"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Banjir. Papar semua catatan

Isnin, 25 Disember 2023

RANTAU PANJANG BAKAL TENGGELAM SERUPA 2014

Ketika catatan ini ditulis paras air Sungai Golok pada pukul 1.30 petang hari ini, mencatat bacaan 10.70 meter melebihi paras bahaya 9 meter dan menghampiri paras tertinggi banjir 2014 iaitu 10.84 meter, serta data JPS menunjukkan ‘trend’ semakin menaik.

Kalau 60 tahun dahulu fenomena banjir merupakan saat-saat yang dinantikan oleh saya dan rakan-rakan ketika zaman kanak-kanak, tetapi sekarang ianya lebih kepada malapetaka yang mengerikan.

Kejadian banjir yang berlaku di Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas semenjak dari dahulu sampai sekarang adalah disebabkan 3 faktor utama:

1. Limpahan air Sungai Golok mengalir sekitar Daerah Rantau Panjang.

2. Limpahan air Sungai Jedok mengalir ke Kemahang, Baroh Pial, Kubang Kual, Putat Tujuh, Kalbod 5, Pengkalan Teluk, Tersang, Sg. Lubok Jong dan Sungai Golok.

3. Limpahan air Sungai Jegor mengalir ke Klewek, Padang Siam, Danau Tok Uban, Sg Lubok Jong, Tersang, Sungai Golok.

Dahulu air secara semula jadinya boleh mengalir tanpa gangguan, seperti contoh air dari Kalbod 5, Pengkalan Teluk boleh masuk ke Sg. Tersang/Lubok Jong ke sebelah tebing Bukit Lata, Padang Pak Atah, Banggol Kong, Siram dan kawasan lain.

Begitu juga air Sg. Lubok Jong boleh mengalir ke Repek, Batu 5, Pohon Tanjung, Bakong, Meranti dan kawasan lain.


Pada 2018 projek fasa 1 yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (KESBAN) telah dibina dari muara Sungai Golok (Tak Bai) naik ke hulu sehingga ke Kg. Tersang dan melencung ke kiri sejauh 20 km ke Kg. Rengas berhampiran Kg. Chicha Tinggi di sepanjang tebing Sg. Lubok Jong.

Kesan daripada pembinaan ini kawasan bersebelahan benteng dilanda banjir teruk pada musim tengkujuh sepanjang laluan 14 km dari Lubok Jong ke Rantau Panjang.

Punca air daripada 2 buah sungai utama (Sungai Jedok dan Sungai Jegor) sebagaimana disebut di atas tidak dapat mengalir keluar ke Sg. Golok yang tinggi parasnya dan melimpah keluar menyebabkan berlakunya pertembungan air 3 sungai utama membentuk kolam takungan angkara tangan manusia itu sendiri.


Buktinya pada Disember 2022 laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang yang dibina sekitar 1980 buat kali pertamanya dalam sejarah telah terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih 3 meter (10 kaki) di Kalbod 5. 

Sepatutnya pembinaan benteng tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar tetapi ia adalah sebaliknya. Di mana silapnya? Liputan yang disiar oleh Malaysiagazette pada 16/1/2023 lepas ada kebenaranya.

 https://malaysiagazette.com/2023/01/16/binaan-benteng-punca-banjir-terburuk-di-pasir-mas-rantau-panjang/

Sumber

Jumaat, 22 September 2023

[VIDEO] Sembilan kampung termasuk Kampung Iboi dilanda banjir

 

Anggota APM melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Padang Setoi, Baling malam ini.

BALING – Sekurang-kurangnya sembilan kampung di daerah ini dilanda banjir akibat hujan lebat di kawasan tersebut pada petang ini.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Padang Setoi, Kampung Ulu Bakai, Kampung Seputeh, Kampung Malau, Kampung Lubuk Pedati, Kampung Binjul dan Kampung Sungai Tembak.

Kebanyakan rumah penduduk yang terjejas terletak berdekatan sungai.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan penduduk berhampiran.

“Hasil tinjauan dan pemantauan anggota APM di lapangan mendapati berlakunya banjir kilat di beberapa kampung. Air sungai naik terlalu cepat mengakibatkan rumah penduduk dinaiki air.

“Kita juga melakukan operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, air sungai mulai surut dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

“Keadaan cuaca masih hujan renyai di beberapa tempat dan paras air Sungai Ketil dan beberapa sungai lain juga dalam keadaan berjaga-jaga,” ujarnya.

APM menasihatkan orang ramai supaya peka dengan keadaan sekeliling dan menjaga keselamatan anak-anak serta keluarga selain bersedia untuk berpindah jika berlaku kenaikan air di kawasan rumah masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Khamis, 22 Disember 2022

Banjir:Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik

 Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik. “Keadaan al-Quran itu sedikit pun tak kena lumpur dan tak terbalik sedangkan air sangat deras hingga mesin basuh dan tong gas terbalik,” kata Zumigawati Mat Adam, 49.

Zumigawati yang tinggal di Kampung Tengkawang Kuala Berang, Terengganu berkata, rumahnya mulai dinaiki air kelmarin sebelum dia terkejut melihat al-Quran yang sering dibaca dan diletakkan atas tilam dalam bilik itu tidak terjejas.

“Setiap kali selepas solat, saya akan membaca al-Quran dan letak atas ‘toto’. Selalu tengok orang kongsi al-Quran selamat tak kena banjir, tapi kali ini terjadi kepada saya.

“Ketika melihat kejadian ini depan mata, tiada lain yang diungkapkan selain memuji kebesaran Allah SWT,” katanya kepada Harian Metro.

Keadaan al-Quran tak terjejas, sedangkan mesin basuh dan tong gas semua terbalik

Menurutnya, apa yang membuatkan dia terkejut juga apabila terdapat labah-labah pada rehal itu.
“Keadaan rumah saya penuh lumpur dan berselut. Kalau tengok bahagian dalam al-Quran hanya basah sikit tapi macam terkena air bersih.
“Bahagian atas al-Quran pula bersih dan sedikit lumpur pun tak ada, kemudian, ada labah-labah kecil betul-betul atas atas rehal. Saya teringat kisah labah-labah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW ketika dalam Gua Hira,” katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Zumigawati yang pernah terbabit dalam industri seni sebagai pekerja belakang tabir turut memohon sukarelawan bagi membantu membersihkan rumahnya yang habis ditenggelami banjir.

“Elektrik dah ada cuma air paip masih perlahan. Saya nak minta tolong sukarelawan datang di kampung saya bagi membantu pendudukan yang terjejas teruk akibat banjir ini.

“Pertama kali ruang tamu dan semua bilik dinaiki ini. Banjir tahun sebelum ini pun tidak seteruk sekarang.

Semuanya habis rosak kena lumpur banjir. Kalau ada yang nak menyumbang walau RM10 pun saya bersyukur dan boleh buat beli tikar baru,” katanya.

-selayangpandang.net

Jumaat, 29 Julai 2022

Hentikan segera operasi kolam takungan projek musang king di Gunung Inas, Baling

 

Keadaan Kampung Iboi yang dilanda banjir sekali lagi pada Khamis.( Gambar kecil dari kiri : Amat dan Abd Wahab )

BALING - Penduduk Kampung Iboi, Kupang di sini mendesak agar kolam takungan projek durian musang king di Gunung Inas dihentikan segera kerana khuatir tragedi kepala air berulang.

Mangsa banjir, Abd Wahab Samah, 71, berkata, selagi kolam takungan itu masih beroperasi, perasan bimbang, trauma dan takut sering menghantui penduduk.

Dia yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Padang Empang sejak Khamis berkata, setiap kali hujan lebat, penduduk menjangkakan paras air sungai melimpah disebabkan longgokan pasir kesan bencana dan kepala air 4 Julai lalu.

"Kami jadi macam orang gila, nampak sahaja air sungai melimpah, terus kemas dan angkut barang pindah ke tempat selamat.

"Nak selesaikan masalah ini dengan cara kolam takungan yang banyak atas gunung tu cepat-cepat roboh, sebab selama ini kami dah biasa hadap banjir tetapi tidak teruk.

"Sejak ada kolam takungan, berlaku kepala air. Kami risau air takungan tu bila-bila masa sahaja boleh melimpah dari atas dan menimpa perkampungan penduduk macam hari tu, bukan sahaja harta benda malah nyawa terkorban," katanya.

Seorang lagi mangsa, Amat Hassan, 68, berkata, dia tidak melupakan pengalaman ngeri berdepan detik cemas ketika air naik mendadak sehingga terpaksa menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung.

Menurutnya, banjir terbaharu pada Khamis menyebabkan penduduk bimbang dan cemas sekiranya kepala air berulang.

"Mula-mula hujan, air dah naik kemudian surut, lepas tu air naik lagi sekali. Bila tengok lain macam, kami dah tak berani tunggu lagi, lagipun pihak berkuasa memang minta semua berpindah.

"Kejadian hari tu lagi takut (4 Julai), kaki saya yang sedang berdiri dalam rumah turut bergoyang, cuba bayangkan betapa derasnya air ketika itu," katanya

Mangsa banjir, Mohd Dahari Abdul Latif, 64, pula mendakwa sekiranya kolam takungan seluas padang bola itu pecah, kemungkinan tragedi kepala air berulang lagi.

Kolam takungan didakwa dibina bagi tujuan pengairan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, Kupang Baling Kedah.

"Risaulah sebab kejadian awal bulan lalu saya hampir lemas ketika dihanyutkan air deras, mujur dapat menyelamatkan diri dengan memanjat pokok pinang setinggi kira-kira 15 meter dengan hanya berkain pelikat dan bertahan dalam kesejukan selama tiga jam sebelum diselamatkan," katanya.

Dalam kejadian terbaharu, Kampung Iboi yang dilanda banjir dan kepala air 4 Julai lalu ditenggelami air pada Khamis akibat banjir kilat.

Berdasarkan maklumat, sebanyak 75 buah rumah dari beberapa buah kampung melibatkan kira-kira 300 mangsa terjejas dengan 58 mangsa ditempatkan di PPS sejak malam Khamis.

-SH Online 

Jumaat, 31 Disember 2021

Banjir: Hulur bantuan dengan ikhlas, hindari menunjuk-nunjuk dirakam jurufoto – Khutbah Jumaat

UMAT Islam menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

 IPOH: Khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri ini hari ini menyentuh mengenai banjir teruk yang melanda beberapa negeri dengan menyifatkan ia sebagai musibah yang turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Allah.

Teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)  bertajuk ‘Musibah Banjir: Ujian dan Peringatan Ilahi’ mentakrifkan makna perkataan musibah yang berasal daripada bahasa Arab iaitu ‘asoba’ bermaksud menimpa atau membinasakan.

Menurut al-Quran, kata khutbah itu, musibah adalah bentuk ujian dan teguran dari Allah SWT  melalui bencana, kemarau, banjir, ribut, tanah runtuh, kehilangan harta dan pelbagai lagi.

“Musibah sebagai satu bentuk ujian yang ditimpakan kepada manusia agar manusia menginsafi kewujudan Allah SWT, bermakna musibah secara hakikatnya ialah ujian dan teguran Ilahi agar melahirkan keinsafan untuk mengembalikan manusia mengenali kebesaran Allah yang maha berkuasa.

“Khutbah mendoakan agar musibah banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di negara kita, turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri dan berani mengaku kesilapan-kesilapan yang mungkin telah kita lakukan atau kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita.

“Ketika diamanahkan tanggungjawab untuk mengurus bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai. Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang-orang yang tidak berdosa terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar pada masa akan datang,” kata khutbah berkenaan.

Khutbah juga menyentuh mengenai mangsa banjir yang kehilangan rumah, harta benda, sumber pendapatan, tanaman dan ternakan malah ada yang kehilangan nyawa serta ahli keluarga dan mendoakan mereka dikurniakan kesabaran, ketabahan, kegigihan dan kekuatan melalui detik-detik ujian yang berat.

“Melalui media terutama saluran media sosial kita dapat mengikuti pengalaman dahsyat dan ngeri yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir.

“Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa-mangsa banjir terutama orang-orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu yang berada dalam kesejukan di atas bumbung-bumbung bangunan sangat menyayat hati. Mangsa-mangsa banjir ini amat wajib dihulurkan pertolongan,” kata khutbah berkenaan.

