Berlin: Pemain gantian, Mikel Oyarzabal, menjaringkan gol pada minit ke-86 untuk memberikan kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas England dalam final Euro 2024 sebentar tadi.
Ia adalah rekod buat La Roja dengan muncul pasukan paling banyak menjuarai Euro iaitu sebanyak empat kali, manakala skuad bimbingan Gareth Southgate mengalami kekalahan dalam final kedua berturut-turut.
Oyarzabal melakukan kombinasi dengan Marc Cucurella dalam satu serangan balas pantas untuk gol kemenangan berkenaan, menjadikan Sepanyol juara selepas memenangi kesemua tujuh perlawanan yang mereka lalui sepanjang kejohanan ini.
Selepas separuh masa pertama yang sangat berhati-hati di mana Sepanyol menguasai penguasaan bola tetapi lawan mereka hanya mendapat satu percubaan tepat, Sepanyol memecah kebuntuan hanya dua minit selepas permainan disambung.
Bintang remaja Lamine Yamal mencipta ruang di sebelah kanan dan memberikan hantaran kepada Nico Williams, untuk menjaringkan gol ketika England ketinggalan untuk perlawanan keempat berturut-turut.
Sepanyol kemudian melancarkan serangan bertali arus ketika pertahanan England yang sebelum ini kebal mula goyah.
Southgate, bertindak dengan memasukkan Ollie Watkins, wira pemain gantian di separuh akhir, menggantikan Harry Kane yang kurang berkesan selepas sejam permainan, manakala Cole Palmer, pemain paling kreatif mereka dalam sebulan terakhir, turut dimasukkan 10 minit kemudian.
Langkah itu hampir membuahkan hasil apabila Jude Bellingham menghantar bola kepada Palmer, dan pemain gantian itu menyudahkan dengan rembatan rendah yang tepat dari jarak 20 meter pada minit ke-73.
Penyokong England yang jauh melebihi jumlah peminat Sepanyol, meletus dengan sorakan dan suasana pagi tadi berubah sepenuhnya.
Namun, Sepanyol berjaya mengharungi tekanan dan Oyarzabal, yang dimasukkan pada minit ke-68, berjaya menjaringkan gol kemenangan.
Masih ada masa untuk lebih drama di hujung perlawanan apabila penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, menepis tandukan Declan Rice dari sepakan sudut dan Dani Olmo menyekat percubaan susulan Marc Guehi di garisan gol.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan