"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Ikon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikon. Papar semua catatan

Jumaat, 11 April 2025

Ikon:Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady.

 


Golongan muda mungkin tidak ramai kenal nama arwah Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady.

Nama tokoh usahawan Melayu dan syarikat Securiforce ini tak dapat dipisahkan.

Syarikat ini antara yang nama besar dalam servis perkhidmatan keselamatan.

Semasa kecil, arwah Datuk Maznah tinggal bersama neneknya di Jerlun, Kedah kerana kedua ibubapanya telah bercerai.

Sebelum jadi businesswoman, beliau bekerja sebagai guru bahasa persendirian dan penterjemah bahasa di beberapa kedutaan asing sekitar Kuala Lumpur. 

Di sini beliau bergaul dengan golongan kaya dan berjaya serta didedahkan dengan gaya hidup dan cara pemikiran mereka. Ini pengaruhi dirinya dan bentuk cara berfikirnya.

Arwah melihat kekayaan ia hanya boleh dicapai dengan berniaga. Malah, ada orang kenamaan nasihatkan beliau agar ceburi bisnes yang belum dibuat oleh orang lain.

Bekerja di kawasan dan rumah orang kaya yang ada rumah pengawal, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi berinya idea untuk ceburi bisnes kawalan keselamatan.

Ketika itulah datang satu tawaran untuk ambil alih sebuah syarikat kawalan keselamatan yang hampir bankrup. 

Arwah Datuk Maznah dan suaminya, tidak lepaskan peluang dan terus belinya dengan harga lima ribu ringgit pada tahun 1980.

Ia dimulakan dengan 5 orang pengawal keselamatan dan 5 orang pelanggan yang terdiri orang kenamaan. 

Pada peringkat awal, arwah dan suaminya terpaksa buat semua kerja termasuk jadi pengurus, kerani, akauntan dan penyambut tetamu.

Malah, mereka pernah jadi pengawal keselamatan gantikan pengawal keselamatan yang bercuti Hari Raya. Arwah Datuk Maznah mengawal sebuah pasaraya manakala suaminya mengawal rumah kediaman seorang kenamaan. 

Untuk tambah modal bagi tampung belanja syarikat, Datuk Maznah buat pelbagai jenis pekerjaan termasuk jual insurans, mengajar, menterjemah, jadi ejen hartanah dan juga ejen jualan langsung.

Mereka pernah mohon pinjaman bank tetapi tidak berjaya. 

Jadi, arwah Datuk Maznah dan suaminya jual rumah mereka dan pindah ke kawasan setinggan yang tiada bekalan elektrik dan air yang sewanya hanya 50 ringgit sebulan.

Selama dua tahun pasangan ini duduk di kawasan setinggan dan pengorbanan mereka ini berbaloi kerana modal dari hasil jualan rumah itu berjaya bantu kembangkan bisnes tersebut.

Kerana berjaya bangunkan bisnesnya tanpa sebarang pinjaman dan juga bantuan kerajaan, Datuk Maznah sering nasihatkan usahawan muda;

"Jangan sesekali mulakan bisnes dengan wang pinjaman."

(Al Fatihah untuk arwah dan semoga Allah SWT merahmati roh beliau).

Perkongsian: Mazlan Mohamad

Source 

Jumaat, 17 Mei 2024

HAJI AHMAD BIN ABDUL LATIF - Tokeh Kicap HABHAL Cap Kipas Udang

 HAJI AHMAD BIN ABDUL LATIF - Tokeh Kicap HABHAL

***********************

Kicap Cap Kipas Udang jenama HABHAL sudah tidak asing lagi di Tanah Melayu. 

Seringkali kita dengar kejayaan Kicap Cap Kipas Udang dikaitkan dengan Haji Lambak bin Mohamed dari Johor yang dikatakan adalah pengasasnya. 

Haji Lambak menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya di Larkin Jaya (Johor) pagi 22 Jun 2020 dalam usia 100 tahun. 

Namun, sejarah yang tepat berkait isu siapakah pengasas sebenar Kicap Cap Kipas Udang itu terletak pada jenamanya - HABHAL. 

HABHAL itu sendiri adalah pengasas sebenar kicap tersebut. 

HABHAL adalah ringkasan nama Haji Ahmad Bin Haji Abdul Latif. 

Haji Ahmad adalah satu-satunya saudagar kicap di Tanah Melayu. 

Beliau merupakan anak kepada Haji Abdul Latif bin Nurudin yang lebih dikenali sebagai Syeikh Abdul Latif Al-Malakawi - seorang alim tersohor yang banyak berdakwah di Singapura dan Melaka, bahkan pengasas syarikat percetakan Latifiah Press di North Bridge Road yang beroperasi dari tahun 1920 hingga 1939. 

Haji Ahmad lahir di Tengkera (Melaka) pada tahun 1900 tetapi dibesarkan di Singapura. 

Pada tahun 1945, beliau telah membeli sos soya dari seorang peniaga Cina. Beliau kemudiannya menambah bahan-bahan dan perisa tambahan kepada sos tersebut hingga terciptanya sos kicap yang ada sekarang. 

Maka sejak itulah beliau memulakan perniagaan menjual kicap ciptaannya itu di kediamannya di 35 Jalan Mangga (Kampong Ubi) dan 134 Lorong Sarina. 

Haji Ahmad mempunyai dua orang isteri. Setelah isteri pertamanya, Hajjah Amnah binti Mohamed Sharif meninggal dunia, beliau menikahi pula anak perempuan Mufti Melaka pertama iaitu Hajjah Mahani binti Khalil bin Husain. 

Dari Hajjah Amnah, beliau dikurniakan dengan tujuh orang anak iaitu Haji Zaini, Hajjah Zaiton, Mohamed, Haji Mahmood (pelawak, Mahmood Kicap), Hajjah Sa'adiah, Haji Tamby dan Hajjah Aishah. 

Selain menjadi pengusaha kicap, Haji Ahmad juga menganggotai beberapa persatuan Islam di Singapura; antaranya ialah sebagai:- 

(1) Anggota Singapore Muslim Association; tahun 1935 

(2) Bendahara Kehormat Kesatuan Melayu Singapura; tahun 1940 

(3) Anggota jawatankuasa Dewan Perniagaan Dan Perusahaan Melayu Singapura atau DPPMS; tahun 1969 

(4) Penolong Bendahari Persatuan Ulama Dan Guru-Guru Agama Islam Singapura atau PERGAS; tahun 1969 

Selepas Haji Ahmad bin Abdul Latif meninggal dunia sekitar tahun 1970-an, perniagaannya diteruskan oleh anaknya, Haji Zaini dan dilanjutkan pula oleh isteri Haji Zaini, Hajjah Sa'adiah binti Buyong. 

Pada tahun 1981, perniagaan kicap HABHAL berpindah operasinya ke Lorong Pemuda (Kampong Melayu Majidee, Johor) di bawah syarikat Jalil Enterprise. 

Pada 25 November 1986 pula, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd yang diasaskan oleh Haji Lambak telah mengambil-alih operasi perniagaan kicap HABHAL dari syarikat Jalil Enterprise dengan memulakan operasinya di Jalan Tahana (Johor) sehinggalah ke hari ini.

Sumber

Ahad, 12 Mei 2024

'Harum Manis Perlis tiada tandingan, Sanusi jangan berangan'

 SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

Kangar: Reputasi Perlis sebagai pengeluar buah mangga Harum Manis utama di negara ini sukar digugat oleh mana-mana negeri termasuk Kedah meskipun negeri jiran itu sudah mulai cuba mengeluarkan buah berkenaan untuk pasaran negara ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, meskipun ada kenyataan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa mangga Harum Manis dari negeri itu mula meraih perhatian, namun Harum Manis Perlis tetap menjadi pilihan utama di negara ini.

Saya ingat Datuk Seri Sanusi ini berangan, mangga Harum Manis Perlis tidak akan boleh ditandingi mangga mana-mana negeri pun, insya -Allah kerana dia mempunyai rasa tersendiri.

Selain itu, cuaca dan tanah di Perlis juga amat sesuai untuk penanaman mangga jenis ini berbanding di tempat lain.

"Jadi apabila (Datuk Seri) Sanusi mengatakan mangga Harum Manis dari negerinya sudah jauh meninggalkan mangga Harum Manis Perlis hingga 80 tiang atau berapa puluh tiang sekalipun, saya rasa itu angan-angan beliau sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pejabat Menteri Besar, Pejabat Speaker dan Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, semalam.

Pada 5 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilapor berkata, Kedah yakin akan dapat menjadi pengeluar utama mangga Harum Manis di negara ini selepas usaha meluaskan tanaman buah itu giat dilaksanakan.

Malah, mangga Harum Manis Kedah yang dijenamakan sebagai Harumanis D'Aman kini sudah mula meraih perhatian dan jauh lebih popular berbanding HarumManis negeri lain walaupun baru dilancarkan tahun lalu.

Mohd Shukri berkata, perbezaan yang ketara yang terdapat pada mangga Harum Manis Perlis adalah dari segi ketahanan buah berkenaan yang mampu ditanam ketika cuaca panas yang sering berlaku di Perlis.

"Harum Manis Perlis biasanya manis dan berbau harum, paling penting sesiapa yang cuba membawa balik benih mangga untuk ditanam di negeri lain, rasa manis dan keharuman tidak sama dengan di sini.

"Ini disebabkan kawasan muka bumi Perlis ini yang berbukit dan cuacanya lebih kering jadi kita melihat ini sebagai anugerah Allah tidak terhingga di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis, Razali Saad berkata, kapasiti penanaman Harum Manis Perlis sudah mencecah 1,700 hektar, berbanding sekitar 100 hektar sahaja di Kedah.

-myMetro

Khamis, 29 Februari 2024

Pasar Payang: Kenangan kebebalan politik

 Pasar Payang: Kenangan kebebalan politik

Seingat aku, Pasar Payang telah mengalami pembinaan semula sebanyak tiga kali. Kali pertama sekitar tahun 60-an dimana pasar yang terletak di Kampung Tanjung, dipindahkan ke tapak Pasar Payang sekarang. Keduanya sekitar tahun pertengahan 80-an berserta dengan bangunan parkir MBKT.

Waktu pembinaan itu, tapak pasar sementara dibina di kaki Bukit Puteri, tapak Bazar Warisan sekarang. Semenjak dari itu, sehinggalah sekitar 2016, iaitu lebih kurang 30 tahun berlalu, Pasar Payang dicadangkan untuk dibina semula.

Ia menjadi antara pusat tarikan pelancong yang utama bagi Negeri Terengganu, kerana tidak lengkap dirasakan jika ke Kuala Terengganu waktu itu, tetapi tidak singgah sebentar di Pasar Payang. Bermacam hasil asli Negeri Terengganu terdapat di situ. Dahulu, selain hasil kerja tangan seperti batik, songket atau tembaga, makanan tradisi, telur penyu adalah produk ‘rare’ yang sangat dicari sebelum diharamkan jualannya.

Dan zaman itu, tidak perlulah kita sebut perihal ‘frozen food’ ‘courrier’ ‘money transfer’ dan sebagainya kerana ia tidak wujud sama sekali dalam urusniaga di tahun 80-an itu. Mesti bawa tunai dan pandai-pandailah nak bawa pulang kerepok lekor, nasi dagang atau lain-lain juadah tradisi dengan usaha sendiri. Berbeza sekarang.

Menjadi salah seorang saksi hidup perubahan persekitaran Pasar Payang semenjak beberapa zaman itu, aku dapati ada beberapa perkara yang tidak dapat ditukar ganti. Antaranya ialah menara jam di bulatan kecil di persimpangan ke Jalan Masjid, ke Jalan Banggol dan Kampung Cina. Ia menjadi foto ikonik setelah ketiadaannya. Tidak dapat dipastikan kenapa ia dirobohkan.

Pada malam hari jualan lelong longgokan durian, jika kena musimnya, berderetan sehingga ke Taman Syahbandar. Pasar Payang pernah dinaiki air Sungai Terengganu sewaktu banjir besar 1986. Semua nostalgia ini menyentuh hati bagi yang pernah melihat kewujudannya.

Sebelum berdirinya blok-blok bangunan perniagaan berhadapan dengan Balai Bomba dan Mydin, di situ dahulunya ialah perkampungan orang Melayu. Kampung Paya Keladi dan Kampung Daik. Di barisan hadapannya ada deretan kedai-kedai kayu dikuasai majoriti oleh peniaga India yang menjual rempah ratus. Selain untuk makanan, ada juga dijual rempah bagi perubatan seperti sepang kederang, suda ayah, songkok ayah, batu kawi. Pasti ada yang tidak pernah mendengarnya.

Ramai kawan-kawanku tinggal di Paya Keladi. Rumah-rumah mereka semuanya tinggi-tinggi kerana kawasan berpaya, mudah banjir. Kemudian atas nama pembangunan mereka dipindahkan. Setentang dengan bangunan parkir MBKT itu pula terdapat deretan kedai. Dan yang paling terkenal ialah kedai buku Alam Akademik atau lebih mesra dipanggil orang ‘Kedai Pok Loh Yunan’.

Namun, hal sebaliknya berlaku kepada Kampung Cina yang hanya terletak bersebelahan. Mereka kekal di situ dan tidak berpindah. Di tingkat atas premis perniagaan mereka biasanya mempunyai tempat bagi burung walit membiak. Kedai mereka dahulunya hanya mempunyai pintu depan dan di belakangnya tempat air buangan terus ke sungai.

Tetapi setelah Pulau Warisan diwujudkan dengan menambak sebahagian Sungai Terengganu, mereka boleh pula membuka sebuah lagi kedai di pintu belakang, terus mengadap Pulau Warisan itu. Alangkah beruntungnya mereka, dapat dua lot kedai atas satu tanah.

Ini bukan isu perkauman, cuma sekadar mahu memberi ingat kepada politikus Melayu Islam supaya menjadikan cara cerdik berpolitik kaum Cina ini sebagai pengajaran bahawa walau berbeza kita dari segi ideologi, namun kepentingan agama dan bangsa, mesti kita duduk bersepakat. Dahulukan rakyat kerana mereka mengharapkan kita sebagai pemimpin mereka. Kita tidak mahu berpolitik sehingga memangsakan rakyat. Lihat di Terengganu, akibat politik sempit, sanggup mereka menahan wang royalti hak milik rakyat Terengganu. Ia tidak berlaku kepada kaum lain.

Tanpa malu, PAS akui yang pembinaan Pasar Payang ini adalah daripada zaman pemerintahan Najib. Ini adalah sikap profesional, jujur yang jelas ditunjukkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu dibawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang walaupun berbeza pegangan politik, tetapi jika ia memberikan kebaikan yang besar kepada rakyat, kita mesti bersetuju. PAS jelas mahu meninggalkan kebebalan berpolitik. 

Dan sikap keadilan itu jelas ditunjukkan oleh Dr Sam dengan memberikan peruntukan penuh kepada Adun-Adun pembangkang dalam pemerintahan penggal lalu. Hanya sahaja, Terengganu kepupusan pembangkang kali ini, maka tiadalah peruntukan kepada mereka.

