"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label MB Kedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MB Kedah. Papar semua catatan

Selasa, 28 Julai 2026

DOKUMEN TUNTUTAN PAJAKAN PULAU PINANG SUDAH LENGKAP, TUNGGU MASA SESUAI-MB KEDAH

 DOKUMEN TUNTUTAN PAJAKAN PULAU PINANG SUDAH LENGKAP, TUNGGU MASA SESUAI

Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengesahkan segala dokumen dan asas perundangan bagi menuntut semakan semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang telah lengkap disediakan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan tuntutan tersebut ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri optimis dengan hasil kajian yang dijalankan pasukan penyelidik dan perundangan selepas menemui pelbagai dokumen sejarah yang akan menjadi asas kepada tuntutan berkenaan.

“Dokumen semua sudah siap. Tunggu masa sesuai. Kita tak bolehlah dedahkan semua. Saya positif dengan apa yang kita usahakan ini.

“Ada beberapa kaedah, cuma belum boleh didedahkan lagi. Semua dokumen ada, jadi kita mempunyai asas untuk membawa isu ini ke peringkat seterusnya,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Podcast Bersama MB Kedah di portal Kedah Online, hari ini.

Menurut beliau, antara saluran yang sedang dipertimbangkan ialah tindakan melalui mahkamah, membawa perkara itu ke Majlis Raja-Raja serta rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

“Tuntutan kita berasaskan kepada isu yang masih belum diselesaikan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Hal ini tidak selesai kerana ketika itu keutamaan adalah mendapatkan kemerdekaan terlebih dahulu, kemudian barulah dirundingkan semula. Perkara itu turut direkodkan dalam Hansard dan selepas merdeka, isu ini terus senyap.

“Saya rasa sejarah ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan yang kita kemukakan hari ini,” katanya.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan masa terbaik untuk mengemukakan semua dokumen kerana bimbang ia ditolak mentah-mentah.

“Kalau kita tunggu lama sangat, orang kata kita main-main. Kalau buat sekarang pula, kita tahu apa nasibnya.

“Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini, sudah tentu mereka akan pertahankan Pulau Pinang kerana ia sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan mereka akan berusaha menolak tuntutan kita termasuk penemuan yang dibuat.

“Sebab itu kita tunggu keadaan yang lebih neutral sebelum mengemukakan semuanya,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian yang disediakan pasukan penyelidik dan perundangan yang dibentangkan kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menyatakan berpuas hati dengan pendekatan dicadangkan.

Sanusi turut memaklumkan, Kedah pernah menuntut supaya kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dinilai semula kerana nilainya tidak pernah disemak sejak 1786.

Katanya, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau pernah mencadangkan supaya kadar bayaran pajakan tahunan dinaikkan kepada RM300 juta.

“Ketika itu, Kerajaan Persekutuan dan negeri selari bawah Perikatan Nasional (PN). Saya mula bangkitkan isu ini kepada beliau, saya mahu isu Pulau Pinang diselesaikan. Pada masa itu saya sebut RM300 juta sebagai bayaran tahunan. 

“Kalau benar ia pajakan, bayarlah harga yang sepatutnya. Itu sahaja kesimpulannya,” katanya.

Bagaimanapun Sanusi kesal apabila ada pihak yang memainkan naratif kononnya Kedah mahu memperoleh duit percuma, sedangkan ini hak negeri yang perlu dibayar mengikut nilai pajakan yang sewajarnya.

“Dimainkan naratif konon Kedah mahu duit percuma, kerja malas, usaha tak mahu. Itulah persepsi yang cuba dimainkan pihak tertentu,” katanya.

Menurut beliau, bayaran pajakan itu merupakan tanggungan Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kewajipan Persekutuan terhadap perjanjian atau triti yang mengikat negeri-negeri sebelum merdeka.

“Kadar bayaran itu bermula pada nilai RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula selepas itu.

“Tahun depan genap 70 tahun, tetapi tidak pernah dibincangkan semula. Kenapa dibiarkan? Sebab tidak ada orang mahu bercakap mengenainya.

“Sebelum ini Menteri Besar dengan Perdana Menteri dari parti sama, mungkin mereka takut hilang jawatan jika bersuara. Rahmat parti tak sama, saya boleh bersuara bagi pihak negeri saya, sekurang-kurangnya orang tahu apa sebenarnya terjadi, apa yang tak selesai sebab saya tidak dikongkong,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, hasil penelitian terhadap dokumen berusia lebih 200 tahun menunjukkan terdapat fakta sejarah yang selama ini tidak diketengahkan berkaitan status Pulau Pinang.

“British menipu Sultan Kedah pada masa lalu. Penipuan itu menguntungkan British dan merugikan kita, akhirnya manfaat tersebut diwariskan kepada pihak lain.

“British tidak mempunyai hak pemilikan ke atas Pulau Pinang. Persoalannya, bagaimana pihak yang tidak mempunyai hak milik boleh menyerahkan wilayah itu kepada pihak lain sehingga menjadi sebuah negeri seperti hari ini.

“Semangat saya berkobar-kobar untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#mbkedah

Source 

Isnin, 10 November 2025

30 isi utama bagi Bajet Kedah 2026 yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah.

 30 isi utama bagi Bajet Kedah 2026 yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Kedah.

1. Tema Bajet 2026: “E.R.A.T SEJAHTERA” dengan komitmen memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat, melestarikan alam dan menambah baik tadbir urus.

2. Anggaran keseluruhan bajet RM1.33 bilion, dengan hasil negeri RM838 juta (naik RM48 juta).

3. Prestasi kewangan cemerlang 2024: Kutipan hasil RM769.53 juta (102.88% daripada sasaran) dengan lebihan RM11.16 juta.

4. Ekonomi Kedah berkembang 4.2% pada 2024 dengan KDNK RM54 bilion.

5. Pelaburan 2025 mencecah RM7.94 bilion, menjadikan Kedah negeri ke-4 tertinggi di Malaysia.

6. Projek KXP diteruskan, 6 daripada 8 syarat MPFN telah dilaksana; hanya menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi NASP & AOL.

7. The Greater Kedah 2050: 16 KPI capai 80% sasaran, pemacu utama pembangunan negeri.

8. Pembangunan REE Kedah: rizab 1.196 juta tan, hasil 250,000 tan dalam 10 tahun. Royalti ditetapkan 15%.

9. Kedah kekal Jelapang Padi Malaysia, menyumbang 43% bekalan beras negara; RM1.6 juta diperuntukkan bagi program Sawah Gemilang.

10. Projek Bekalan Air RM242 juta termasuk naik taraf LRA Pelubang dan paip dasar laut ke Langkawi.

11. RM305 juta untuk penyelenggaraan jalan (MARRIS) dan pembinaan jambatan baru seperti Jambatan Sg. Pendang & Sg. Getah.

12. Program Desa Sejahtera diperluas ke semua daerah; RM2 juta disediakan untuk rumah dan hak milik rakyat.

13. Bantuan rakyat RM25 juta sebulan, dengan tambahan RM16.6 juta kepada semua ADUN termasuk pembangkang.

14. Inisiatif i-Kafalah: RM4 juta diperuntukkan dengab bantuan RM500 kepada keluarga B40 bagi urusan kematian.

15. Program Bantuan Pesakit Terlantar & Kesihatan: RM2.65 juta disediakan, termasuk Bantuan Katil & Kerusi Roda.

16. Pendidikan Islam diperkasa: RM42 juta kepada Maktab Mahmud, RM26.8 juta kepada SMA, Tadika Islam & KAFA.

17. UniSHAMS bakal bina Kolej Kediaman bernilai RM65 juta dan Smart Islamic Complex bernilai RM15 juta.

18. Tabung Tunku Mahmud bantu 4,884 pelajar dengan agihan RM7.17 juta.

19. Sumbangan RM300 ribu kepada SJK Cina & Tamil – simbol semangat Kedah untuk semua.

20. RM200 ribu diluluskan bagi program Kad Siswa Kedah yang akan memberi perlindungan insurans (PA) dan diskaun di premis perniagaan terpilih.

21. RM9.1 juta untuk Pembaikan Rumah Keluarga Miskin, meningkat RM2.1 juta berbanding tahun lalu.

22. Experience Kedah 2026: RM3.2 juta disediakan untuk promosi pelancongan antarabangsa & RM5.89 juta untuk menaik taraf kemudahan.

23. Atlet Kedah terus cemerlang dengan Pearly Tan, Sivasangari & Nurul Izzah disenarai Road to Gold Olimpik 2028.

24. RM10 juta disediakan untuk SUKMA 2026 dan Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah 2035 (KF35).

25. Bantuan Khas Penjawat Awam RM2,000 akan dibayar Januari & Mac 2026 – melibatkan RM10 juta.

26. RM14.17 juta untuk pemuliharaan biodiversiti (EFT) dan program tanam 2.2 juta pokok di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

27. RM3.6 juta kesiapsiagaan banjir & RM1 juta pasca banjir termasuk sistem pemantauan dan tebatan.

28. RM13.84 juta untuk MKK & Penghulu termasuk tambahan kepada MKK Kampung Baru dan Tok Batin.

29. RM8.26 juta untuk digitalisasi kerajaan negeri, termasuk dron dan sistem maklumat terkini.

30. Kedah terus tegas pertahan hak negeri termasuk isu REE, Sungai Muda & Pajakan Pulau Pinang di bawah semangat federalisme adil.

Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua

Source 

Khamis, 15 Ogos 2024

Secebis kisah YAB Sanusi bersama ibunya

 YAB DS SANUSI DAN IBUNYA

Coretan 

YB Afnan Hamimi Taib Azamudden

Cium tangan ibu. Itulah perkara paling awal yang dibuat oleh DS Sanusi selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15, pada 17 Mei 2020. 

Usai majlis angkat sumpah di Wisma Darul Aman, kenderaan rasmi MB terus bergerak menuju ke Kompleks PAS Kedah. Di situ, ratusan orang sedang menanti kehadiran DS Sanusi. 

Dalam ratusan orang yang menanti itu, ada dua orang manusia yang paling istimewa sedang menunggu, iaitu bonda dan ayahnda kepada DS Sanusi. 

Sekitar jam 5.20 petang, kenderaan rasmi yang membasa DS Sanusi tiba di Kompleks PAS Kedah. Sejurus beliau keluar dari kereta, beliau terus segera menuju kepada dua insan penting yang sudah siap menunggu di atas kerusi, di ruang lobi Kompleks PAS Kedah. 

Beliau duduk tunduk mengucup tangan bondanya. Itulah tugas awal yang dilaksanakan oleh seorang Menteri Besar, mencium tangan ibu, memohon restu dan doa. Doa seorang ibu kepada seorang anak yang telah diangkat Allah mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. 

__________

Dalam satu babak yang lain, ada Majlis Solat Hajat dan Solidariti untuk MB Sanusi di Dewan Al-Hana, Sik. Majlis itu diadakan sejurus setelah DS Sanusi ditangkap dan didakwa di mahkamah, ketika musim kempen Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 yang lalu. 

Ribuan manusia hadir pada malam itu untuk menunjukkan sokongan kepada DS Sanusi, termasuklah bondanya. 

Di dalam ucapan, kebiasaannya nama yang akan disebut di dalam senarai salutasi majlis ialah nama pimpinan atau kenamaan yang paling kanan yang hadir di dalam majlis berkenaan. Tetapi malam itu DS Sanusi sebut nama ibunya terlebih dahulu, selepas memberikan salam. Selepas nama ibu, barulah nama YB DS Tuan Ibrahim Tuan Man disebut, pimpinan PAS paling kanan yang hadir pada malam itu. 

Satu perkara yang jarang dilihat berlaku di dalam mana-mana majlis rasmi peringkat parti yang seumpama itu, namun ia dilakukan oleh DS Sanusi. Ibunya adalah manusia paling tinggi yang hadir di dalam majlis malam itu. 

__________

Pernah satu ketika, DS Sanusi 'hilang' dari kediaman rasminya di Seri Mentaloon. Kakitangan di kediaman rasmi tidak tahu di mana DS Sanusi berada. Kenderaan rasmi ada. Tapi kenderaan peribadinya tiada. 

Waktu itu sekitar jam 11 malam. Saya hubungi DS Sanusi bertanya lokasinya. Setelah dikesan, rupa-rupanya DS Sanusi berada di hospital KMC (Kedah Medical Centre), menguruskan ibunya untuk masuk dalam wad, kerana mengalami sakit dalam perut. 

Rupa-rupanya sudah hampir satu hari suntuk ibunya menahan sakit. Maka ibunya dibawa dari Sungai Pau, Sik, ke Alor Setar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital. 

Padanlah hari berkenaan wajah DS Sanusi tidak begitu ceria. Di dalam kepalanya ada perkara penting yang merungsingkan fikiran, kesihatan ibunya. 

Sekitar jam 1 pagi, setelah selesai ibunya dimasukkan dalam wad dan diberi rawatan awal, barulah DS Sanusi beredar balik ke rumah. 

Itulah DS Sanusi. Walaupun amat sibuk dengan tugasan harian mentadbir Negeri, namun beliau tidak pernah meninggalkan tugas utama sebagai seorang anak. 

___________

Hari Isnin 12 Ogos 2024, bonda DS Sanusi teringin nak makan durian Batu Kurau. Walaupun bonda sebenarnya tak berapa sihat dan tak berapa boleh makan durian, namun oleh kerana hajat seorang ibu, maka abang kepada DS Sanusi pergi ke Batu Kurau Perak mencari buah durian yang diidamkan oleh bondanya. 

Selepas Asar hari Isnin, dipanggil saudara mara anak beranak balik berkumpul di Kg Sg Pau. Balik makan durian. Diceritakan, bonda DS Sanusi tak makan pun. Tetapi seronok melihat anak cucu menantu semua balik berkumpul. 

Rupa-rupanya, itulah majlis berkumpul yang terakhir untuk mereka. 

Selepas solat Maghrib hari yang sama, bonda DS Sanusi rebah di pintu bilik. Sempat dipapah oleh salah seorang ahli keluarga yang ada. 

Ketika itu, bonda masih sedar, tapi dilihat seperti sangat letih. Menggagahi dirinya untuk bercakap menjawab soalan anak yang memangkunya. 

Ambulans dipanggil dan dibawa ke Hospital Sik. Setelah diperiksa oleh Pegawai Perubatan bertugas, keputusan dibuat untuk menghantar bonda ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bonda disahkan mengalami serangan stroke. Sebelum dibawa ambulans, bonda ditidurkan terlebih dahulu. 

Tiba di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, terus dimasukkan ke ICU. Segala alat dan mesin sokongan dipasangkan. Ubat yang sesuai diberikan segera. 

