Rabu, 18 November 2020

5 Sebab Kenapa Agong Terpaksa Isytihar Darurat Parlimen Batu Sapi kata Muhyiddin

 


PUTRAJAYA:
 Perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah adalah dilakukan atas beberapa faktor.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil iktibar penularan COVID-19 susulan Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, Jemaah Menteri berpandangan lebih elok sekiranya PRK Batu Sapi dielakkan.

Ini faktor-faktor yang mendorong kepada keputusan penangguhan PRK Batu Sapi:

1) Faktor ancaman terhadap kesihatan awam

Pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika COVID-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti.

Walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung.

2) Pihak SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya

Ini disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.

Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak COVID-19.

Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1% sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi.

3) Faktor pergerakan rentas daerah

Pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah.

Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan PRK Batu Sapi.

Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran. Daerah-daerah ini adalah daerah yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning.

4) Kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pengundi

Kebimbangan mengenai risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi.

Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan COVID-19 yang boleh membawa maut.
Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan.

5) Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk

Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan.

Pada masa ini pun, kesan ekonomi telah amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. Ada yang telah mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini.

Kerajaan sedang berusaha untuk mengawal penularan COVID 19 terutamanya di negeri Sabah yang pada masa ini telah menunjukkan tanda-tanda yang agak positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan.

Muhyiddin pada masa sama memberi jaminan bahawa sebaik pandemik COVID-19 kembali reda, Pilihan Raya Kecil itu akan diadakan dengan secepat mungkin.

Sumber-Astro Awani

0 ulasan:

Catat Ulasan