"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Al Fatihah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al Fatihah. Papar semua catatan

Rabu, 10 Julai 2024

Keropok beracun:'Jiran telefon minta maaf, beritahu anak dia yang letak racun'

 

Nurain
Nurain

GEORGE TOWN - Jiran kepada dua beradik yang kritikal selepas makan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus ada menghubungi ibu kepada mangsa pada malam Selasa.

Nurain Hasnorizal, 25 berkata, ibu kepada jirannya itu menghubunginya pada jam 10 malam untuk meminta maaf terhadap kejadian berkenaan.

"Jiran ada telefon, 10 malam tadi (Selasa). Mak dia telefon minta maaf semua, beritahu anak dia yang letak racun tu.

"Saya kata tak apa lah, benda dah jadi, nak buat macam mana. Saya tak tahu nak kata apa, harap benda yang baik-baik saja.

"Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh dalam keadaan macam ini. Kadang-kadang mak saya telefon pun (saya) tak sempat nak angkat sebab ada di dalam wad," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nurain berkata, dia juga reda apabila orang ramai menyalahkan dirinya dalam kejadian berkenaan.

"Biar la apa orang nak kata dalam tu (media sosial), kita saja tahu apa yang sebenarnya berlaku. Orang komen-komen saja, mereka tak tahu.

"Anak saya hanya bermain di luar rumah saja, kita tak biar anak-anak," tambahnya lagi.

Sebelum ini, Nurain dilaporkan berkata, dia masih tidak dapat memikirkan tindakan seterusnya terhadap jiran kerana ingin menumpukan perhatian kepada kedua-dua anaknya itu terlebih dahulu.

Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, sebelum ini dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun yang bertujuan bagi perangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pagi Rabu, Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

-SH Online 

Jumaat, 5 Julai 2024

'Tangis, tawa di banglo Kak Pah' - Catatan Wartawan

 Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Julai 4, 2024 @ 6:22pm

Warisan peninggalan Allahyarham Sharifah Aini hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

Warisan peninggalan Allahyarham Sharifah Aini hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

KUALA LUMPUR: Sebaik membaca kisah banglo indah di Lorong Utara, Petaling Jaya, Selangor milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan, hati saya terasa sebak dan hilang kata-kata.

Masih terbayang mahligai bak istana tersergam indah yang sentiasa terbuka pintu menerima kunjungan tetamu setiap masa.

Banglo mewah yang didiami selama 20 tahun itu menjalani fasa ubah suai 100 peratus pada pertengahan 2000 dan Allahyarham Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan 'mahligai kayangan' mengikut cita rasanya.

Daripada konsep, mencari material hingga proses pengubahsuaian, semuanya ilham Kak Pah.

Namun, hari ini segalanya tinggal kenangan. Banglo dua tingkat itu hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial.

Sukar percaya, namun itulah hakikatnya. Warisan peninggalan Kak Pah hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

Benarlah pepatah Melayu, 'rumahku syurgaku' dan hasil titik peluh selama 40 tahun bergelumang sebagai anak seni, Kak Pah mampu mewujudkan 'syurga idaman' buatnya dan keluarga ketika itu.

Mengajak keluarga dan teman baik ke rumah dengan menjamu tetamu bukan perkara luar biasa. Daripada menu makan malam, pencuci mulut hingga buah-buahan, semuanya serba lengkap dan penuh meja. Itulah sifatnya yang tak mampu dilupakan.

Bagi penulis, banglo dua tingkat yang memiliki 14 bilik itu bukan asing lagi. Sejak mula memegang pena dan membuat sorotan mengenai kisah suka duka Kak Pah pada pertengahan 1990-an, banglo itulah menjadi saksi pertemuan, suka duka dan tangis ketawa.

Banglo mewah berkonsep Mediterranean, Inggeris dan Perancis itu begitu bernilai buat penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Seri Dewi Malam berkenaan.

BH pernah membuat sorotan eksklusif mengenai banglo yang menelan belanja RM10 juta itu. Puas memujuk, merayu dan akhirnya, lebih setahun menunggu Kak Pah akur dengan permintaan penulis untuk membuat sesi fotografi khas di kediaman baharunya pada 2008.

Jujurnya, penulis terkedu kali pertama menjejakkan kaki ke banglo yang tak ubah seperti 'mahligai kayangan' itu.

Kediaman dilengkapi ciri kawalan keselamatan serba canggih adalah ilham Kak Pah yang memang meminati dan mempunyai kepakaran dalam bidang hiasan dalaman. Cita rasa Kak Pah bertaraf 'hotel tujuh bintang'.

Bukan hanya memiliki dua ruang tamu dihiasi indah dengan pelbagai jenis sofa mewah dan klasik, malah kediaman itu turut dilengkapi surau yang boleh memuatkan 75 tetamu.

Surau di tingkat dua membuatkan kediamannya sentiasa ceria dan tidak sunyi menerima kunjungan keluarga dan rakan untuk majlis agama.

Banglo dua tingkat hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Banglo dua tingkat hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Menjadi kemestian buatnya, setiap malam Khamis, majlis Asma Al'husna diadakan di surau berkenaan.

Banglo itu juga dilengkapi bilik khas untuk pakaian, kasut, aksesori, spa, facial, salun dan dapur kecil bagi memudahkan urusannya setiap hari. Malah, setiap bilik mempunyai identiti dan konsep tersendiri.

Bilik bacaan di tingkat satu menjadi ruang melepak. Bilik itu penuh dengan ribuan kaset, cakera padat dan buku yang tersusun rapi. Ruangan itu juga menjadi tempatnya bekerja.

Mengenali Kak Pah, kebersihan menjadi keutamaannya, malah penulis terpaku melihat bilik air di biliknya dilengkapi 'bath tub' dan lampu `chandelier' umpama berada dalam bilik tidur.

Menjadi antara rakan yang bertuah, penulis masih tidak dapat melupakan kesempatan baring atas katil antiknya yang agak tinggi. Kami berbual hingga awal pagi hingga hampir terlena dibuatnya.

Meninjau bilik anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, dalam hati terdetik, bertuahnya menjadi anak Biduanita Negara ini. Biliknya berkonsep moden, namun paling buat penulis terkejut, setiap baju tergantung dalam almari disusun mengikut warna. Semuanya diletakkan dalam plastik disebabkan Aliff masih menyambung pengajian di Madinah ketika itu.

Apapun, penulis masih terkenang bagaimana sukarnya Kak Pah mahu merealisasikan impian, membina syurga idamannya ini.

Bayangkan, daripada sekecil benda hinggalah material besar, semuanya Kak Pah pilih sendiri. Kak Pah pernah bercerita, dia sanggup menaiki teksi dengan memakai baju kelawar untuk menyembunyikan identitinya ketika membeli material yang sesuai untuk kediamannya itu.

Cepatnya masa berlalu, diam tak diam, esok genap 10 tahun pemilik suara buluh perindu itu kembali ke rahmatullah.

Tanggal 5 Julai 2014 pastinya tidak pernah luput daripada ingatan setiap tahun. Detik itulah industri seni berdepan dengan kehilangan sebutir permata yang disanjung tinggi.

Allahyarham Kak Pah menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun di sisi Aliff, ahli keluarga dan kenalan baik di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Pakar Damansara, pada pagi Sabtu, iaitu pada hari ketujuh Ramadan 1435 Hijrah.

Keadaan penyanyi malar zaman bersuara lunak merdu itu kritikal selepas berdepan tiga penyakit iaitu radang paru-paru, jangkitan kuman dalam paru-paru dan virus H1N1, sebelum koma selama lima hari dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.26 pagi.

Masih terngiang kelunakan dan kemanjaan suaranya membisik `I Love U' ketika pertemuan akhir, dua minggu sebelum Kak Pah menghembuskan nafas terakhir.

Terbayang wajahnya duduk atas kerusi roda dan bernafas menerusi bantuan oksigen. Wajahnya berbeza dan kelihatan agak 'sembab'. Kami menangis dan berpelukan lama! Dalam hati terdetik, Kak Pah tidak pernah sakit seteruk ini.

