"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Khamis, 29 Januari 2026

Harumaneh Peghelih: Saat aroma semerbak dan rasa enak tidak seiring lagi

 

DI PEGHELIH suatu ketika dahulu, berdirilah sepohon mangga harumaneh yang menjadi kebanggaan ramai. Pohonnya bukanlah biasa-biasa. Batangnya tegap, sistem saliran xilem dan floemnya berfungsi dengan baik menyebarkan nutrien, akar tunjangnya mencengkam bumi dengan kukuh, membolehkan air dan zat mineral diserap dengan sempurna.

Kanopinya rimbun menghijau, proses fotosintesis berlangsung tanpa gangguan, manakala bunganya berkembang lebat setiap musim. Dari kejauhan, sesiapa sahaja yang memandang pasti yakin bahawa inilah pohon yang bakal menghasilkan buah paling harum dan paling enak.

Namun apabila musim berbuah tiba, jangkaan itu meleset. Buah yang terhasil tidak menepati namanya. Aroma semerbak yang dinantikan hampir tidak berbau, rasa kelazatannya tawar hambar, malah sebahagiannya gugur ketika masih muda lalu mereput di tanah.

Fenomena ini menimbulkan persoalan dalam kalangan mereka yang setia menunggu, apakah yang telah berlaku kepada pohon yang zahirnya begitu subur dan meyakinkan ini?

Al-Quran sering mengajak manusia berfikir melalui tamsilan yang dekat dengan fitrah kehidupan. Allah SWT berfirman:

“Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah membuat perumpamaan: kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Ia menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 24–25)

Ayat ini mengajar bahawa kebaikan yang sebenar tidak berhenti pada rupa dan struktur, tetapi pada keberhasilan yang berterusan dan penuh keberkatan. Pohon yang baik bukan sekadar hidup, tetapi menghasilkan buah yang menepati tujuan penciptaan-Nya.

Pohon harumaneh di Peghelih bukan tidak hidup. Ia tidak mati, tidak tumbang, malah terus berbunga. Masalahnya bukan pada batang yang reput atau tanah yang tandus.

Masalah sebenar berlaku dalam sistem dalaman pohon itu sendiri seperti gangguan aliran nutrien, ketidakseimbangan hormon tumbesaran seperti auksin dan giberelin, serta kewujudan unsur toksik halus yang perlahan-lahan mengganggu metabolisme buah.

Daun kekal hijau, bunga terus berkembang, tetapi hasil akhirnya rosak dari dalam.

Begitulah juga keadaan sesebuah organisasi apabila struktur zahirnya kelihatan kukuh, tetapi roh tarbiyah, adab berjamaah dan disiplin perjuangan semakin terhakis. Keahlian yang ramai, sejarah yang panjang dan simbol yang megah tidak menjamin keberkatan jika nilai asas tidak terus disuburkan. Allah SWT mengingatkan:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra‘d: 11)

Daun yang hijau tidak mampu menggantikan buah yang enak, sebagaimana pakaian mewah, serban jubah dan slogan indah tidak mampu menggantikan akhlak, kesetiaan dan ketaatan dalam perjuangan.

Apabila amanah pemerintahan diberikan, ia ibarat pohon yang telah memasuki fasa berbuah. Inilah fasa paling sensitif dalam kitar hayat sesebuah pohon. Buah memerlukan kestabilan fisiologi dan persekitaran yang seimbang.

Sedikit tekanan, sedikit goncangan mekanikal, atau perubahan dalaman mampu menyebabkan buah muda mengalami ‘abscission’ lalu gugur sebelum masak. Maka apabila pergeseran dalaman mula berlaku, nasihat pimpinan dipandang ringan dan keputusan jamaah dipersoalkan tanpa adab, buah yang sepatutnya dibesarkan bersama menjadi mangsa pertama.

Dalam ribut yang melanda, mungkin hanya dua atau tiga biji buah yang gugur. Jumlahnya kecil, lalu diabaikan. Buah-buah ini terus mereput di tanah lalu tidak lagi memberi manfaat, tidak juga menyumbang kepada masa depan pohon.

Namun dahan tempat ia berpaut terkejut menanggung beban yang banyak, lalu menjadi rapuh dan mudah bergoyang. Apabila angin ribut kepentingan dan emosi menyapa, dahan itu gagal menahan goncangan, menyebabkan beberapa lagi buah muda terlepas dan jatuh.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang pentingnya kebersamaan dengan jamaah:

“Hendaklah kamu bersama-sama dengan jamaah, dan jauhilah perpecahan.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dan dalam hadis lain, Baginda bersabda:

“Sesiapa yang memisahkan dirinya daripada jamaah walaupun sejengkal, maka dia telah menanggalkan ikatan Islam dari lehernya.”
(Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini tidak boleh difahami secara sempit dan lateral sebagai meninggalkan jamaah secara fizikal semata-mata.

Para ulama menjelaskan bahawa meninggalkan roh jamaah, iaitu adab, disiplin, wala’ kepada keputusan bersama serta kesediaan meletakkan maslahat umum mengatasi emosi peribadi juga termasuk dalam peringatan keras ini.

