantau keadaan sekitarnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Orang Besar Jajahan (OBJ) Pasir Salak berkata, proses baik pulih masih mengekalkan binaan asal.

Katanya, ini jelas kelihatan menerusi ukiran kayu yang dipasang yang menyerlahkan bentuk asal rumah tokoh pejuang negara itu.

“Dalam perancangan awal, memang rumah ini akan dibina semula mengikut bentuk asal dan sekarang sedikit demi sedikit saya dapat melihat rumah ini sudah hampir kembali terdiri seperti sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja baik pulih rumah itu turut menggembirakan penduduk setempat yang tidak sabar untuk melihat rumah itu kembali dijaga de­ngan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

“Penduduk gembira melihat usaha kerajaan membaik pulih rumah ini, mereka bertanya bila akan siap. Saya percaya apabila siap nanti, lebih ramai pelancong akan datang semula ke sini untuk melihat rumah tokoh pejuang negara ini selain wa­risan sejarah lain yang terdapat dalam Kompleks Sejarah Pasir Salak,” katanya.

-Utusanonline