Sudah tentu sikap suka bergurau, celoteh, rajuk dan ketawa manjanya dirindui. Al-Fatihah untuk Biduanita Negara kesayangan ramai.

-BH Online 

Selasa, 4 Jun 2024

Al Fatihah:Pyan Habib meninggal dunia

 


[TERKINI] Penyair, Pyanhabib Rahman, 66, atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman telah meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam ini (4 Jun 2024). 

Berita pemergian seniman itu dikongsi oleh isterinya di laman Facebook Pyanhabib Rahman.

Al-Fatihah

Sumber Bernama

Sabtu, 9 Oktober 2021

Al Fatihah:`Perginya’ wanita tertua di Malaysia

 


WANITA tertua di negara ini, Safiah Ujang berusia 128 tahun meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Seberang, Batu Hampar, Rembau, hari ini.

Safiah yang dilahirkan pada 11 Februari 1889 menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga, jam 12 tengah hari tadi.

Cucunya, Mohammad Hafiz Abdul Ghani, 29, berkata, arwah neneknya sebelum ini menghidap sakit tua dan kanser usus.

“Kesihatan nenek semakin merosot sejak tiga minggu lalu. €œNenek tidak boleh menelan makanan pejal dan hanya menjamah buah yang lembut seperti limau serta mangga selain meminum susu,” katanya ketika dihubungi.

Dia memberitahu, jenazah neneknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau, selepas solat Asar.

Mohammad Hafiz berkata, walaupun tidak pernah menerima surat pengiktirafan sebagai wanita tertua di Malaysia namun perkara itu dimaklumkan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan yang berkunjung ke rumah mereka beberapa bulan lalu.

Arwah meninggalkan seorang anak, Abdul Ghani Daud, 74, enam cucu serta 30 cicit.

-terkniviral.com

Jumaat, 8 Oktober 2021

Subhanallah:Sarjan Mejar meninggal ketika imamkan solat Subuh

 

Sarjan Major Rosli Maskan, 56, meninggal dunia pada rakaat pertama ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali, hari ini. - Gambar PDRM

Timbalan Ketua Balai Polis Gohtong Jaya di Hulu Selangor berpangkat Sarjan Mejar (SM) dilaporkan meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di sebuah surah di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Allahyarham Sarjan Major Rosli Maskan, 56, berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 36 tahun lalu.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau berkata SM Rosli meninggal di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali pada jam 6.15 pagi tadi.

“Seluruh warga Polis Kontinjen Selangor menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Sarjan Mejar 111829 Rosli bin Maskan,” katanya.

SM Rosli dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin, berkata SM Rosli meninggal dunia ketika mengimamkan rakaat pertama solat Subuh.

“Allahyarham bertugas di balai polis berkenaan sejak dua tahun lalu dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Balai Polis.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, khususnya Balai Polis Goh Tong Jaya, amat merasai kehilangannya dan akan berusaha memberikan bantuan kepada warisnya selepas ini,” katanya.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, untuk ujian saringan Covid-19.

Allahyarham Rosli meninggalkan seorang isteri, Rossilawati Abd Rahim dan empat anak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kuantan, Batang Kali.

-Agenda Daily

Isnin, 12 Julai 2021

"Temankan mama, Ben" - Ahli keluarga, rakan artis tangisi pemergian Benjy

 "Temankan mama, Ben" - Ahli keluarga, rakan artis tangisi pemergian Benjy

Hantaran adik Benjy, Elza Irdalynna di Twitter mengenai abangnya yang kini menemani ibu mereka, Allahyarham Azean Irdawaty menyentuh hati ramai netizen. - Gambar Twitter ELZA IRDALYNNA
KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon berbakat besar, Benjy Ibrahim hari ini ditangisi ramai.
Bagi penggiat seni dan rakan selebriti, Allahyarham akan dikenang bukan sahaja sebagai insan seni dengan bakat luar biasa, malah saudara, abang dan adik yang sangat dikasihi.
Antara yang paling awal memuat naik perkongsian berkenaan Benjy ialah para pelakon yang bersama-samanya dalam drama yang pernah mencipta fenomena satu ketika dahulu, Kerana Cintaku Saerah, Noor Khiriah.
Nomi dah tak tunggu Jibek lagi, sebab Jibek dah tak balik terus. Semoga Jibek bahagia dan tak sedih lagi," itu kapsyen pelakon Nor Khiriah, merujuk kepada watak yang dibawa dalam drama tersebut.
Turut berkongsi kesedihan ialah pengarah drama itu, Shahrulezad Mohamedin.
Aktres Melissa Saila pula berkongsi cerita kali terakhir berhubung dengan Allahyarham pada 2018.
"Bersyukur sempat dapat berkomunikasi dengan Ben last in 2018. Great to hear the same intelligent and warm person he had always been and always be remembered,' tulisnya di Facebook.
Selain itu, rakan artis seperti Sharifah Amani, Pekin Ibrahim, Shaheizy Sam dan Datuk Hans Isaac turut memuat naik entri memperingati Allahyarham.
Paling menyentuh hati tentunya entri yang dimuat naik adik Benjy, Elza Irdalynna.
"Temankan Mama sekarang, Ben," tulisnya dalam bahasa Inggeris di Twitter, disertakan gambar Benjy bersama Allahyarham ibu mereka, seniwati Azean Irdawaty, yang meninggal dunia pada 2013.
Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia juga mengucapkan takziah dan sedang dalam proses perbincangan dengan pihak di Indonesia tentang pengurusan jenazah Benjy.
"Seniman sedang berhubung rapat dengan Konsulat General Malaysia di Medan Indonesia, pihak penjara dan keluarga Benjy," kata Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah.
Dalam perkembangan berkaitan, kelaurga Benjy sudah memberi keizinan kepada pengurusan penjara di Medan untuk menguruskan pengebumian Allahyarham di sana.
“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara di Medan mengebumikan jasad (Benjy) di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok,” kata keluarga Allahyarham Benjy.
Bahkan, adik Allahyarham Benjy, Inessa Irdayanty dalam wawancara bersama Astro AWANI berkata, abangnya yang mesra dipanggil Ben tidak mahu ahli keluarga atau mana-mana individu berdepan kesulitan untuk membawa jenazahnya pulang ke tanah air.
"Sejak dahulu lagi, sebelum COVID-19 bermula lagi, Ben sudah lama pesan, kalau apa-apa jadi dekat kepada dia di sana, tak perlu bawa balik jenazah ke Malaysia. Dia minta sedekahkan Al-Fatihah, biar kebumi di sana," kata Innesa.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada pukul sekitar 11 pagi Ahad akibat penyakit asma.
Pada 2017, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu.
Allahyarham Benjy yang banyak membintangi drama dan filem sejak usia remajanya pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004.
Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2013 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.
-AstroAwani

Isnin, 24 Mei 2021

Covid19:'Saya kehilangan mak, ayah, adik...' - Siti Nurul Hawana

ARWAH Amran (tiga dari kiri) dan Hasminah (tiga dari kanan) meninggal dunia Jumaat lalu. Manakala Arwah Luqman (dua dari kiri) meninggal dunia jam 6 pagi hari ini. Nurul (kiri).
ARWAH Amran (tiga dari kiri) dan Hasminah (tiga dari kanan) meninggal dunia Jumaat lalu. Manakala Arwah Luqman (dua dari kiri) meninggal dunia jam 6 pagi hari ini. Nurul (kiri).

Kuala Lumpur: Potret bersama keluarga menyambut Aidilfitri tahun ini menjadi kenangan terakhir buat Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran apabila kehilangan insan tersayang, ibu bapa dan adiknya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bapanya, Amran Sadon, 56, dan ibunya, Hasminah Parmin, 57, meninggal dunia Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Hospital Cancelor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, Khamis lalu.

Manakala, adiknya Muhammad Luqman Idham Amran, 20, pula menghembus nafas terakhirnya jam 6 pagi hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Lebih menyedihkan, Siti Nurul berkata, arwah orang tuanya juga tidak sempat meninggalkan pesanan buat dirinya selepas dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, arwah ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelum itu.

"Sepanjang Ramadan lalu mereka ada mengerjakan solat tarawih di surau berhampiran rumah kami di Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi dan kemungkinan mendapat jangkitan daripada situ.

"Selepas mengetahui mereka positif saya dan adik-beradik membuat ujian sama namun hanya adik yang disahkan positif manakala saya negatif," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata, ibunya dihantar ke HCTM pada petang Khamis lalu kerana keadaannya yang semakin teruk ketika itu.

"Namun apabila saya memberitahu arwah ayah, emak semakin kritikal, tiba-tiba ayah mengadu sesak nafas sebelum kami menghubungi ambulans dan dia dihantar ke hospital sama pada sebelah malam.

"Namun mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia keesokannya dan yang ralatnya, mereka tidak sempat meninggal apa-apa pesanan buat saya," katanya.

Katanya, adiknya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh juga hilang semangat apabila mengetahui ibu bapanya sudah tiada.

"Namun tidak sangka hari ini adik pula pergi meninggalkan kami.

"Saya bersama anak buah, adik ipar juga perlu menjalani kuarantin sehingga 30 Mei ini selepas menjalani ujian calitan jam 10 pagi tadi," katanya.

Katanya, dia berharap dirinya dan keluarga adiknya tidak dijangkiti Covid-19.

"Arwah orang tua saya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Besi sekitar jam 4 petang Jumaat lalu sementara adik dikebumikan jam 1 tengah hari tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang anggotanya kini menjalani kuarantin selepas ibu bapa dan adiknya meninggal dunia akibat Covid-19.

"Anggota polis terbabit sudah dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia Cheras untuk menjalani ujian calitan.

"Setakat ini, IPD beroperasi seperti biasa dan kawasan ini memang sentiasa disanitasi bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya.-myMetro

Rabu, 7 April 2021

'Mak cik petir' meninggal dunia

NORYATI Taib. FOTO FB Faizul Hafiz Hashim
NORYATI Taib. FOTO FB Faizul Hafiz Hashim

Johor Bahru: Pelakon, Noryati Taib atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mak Cik Petir' menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.45 pagi hari ini.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Faizul Hafiz Hashim di akaun sosial Facebooknya.

"Dukacita dimaklumkan mama saya (Noryati Taib) telah meninggal dunia pada 1.45 pagi sebentar tadi.

"Saya minta jasa baik anda semua mendoakan semoga Allahyarhamah di tempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya dalam hantaran berserta gambar.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, jam 10 pagi.

Terdahulu, pada September 2017, Noryati pernah kritikal dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Noryati menjalani pembedahan akibat komplikasi diabetes dan dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Namun, pelakon itu mengalami sesak nafas sehari kemudian hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September 2017.

Noryati terkenal dengan gelaran Makcik Petir, Makcik Isabella dan Makcik Mary dalam drama lakonannya seperti Sindarela, SyurgaMu Ramadan, Dotty, Tari Tirana dan banyak lagi.

Noryati yang mula berlakon dalam drama Abang Mak Panggil Balik kerap berlakon dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd milik anak saudaranya Shahrulezad Mohammeddin.

-myMetro

Selasa, 2 Mac 2021

Penerima hati pertama, Afiq Ikmal meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Penerima hati pertama di Malaysia, Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini menghembuskan nafas terakhirnya akibat komplikasi hati, awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan penderma hati, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Mohd Afiq Ikmal, 23, yang dirawat di Hospital Selayang, Selangor, sejak 13 Februari lalu, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 5 pagi tadi.

"Berita kematian adik Afiq dimaklumkan kepada saya oleh bapa Allahyarham, pagi tadi.

Kini jenazah sedang dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang .Jenazah akan dibawa pulang ke kampung bapa Allahyarham di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah," katanya.

