𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀𝐀𝐍 𝐎𝐋𝐈𝐌𝐏𝐈𝐊 𝟐𝟎𝟐𝟒: 𝐀𝐊𝐀𝐑 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐃𝐀𝐁𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐓𝐈
Bacaan mengopi hujung minggu kali ini lebih kepada refleksi pembukaan temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sudahkah kalian menontonnya? Kalau sudah pasti kalian rasa jijik, muak dan mual: satu penghinaan kepada bukan saja Agama Kristian tetapi juga Islam berkenaan parodi “Drag Queen” dalam pengkisahan “The Last Supper” yang melibatkan Jesus Christ (Peace be Upon Him) dan al-Hawāriyyūn (Apostles) baginda.
Bagi saya tidak pelik apa yang berlaku di Paris ini. Fenomena budaya songsang ini diagnosisnya ada dalam karya ringkas yang dikarang bersama oleh Cardinal Joseph Ratzinger (Pope Benedict XVI) dan Marcelo Pera bertajuk “Without Roots: The West, Relativism, Christianity and Islam”.
Punca masalah seperti yang dihujahkan oleh Pope Benedict XVI: Eropah telah terputus akar peradabannya dengan agama khususnya Kristian.
Ini tidak pelik lebih-lebih lagi kerana Perancis adalah pusat dan tempat di mana faham sekularisme diinstitusikan dalam pentadbiran negara pasca Revolusi Perancis 1789.
Bukan itu saja, ibu kota Paris adalah tempat lahirnya faham dan falsafah berakarkan Relativisme (tiada kebenaran hakiki dan mutlak; semua pihak ada kebenaran tersendiri) yang menjadi satu budaya baru dalam kerangka besar Pasca Modernisme (Post-Modernism) melalui faham Post-Strukturalisme yang digagasi Michel Foucault; Dekonstruksisme oleh Jacques Derrida; dan juga faham Eksistentialisme yang Sartre, de Beauvoir perjuangkan maka lahirlah masyarakat moden Eropah yang menatijahkan “tayangan” (spectacle) yang kita lihat di layar TV pembukaan Olimpik Paris 2024 itu.
Kesemua ranah dan ragam pemikiran ini seperti dirumuskan Pope Benedict XVI telah meracuni dan mematikan akar budaya dan agama di Eropah dan Barat sehingga terlucut peradaban mereka daripada akar asalnya: Agama Kristian.
Ini baru sumber dari Perancis belum kita ambil kita pengaruh sekolah falsafah Kontinenal (Continental) Jerman daripada gergasi-gergasi besar seperti Kant, Nietszche, Freud yang turut dipegang kemas oleh golongan intelektuak awam Perancis.
Kesemua pemikiran daripada mereka ini akhirnya bermuara di pelabuhan yang dipanggil “syak” (doubt) maka asas itulah akhirnya meruntuhkan tiang seri kerangka keilmuan Barat (ontologi, epistemologi, aksiologi) yang memungkinkan apa yang dihujahkan oleh Pope Benedict XVI sebagai “Kediktatoran Relativisme” (Dictatorship of Relativism) yang mana sifatnya adalah:
1) tiada lagi kebenaran tetap dan mutlak;
2) ego individu adalah hakim utama;
3) pegagangan dan faham agama tiada tempat dalam ruangan awam;
4) agama hanyalah layak ditempatkan di ruang peribadi;
5) agama ditampilkan sebagai ancaman kepada kebebasan dan kesamarataan diri dan masyarakat;
6) ilmu manusia itu bukan mutlak sifatnya - kebenaran sentiasa berubah-rubah mengikut tempat dan masa.
Jadi apa sebenarnya ubat untuk Barat dalam mendepani wabak ini?
Ironinya walaupun Pope Benedict XVI dalam buku “Without Roots” dan dalam Syarahan Regensburg pada 2006 melihat kebangkitan Islam dari segi jumlah pertambahan penganutnya sebagai ancaman kepada Kristian Katolik, beliau juga mengiktiraf bahawa Islam sebagai sebuah agama dan peradaban turut berkongsi cabaran yang sama seperti Agama Kristian dalam mendepani cabaran Zaman Moden ini.
Maka seharusnya dialog antara agama dan peradaban Islam dan Kristian diteruskan dan dirapatkan jurang agar kedua-duanya mampu merawat wabak Sekularisasi, Relativisme yang semakin ganas meracuni akar bangsa dan agama bukan saja di Eropah dan Barat malah di seluruh dunia.
Apa yang berlaku di pentas pembukaan Olimpik Paris 2024 itu patut sedarkan kita bahawa kehidupan beragama kini semakin terancam di bawa arus Kemodenan yang tidak lagi meletakkan Tuhan di hadapan malah terus hilang di telan zaman.
Kalau begitu siapakah Tuhan bagi orang-orang moden ini? Siapa lagi kalau bukan nafsu, ego kita sendiri.
Kesan daripada faham Sekularisme yang menebal Manusia Barat dan Eropah telah melalui proses “Apotheosis”: pentaqdisan manusia menjadi seperti Tuhan - tiada lebih berkuasa menentukan untung nasib bangsa berbanding dirinya sendiri.
Itulah pengajaran dan kesan daripada Matinya Akar Bangsa dan Agama (Without Roots) yang dizahirkan daripada pembukaan Olimpik Paris 2024.
Berwaspadalah wahai Ummah!
𝐘𝐁 𝐖𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐌𝐀𝐃 𝐅𝐀𝐘𝐇𝐒𝐀𝐋 𝐖𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐌𝐀𝐃 𝐊𝐀𝐌𝐀𝐋
Nota Kaki: karya “Without Roots: The West, Relativism, Christianity, Islam” ini saya mula baca dan kaji setelah diperkenalkan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud sewaktu saya pertama kali menuntut ilmu di bawah beliau pada 2008 sebelum wujudnya institusi R Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam,Science & Civilisation yang saya pernah belajar di sana. Kefahaman dan olahan saya dalam hal ini berdasarkan penafsiran ilmiah Pandangan Alam Islam yang saya belajar di bawah dididikan beliau dan para guru yang merupakan anak-anak murid Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mereka lebih layak dan pakar dalam mengulas lanjut masalah ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan