Sabtu, 13 Julai 2024

Awas:Jangan imbas kod QR meragukan

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan supaya tidak mengimbas kod QR yang diragui asal-usulnya bagi mengelak menjadi mangsa penipuan khususnya penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata demikian susulan isu notis merah milik Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, notis merah yang ditularkan itu sememangnya tulen dan difahamkan pihak Air Selangor sudah menggunakan notis berkenaan pada meter air sejak tiga tahun lalu.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mengimbas mana-mana kod QR yang tidak dapat disahkan kesahihannya.

"Dalam isu (tular) ini, pelanggan yang tiada tunggakan bil dinasihatkan menghubungi terus syarikat air berkenaan sekiranya menerima notis pemotongan di meter air mereka," katanya hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Air Selangor hari ini mengesahkan label notis pemotongan bekalan air yang tular di laman sosial, diguna pakai oleh pihaknya.

Syarikat itu menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan, label notis itu digunakan untuk pelanggan yang mempunyai tunggakan bil.

Ia susulan penularan gambar notis merah Air Selangor di media sosial yang memaklumkan bekalan air di premis miliknya tiba-tiba dipotong.

Menerusi hantaran itu individu terbabit mendakwa kod QR itu adalah pautan kepada sebuah laman web Air Selangor yang didakwa palsu.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan