"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Jumaat, 28 Januari 2022

‘Ibu okey, Puspakom, JPJ lulus, kita kahwin’ – Zizan Razak

ZIZAN mengakui dia tidak tertekan perihal jodoh meskipun sudah menghampiri usia 40-an.

PETALING JAYA – “Saya punya rancangan sebenarnya nak kahwin usia 25 tahun.”

Demikian pengakuan pelakon dan pelawak, Zizan Razak, 38, yang reda dengan takdir kehidupannya masih belum bertemu jodoh sehingga sekarang usia kian menghampiri angka 40.

Zizan atau nama sebenarnya, Muhd. Razizan Abdul Razak berkata, melihat beberapa kenalan wanita yang pernah dikaitkan dengan dirinya kini sudah berumah tangga, dia turut berbahagia.

 “Saya tengok mereka yang pernah dikaitkan dengan saya bahagia dengan kehidupan, saya pun turut berasa bahagia buat mereka.

“Tiadalah saya nak tertekan semata-mata jodoh belum sampai. Kerjaya masih berjalan dan di situ saya lepaskan tekanan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pra pelancaran filem Rompak di ibu negara semalam.

Jelas pelakon yang cukup popular menerusi filem Abang Long Fadil itu, dia percaya dengan aturan Ilahi tentang jodoh.

“Ada juga niat nak berkahwin sebelum ini tapi tak menjadi dan saya anggap itu semua adalah kerja Allah.

“Allah tak izinkan, saya tak boleh marah. Takkan saya nak marah Allah, takkan saya nak lawan takdir dan  mengamuk.

“Jadi, saya berjalan dengan apa yang ada di depan mata. Saya ada kerjaya, rezeki, saya punya restoran, bermacam-macam perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.

Tidak menolak andai jodohnya hadir dari kalangan orang industri atau orang bukan popular, Zizan memberitahu, kalau memang tiada jodoh buatnya di dunia, tiada sebab dia perlu berasa tertekan.

“Alhamdulillah, saya okey. Ada juga masa fikir kalau tiada jodoh nak buat macam mana. Kalau ada jodoh, kita jalan.

“Saya serahkan kalau ibu kata okey dan kemudian saya juga rasa begitu, ujian Puspakom dan JPJ lulus, kita kahwin,” katanya berseloroh seraya mengatakan keluarganya sangat memahami dirinya.

Terdahulu, beberapa selebriti wanita popular tanah air pernah dikaitkan bercinta dengan Zizan antaranya Emma Maembong, Che Puan Juliana Evans dan Mira Filzah yang masing-masing sudah berumah tangga.

“Keluarga saya macam relaks. Kalau ada, ada. Kalau tiada, sudah. Saya pun macam selesa atas katil seorang-seorang.

“Ada juga cakap ‘kau ni memilih sangat’. Siapa cakap, dia macam lebih tahu daripada saya. Lepas itu, cakap saya ‘playboy’lah apa lah, tapi saya senyum sahaja sebab banyak lagi benda saya perlu bersyukur,” katanya. – K! ONLINE

Kemelut Politik: Amaran Dari Haji Hadi Buat UMNO

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini memberikan amaran terhadap strategi politik mencetuskan pilihan raya negeri (PRN) didalangi “kluster mahkamah” Umno, dalam sebuah kenyataan paling keras sejak Muafakat Nasional (MN) termeterai antara PAS dan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Bercakap kepada media menjelang retreat yang akan dihadiri beliau bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hujung minggu ini, beliau menyelar “strategi” mencetuskan PRN, mengatakan ia adalah percubaan untuk mengelak daripada pertuduhan jenayah yang dihadapi sebahagian pemimpin Umno.

 Kita tahu yang buat strategi ini adalah kluster mahkamah, kluster yang kalah PRU14, kluster yang tidak ada jawatan, bukan semua dalam Umno.”

Beliau menambah yang didakwa belum lagi disabitkan kesalahan, oleh itu mereka sepatutnya mempertahankan diri di mahkamah.

“Kalau kita ada moral, lawan di mahkamah, bukan susahkan rakyat, nak selamatkan diri, susahkan rakyat,” katanya.

Ketika ditanya apakah beliau kecewa dengan Umno yang menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah piagam MN yang termeterai pada 2019, Hadi menjawab “bukan seluruh Umno, kluster-kluster yang saya sebutkan.”

“Mereka inilah yang memainkan politik yang tidak sihat. Lepas Johor, nak buat di mana pula? Perak?” katanya.

Kluster mahkamah adalah istilah diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang kini berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini berdepan pelbagai pertuduhan membabitkan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Mereka juga turut menjadi dalang dalam menumbangkan pentadbiran Muhyiddin Yassin yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap beliau.

Dalam pada itu, Hadi turut berkata Umno tidak berterima kasih kepada PAS yang memberikan bantuan kepada parti utama BN itu selepas tumbang dari tampuk kerajaan pada 2018.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata ahli Parlimen Marang itu.

-Anak Sungai Derhaka

Khamis, 27 Januari 2022

Pengguna cemas duit dalam bank ‘lesap’

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kecoh sejak semalam apabila sebilangan pelanggan bank di Malaysia mendakwa baki wang simpanan mereka menjadi negatif.

Lebih menyukarkan apabila mereka tidak dapat membuat transaksi serta wang simpanan gagal dikeluarkan menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

 Menerusi perkongsian oleh Jabatan Netizen Malaysia di laman Twitter, terdapat pengguna yang beranggapan masalah ini timbul susulan kes Genting Hong Kong yang kini menghadapi masalah kewangan.

Terdahulu, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dijangka menerima kesan besar kerana mereka adalah pemiutang tidak bercagar utama Genting Hong Kong dengan jumlah pinjaman berjumlah RM2.51 bilion.

Sementara itu, orang ramai dilihat meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen, dan ada yang turut menjadi mangsa serta memberi bebanan kepada mereka apabila sukar mengeluarkan wang simpanan untuk perbelanjaan.

“Duit dalam bank tak boleh ‘transfer’, nak keluarkan pun disekat, kami bukan kaya, nak makan guna duit mana, duit di tangan dah habis, teruk punya bank,” kata Nur Fauziana Mohd. Fauzi.

Selain itu, seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Azlina Manaf, meluahkan rasa kecewa apabila pihak bank gagal dihubungi untuk mendapatkan penerangan mengenai masalah yang timbul.

“Kenapa tiba-tiba baki dalam akaun jadi negatif, mana duit simpanan pergi, hubungi pihak bank sampai nak patah jari tidak diangkat,” ujarnya.

Dalam pada itu, ada pengguna yang berkongsi tangkap layar komen yang dibalas oleh admin sebuah bank di laman Facebook meminta pengguna yang mengalami masalah tersebut untuk hubungi pihak bank menerusi kiriman mesej (PM) bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

Boleh anda PM kami dan huraikan pertanyaan anda dengan lebih lanjut. Terima kasih,” tulisnya. – K! ONLINE

Tarif baharu elektrik tidak bebankan rakyat - Takiyuddin

 Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Takiyuddin (dua dari kanan) melawat projek solar berskala besar. FOTO BERNAMA

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) bersama Takiyuddin (dua dari kanan) melawat projek solar berskala besar. FOTO BERNAMA

Dungun: Kadar tarif baharu elektrik tidak akan membebankan rakyat yang masih terkesan dengan penularan Covid-19.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarif baharu elektrik bagi tahun ini sehingga 2024 sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya sudah berbincang dalam kabinet sebanyak enam kali berturut-turut (dan) Alhamdulillah, semalam kita telah memuktamadkan, jadi saya rasa tak lama (pengumuman akan dibuat).

"Silap-silap hari ini (pengumuman dibuat) dan kita akan melaksanakan IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) dan RP3 2022-2024 (Tempoh Regulatori Ketiga IBR) pada 1 Februari ini.

"Jadi anda boleh teka bila kita akan umumkan dan (mengenai harga) itu kena tunggu Suruhanjaya Tenaga akan umumkan tetapi saya boleh bagi gambaran tidak sama sekali membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Projek Large Scale Solar (LSS) 29.99 MWac Kenyir Gungkul Solar Sdn Bhd di Paka di sini hari ini.

Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Takiyuddin berkata, selaras dengan hasrat kerajaan mempertingkatkan kemampuan tenaga melalui strategi memperkukuhkan sektor elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus memastikan sektor bekalan elektrik diuruskan secara strategik supaya pengguna dapat terus menikmati perkhidmatan bekalan elektrik yang berdaya harap, lestari dan mampu bayar.

Katanya, KeTSA juga mewujudkan industri pembekalan elektrik negara yang kalis cabaran melalui pengukuhan sistem bekalan elektrik di Semenanjung bagi menampung peningkatan kemasukan tenaga solar ke dalam sistem yang diperkukuhkan demi menampung pertambahan beban pada masa hadapan.

"Sistem solar fotovolta yang dijanakan oleh sumber semula jadi ini lebih mesra alam kerana secara langsung ia dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida seterusnya membantu mengurangkan tahap penipisan lapisan ozon.

"Kerajaan turut menyeru kepada syarikat tenaga solar yang lain untuk sama-sama membangunkan teknologi supaya kita dapat membantu melestrarikan alam sekitar dengan lebih luas untuk manfaat bersama," katanya.

-myMetro

Rabu, 26 Januari 2022

“Bukan Cakap G*y” DSV Jelaskan Perkataan Sebenar, Minta Netizen Dengar Betul-betul Sebelum Tuduh.

 


PETALING JAYA – Diselar biadab dan sesuka hati menilai kecenderungan seksual orang lain, usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida tampil menafikan dakwaan ramai kononnya dia melabel penyanyi lelaki unggul tanah air, Anuar Zain sebagai seorang lelaki homo.seksual atau g4y.

Kata Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 51, perkara tersebut terpulang kepada penerimaan sesiapa yang menyaksikan siaran langsung (IG Live) yang ditularkan semula menerusi TikTok.

Dalam video bertajuk, Ada orang tanya: Dato cubalah ngorat Anuar Zain, Vida bertegas dia tidak bermaksud untuk menyebut perkataan ‘gay’ merujuk kepada pelantun lagu Sedetik lebih itu.

 

“Saya sebut ‘okay’ bukan ‘gay’. Janganlah terasa mak-mak ayam di luar sana. Saya hanya bergurau dan tidak bermaksud apa-apa pun.

“Tapi saya faham apapun yang keluar dari bibir saya, orang tak percaya saya tentang isu ini. Saya memang akan kena kecam. Aduhai, pening saya memikirkannya.

“Mereka akan cakap saya dahaga perhatian dan sebagainya. Saya sendiri lupa bila punya siaran langsung (IGLive) yang orang tularkan. Dalam 12 Januari tempoh hari,” katanya kepada Kosmo! Online ringkas.

Namun begitu, usahawan berkenaan sekali lagi tampil meluruskan video yang tular itu dengan mengatakan yang dia tidak menyebut perkataan ‘gay’ tetapi ‘okey’ selepas diminta oleh netizen supaya mengorat penyanyi tersebut.

Video penjelasan tersebut telah dikongsikan semula oleh satu saluran YouTube dikenali sebagai pendakiSOLO. Dalam video itu, Vida bersungguh menafikan hal berkenaan dan langsung tidak menyebut perkataan ‘gay’.

Dah boleh stop kot buat kontroversi

Tak hanya itu, dia juga meminta orang ramai supaya tidak sesuka hati menuduh perkara sebegitu kepadanya kerana mana mungkin dia menghina di media sosial.

Walau bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen Instagram Dato’ Seri Vida, ramai yang masih berang dengan video sebelum ini dan meminta usahawan itu memohon maaf kepada Anuar Zain diatas kata-kata yang mengundang salah faham ramai.

Pandang diri sendiri sebelum cakap orang lain


Pergi jela minta maaf

Terdahulu, dalam video yang dimuat naik menerusi TikTok, Vida dilihat kurang bersetuju dengan cadangan seorang lelaki yang menyuruhnya memikat hati Anuar Zain sebelum membuat andaian bahawa penyanyi berusia 52 tahun itu sebagai mengamalkan gaya hidup homoseksual atau gay.