Kandungan khutbah juga mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada masyarakat yang turun padang membantu mangsa banjir dan mereka yang telah memberi pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral.

Dalam masa yang sama, kandungan teks khutbah turut menasihatkan agar masyarakat menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana Allah SWT.

“Hindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakamkan oleh jurufoto dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian hingga mengakibatkan kita bakal tergelincir bersifat riak.

“Sedarilah Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat,” kata khutbah tersebut.

-Utusan Online

Khamis, 30 Disember 2021

Amaran hujan berterusan tahap bahaya di 8 negeri hingga Ahad ini - MetMalaysia

 

Keadaan air banjir yang mula naik di Taman SBJ Bandar Baru Pasir Pekan ekoran hujan berterusan dan lebat di negeri Kelantan bulan lalu. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di lapan buah negeri sehingga 2 Januari nanti.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan bagi negeri Kelantan iaitu melibatkan daerah Jeli sehingga esok.

“Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka melanda daerah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang sehingga 1 Januari.

“Keadaan sama juga diramalkan berlaku di Terengganu melibatkan daerah Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Manakala di Pahang, daerah Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan turut dikenakan amaran sama,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, MetMalaysia memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku 1 Januari 2022 di seluruh negeri Perlis.

“Keadaan sama juga dijangka berlaku di Kedah melibatkan Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

“Manakala cuaca sama juga boleh melanda daerah Hulu Perak di Perak,” ujarnya.

Sementara itu, keadaan tersebut juga diramalkan melanda beberapa daerah di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

“Manakala cuaca sama juga dijangka berlaku di Terengganu melibatkan daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang).

“Di Pahang juga, kawasan seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Rompin turut diberikan amaran tersebut. Amaran sama juga diberikan kepada keseluruhan negeri Johor,” tambahnya.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga 2 Januari 2022. – K! ONLINE.

Rabu, 29 Disember 2021

Banjir diramal di 4 negeri bermula Jumaat ini - PRABN

 

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meminta semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Jan.

PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.

Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.

Selain itu, banjir juga diramal berlaku di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah berkenaan.

“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.

Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.-FMT

Isnin, 27 Disember 2021

Rakyat jaga rakyat: Kerajaan kayangan susah turun ke bumi


Nafsu memuncak pemimpin kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan pangkat serta kedudukan sesama sendiri mengakibatkan nasib rakyat menjadi korban banjir teruk di beberapa negeri.

Kerakusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengekalkan dan memusatkan kuasa politik menyebabkan nyawa rakyat terancam. Amalan ini berterusan sejak ketika permulaan wabak Covid-19 sehingga bencana banjir.

Semakin ramai menteri, yang kini berjumlah lebih tujuh puluh orang, dan penasihat Perdana Menteri yang dilantik, semakin bercelaru dan tiada arah tuju kerajaan hari ini.

Pada awal lagi apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan berkaitan Mesyuarat Alam Sekitar Antarabangsa, yang Malaysia tidak terkesan sangat dari kesan Global Warming, masalah besar sudah patut dapat kita jangka.

Selepas itu ucapan beliau dalam bahasa Malaysia di acara Alam Sekitar peringkat dunia yang tidak mempunyai terjemahan untuk media antarabangsa, sekali lagi menunjukkan sikap tidak serius dan amat lemah Malaysia. Tidak ada sikap profesional dan malahan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan.

Ramai pemangku jawatan penting di lantik tanpa mengetahui apakah tugas mereka walaupun puluhan ribu gaji sebulan di bayar. Itu pun Perdana Menteri memberi markah ajaib 90 peratus atas “prestasi” mereka.

Pelantikan tersebut adalah semata mata sebagai ganjaran mengumpul kuasa serta wang orang politik tamak dan bukan untuk menjaga kebajikan rakyat yang makin susah.

Di tengah tengah berlaku banjir dahsyat di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri negeri melibatkan ratusan ribu rakyat, Umno dan Bersatu meneruskan majlis besar mesyuarat utama mereka di Lembah Kelang. Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuh pula meneruskan majlis besar besaran penerimaan ahli baru pada hari yang sama.