Seseorang boleh terus berada dalam saf, tetapi jiwanya sudah terpisah; tindakannya menjadi toksik kepada kestabilan keseluruhan sistem.

Dalam sains tumbuhan, unsur toksik tidak semestinya mematikan pokok secara mendadak. Ia merosakkan secara perlahan dan senyap.

Fotosintesis masih berjalan, bunga masih mekar, tetapi kualiti buah terus merosot. Demikian juga toksik perpecahan, ego dan hilang adab dalam organisasi yang pada zahirnya tampak biasa, namun hasil akhirnya amat mengecewakan.

Sayyidina Umar al-Khattab RA pernah berpesan:

“Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan, dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan.”

Ketaatan yang dimaksudkan bukan ketaatan membuta tuli, tetapi ketaatan yang beradab, berdisiplin dan berlandaskan tarbiyah.

Lebih mendukacitakan, apabila dahan yang sepatutnya mengukuhkan pohon pula menjadi punca kelemahan. Amanah yang seharusnya dipertahankan diganggu oleh tindakan yang lahir bukan daripada hikmah, tetapi daripada gelojoh dan ketidakpuasan hati.

Allah SWT memberi peringatan yang jelas:

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu.” (Surah al-Anfal: 46)

Terdapat juga senario dimana buah yang telah gugur dan rosak, namun masih mendakwa dirinya buah harumaneh yang asli. Hakikatnya, buah yang baik tidak perlu mengaku. Ia dikenali melalui rasa, diterima melalui manfaat dan dirindukan kerana kualitinya. Benarlah kata ulama:

“Kebenaran tidak diukur dengan siapa yang berkata, tetapi diuku dengan kesan dan amalnya.”

Perjuangan Islam tidak dibina dengan pengakuan diri, tetapi dengan keikhlasan, kesetiaan, pengorbanan kepada jamaah dan adab terhadap kepimpinan.

Namun tanah Peghelih masih subur. Rakyat tidak menolak harumaneh, dan mereka tidak membenci pohonnya. Yang mereka rindukan ialah buah yang benar-benar menepati janji dimana harum baunya, enak rasanya dan memberi manfaat.

Pohon ini masih hidup dan berpeluang untuk dipulihkan jika penjagaannya kembali kepada asas tarbiyah dan muhasabah yang jujur.

Jika akar tarbiyah kembali disuburkan, aliran dalaman dibersihkan daripada unsur toksik, dan amanah dipikul dengan rasa takut kepada Allah, pohon harumaneh ini Insya-Allah mampu kembali menghasilkan buah yang harum dan enak.

Kerana pada akhirnya, pohon yang baik tidak dinilai pada lebat bunganya atau gagah batangnya, tetapi pada buahnya. Dan apabila harumaneh tidak lagi semerbak dan enak, itu bukan alasan untuk meninggalkan pohon atau menumbangkannya, tetapi isyarat agar kita memperbetulkan cara memelihara dan menjaganya.

Insya-Allah, dengan disiplin dan kesabaran, harumaneh Peghelih akan kembali dicari dan digilai untuk dinikmati kelazatannya.

Harumaneh bertangkai panjang,
Isinya kuning bercampur merah;
Sudah muncul suasana tenang,
Tingkatkan ukhuwah dengan berusrah.

TS DR MOHD SUFFIAN YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 29/1/2026

Isnin, 22 Mei 2023

Pen’China’an Malaysia – Adakah Mitos atau Satu Realiti ?

 


Oleh:Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.:

Sekali lagi saya ingin mengajak anak bangsa dan yang seagama untuk melihat perkembangan terkini yang berlaku di Tanah Air kita dengan lebih serius melangkaui blok politik kepartian.

Ia bukan isu rasis atau perkauman, sebagaimana MCA, DAP, Gerakan, Dong Zhong, Hua Zong dan Dewan Perniagaan Cina boleh bersatu demi masa depan bangsa mereka di bumi bertuah yang bernama Malaysia.

Perkara yang dibincangkan ini bukan isu Barisan Nasional atau bukan isu Pakatan Harapan atau isu Perikatan Nasional atau isu PH-BN. Ia bukan isu DS Najib, Tun Mahathir dan DS Anwar atau isu TS Muhyiddin Yassin tetapi ini adalah isu kesejahteraan dan keselamatan negara dan isu masa depan umat.

Saya sekali-kali tidak mengangkat tajuk ini atas alasan untuk membina tahap kebencian kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina atau menganggapnya sebagai musuh, selagi semuanya mempunyai semangat patriotik dan menghormati kontrak sosial yang digunakan sejak lebih 66 tahun yang lalu.

1. Tanah Melayu pernah disebut beberapa kali sebagai sebahagian daripada wilayah ke-20 Tanah Besar China dalam silibus pendidikan rendah negara China (1938). {Anwar Abdullah - Biografi Dato Onn – 2004 - UKM}.

2. Saya sangat 'concern' dengan kesejahteraan dan masa depan negara dengan berlakunya lambakan ratusan ribu warga asing dari Tanah Besar China yang kini bermastautin di negara Malaysia seolah-olah tiada sebarang kawalan lagi.

3. Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu. Di antara tahun 2016 - 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati sebanyak 76,258 (95.6 peratus) kes tidak mempunyai rekod tarikh keluar. {Sinar Harian 3 Dis 2019}

4. Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021. Rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang. Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini. {Berita Harian 26 Julai 2022}

5. Saban minggu kita mendengar berita warga China ditangkap di Pulau Pinang, Cyberjaya, Johor Bahru, Melaka, Puchong, Ampang dan banyak lagi adalah sebahagian daripada buktinya. Kebanyakan mereka terlibat dengan industri perjudian atas talian dan industry pelacuran. Ia adalah satu 'open-secret'. {Sinar Harian 12 Dis 2019}

6. JPN mendedahkan bahawa dalam tempoh 2011-2015 sahaja sebanyak lebih 17,000 kes wanita China yang berkahwin dengan rakyat tempatan yang tidak didaftarkan. {Astroawani – 21 Mac 2016}

7. Ini tidak termasuk dengan kes penjualan kad pengenalan dan passport yang telah berlaku kepada warga asing terutamanya dari tanah besar China. {The Star 30 Oct 2019}

8. Ini tidak termasuk ribuan pekerja warga China yang dibawa masuk bagi menyiapkan lebih 70 projek mega syarikat besar China yang menelan belanja ratusan billion RM. Di antara projek-projek mega tersebut adalah Forest City (Johor), Malacca Gateway, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Sepanggar (Sabah), Perlis Inland Port, ECRL, Terowong Pulau Pinang, Pelabuhan Pulau Carey (Selangor), Sarawak Steel Plant dan puluhan projek yang lain. {PenChinaan Malaysia - 2018 - IRIS}.

9. Rakyat China merupakan warga asing yang paling ramai membeli rumah di Malaysia melalui program Malaysia My Second Home {UKM e-journal}. . Bahkan inisiatif kerajaan China menggalakkan warganya menetap di Malaysia dengan memberi kemudahan pinjaman peribadi melalui China Bank of China cawangan Malysia. {PenChinaan Malaysia - 2018 - IRIS}.

10. Pemilikan dokumen rasmi seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan passport yang pernah didedahkan dahulu merupakan kemuncak kepada kerisauan kerana ia membuktikan wujudnya pengkhianat dan petualang negara yang terdiri daripada orang dalam agensi kerajaan. {Berita Harian 12 Nov 2019}

11. Rakyat malaysia juga sangat risau dengan perkembangan di Laut China Selatan dengan pelbagai cubaan kapal pengintip, kapal nelayan dan armada laut China yang menceroboh perairan Malaysia dan telah membina persiapan ketenteraan mereka secara besar-besaran di Laut China Selatan. { Asyraf Farique - Landskap Mei 2020 - IRIS}

12. Kita telah lihat apa yang berlaku di Zimbabwe, Sri Lanka, Kenya dan lain-lain akibat berhutang kepada negara China. {NY Times 25 June 2018}

13. Rakyat Malaysia juga ‘concern’ dengan siri cubaan dari dalam negara untuk menghidupkan ideologi komunis, contohnya dengan kes menyeludup masuk debu mayat mendiang Chin Peng (Ketua PKM) ke Perak pada September 2019. {Astroawani 28 Nov 2019}

14. Ada juga di kalangan rakyat Malaysia termasuk ahli politik yang turut memperjuangkan agenda komunis secara terbuka dengan menghadiri perhimpunan seramai lebih 300 orang bekas anggota komunis Malaya di Kole New Era Kajang. {Berita Harian 1 Dis 2019}

Saya menyarankan agar para YB Menteri, dan semua Ahli Parlimen dari kalangan orang Melayu dan umat Islam untuk mengkaji isu ini serta memperjuangkannya bersama di Dewan Rakyat.

Ini bukan isu BN atau PH atau isu PN, atau isu PH-BN tetapi ini adalah isu keselamatan dan kesejahteraan negara, isu masa depan umat Islam dan bumiputera sebagai rakyat majoriti di negara Malaysia yang tercinta. Setiap yang mengaku sebagai rakyat Malaysia mesti membuktikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara yang tercinta.

Malaysia harus dibangunkan sehingga menjadi sebuah negara kuat, maju dan berdaulat dengan Muslim yang berwibawa sebagai tunjang kepimpinan negara bersama dokongan pemimpin dari segenap lapisan masyarakat.

Dr Zainur Rashid Zainuddin

Bersambung : [ t.me/zainurrashid ]

Rabu, 6 Julai 2022

Dalang bencana Ladang Musang King? Tuduhan liar makan diri

 


SETIAP kali berlaku bencana, tuduhan liar akan terus muncul. Muncul daripada orang yang malas menyemak fakta atau berniat jahat. 

Wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim pada 8 April 2021 telah menulis satu kronologi dalam laporan berita bertajuk ‘Kaji Semula Projek Musang King’.


Berikut adalah kronologi yang ditulis. Sesiapa yang membaca kronologi secara adil maka pasti nampak siapa ‘dalang’ dan siapa penyelamat sebenarnya. 

Kronologi

21 November 2018 – Kerja-kerja membuat teres di Gunung Inas giat dijalankan. Antaranya dibina rumah pekerja, sistem kumbahan yang terus disalurkan ke sungai yang menjadi bekalan air bersih 17 kampung melibatkan 21,000 penduduk. Terdapat kesan minyak mengalir ke dalam sungai serta sisa plastik tidak diurus secara sistematik.

27 November 2018 – Laporan rasmi ke Jabatan Alam Sekitar susulan banjir lumpur dibuat oleh penduduk kampung dan Peka Kedah.

3 Januari 2019 – Penduduk terlibat dalam pembinaan empangan air di kompartmen 8 Gunung Inas mahu sumber minuman utama itu diselamatkan daripada pencemaran pembalakan dan projek Musang King. Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani Kedah, Azman Nasrudin memberitahu kerajaan telah arahkan pemaju perbaiki semula empangan air masyarakat yang terjejas.

31 Ogos 2019 – Kira-kira 200 penduduk Kampung Sineyek, Baling menerima kesan buruk akibat projek Musang King di Gunung Inas. Kerja-kerja penarahan bukit dan penebangan pokok menyebabkan banjir dari tapak projek membawa hakisan pasir dan lumpur ke kawasan penduduk setiap kali hujan lebat.

4 September 2019 – Kampung Sineyek terus dilanda banjir lumpur dan pasir dari Gunung Inas yang didakwa berpunca daripada projek tanaman Musang King.

8 Jun 2020 – Lebih 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang terdedah pencemaran air tidak bersih dipercayai berpunca dari projek Musang King dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas. Antara kampung terjejas adalah Kampung Iboi, Masjid Iboi, Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.

Julai 2020 – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan hentikan tanaman Durian Musang King dan kembali kepada tanaman dibenarkan untuk ladang hutan ganti tanah diluluskan.

Sepanjang kronologi yang disusun oleh Wartawan Sinar Harian ini mendedahkan kita mengenai pertanggungjawaban yang diambil oleh pemimpin-pemimpin yang berada di tampuk kuasa untuk negeri Kedah. 

Kehadiran YAB Menteri Besar Kedah yang baru Dato’ Seri Muhammad Sanusi sebenarnya adalah untuk memperbaiki keadaan yang telah dikusutkan berkaitan polemik penanaman Musang King di kawasan Gunung Inas berdekatan hulu Sungai Kupang. 

Pada Julai tahun 2020 yang lalu, sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), sempena Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diadakan di Baling, Dato’ Seri Muhammad Sanusi telah mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

Ini bermakna jika tidak berlaku perubahan kerajaan maka Projek Ladang Durian Musang King (LDMK) itu akan tetap diteruskan oleh kepimpinan Mantan Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir. 

Sewaktu Dato’ Seri Muhammad Sanusi mengarahkan pemberhentian Projek LDMK tersebut, 2,000 ekar telah ditanam. Ini bermakna betapa kuatkannya kedudukan syarikat pengusaha ladang ini ketika era PH memerintah. Keluh kesah rakyat di sana seperti tak dihiraukan.

Jika kerajaan tersebut terus bertahan, entah berapa ekar lagi tanah habis untuk Durian Musang King. Namun kini, tiba-tiba hari ada komen-komen liar daripada penyokong PH menyalahkan Menteri Besar Kedah sekarang.

Bagaikan mabuk ketum dibuatnya. Setelah puas buang najis bertaburan di tengah jalan, akhirnya orang yang tolong cuci pula dipersalahkan. Sungguh pelik bin ajaib!

Sewajarnya pada waktu ini, bukan masanya bagi penyokong PH untuk membuat komen liar sebegini mempersalahkan kepimpinan Menteri Besar Kedah sekarang. 

Ketika mana Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi dan tim beliau sedang kalut menyantuni mangsa-mangsa terjejas di Kampung Iboi, sebahagian penyokong PH pula memilih untuk buat kerja fitnah kotor. 

Ketika mana seluruh tim ejensi Kerajaan Negeri Kedah dan Persekutuan dikerahkan membantu ketika bencana yang berlaku, ada pula pihak sibuk menangguk modal basi yang akhirnya makan diri. 

Tak cukup dengan itu, seluruh jentera PAS, NGO dan ejensi bawah PAS seperti Jabatan Amal Malaysia juga telah bertungkus lumus di lapangan melakukan operasi cuci rumah, dapur rakyat memberi makan mangsa serta petugas sukarelawan dan sebagainya. 

Cukuplah itu. Kalau tak mahu membantu pun, hentikan fitnah dan tuduhan liar yang tak bertanggungjawab tersebut. Rakyat di bawah akan terus menilai…

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 6/7/2022

Ahad, 6 Mac 2022

Umat Islam perlu 'buka mata' krisis Ukraine-Russia

KRISIS yang berlaku di Ukraine sekarang membabitkan pertembungan antara blok Barat dengan Russia. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada krisis itu kerana sesungguhnya ia membuka mata kepada beberapa hakikat dunia yang sebelum ini tersembunyi.