“Nanti cubalah mengorat Anuar Zain? Gay, gay, faham tak!” kata penyanyi lagu I Am Me itu dalam nada seperti berbisik.

Vida Dakwa Anuar Zain G*y Bila Peminat Suruh Mengorat? Ini Reaksi Ziana Zain

Penyanyi terkenal Ziana Zain menempelak usahawan kosmetik popular Datuk Seri Vida selepas ahli perniagaan itu mendakwa adiknya, Anuar Zain mengamalkan hubungan sejenis.

Menerusi platform TikTok, seorang pengguna berkongsi sedutan video Vida membuat kenyataan tersebut untuk tatapan umum.

Menerusi video berdurasi kurang 15 saat itu, Vida menjawab pertanyaan seseorang yang memohon dia untuk memikat pelantun lagu Lelaki Ini itu untuk dijadikan suami.

Vida dengan nada berbisik, berkata, “G*y.. g*y.. faham tak?”

Perbuatan tersebut menarik perhatian Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 54, yang kemudiannya meninggalkan komen pada video berkenaan.“Sangat biadapppppppp,” tulis Ziana yang menggunakan akaun TikTok rasmi miliknya.


Bukan sahaja Ziana, dakwaan tersebut mengundang rasa berang wargamaya yang rata-ratanya mempertahankan penyanyi lelaki tersohor itu.

Tidak kurang juga ramai yang meminta Anuar untuk tampil mengemukakan saman terhadap dakwaan tersebut.

“@nurafiqahsamsud25:Anuar Zain tu ada class. Dia taknak perempuan terpekik terlolong.”

“@user4285909616231:Anuar Zain boleh saman ni.”

“@_WAN MAZ_:”Mencari salah dan aib orang hanya untuk kepuasan diri sendiri adalah petanda hati rosak -Tok Guru Nik Aziz.”

@i-am-shahromyazid:Ini soal maruah, jangan buat main-main!! Kaya tidak bermakna boleh menghina dan memfitnah orang lain sesuka hati.”

“@oja:Sebab tu kawen banyak kali pun tak bertahan…. Ubah dulu apa yang patut.. duit tak mampu membeli adab melainkan kita pupuk sendiri.”

“@M VP658:Mulut jaga ya, anak-anak tu masih dalam fasa meneroka identiti.. takut karma mengata orang terpalit kat keturunan sendiri.”
“@Kakya:Tak baiknya cakap cmtu, Anuar Zain tu baik humble tak penah kacau hidup orang lain pun.”

“@Shariza abd latif:Tu sebab jangan banyak cakap. Banyak cakap banyak salah.. Menyakitkan hati orang. Kalau betul mengumpat. Kalau tak betul fitnah. Moga dia sedar dan minta maaf.”

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 300,000 tontonan daripada warga TikTok.

Sumber; utusan/liveconnection

Kredit: transformasi.host

PRN Johor: Bersatu bukan pembangkang, rundingan hanya sesama kami, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata rundingan dengan Bersatu untuk PRN Johor tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang.

“Bersatu pembangkang?,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, hari ini.

Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang perlu diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN), jika PH mahu menundukkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Beliau berkata, PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli, turut mencadangkan supaya diwujudkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) yang menggabungkan PN bersama semua parti pembangkang termasuk PH, Pejuang, MUDA dan Warisan untuk bertanding pada PRN Johor.

Razrul berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang bawah satu panji adalah relevan dan dilihat terbaik.-FMT

UMNO perlu buang imej rasuah sebelum PRN Johor, PRU15

 


Dalam ucapan dan rencana saya semenjak tahun 2012, iaitu dua tahun sebelum PRU14, saya secara konsisten berkata bahawa UMNO berada di atas landasan yang betul, tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya.

Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama DS Najib dan DS Zahid.

Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu. Saya tidak kisah.

Saya memuji DS Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji DS Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah.

Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila DSU Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 ke 30 Jun 2019, BN, tegasnya UMNO, memenangi tiga pilihan raya kecil secara berterusan.

Tiga pilihan raya kecil tersebut adalah:

1. PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari 2019.
2. PRK DUN N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac 2019.
3. PRK DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan, pada 13 April 2019.

