"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Rabu, 30 September 2020

MB Kedah dedahkan projek lapangan terbang Kulim belum ada kelulusan.MB sebelum tu kata akan siap dalam 3 tahun

 Kerajaan negeri mendedahkan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) belum mendapat kelulusan Kerajaan Pusat kerana ia belum dibentangkan kepada Kabinet. - Ihsan FB Kulim International Airport - KXP

Kerajaan negeri terdahulu tidak dapat kelulusan bina KXP - Muhammad Sanusi
ALOR SETAR: Kerajaan negeri mendedahkan Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) belum mendapat kelulusan Kerajaan Pusat kerana ia belum dibentangkan kepada Kabinet.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata KXP kini berada pada peringkat mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 27 Oktober ini.
Beliau berkata, sebahagian data, angka dan kajian yang dibuat 12 konsultan berkaitan KXP akan dibentangkan kepada MPFN terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan lanjut.
"Perkara ini (KXP) tidak pernah masuk MPFN lagi, daripada dahulu kerajaan negeri lama umum sejak 2013 tetapi sampai tahun ini tidak pernah masuk MPFN dan tidak pernah masuk ke Kabinet.

 Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto NSTP/Amran Hamid

"Kementerian Kewangan tidak tahu, Menteri Pengangkutan tidak tahu... hanya berpusing sembang di luar. Ini baharu kerajaan negeri hendak bawa masuk (untuk dapat kelulusan) Kabinet.
"KXP ini membabitkan beberapa komponen seperti aeropolis dan semikonduktor, yang hanya dapat kelulusan hanya pembinaan lebuh raya sahaja," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pada Ogos 2019, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, mengumumkan KXP yang diterajui KXP AirportCity Holding Sdn Bhd dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun.
Beliau dipetik berkata, kerja menyediakan tapak projek dijangka dapat bermula pertengahan 2020 selepas pelan induk KXP siap sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, KXP perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum agensi berkaitan dapat melakukan urusan seperti pengambilalihan tanah dan memulakan kerja pembinaan lapangan terbang.
"MPFN dalam mesyuarat terakhir sebelum ini terpaksa menangguhkan KXP kerana Kementerian Kewangan mahu ia dibawa dahulu kepada Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).
"Jika ia dibawa ke NASP, maka KXP akan tertangguh tiga tahun. Jadi kerajaan negeri tubuhkan 'task force' bersama Kementerian Pengangkutan bagi mempercepatkan proses pembentangan kepada NASP bagi mendapat kelulusan interim," katanya.
Projek KXP dijangka membabitkan kos RM6.8 bilion iaitu membabitkan RM2.5 bilion bagi mengambil alih tanah, RM2.5 bilion bagi pembinaan terminal dan landasan serta RM1.8 bilion bagi pembinaan lebuh raya menghubungkan Kulim ke Sungai Petani. (BH)

Ahli Parlimen Umno mahu ‘pertimbang pilihan’ meski dalam proses bincang bersama PAS, PPBM

Pemimpin Umno, PAS dan PPBM akan berbincang minggu ini mengenai beberapa isu.

PETALING JAYA: Beberapa ahli Parlimen Umno dikatakan sedang mempertimbang pilihan untuk membubarkan Parlimen ketika perbincangan antara parti itu bersama PAS dan PPBM sedang berjalan.

Mereka juga mahu keputusan kukuh dibuat berhubung masa depan Umno sebelum pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata sumber kepada FMT.

Tiga ahli Parlimen Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan pertemuan itu berkata, perbincangan adalah mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga mahukan petunjuk lebih jelas bila pilihan raya akan diadakan.

Seorang daripada mereka memberitahu FMT, “sedang mempertimbangkan pilihan” kerana beberapa ahli Parlimen Umno sudah bersetuju Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri dan presiden Umno menjadi timbalannya.

Begaimanapun, beliau mengakui Muhyiddin mempunyai beberapa “nilai tambah” untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat akan membandingkan beliau dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Imej beliau jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ramai ahli Parlimen Umno mungkin tidak menyokong belanjawan pada November sekiranya Muhyiddin tidak bersetuju dengan presiden Umno sebagai timbalannya atau jika beliau gagal memberi petunjuk bila pilihan raya kilat akan diadakan.

Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno ketika ini.

Muhyiddin akan hilang sokongan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen, beliau kemudian akan meletak jawatan bersama Kabinet.

Oleh itu, katanya, beberapa ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai alternatif untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

“Perbincangan yang akan diadakan minggu ini mengenai masa depan Umno, PAS dan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS sudah bersedia untuk pilihan raya kilat tetapi PPBM mungkin tidak mahu buat masa sekarang.

Ahli Parlimen Umno yang lain berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan PPBM. “Sebilangan ahli Parlimen Umno berkata sekiranya mereka membenarkan Muhyiddin menjadi perdana menteri, maka mereka perlu mendapat lebih banyak kerusi untuk PRU15.

“Kami adalah ahli parti. Kami mahu Umno mempunyai kerusi sebanyak mungkin dan memiliki lebih ramai ahli parlimen Umno di Dewan Rakyat,” katanya, sambil menambah Umno hanya boleh memutuskan langkah seterusnya selepas Muhyiddin membuat keputusan.

Namun seorang lagi ahli Parlimen Umno berkata mereka mahukan keputusan penting itu dibuat sebelum Anwar menghadap Agong.

“Selepas menghadap, Agong mungkin mahu bertemu Muhyiddin untuk meminta nasihatnya, kita mahu keputusan itu dibuat sebelum itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung pada 22 September.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun berkata, majlis itu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

-FMT

M Daud Kilau mohon doakan dirinya sihat

Mohd Akmal ketika mengunjungi M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk hari ini.

BAGAN DATUK - "Doakan saya lekas baik, kalau tak baik juga pun tak mengapa, doakanlah saya selamat pergi dan sedekahkah al-Fatihah."

Itu permintaan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82, selepas keadaan kesihatannya semakin terjejas akibat uzur.

M Daud Kilau












M Daud Kilau

Beliau berkata, selepas hampir empat tahun mengalami masalah kesihatan, dia kini tidak mampu berdiri lama dan lebih banyak menghabiskan masa dengan terbaring di atas katil.

Menurutnya, selain menderita kencing manis sejak berpuluh tahun lalu, beliau juga menghidap masalah jantung tidak stabil, tangan kaki selalu kebas dan kurang pendengaran.

"Saya sekarang banyak bergantung kepada ubat-ubatan tetapi tak mengapa saya serah diri kepada ALLAH yang memberikan penyakit dan yang menyembuhkan penyakit.

"Saya sekarang ini pun banyak menghabiskan masa dan sisa hidup dengan mencari saham akhirat, duduk di rumah sambil tengok televisyen," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh di sini hari ini.

Beliau kini dijaga oleh isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, bersama dua anaknya dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan tiga bulan sekali di Klinik Kesihatan Bagan Datuk di sini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu turut mengakui rindu untuk bertemu dengan peminat.

Katanya, sehingga kini beliau masih menerima undangan untuk membuat persembahan sama ada di radio mahupun televisyen, namun terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan.

"Insya-ALLAH kalau kesihatan saya baik saya akan bertemu dengan mereka. Saya masih rindu dan sayang peminat-peminat saya, begitu juga dengan rakan-rakan pemberita serta baju-baju labuci yang saya pernah pakai dahulu," katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri melalui Baitulmal akan menyalurkan bentuk bantuan yang bersesuaian kepada penyanyi veteran itu.

Katanya, sumbangan M Daud Kilau dalam industri tanah air sangat besar, justeru keadaan kesihatannya kini yang uzur dengan pelbagai penyakit adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

"Kunjungan kita hari ini tidak lain untuk melihat sendiri keadaan penyanyi lagenda ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri.

"Sumbangan awal berupa wang dan barangan keperluan telah disampaikan dan ia disusuli dengan bantuan daripada Baitulmal yang akan menyemak bantuan-bantuan lain diperlukan," katanya.

-SH Online

Covid-19 berpotensi merebak lebih cepat di Selangor

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
A
A

KUALA LUMPUR - Selangor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) 1.95 lebih tinggi daripada Sabah, berikutan peningkatan dalam jumlah kes harian baharu daripada dua hingga tiga kes kepada 10 ke 15 kes.

Rt menunjukkan kadar secepat mana penularan Covid-19 merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia mengambil kira magnitud perubahan dan menunjukkan peningkatan risiko wabak yang lebih besar di negeri itu, sekiranya langkah-langkah pencegahan kesihatan awam tidak diambil.

“Nilai Rt di Sabah telah stabil walaupun masih berada pada tahap 1.29 semalam. Keadaan ini masih merisaukan kerana ia melibatkan bilang kes-kes baharu yang tinggi.

“Nilai Rt mungkin akan meningkat, jika kita tidak mengambil langkah-langkah intervensi kesihatan awam yang optima,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Sementara itu, nilai Rt di Kedah menurun lebih besar daripada satu (> 1) kepada 0.65 dan ia sejajar dengan kadar penurunan kes di negeri itu yang merekodkan hanya dua kes dalam tempoh empat hari.

Dr Noor Hisham berkata, keadaan itu menggambarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan adalah penting untuk semua rakyat Malaysia terus mematuhi SOP serta langkah-langkah yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini.

-SH Online

Cuepacs tolak cadangan bonus berdasarkan merit

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata sektor perkhidmatan awam bergerak sebagai 1 pasukan yang saling melengkapi. 

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit dan sektor perkhidmatan. 

 Presidennya Adnan Mat berkata, cadangan dibuat Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) tidak wajar dilaksanakan mengambil kira peranan penjawat awam yang bertugas secara berpasukan dan saling melengkapi antara 1 sama lain. 

 Katanya, tiada sektor lebih penting berbanding sektor lain kerana semuanya menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi negara dan kaedah itu hanya akan memberi gambaran sektor tertentu tidak begitu penting berbanding pihak mendapat bonus tinggi.

 “Perkara ini akan menjadi perdebatan dan berkemungkinan menjadikan penjawat awam di sektor tertentu menjadi tidak bermotivasi kerana beranggapan mereka tidak penting.

 “Begitu juga sekiranya pemberian bonus diberikan berdasarkan merit, setiap penjawat awam telah memainkan peranan masing-masing dan wajar diberikan kredit atas keterlibatan mereka sepajang perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan Mat. 

Mengulas lanjut, Adnan berkata, penetapan merit adalah terlalu subjektif dan sekiranya penetapan itu diambil kira, penjawat awam yang baik sebenarnya disokong rakan sekerja dan majikan. 

 “Jika penjawat awam itu dinilai kurang baik, sudah tentu ketua jabatan juga boleh dipersoalkan kerana sektor perkhidmatan awam bergerak dalam 1 pasukan yang besar dan bukannya ‘one man show’,” katanya. 

 Beliau berkata, seluruh penjawat awam kini dikerahkan menjadi pemudah cara kepada kerajaan untuk menjayakan agenda dan program pemulihan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. 

 “Semua sektor seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan bersama bekerja keras dan berganding bahu untuk memastikan negara berada di landasan terbaik keluar daripada kemelut ketidaktentuan ekonomi ketika ini. 

 “Justeru, Cuepacs berpandangan pemberian bonus perlu diberikan secara sama kepada setiap penjawat awam tanpa mengambil kira penetapan merit atau sektor tertentu. 

 “Tiada yang kurang atau tiada yang lebih kerana sektor perkhidmatan awam bergerak sebagai 1 pasukan yang saling melengkapi,” katanya. 

 Cuepacs bagaimanapun bersetuju dengan MAAC bahawa penjawat awam berkhidmat dengan cemerlang ketika negara berdepan pelbagai cabaran dan pemberian bonus mampu menjadi pemangkin untuk menjalankan tugas bagi kesejahteraan rakyat.-FMT

Staf pejabat MP Lembah Pantai positif Covid-1 9,Fahmi buat Swab Test

Fahmi menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur pagi ini. - Foto FB Fahmi Fadzil. 

 KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dilaporkan menjalani swab test selepas salah seorang kakitangan di pejabatnya yang baru pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19). 

 Menurut Fahmi, beliau dan kesemua kakitangan pejabatnya bertindak ke Klinik Kesihatan Tanglin di sini bagi menjalani saringan Covid-19 pada pagi tadi sebelum kuarantin di rumah. 

 "Semalam salah seorang staf pejabat saya yang baru pulang dari Sabah pada 25 September lalu telah disahkan positif Covid-19. 

Beliau dibawa ke Hospital Sungai Buloh (Selangor) untuk rawatan dan isolasi. 

 "Memandangkan staf tersebut merupakan kontak rapat kami, pagi ini kami jalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah," kongsinya di laman sosial Facebooknya di sini hari ini. 

 Susulan itu, katanya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai terpaksa ditutup sehingga tempoh kuarantin selesai. Kata beliau, langkah tersebut bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai.

 "Unit dekontaminasi akan dihantar untuk proses dekontaminasi pejabat petang ini.

 "Buat sementara waktu, warga Lembah Pantai yang ingin berurusan dengan pejabat (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai) boleh menghubungi kami melalui laman FB ini atau melalui e-mel," katanya. -SH Online

Love Scam:Kerani lebur RM65,700 ditipu jejaka dari London

Kepala Batas: Terpengaruh dengan kata-kata manis jejaka berasal dari London menyebabkan seorang kerani bank kerugian RM65,700 bagi mendapatkan parcel yang kononnya mengandungi wang tunai dan barangan berharga. 

 Mangsa, ibu tunggal berusia 46 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada 18 Ogos lalu melalui Facebook. 

 Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas lebih sebulan berkenalan lelaki terbabit memaklumkan mahu menghantar bungkusan yang mengandungi wang tunai dan pelbagai barangan berharga. 

 "Selepas itu, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar wakil syarikat penghantaran memintanya membuat bayaran bagi melepaskan bungkusan itu. 

 "Mangsa yang tidak mengesyaki taktik penipuan itu terus membuat pembayaran dari 24 (Khamis lalu) hingga 29 September (semalam) ke dalam akaun bank yang diberikan.

 "Malangnya selepas membuat bayaran berperingkat selama enam hari berjumlah RM65,700 menggunakan wang simpanannya, dia diminta membuat lagi bayaran tambahan sebelum menyedari dia sudah ditipu," katanya, hari ini. 

 Katanya, mangsa membuat laporan polis semalam bagi meminta polis menyiasat kes berkenaan.

 Noorzainy berkata, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah jatuh cinta atau termakan kata-kata manis daripada individu yang baru dikenali melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan Wechat. 

 "Kes seperti ini bukan kali pertama dilaporkan bahkan sudah berkali-kali terjadi namun masih lagi terdapat mangsa yang ditipu walaupun sudah diingatkan," katanya. 

 Dalam perkembangan lain, seorang pesara berusia 54 tahun dan suri rumah berusia 28 tahun masing-masing kerugian RM4,000 dan RM3,000 kerana terjerat dengan sindiket pelaburan atas talian serta Macau Scam. 

 Noorzainy berkata mereka berdua juga datang membuat laporan polis semalam selepas menyedari diri mereka ditipu sindiket penipuan alam maya berkenaan. 

 Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -myMetro

Selasa, 29 September 2020

Cubaan bunuh konstabel PGA: Mizi diburu


KOTA BHARU - Polis memburu seorang lelaki berusia 37 tahun dikenali sebagai Mizi bagi membantu siasatan berhubung insiden cubaan membunuh seorang konstabel Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Lubuk Stol, Rantau Panjang kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, konstabel berusia 30 tahun itu diheret sejauh 100 meter menggunakan sebuah pacuan empat roda sehingga mengalami calar pada siku, kelopak mata kanan dan lebam paha kanan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, Mizi atau nama sebenarnya Muhamad Tarmizi Muhamad beralamat di Kampung Rahmat, Lubuk Stol, Rantau Panjang dicari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

“Mizi dipercayai pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang cuba melanggar konstabel Batalion 7 PGA ketika pemeriksaan dilakukan oleh mangsa.

“Mangsa sempat berpaut pada tiang pintu kenderaan itu, bagaimanapun diheret sejauh 100 meter dan dihimpit ke papan tanda di kanan jalan sehingga terjatuh dan cedera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.


Shafien berkata, seorang lagi iaitu rakan Mizi dikenali sebagai Muhamad Hafiz Sulaiman, 22, juga dicari polis bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

“Hafiz beralamat di Kampung Kuala Kajang, Tanah Merah diburu bagi membantu siasatan mengikut seksyen sama," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis meminta kerjasama daripada semua pihak yang mempunyai maklumat supaya berhubung ke balai polis berdekatan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang dicari itu turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, Mizi mempunyai tujuh jenayah, manakala Hafiz pula dua kes membabitkan kesalahan dadah dan ugutan jenayah
#info✍️

Isnin, 28 September 2020

DAP, AMANAH tolak rancangan Anwar jika babitkan MP Umno bermasalah?


Mutakhir ini saya hampir terputus dengan sumber Pakatan Harapan (PH) disebabkan keuzuran. Jadi, tanggapan saya terhadap perkembangan politik lebih bergantung kepada imiginasi dan agakan, serta sifir politik sendiri, juga didorong oleh kecenderungan saya.

Selepas selesai babak awal politik Sabah, tumpuan mungkin kembali semula kepada langkah Anwar Ibrahim untuk mendapatkan “cukup bilang”.

Ramai bersetuju dengan usaha merebut kembali kuasa yang dicuri hujung Februari 2020 itu. Dan Anwar sendiri mendapat mandat dan kepercayaan PH untuk mengumpul sokongan, meskipun ada beberapa opsyen sekiranya Anwar gagal. Memang Anwar adalah pilihan pertama dan utama.

Di Parlimen melalui beberapa kali undian, ternyata Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti cukup tipis, sekitar 3-4 kerusi sahaja, termasuk MP yang uzur. Jelas, kerajaan tidak stabil dan mudah goyah.

Anwar digambarkan cukup yakin dengan angka yang ada, cuma dipisahkan oleh faktor Yang di-Pertuan Agong. Sidang medianya minggu lalu juga nampak meyakinkan.

Difahamkan, untuk mendapat perkenan Agong, Anwar perlu menunjukkan sokongan yang diperolehinya adalah kuat, dengan majoriti yang selesa. Sekiranya angka yang ada sekadar majoriti tipis seperti Muhyiddin-PN, besar kemungkinan Istana Negara tidak merestui peralihan kuasa itu.

Congakan kasar saya, jika benar Mahathir-Pejuang dan Warisan yang mempunyai lebih kurang 15 kerusi Parlimen tidak bersama Anwar, Presiden PKR itu harus menarik lebih 20 wakil rakyat di luar PH untuk bersamanya.

Dengan andaian GPS kekal dengan Muhyiddin — sekurang-kurangnya gabungan parti itu tidak bersedia untuk mendapat “cukup bilang” — tumpuan kini difokuskan untuk menarik ahli Parlimen Umno-BN.

Atau mungkin ada sebilangan kecil ahli Parlimen Pas dan juga Bersatu yang turut berminat bersama Anwar; sekurang-kurangnya rekod mereka tidak seburuk pemimpin Umno. Saya kurang arif bilangan MP Bebas yang ada, apakah mereka turut tersenarai?

Apa pun, meraih sokongan lebih 20 MP Umno-BN bukan saja tidak mudah, tetapi yang jauh lebih sukar adalah untuk mendapat restu dan persetujuan daripada rakan-rakan Anwar dalam DAP dan AMNAH.

Saya juga tidak pasti bilangan MP Umno-BN yang tidak terpalit dengan tuduhan korupsi dan salahguna kuasa, yang bukan anggota pentadbiran kerajaan Muhyiddin.

Amat sukar

DAP dan AMANAH dikenali sebagai parti yang mengutamakan integriti dan berpegang dengan prinsip tatakelola yang baik (good governance). Saya yakin, untuk menarik sokongan lebih 50 MP kedua-dua parti itu amat sukar jika ahli-ahli Parlimen Umno tertentu turut sama dalam kerajaan baharu nanti.

Apatah lagi apabila kita merenung sikap politik DAP yang mempunyai 42 suara di Parlimen, yakni bilangan yang cukup signifikan.

Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Anwar, jangan ambil mudah pendirian sekutunya dalam PH itu. Ia bukan pilihan di antara Mahathir dan Anwar, tetapi melibatkan sikap politik dan prinsip parti yang sudah lama diasaskan.

Terdengar desas-desus pemimpin AMANAH-DAP berbisik tanda kurang puas hati dengan rancangan super sulit Anwar itu. Dipercayai Anwar tidak pun berunding dengan ketua-ketua parti, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, tentang langkah terbarunya itu. Malah, sebahagian besar pemimpin PKR pun tidak mengetahuinya.

Saya mungkin naif membaca politik Mahathir, tetapi jika kita masih percaya bahawa kuasa mesti direbut sebelum PRU15, faktor “orang tua” itu, baik dan buruknya, mesti diambil kira.

Isunya bukan sangat sokong atau masih menaruh kepercayaan kepada Mahathir, tetapi berpakat dengan Umno-BN bagi mendapat “cukup bilang” terdedah kepada risiko penolakan daripada rakan-rakan PH sendiri.

Anwar pun bukan muda lagi, kerjaya politiknya sarat dengan pengalaman berharga; dalam usia melebihi 70 tahun itu, pasti Anwar dapat membaca penuh bijaksana situasi sulit ini dan mengatur gerak terbaik demi kepentingan negara. Anwar juga arif sangat dengan perangkah musuh politiknya.

Kita perlu bersabar menanti perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima menghadap Anwar. Sekarang setakat berteka-teki sahaja.

Sahabat saya menelah, maklumat mungkin hanya dikongsi oleh Anwar dan dua rakan rapatnya, Saifuddin Nasution Ismail dan Johari Abdul.

“Kedua-dua mereka, bersama Anwar, rapat dengan Zahid Hamidi, Presiden Umno,” tambahnya sambil ketawa panjang.

-Wak Labu Farm

PENGUMUMAN:Istana Negara akan keluarkan kenyataan jam 6 petang ini


 Istana Negara dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi petang ini.

Perkara itu dinyatakan dalam mesej ringkas oleh istana awal hari ini.

"Kami ingin memaklumkan kepada anda bahawa Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan pada jam 6 petang hari ini," kata kiriman itu yang disahkan oleh seorang pegawai istana.

Bagaimanapun ia tidak menjelaskan kenyataan tersebut merujuk kepada mana-mana isu secara khusus. 

Pegawai istana yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkara itu.

Dipercayai kenyataan berkenaan mungkin berkaitan perkembangan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atau mengenai perkembangan terbaru politik di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu, setelah Seri Paduka mengadu tidak sihat.

Sehari kemudian, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa berjaya mendapat sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Presiden PKR itu berkata Seri Paduka juga telah berkenan untuk menerima beliau menghadap tetapi ditangguhkan berikutan masalah kesihatan.-mk


PRN Sabah:GRS pilih Hajiji Ketua Menteri Sabah Yang Baru

 SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, esok.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Sabah, pada sidang media selepas perjumpaan tertutup Gabungan Rakyat Sabah (GRS), di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, pencalonannya sebagai Ketua Menteri disokong semua wakil rakyat PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kami setuju sebulat suara mereka menamakan saya sebagai Ketua Menteri," katanya ketika ditanya siapa dinamakan sebagai Ketua Menteri.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim.

SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY
SIDANG media Gabungan Rakyat Sabah selepas membuat keputusan sebulat suara menamakan Datuk Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Ketua Menteri Sabah. NSTP/AZRUL AFFANDI SOBRY

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, GRS yang membabitkan PN, BN dan PBS berjaya memenangi 38 kerusi berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas (3).

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata beliau bersama semua ADUN daripada GRS akan ke Istana Negeri untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Ditanya mengenai jawatan Timbalan Ketua Menteri, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan selepas beliau mengangkat sumpah Ketua Menteri, esok.

Terdahulu, beliau berkata BN, PN dan PBS bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi PRN, Sabtu lalu.

"Saya mahu memaklumkan bahawa GRS yang terdiri daripada BN, PN dan PBS telah bersetuju bersama untuk kita membentuk kerajaan baharu.

"Saya difahamkan besok kita akan angkat sumpah. Jadi ini adalah mandat rakyat yang diberi kepada kami yang akan kita tunaikan sebagai tanggungjawab kepada rakyat agar Sabah terus bergerak ke hadapan.

"Kita akan meneruskan usaha untuk membela rakyat dan melakukan yang terbaik seperti digariskan dalam akujanji atau manifesto kita," katanya.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada rakyat Sabah yang mengundi selain mengingatkan wakil rakyat yang terpilih supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Bung Moktar berkata beliau yakin Sabah mampu dipulihkan di bawah kepemimpinan GRS.

"Kami yakin Sabah akan pulih. Kita akan mulakan langkah kita untuk memastikan rakyat dibela, tidak lagi main politik. Kita mahu tumpukan usaha membangunkan negeri," katanya.

-BH Online

Bacaan Sujud Sahwi (Panduan Lengkap Rumi)

 Oleh Muhamad Naim


Bagaimana cara melakukan sujud sahwi?

Panduan ini akan membantu anda belajar melaksanakan sujud sahwi dengan betul secara langkah demi langkah.

Bacaan juga dipermudahkan dengan ejaan rumi bagi memudahkan anda yang tidak boleh membaca tulisan arab.

Selain itu, panduan ini turut dilengkapkan dengan soal jawab masalah sering berlaku berkaitan sujud sahwi.

 Semoga membantu.

Pengenalan & Syarat Melakukan Sujud Sahwi

Sahwi disini bermaksud lupa, iaitu lupa dalam melakukan salah satu perbuatan solat yang tertinggal secara tidak sengaja.

Sujud sahwi merupakan dua sujud tambahan sebelum salam bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.

Hukum sujud sahwi ialah sunat muakkad.

Sujud sahwi dibolehkan apabila:

1-Lupa membaca tahiyat awal

2-Menambah rukuk atau sujud kerana kelupaan

3-Ragu-ragu dalam jumlah rakaat

4-Tertinggal doa qunut sewaktu solat subuh

 Bacaan Dan Cara Melakukan Sujud Sahwi

Cara-cara melakukan sujud sahwi ialah:

Sujud Sahwi Pertama

Apabila selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi pertama dan bacalah sebanyak tiga (3) kali:


 Subhaa na man laa yanaa mu walaa yas-huu 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa


Sesudah itu, bangkit ke kedudukan antara dua sujud.

Sewaktu ini, boleh dibaca bacaan sebagaimana bacaan antara dua sujud solat fardu atau memadai dengan diam sahaja beserta tamakninah (diam sebentar).

Sujud Sahwi Kedua

Seterusnya lakukan sujud sahwi kedua dan bacalah sebagaimana sujud sahwi pertama sebanyak tiga (3) kali:

 Subhaa na man laa yanaa mu walaa yas-huu 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

 Selesai sujud sahwi yang kedua, duduklah kembali sebagaimana duduk tahiyat akhir dan berilah salam.

Maksudnya:

Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah


Masalah Yang Berhubung Dengan Sujud Sahwi

 Berikut adalah beberapa masalah yang sering timbul berkaitan dengan sujud sahwi:

1.Tertinggal Perkara Fardu / Rukun

Sekiranya tertinggal salah satu daripada fardu atau rukun, solat tidak boleh ditutup dengan sujud sahwi semata-mata.

Ia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan ia teringat pada waktu sebelum memberi salam.

Contohnya:

Terus sujud dan meninggalkan rukuk (terlupa).

Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.

Ataupun ia teringat selepas salam, seumpamanya, ia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sujud sahwi.

Apabila seseorang itu terlupa melakukan salah satu antara sunat ab’adh ia tidak boleh kembali melakukannya setelah masuk ke rukun seterusnya dengan sempurna.

Contohnya:

Terlupa membaca doa qunut kemudian ia sujud.

Dalam sujud itu baru ia teringat, maka tidak boleh ia bangun semula untuk membaca doa qunut itu.

Tetapi kalau belum sempurna sujudnya, maka bolehlah ia bangun semula untuk berqunut.

Sekiranya ia sudah turun daripada iktidal (berdiri setelah rukuk) dan belum sampai had rukuk, maka ia bangun membaca qunut, ia tidak sunat sujud sahwi.

Tetapi kalau sudah melampaui had rukuk, belum sampai sempurna sujud dia boleh kembali membaca doa qunut, tetapi sunat mengerjakan sujud sahwi.

Begitu juga jika tertinggal membaca tahiyat awal.

Sekiranya dia teringat sebelum naik ke batas rukuk, maka bolehlah ia duduk membaca tahiyat dan tidak sunat sujud sahwi.

Sekiranya dia teringat setelah naik ke batas rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat ia sujud sahwi.

Sekiranya telah berdiri, maka tidak boleh turun semula.

Bahkan kalau dilakukan juga, maka solatnya terbatal.

Hanya disunatkan sujud sahwi sahaja untuk menampulkan sunat yang tertinggal itu.

2.Terlupa Sujud Sahwi

Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia sujud sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.

Walau bagaimana pun, kalau tertinggal sujud sahwi itu, tidaklah menjejaskan solat kerana ia sunat sahaja.

3.Imam Terlupa Sujud Sahwi

Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.

4.Tertinggal Sunat Ab’adh

Apabila dia tidak melakukan salah satu daripada sunat-sunat yang menyebabkan sujud sahwi seperti tasyahud awal, qunud dan sebagainya seperti yang telah dijelaskan.

5.Syak Pada Bilangan Rakaat

Apabila dia tidak pasti bilangan rakaat yang telah dilakukan.

Contohnya:

Seseorang yang bersolat zuhur, kemudian syak sama ada dia sudah melakukan 3 atau 4 rakaat.

Maka, dia perlu mengambil bilangan yang sedikit, iaitu 3 rakaat dan menambah satu lagi rakaat serta disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Sumber:akuislam.com


Kemenangan tipis di Sabah tak mungkin cetus PRU15, kata penganalisis

 


PETALING JAYA:
 Dua penganalisis politik berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan mengadakan pilihan raya umum (PRU) baru selepas partinya dan sekutu memperoleh majoriti tipis dalam pilihan raya negeri Sabah.

Namun, penangguhan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam Umno, yang merupakan sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan sekutu PPBM dalam Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, Muhyiddin mungkin mahu mengukuhkan kedudukan PPBM di seluruh negara terlebih dahulu selepas gagal memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri itu.

“Kita hanya boleh jangka PRU diadakan sekiranya pasukan Muhyiddin menang majoriti lebih 40 kerusi,” katanya kepada FMT.

Pada pilihan raya Sabah Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada PN, BN dan PPBM Sabah memperoleh 38 daripada 73 kerusi untuk meraih majoriti tipis 2 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Warisan Plus berjaya mempertahankan 32 kerusi, sementara calon Bebas menang 3 kerusi.

Muhyiddin sebelum ini berkata akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal jika GRS menang di Sabah.

Persaingan Umno-PPBM

Sewaktu PN dan BN merebut kuasa daripada Warisan Plus pada malam Sabtu, Azmi berkata, PPBM yang merupakan sebahagian daripada PN hanya memenangi 11 kerusi berbanding BN yang menang 14 kerusi DUN.

“Berdasarkan ini, kedua-dua Umno dan PPBM saling memerlukan untuk menang PRU. Tetapi memandangkan Umno menang lebih banyak kerusi, mereka akan mempunyai kelebihan dalam rundingan pengagihan kerusi,” katanya.

Azmi berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan berusaha keras untuk menuntut bahagian terbesar kerusi, termasuk “kerusi bekas ahli Umno yang meninggalkan parti itu untuk menyertai PPBM.”

Katanya, ini merangkumi kerusi yang dimenangi oleh Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dan ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed. “Mereka mahukan semuanya.”

Faktor Anwar Ibrahim

Azmi berkata, Zahid mungkin bekerjasama secara diam-diam dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk memaksakan PRU jika Muhyiddin tidak membubarkan Parlimen segera.

Namun katanya, Umno mungkin tidak mahu bergabung dengan Anwar kerana akar umbi parti itu tidak akan senang untuk bekerja dengan DAP, yang merupakan sekutu Anwar dalam Pakatan Harapan (PH).

Senada dengan Azmi, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, Muhyiddin mungkin menangguhkan PRU untuk mengukuhkan kedudukan PPBM di Semenanjung.

“Ini untuk memperoleh lebih banyak kerusi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pilihan raya Sabah memberikan Zahid kuasa tawar-menawar yang beliau perlukan untuk memperoleh majoriti kerusi Parlimen.

“Beliau boleh memberi tekanan kepada gabungan PN supaya mengikut tuntutan Umno.”

Bagang berkata, sebab lain untuk menangguhkan PRU ialah potensi penyebaran jangkitan wabak Covid-19 dan sebab-sebab berkaitan ekonomi.

Bagi PAS pula, Azmi berkata, parti Islam itu tidak bertanding di Sabah dan gagal membuktikan nilainya dalam politik nasional.

“Umno sekarang berada jauh di depan, sementara PPBM ketinggalan. PAS tidak mempunyai kuasa untuk berunding mengenai kerusi pada masa ini.”

#Sumber : FMT   

PRN Sabah:Shafie Apdal jatuh dari puncak kuasa

 


PILIHAN
 raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 menjadi saksi kebangkitan Pakatan Harapan (PH) selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah lebih 60 tahun mendominasi pemerintahan negara.

Namun memasuki tahun 2019 momentum PH semakin perlahan terutamanya selepas BN membentuk kerjasama dengan Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional.

Pada tahun 2020 tsunami politik semakin ganas membadai PH apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada PH.

Akibatnya kerajaan PH tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Peralihan kuasa gabungan di Pusat menyaksikan satu demi satu kerajaan negeri iaitu Perak, Melaka, Kedah dan Johor turut bertukar tuan memihak kepada PN.

Drama politik ganas itu turut berjangkit ke Sabah apabila Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada penghujung Julai lalu.

Pada satu ketika, Tan Sri Musa Aman daripada BN hampir diangkat semula sebagai Ketua Menteri namun, Mohd Shafie berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang diadakan semalam.

Sekali imbas Mohd Shafie mengambil satu langkah bijak berbanding menyerahkan kuasa kepada Musa begitu sahaja.

Mohd Shafie yakin rakyat akan kembali memberikan mandat kepada Warisan Plus iaitu gabungan daripada beberapa parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah serta parti tempatan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Namun, walaupun Shafie dan Warisan Plus mengangkat semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ sepanjang kempen dua minggu, namun keputusan PRN kali ke-16 malam tadi memberi tamparan hebat buat bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Parti gabungannya tewas sekali gus menyaksikan Mohd Shafie jatuh dari puncak kuasa selepas memerintah Sabah selama 29 bulan.

Strategi makan diri

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg melihat kesilapan utama Mohd Shafie adalah kerana beliau memperjuangkan retorik semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ bagi menawan hati pengundi.

Hakikatnya, menurut Romzi, sekiranya Shafie jujur untuk memperjuangkan semangat berkenaan, beliau tidak menyertakan parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah dalam sekutunya.

“Rakyat Sabah tidak mahu lagi bermain dengan retorik politik semata-mata. Kalau kita nak sangat ‘Sabah untuk Sabahan’, kenapa tidak tolak terus parti PKR, DAP dan Amanah. Itu salah satu kesilapan Mohd Shafie.

Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.

Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.

“Beliau mengatakan menolak parti dari Semenanjung tetapi bekerjasama dengan parti dari Semenanjung melalui Warisan Plus. Itu kesilapan yang memakan diri,” katanya kepada Sinar Harian malam tadi.

Selain itu, menurut Romzi, terdapat dua faktor lain yang menyebabkan tumpulnya taring Mohd Shafie walaupun beliau mempertahankan kemenangannya di DUN Senallang.

Faktor itu, tegas Romzi, adalah kegagalan Mohd Shafie menghalang PRN daripada berlaku ketika Sabah berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sentimen antipendatang asing terutama di sepanjang pantai barat dan pedalaman Sabah.

“Kita masih lagi berhadapan dengan isu kemiskinan dan dalam keadaan sekarang iaitu melibatkan isu pandemik Covid-19. Tambahan pula ketika pandemik berlaku, kerajaan negeri ada masalah untuk menangani penularan wabak tersebut.

“Sehingga kini ada juga rakyat cuba menyalahkan kerajaan negeri sebab kenapa tidak menghalang PRN. Seolah-olah ada kerisauan dalam kalangan pengundi yang juga membawa kepada persepsi khususnya Ketua Menteri tidak melihat aspek keselamatan rakyat dan cuba mengheret rakyat ke satu situasi iaitu bertarung nyawa dengan Covid-19.

“Selain itu saya juga melihat tentang isu imigrasi dan ada juga rakyat mengatakan apabila Warisan menjadi kerajaan, golongan yang diragui kewarganegaraan semakin berani tampil ke hadapan. Itu khususnya mempengaruhi pengundian terutamanya melibatkan kawasan Kadazan Dusun Murut,” katanya.

Sehaluan dengan Pusat

Berkongsi pandangan yang sama, Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, tindakan pembubaran DUN Sabah oleh Presiden Warisan itu merupakan langkah reset untuk menyelesaikan krisis politik Sabah pasca-PRU14.

“Dengan pembubaran DUN Sabah, ini bermakna beliau telah bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku sama ada menang atau kalah pada PRN Sabah,” katanya.

Tony berkata, ketika pembubaran DUN yang dibuat pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie percaya beliau mempunyai sokongan kuat daripada Warisan dan parti dalam PH serta UPKO.

Namun keputusan dengan kemenangan tipis yang memihak kepada PN, BN dan sekutunya membuktikan percaturan Mohd Shafie kali ini membawa padah sehingga menyebabkan beliau hilang majoriti untuk membentuk kerajaan selepas hampir 60 peratus daripada 1.1 juta pengundi membuang undi semalam.

Menurut Tony, terdapat banyak faktor yang menyebabkan rakyat Sabah tidak kembali memilih Warisan antaranya termasuklah isu melibatkan ekonomi.

“Berdasarkan tinjaun yang dilakukan badan-badan bebas, terdapat beberapa isu yang menjadi keutamaan rakyat antaranya isu ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Rakyat melihat bagaimana bantuan-bantuan disalurkan dan bagaimana ekonomi negara diuruskan menyebabkan mereka lebih tertarik kepada PN dan mereka percaya PN dapat menangani isu-isu ekonomi semasa.

“Keduanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membicarakan tentang pembangunan dan kestabilan berjaya meyakinkan rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” katanya lagi.

Beliau berkata, amat penting kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan sehaluan agar segala perancangan dan pembangunan berjalan dengan lancar dan berkesan.

Ditanya sama ada keputusan PRN Sabah ke-16 mampu memberi impak kepada kerajaan Pusat ketika ini dan juga kepada PRU-15, Tony berkata, PRN Sabah sangat penting sebagai salah satu indikator dan kayu pengukur kepada kepimpinan PN di peringkat nasional.

“Ia sudah pasti menyuntik semangat dan keyakinan terhadap PN dan juga kepimpinan Muhyiddin. Kemenangan ini akan mengukuhkan kedudukan PN dalam menghadapi PRU kelak,” katanya.-DetikDaily

PRN Sabah :Rina Jainal tewaskan calon veteran BN dengan majoriti 10 undi

Dua muka baharu antara tujuh calon wanita yang berjaya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pertarungan sengit antara dua wanita daripada era berbeza antara yang menarik perhatian dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan apabila menyaksikan calon muka baharu daripada Warisan Rina Jainal mengetepikan calon veteran Barisan Nasional (BN) Chaya Sulaiman dengan majoriti tipis 10 undi.

Rina, 39, yang merupakan Ketua Wanita Warisan Bahagian Kalabakan menang dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi berkenaan dengan memperoleh 2,834 undi manakala Chaya mendapat 2,824 undi.

Selain Rina, calon Perikatan Nasional-STAR, Flovia Ng, 51, juga mencatat kemenangan pertamanya di DUN baharu Tulid dengan meraih 2,267 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Lima lagi calon wanita yang turut mencatat kemenangan dalam PRN kali ini ialah Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang mempertahankan kerusi Api-Api, Julita Mojungki (PBS) pula mengekalkan kerusi Matunggong manakala tiga calon Warisan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).

Seramai 43 calon wanita bertanding pada PRN Sabah kali ini yang menyaksikan 29 daripada mereka hilang wang deposit setelah gagal meraih 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

- Bernama

______