Bagaimanapun, usaha BH menghubungi waris Mohd Afiq Ikmal masih belum berjaya.

 Baru-baru ini, BH melaporkan, Mohd Afiq Ikmal dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri akibat komplikasi hati, selepas 23 tahun menjalani pembedahan pemindahan hati.

Pemuda berkenaan menjalani pembedahan itu ketika berusia 14 bulan, selepas Wan Mohd Hafizam menyatakan kesediaan mendermakan sebahagian hatinya.

Paparan kisah Mohd Afiq Ikmal itu mendorong Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu, walaupun antara mereka tiada pertalian saudara dengan keputusan itu dibuat atas dasar kemanusiaan.

-BH Online

Rabu, 20 Januari 2021

'Perginya seorang perwira negara',Doktor Ali meninggal kerana terlalu penat dan tiada masa untuk istirehat

Gambar terakhir Dr Ali yang diambil rakanya sebelum beliau jatuh sakit dipercayai kerana terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat.-Gambar ihsan FB SPJM


Kuala Lumpur: Seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB), semalam.

Menerusi hantaran itu, SPJM memaklumkan, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham Dr Ali Noor Hassan melalui akaun FB miliknya.

"Arwah adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada dua tahun lalu.

"Dr Ali dikhabarkan sebagai seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai ijtimak atau perhimpunan jemaah tabligh di Beaufort, Sabah.

"Setiap kali ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak," katanya.

Menurutnya, SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah.

"Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya," katanya.

Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.

-myMetro

Isnin, 18 Januari 2021

AlFatihah:Pemegang watak Mak Lampir, Farida Pasha Meninggal Dunia akibat Covid-19

Farida Pasha meninggal akibat Covid-19.

 JAKARTA – Aktres veteran terkenal Indonesia yang popular menerusi watak Mak Lampir, Farida Pasha dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat jangkitan wabak Covid-19.

Khabar sedih itu telah dikongsikan cucunya, Ify Alyssa semalam tentang kematian neneknya akibat wabak maut tersebut.

“Assalamualaikum. Telah kembali ke Rahmatullah ibunda atau nenek kami, Hajjah Farida Pasha binti Ali Husen pada 16 Januari 2021 pada pukul 7.35 malam (waktu tempatan),” ujarnya ringkas menerusi Instagram.

Pada masa sama, Ify turut memohon semua pihak untuk memaafkan neneknya jika pelakon tersebut pernah melakukan kesilapan dengan sesiapa pun.

“Tolong doakan semoga roh nenek dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Terdahulu, Farida dilahirkan di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia pada 21 Ogos 1952. Aktres itu terkenal kerana sering membintang filem bergenre seram dan sangat sinonim dengan watak seorang nenek kebayan bernama Mak Lampir menerusi sinetron bersiri, Misteri Gunung Merapi yang ditayangkan selama tujuh tahun.

Kali terakhir Farida yang telah membintangi lebih daripada 30 buah filem itu muncul di layar perak adalah menerusi filem The Secret: Suster Ngesot Urban Legend pada tahun 2018. – K! ONLINE

Khamis, 14 Januari 2021

Al Fatihah:Pendakwah Terkenal, Syeikh Ali Jaber Meninggal Dunia

Pendakwah terkenal Indonesia, Syekh Ali Jaber meninggal dunia. - Foto CNN Indonesia

Pendakwah terkenal Indonesia, Syeikh Ali Jaber meninggal dunia di Rumah Sakit Yarsi, Jakarta pada Khamis.

Menerusi laporan CNN Indonesia, berita kematian Syeikh Ali Jaber atau nama sebenarnya Ali Saleh Mohammed Ali Jaber dimaklumkan oleh Ustaz Yusuf Mansyur menerusi akaun Instagramnya @yusufmansurnew.

“Innaa lillaahi Wa Innaa Ilaihi Raaji’uun. Syeikh Ali Jaber meninggal di Hospital Yarsi, jam 8.30 pagi Tolong berdoa,” tulis Yusuf Mansur.