Hanya Parti AMANAH telah membatalkan Konvensyen mereka dan mengarahkan ahli jawatankuasa dan ahli keluar membantu rakyat walaupun belanja besar mesyuarat telah dibuat.

Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Abdul Latif Ahmad yang menerajui NADMA tidak bertindak seperti sepatutnya ke atas banjir teruk telah mendapat kecaman hebat dari rakyat.

Cubaan rakannya Wan Saiful dari Bersatu membela beliau telah mengundang tuduhan ‘bodoh’ dari Tan Sri Nazri Aziz dari Umno mendedahkan pertelingkahan dahsyat secara terbuka di antara parti-parti kerajaan sendiri.

Inilah kecelaruan menyedihkan anggota parti-parti kerajaan yang sibuk berebut jawatan dan kuasa serta gaji tinggi tanpa memikul atau memahami tanggungjawab sepatutnya.

Tidak wajar Malaysia mempunyai lebih dari 70 orang berstatus menteri dan timbalan menteri dan ramai penasihat berstatus menteri tetapi masih teraba-raba tidak mengetahui tugas atau rasa tanggungjawab terhadap rakyat yang menderita.

Kalau tidak kerana tindakan terpuji dan berani pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas tanpa menerima perintah dari kerajaan, bayangkan betapa lebih teruk lagi korban banjir ini.

Situasi pihak tentera berani “melanggar birokrasi” demi nyawa rakyat membayangkan betapa tidak upaya dan lemah serta lembabnya kerajaan Malaysia pimpinan Umno, Pas dan Bersatu ini. Tahniah kepada wira negara dari ATM.

Bandingkan yang berebut jawatan bergaji lumayan serta gila kuasa dengan sikap rasa prihatin anggota angkatan tentera yang bergaji rendah dan berkorban bertugas dihutan belantara yang mengambil inisiatif membantu rakyat sebelum diperintah oleh mereka yang berkuasa yang sibuk mengadakan mesyuarat tahunan parti politik masing masing di bangunan mewah sementara rakyat lemas dan menderita.

Apa jenis kerajaan kayangan yang kita miliki hari ini yang begitu buta hati dan membelakangkan nyawa rakyat di tengah-tengah kemewahan yang mereka membolot hadiahkan pada diri sendiri tampa rasa bersalah di tengah malapetaka menimpa rakyat.

Mana perginya Menteri Alam Sekitar dan Air yang menghilang diri di tengah-tengah kemusnahan dan penderitaan rakyat?

Mana suara para agamawan kerajaan Melayu Islam yang pandai menghukum atas musibah atas orang lain tetapi menjadi ulama bisu dalam situasi di hadapi kerajaan sendiri yang mengaku serba sempurna dan suci?

Sama ada berhadapan skandal wang besar atau malapetaka melibat nyawa rakyat, para agamawan diam membisu, terus tidak berperanan menjadi pasif menjaga kepentingan perut dan diri serta politik dan bukan menjalankan tanggungjawab dituntut Allah.

Allah membuka hati para anggota Tentera Malaysia yang bergaji rendah dan hidup dalam kesederhanaan untuk membantu rakyat menghadapi banjir.

Menteri menteri kerajaan yang berebut jawatan dan dalam segala kemewahan terus mabuk ibarat hidup di kayangan memandang rendah penderitaan rakyat tertutup hati peristiwa menghayat hati di depan mata.

Apa yang paling jelas rakyat kini lebih sedar rakyat berbilang kaum dan Agama memerlukan satu antara lain dalam saat dugaan bencana kerana Kerajaan yang bertopengkan diri kerajaan Melayu Islam hanya memperalatkan agama dan kaum untuk kepentingan politik semata mata dan tidak boleh di harap.

Sikap ditunjukkan kerajaan hari ini sebenarnya tidak Islamik kerana membelakangkan mereka yang lemah dan menderita.

Solidariti rakyat berbilang agama dan kaum di pusat perlindungan rumah ibadat Islam, Sikh, Kristian dan Buddha semasa bencana tanpa bantuan kerajaan ini patut sudah menyedarkan sifat palsu, hipokrit kerajaan hari ini yang bertopengkan agama.

 Bersatu berbagai agama dan kaum rakyat akan terus makmur dan selamat sementara muslihat kerajaan hari ini untuk terus pecah perintah “divide and rule” rakyat berbilang agama dan kaum adalah senjata politik mereka untuk terus berkuasa merompak kekayaan negara.

Musibah banjir ini menyampaikan mesej penting, berbeza agama dan kaum bukan menjadikan rakyat Malaysia saling bermusuhan, sebaliknya membuktikan mereka boleh bantu membantu secara muhibah untuk selamat bersama ‐ survive.

Musuh sebenar rakyat adalah kerajaan mabuk kuasa dan tamak memecahkan perpaduan rakyat supaya mereka terus berkuasa.

Apabila musibah banjir melanda, Ali, Ah Chong, Muthu dan Steven lah yang terdahulu sampai membantu sementara menteri sibuk bermesyuarat politik dan mengambil gambar di majlis pelancaran di bangunan bangunan mewah khusus bagi golongan kayangan. Lebih 24 jam baru tersentak dari mimpi kayangan mereka.

Semoga timbul kesedaran kita rakyat sendiri perlu jaga rakyat.

Orang kerajaan kayangan yang mulia mabuk kuasa dan wang susah nak turun ke bumi yang mereka pandang hina.-wrlr

Isnin, 23 November 2020

Bendang tenggelam hingga paras pinggang .

PARA pesawah menunjukkan bendang yang tenggelam sehingga paras pinggang di Kampung Oran, Mata Ayer, Perlis hari ini.- UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

ARAU : Tidak sampai dua bulan mengusahakan tanaman padi, kira-kira 100 pesawah dari Kampung Oran, Mata Ayer di sini berdepan dugaan besar apabila kawasan bendang seluas 81 hektar itu tenggelam sehingga paras pinggang berikutan air dari Sungai Ngulang yang terletak berhampiran melimpah masuk ke kawasan terbabit.

Pesawah mendakwa, kerja-kerja penyelenggaraan sungai tersebut menyebabkan sisa-sisa sampah tersangkut pada pintu tandop sekali gus menyebabkan air tersekat seterusnya melimpah masuk ke kawasan bendang berhampiran.

Berikutan itu, pesawah terbabit mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM500,000 selepas hasil tanaman mereka itu berkemungkinan musnah sepenuhnya.

Seorang pesawah, Zulhairi Mat Zain,48, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM48,000 selepas tanaman padi di kawasan seluas enam hektar miliknya itu ditenggelami air.

Lebih menyedihkan katanya, dalam musim ini sahaja sudah tiga kali kawasan sawahnya tenggelam bagaimanapun sebelum ini tanaman masih dapat diselamatkan.

“Rasa sedih sangat apabila pagi ini datang lihat kawasan sawah semuanya tenggelam. Hasil penat-lelah mengusahakan tanaman padi yang baharu masuk hari ke-45 musnah dalam sekelip mata sahaja.

“Sistem perparitan kurang memuaskan itu menyebabkan setiap kali hujan lebat padi di kawasan ini tenggelam. Pihak bertanggungjawab perlu melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pesawah, Azuzin Saad,58, berkata, kerja-kerja menyelenggara yang sedang dilakukan di sungai berhampiran menyebabkan sisa-sisa sampah, kayu dan sebagainya tersangkut pada pintu tandop.

“Apabila sangkut, air tidak dapat mengalir seterusnya melimpah ke kawasan bendang. Kami berserah pada takdir sama ada padi masih boleh diselamatkan atau sebaliknya,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM12,000.

Mohd. Asri Dali,52, pula berkata, luluh hatinya apabila melihat keseluruhan kawasan sawahnya tenggelam sewaktu datang untuk menyulam padi pada sebelah pagi ini.

“Padi ini baru diusahakan sejak 45 hari lalu dan kini semuanya tenggelam menyebabkan pesawah di sini terjejas teruk. Duit hasil padi yang diharapkan untuk membeli kelengkapan sekolah anak pada tahun depan nampaknya lenyap begitu sahaja,” kata bapa kepada empat orang anak itu. -UTUSAN ONLINE