Saya merasa lega dan mengharapkan bahawa itu tanda UMNO sudah mula pulih. Tetapi, melihat perkembangan itu DS Zahid kembali semula memegang teraju UMNO. DS Najib pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO.

Saya melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku semenjak itu hingga sekarang menunjuk ke arah itu.

DS Najib dan DS Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka. Dalam keadaan itu saya tidak fikir UMNO akan berubah.

Keputusan PRN Melaka yang di luar dugaan itu menyebabkan saya menulis, antara lain:

“Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam.

Pemimpin-pemimpin UMNO jaga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU 14.

Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi DS Zahid. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.

Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, DS Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO.

Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya dalam PRU 14. Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini.

Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.”

Seorang bekas Ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. “Apa yang dia tulis ni aku pun tak pasti ini Tun Hamid tulis ker atau macai mana yang tulis, kan? Dia bedridden, bila masa dia tulis? Dari dia punya otak dia tu, tak tau nak cakap apalah. Dia memang pro, nampak gaya memang pro kepada Muhyiddin. Dan dia tak boleh fikir bahawa Dato Seri Zahid dituduh di mahkamah kerana apa, kerana dia tak nak membubarkan UMNO, kalau dia membubarkan UMNO dia tak didakwa sampai 80 lebih pertuduhan.”

Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri.

Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut: Jika itulah sebabnya DS Zahid dituduh, mengapa dari awal lagi DS Zahid tidak menggunakan alasan itu untuk membuat permohonan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam soal balas saksi-saksi pendakwaan untuk membolehkannya membangkitkan alasan itu dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?

Biar apa pun, DS Zahid telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), lapan pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM (rasuah) dan 27 pertuduhan money-laundering.

Ertinya, berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Maka, terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.

Pada masa yang sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU 15 diadakan dalam masa yang terdekat semakin kuat. PAS tidak boleh diharap untuk berganding bahu dalam menghadapi PRN Johor dan PRU 15. Sebab-sebabnya saya telah beri dalam “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU 15” (22 11 2021). Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.

UMNO boleh merasa lega dengan keputusan PRN Melaka itu dan mengharapkan ia akan berulang di Johor. Tetapi, ada faktor-faktor lain yang mungkin menjadi penghalang.

Pertama, Johor adalah negeri TS Muhyiddin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.

Kedua, ini kali pertama pengundi-pengundi 18 tahun hingga 21 tahun akan mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi-pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan PH. Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi-pengundi muda Melayu: undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.

Pertama, ada yang idealistik yang merasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti MUDA yang juga berpusat di Johor.

Kedua, ada sekumpulan yang menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Mereka ini tentu akan mengundi PH “untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil (fair) kepada semua orang tanpa mengira kaum.”

Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan yang lainnya. Mereka akan mengundi PAS dan PAN.

Keempat ialah kumpulan yang merasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang. Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi, sekurang-kurangnya, ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka ini akan mengundi UMNO/BN.

Perpecahan akan lebih buruk jika Pejuang, Perkasa dan Warisan juga turut serta. Walaupun tidak berapa banyak undi yang mereka akan perolehi, tetapi dalam pertandingan banyak penjuru, ia cukup untuk memberi kemenangan kepada PH. Malays never learn.

Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda ini adalah perkataan “rasuah”, “penyalahgunaan kuasa” dan “integriti”. PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda akan termakan dengannya. Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu, dengan membesar-besarkan tuduhan tehadap TS Azam Baki.

Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.

Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah. DS Najib dan DS Zahid mestilah berundur atau direhatkan.

Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN Johor dan PRU 15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

-Agenda Daily

Isnin, 24 Januari 2022

PRN Johor: PKR pertimbang guna lambang sendiri bukan PH - Anwar

 

Logo PKR.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak mereka akan menggunakan lambang sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan nanti.

Anwar berkata isu pemilihan penggunaan sama ada lambang rasmi Pakatan Harapan (PH) atau PKR tersebut akan digunakan dalam PRN Johor akan dimuktamadkan dalam masa dua hari lagi, namun memberitahu akar umbi partinya mahu lambang sendiri digunakan dan bukan lambang PH.

“Kita zahirkan (dalam mesyuarat) tadi bahawa setelah pengalaman di Melaka, akar umbi PKR agak kuat meminta agar logo PKR digunakan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Terdahulu, Anwar menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Anwar lagi, gesaan itu hanya untuk kerusi yang ditandingi calon PKR.

“Pandangan kawan-kawan lain merasakan lebih sesuai (logo) PH. Jadi kita akan muktamadkan dalam dua hari lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang pemimpin PH Johor menyuarakan harapan agar isu tersebut dapat diselesaikan dalam mesyuarat hari ini.

Ekoran pencapaian buruk PH dalam PRN Melaka pada November lalu – ketika itu menggunakan logo gabungan – PKR membangkitkan agar gabungan itu kembali menggunakan logo PKR dalam pilihan raya akan datang.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Minggu lalu, Hasni memberi jaminan sistem penyampaian kerajaan negeri tidak akan terganggu sekiranya PRN diadakan di negeri itu dan jentera kerajaan akan terus berfungsi sepanjang tempoh berkenaan.

-Agenda Daily

Sabtu, 22 Januari 2022

Polis serbu ceramah #TangkapAzamBaki

 

Suasana serbuan tangkapan polis di pentas ceramah #TangkapAzamBaki di Restoran Amjal sebentar tadi. (Gambar Twitter TangkapAzamBaki)

PETALING JAYA: Polis menyerbu pentas ceramah himpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan di Restoran Amjal di Jalan Pantai Baharu di sini sebentar tadi.

Penganjur melalui ciapan di laman Twitter #TangkapAzamBaki memaklumkan tangkapan dibuat selepas program ceramah selesai.

Pentas ceramah #TangkapAzamBaki di Restoran Amjal diserbu oleh polis. Beberapa orang telah ditahan.

“Program ceramah telah selesai ketika serbuan dibuat, namun peserta tidak dibenarkan meninggalkan premis ketika mahu pulang.

“Jangan tangkap rakyat! #TangkapAzamBaki !!,” ciap Twitter berkenaan.-FMT

Durian Musang king, IOI, D24 tak laku

 


Durian Musang king, IOI, D24 tak laku. Sebut sahaja durian musang king, IOI, D24, tok litok dan durian kampung Ulu Cheka mesti raja buah tersebut akan menjadi buruan penggemarnya.

Namun, berbeza pula kali ini apabila durian yang berbuah di luar musim itu tidak laku dijual sehingga mengakibatkan peniaga menanggung kerugian.

Seorang peniaga di Kampung Damak, Zulkifli Mamud, 56, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila buah du­rian di luar musim tidak mendapat perhatian pelanggan termasuk melalui jualan dalam talian.

Durian Musang king, IOI, D24 tak laku

Banyak baka durian kampung yang kami pasarkan di tepi jalan Jerantut ke Benta langsung tidak diendahkan pemandu kenderaan berbanding sebelum ini.

“Selalunya, ketika musim durian kawasan Damak mendapat perhatian dan dipenuhi penggemar durian dari seluruh pelosok negeri,” ujarnya semalam.

Zainuddin Omar, 62, yang menjual durian di Bandar Baru Jerantut berkata, dia berasa pelik apabila pelbagal jenis durian termasuklah musang king yang dijualnya tidak mendapat sam­butan penggemar.

“Hanya saya menjual durian di sini, orang ramai yang berkunjung ke pekan sehari bandar ini tidak menoleh atau bertanya harganya seperti kebiasaan.

“Hanya dua orang sahaja ­datang membeli buah durian hari ini,” ujarnya kecewa.

Katanya, pelbagai jenis durian diborong dari Damak dan Ulu Cheka di sini seperti durian kampung, durian kahwin, I0I, D24, tok litok dan pelbagai lagi durian berkualiti baik tidak terjual

Harganya berpatutan seper­ti durian kahwin dijual antara RM20 hingga RM25 sekilogram, musang king gred B (RM30-RM35), musang king gred A (RM60-RM80), manakala durian kampung adalah antara RM10 hingga RM15 bagi sekilogram.

“Durian kahwin tidak tahan jika tak dijual dalam tempoh tiga hari, ia dibuang begitu sahaja berban­ding durian kampung yang boleh dibuat tempoyak,” katanya.

-Utama Daily

Khamis, 20 Januari 2022

Pemuda PKR berarak ke Parlimen gesa Azam Baki letak jawatan

 

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir menyerahkan memorandum kepada Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Lebih 50 ahli Pemuda PKR berarak ke Parlimen untuk menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki meletak jawatan.

Sayap itu yang diketuai Ketuanya, Akmal Nasir berhimpun di luar Parlimen hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Memorandum itu mengandungi lapan tuntutan, termasuk segera menggantung Azam dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pemilikan saham Azam.

Tuntutan lain termasuk langkah mengelakkan rasuah pada masa depan seperti pindaan terhadap Akta SPRM untuk semak dan imbang lebih baik, meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah Parlimen dan perlindungan lebih baik di bawah undang-undang pemberi maklumat.

“Semak dan imbang dalam SPRM tidak berfungsi lagi, jadi kita perlu mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita.

Memorandum itu turut diluluskan oleh lebih 20 kumpulan belia.

Anwar menerima memorandum itu di luar Parlimen dan berjanji bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akan membangkitkan tuntutan itu kepada Perdana Menteri di Parlimen serta menggesa tindakan segera diambil.

“Rasuah dalam negara kita ialah endemik dan sistemik serta perlu ditangani atau kita akan menyaksikan seluruh sistem runtuh,” kata Anwar.-FMT

Rabu, 19 Januari 2022

AJK Fatwa Perlis tegur amalan sertai perayaan bukan Islam

 


Seorang daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis hari ini mengingatkan orang ramai mengenai perlunya seseorang Muslim mengehadkan dirinya dalam pembabitan sambutan agama lain.

Menurut Kamilin Jamilin seseorang Muslim tidak seharusnya menyambut perayaan agama bukan Islam atau melakukan sebarang upacara yang kelihatan seperti meraikan hari simbolik agama lain.

"Allah SWT melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain berdasarkan surah al-Kafirun yang kebanyakan kita menghafalnya," katanya.

Dia yang juga penasihat akademik Akademi al-Khayr memuat naik kenyataan tersebut ketika sesetengah pihak mempertikaikan kehadiran Ahli Parlimen Pekan Najib Razak ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam semalam.

Rakaman kunjungan bekas perdana menteri itu turut tular di media sosial.

Kata Kamilin Islam melarang seseorang Muslim berkunjung ke rumah ibadat agama lain pada hari perayaan mereka walaupun atas alasan untuk perpaduan.

"Begitu juga tidak seharusnya seorang Muslim menggayakan diri atau berkelakuan dengan sesuatu yang menyerupai agama lain dalam hal yang menjadi syiar atau pengkhususan atau tradisi keagamaan mereka," katanya.

Agar tak keliru

Tambah Kamilin ada banyak cara atau aktiviti lain yang boleh dilakukan seseorang Muslim untuk memupuk perpaduan atau mempamerkan keharmonian sesama rakyat.

Sebagai contoh, katanya, ia boleh dibuat melalui sifat ihsan, pelaksanaan keadilan dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

"Pemimpin Muslim dan umat Islam perlu peka dengan hal ini," katanya.

Sementara itu anggota Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Faiz Fadzil, meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menjelaskan hukum Najib berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar semalam.

Katanya Thaipusam dianggap perayaan keagamaan untuk agama Hindu, bukannya sambutan kebudayaan kaum India.

"Bagi umat Islam, kita memang menghormati amalan setiap agama, tetapi adakah kehadiran Najib sebagai seorang Muslim ke perayaan Thaipusam tersebut menyalahi hukum syarak?" katanya.

Sebagai menteri agama, kata Faiz, naib presiden PAS itu mempunyai autoriti untuk menjelaskan tanda tanya itu kerana sebelum ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menegah kunjungan ke rumah ibadat bukan Islam semasa perayaan agama.

"Perkara ini penting untuk dijelaskan oleh menteri agama supaya masyarakat Islam di negara ini tidak keliru," katanya.

-malaysiakini