Hari Selasa 13 Ogos 2024, keadaan kesihatan bonda DS Sanusi semakin merosot. Hampir semua ahli keluarga berkumpul di hospital, membacakan Surah Yasin dan mendoakan. Ketika ini, DS Sanusi beritahu bacaan nadi bondanya sudah semakin lemah dan menurun. Hanya bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan pernafasan. 

Hari Rabu, 14 Ogos 2024, semua peringkat parti diarahkan mengadakan solat hajat kepada bonda DS Sanusi. Lewat petang hari Rabu, dimaklumkan bahawa segala ubat yang diberikan kepada bonda telah dihentikan. Ahli keluarga telah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. 

Hari Khamis, 15 Ogos 2024, jam 9.40 pagi, bonda DS Sanusi telah pergi meninggalkan alam dunia ini buat selama-lamanya. 

__________

Begitulah sedikit coretan yang sempat diingat mengenai DS Sanusi dan ibunya. Ibunya menjadi orang paling penting dalam hidup DS Sanusi, kini telah kembali mengadap Allah buat selama-lamanya. 

Semoga DS Sanusi sekeluarga bertabah atas pemergian ini. Seluruh Negeri Kedah dan rakyat Malaysia berduka atas kehilangan ini. 

Maaf kerana tidak dapat bersama di dalam perjalanan terakhir bonda hari ini, kerana masih melaksanakan tugas di Nenggiri yang belum selesai. 

Moga Allah mengampuni almarhumah bonda, menempatkannya dalam kalangan para salafussoleh dan dimasukkan di dalam syurgaNya. Ameen. 

Afnan Hamimi

15 Ogos 2024

Nenggiri, Gua Musang

Source 

Selasa, 9 Julai 2024

Mahkamah batal keputusan k'jaan Kedah haramkan kedai judi

 malaysiakini.com

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jul 9, 2024 
Beberapa kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang mereka untuk mengubah tindakan kerajaan Kedah yang mengharamkan mereka di negeri itu.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada berbilang pengendali perjudian yang menyasarkan keputusan pentadbiran Kedah.

Bagaimanapun, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Nov 2022, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Dia berkata langkah itu bertujuan menangani gejala sosial yang berpunca daripada perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.

Pada 1 Jan tahun lepas, keputusan itu berkuat kuasa menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Menurut salah satu permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SM Lottery Sdn Bhd, pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar perlembagaan.

Kedai judi itu mendakwa keputusan pentadbiran Kedah gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri itu dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan di Kedah.

Kedai judi itu juga berpendapat Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan mengenai perjudian.

Bukan sahaja kerajaan Kedah dan Sanusi, malah pelbagai majlis daerah seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Baling dinamakan sebagai responden yang disasarkan oleh tindakan undang-undang itu.

[Baca berita asal]

-Wak Labu Farm 

Ahad, 12 Mei 2024

'Harum Manis Perlis tiada tandingan, Sanusi jangan berangan'

 SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

SHUKRI dan buah Mangga Harum Manis Perlis. FOTO Aizat Sharif

Kangar: Reputasi Perlis sebagai pengeluar buah mangga Harum Manis utama di negara ini sukar digugat oleh mana-mana negeri termasuk Kedah meskipun negeri jiran itu sudah mulai cuba mengeluarkan buah berkenaan untuk pasaran negara ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, meskipun ada kenyataan daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa mangga Harum Manis dari negeri itu mula meraih perhatian, namun Harum Manis Perlis tetap menjadi pilihan utama di negara ini.

Saya ingat Datuk Seri Sanusi ini berangan, mangga Harum Manis Perlis tidak akan boleh ditandingi mangga mana-mana negeri pun, insya -Allah kerana dia mempunyai rasa tersendiri.

Selain itu, cuaca dan tanah di Perlis juga amat sesuai untuk penanaman mangga jenis ini berbanding di tempat lain.

"Jadi apabila (Datuk Seri) Sanusi mengatakan mangga Harum Manis dari negerinya sudah jauh meninggalkan mangga Harum Manis Perlis hingga 80 tiang atau berapa puluh tiang sekalipun, saya rasa itu angan-angan beliau sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pejabat Menteri Besar, Pejabat Speaker dan Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, semalam.

Pada 5 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilapor berkata, Kedah yakin akan dapat menjadi pengeluar utama mangga Harum Manis di negara ini selepas usaha meluaskan tanaman buah itu giat dilaksanakan.

Malah, mangga Harum Manis Kedah yang dijenamakan sebagai Harumanis D'Aman kini sudah mula meraih perhatian dan jauh lebih popular berbanding HarumManis negeri lain walaupun baru dilancarkan tahun lalu.

Mohd Shukri berkata, perbezaan yang ketara yang terdapat pada mangga Harum Manis Perlis adalah dari segi ketahanan buah berkenaan yang mampu ditanam ketika cuaca panas yang sering berlaku di Perlis.

"Harum Manis Perlis biasanya manis dan berbau harum, paling penting sesiapa yang cuba membawa balik benih mangga untuk ditanam di negeri lain, rasa manis dan keharuman tidak sama dengan di sini.

"Ini disebabkan kawasan muka bumi Perlis ini yang berbukit dan cuacanya lebih kering jadi kita melihat ini sebagai anugerah Allah tidak terhingga di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis, Razali Saad berkata, kapasiti penanaman Harum Manis Perlis sudah mencecah 1,700 hektar, berbanding sekitar 100 hektar sahaja di Kedah.

-myMetro

Ahad, 31 Mac 2024

‘Walau di sisi tuhan sah, daftarlah’, MB Kedah beritahu pusat tahfiz

 Ketika ini terdapat 107 madrasah dan sekolah pondok termasuk 70 maahad tahfiz tidak berdaftar di Kedah.

Menteri Besar Sanusi Nor berucap pada majlis berbuka puasa bersama pengetua dan mudir sekolah agama Kedah.

PETALING JAYA: Menteri Besar Sanusi Nor menggesa semua pusat tahfiz tidak berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berbuat demikian bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Katanya, ketika ini terdapat 107 madrasah dan sekolah pondok termasuk 70 maahad tahfiz tidak berdaftar di negeri itu.

“Walaupun kita sedar ada isu menjadi halangan, bukan sebab sengaja mereka tidak mahu mendaftar tapi perkara ini penting bagi membolehkan sekolah agama dan maahad tahfiz beroperasi secara sah di sisi undang-undang.

“Walaupun di sisi tuhan sah dah, tapi di sisi undang-undang tu nak kena proses (daftar) bagi betul,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pengetua dan mudir sekolah agama Kedah.

Sanusi berkata, jika pusat tahfiz tidak mendaftar maka pelbagai masalah akan timbul dengan mengambil contoh berlaku kebakaran yang melibatkan kematian.

“Kalau terbakar tak mati tak apa, kalau mati seorang dia (warganet) riuh, dia kata kita macam-macam (sampaikan) tok guru tak boleh tidur, ustaz tak boleh lena kerana netizen belasah bab aspek keselamatan tidak dititikberatkan…termasuk MB pun kena, walaupun dia tak tahu apa-apa.

“Jadi (pusat tahfiz) kena ikhtiar bagi lepas (daftar),” katanya.-FMT

Isnin, 8 Januari 2024

Apa MB Kedah dah buat untuk kemajuan negeri Kedah?

 


1. Tuan Guru Presiden PAS nasihatkan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk jadi diri sendiri. Maka beliau jadi diri sendiri.

2. Menjadi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, bercakap dalam bahasa rakyat dan bekerja untuk rakyat.

3. Walau PH-BN cuba memburukkan namanya, mereka tetap tidak dapat menafikan kemampuan beliau sebagai pemimpin. 

4. KDYMM Sultan sendiri memuji pentadbiran beliau. Hangpa nak tara mana lagi?

5. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Sanusi, 

i) Keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah bertambah 101 hektar dalam tempoh 3 tahun iaitu daripada 721,803 hektar pada 2020 menjadi 721,905 hektar pada 2022.

ii) 7,233 geran tanah yang tertangguh lebih 30 tahun akhirnya diluluskan dan dapat dimiliki rakyat.

iii) RM91.4 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk dan membuka 19,568 peluang pekerjaan

iv) Menghapuskan premis judi

v) Lunas RM121.9 juta hutang SADA yang ditinggalkan kerajaan PH daripada RM148 juta kini berbaki RM6.7 juta sahaja.

vi) Menggerakkan pembangunan projek-projek mega seperti Kedah Aerotropolis yang mempunyai nilai besar 

6. Mungkin MB Kedah tidak pandai berpidato dengan perkataan bombastik yang mengindahkan penipuan seperti Perdana Menteri Malaysia ke-10.

7. Ucapan MB Kedah lebih ringkas dan jelas. Senang difahami dan boleh dipercayai.

8. Ketika beliau kata PN akan menang 33 kerusi DUN di Kedah, PN betul-betul menang 33 kerusi.

9. Ketika beliau mengutarakan perancangan The Greater Kedah, beliau usahakan sepenuh hati.

10. Sekarang apabila beliau kata kerajaan akan tumbang, habis semua pemimpin PH-BN panas punggung sehingga menyerang peribadi beliau.

11. MB Kedah tenang sahaja melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan caranya.

12. Fokus beliau adalah untuk merealisasikan gagasan “Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti” serta menuju misi “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” menjelang tahun 2035. 

13. Dibiarkan sahaja puak PH-BN yang hanya banyak bercakap, tidak bekerja.

14. Tahniah rakyat Kedah kerana telah memilih pemimpin yang tepat.

USTAZ NASRUN OTHMAN

Ketua Pemuda PAS Kedah

8 Januari 2024


#AdilPrihatinBerkebajikan

Ahad, 20 Ogos 2023

The Untold Story-MB Sanusi:ABANG BUDIN RAJA SUNGAI

 Cerita SANUSI

ABANG BUDIN RAJA SUNGAI 

Lagenda Budak Seluar Lipat (lipat kemedian selik boh dipinggang nu..)


Ini budak seluar lipat, kakak sulungku menggelarkannya begitu kepada adiknya yang lahir sebagai anak kedua Mereka berdua sangat akrab sebagai kakak dan adik. 

Rupanya sewaktu kecil dahulu dek kerana kemiskinan dia hanya mampu memakai seluar tanpa kancing. Tiada kancing no problem, lipat kemudian selit saja macam pakai kain batik. 

Dengan berseluar begitu pun, budak seluar lipat tetap lincah. Seluar itu tidak pernah melurut biar pun dipakai ketika memanjat pokok pinang. Dari sebatang pokok pinang ke pokok pinang yang lain budak seluar lipat ini hanya perlu melompat sahaja, tidak perlu turun kebawah dan memanjat semula. Tidak pula terbogel dia disitu.

Menghabiskan zaman dan usia kanak-kanak dengan berbakti kepada emak dan bapakku sehinggakan melebihi kemampuan sebenar seorang kanak-kanak seusianya. Emak ketika bercerita tentang budak seluar lipat pasti mengalir air matanya. 

Kebolehan menyelam budak seluar lipat mungkin bermula ketika itu, bilamana dia merajai sungai dan lubuk. Habis semua lubuk ikan dijarahnya. Sumber protein yang tinggi ini telah mengisi perut seisi keluarga  lantas menghasilkan manusia yang pintar dan sihat tubuh badan. 

Biarpun miskin masalah kebutuhan gizi diselesaikan dengan sumber alam yang ada antaranya buah petai, hahaha super food. Kalau tidak masakan harganya mahal kan?

Perjalan hijrah budak seluar lipat meninggalkan kampung diusia teramat muda telah membuka lembaran baru buat budak seluar lipat, menumpang tidur di rumah seorang tauke cina berhati mulia membuatkan emak menangis tidak tidur malam taku-takut anaknya dijamu dengan daging babi, menaiki keretapi ke Lumut. 

Bermusafir tanpa bekalan hanya beban kemiskinan sebagai teman. Tidaklah itu menjadi halangan, maklumlah hero kan.

Aku dan adik- adik mula belajar menggosok gigi dan punyai berus gigi yang pertama dibawa ia pulang sebagai buah tangan oleh budak seluar lipat. Belajar sambil mandi manda di sungai. Habislah aku dan adik-adik di suruh belajar berenang. 

Aku sewaktu kecil tidak banyak masa bersama budak seluar lipat. Tapi aku sangat mengingati baunya. Suatu malam, ketika aku dan adik-adik asyik mengaji di atas rumah, aku mencium aroma yang amat ku kenali dan rindui ketika itu. Bacaan terhenti, " wehhh abg Budin balik" berlari kami semua turun kebawah. Tepat! Abg Budin balik, bersamanya ole-ole yang masih ku ingat sehingga kini, sebuah Muqaddam setiap seorang. Itulah ole-ole yang melambangkan siapakah dia abg Budin, budak seluar lipat. 

Alhamdulillah Tauhid yang bapakku tanamkan pada budak seluar lipat tumbuh elok didadanya. Merantau keseluruh ceruk dunia dan bergaul dengan pelbagai bangsa manusia tidak mematikan benih taudid yang talah bapakku semai sedalam dalamnya.


Nurkilan 

Dato'Seri Muhammad Sanusi Md Nor

The Untold Story:Kisah MB SANUSI-Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak

 Kisah MB SANUSI

Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak


Pagi tu Pak bersiap awal. Parang dengan tali sudah di tangan... “Shi! Shi! Jik! Bakek! Jom ikut aku gi bukit." Pak mengejutkan kami sambil menyarungkan bajunya.  

"Bangat laa!.. matahari nak nek dah nuu.. satgi sape sayok, nak kelek pukol bropa." 

Aku mengeliat sambil menahan liur basi dalam rongga mulut, takut tertumpah ke bantal. "Laaa bangat laa... gi basoh muka. Pakey seluar panjang. Roto-roti pong habih dah. Kelek satgi la kita makan kot kedei Mat"

Aku bingkas duduk, menggenyeh mata, kain gebar yang malam tadi berkongsi dengan Ajik dan Adi, dapat kat Ajik semua, dia tarik kat dia sorang. 

“Woi! Jik, jom, Pak hajak gi cari petey”! Aku kejutkan Ajik, air liur basi bertakung di bawah lidah.

Pak ikat tali nilon warna biru bergulung-gulung di pinggang. Baju kemeja yang sudah hilang warna, hanya  tinggal dua butang di tengah sudah membungkus tubuhnya. Parang berhulu kayu kopi, Pak selit antara peti rantai dengan semanggang. Kami sudah atas pelantar gerek yang Pak tambah dua batang kayu terjongket di belakang. Nanti nak letak petai senang.

Pak pusing pedal pengayuh ke belakang... Ppraaappp!! rantai bergeser dengan peti yang menutupnya. Sebelah kakinya atas pedal, sebelah kaki menujah tanah, gerek meluncur menuruni gon depan rumah. Gerek tua bergalang dua tu Pak beli daripada Usin gagap dengan harga $60. Gerek itu menabur jasa sehingga tersandar di dinding belakang rumah. Pak jual bangkainya di Batu Lima. 

Kayuhan Pak laju, mengejar matahari yang semakin mula menyinsing. Ada irama kayuhan Pak yang menemani kesejukan pagi itu. Pak berdiri sambil mengayuh bila sampai di gon depan rumah Kholed Bedah, gon itu tinggi dan lanjut, selekohnya tajam, kiri kanannya gaung, beberapa buah kereta pernah terjunam ke semak samun dibawah tebing. Di belakang telinga Pak, peluh sudah meleleh. Bau keringat Pak sekuat kasih sayangnya kepada anak-anak.

Pak membelok ke jalan kolam, batu yang menonjol atas muka jalan menujah melambung gerek tua Pak, punggung di atas pelantar terhentak terhempas , gerek yang hanya berirama perlahan di atas jalan raya tadi kini hingar bingar. Semua sendinya longgar dan bergegar.

Pak sandarkan gerek di perdu cempedak dalam tanah yang dipugar orang-orang siam. Lalang dan pokok kapal terbang yang tumbuh bebas di sekeliling, masih basah disiram embun. Matahari mula menyuluh, kabus tebal menyelubungi bukit belantara sayup-sayup berbalam di depan, warna putihnya terserlah disimbah sinar mentari, mawa dan lotong di bukit mula menyanyi.

Perjalanan menyusur denai belukar di tanah rata itu membasahkan seluar baju, meranduk embun di hujung dedaun, sesekali Pak mendengus sambil asap rokok daunnya menggulung pecah membelah dedaun lalang yang tegak hijau dan tunduk separa kering.

Laluan mula menempuh alur charok dari bukit sebelum memasuki kawasan yang Pak namakan Charok Air (A) Merah. Pak mendahului kami melangkah alur, dua tiga kali kami melompat berpaut pada batang anak-anak kayu sebesar lengan.

Air charok jernih tapi nampak seperti keruh dek lumut-lumut dan daun kayu yang perang- kuning mendap di dasarnya. Sesekali anak katak menujah arus, lelabah berkaki panjang merayap laju di permukaan. Kami terus mendaki bongkah-bongkah batu besar berlumut hijau.

Nyanyian burung, mawa dan lutong - bersipongang

Bunyi nyaring lolongan mawa, kera dan lotong bersahutan berulang-ulang, bergema saling memantul, membelah dan mencelah batang pokok dan bungkah batu, menyapa dedaun, menuruni lembah mendaki puncak, (Mungkin irama inilah yang SN Dato’ Shahnon Ahmad namakan 'bersipongang') seperti menyambut kami datang. 

Di atas kepala sepasang burung enggang melintas dengan suara nyaring… kuang! Kuang! kuang!..kepalanya berjambul, paruhnya besar berbonggol, kakinya melunjur ke belakang, kepaknya lebar berbulu hitam, seekor di depan seekor di belakang, laju, makin sayup dan hilang. 

Pak berhenti di perdu pokok petai besar, sebesar tiga atau empat pemeluknya. Mendongak sambil menepuk batangnya. "Tua dah! Moha tungu sini, aku nak cari galah". Kata Pak. 

Aku dan Ajik melabuh punggung atas batu besar, di sebelah kanan tebing curam, berbatu bongkah besar, licin berlumut hijau. Dibawahnya ada larian air yang laju di celah-celah batu menuruni permukaan curam, jernih, sejuk, taat menuruti hukum alam.

Galah dan sigai

Pak muncul dari celah anak-anak pokok dengan sebatang buluh panjang, siap diberkas 'rawit' cabang kayu dihujungnya, aku mengetuk anak-anak batu, berhibur dengan bunyi yang memantul-mantul meluru di celah-celah pokok. Ajik mengibas nyamuk, mukanya merah basah berpeluh.

Pak memanjat pokok berdaun lebar berbatang merah empat lima depa dari perdu petai. Galah bersandar menjulang, di tangan Pak segulung rotan, dipinggangnya gulungan tali yang terbuai terhayun. Pokok batang merah mula condong ke arah pokok petai, rotan pak melingkari batang kedua- dua pokok, semakin ditarik semakin dekat dan bercantum. Pokok batang merah itu kini menjadi sigai.

Sukar untuk diceritakan bagaimana Pak mampu memaut, mencondong dan mencantum dua pokok sebesar itu dengan seutas rotan, tekniknya luar biasa. Dalam kehairanan itu, Pak sudah mencapai celah dahan pertama pokok petai tinggi menyayup itu. 

Bayang pokok petai dan pokok-pokok di sekeliling bawahnya menjadikan naungannya redup dan gelap. Hanya beberapa celah antara dedaun, cahaya matahari menikam tanah dalam sinaran halus dan condong.

Condong cahaya itu menandakan waktu, pastinya jam masa itu melewati pukul 10 pagi. Maknanya perjalanan menyusuri denai dan mendaki berpaut anak pokok, merandok akar dan duri rotan, membawa kami ke Bukit Behong itu melebihi dua jam. Perut sudah mula menyanyi.

Pranggg! Gugusan buah petai yang terlucut daripada rawit di hujung galah Pak terhempas ke daun, dan menjuntai di dahan anak kayu.

"Moha kutip himpun hat dok jatuh tu nah, satgi aku turun ikat". Suara pak sayup-sayup memberi arahan, tubuhnya hilang di sebalik rimbunan daun dan dahan. Kesayupan suara yang sering mengecutkan isi perut itu menandakan betapa tingginya Pak di pucuk pokok, sedang memulas, segugus lepas segugus, dihimpun di celah dahan tempat dia berdiri.

Ajik ambil sebunga, aku sebunga, bersila sambil tangan mengopek papan petai, lepas satu mata satu mata lagi dimamah mengalas perut. Mulut pahit bukan kepalang, air di alur yang sejuk terasa manis, menggantikan air teh atau kopi. Hingga gigi, lidah dan pipi tak sanggup lagi menampung pahit dan kelat, baru kami sudah bersarapan pagi.

"Haaaa! Buka tali". Seberkas petai Pak hulurkan dari atas menyusur batang petai mencecah tanah di celah banir di perdunya. "Buka! Aku nak holor lagi ni." 

Ajik berlari, membuka tali dan melepas, tali merayap naik semula. Seberkas lepas seberkas, akhirnya seluruh tali dilepas, tandanya Pak akan turun, buah sudah terhimpun.

Bintik hijau dihanyut keringat

Aku berdiri di belakang Pak yang mencangkung melilit memberkas gugusan buah petai dengan akar, daun petai berbintik-bintik hijau melekat di belakang dan lehernya disimbah peluh, bajunya yang terlondeh ke belakang, berbau tengik dari bakaran keringat hari ini dan beberapa hari sebelumnya. Rambut dan tubuh kecil Pak basah seperti sedang mandi. Ajik berlari mengutip sisa yang jatuh dan patah, Pak membungkus dengan kain batik dipinggangnya. 

"Dekat seribu keping ada dah niii, kita susuk sini dulu, depan tu ada sepokok lagi." Kata pak, kakinya terus melangkah, meredah, mendaki bukit lagi. Matahari sudah terpacak di atas ubun-ubun.

Pak menebang buluh beting, rantingnya dicantas meninggalkan tunggul-tunggul menjadi anak tangga, ditambat ke perdu petai dengan rotan, galah di tangan, tali di pinggang, Pak memanjat lagi.

Kami dibawah menjamu nyamuk. Sesekali mata terlelap keletihan, bunyi mawa, kera dan lotong sudah tidak kedengaran, hanya kibasan sayap unggas dan kicauan burung menjadi teman. 

"Jaga! Aku nak thok (tohok) galah nii". Gedebuk!, buluh itu terpacak di tanah, tergedik- gedik menjulang di celah dahan-dahan pokok. Pak turun mengikat hasil yang dipulas, disangkut di hujung kayu pengandar sepanjang sedepa, memulakan langkah pulang. 

Singgah di perdu pokok pertama tadi, kayu pengandar menjadi dua. Lebih seribu keping di depan dan belakang kayu pengandar di bahu kiri dan kanan, menenggelamkan separuh tubuh Pak. Aku terhoyong hayang di belakang dengan 50 keping, Ajik 100 keping kerana badannya lebih besar.

Lekok bahu dibenam kayu- lekok tanah dibenam langkah.

Masih terbayang ternampak-nampak, kayu pengandar dua batang itu tenggelam merenyak otot di bahu Pak, kakinya terbenam dalam taburan daun-daun hitam basah yang menutupi tanah. Setiap langkahannya jelas begitu berat menampung beban, menuruni tebing meninggalkan lubang di tanah. Lubang-lubang itu kami turuti mengelak tersembam. Sesekali punggung terhempas ke tanah, terlambat bangun, Pak hilang di balik perdu pokok jauh di depan.

Gugusan petai sudah menutup tayar dan galang gerek tua Pak, kayu dua batang di hujung pelantar menampung limpahan kepingan papan petai melayah ke belakang, kami menapak di belakang kehausan, Pak menyorong gerek, sesekali terhoyong ke kiri ke kanan.

Husin Tok Ratna tersenyum menanti di bangsal depan rumah Mad Jab Pak Long Ad (Saad). Pak Su Mid menyedut curut cap ikan sambil bersandar di tiang bulat. Beberapa gugus petai yang dalam ikatan kecil, nampak layu tergantung di depan bangsal, mungkin buah kelmarin. 

"Petai papan ka padi Nok?" Husin Tok Ratna menyapa sambil membelek melurut keping petai yang masih di atas gerek. Pak mengehela nafas keletihan. "Petai papan Bang Seng oo! Butey mata besar molek, papan panjang-panjang, buah bukit Behong!" Pak menggoda harga terbaik daripada Hussin Tok Ratna. 

"Tolak kat ku la sikit Bang Seng ooo, banyek tu mu tak dan habih juai". Pak Su Mid mencelah. Buah petai bertukar tangan, aku di pelantar gerek antara Ajik dan Pak, menuruni gon kubur, makin laju gerek meluncur, makin sejuk angin menyapa muka, lega. Pak beli beras, ikan masin dan roti empatsegi (biskut) di kedai Mat. Air lemenet sarsi membasah tekak, Ajik meneguk air oren, tercungap-cungap, menghela bunyi puas.

Sampai di rumah, sepi. Mak mungkin ke rumah Tok Wamah atau rumah Mak Long Jah atau rumah Kak Yam Mahmud menyeret adik-adik. Kami menerpa ke dapur. Lauk tamban masin bakar, cabai tumbuk, sisa kuah sayur air ikan darat menanti dibawah saji buluh beranyam. Nasi masik dalam periuk hitam bertelinga di atas dapur. 

Matahari sudah condong ke barat, panas teriknya kian reda, bayang kayu penyidai kian panjang, petunjuk itu membawa maksud waktu sudah lebih jam 4:00 petang.

Berebut Rezeki Antara Kera dan Lotong

Episod begini berulang-ulang, berpuluh tahun lamanya, selalunya hanya Pak seorang saja ke hutan. Ada kalanya dia pulang tangan kosong, sasarannya sudah menjadi rezeki kera dan lotong, sudah masak kehitaman, atau ada orang lain sudah mendahului. Kadang-kadang dia hanya pulang dengan buah tampoi, pucuk cemperai, atau gelung rotan atau akar kayu. Demikian kehidupan yang dijalani sarat dengan kegigihan, merenyak tubuhnya yang kecil tapi sasa.... Pak adalah hero kami sepanjang zaman....

Pada satu malam, lepas aku berceramah, Pak Long Chek – kawan lama Pak yang setia , usianya 6 tahun lebih tua daripada  Pak – yang asyik tersenyum puas, mengangguk dan ketawa sejak awal ceramah, berbicara tentang kisah lama mereka berdua. “Pak mu bela moha semua anak-anak dia, berebut rezeki dengan kera dan lotong di hutan. Aku kenai sungguh-sungguh moha adik-beradik sebab aku thu sangat-sangat lorong denai yang  Pak mu lalu, untuk bela moha sampai besar.”

“Berpuluh tahun aku dok tengok sendiri setara mana kuatnya Pak mu berdepan dengan susah payah untuk anak-anak dia. Syarahan mu tadi hebat sebab Pak mu orang hebat, rezeki moha berkat. Masa dok ambik upah mukol padi kot belah padang dulu, aku paling kuat buleh lah 12 hingga 15 guni sehari, Pak mu koman-koman pun dapat 20 guni sehari. Seumur aku hidup atas bumi ni, tak dak orang boleh teng Pak mu! Sungguh niii!” 

Demikian Pak Long Chek memberi testimoninya tentang Pak, Hj Md Nor bin Taib, pesara Imam Masjid Ubudiyah, Kg Sungai Pau, Sik Kedah.

Isnin, 5 Jun 2023

‘Tak usah bohonglah kata dia tak tunduk kat DAP’

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seorang yang lemah kerana takut hilang kuasa untuk bercakap benar hingga bertindak menghalang rancangan projek Kedah Aerotropolis.

Namun, beliau mengumumkan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di mana sebenarnya akan menambahkan lagi masalah kesesakan trafik yang telah sedia berlaku di pulau tersebut.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas demikian semasa berucap pada Himpunan PN BEST Peringkat Pulau Pinang merangkap Pelancaran Jentera PN yang berlangsung di Kubang Semang, di sini malam kelmarin.

“Oleh kerana DAP ni dia terlalu power (sebab) ada 40 kerusi dalam Pakatan Harapan (PH), semua parti lain tunduk kat dia. Termasuk orang itu. Tak usah duk bohonglah kata dia tak tunduk kat DAP. Pasal kalau DAP lari, dia gelupoq,” ujarnya.

Sedangkan Kedah Aerotropolis jelas Sanusi, dapat meringankan beban aliran trafik selari dengan tujuan negeri ini untuk mengadakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Jelasnya, pada ketika ini kesesakan aliran trafik di dalam pulau kerana jumlah kenderaan yang banyak berlaku sehingga ke Seberang Jaya di mana ia memungkinkan penumpang terlepas menaiki kapal terbang di Bayan Lepas.

“Nak buat PTMP sampai puluh-puluh bilion (ringgit). Pasal jammed (trafik). Pasal apa trafic jammed? Adakah tidak ada penyelesaian? Ada. Jadi kita cadangkan lapangan terbang baru di Kulim di Sidam.

“Saya nak habaq kebaikan projek (Kedah Aerotropolis) itu kepada orang Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kena terima dengan akal yang waras, hati yang jernih. Projek itu bukan semata-mata airport.

“Kita nak buat ini airport cargo. Barang daripada industri Kedah daripada negeri pertanian sekarang ni ada kilang tahu? Kilang banyak di Kedah semua mahal-mahal pelabur datang macam cendawan, lepas hujan.

“Kilang naik merenyut, (tahun) 2021, RM68 bilion pelaburan masuk, (tahun) 2022, RM13.8 bilion. Tahun ni tak keluar angka lagi. Bukan Pulau Pinang saja terer, Kedah pun pandai hoi,” ujarnya merujuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menurut beliau, selain daripada KXP, Kedah Aerotropolis akan ada jajaran jalan baharu dari Cangkat Jering ke Serdang dan Bandar Baharu, Serdang serta melintasi Sidam dan boleh keluar di Sungai Petani.

Dari Sungai Petani terangnya, melalui lebuh raya boleh pergi sampai Padang Besar, sekali gus menjadikan kesesakan aliran trafik di Seberang Jaya dapat diatasi bagi pengguna laluan Utara-Selatan.

“Jadi orang mai daripada Kuala Lumpur, mai daripada mana nak pi ke Sungai Petani, nak pi ke Alor Setar, tak payah lalu Seberang Jaya. Lapang sikit, betul tak? Daripada Kedah Aerotropolis, akan ada satu highway pi ke Jambatan Kedua Pulau Pinang,” katanya.

Tambah Sanusi lagi, tiap-tiap produk industri di Pulau Pinang juga tidak perlu lagi bersesak di dalam pulau itu sebaliknya untuk eksport boleh melalui perkhidmatan penghantaran kargo menggunakan KXP.

“Jadi tak jammed dah di Pulau Pinang. Bersihkan hati kita, bukan ada dengki apa. Kita buat projek tu sebagai katalis untuk membangunkan Kedah dan negeri-negeri Utara Semenanjung! Bukan nak dengki, dak.

“Yang akan dapat manfaat daripada Kedah Aerotropolis ni, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, dan Perlis. Empat negeri,” jelasnya dan menegaskan bahawa sebahagian aktiviti di dalam Pulau Pinang mesti dibawa keluar daripada pulau itu.

Tetapi menurutnya, jika pembesaran PIA dilakukan termasuk mengadakan projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR), ia akan menyebabkan kemasukan ke dalam pulau di mana terus menambahkan lagi kesesakan.

“Tak usah duk longgok RM46 bilion, tak usah duk tambak tiga pulau. Makin hari akan makin jammed. Jadi bawa sebahagian aktiviti ni pi keluar. Jangan hambat orang susah keluar. Yang DAP duk buat orang susah kena lari,” ujar beliau memberi solusi. – HARAKAHDAILY 5/6/2023

Selasa, 22 Februari 2022

Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

 Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, kerajaan Kedah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding 13 wakil rakyat pembangkang.
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sejurus tamat PRN Johor seperti didakwa sesetengah pihak.
Mohd Firdaus yang juga Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Kedah berkata, kedudukan ADUN-ADUN kerajaan dalam pentadbiran kerajaan adalah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN dari Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding hanya 13 wakil rakyat di pihak pembangkang.
Tambah beliau, sekiranya dua ADUN UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekalipun, kerajaan Kedah masih lagi kukuh dan stabil selain tidak sesekali akan membawa kepada pelaksanaan PRN Kedah dalam masa terdekat.
Pada ketika ini juga, Mohd Firdaus berkata, Bersatu yang diwakili enam wakil rakyat menganggotai Perikatan Nasional (PN) sementara ADUN Pas pula seramai 15 serta dua wakil dari UMNO
"Jadi (jika) UMNO tidak duduk dengan Bersatu atau PN, kalau dua orang (ADUN UMNO) ini (ambil keputusan) keluar (atau tarik sokongan terhadap kerajaan negeri), (pentadbiran) masih lagi kuat, (sebab itu) jika kata ada PRN tidak mungkin, sebab masih lagi kuat PN (yang dianggotai 15 ADUN PAS dan enam dari Bersatu," tegasnya.
Mengulas mengenai pendiriaannya terhadap situasi politik semasa yang berlaku, Mohd Firdaus berkata, tidak ada sebab untuk beliau 'melompat' memandangkan parti telah mengambil keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama antara semua parti yang menganggotai PN itu sendiri.
"Untuk persoalan ada ADUN ini nak lompat, ADUN itu nak lompat, saya (pun dikatakan nak) lompat, (jawapan saya) lompat nak pergi mana? Macam saya sendiri masih lagi dalam Bersatu, kita ikut (pendirian) parti, parti duduk didalam PN, (jadi) kita gerak bersama PN sekarang ini", tambah Mohd Firdaus.
Dalam masa sama, beliau berkata, prestasi baik yang ditunjukkan kerajaan negeri Kedah pimpinan Muhammad Sanusi juga menjadi sebab utama mengapa kerajaan pimpinanan wajar dikekalkan.
Jelas beliau, pentadbiran Muhammad Sanusi bersama seluruh anggota Exco menjalankan tugas yang baik termasuk membawa masuk pelabur dengan jumlah pelaburan yang direkodkan negeri Kedah antara yang tertinggi di Malaysia.
“Ketika ini, pencapaian Kedah amat memberangsangkan… apa yang kita lakukan, Menteri Besar dan barisan Exco, boleh kita banggakan dan kita puji di mana semuanya bekerja di bawah satu bumbung dan bersepakat,
"Lagi satu kami semua (jenis) senang nak bincang, nak sembang dengan Menteri Besar atau sembang dengan Exco lain boleh sembang terus… tak payah ada hierarki dia, kalau ada hierarki payah juga nak buat kerja," kata Mohd Firdaus lagi.
Minggu lalu, beberapa pihak termasuk Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri mencabar Muhammad Sanusi untuk mengumumkan penamatan kerjasama Muafakat Nasional (MN) di negeri itu dan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Dalam masa sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut mendakwa ada gerakan untuk menggugat kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi berdasarkan serangan yang dibuat ke atas pemimpin berkenaan.
Muhammad Sanusi sebelum itu menjelaskan, dakwaan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan daripada empat ADUN terhadap kepimpinannya merupakan khabar angin.
ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui juga turut menafikan dakwaan bahawa dia bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.
-AstroAwani

Ahad, 13 Februari 2022

“Kita Akan Menyamai JDT” – Kedah Bakal Miliki Stadium Baru Bernilai RM70 Juta Di Sungai Petani


 Stadium baharu yang akan dibina di Sungai Petani dengan anggaran kos RM70 juta diyakini mampu menjadikan Kedah Darul Aman FC [KDA FC] menjadi kelab yang sekelas dengan JDT.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan raya PN Parlimen Pulai pad hari ini.

Kedah Darul Aman
Gambar fail.

“Pasukan kita [KDA FC] menerima sentuhan-sentuhan baharu, kerjasama daripada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang kita lantik telah membina jaringan yang baik,” kata beliau seperti mana yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Selain daripada stadium baharu tersebut, turut berada di dalam perancangan seperti mana didedahkan oleh Sanusi adalah sebuah pusat latihan yang dianggarkan bernilai RM20 juta.

Ini menjadikan keseluruhan pelaburan yang diperlukan untuk membina kedua-dua fasiliti tersebut kini adalah RM90 juta. Pembinaan fasiliti tersebut sekiranya menjadi kenyataan bermakna pasukan KDA FC akan berpusat di Sungai Petani dan bukan lagi di Alor Star seperti sebelum ini.

Namun tidak dapat dipastikan di manakah lokasi sebenar perancangan pembinaan fasilti tersebut bakal dilakukan.

Sumber: Propektus KDAFC 2022.

“Kita sedang sediakan satu kawasan di Sungai Petani untuk bina satu stadium baharu untuk pusat latihan dan kemudahan pasukan.

“Saya yakin usaha yang sedang kita lakukan ini suatu hari nanti, kita akan menyamai JDT, walaupun tidak dapat menewaskan lagi, seri (sama kedudukan) pun ok,” katanya lanjut.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh wartawan mengenai perkembangan semasa pasukan KDA FC pada musim ini.

Kedah nyata tidak hanya bercakap omong kosong mengenai projek pembinaan fasiliti tersebut. Ini kerana ia juga berada di dalam senarai projek masa akan datang yang tersenarai di dalam propektus 2022 kelab yang boleh dimuat naik melalui laman sesawang rasmi kelab.

Ahad, 14 November 2021

Video: Kedah akan haram kedai nombor ekor dengan tidak perbaharui lesen

 


Alor Setar: Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk.

"Bilangan lesen premis judi di negeri Kedah ketika ini saya tidak ada angka, tapi mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.

"Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen kemudian itu mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan," katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, bagi penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, PBT akan memainkan peranan untuk menangani perkara itu.

Katanya, ada jenis-jenis minuman dalam tin yang mengandungi kadar alkohol tertentu dan tidak dikategorikan sebagai arak.

"Ini pun kena tengok undang-undang, perkara-perkara ini kita serah kepada PBT untuk pastikan ia ditangani sebaik-baiknya. Ada kandungan alkohol tertentu yang dimasukkan minuman itu dalam kategori arak, kalau di bawah kadar tertentu itu tidak termasuk, ini pun undang-undang yang sedia adalah, kita harap usaha yang kita buat ini mendapat sokongan rakyat.

"Kita juga berbincang tentang kedai bebas cukai di Langkawi, premis-premis yang tidak mempunyai lesen kita harap tidak lagi akan menjual arak secara terbuka, arak dihadkan penjualannya kepada orang bukan islam sahaja, setiap PBT akan akan memainkan peranan bagi menjamin akal fikiran rakyat kita yang sentiasa waras," katanya.

Muhamamd Sanusi menjelaskan keputusan itu turut dibuat atas rasa tanggungjawab beliau sebagai Menteri Besar yang akan disoal Allah di akhirat kelak.

Ini kerana katanya, amaran Allah mengenai judi dan arak adalah terlalu keras berikutan ia jelas boleh merosakkan institusi keluarga serta tamadun manusia.

"Saya fikir tidak ada sesiapa pun yang mengakui bahawa perjudian telah membangunkan tamadun kita dengan begitu cemerlang sekali. Sebaliknya diakui oleh semua orang bahawa perjudian adalah ejen perosak yang besar yang perlu kita tangani.

"Di akhirat nanti Tuhan akan tanya saya aktiviti-aktiviti yang macam ini (judi dan arak) saya buat apa, saya cakap tak buat apa saya kena tibai (rotan). Sementara saya ada kuasa baik saya gunakan, bila ada premis ada aktiviti, bukan sahaja orang bukan Islam, tapi orang Islam juga.

"Perkara-perkara yang tidak elok untuk semua orang ini elok kita elakkan. Manfaat daripada premis judi ini tidak ramai pun, tauke itu sahaja untung, tapi mudarat dia kepada semua orang. Mengelak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat daripada aktiviti seperti itu," katanya.

SANUSI pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Bernama
SANUSI pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman. FOTO Bernama

-myMetro

Rabu, 22 September 2021

Sanusi ingatkan Pulau Pinang adalah negeri dipajak Kedah

 MUHAMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

MUHAMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP

Alor Setar: Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah hari ini, 'hangat' apabila Menteri Besar, Muhamad Sanusi Md Nor mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri dipajak dari Kedah.

Sanusi (Pas-Jeneri) berkata, beliau faham mengenai kebimbangan Pulau Pinang terhadap beberapa projek mega diumumkan Kedah, yang didakwa bakal memberi saingan kepada negeri jiran itu.

Tegasnya, sejarah bahawa Pulau Pinang adalah negeri dipajak dari Kedah perlu sentiasa diingat dengan Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

"Pulau Pinang bukan negeri yang wujud dengan sendirinya, dalam sejarah Malaysia sendiri ada dimaklumkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri dipajak dari Kedah.

"Jangan pula kita pajak tanah orang, kemudian kita marah pula kepada tuan tanah yang kita pajak itu. Itu tidak patut," katanya menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (Pas-Sg Limau) yang ingin mengetahui mengenai strategi kerajaan negeri dalam menangani rasa cemburu negeri jiran susulan pengumuman beberapa projek berimpak tinggi.

Sanusi berkata, bagaimanapun sebagai jiran yang baik, kerajaan negeri Kedah memberi jaminan Pulau Pinang akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan tidak perlu bersaing dengan Kedah.

Beliau berkata, sebagai contoh projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) dibina dengan tujuan menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Semua pihak mengetahui usaha untuk menaik taraf LTAPP tidak dapat dibuat sepenuhnya kerana faktor kekangan tanah dialaminya. Jadi KXP ini akan menjadi pelengkap kepada LTAPP dan bukannya pesaing kepada Pulau Pinang.

"Disebabkan itu, kita akan kekal berbuat kebaikan supaya negeri jiran berasa selamat kerana di dalam Islam, inilah yang dianjurkan kepada umatnya," katanya.

Terdahulu, Sanusi menjawab soalan lisan Mohd Azam yang bertanya mengenai status projek berimpak tinggi Kedah iaitu KXP, Bandar Getah Kedah (KRC), Taman Teknologi dan Sains Kedah dan Hab Logistik, Pengeluaran dan Aeroangkasa Sidam (SLAM).

Beliau berkata, semua projek berimpak tinggi itu akan membawa perubahan besar kepada Kedah selain berupaya mengubah landskap ekonomi negeri secara lebih meluas.

-myMetro

Jumaat, 2 Julai 2021

Kerajaan Kedah tak iktiraf bendera putih,buat aduan secara rasmi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kiri) melihat stok makanan kering untuk penghuni dan pelajar ketika mengadakan lawatan di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim. - UTUSAN/ AZAHAR HASHIM

KULIM: Kerajaan Negeri Kedah tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu di negeri ini sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Sebaliknya Menteri besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya hanya menyalurkan bantuan makanan kepada individu yang membuat aduan secara rasmi melalui panggilan telefon di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) seluruh daerah di negeri ini.

“Kita telah edarkan nombor telefon PKOB setiap daerah dan nombor telefon pusat khidmat wakil rakyat untuk orang ramai hubungi bagi mendapatkan bantuan makanan.

“Sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej, individu yang perlu bantuan boleh menghubungi PkOB untuk bantuan makanan tanpa mengibar bendera putih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di sini hari ini.

PTSB telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bemula 26 Jun sehingga 9 Julai.

Muhammad Sanusi berkata, penggunaan bendera putih itu merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat.

“Saya sudah kata banyak kali ia (bendera putih) ini adalah propaganda politik yang mencerminkan persepsi kerajaaan gagal, sebenarnya kerajaan sedang menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan telah menyediakan saluran rasmi yang boleh digunakan oleh rakyat dan mereka akan dibantu tidak mengira fahaman politik.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memberi bantuan wang tunai sebanyak RM20,000 kepada PKOB Daerah Kulim termasuk PTSB sebanyak RM10,000.

Tambahnya, setiap PKOB juga akan menerima sebanyak 2,000 bakul makanan kecuali PKOB daerah Kuala Muda mendapat 3,000 bakul makanan.

-Utusan Online