Kemudian kenyataan dari Yayasan Syeikh Ali, turut memaklumkan berita kematian Syeikh Ali dengan melaporkan keputusan Covid-19 adalah negatif.

Sheikh Ali Jaber berusia 44 tahun pernah disahkan positif Covid-19 pada 29 Disember 2020 kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) keesokan harinya di Rumah Sakit Yarsi.

Sebelum itu, keadaan kesihatan Syeikh Ali Jaber dilaporkan bertambah baik pada 4 Januari seperti mana dilaporkan dalam akaun Instagram miliknya.

Syeikh Ali Jaber Meninggal Dunia

“Keadaannya semakin baik, pasukan perubatan mengatakan ada kemajuan, cukup baik dan terus menunjukkan peningkatan,” menurut kenyataan pada Instagram itu.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, gambar beliau tersebar di laman sosial menunjukkan Syeikh Ali tidak sedarkan diri dan menggunakan alat pernafasan atau ventilator.

 Di ruang komen juga, orang ramai tidak putus mendoakan kesejahteraan beliau dan berharap diberi kesembuhan.

Pendakwah ini telah mula menghafal 30 juzuk al-Quran pada usia 10 tahun dan kemudian usia 13 tahun telah diamanahkan menjadi imam masjid di sebuah masjid di kota Madinah.

Beliau dilahirkan di Madinah pada 3 Februari 1976.

Anak pertama dari 12 adik-beradik mula aktif berdakwah di Indonesia pada usia 32 tahun ketika dia mendirikan rumah tangga dengan Umi Nadia. Beliau kemudian menetap di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB).

Di Lombok, beliau terus aktif dalam dunia dakwah dengan menjadi guru Al-Quran, imam, dan pendakwah di Masjid Besar Al-Muttaqin Cakranegara, Lombok, NTB, Indonesia.

-soofiemedia.com

Sabtu, 19 Disember 2020

Tun Rahah, wanita kental dalam kenangan


Tun-Rahah
Tun Rahah Mohammad Noah.

KUALA LUMPUR – Ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan kematian ibu tersayangnya, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamed Noah dengan penuh emosi – ramai berkongsi kesedihannya.

Allahyarham berusia 87 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur di samping keluarga tercinta.

Apa sahaja maklumat yang dicari tentang Tun Rahah yang juga anak bongsu kepada Tan Sri Mohamed Noah dan isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sudah pasti ia menceritakan betapa cekal dan kuatnya wanita itu.

Beliau dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor sejurus selepas tamat persekolahan  di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bharu.

Pada 4 September 1952, beliau berkahwin dengan Tun Abdul Razak Hussien yang ketika itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Pada masa itu lagi Tun Rahah yang tidak begitu menonjol sudah bersedia menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya malah Tun Abdul Razak selalu menyifatkan isteri paling sempurna buatnya.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.

Walaupun begitu teringin untuk menimang anak perempuan namun rezekinya mengurniakan anak-anak lelaki dengan yang sulungnya, Najib menjadi Perdana Menteri keenam manakala anak bongsungnya menjadi, Nazir menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB.

Sebagai seorang ibu, Tun Rahah menanggung sebahagian besar daripada tugas mengasuh dan mendidik putera-puteranya malah terpaksa memainkan peranan anak-anaknya yang masih menuntut di universiti.

Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976, beliau memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak sehingga mereka berjaya dalam lapangan masing-masing namun semuanya ‘terubat’ apabila melihat anak-anaknya berjaya dan kemudian sempat melihat kejayaan cucu-cucunya.

Antara yang dipetik dalam laman sesawang Yayasan Tun Rahah menyebut beberapa perkara menarik termasuklah sebagai seorang isteri, Tun Rahah telah menyediakan rumahtangga yang sempurna untuk suaminya, seorang tokoh yang sentiasa bekerja kuat untuk negara, bangsa dan agama.

Kekentalan semangat beliau dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab.

Sifatnya yang lemah lembut, sederhana dan bersahaja adalah resepi utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar.