Hipokrasi dunia Barat jelas kelihatan dalam krisis ini. Mereka boleh bersatu untuk mengecam penjajahan Russia di Ukraine, tetapi sedikitpun tidak berbunyi dalam isu penjajahan yang berlaku banyak tempat di dunia Islam, Palestin terutamanya.

 Umat Islam tidak boleh lagi berharap kepada kuasa Barat sebagai payung perlindungan, sebaliknya perlu membangunkan kekuatan sesama negara Islam. Kekuatan kesatuan dan kesepaduan dalam tindakan negara-negara Islam, baik dari sudut ekonomi dan ketenteraan akan menggerunkan musuh.

Dalam hal ini juga terlihat kebergantungan mutlak kepada teknologi luar yang memusuhi umat Islam adalah merugikan. Huawei misalnya tidak lagi dapat menjual telefonnya seperti dulu kerana sekatan yang dibuat oleh Google. Russia kini berdepan sekatan yang sama, Apple khabarnya akan menyekat beberapa perkhidmatan di Russia, Google mungkin akan menyusul. Jika Microsoft pun berani bertindak, banyak pengguna peribadi dan organisasi di Russia akan menerima kesan.

Pengaruh institusi dunia juga kelihatannya akan digunakan untuk menekan negara yang tidak selari dengan kehendak Barat. Jutawan, Roman Abramovich misalnya mengumumkan akan menjual Chelsea selepas mendapat tekanan Parlimen Britain. Persatuan Berbasikal Antarabangsa (Union Cycliste Internationale) tidak lagi membenarkan pasukan Russia bertanding dalam acara di bawahnya. Begitu juga dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kelab-kelab Russia digantung, bahkan negara itu juga tidak akan dibenarkan menyertai Piala Dunia.

Tidak terkecuali industri hiburan turut mula memboikot Russia apabila filem Batman dibatalkan tayangannya di sana. Tidak pasti adakah Netflix nanti juga akan menyekat capaiannya.

Justeru, media utama di negara Islam perlu diberi nafas baharu dan menyusun agenda yang menguntungkan umat Islam. Al Jazeera semata-mata tidak mencukupi sedangkan jika dilihat dalam krisis Ukraine-Russia hari ini, media di barat memberikan liputan yang jelas berat sebelah.

Tiba masanya untuk umat Islam berani keluar dari kerangka kehidupan Barat dan membina modul sendiri yang lebih bebas dan berperanan dalam menentukan masa hadapan dunia.

-BH Online

Jumaat, 4 Mac 2022

1MDB:3 Kenyataan Menggemparkan Leissner Yang Anda Perlu Tahu

 


Skandal 1MDB tidak pernah menjemukan pembaca. Selain membawa keruntuhan kerajaan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, ia juga turut membawa aib kepada ramai orang yang terpalit dengan rompakan wang rakyat Malaysia terbesar di dunia dianggarkan AS$6.5 bilion (lebih RM26 bilion).

Ceritanya (plot utama) ialah mengenai tiga lelaki berkelulusan tinggi, memegang jawatan menjadi idaman ribuan orang, bersekongkol dengan beberapa pemimpin politik dan pentadbir awam dan swasta merompak wang pelaburan rakyat Malaysia.

Oleh kerana mereka tidak bermoral dan percaya wang menguasai semua, cerita-cerita sampingan (sub-plot) di mana personaliti berkait dengan watak-watak utama turut menggemparkan cerita berepisod ini.

Itulah yang berlaku sekarang.

Jalan ceritanya ialah bagaimana seorang pemimpin negara bersekongkol dengan tiga lelaki merompak berbilion wang rakyat Malaysia.

Plot utamanya ialah bagi pemimpin negara itu, wang diperlukan untuk menjamin kesinambungan kuasanya.

Sementara tiga lelaki berkenaan, wang untuk merasai segala yang diidamkan: rumah mewah, pesta hangat bersama arak, wanita dengan artis-artis Hollywood terkemuka, dan hubungan sulit dengan wanita-wanita ternama.

Di antara tiga lelaki itu, dua adalah rakyat Malaysia – Roger Ng (bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs Malaysia), Low Taek Jho atau Jho Low (dalang yang rapat dengan pemimpin negara) – dan seorang warga Jerman Timothy Leissner (pengerusi Goldman di Asia Tenggara).

Turut menghiasi plot sampingannya ialah bagaimana watak-watak di ibu pejabat bank pelaburan berprestij itu, penasihat serta pengurusan kanan 1MDB diarah oleh pemimpin negara dan tiga lelaki mempengaruhi mereka agar memilih bank pelaburan tersebut bagi mengatur penjualan bon (sekuriti pelaburan di mana seseorang pelabur meminjamkan wang kepada 1MDB bagi tempoh tertentu untuk mendapatkan bayaran faedah tetap. Apabila matang, 1MDB akan pulangkan kesemua wang pinjaman kepada pelabur).

Latar belakang drama yang menggemparkan dunia ini mengelilingi dunia: Kuala Lumpur, Singapura, London, Las Vegas, New York dan Festival Filem Cannes, Perancis.

Semuanya adalah kota raya terkemuka dunia di mana wang adalah raja.

Cerita bermula di mahkamah persekutuan Amerika di New York di mana Ng dituduh melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) yang melarang syarikat dan rakyatnya, serta bukan negarawan melakukan rasuah dan pengubahan wang haram melalui sistem kewangannya.

Ng, yang diekstradisi ke Amerika (tindakan Malaysia membenarkan dia menjalani perbicaraan di sana atas dakwaan telah melakukan jenayah mengikut perjanjian penguatkuasaan undang-undang bersama), didakwa memberi rasuah pegawai-pegawai di luar negara, memintas kawalan perakaunan, dan pengubahan wang haram, di samping menyelewengkan AS$35 juta (hampir RM146 juta) wang rakyat Malaysia daripada jualan bon 1MDB.

Jho Low, yang turut didakwa bersama Ng sejak 2018 masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika dan Malaysia. Pihak Malaysia berkata dia dilihat di China, tetapi Beijing menafikannya.

Dari perbicaraan itu, pembaca digemparkan oleh Leissner bahawa dia telah melakukan hubungan sulit dengan beberapa wanita ketika bertugas di Goldman Sachs. Lebih dari tiga wanita Malaysia dikatakan ada hubungan sulit dengannya. Setakat ini, hanya Datuk Rohana Rozhan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat media Astro Malaysia Holdings Bhd telah disebut dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, Leissner kemudian berkahwin dengan bekas supermodel dan personaliti TV Amerika Kimora Lee Simmons.

Perkahwinan ini juga menggemparkan. Dia mengaku telah dua kali berkahwin dengan dua wanita serentak atau dalam masa yang sama. Ini dilakukan apabila dia memalsukan surat cerai bagi memudahkan dia berkahwin dengan Kimora pada 2014.

Ketika itu dia adalah suami sah Judy Chan.

“Saya palsukan surat cerai itu menggunakan photoshop,” katanya.

Dia juga memberitahu juri dokumen cerai itu dipalsukan ketika berkahwin dengan Judy Chan di Hong Kong pada 2000.

Kenyataan kedua yang menggemparkan ialah dakwaan Leissner bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pemindahan AS$1 bilion (kira-kira RM4 bilion) wang pertukaran asing dalam sehari daripada akaun 1MDB ke PetroSaudi International setelah suami gabenor bank pusat itu Zeti Akhtar Aziz menerima rasuah.

“Anda perlu tahu pada 2009 Malaysia masih ada kawalan kewangan yang memerlukan pelaburan sebesar itu meninggalkan negara wajib diluluskan oleh Bank Negara.

“Satu bilion dolar telah diluluskan dalam sehari dari Malaysia ke syarikat usahasama itu dan ia berlaku kerana suami gabenor Bank Negara telah menerima rasuah. Jadi, dalam sehari sahaja wang tersebut dipindahkan, dan ia tidak pernah dilakukan pada masa itu,” dakwanya.

Bagaimanapun, November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kira-kira RM65 juta daripada dana-berkaitan 1MDB yang dipegang oleh syarikat milik Tawfiq Ayman, suami Zeti, telah dipulangkan.

Kenyataan ketiga sama hebat ialah dakwaan Leissner bahawa dia dan Ng berjaya menarik pelaburan AS$3 bilion (lebih RM12 bilion) untuk 1MDB dari penjualan bon ketiga – dirujuk sebagai Projek Catalyze. Jho Low memberitahunya bahawa wang itu akan digunakan untuk membiayai PRU 2013.

Dakwaan tersebut telah mendesak setiausaha agung DAP Lim Guan Eng di Dewan Rakyat supaya SPRM menyiasat bekas perdana menteri Najib Razak mengenainya.

Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia secara peribadi menemui Najib dan berurusan dengan setiausaha-setiausaha peribadinya.

Leissner adalah bekas majikan Ng yang menjadi saksi pendakwaan setelah mengaku salah pada 2018 di mahkamah atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram dan melanggar FCPA.

Beliau turut mengaku memberi rasuah kepada pegawai-pegawai Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu untuk melicinkan urusan penjualan bon oleh Goldman Sachs.

Mahkamah AS telah mengarahkan Leissner membayar denda hampir AS$44 juta (kira-kira RM180 juta) serta jaminan akan dipertimbangkan hukuman ringan.

Inilah tragedi apabila syarikat pembangunan strategik kerajaan 1MDB disalahguna oleh pemimpin Barisan Nasional dan pengurusan yang dipilih untuk memperkayakan diri sendiri dan parti yang amalkan rasuah.

Tragedinya, 1MDB yang merupakan dana untuk memperbaiki kehidupan rakyat kini menjadi beban hutang melebihi RM42 bilion yang perlu ditanggung oleh rakyat dan anak cucu mereka.

Bahkan, pada waktu itu, ada juga mangsa akibat skandal terbesar pemimpin Barisan Nasional itu – bekas ketua peguam negara Abdul Gani Patail diberhentikan dengan cara yang amat kasar sekali.

Begitu juga bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull yang diancam dibuang kerja, bersara awal, dipindah ke jabatan latihan, dan peluru dihantar ke rumahnya ketika dia menyiasat kes 1MDB.

Inilah balasan dosa Barisan Nasional, terutamanya pemimpin Umno.

Menjelang PRN Johor ini, ambillah iktibar kerana pemimpin-pemimpin kluster mahkamah yang terlibat dengan 1MDB ingin kembali semula. Jangan pengundi tertipu lagi.

Kebenaran betapa buruknya rasuah 1MDB adalah benar, beban berbilion ringgit ditanggung rakyat juga benar.

Perbicaraan di mahkamah AS adalah perlu bagi membuktikan kebenaran ini.

Asal tulisan dari SINI

-Anak Sungai Derhaka

Khamis, 18 November 2021

Pilihan pelaburan untuk nikmati pendapatan RM7,000 sebulan

 

Petua pelaburan adalah pempelbagaian, jadi lebarkan wang anda meliputi unit amanah, saham dan hartanah. (Rawpixel pic)

Setiap orang mempunyai pandangan sendiri apabila ditanya apakah makna “pelaburan” kepada mereka.

Ada yang beranggapan pelaburan lebih penting daripada menabung. Ada pula yang percaya menabung adalah langkah pertama pelaburan kerana bagaimana mahu melabur kalau tiada duit tersimpan bukan?

Petua pelaburan adalah pempelbagaian, iaitu anda tidak mempertaruhkan segala-galanya dalam satu usaha.

Satu lagi faktor penting adalah masa, tak kisahlah sama ada saham, hartanah atau emas.

Cuba renung senario ini: kadar faedah hari ini rendah ketika harga emas sedang meningkat. Patutkah anda tukar semua wang tunai kepada emas? Sudah tentu tidak bukan? Bagaimana kalau anda perlukan wang tunai sekiranya berlaku kecemasan?

Satu lagi tanggapan salah mengenai pelaburan ialah ia satu bentuk perjudian atau kegiatan hanya untuk orang kaya dan bakal pesara.

Terdapat juga orang yang melihat pelaburan sebagai suatu bidang yang berisiko tinggi atau terlalu rumit dan mengundang tekanan.

Melabur dalam pelan pembiayaan dan polisi berkaitan insurans merupakan langkah baik kerana terdapat unsur perlindungan. (Rawpixel pic)

Walaupun diakui pelaburan mempunyai risiko tersendiri, namun terdapat banyak jenis produk pelaburan selain bergantung kepada setinggi mana risiko yang sanggup anda hadapi dan masanya.

Selain itu, usia muda dengan hayat bekerja yang panjang boleh membantu mengimbangi jatuh bangun dunia pelaburan.

Simpanan tetap

Bentuk pelaburan paling asas adalah simpanan tetap. Salah sebuah bank terbesar di sini menawarkan simpanan minimum sebanyak RM1,000 untuk tempoh dua bulan dan ke atas.
Jumlah minimum untuk tempoh simpanan sebulan ialah RM5,000 dengan kadar faedah kurang 2% setahun.

JIka anda ada RM5,000 atau lebih di tangan, ia boleh dijadikan simpanan tetap untuk tempoh lebih panjang.

Simpanan tetap adalah sama baiknya dengan wang tunai kerana ia boleh dikeluarkan dengan segera, namun manfaat faedah yang patut anda perolehi akan berkurang sekiranya wang dikeluarkan sebelum matang.

Perhatikan reka bentuk Crisantha Type A yang kemas lagi rapi.

Unsur pengkompaunan dalam simpanan tetap juga memberi manfaat kepada anda.

Bagaimanapun, adalah kurang menguntungkan sekiranya anda membuat simpanan tetap pada kadar faedah rendah ketika ini yang berada bawah 2%.

Meskipun begitu, beberapa bank mungkin menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi sedikit daripada 2% setahun.

Ketika Malaysia sedang beralih ke arah fasa endemik Covid-19, banyak kawalan ke atas sektor ekonomi dan sosial ditarik balik.

Permintaan yang tertahan-tahan sebelum ini menyebabkan orang ramai lebih giat berbelanja dan kadar inflasi dijangka akan meningkat, mungkin lebih tinggi daripada 2%, pada suku akhir 2021.

Insurans

Pelaburan pada asasnya adalah menjana kekayaan. Insurans pula adalah perlindungan. Beberapa pelan pembiayaan dan polisi berkaitan pelaburan mempunyai unsur perlindungan.

Bergantung kepada syarikat insurans dan produk masing-masing, premium polisi insurans berkaitan pelaburan dilaburkan ke dalam unit amanah. Unit-unit ini pula dipengaruhi pasaran saham.

Prestasinya bergantung kepada prestasi dana-dana berkenaan dan pencapaian pengurusnya.

Gerbang dan halaman umpama tempat percutian.

Anda boleh mengeluarkan wang lebih awal tetapi kemungkinan besar nilainya lebih rendah daripada jumlah yang sudah anda bayar. Oleh itu, nilai wang tunainya tidak terjamin.

Anda boleh sahaja meneruskan pembayaran sehingga berusia 100 tahun. Lebih lama anda meneruskan polisi itu, lebih banyak wang diasingkan untuk pelaburan, sama seperti lebih banyak wang diasingkan untuk perlindungan anda pada awal tempoh.

Pelan pembiayaan pula adalah sejenis pelan simpanan yang mempunyai banyak terma matang, misalnya 20 tahun.

Selepas matang, anda akan menerima wang secara sekali gus. Ada orang beranggapan ia adalah cara simpanan lebih selamat. Skop pelaburannya termasuk saham perdana (blue chip), hartanah, bon kerajaan dan produk berisiko rendah yang lain.

Tidak seperti polisi insurans berkaitan pelaburan, anda boleh memilih untuk membayar selama 10 tahun. Anda juga boleh meneruskannya untuk 10 tahun seterusnya tanpa perlu bayar sebarang premium. Ada banyak jenis produk ditawarkan.

Unit amanah

Unit amanah melibatkan banyak pelabur yang mengembleng wang masing-masing untuk diuruskan oleh sepasukan profesional sepenuh masa.

Pelabur boleh mengarahkan supaya wang daripada simpanannya disalurkan ke unit amanah setiap bulan.

Ada banyak jenis “dana amanah”yang ditawarkan dan bergantung kepada setinggi mana risiko yang sanggup anda hadapi, matlamat pelaburan dan tumpuan anda.

Umumnya ia terbahagi kepada tiga kategori, iaitu bon, saham dan dana seimbang yang menggabungkan bon dan saham.

Ada orang menumpu kepada satu-satu negara, atau satu-satu rantau, misalnya AS atau Asia, atau serata dunia. Ada juga yang memberi tumpuan kepada sektor atau industri khusus, misalnya sektor teknologi.

Komisyen agak tinggi di Malaysia dan mesti dibayar sekalipun hasilnya negatif.

Saham

Bergantung kepada saham, sektor atau syarikat yang dibeli, selaku pemegang saham anda akan meraih hasilnya dalam dua cara: dividen atau naik nilai modal atau kedua-duanya.

Saham, yang juga dikenali sebagai ekuiti, dianggap sebagai antara pelindung nilai terbaik bagi menghadapi inflasi.

Sebagai contoh, syarikat makanan yang tersenarai di bursa mungkin sekali menaikkan harga barangan kerana harga tepung, minyak, dan bahan lain meningkat.

Justeru harga produk akhir akan naik seiring inflasi.

Masalah dengan saham ialah ia tidak stabil. Terdapat banyak syarikat dan sektor yang tersenarai jadi anda disaran membuat penyelidikan terlebih dahulu kerana anda mungkin tidak tahu saham sektor atau syarikat mana yang perlu dibeli.

Strategi yang anda gunakan bergantung kepada risiko yang sudi anda tanggung.

Malaysia kini menuju pemulihan tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pasaran seperti peningkatan kes Covid-19 atau kematian akibat wabak.

Hartanah

Membeli rumah boleh dikatakan pelaburan terbesar dalam hayat seseorang.

Memandangkan rumah memerlukan belanja yang tinggi, anda harus mempunyai sebab yang jelas untuk membelinya. Adakah rumah ini untuk kediaman atau untuk pelaburan?

Jika rumah itu merupakan tempat anda berteduh, maka anda harus tahu apakah kemudahan di sekitarnya akan memudahkan dan menyenangkan hidup anda. Ini amat penting kerana rumah itu akan menjadi syurga anda untuk tahun-tahun mendatang.

Sekiranya ia untuk pelaburan, anda mungkin mahu menetap di situ buat sementara dan kemudian menyewakannya sebelum dijual.

Membeli hartanah sebagai pelaburan melibatkan dua faktor – kenaikan nilai harga dan pendapatan sewaan.

Hartanah merupakan pelaburan jangka panjang. Ketika ini, pasaran cenderung kepada penyewa. Kediaman atas tanah lazimnya merupakan pelaburan yang popular.

Andaikata sebuah rumah berharga RM700,000 dan sewa bulanannya pula ialah RM2,000, maka kadar hasilnya sekitar 3.42% (RM2,000 x 12 = 24,000/700,000). Ini kiraan mudah. Tolak wang keluar daripada pendapatan sewa.

Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad menawarkan banyak projek kediaman bertanah yang mempunyai potensi pelaburan berbaloi.

Terletak di Bandar Sri Sendayan, terdapat banyak kemudahan di sekitarnya seperti sekolah, klinik dan tempat riadah. Ia juga mempunyai akses mudah ke lebuh raya-lebuh raya utama. Semua ini patut dipertimbangkan sebelum membeli rumah.

Jika pendapatan isi rumah anda adalah RM7,000, pasukan kami di Matrix Concepts boleh memberi nasihat tentang pelaburan hartanah yang patut dipertimbangkan.

Selain itu, apa kata jika anda sertai tinjauan ini dan berpeluang menangi e-dompet Touch n Go bernilai RM88.-FMT