Semoga Allah merahmati peniaga-peniaga dan pelanggan-pelanggan di Pasar Payang. Dengan adanya kemudahan yang sangat selesa ini, diharapkan juga mereka memperbanyakkan syukur kepada Allah. Tahniah kepada semua dan selamat menjalankan perniagaan dengan jujur dan ikhlas. Peniaga yang jujur akan menjadi jiran Rasulullah SAW di syurga.

Mohd Nasir Abdullah

29 Februari 2024

Ahad, 4 April 2021

Dr Amalina Sudah Berkahwin Di UK. Jejaka Pilihan Hati Dia Bukan CaIang2


KEBIJAKSANAAN Dr Amalina Che Bakri bukan sesuatu yang perlu dihebahkan, lebih-lebih lagi setelah kejayaannya mencipta sejarah sebagai pelajar pintar yang mencapai keputusan 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, namanya tidak pernah Iekang daripada bibir rakyat Malaysia yang berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang beliau kecapi.

Selamat Berkahwin

Pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri mengumumkan sudah berkahwin dengan jejaka pilihan hati di London, United Kingdom (UK) pada 31 Mac lalu.

Berita gembira itu dikongsi Dr Amalina menerusi laman sosial Instagram hari ini.

Menerusi entri itu, Dr Amalina berkongsi dua foto bersama suaminya yang juga jejaka Inggeris.

Dr Amalina memaklumkan majlis akad nikah mereka diadakan di London Central Mosque selepas tiga kali majlis terpksa ditunda akibat perlntah berkurung.

“Kami lega kerana berjaya melakukan majlis ringkas yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat (hanya enam tetamu seperti peraturan pihak berkuasa UK).

“Perancangan asal adalah untuk buat majlis resepsi pada Mac (Malaysia) dan Jun (UK) pada tahun ini. Namun, kami terpksa tunda majlis resepsi sehingga kami yakin semua orang boleh hadir.

“Kami berharap dapat meraikan hari istimewa ini bersama lnsan tersayang dan rakan nanti,” katanya.

Sebelum ini, media meIaporkan Dr Amalina mengumumkan bertunang dengan jejaka pilihan hati pada 10 Ogos 2020.

Pada kedua-dua upacara tersebut, prosedur operasi standard (SOP) ketat diikuti, di mana hanya enam orang yang hadir dibenarkan.

“Alhamdulillah, saya berasa lega kerana kami dapat melakukan nikah hari ini. Kami terpksa menangguhkannya tiga kali kerana penutupan. Walaupun kami hanya dibenarkan enam orang tetamu, saya bersyukur,” kata Dr Amalina selepas majlis itu, sambil menambah dia tahu kepentingan untuk mematuhi SOP.

Ibu Tak Dapat Hadir

Upacara itu menimbulkan rasa sedlh kerana ibu Dr Amalina Sabariah Hassan tidak dapat hadir dan berkongsi satu-satunya saat gembira anaknya kerana sek4tan perjalanan.

“Saya ingin mempunyai ibu saya di sini, seperti itu rancangan awal kami (untuk rancangan yang awalnya dirancang, tetapi kemudian menangguhkan majlis nikah pada Januari tahun ini), tetapi sek4tan itu bermaksud dia tidak dibenarkan melakukan perjalanan. Saya sedlh kerana dia tidak dapat berada di sini hari ini dengan saya, tetapi apa nak buat, “katanya.

Untuk memastikan bahawa ibunya boleh menjadi sebahagian daripada hari besarnya, Dr Amalina yang merupakan Pendaftar Bed4h Umum dan Felo Penyelidikan Klinikal dalam Pembed4han K4nser Payud4ra di Institut Inovasi Kesihatan Global, Jabatan Pembed4han dan K4nser, Imperial College London, meraikan bersama ibunya melalui FaceTime.

“Saya gembira kerana dia dapat menyaksikan upacara di FaceTime dan semuanya berjalan lancar. Setelah kami dapat kembali ke Malaysia, kami berharap dapat mengadakan majlis sambutan di Malaysia,” kata Dr Amalina yang kelihatan berseri putih dengan gaun pengantin yang direka khas oleh pereka Cosry dari Malaysia.

Seorang Lelaki Pintar

Mengimbas kembali ketika hari mereka bertemu, Dr Amalina mengatakan bahawa dia dan Charles terus “tertarik” pada pertemuan pertama mereka.

“Dia adalah seorang yang pintar, seorang lelaki, sangat hormat, sopan dan cerdas – semua sifat yang saya suka pada seorang lelaki.”

Membalas pujian tersebut, Charles berkata: “Dia sangat cerdas, seorang yang sangat penyayang dan sangat cantik.”

Charles mengatakan bahawa dia menyedari bahawa pengantin barunya adalah ikon awam yang mempunyai lebih dari satu juta pengikut di Instagram dan Twitter dan menambah dia telah membiasakan orang menyapa Dr Amalina di jalanan untuk mengatakan ‘hai’ atau mengambil gambar dengannya.

“Saya rasa tinggal di UK, kita tidak terlalu terded4h kepadanya (kemasyhuran Dr Amalina) dengan cara yang sama seperti jika kita berada di Malaysia. Sudah tentu kita masih ada orang yang datang untuk mengucapkan ‘hai’ kepadanya dan mengambil gambar, jadi saya fikir itu tidak terlalu meng4nggu kehdupan kami sehari-hari, “tambahnya.

Dengan memanfaatkan cuaca yang hangat, pasangan itu, ditemani oleh seorang jurugambar, menyeberang ke Regent’s Park untuk mengambil gambar hari yang paling penting dan tidak dapat dilupakan dalam hdup mereka, dengan orang-orang yang baik-baik saja yang keluar menikmati sinar matahari sambil mengucapkan “selamat pengantin baru” kepada pasangan bahagia tersebut.

Suami Dikatakan Mirip Chris Evans

Rata-ratanya netizan menzahirkan keterujaan melihat akhirnya hubungan mereka berakhir di jlnjang pelamin.

Tidak kurang, ada yang menyamakan teman lelaki Amalina ini dengan aktor Hollywood popular, Chris Evans kerana wajah yang dikatakan seiras.

“Wow! Bagai pinang dibeIah dua lah, doktor,” komen beberapa pelayar media sosial.

Selain itu, para peminat mendoakan pelajar cemerlang SPM ini berjaya dalam kerjaya serta kehdupan peribadinya.

Siapa sebenarnya doktor wanita berusia 32 tahun yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia ini. Mari kita sama-sama teliti profil Dr Amalina.

1. Anak tunggaI pasangan pengetua sekolah, Sabariah Hassan dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod ini diIahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.

2. Memperoleh keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM pada 2004.

3. Tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikaI terbaik United Kingdom (UK).

Dr Amalina menggengg4m ijazahnya selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Edinburgh, Scotland pada 2013. – Instagram @dramalinabakri

4. Bercita-cita untuk menjadi pakar bed4h k4nser pyudara dan onkoplastik.

5. Pemegang biasiswa Kijang Emas daripada Bank Negara Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UK.

6. Bergelar doktor setelah menamatkan pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013.

7. Kerap berkongsi dan mendidik masyarakat tentang kesedaran kesihatan menerusi beberapa platform media sosiaI miliknya.

8. Memiliki 511,000 pengikut di Instagram @dramalinabakri, 322,000 pengikut di Twitter @dramalinabakri dan 16,000 subscriber pula di saluran YouTube Dr. Amalina.

Sed0ndon. Dr Amalina dan kekasih hatinya pada sambutan Syawal baru-baru ini. – Instagram @dramalinabakri

9. Jangan ada yang p4tah hati ye! Hati Dr Amalina sendiri sudah dimiliki oleh seorang jejaka Inggeris yang dirhsiakan namanya. Tapi anda boleh mengintai akaun Instagram buah hati doktor tersebut yang menggunakan identiti pengguna @_a__87_.

10. Boleh bertutur dalam slanga British selepas berhijrah selama 14 tahun ke negara itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

11. Selain hebat dalam bidang akademik, Dr Amalina merupakan seorang yang pandai berfesyen dan seorang peminat filem adiwira Avengers terbitan Marvel Studios.

12. Gemar mengisi masa lapang dengan melancong ke seluruh peI0sok dunia dan sehingga kini telah menggembara ke lebih 60 destinasi.

13. Meminati fesyen terkini dan gemar menggayakan pelbagai busana mengikut citarasa terkini, Dr Amalina pernah diberi jolokan Dr Bling Bling. Jadi tidak hairan jika dia sering meluangkan masa di gim bagi menjaga penampilan dirinya.

Pandai berfesyen. Gaya Dr Amalina sering menjadi perhatian pengguna media sosial. – Instagram @dramalinabakri

Pendidikan

2005 – 2007: A-Level di The Cheitenham Ladies’ College, England

2007 – 2013: Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembdahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland

2009 – 2010: Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi di Universiti Edinburgh, Scotland

2009 – 2010: Program Amgen European Scholars untuk kajian dalam bidang farmakologi di Institut Karolinska, Sweden

2012 – 2013: Doktor peIatih bagi program Surgikal OnkoIogi dan GenekoIogi di Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

2013 – 2015: Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang penterjemah perubatan dan terapeutik di Universiti Cambridge

2017 – kini: Dr Amalina sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) dan berkhidmat sebagai seorang pendaftar pembdahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge.

Sumber IG Amalina, NST, mstar, hmetro via tsgt


Credit: Video Viral Press

Rabu, 10 Mac 2021

Mohd. Khay...Jutawan 'low profile' dari Kampung Baru!


LELAKI ini mempunyai lima orang cahayamata terdiri daripada 3 lelaki dan 2 perempuan. Beliau memastikan kesemua anak lelakinya menghafal Al-Quran dan mempelajari ilmu agama dengan mendalam.

Beliau melaksanakan amalan membaca Al-Quran dan terjemahan di syarikatnya pada setiap pagi, sejak berbelas tahun dahulu.

Lelaki ini juga telah mendirikan hotel setinggi 42 tingkat itu, TAMU, yang menelan kos pembinaan RM200 juta yang dilengkapi 276 bilik serta 129 servis suite di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru

Dialah lelaki bernama Mohd. Khay Ibrahim, jutawan low profile anak jati Kampung Baru, yang juga Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru yang bersejarah itu.

Siapakah Mohd. Khay ini?

Pengasas Zikay Group Berhad lulusan perakaunan dari UITM ini bersama adiknya, Iszhar memulakan perniagaan pada tahun 1994 sebagai kontraktor kecil landskap.

Dari situ mereka tidak berpaling lagi. Syarikat mereka kemudiannya menceburi bidang pembangunan hartanah, infrastruktur dan perkilangan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menceburi bidang pendidikan dan hospitaliti. 

Selain itu, mereka juga terlibat menyediakan platform teknologi berkonsepkan kewangan Islam dan patuh syariah, yang meliputi pembiayaan perusahaan PKS.

Mengenai hotel TAMU yang Mohd Khay dirikan itu, Bernama pernah melaporkan beliau pada mulanya hanya mahu membina sebuah bangunan bagi operasi syarikatnya di satu lot bekas tapak bangunan Wisma Dagang di Jalan Raja Alang. Bangunan yang siap dibina itu dinamakan Bangunan Zikay.

Bagaimanapun, beliau kemudian memutuskan untuk membeli sebidang tanah lagi yang terletak bersebelahan Bangunan Zikay untuk dimajukan selepas diyakinkan oleh seorang rakannya yang berkunjung ke pejabatnya.

“Rakan saya dari luar negara itu melihat pemandangan dari tingkat 9 Bangunan Zikay dan memberitahu saya mempunyai bangunan yang hebat terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya.

Mendengarkan kata-kata rakannya itu membuatkan beliau terfikir untuk membina sebuah lagi bangunan dan kebetulan pula, terdapat sebidang tanah kosong di sebelah Bangunan Zikay.

Mohd Khay berjaya membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu yang dimiliki 6 beradik. Dan, 8 tahun kemudian, beliau berjaya membangunkan Hotel Tamu & Suites.

Tanah di mana hotel berkenaan didirikan berstatus ‘Penempatan Pertanian Melayu’ yang setaraf Tanah Rizab Melayu.

Pembinaan hotel itu jelas membuktikan tanah pegangan Melayu boleh dibangunkan menjadi hartanah yang bernilai tinggi.

“Pada mulanya, ada yang kata saya tak waras. Siapa nak percaya orang Melayu boleh dirikan bangunan bukan 10 atau 20 tingkat tetapi 42 tingkat. Ada juga yang tak percaya projek saya ini boleh siap,” katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah.

Beliau berkata apabila Hotel Tamu & Suites siap dibina, nilai hartanah di situ meningkat sebanyak 50%.

Mohd. Khay turut memilih untuk mewujudkan jenama hotel tersendiri daripada mengambil jenama hotel antarabangsa yang sudah popular kerana tidak mahu terikat dengan piawaian yang ditentukan pihak berkenaan.

“Kita tidak mahu ada benda-benda syubhah di sini (hotel). Secara tak langsung juga kita memberi pilihan pada mereka yang bekerja dalam industri perhotelan, untuk memilih tempat kerja yang mesra syariah,” katanya sambil menjelaskan usaha yang dibuatnya itu adalah fardhu kifayah yang perlu beliau laksanakan sebagai seorang Muslim.

Menyifatkan dirinya sebagai fundamentalis Muslim, beliau percaya hanya dengan kembali kepada ajaran Islam seseorang itu boleh berjaya.

“Jika kita lihat sejarah kegemilangan Islam ia adalah semasa di zaman Rasulullah, zaman sahabat dan zaman pemerintahan khalifah di mana mereka amat berpegang kepada ajaran agama. Jadi, kenapa kita (Muslim) sekarang mahu lari daripada Islam?” katanya yang dipetik Bernama.

SESUNGGUHNYA saya salute dengan lelaki bernama Mohd. Khay, adiknya dan seluruh pasukan Zikay Group ini.

Mereka adalah contoh yang Bumiputera juga boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam dunia korporat dengan mereka yang bukan Melayu tanpa perlu mengorbankan prinsip Islam yang kita sanjung.

Semoga Datuk Mohd. Khay dan syarikatnya terus istiqamah dalam perjuangan mereka dalam dunia korporat yang menjanjikan 1,001 cabaran yang menguji akal, minda dan kesabaran ini, Insya Allah.

Rabu, 30 Disember 2020

Dibuang Keluarga Ketika Hamil 9 Bulan, Ini Kisah Sidhutai Sapkal ‘Ibu’ 1700 Anak Yatim Di India

 

Dengan panggilan ‘Ibu Anak Yatim’, wanita berusia 72 tahun yang dikenali sebagai Sindhutai Sapkal ini merupakan antara wanita yang menjadi sumber inspirasi buat ramai penduduk India. Di saat kanak-kanak lain sibuk bermain, wanita ini melalui zaman kanak-kanak yang perit apabila terpaksa berkahwin di usia 10 tahun bersama pasangannya yang ketika itu berusia 30 tahun atas desakan ibunya.

Namun, kerana pengalaman perit yang dialami selama bertahun-tahun lamanya, wanita ini tidak pernah patah semangat dan putus asa untuk membesarkan anak-anak. Tidak hairanlah kisah inspirasi beliau telah difilemkan oleh pengarah Marathi dalam filem berjudul ‘Mee Sindhutai Sapkal’.

Pernah dibuang ibu sendiri, dipukul suami

Sidhutai Sapkal dilahirkan dalam keluarga yang susah pada 14 November 1948 di kampung Pimpri Meghe di daerah Wardha. Walaupun beliau sangat berminat untuk belajar namun dia terpaksa menggunakan daun pokok Bharadi untuk menulis kerana keluarganya tidak mampu membeli batu tulis. Akhirnya pada usia 10 tahun dia dipaksa kahwin awal bersama lelaki berusia 30 tahun sekaligus melenyapkan impiannya untuk belajar tinggi.

Saya diberitahu hanya ada dua proses dalam kehidupan seorang wanita iaitu pertama ketika dia berkahwin dan satu lagi ketika dia mati. Bayangkan keadaan fikiran saya ketika mereka membawa saya dalam perarakan ke rumah suami saya di hutan Navargaon di Wardha.

Namun perkahwinan yang dibina itu tidaklah bertahan lama apabila suaminya sering memukul dan mendera beliau. Pada usia 20 tahun dia akhirnya dihalau dari rumah ketika sedang hamil 9 bulan. Malah beliau turut ditumbuk dan ditendang di perutnya, kemudian beliau diseret dengan rambutnya ditarik lalu dicampak keluar sebelum dihalau dari rumah. Sidhutai Sapkal meraung kesakitan. Darah membasahi bajunya, tetapi tidak ada siapa yang peduli. Tidak ada yang menghulurkan bantuan.

Bersalin dalam kandang lembu keseorangan

Dalam keadaan sarat mengandung, Sidhutai Sapkal menuju ke kandang lembu. Beliau duduk menangis dalam kesakitan yang tidak terkira. Bayangkan, dalam keadaan najis lembu merata-rata, bau busuk yang menusuk hidung, Sidhutai Sapkal bertarung nyawa seorang diri melahirkan anak ketiganya.

Saya memotong tali pusat dengan batu bermata tajam yang terletak di dekatnya.

Kejadian itu menyebabkan dia pernah terfikir untuk bunuh diri, namun dia cepat-cepat menghilangkan perasaan tersebut dan terus mula mencari sesuap makanan di landasan kereta api  demi menjaga puterinya.

Anak saya baru 10 hari dan saya keseorangan. Keluarga mertua dan keluarga saya sendiri membuang saya. Ketika itu saya sedar betapa teruknya perasaan sunyi. Saya mula menyanyi lagu keagamaan di landasan kereta api untuk mendapatkan makanan.

Makanan itu saya kongsi dengan pengemis yang lain. Dari situ mereka mula berada disisi saya dan melindungi saya. Mereka sentiasa bersama saya. Saya menjadi ibu mereka dan kami menjadi satu keluarga.

Ketika dia menghabiskan banyak waktu mengemis di landasan kereta api, beliau sedar bahawa terdapat ramai anak yatim dan anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Setelah berpengalaman menghadapi kesulitan itu sendiri, dia dapat merasakan penderitaan mereka dan memutuskan untuk menerima mereka semua sebagai anak angkat.

Beliau mula mengemis dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memberi makan kepada anak angkatnya yang ramai. Secara perlahan-lahan Sidhutai memutuskan untuk mengambil anak angkat setiap anak jalanan yang datang sehingga beliau mampu membuka sebuah rumah anak yatim dan digelar ‘ibu anak yatim’.

Anak yatim yang dipelihara semua berjaya

Sehingga kini, dia telah mengambil anak angkat seramai 1,700 orang dengan membantu mereka mendapatkan pendidikan, menikah dan menyokong mereka dalam kehidupan seharian. Dia dipanggil “mai” (ibu) oleh anak-anak yatim ini. Dia memelihara anak tersebut seperti anaknya sendiri sehingga ada di antara mereka yang berjaya menjadi peguam, doktor dan jurutera yang kini kembali membantu beliau.

Ketika saya keluar di jalan-jalan memohon makanan dan berjuang untuk bertahan setiap hari, saya menyedari bahawa terdapat begitu ramai anak yatim yang tidak dapat dikunjungi. Saya memutuskan untuk menjaga mereka dan membesarkan mereka sebagai milik saya sendiri

Buat masa sekarang, anak perempuan Sidhutai sendiri menguruskan rumah anak yatim yang dibukanya sejak 20 tahun lalu. Dan kini, beliau tetap memperjuangkan makanan seharian untuk anak-anak tidak bernasib baik ini. Setiap kali beliau memberi motivasi ini, beliau cuma meminta  untuk mendapatkan roti dan mentega setiap hari buat anak-anak yatim dipelihara.

Dengan rahmat Tuhan, saya mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya boleh pergi dan bercakap dengan orang lain dan mempengaruhi mereka semua. Kelaparan membuat saya bercakap dan ini menjadi sumber pendapatan saya. Saya memberi banyak ucapan di pelbagai tempat dan ini memberi saya sejumlah wang yang saya gunakan untuk menjaga anak-anak saya.

Daripada hanya lima orang anak yatim, kini Sidhutai Sapkal sudah memelihara lebih 1,700 orang anak yatim. Apa yang mulianya apabila Sidhutai telah memaafkan bekas suami dan turut menerimanya sebagai anak yatim bawah jagaanya. Sidhutai Sapkal telah menerima lebih 700 anugerah sehingga ke hari ini.

Terima anugerah dari Presiden India

Lebih menyayat hati apabila ditanya oleh wartawan : ‘Kenapa puan bantu anak-anak itu sedangkan hidup puan sendiri miskin, makan sendiri pun tak tentu. Kenapa masih susahkan diri untuk mereka?’ Jawapan beliau sangat memberi inspirasi kepada ramai orang.

Aku hidup selepas aku makan roti yang dibakar di atas tempat pembakaran mayat orang mati. Kini aku hidup untuk orang lain.

Buat pengetahuan ramai, ketiga-tiga anaknya itu mempunyai PHD dan mempunyai jawatan yang besar. Anaknya berjaya menjadi orang luar biasa sama seperti apa yang difikirkannya dahulu. Walaupun anak-anaknya sudah kaya dan berjaya, Sidhutai Sapkal tetap meneruskan kehidupannya sama seperti dahulu bersama anak-anak jalanan.

Sidhutai Sapkal telah menghidupkan jiwa anak-anak jalanan yang dulunya dipandang hina oleh masyarakat, kini telah dipandang mulia. Atas dasar kemanusiaan, Sidhutai Sapkal menyerahkan seluruh hidupnya untuk melihat anak-anak ini membesar menjadi manusia yang berguna. Hari ini dia dipanggil Dr. Sithudai Sapkal.

-ohbulan.com

Sabtu, 7 November 2020

Pasaraya Ebit Lew Dilihat Berjaya, Kini Giliran Zul Yahya Pula Buka Pasaraya Sendiri


 MALAYSIA: Selepas kejayaannya membuka restoran steamboat, pelakon Zul Yahya kini mengikuti usaha yang sama dilakukan oleh Ustaz Ebit Lew, dengan membuka sebuah pasaraya sendiri.

Menerusi posting terbaru di Instagramnya , bapa kepada enam orang cahaya itu berharap usaha yang dilakukan ini adalah sebagai penggerak kepada dirinya agar segala yang dilakukan berpaksikan pada syiar agama.

“MasyaAllah, kami belum baik baru belajar korbankan sikit-sikit untuk perkara baik. Doakan kami semoga dapat mendidik diri dan keluarga digerakkan agar sentiasa korbankan diri, masa dan harta untuk kehidupan agama…”

“Berniaga perlukan usaha, tawakal dan doa yang tak putus-putus InsyaAllah…”

“InsyaAllah doakan kami semoga dijadikan asbab atau isyarat untuk terus membantu agama dan bersama-sama meningkatkan ekonomi umat Islam serta kualiti kehidupan di sisi Allah.

“Sama-sama kongsi rezeki. Allah sediakan dunia untuk kita jaga dengan baik, ini amanah. Bawa kehidupan dunia untuk kebahagian di akhirat,” katanya.

Pasaraya yang diberi nama Zul Yahya Mart itu mengangkat tema mengutamakan produk Muslim. Bertapak di Meru Raya, Ipoh Perak.

Pada ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan membuat sebuah pasar raya dengan hasil titik peluhnya sendiri.

Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro, beliau tidak menolak sekiranya diberikan tawaran berlakon, tetapi hendaklah ditelitinya terlebih dahulu.

“Kalau watak yang ditawarkan itu kena dengan usia, lebih matang dan mungkin lebih serius, saya akan pertimbangkan.

“Kalau boleh, biarlah karakter yang saya lakonkan itu ada nilai dalam penyampaian kepada penonton dan menjadi asbab untuk sampaikan sesuatu yang baik buat masyarakat juga,” katanya.

Menurutnya, masanya kini banyak dihabiskan untuk menguruskan perniagaan berasaskan makanan yang dilakukannya memandangkan ia memerlukan tumpuan penuh.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat kerana Allah permudahkan banyak urusan saya dan kini, saya bermastautin di Ipoh. Dah nak masuk usia warga emas ini, saya kembali ke sini dan membuka perniagaan di Meru.

“Bila dah terbabit dalam perniagaan makanan, kita jadi dekat dengan pelanggan dan kita sediakan produk untuk mereka. Disebabkan itulah, saya perlu berikan tumpuan penuh kepada perniagaan ini dan tak boleh terlepas pandang.

“InsyaAllah, bulan depan pula saya akan membuka kedai runcit di kawasan sekitar tempat tinggal. Semakin banyak tanggungjawab saya selepas ini, tapi itu semua yang mengisi jadual harian saya,” katanya.

Sumber – rentas malaya