Sikap sederhana itu amat bersesuaian dengan kehendak suaminya yang tidak mahu isterinya menunjuk-nunjuk serta berlebih-lebihan dalam semua sekaligus membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

Sebagai teman hidup Tun Rahah selalu mengiringi suaminya menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

Allayarham juga dikatakan telah memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Tun Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negara malah sentiasa mengingatkan kaum wanita melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk wanita di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara.

Tun Rahah juga adalah penuang PERTIWI yang pertama iaitu sejak tahun 1969 hingga tahun 1976, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).

Tun Rahah telah dianugerahkan pingat emas Tun Fatimah daripada NCWO pada tahun 1976.

Beliau menerima lantikan sebagai Canselor UNITAR dan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah Pendidikan dari Universiti Utara Malaysia(UUM) sewaktu Majlis Konvokesyen Kali ke-22.

Pastinya walaupun jarang sekali tampil menonjol di mana-mana namun umum akan terus memperingati Tun Rahah sebagai seorang tokoh cukup disegani dan prihatin terhadap rakyat di negara ini.

Al-Fatihah.- MalaysiaGazette

Selasa, 15 Disember 2020

AL Fatihah:Prof Diraja Ungku Abdul Aziz meninggal dunia

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang Selasa.

KUALA LUMPUR: Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang.

Menurut isterinya, Rohayah Ahmad Bahiran, jenazah Prof Ungku Aziz, 98, akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Beliau yang dianugerahkan gelaran "Profesor Diraja Ekonomi" (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Pada 21 Julai 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara.

Allahyarham merupakan bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar.

Jumaat, 20 November 2020

Maut jatuh gaung cari pokok hiasan


Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian di Gunung Gua Sireh, Baling pagi semalam

. BALING - Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh ketika sedang mencari pokok paku aji iaitu sejenis pohon hiasan di Gunung Gua Sireh di sini kira-kira jam 11 pagi semalam.

 Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Amir Hakimi Md Ali, 22, dari Kampung Padang Che Mas ditemui tidak sedarkan diri di kaki gunung terbabit. 

 Menurutnya, mangsa dilaporkan ke lokasi kejadian bersama seorang rakan dikenali sebagai Noh Othman, 32, bagi mencari pokok tersebut di sekitar kawasan gunung pada jam 10 pagi. 

 "Mangsa bagaimanapun dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter dari lokasi beliau berada," katanya di sini .


 Mangsa dilaporkan terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter. - Foto PDRM 

Beliau berkata, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 

 "Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

 Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Punca kematian bagaimanapun akan dimaklumkan selepas laporan bedah siasat diperolehi," katanya. 

Difahamkan, aktiviti mencari pokok paku aji yang dijadikan hiasan landskap telah lama menjadi sumber pendapatan penduduk setempat. 

 Pokok berkenaan mempunyai nilai komersial tinggi serta menjanjikan pendapatan lumayan. -SH Online

Selasa, 17 November 2020

ADUN Bugaya,Manis Muka meninggal dunia

ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah. - Foto NSTP
ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah. - Foto NSTP

SEMPORNA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini tengah hari ini.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Jaujan Sambakong ketika dihubungi sebentar tadi.

"Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk disembahyangkan di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu sebelum dijangka dibawa pulang ke Semporna hari ini juga," katanya.Manis Muka, yang juga Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (WARISAN) Semporna mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, dalam saingan tujuh penjuru mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.

Beliau aktif dalam politik sejak 1985 dan pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Semporna, sebelum menyertai WARISAN.

-BH Online

Isnin, 16 November 2020

MP Gerik,Datuk Hasbullah meninggal dunia

 

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63 dilaporkan telah meninggal dunia sebentar tadi.

Menurut Setiausaha UMNO Bahagian Gerik, Allahyarham dilaporkan menerima serangan jantung sebelum di hantar ke Hospital Raub untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pada Mei 2020, Hasbullah dilantik sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Hasbullah mengalahkan calon PAS dan PKR di kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi.

-suara.tv