"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Isnin, 28 Februari 2022

'Fenomena salji jarang dilihat, tapi boleh berlaku di Gunung Kinabalu' - MetMalaysia

 FENOMENA salji di Gunung Kinabalu.

FENOMENA salji di Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, memaklumkan situasi atau fenomena salji bukanlah perkara mustahil boleh berlaku di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.

Beliau berkata, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celsius, selain terdapat kelembapan yang mencukupi.

"Kebiasaannya kita boleh melihat proses pembekuan dan hal ini adalah menghasilkan ketulan ais di permukaan biasanya di batu-batu yang sejuk.

"Tetapi ada kalanya ketika dalam keadaan tertentu, salji boleh terbentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi, selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan.

"Fenomena ini jarang kita lihat tapi ia boleh berlaku," katanya menerusi kenyataan video berkaitan fenomena salji di Gunung Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, pendaki dan malim Gunung Kinabalu terkejut selepas merasai pengalaman luar biasa melihat ketulan putih dipercayai salji jatuh dari langit ketika berada di kawasan Sayat-Sayat, dekat puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, cuaca difahamkan sangat sejuk dan secara tiba-tiba kelihatan ketulan putih menyamai salji dilaporkan jatuh dari langit berhampiran puncak gunung berkenaan selama kira-kira dua minit.

-BH Online

23 anggota dan pegawai polis dibuang kerja

 

RAMLI MOHAMED YOOSUF (dua dari kanan) menyatakan sesuatu kepada anggota yang menerima sijil penghargaan du IPK Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan apabila seramai 23 anggota dan pegawai polis di negeri ini dibuang kerja sejak 2020 akibat pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, antara kesalahan tertinggi dilakukan melibatkan penyalahgunaan dadah, rasuah, salahguna kuasa (tatatertib) dan beberapa jenayah lain.

“Daripada 23 anggota yang dikaitkan rekod menunjukkan seramai 14 anggota dan pegawai dibuang kerja pada tahun lalu manakala sembilan orang lagi pada tahun 2020.

“Angka tersebut adalah sangat membimbangkan kerana melibatkan kesalahan yang dihukum mahkamah sekali gus akan dibuang kerja,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan bagi bulan Januari 2022 di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Ramli, tindakan pembuangan kerja itu dilakukan selepas mereka didapati bersalah oleh pihak mahkamah.

Beliau memberitahu, tindakan buang kerja itu diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain supaya tidak terlibat dengan kesalahan berkenaan.

Dalam pada itu beliau berkata, semua perilaku melibatkan pelbagai jenayah oleh anggota dan pegawai akan memberi kesan kepada pasukan PDRM sekali gus mencemarkan nama baik institusi keselamatan itu. – K! ONLINE

Ahad, 27 Februari 2022

'Heret semua individu terkait 1MDB ke mahkamah Malaysia'


IPOH - Pihak berkuasa di negara ini didesak supaya mengheret semua individu dinyatakan di dalam prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, nama-nama yang disebut bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner ketika perbicaraan di AS itu tidak pernah disentuh ketika perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan syarikat 1MDB.

Menurutnya, gambaran yang diberikan sebelum ini terutama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam isu 1MDB hanya melibatkan Najib dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low amat berbeza dengan keterangan Leissner.

"Kita tertanya-tanya mengapa nama-nama ini tiada di dalam pendakwaan di Malaysia dan digambarkan konspirasi 1MDB ini hanya melibatkan Najib dan Jho Low semata-mata. Dengan pendedahan yang dibuat di Mahkamah AS, amat wajar untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas individu-individu yang disebutkan Leissner.

"Kalau kerajaan benar-benar mahu membanteras gejala rasuah ini, pendedahan yang dibuat di Mahkamah AS itu perlu diberikan tumpuan serius demi membersihkan nama baik negara," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Hamidah turut mendesak Mahathir dan juga Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengeluarkan kenyataan berhubung pendedahan dibuat oleh Leissner itu.

Menurutnya, dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Pengerusi Pejuang itu cuma mengaitkan Najib, Jho Low dan Putera Arab Saudi di dalam kes 1MDB.

"Saya antara rakyat Malaysia yang percaya bahawa konspirasi 1MDB hanya melibatkan Najib dan Jho Low sehingga saya dipecat daripada UMNO sedangkan terdapat individu lain yang terlibat di dalam konspirasi ini.

"Jadi saya desak agar Tun M dan juga Pejuang menyatakan pendirian mereka terhadap pendedahan terbaharu ini jika betul-betul ikhlas menentang rasuah seperti yang diperjuangkan," katanya.

Leissner menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya.

Dalam keterangannya seperti dilaporkan media, Leissner memberitahu mahkamah bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan pemindahan pertukaran asing sebanyak AS$1 bilion semalaman (overnight) daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) selepas suami kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz iaitu Datuk Tawfiq Ayman didakwa disogok untuk membolehkan perkara itu berlaku (‘make it happen’).

Perbicaraan di Mahkamah New York pada Isnin itu turut mendedahkan berkaitan pembelian sebuah rumah di London pada 2013 untuk kekasihnya yang juga seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat media bernilai RM41.8 juta.

Perbicaraan bermula 14 Februari lalu di mahkamah persekutuan di Brooklyn, dengan pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

-SH Online

Sabtu, 26 Februari 2022

Leissner mengaku curi puluhan juta dolar dana 1MDB

 TIM Leissner. FOTO fail AFP

TIM Leissner. FOTO fail AFP

New York: Bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, yang mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), memberi keterangan dia turut mencuri puluhan juta dolar daripada rakan jenayah dalam penipuan itu.

Leissner, 52, yang juga saksi utama kerajaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, memberi keterangan itu semalam di mahkamah di Brooklyn, New York.

Katanya, 'sebahagian besar' daripada AS$6.5 bilion (RM27.3 bilion) diperoleh melalui tiga perjanjian bon 1MDB yang dibuat bersama Ng digunakan untuk membayar sogokan dan rasuah kepada pegawai di Malaysia serta Abu Dhabi.

Namun, menurut Leissner, wang sogokan bernilai AS$60 juta (RM252 juta) yang disimpan untuk dirinya sendiri tidak mencukupi.

Apabila pembiaya dari Malaysia, yang juga dalang skandal itu, Jho Low, memintanya 'memegang' 145 juta Euro (AS$162 juta) dalam sebuah syarikat di Mauritius, beliau melihatnya sebagai satu peluang.

Disebabkan kebanyakan wangnya dilaburkan dalam aset tidak cair, Leissner memberitahu juri dia menyimpan AS$80 juta (RM336 juta) untuk dirinya, sendiri selain turut meminjam AS$1.25 juta (RM 5.25 juta) daripada Ng.

Leissner berkata, penahanannya pada 2018 menghalang beliau membayar balik wang berkenaan kepada Ng.

"Saya mempunyai niat untuk membayarnya kembali dari semasa ke semasa tetapi tidak mendapat peluang," katanya kepada juri.

Untuk rekod, Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan bersetuju untuk bekerjasama dengan harapan dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.

Pada perbicaraan hari keempat, beliau memberi keterangan dalam perbicaraan yang menyelidik kehidupan peribadinya termasuk bagaimana dia berbohong, mencuri dan menipu.

Leissner berkata dia menggunakan sebahagian wang yang dicuri daripada Jho Low untuk membeli bot bernilai AS$50 juta (RM210 juta), sebahagian pasukan bola sepak Inter Milan dan pangsapuri di 68th Street serta Madison Avenue, Manhattan.

Sebahagian wang turut digunakan sebagai bayaran pendahuluan sebuah rumah di Los Angeles, yang dikongsi dengan isterinya, Kimora Lee Simmons, seorang bekas model antarabangsa.

Selain itu, dia juga melabur dalam syarikat multimedia, All Def Digital Inc dan syarikat minuman tenaga, Celsius Holdings Inc.

Leissner dijangka menyambung semula keterangannya, Isnin depan.

-myMetro


 #Bermadu #ManusiaDanPeristiwa #ApaSaja: ‘Suami kahwin empat, setiap isteri satu kereta’ nakoyat.blogspot.com/2022/02/suami-

Segera kaji semula pekeliling elaun penjawat awam - CUEPACS

 (Gambar fail) Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL ADRI SAALI

(Gambar fail) Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL ADRI SAALI

KUALA LUMPUR: Pekeliling berhubung pemberian beberapa elaun bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah antara perkara perlu dikaji semula oleh kerajaan dengan secepat mungkin, bersesuaian situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata pemberian elaun seperti Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Elaun Insentif Wilayah dan Bayaran Insentif Bomba bawah sistem itu ketika ini, dibuat pada kadar kecil serta tidak setimpal dengan risiko tugasan dihadapi sesetengah penjawat awam.

Kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (IKTA) pula sudah lama tidak ditingkatkan. Begitu juga Elaun Risiko Penguat Kuasa yang kini kita dapati hanya sebahagian skim perkhidmatan (sektor) dapat menikmatinya, manakala petugas dalam sektor lain tidak diberikan kemudahan serupa.

"Justeru, inilah yang kita maksudkan perlu dibuat kajian menyeluruh agar ia lebih seragam (pemberian elaun), teratur dan saksama kepada seluruh skim yang ada dalam perkhidmatan awam," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Khamis lalu, yang mahu semua pekeliling perkhidmatan awam sedia ada dikaji semula bagi memastikan sama ada ia masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memantau pelaksanaan beberapa pekeliling yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan aduan diterima, ada sebahagian ketua jabatan atau ketua perkhidmatan tidak mengambil berat ataupun memandang enteng pelaksanaan yang ditekankan dalam pekeliling.

"Contohnya, pekeliling perkhidmatan berkenaan kenaikan pangkat secara 'Time-Based' Berasaskan Kecemerlangan yang perlu dilaksanakan selepas genap tempoh 13 tahun untuk kali pertama dan kali kedua juga 13 tahun, namun ia tidak diguna pakai secara sistematik.

CUEPACS mendapat banyak aduan mengenai perkara ini dan ia memberi kesan motivasi tidak baik kepada penjawat awam, sedangkan pekeliling itu wujud untuk memberi ruang mereka naik pangkat sepanjang tempoh berada dalam perkhidmatan," katanya. – BERNAMA

Jumaat, 25 Februari 2022

Bolasepak:TMJ bersara jika JDT tewas kepada KL City lagi

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Kuala Lumpur: Perang psikologi perlawanan Piala Sumbangsih antara pendahulu Liga Super 2021, Johor Darul Takzim (JDT) dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC malam esok memasuki babak seterusnya apabila pemilik skuad Harimau Selatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu bersara jika pasukannya tewas kepada skuad The City Boys.

Hal ini bermakna, jika langkah JDT sumbang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor seterusnya tewas kepada KL City FC menyebabkan skuad Harimau Selatan bakal kehilangan 'bos besar' mereka.

 Jikalau kalah esok, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terbabit lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara," kata Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik JDT itu sekali gus membuktikan mereka seolah-olah begitu yakin mampu menewaskan KL City FC malam esok.

Terdahulu, Tunku Ismail menerusi satu temubual bersama stesen televisyen swasta sebelum ini juga pernah memberi jaminan bahawa peristiwa pahit pasukan itu kalah 0-2 di tangan KL City pada final Piala Malaysia musim lalu tidak akan berulang lagi.

"Masa lawan Kuala Lumpur, kita kalah di (final) Piala Malaysia 2-0 bukan kerana Kuala Lumpur lebih baik daripada kami, saya boleh jamin. Kalau esok itu juga awak suruh lawan Kuala Lumpur, benda itu tidak akan berlaku dan benda itu tidak akan berlaku lagi.

"Tapi kita buat kesilapan individu, mungkin hilang fokus atau sebagainya dan kita kalah. Memang hari itu orang kata tak ada nasib, empat lima peluang di depan gol masa babak pertama tak masuk, kena tiang dan sebagainya.

"Jadi tiada nasib. Tapi saya tahu yang benda itu tidak akan berlaku lagi dan saya boleh jamin. Ia kerana saya yakin dengan pemain yang ada dalam pasukan ini, bukan nak cakap besar," katanya.

-myMetro

Khamis, 24 Februari 2022

Menyamar rakan untuk pinjam duit, peniaga rugi RM5,000

Tangkap layar perbualan antara mangsa dan suspek menerusi aplikasi Telegram. - Foto ihsan pembaca

TELUK INTAN - Seorang peniaga kerugian RM5,000 selepas ditipu sindiket yang menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 41 tahun itu menerima mesej daripada rakannya, Selasa lalu yang ingin meminjam wang dengan alasan mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek telah menggodam akaun Telegram rakan mangsa dengan menghantar pesanan untuk meminjam wang.

 "Mangsa tanpa membuat semakan dengan kawannya yang sebenar telah bersetuju untuk meminjamkan wang tersebut.

"Mangsa membuat pindahan wang melalui empat transaksi perbankan internet dari akaun bank miliknya ke akaun bank yang disyaki keldai akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

 Ahmad Adnan berkata, mangsa menyedari ditipu selepas menghubungi rakannya yang sebenar.

"Ia terbongkar selepas mangsa hubungi kawannya itu dan dia menafikan ada meminjam wang berkenaan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan mesej yang diterima terutama daripada kenalan yang meminta wang atas alasan kecemasan.

"Mereka sepatutnya telefon dahulu kenalan tersebut untuk pengesahan sebelum memberikan wang bagi mengelakkan diperdaya oleh sindiket penipuan," katanya.

-SH Online

Rabu, 23 Februari 2022

"Zahid Hamidi pernah jumpa saya minta siasatan rasuah dihentikan' - Tun M

 Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad

Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, mendedahkan yang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah bertemunya meminta supaya siasatan kes rasuah terhadap Presiden UMNO itu dihentikan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu mendakwa, pertemuan itu berlaku ketika ada ura-ura bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, ketika itu Ahmad Zahid mahu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya dihentikan.

"Ahmad Zahid datang ke rumah saya bersama dua tiga orang lagi dan dia cuba nak berbaik-baik dengan saya.

"Pada masa itu, ada kemungkinan saya menjadi Perdana Menteri, atas sebab itu dia ingin berbaik dengan saya," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Aspirasi Johor, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, beliau mengetahui mengenai masalah jenayah yang dilakukan Ahmad Zahid, selain menyedari kemungkinan pemimpin UMNO berdepan hukuman penjara.

Katanya, selepas Ahmad Zahid bersama dengan parti yang membentuk kerajaan, beliau ada mendengar cubaan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu untuk tindakan mahkamah terhadapnya dihapuskan.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan bila sebenarnya tarikh dan lokasi pertemuan berkenaan.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak berhasrat membuat sumpah laknat berhubung dakwaan Ahmad Zahid Hamidi, meminta bantuannya dalam kes mahkamah dihadapinya ketika ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ia berikutan apa yang dikatakannya sebelum ini adalah benar dan beliau sendiri mempunyai bukti dan saksi.

Minggu lalu, Muhyiddin ketika berucap di Pentas PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Felda Tenggaroh 3, berkata Ahmad Zahid ada ke rumahnya ketika beliau berbincang dengan Presiden PAS, Tan Sri Abd Hadi Awang, dengan membawa satu beg berisi dokumen kes mahkamah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam kejadian beberapa hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid ada meminta tolong daripadanya kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

-BH Online

Gaji minimum baharu RM1,800 sebulan untuk sektor awam - Cuepacs

 GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi mengulangi cadangan gaji minimum baharu RM1,800 sebulan untuk sektor awam berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya sebelum ini telah mengutarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan mencadangkan gaji RM1,800 sebulan kerana berpendapat angka berkenaan adalah munasabah untuk dinilai kerajaan.

"Pada masa sama, Perdana Menteri juga telah memaklumkan di dalam Kabinet dan di Parlimen pada 27 November lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan mensasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.

Namun sasaran di bawah RMK12 ini sudah tentu tidak akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah oleh kerajaan sendiri," katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Koresponden terbitan Bernama TV bertajuk 'Penentuan Nasib Penjawat Awam' hari ini.

Beliau juga berkata sebelum ini, kerajaan telah menetapkan bahawa gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam disemak ialah pada 2002.

"Cuepacs melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan setiap 10 tahun maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk menyemaknya semula.

"Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, yang setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga telah berubah dengan (harga) barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lalu," katanya.

-myMetro

Selasa, 22 Februari 2022

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

 

Malaysian Football League (MFL) semalam telah kemaskini jadual rasmi musim baharu Liga Malaysia 2022 yang bakal membuka tirai pada hari Jumaat, 4 Mac dengan empat perlawanan Liga Super 2022, manakala saingan Liga Premier 2022 akan bermula pada Sabtu, 5 Mac.

Menurut kenyataan rasmi, penjadualan ini telah mengambil kira perkara-perkara berikut:

  1. Kalendar FIFA 2022 yang melibatkan latihan Pasukan Kebangsaan
    Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023
  2. Pertandingan AFC Champions League 2022 dan Pertandingan AFC Cup 2022
  3. Pertandingan Piala FA 2022
  4. Pertandingan Piala Malaysia 2022
  5. Hari pelepasan am persekutuan dan negeri 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri
  6. Tempoh rehat dan perjalanan kelab minima 2 hari (48 jam) turut diambil kira terutama isu logistik dan penerbangan ke Sabah dan Sarawak

Klik untuk muat turun jadual terkini Liga Super 2022 dan Liga Premier 2022.

Malah, MFL kali ini membuat pembaharuan apabila memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu 8.15 malam dengan tujuan untuk meningkatkan nilai komersial liga dan menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium.

Berdasarkan jadual Liga Malaysia musim ini, terdapat tiga waktu berbeza akan digunakan iaitu 7.30 malam (Sabah & Sarawak) 8.15 malam dan 9 malam, manakala untuk perlawanan di bulan Ramadan ia kekal dengan waktu sepak mula 10 malam dan 9.15 malam (Sabah & Sarawak).

“Berdasarkan kajian yang dibuat, apabila lebih awal perlawanan diadakan, ia membuka peluang lebih besar kepada pelbagai jenis peminat untuk membawa anak-anak mereka dan keluarga ke stadium.

“Malah, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, biasanya lepas habis perlawanan, kedai makan dan perkhidmatan lain ditutup dengan lebih awal.

“Jadi, dengan sepak mula yang baharu ini, kita boleh merasai satu hari itu hari bola sepak, beri peluang kepada peminat dan kelab untuk menjana pendapatan lebih banyak ketika hari perlawanan. Ini pembaharuan yang kita mahu maklumkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam Harian Metro.

-vocketfc.com

'Perlu muat naik gambar keputusan ujian COVID-19'

 Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pengguna aplikasi MySejahtera kini perlu memuat naik gambar keputusan ujian COVID-19 ketika mengemas kini status laporan kendiri jangkitan itu.

Gambar itu perlu menunjukkan di mana dan bila ujian COVID-19 dibuat, selain keputusannya sama ada positif atau negatif.

Sebelum ini, pengguna hanya perlu mengisi borang di aplikasi itu dengan mengesahkan sama ada positif, negatif atau ujian tidak sah selepas membuat ujian jangkitan berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan supaya ujian saringan kendiri dibuat sebelum merancang untuk berkumpul, berkunjung sempena cuti perayaan atau menyertai sebarang acara awam.

Individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak perlu menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari.

Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat.

-BH Online

Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

 Kerajaan Kedah 'kuat', tak mungkin ada PRN - ADUN Kuah

Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, kerajaan Kedah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding 13 wakil rakyat pembangkang.
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Firdaus Ahmad menegaskan, tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sejurus tamat PRN Johor seperti didakwa sesetengah pihak.
Mohd Firdaus yang juga Exco Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Kedah berkata, kedudukan ADUN-ADUN kerajaan dalam pentadbiran kerajaan adalah 'kuat' dengan sokongan 15 ADUN dari Pas, enam ADUN Bersatu dan dua ADUN UMNO berbanding hanya 13 wakil rakyat di pihak pembangkang.
Tambah beliau, sekiranya dua ADUN UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekalipun, kerajaan Kedah masih lagi kukuh dan stabil selain tidak sesekali akan membawa kepada pelaksanaan PRN Kedah dalam masa terdekat.
Pada ketika ini juga, Mohd Firdaus berkata, Bersatu yang diwakili enam wakil rakyat menganggotai Perikatan Nasional (PN) sementara ADUN Pas pula seramai 15 serta dua wakil dari UMNO
"Jadi (jika) UMNO tidak duduk dengan Bersatu atau PN, kalau dua orang (ADUN UMNO) ini (ambil keputusan) keluar (atau tarik sokongan terhadap kerajaan negeri), (pentadbiran) masih lagi kuat, (sebab itu) jika kata ada PRN tidak mungkin, sebab masih lagi kuat PN (yang dianggotai 15 ADUN PAS dan enam dari Bersatu," tegasnya.
Mengulas mengenai pendiriaannya terhadap situasi politik semasa yang berlaku, Mohd Firdaus berkata, tidak ada sebab untuk beliau 'melompat' memandangkan parti telah mengambil keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama antara semua parti yang menganggotai PN itu sendiri.
"Untuk persoalan ada ADUN ini nak lompat, ADUN itu nak lompat, saya (pun dikatakan nak) lompat, (jawapan saya) lompat nak pergi mana? Macam saya sendiri masih lagi dalam Bersatu, kita ikut (pendirian) parti, parti duduk didalam PN, (jadi) kita gerak bersama PN sekarang ini", tambah Mohd Firdaus.
Dalam masa sama, beliau berkata, prestasi baik yang ditunjukkan kerajaan negeri Kedah pimpinan Muhammad Sanusi juga menjadi sebab utama mengapa kerajaan pimpinanan wajar dikekalkan.
Jelas beliau, pentadbiran Muhammad Sanusi bersama seluruh anggota Exco menjalankan tugas yang baik termasuk membawa masuk pelabur dengan jumlah pelaburan yang direkodkan negeri Kedah antara yang tertinggi di Malaysia.
“Ketika ini, pencapaian Kedah amat memberangsangkan… apa yang kita lakukan, Menteri Besar dan barisan Exco, boleh kita banggakan dan kita puji di mana semuanya bekerja di bawah satu bumbung dan bersepakat,
"Lagi satu kami semua (jenis) senang nak bincang, nak sembang dengan Menteri Besar atau sembang dengan Exco lain boleh sembang terus… tak payah ada hierarki dia, kalau ada hierarki payah juga nak buat kerja," kata Mohd Firdaus lagi.
Minggu lalu, beberapa pihak termasuk Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri mencabar Muhammad Sanusi untuk mengumumkan penamatan kerjasama Muafakat Nasional (MN) di negeri itu dan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Dalam masa sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut mendakwa ada gerakan untuk menggugat kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Muhammad Sanusi berdasarkan serangan yang dibuat ke atas pemimpin berkenaan.
Muhammad Sanusi sebelum itu menjelaskan, dakwaan bahawa DUN Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan daripada empat ADUN terhadap kepimpinannya merupakan khabar angin.
ADUN Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui juga turut menafikan dakwaan bahawa dia bersama seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Kedah.
-AstroAwani

Isnin, 21 Februari 2022

Penukaran agama anak: Timbalan menteri gesa hormat undang-undang negeri


 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Ahmad Marzuk Shaary menggesa semua pihak agar menghormati undang-undang mengikut negeri dalam isu penukaran agama termasuk kanak-kanak.

Menurutnya, wujud perbezaan dalam peruntukan undang-undang di setiap negeri berhubung dengan pemelukan agama anak.

"Ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.

"Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia mengulas kontroversi membabitkan tiga kanak-kanak yang berpisah dengan ibunya Loh Siew Hong yang bercerai dengan suaminya Nagahswaran Muniandy.

Bapa kanak-kanak tersebut dikatakan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh pada tiga tahun lalu.

Sebagai rekod pada 29 Sept 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang dikemukakan oleh seorang ibu untuk mengisytiharkan penukaran agama Islam ketiga-tiga anaknya yang ketika itu berusia 13, 11 dan lapan tahun, tidak sah dan pemelukan agama itu tidak boleh didaftarkan oleh Ketua Pendaftar Muallaf Selangor.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes penukaran agama anak-anak guru tadika, M Indira Gandhi.

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.

Berkaitan penukaran agama tiga anak Loh, peguamnya sebelum ini menghantar surat tuntutan kepada pendaftar mualaf di tiga negeri untuk mencabar penukaran agama anak-anaknya, berikutan tidak jelas di mana ia dilakukan.

Namun Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dalam video secara langsung yang dimuatnaik di Facebook pada 16 Februari lalu berkata bapa kepada tiga kanak-kanak tersebut telah datang ke Perlis pada Julai 2020 bagi proses pengislaman mereka.

Merujuk kes itu, Ahmad Marzuk berkata, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut, seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.

Oleh itu, jelas anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi, ia tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah memeluk kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah.

"Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini," katanya.

Ahmad Marzuk juga menggesa semua pihak agar tidak mengapi-apikan sentimen perkauman serta menghormati undang-undang termasuk di peringkat negeri.

-malaysiakini