Bagan Serai: "Kami hanya harap bantuan bencana sahaja, jika tidak kami semua akan rugi."
Demikian jawapan Ketua Unit Peladang Parit Haji Ali, Muslan Napiah, 49, ketika ditanya berkaitan tanaman padi yang diusahakan yang kini kering kontang dan terbantut tumbesaran akibat kemarau.
Muslan berkata, sawah padi yang mereka usahakan kini berusia antara 14 hingga 30 hari, namun keadaannya seperti tanah kering yang merekah.
"Bekalan air dari Empangan Bukit Merah tidak mampu disalirkan ke terusan dan kini ia dihentikan untuk kegunaan pertanian.
"Boleh dikatakan, setiap hari kami guna pam sendiri untuk salirkan air ke petak sawah, namun ia kering semula," katanya ditemui di Parit Haji Ali, hari ini.
Menurutnya lagi, pelbagai usaha dibuat pihak berkaitan termasuk membekalkan pam bergerak ke kawasan tanaman padi, namun pam terbabit turut tidak mampu mengepam air ke sawah berikutan air parit juga menyusut.
"Kami amat berharap pembenihan awan segera dibuat, jika tidak pesawah akan rugi.
"Selain itu, pesawah amat mengharapkan kemarau ini dikategorikan dalam bantuan bencana bagi membolehkan pesawah menerima bantuan setimpal untuk membiayai pelbagai kos termasuk sewa," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak Datuk Sham Mat Sahat berkata, mesyuarat yang diadakan baru-baru ini bersama beberapa agensi berkaitan memutuskan yang pembenihan awan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memulihkan paras air di Empangan Bukit Merah.
Menurutnya, selain itu, beliau turut meminta pesawah mencarum dalam Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi membolehkan pesawah yang berdepan masalah padi, termasuk bencana alam yang menjejaskan tanaman, mendapat bantuan sepatutnya.
"Skim berkenaan belum lagi dilaksanakan dan dijangka dirasmikan pada Oktober ini.
"Bagaimanapun, apa yang berlaku pada hari ini di sini, akan turut diambil-kira," katanya.
Selasa lalu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian terpaksa menghentikan bekalan pengairan untuk kegunaan sektor pertanian disebabkan paras air di Empangan Bukit Merah menyusut kepada paras 6.096 meter.
Paras empangan itu yang menjadi sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian, terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping, semakin menyusut berpunca daripada cuaca panas.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan