"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Rabu, 31 Januari 2024

Perang Bisik:Sejarah Perang Kedah-Siam 1787-1842

 


Perang 20 tahun, yang syahid anggaran sebanyak 200, 000 orang Melayu, tapi kenapa bila cakap pasal Perang Bisik ni ramai terpinga-pinga? Kalau orang Melayu pun tak tahu, jangan harap yang lain pun tahu la. 

Perang Bisik atau juga dikenali sebagai Perang Musuh Bisik bukanlah satu kisah yang asing lagi sebenarnya. Dah banyak dah cerita yang kita pernah dengar fasal perang ini. Kenapa nama perang ini sedemikian, ini adalah kerana adanya pengkhianat di kalangan sebahagian orang Melayu pada masa itu yang sanggup memberikan maklumat sama ada kepada British atau Siam ketika itu. Sebarang maklumat penting hanya boleh diberitahu dengan berbisik antara satu sama lain. Jadi sebab itulah namanya dikenali sebagai Perang Bisik.

Perang yang dah jadi 200 tahun lepas ini adalah suatu peristiwa yang sepatutnya diingati oleh orang Melayu kerana ini adalah satu peristiwa besar bagi Tanah Melayu dimana dianggarkan beratus ribu orang Melayu disembelih oleh pihak Siam. Kejadian yang berlaku pada 12 November 1821 adalah perang diantara Kerajaan Kedah dengan Siam (Liggor) telah berlansung selama 22 tahun.  Mengikut kepada penulis Perang Kedah-Siam, Raja Ligor yang menyerang Kedah serta angkatan tenteranya terdiri daripada orang Cina. Raja Ligor sendiri adalah dari ahli kumpulan Hai San yang kemudiannya bersabit dengan peristiwa Perang Larut di Taiping.

Tadaaa, terkejut bukan. 

Namun, perang ini sebenarnya terjadi akibat daripada membalas dendam terhadap Sultan Siam Ahmad Tajuddin II kerana tidak membantu Siam menentang Burma. Kerajaan Kedah bersama-sama orang Pasai, Acheh, Majapahit, Kedah, Terengganu menentang kemaraan Raja Buddha Rama II Chakri Sukho Thai. Perang ini bukan sahaja perang antara 2 kerajaan Tanah Melayu, namun lebih kepada peperangan kerajaan Islam dan juga bukan Islam. Bukan sahaja berhadapan dengan Siam di daratan, malahan bertembung pula dengan British di lautan. Dua kuasa besar yang berpakat secara sulit hendak melenyapkan kekuasaan Kedah. Akibatnya, Kedah tertewas di tangan Kerajaan kafir Siam dan negeri-negeri di wilayah selatan Thailand yang dulunya milik orang Melayu jatuh ke tangan mereka. 

Sikap terlalu bertoleransi dengan musuh, terlalu baik hati menyebabkan orang Melayu dipijak kepala. Bukan setakat dalam perang ini sahaja, namun banyak peristiwa sejarah lain yang telah membuktikan kepada kita bahawa akibat sikap mulia orang Melayu ini memakan diri di kemudian hari. Ingat tarikh keramat ini, kerana ini bukti bangsa Melayu bukanlah lemah seperti digembar-gemburkan. 

Tidak bodoh dan malas seperti dimomok-momokkan Inggeris keparat. Kita kena bermatian-matian pertahankan negara bukan kerana mulianya bangsa kita semata tapi agama itu perlu kita pelihara. 

'Delete' pemikiran yang orang Melayu ni tiada apa-apa. Sejarah dah membuktikan, orang Melayu ada sejarah peradaban yang lebih hebat lagi dari mat salleh. 

Sumber: 

1. MERIAM-MERIAM KEDAH DI WAT PHRA MAHATHAT 

WORAMAHAWIHAN, NAKHON SI THAMMARAT, Hasanuddin Yusof, Zuliskandar Ramli & Muhammad Shafiq Mohd Ali.


2. Sejarah Perang Kedah-Siam 1787-1842

Rumah kampung di Selangor dikenakan cukai pintu bermula 2024

 Satu lagi berita sedih buat rakyat Selangor.

Rumah kampung di Selangor dikenakan cukai pintu bermula 2024.

Tiada lagi pengecualian cukai taksiran atau cukai pintu secara automatik di kampung baru, kampung Melayu dan kampung nelayan mulai tahun ini.

Pemilik rumah di kampung-kampung ini perlu buat permohonan dan hanya yang layak akan dapat pengecualian.

Adakah ini tanda Selangor maju?

Sedangkan Kerajaan Selangor sebelum ini ketika di bawah pentadbiran Dato’ Seri Azmin Ali pada tahun 2016 telah mengecualikan kampung-kampung ini daripada cukai pintu. Tanpa syarat dan tanpa permohonan.

Pelbagai program Kerajaan Negeri seperti CERIA, SEROJA, SAFWA, FOKUS, Lapor Dan Dapat serta Pengecualian Cukai Pintu Untuk Rumah Kos Rendah Bagi Tahun 2016 telah dilaksanakan dan disediakan untuk penduduk Selangor.

Malangnya selepas 8 tahun, pentadbiran Kerajaan Selangor semasa memilih untuk menyukarkan proses bagi program yang memberi faedah secara langsung kepada penduduk ini.

Selepas PH Selangor menjadi kerajaan, bantuan yang kononnya usaha kerajaan negeri untuk membantu mengurangkan beban kewangan rakyat telah diletakkan syarat yang pelbagai.

Semakin lama kebajikan rakyat semakin tidak diambil peduli.

Jika Kerajaan Selangor boleh mengecualikan kampung-kampung ini daripada cukai taksiran dari 2016 hingga 2023 secara automatik. Kenapa sekarang tidak lagi?

Sekian

Zurk Ahmad

Ketua Penerangan PAS Selangor

30 Disember 2024

#AdilPrihatinBerkebajikan

Ahad, 28 Januari 2024

Sejarah:Kedah kehilangan Setul(Satun)...Kenapa?

 KEDAH KEHILANGAN SETUL

Setul (kini dipanggil Satun) merupakan sebuah wilayah kerajaan negeri Kedah sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Islam Kedah lagi.

Yakni, Setul ialah wilayah Kedah sejak sebelum tahun 1136 seperti dalam satu catatan:

"Hatta dalam hal yang demikian disebut oranglah negeri Qalha yang terdiri dari Kuala Qilah, Kuala Bahang, Kuala Merpah dan Kuala Bara'."

(Qalha - Kedah, Kuala Qilah - Kuala Merbok, Kuala Bahang - Kuala Kedah).

Kuala Merpah dan Kuala Bara' terletak dalam wilayah Setul.

Wilayah Setul pada asalnya diperintah oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang digelar Dato' di mukim masing-masing seperti di Temelang, Kuala Bara' dan Kuala Merpah.

Pemerintah rasmi di Setul mula dihantar pada tahun 1804 sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (Sultan Kedah ke-21), iaitu Tunku Bisnu.

Tunku Bisnu ialah salah seorang daripada 19 orang putera Sultan Abdullah Mukarram Shah (Sultan Kedah ke-20) dan adik kepada Tunku Pangeran (kemudian digelar Sultan Ahmad Tajuddin II, Sultan Kedah Ke-22).

Tunku Bisnu kekal menjadi Pemerintah Setul sehinggalah berlaku krisis perebutan kuasa oleh adiknya, Tunku Yaakub (Tunku Embun) yang mahu menguasai Setul dan Perlis pada tahun 1821.

Tunku Yaakub menjadi petualang dengan membantu Siam dan Ligor menawan Kedah.

Selepas Sultan Ahmad Tajuddin II kembali bertakhta di Kedah pada tahun 1842 selepas penjajahan Siam, Setul diisytiharkan sebagai wilayah berasingan (tidak lagi sebagai jajahan Kedah) dan Tunku Bisnu kekal sebagai pemerintah Setul.

Selepas Tunku Bisnu meninggal dunia pada tahun 1843, anaknya Tunku Muhammad Akib dilantik sebagai pemerintah Setul sehingga tahun 1876.

Pemerintah Setul yang berikutnya ialah Tunku Ismail (1876 - 1888) dan Tunku Abdul Rahman (1888 - 1897).

Pada 17 Mei 1897, Setul dan Perlis disatukan bersama-sama Kedah dengan gelaran "Monthon Saiburi". Monthon bermaksud 'wilayah kecil pentadbiran', manakala Saiburi yang bermaksud Lindungan Awan merujuk kepada negeri Kedah.

Monthon Saiburi diperintah oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang dilantik sebagai Khaluang Tesaphiban (Pesuruhjaya Tinggi) oleh Siam.

Kemangkatan Tunku Abdul Rahman sebagai pemerintah Setul digantikan oleh Ku Baharuddin bin Ku Meh (dikenal sebagai Ku Din Ku Meh) oleh Sultan Abdul Hamid dengan jawatan baharu: Pesuruhjaya.

Pelantikan ini mendapat tentangan oleh Raja Muda Setul, Tunku Muhammad di mana beliau sepatutnya menjadi Raja Setul selepas kemangkatan Tunku Abdul Rahman.

Pemberontakan Tunku Muhammad gagal dan Ku Din kekal menjagi Pesuruhjaya Setul.

Ku Din dikenali sebagai pengasas Kerajaan Melayu Moden di Setul dan banyak mengikut sistem pentadbiran Kedah.

Antara yang dilaksanakan di Setul sewaktu pemerintahan Ku Din:

- pakaian rasmi kerja oleh pegawai tinggi

- pengeluaran hasil ternakan, kelapa, balak dan sarang burung sebagai nadi pendapatan 

- amalan Sistem Kerah untuk kerja-kerja raya

- cukai kepala sebanyak 6 kupang 2 duit

Walau bagaimanapun, corak pemerintahan Ku Din semakin cenderung ke arah Bangkok berbanding Kedah dan Sultan Abdul Hamid selaku Pesutuhjaya Tinggi di akhir-akhir pemerintahannya.

Ku Din sengaja melantik dirinya sebagai Raja Setul dengan gelaran Tunku Baharuddin bin Ku Meh.

Tindakan Ku Din bagaimanapun disokong oleh Bangkok.

Tragedi buat Setul berlaku pada tahun 1909. Perjanjian Inggeris - Siam yang ditandatangani pada masa itu menyempadankan kawasan jajahan Inggeris dan Siam.

Wilayah Setul yang seluas 120 batu persegi dengan beberapa pulau seperti Pulau Adang, Pulau Tarutau dan Pulau Panjang secara rasminya menjadi milik penuh Siam.

Tunku Baharuddin bersara pada tahun 1916 dan digantikan dengan Gabenor berbangsa Siam.

Tamatlah sudah kisah Kerajaan Melayu Setul Mambang Segara selama 100 tahun (1808 - 1909).

#jejakkedahmerdeka

#pemburukeindahan

Jumaat, 26 Januari 2024

Piala Asia:Seri 3-3 Dengan Korea Selatan, Bukan Pencapaian Terbaik Harimau Malaya! Ini 5 Kisah Gemilang Skuad Negara

 Baru-baru ni, seluruh rakyat Malaysia berasa bangga apabila pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya berjaya peroleh keputusan seri dalam perlawanan dengan Korea Selatan pada Piala Asia 2023 di Qatar meskipun prestasi mereka dalam kejohanan tersebut dilihat kurang menyerlah.

Pun begitu, Malaysia sebenarnya dah banyak melakar pencapaian gemilang dalam sejarah terutama sekali di pentas antarabangsa! Jadi, kalau nak tahu apa kejayaan terbesar mereka, korang kena baca artikel ni sampai habis.

1. Layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 

6A895436 C014 457F 86B9 21D45B50E209

Seperti yang kita sedia maklum, kejayaan Malaysia ke Olimpik pada 1980 merupakan pencapaian terbesar pasukan negara dalam sejarah.

Pada ketika itu, mereka melawan dengan pasukan yang tak kurang hebatnya iaitu Korea Selatan dalam pusingan kelayakan kejohanan tersebut. Apa yang jadi detik bersejarahnya, jaringan saat-saat akhir yang dibuat oleh James Wong telah menjadi asbab Malaysia mengalahkan pasukan Korea 2-1 yang secara tidak langsung melayakkan dorang masuk kejohanan tersebut.

Namun begitu, Malaysia telah ambil pendirian untuk boikot Olimpik itu gara-gara serangan Soviet Union ke atas Afghanistan yang berlaku pada tahun yang sama. Namun, ia masih dianggap pencapaian terbaik Harimau Malaya.

2. Menang banyak dalam Pestabola Merdeka 

1958 Merdeka Cup Winner Malaya

Kalau korang nak tahu, ‘Pertandingan’ atau ‘Pestabola Merdeka’ merupakan kejohanan antarabangsa yang diadakan setiap tahun bagi meraikan kemerdekaan Malaysia. Yang hebatnya, ia pernah digelar sebagai ‘Piala Asia Mini’ sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an kerana menampilkan pasukan bola negara lain untuk bertanding.

Sejak kejohanan tu dibuat, Malaysia meraih rekod membanggakan dengan meraih kejuaraan sebanyak 10 kali manakala naib juara sebanyak 7 kali. Pada masa yang sama, legenda pemain bola sepak Malaysia, Mokhtar Dahari juga menyertai pertandingan ini bersama player terkenal yang lain seperti Abdul Ghani Minhat dan Soh Chin Ann.

3. Kelahiran pemain legenda negara

Z13 1

Sudah tentu, salah satu kebanggaan terbesar negara ialah lahirnya pemain berbakat serta legend dalam dunia bola sepak Malaysia iaitu Mokhtar Dahari.

Boleh dikatakan, sepanjang dia bermain untuk pasukan negara, banyak kejohanan yang disertai sehingga membawa kejayaan seperti Pingat Gangsa Sukan Asia 1974, Juara Pestabola Merdeka empat kali dan Juara Piala Malaysia sepuluh kali.

Sepanjang karier Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai Supermokh ni, dia telah peroleh banyak anugerah dan penghormatan seperti Olahragawan Kebangsaan 1976 dan juga Darjah Indera Mahkota Pahang. Sehingga kini, masih tiada yang mampu tandingi kehebatan Mokhtar Dahari ini.

4. Juara Piala Suzuki AFF 2010

Img 0018

Kemenangan Malaysia dalam Piala Suzuki edisi 2010 juga boleh dikira sebagai pencapaian terbaik pasukan negara. Sebabnya, ia merupakan kemenangan pertama Malaysia dalam kejohanan berprestij itu.

Pada perlawanan akhir, Malaysia telah berdepan dengan Indonesia sebanyak dua kali. Walaupun tewas satu game namun, mereka telah menang secara agregat iaitu 4-2 sekaligus berjaya memperoleh gelaran juara tahun itu.

Malah, striker ketika itu, Safee Sali telah berjaya menjaringkan gol terbanyak iaitu sejumlah 5 gol yang melayakkan dia untuk peroleh Anugerah Kasut Emas.

5. Seri dengan Korea Selatan dalam Piala Asia 2023

Harimau Malaya Kalahkan Korea S

Sekali lagi negara berasa sangat bangga apabila Malaysia berjaya mencapai keputusan seri dengan pasukan Korea Selatan dalam Piala Asia 2023 baru-baru ni.

Walaupun seri, pencapaian itu dianggap agak membanggakan kerana mereka setanding dengan pasukan Korea yang memang tak kalah kuatnya tau!

Biarpun begitu, kita kenalah berbangga dengan kejayaan ni kerana ia merupakan anak tangga bagi bola sepak Malaysia untuk lebih berjaya ke peringkat lebih tinggi di masa akan datang.

Sumber: Red BullBerita Harian

APA YANG AKAN BERLAKU PADA TAHUN 2024?

 APA YANG AKAN BERLAKU PADA TAHUN 2024?

1. Berita melaporkan Ringgit Malaysia jatuh pada paras terendah sepanjang 26 tahun iaitu 4.73 berbanding dolar AS.

Sebenarnya pada tahun lepas pada Oktober 2023 Malaysia juga mencatat ringgit terendah dalam sejarah pada harga 4.79 berbanding dolar AS.

Sejak Jun 2023, ringgit tidak pernah naik melebihi paras 4.50 berbanding dolar AS.

Ringgit juga jatuh kepada 3.53 berbanding dolar Singapura. 

Sejak 2020, 2023 adalah tahun pertama ringgit Malaysia jatuh melebihi paras 3.50 berbanding dolar Singapura.

2. Baru-baru  ini DOSM telah mengeluarkan anggaran KDNK negara bagi suku ke-4 tahun 2023.

Secara keseluruhan, KDNK berkembang hanya 3.8% peratus sahaja pada tahun 2023 berbanding pertumbuhan 8.7% pada 2022.

Bahkan kadar pertumbuhan setiap suku tahun pada  2023 juga lebih rendah berbanding yang berlaku pada tahun 2022.

Kadar pertumbuhan KDNK 2022

ST1 : 4.8%

ST2 : 8.8%

ST3 : 14.1%

ST4 : 7.1%

Kadar pertumbuhan KDNK 2023

ST1 : 5.6%

ST2 : 2.9%

ST3 : 3.3%

ST4 : 3.4%

3. Jumlah dagangan Malaysia menyusut 7.3% bagi tahun 2023

Jumlah dagangan telah menurun 10 bulan berturut-turut sejak Mac 2023 sehingga Disember 2023.

Eksport menguncup 8% dan import susut 6.4% berbanding 2022.

4. Permulaan tahun baru yang mencabar dan suram.

Ada lebih kurang 7 cukai akan dilaksanakan dan dinaikkan kadarnya pada tahun ini. 

Tarif elektirik dan tarif air dinaikkan. Subsidi petrol dan diesel ditarik.

Jika M40 pun ada yang merungut gaji RM5000 tidak cukup, bagaimana dengan B40 yang perlu mengais makan setiap hari.

Tak terbanding data-data seperti ini buat renungan pemimpin dengan kisah realiti sebenar di lapangan.

Mustahil rasanya tidak mendengar rakyat mengeluh rata-rata harga barang yang semakin tinggi. 

5. Jika tidak faham lagi puncanya di mana, baik diimbau sahaja analisis yang dibuat PMX kita suatu masa dahulu.

Kenapa dahulu? Kerana dahulu beliau yang paling berjuang untuk rakyat dan untuk ekonomi negara. Apa kata PMX ?

“Harga import naik sebab apa? Sebab ringgit jatuh? Sebab apa ringgit jatuh? Sebab hang tak reti jaga negeri ini,”

“Harga ringgit jatuh kerana tidak stabil, orang tak yakin, pelabur tak masuk,”

6. Benarlah kata HAMKA,

"Dalam zaman revolusi banyak bertemu orang yang mencela keburukan pemerintah dan bersikap menentang.

Tetapi kalau dia diberi suatu pangkat, mulutnya pun diam pada mulanya. Lepas zaman diam, berganti dengan zaman gembira.

Lepas zaman gembira, terus meningkat kepada zaman menerima dan melakukan segala kesalahan yang dicelanya dahulu.”

Sekian

YB Datuk Awang bin Hashim

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Ahli Parlimen Pendang


#DaulatTuanku 

#KekalTenang

Khamis, 25 Januari 2024

Piala Asia 2023:Harimau Malaya malukan Korea Selatan

 Pemain Harimau Malaya meraikan jaringan penyamaan Morales ketika menentang Korea Selatan pada Piala Asia. - AFP

Pemain Harimau Malaya meraikan jaringan penyamaan Morales ketika menentang Korea Selatan pada Piala Asia. - AFP

DOHA: Harimau Malaya mengotakan janji untuk mencalar reputasi besar Korea Selatan apabila mengikat gergasi Asia itu 3-3 aksi ketiga Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, sebentar tadi.

Satu mata yang diraih itu menyaksikan Harimau Malaya memperbaiki pencapaian buruk pada edisi 2007 yang mana skuad negara yang beraksi atas tiket selaku tuan rumah gagal mengutip sebarang mata pada ketika itu.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang berada di ranking 130 dunia bermula positif dengan benteng pertahanan berjaya mengekang asakan pasukan di tangga ke-23 dunia itu selain jentera serangan skuad negara turut mencipta beberapa gerakan ke kubu lawan.

Kapten Korea Selatan yang juga bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min terlebih dahulu menguji Harimau Malaya menerusi percubaan pada minit ke-15, namun berjaya ditepis penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pintu gol Harimau Malaya bagaimanapun bolos pada minit ke-21 menerusi jaringan Jeong Woo Yeong yang menyudahkan umpanan Lee Kang In.

Reaksi pemain Korea Selatan selepas sekadar seri menentang Malaysia. - REUTERS
Reaksi pemain Korea Selatan selepas sekadar seri menentang Malaysia. - REUTERS

Enam minit selepas bersambung babak kedua, kejutan berlaku apabila Faisal Halim menyamakan kedudukan apabila dia berjaya memperdaya pemain pertahanan Korea Selatan sebelum melakukan sepakan untuk menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo.

Ledakan itu sekali gus menyaksikan penyokong Harimau Malaya akhirnya dapat merasai atau merakam detik meraikan jaringan di pentas Piala Asia kali ini.

Malah, kegembiraan penyokong tidak terhenti setakat itu apabila Arif Aiman Hanapi kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas dia dikasari Seol Young Woo.

Jaringan itu jelas memberi makna besar buat seluruh rakyat Malaysia dan paling mencuri tumpuan pada paparan skrin siaran langsung, terdapat penyokong Harimau Malaya yang dilihat menangis kegembiraan.

Pemain Malaysia Arif Aiman Hanapi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Pemain Malaysia Arif Aiman Hanapi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, selepas itu benteng Harimau Malaya dipaksa bekerja keras apabila Korea Selatan melancarkan serangan bertali arus terutama menerusi gerakan Heung Min di bahagian kiri.

Usaha anak buah Jurgen Klinsmann akhirnya berhasil ketika perlawanan berbaki tujuh minit apabila sepakan percuma Kang In berjaya menewaskan Ahmad Syihan.

Malang buat Harimau Malaya apabila Korea Selatan diberikan sepakan penalti dan peluang itu digunakan Heung Min untuk meledak gol keduanya menerusi penalti di Piala Asia 2023.

Morales meraikan jaringan penyamaan. - REUTERS
Morales meraikan jaringan penyamaan. - REUTERS

Reputasi besar Korea Selatan bagaimanapun tercalar ketika masa kecederaan hanya berbaki beberapa saat apabila pemain yang baru menyertai Harimau Malaya, Romel Morales meledak gol penyamaan.

-BH Online 

Rabu, 24 Januari 2024

Air Bakal Naik Harga. Rakyat Jangan Ulangi Kesilapan Ketika GST Dulu.

 Air Bakal Naik Harga. Rakyat Jangan Ulangi Kesilapan Ketika GST Dulu. 

1. Hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

2. Bagi kita di Pahang, jangkaan kenaikan harga adalah sekitar RM0.41. Jika kita sebelum ini menikmati harga RM0.37 bagi setiap meter padu, harga baru selepas kenaikan adalah RM0.78. Untuk rekod, ini adalah kenaikan kali pertama sejak 40 tahun yang lalu.

3. PAIP secara dasarnya adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang dan bertanggungjawab di dalam aspek operasi merawat, membekal, membersih dan memungut hasil air daripada penjualan air bersih. Selama lebih 10 tahun (sejak dikorporatkan pada 1hb Februari 2012) menabur bakti membekalkan air bersih dan selamat kepada rakyat di Pahang, PAIP terbukti menjalankan tugas yang amat baik.

4. Pelarasan kadar tarif air yang baru ini pastinya akan memberi suntikan kewangan yang amat baik kepada PAIP dalam menangani isu – isu seperti kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, Loji Rawatan Air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi.

5. Apa yang perlu difahami oleh rakyat, pihak Kerajaan Negeri Pahang dan PAIP telah menanggung ketidakseimbangan kenaikan caj elektrik yang amat tinggi sejak sekian lama. Mudah kata; “bil elektrik nak membayar ke TNB tak pernah turun harga, tapi bil air caj kepada pengguna tak pernah naik – naik”. Keadaan ini pastinya memberi kesan yang amat besar kepada kos operasi PAIP itu sendiri.

6. Namun begitu percayalah, Kerajaan Negeri Pahang di bawah Kepimpinan YAB Dato’ Sri Wan Rosdy pastinya akan mencari jalan bagaimana untuk memastikan rakyat tidak terjejas teruk terutamanya golongan B40. Lihat saja bagaimana inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dirasai nikmatnya oleh hampir keseluruhan rakyat di Negeri Pahang. 

7. Ambil ikitibar daripada betapa peritnya Kerajaan pimpinan Dato’ Sri Najib ketika hendak melaksanakan GST dahulu. Saya berharap, kali ini rakyat tidak membuat kesilapan seperti mana GST dicemuh dan dihina dahulu. Keputusan yang tidak popular ini perlu dibuat demi kesejateraan rakyat di masa hadapan.

Teringat Long Nan kata “ Panjang paip di Pahang ini ada 14,000km, kita boleh pergi ke London dari Kuantan!”


Sumber Facebook 

Selasa, 23 Januari 2024

Berkhemah Nikmati Musim Angin Timur Di Perlis

Berkhemah Nikmati Musim Angin Timur Di Perlis


PADANG BESAR: Kedatangan musim angin timur sangat dinantikan rakyat negeri ini yang mahu menikmati cuaca dingin khususnya sebelah malam serta awal pagi.

Kedinginan tiupan angin timur tersebut sudah mula dirasai sejak awal bulan ini dengan pelbagai aktiviti sudah pastinya rancak diadakan bagi menikmati musim berkenaan.

Antara yang menarik perhatian adalah seperti aktiviti berkhemah sambil menikmati suasana dingin dan berangin terutama pada sebelah petang dan awal pagi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Lokasi tapak perkhemahan yang menjadi tumpuan antaranya di santuari ikan air tawar di Tasik Timah Tasoh di sini yang menyajikan suasana cukup menyenangkan.

Seorang pengunjung, Zalina Dahman,45, berkata, dia bersama rakan baiknya mengambil peluang berkhemah di sini bagi menikmati suasana musim angin timur ketika ini.

Katanya, suasana sejuk tersebut yang sudah mula dirasai sekali gus menandakan musim angin timur sudah kembali di negeri ini.

Katanya, pengunjung agak ramai yang datang berkhemah khususnya pada hari minggu sambil menikmati keindahan di kawasan tasik itu.

“Berkhemah sambil menikmati musim angin timur ini sangat memberi keterujaan dan setiap tahun pastinya kita menantikan musim angin timur yang memberi suasana cukup nyaman.

“Sememangnya saya sangat menantikan musim angin timur ini kerana pada waktu inilah kita dapat menikmati suasana yang cukup nyaman dan sejuk selepas selalunya rakyat Perlis berdepan cuaca panas lazimnya sehingga mencecah 36 hingga 40 darjah Celsius.

“Setiap hujung tahun sehingga Januari, kita lazimnya menikmati cuaca sejuk dan nyaman ini. Selepas berpanas, musim sejuk dan tiupan nyaman angin timur amat dinantikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang penduduk, Azizi Abu Bakar,40, pula berkata, lazimnya sempena musim angin timur pelbagai aktiviti diadakan seperti menerbangkan layang-layang dan sebagainya.
“Pada sebelah malam pula, kita menikmati suasana sejuk seolah-olah seperti berada di Cameron Highlands. Itulah antara keistimewaan Perlis yang mempunyai musim-musim tertentu,” katanya.

Gambar : ORANG ramai mengambil kesempatan menikmati suasana dingin dan sejuk sempena musim angin timur dengan berkhemah di santuari ikan air tawar di Tasik Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.

Artikel Asal : https://www.utusan.com.my/berita/2024/01/berkhemah-nikmati-musim-angin-timur-di-perlis/

Sumber : Utusan Malaysia
.
Like & Follow Perlis Permai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.
.
#PerlisPermai
#VisitPerlis
#TMP20242025
#PakatMaiPerlis
#PerlisDamaiDanMenawan

Khamis, 18 Januari 2024

Permata yang hilang: Kerajaan Melayu Champa

 


Kalau anda ingat Melayu ni ada dekat Malaysia, Indonesia dan Borneo sahaja, anda salah! Sila belajar lebih lagi ye. Bukan apa, kita perlu tahu yang sebenarnya orang Melayu ni kawasannya lebih besar, tapi kerana ditindas dari pelbagai arah, lama-lama orang ingat Melayu ni ada dekat Malaysia je. 

Antara kawasan yang dikuasai oleh orang Melayu dulu adalah di kawasan Indochina sekarang ini, kalau leih tepat lagi dekat Vietnam. Salah satu kerajaan Melayu yang pernah wujud dekat situ adalah kerajaan Champa. Mungkin kita pernah dengar tapi tak ramai yang tahu yang mereka adalah orang Melayu yang telah memeluk agama Islam sejak abad ke-10 lagi. Budaya mereka hampir sama dengan apa yang kita ada sekarang. 

Kerajaan Champa ni wujud sejak tahun kurun ke-2 lagi iaitu lagi tua daripada kerajaan Melaka yang hanya wujud masa kurun ke-14. Sekurang-kurangnya adanya 16 dinasti yang pernah mentadbir kerajaan Champa ni, apabila kita campur keseluruhan tahun, Champa pernah berdiri selama 1500 tahun. Tapi sayang, lepas orang Dai Viet datang dan menjajah kerajaan Champa ni, kuasa & kawasan Kerajaan Champa semakin merosot. Pada awal abad ke-19 pula, kerajaan Champa terus dijajah berikutan peperangan dan tekanan daripada Kerajaan Annam yang muncul di utara Vietnam dan Selatan China.

Kira zaman dah moden, orang Champa ni kena tindas. Sama la mcm kita, dirompak oleh British. Tapi syukur, tanah kita masih lagi dipelihara. 

Akhirnya orang Melayu Champa terpaksa jadi pelarian dekat negara lain termasuklah di Malaysia sendiri. Dianggarkan hanya 500,00 orang Champa sahaja yang wujud di seluruh dunia. Melayu Champa yang masih ada di Vietnam pula dah jadi orang minoriti dekat sana. 

Sedihkan, jadi orang minoriti dan terpaksa redha orang lain yang tadbir negara. Apa yang lebih sedih, ramai mereka dah tak tahu cakap bahasa Melayu dan tak tahu juga jati diri mereka sebagai orang Melayu.

Jadi ini pengajaran bg kita dekat sini. Tanah kita mesti dipelihara untuk agama kita terus ditegakkan di tanah bertuah ni.

Rabu, 17 Januari 2024

Apa cerita yang berlaku disebalik kewujudan Ayam Bismi....

 "Dulu sembelih ayam sebelah rumah mak dan ayah"

Itulah kenangan yang dipotretkan di dalam gambar ini sebelum Ayam Bismi diperluaskan kewujudannya.

Cerita disebalik kewujudan Ayam Bismi ....

Dari proses 50 ekor ayam, kini miliki 18 ladang bersepadu terbesar di utara tanah air dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Di belakangnya adalah, Haji Jaffri Ahmad selaku Pengasas dan Presiden Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., yang sudah 36 tahun berkecimpung dalam industri tersebut dan terus berkembang saat ini.

Berkat kegigihan anak jati Kedah itu sebuah bisnes kecil-kecilan yang bermula hanya dengan memproses dan menjual 50 ekor ayam berkesudahan dengan 18 ladang  dengan kapasiti ternakan dan pemerosesan di bawah Bismi Empire Sdn. Bhd. atau Ayam Bismi itu adalah lebih dua juta ekor setiap kitaran.

Ia sekali gus menjadikan Ayam Bismi sebagai sebuah syarikat bumiputera terbesar dalam sektor penternakan, pemerosesan dan pengedaran ayam.

Lahir dengan nama Ayam Bismi, idea bisnes Haji Jaffri yang kuat didukung isteri kesayangannya, Hajah Mazlina Kamarudin itu, bermula pada 1988 setelah beliau menamatkan pengajian dalam industri perladangan di UiTM di Arau, Perlis.

“Bila saya keluar dari ITM (kini UiTM) zaman inflasi jadi memang susah nak dapat kerja. Tetapi memandangkan saya suka berniaga sejak di bangku sekolah sampai ke ITM. Kecil-kecil sekolah rendah saya diasuh oleh keluarga bawa kuih ke kedai sampai ke masa sekolah saya jual buah di tepi jalan, tidur di tempat berniaga, sudah biasa… pernah suatu masa lepas SPM ambil upah cuci bas dan di ITM macam-macam kerja saya buat.

“Memang saya minat berniaga. Sehingga lepas habis belajar, saya diperkenalkan dengan seorang rakan yang mengajak saya membuka bisnes memproses ayam,” kata Penternak Jaya Kedah 2003 ini dan penerima Anugerah Pemasar Terbilang Lelaki Kebangsaan-FAMA 2004.

Bercerita lanjut kata Pengasas Ayam Bismi ini, pusat pemerosesan ayam pertama yang diusahakan dengan rakan kongsinya itu  terletak bersebelahan dengan rumah keluarganya iaitu tapak asal Pusat Jualan dan Ibu Pejabat Ayam Bismi ketika ini.

“Saya masih ingat hari pertama saya sembelih 50 ekor ayam yang dibeli daripada FAMA dan seronok untuk bekalkan. Saya ingat lagi dengan sebuah pikap buruk saya bawa ayam itu untuk dihantar ke pemborong."

“Itu pun bukan senang kerana saya mampu jual 10 ekor sahaja dan lebih bawa balik letak dalam peti sejuk rumah kawan kerana nak bawa balik risau ibu bapa bimbang,” ceritanya.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila rakan kongsi beliau turut menghilangkan diri menyebabkan beban untuk meneruskan perniagaan tersebut tertanggung di bahunya sendirian.

“Sedikit demi sedikit bisnes itu saya besarkan dan saya pun sudah jadi pembekal ayam mahu tak mahu terpaksa teruskan bisnes ayam. Dari situlah saya perlahankan bangunkan diri langkah demi langkah. Bulan puasa saya berniaga di tepi pasar, dan banyak dugaan juga dimarah peniaga lain dan disaman majlis. Sehinggalah saya mula dapat tapak tetap di Pasar Tani Alor Setar dan dari satu meja tambah ke lima meja seterusnya bekalkan kepada semua peniaga ayam di situ,” katanya.

Walaupun semakin maju, Haji Jaffri mengakui pernah meninggalkan seketika perniagaan itu untuk bekerja makan gaji di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur namun cuma bertahan sehari apabila menyedari minatnya hanya dalam dunia perniagaan.

Demi untuk mengembangkan bisnes tersebut, Haji Jaffri memberanikan diri membuka ladang ternakan pertamanya di Binjal, Napoh pada 1995 dengan kapasiti 20,000 ekor.

“Tanah itu saya sewa… itu pun ada cabaran apabila daripada 20,000 ekor anak ayam yang saya ternak hamper 80 peratus mati kerana penyakit hawar. Tetapi kegagalan itu tetap memberi pengajaran kepada saya untuk berhati-hati,” katanya.

Ceritanya lagi, selang dua tahun selepas itu beliau membesarkan ladang tersebut dengan menyewa tanah bersebelahan sekali gus meningkatkan kapasiti kepada 50,000 ekor ayam setiap kitaran.

Pelbagai masalah daripada pemilik tuan tanah yang disewanya di kawasan itu juga tidak mematahkan semangat Haji Jaffri apabila ia memberi hala tuju baharu kepadanya untuk membeli tanah dan membuka ladang baharu sebagai langkah mengembang perniagaannya itu.  

“Di ladang tanah yang kita sewa itu kita hadapi banyak masalah termasuk orang yang diupah untuk ternak ayam itu semakin hari tidak dapat bagi komitmen kepada kita… dari situ salah faham terjadi walaupun buat kontrak lima tambah lima tahun tapi bila tak ada persefahaman dengan tuan tanah akhirnya ternak ayam ini mula kerugian sebab ayam tak besar… ayam mati banyak. Kita ambil langkah pindahkan reban  ke tapak tetap tapi bukan langkah mudah akhirnya kita terpaksa bayar pampasan kepada tuan tanah,” jelas penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Agrobank 2018 ini.

Serik menyewa tanah selain dihadapkan dengan karenah tuan tanah, Haji Jaffri akhirnya membeli sebidang tanah dengan harga RM80,000 di Kampung Lampam, Pendang pada 1998 dan memindahkan ladang di Napoh ke kawasan itu.  Langkah Ayam Bismi tidak terhenti di situ.

Sehingga kini, dengan visi Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia, Bismi Empire mempunyai 18 ladang bersepadu di seluruh Kedah dengan kapasiti daripada 20,000 hingga 235,000 ekor setiap kitaran malah enam daripadanya ditukarkan kepada ladang tertutup. Pada masa kini kapasiti keseluruhan ladang milik Bismi Empire adalah 2 juta ekor.

Bukan itu sahaja untuk memastikan kualiti ayam yang dipasarkan pada tahap terbaik dan suci, syarikat berkenaan turut membuka makmalnya sendiri dengan pelaburan lebih RM250,000 demi memastikan proses penjagaan pemakanan ayam ternakan bebas daripada penyakit dan sisa khinzir.

Bismi Empire Sdn. Bhd. kini memiliki empat anak syarikat di bawah seliaannya iaitu Bismi Cergas Sdn. Bhd., Ayam Bismi Sdn. Bhd., Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. dan Naka Biolife Sdn. Bhd. Bismi Cergas Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti menternak ayam, manakala Ayam Bismi Sdn. Bhd. menjadi ejen pemasar, yang menjalankan aktiviti memproses dan memasar ayam.

#ayambismi

Sabtu, 13 Januari 2024

Sepenggal menjadi MB Terengganu,apa kejayaan Dr Sam

 


1. Sudah dimaklumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Samsuri bahawa di peringkat awal pentadbiran beliau iaitu bagi tahun 2018 hingga 2023, beliau akan fokus kepada isu-isu besar mengikut keutamaan.

2. Justeru, 5 tahun ini telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membaik pulih 20 projek terbengkalai yang diwarisi oleh pemerintah sebelumnya bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat.

3. Selain itu, dalam masa tiga tahun sahaja, sudah RM472.78 juta iaitu hampir 70 peratus hutang Kerajaan BN terdahulu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di bawah PAS.

4. Anak syarikat Kerajaan Terengganu turut tidak ketinggalan mencatat prestasi cemerlang dengan kejayaann Terengganu Inc. mencatat peningkatan RM1.55 bilion pada 2022 berbanding RM1.17 bilion pada 2021.

5. Kumpulan TI juga mencatatkan peningkatan secara konsisten selama lima tahun berturut-turut sejak 2018 dengan perolehan hampir RM1 bilion sepanjang tempoh itu.

6. Nilai keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak RM13 juta kepada RM21 juta pada tahun 2022, berbanding RM8 juta pada tahun sebelumnya.

7. Lebih mengagumkan, segala keuntungan ini dipulangkan semula kepada rakyat Terengganu apabila Kumpulan TI membelanjakan sebanyak RM11.4 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membayar zakat sebanyak RM4.5 juta.  

8. Dengan prestasi dan kemampuan luar biasa yang ditunjukkan oleh Terengganu, apakah alasan Kerajaan Persekutuan untuk menafikan hak Terengganu mendapatkan bayaran penuh bagi royalti tahunan?

9. Bayangkan betapa banyak manfaat yang dapat diperoleh negeri dan rakyat Terengganu jika segala hutang royalti dan hak negeri diberikan secara adil oleh kerajaan Madani.

10. Sama-sama kita doakan semoga hasrat Dr. Samsuri untuk menjana pendapatan baru dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti minyak dan gas sekurang-kurangnya 30% bagi penggal ini berjaya.

Sekian

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi

Ketua Penerangan PAS Terengganu


12 Januari 2024

#DaulatTuanku 

#KekalTenang

Khamis, 11 Januari 2024

Jawatan Kosong:Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK Perlis)

 


📢 Jawatan Kosong Perlis Terkini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK Perlis) - Ambilan 2024 📢

Link 👉 https://bit.ly/JawatanSUKPerlis

✔️ Lokasi: Negeri Perlis

✔️ Tarikh tutup: 20 Januari 2024

✔️ Maklumat lanjut senarai jawatan, syarat dan permohonan, sila layari link di atas.

📍 Untuk dapatkan notifikasi/pemberitahuan Jawatan Kosong di Perlis, sila sertai channel Telegram rasmi di https://t.me/jawatankosongperlis

#SUKPerlis, #jawatankosongterkini, #kerjakosong, #career, #vacancy, #Perlis, #JawatanKosongPerlis

Selasa, 9 Januari 2024

SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

 SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

Firman Allah SWT;

“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” 

(Surah Al-Baqarah: 188)

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menegaskan bahawa politik wang tidak pernah menjadi sebahagian daripada amalan politik PAS sejak keberadaan parti ini dalam pentas siasah negara. Malah PAS sentiasa bertegas dalam menyanggah serta membanteras apa juga bentuk rasuah politik demi mempertahan Islam dan negara tercinta.

Tidak wajar sama sekali ada pihak menyamakan PAS dengan parti mereka sendiri yang menggunakan harta dan kedudukan sebagai habuan utama dalam berpolitik.

Ironi sekali apabila ada pihak yang membuat dakwaan palsu bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha membeli wakil rakyat ketika ini dengan kemewahan harta dan pangkat.

Bagaimana mungkin sebuah parti miskin boleh menggunakan duit sebagai sogokan untuk mendapatkan sokongan? 

Sebaliknya merekalah yang telah menjadikan amalan tersebut untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat. Segelintir daripada wakil rakyat daripada pembangkang menerima tawaran mencecah jutaan ringgit sebagai balasan sokongan kepada mereka. 

Bukankah itu adalah amalan politik rasuah yang sudah berakar dalam kalangan parti dan kepimpinan mereka? 

DUPP ingin mengingatkan Kerajaan bahawa sepatutnya mereka melihat dan menilai kepada parti mereka sendiri dalam menanggapi perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Satu demi satu kegagalan yang ditampilkan dalam pentadbiran hari ini menyebabkan rakyat semakin menjauhi mereka. 

Usah menjadi mata lalat yang hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan rumah mereka sendiri hanya menanti masa untuk rebah gugur menyembah bumi.

Sekian.

Dato' Ahmad bin Yahaya,

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.


9 Januari 2024


#AdilPrihatinBerkebajikan

Isnin, 8 Januari 2024

Apa MB Kedah dah buat untuk kemajuan negeri Kedah?

 


1. Tuan Guru Presiden PAS nasihatkan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk jadi diri sendiri. Maka beliau jadi diri sendiri.

2. Menjadi seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, bercakap dalam bahasa rakyat dan bekerja untuk rakyat.

3. Walau PH-BN cuba memburukkan namanya, mereka tetap tidak dapat menafikan kemampuan beliau sebagai pemimpin. 

4. KDYMM Sultan sendiri memuji pentadbiran beliau. Hangpa nak tara mana lagi?

5. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Sanusi, 

i) Keluasan Tanah Rizab Melayu di Kedah bertambah 101 hektar dalam tempoh 3 tahun iaitu daripada 721,803 hektar pada 2020 menjadi 721,905 hektar pada 2022.

ii) 7,233 geran tanah yang tertangguh lebih 30 tahun akhirnya diluluskan dan dapat dimiliki rakyat.

iii) RM91.4 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk dan membuka 19,568 peluang pekerjaan

iv) Menghapuskan premis judi

v) Lunas RM121.9 juta hutang SADA yang ditinggalkan kerajaan PH daripada RM148 juta kini berbaki RM6.7 juta sahaja.

vi) Menggerakkan pembangunan projek-projek mega seperti Kedah Aerotropolis yang mempunyai nilai besar 

6. Mungkin MB Kedah tidak pandai berpidato dengan perkataan bombastik yang mengindahkan penipuan seperti Perdana Menteri Malaysia ke-10.

7. Ucapan MB Kedah lebih ringkas dan jelas. Senang difahami dan boleh dipercayai.

8. Ketika beliau kata PN akan menang 33 kerusi DUN di Kedah, PN betul-betul menang 33 kerusi.

9. Ketika beliau mengutarakan perancangan The Greater Kedah, beliau usahakan sepenuh hati.

10. Sekarang apabila beliau kata kerajaan akan tumbang, habis semua pemimpin PH-BN panas punggung sehingga menyerang peribadi beliau.

11. MB Kedah tenang sahaja melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan caranya.

12. Fokus beliau adalah untuk merealisasikan gagasan “Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti” serta menuju misi “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” menjelang tahun 2035. 

13. Dibiarkan sahaja puak PH-BN yang hanya banyak bercakap, tidak bekerja.

14. Tahniah rakyat Kedah kerana telah memilih pemimpin yang tepat.

USTAZ NASRUN OTHMAN

Ketua Pemuda PAS Kedah

8 Januari 2024


#AdilPrihatinBerkebajikan

Sabtu, 6 Januari 2024

Beri elaun khas dahulu kalau sukar naikkan gaji penjawat awam-Cuepacs

 

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji dalam bentuk elaun khas sementara menunggu pelarasan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan kerajaan sekiranya isu kewangan menjadi kekangan dalam menyegerakan SSPA.

“Selepas SSPA dimuktamadkan kelak dan berlakunya kenaikkan gaji, maka kerajaan boleh memansuhkan bayaran elaun khas tersebut.

“Usaha ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan gaji bersih (take home pay) penjawat awam meningkat sementara menunggu pelarasan gaji dilaksanakan.

“Adalah menjadi harapan warga penjawat awam untuk menikmati skim upah yang lebih adil dan munasabah supaya mereka mampu berhadapan dengan situasi yang sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Adnan memberitahu pihaknya turut menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam.

Jelasnya, usaha yang digembleng oleh kakitangan daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia jelas membuktikan kemampuan penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Katanya, walaupun masa yang diberikan oleh kerajaan adalah amat singkat, kekangan tersebut bukanlah menjadi halangan untuk penjawat awam memberikan hasil terbaik setanding dengan perunding antarabangsa.

“Syabas diucapkan kepada penjawat awam kerana mampu menghasilkan sistem yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Cuepacs mencadangkan agar suatu bentuk insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat dalam membangunkan projek-projek besar kerajaan pada masa hadapan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan galakan untuk mereka berusaha dengan lebih baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Keajaiban kapal terbang dan kekuasaan Allah kepada burung

 


Izinkan saya berkongsi tentang kebesaran Allah. Hanya seminit dua diperlukan. Boleh ya. 

Cuba kawan-kawan lihat ratusan butang dan skrin yang besar untuk dirujuk oleh juruterbang. Setiap satu butang ada fungsi tersendiri. Ia begitu kompleks hanya untuk bantu pesawat untuk navigate terbang sahaja!

Dan harga sebiji pesawat seperti dalam gambar Airbus-A380 ini kira-kira USD 200 juta! 

Tabik hormat kepada pilot yang saya kenali antaranya Captain Gazze Azri dan Captain Mohd Ezairol Rezan Zainol. 

Macam mana la dorang boleh hafal fungsi butang ni semua. 

Nah, cuba kita bandingkan pula dengan saiz seekor burung pipit, burung helang, burung merpati, burung hantu dan burung enggang.

Mereka ada otak sebesar biji tembikai sahaja. Dan ianya cukup untuk lakukan proses pengiraan yang rumit ini dibuat!! 

Ia melibatkan kelajuan, ketinggian, muatan, berat, arah, kompas, timing, radar untuk mencari makanan dan melarikan diri daripada musuh. 

Dalam salah satu rancangan National Geographic yang saya tonton, seekor burung helang yang membuat ‘maneuver’ dari langit untuk tangkap ikan di laut boleh capai kelajuan 160 kilometer sejam! Dan ia tak terhempas!

Kita kalau naik motosikal, bawa kelajuan sama dan brek mengejut. Kalau tak terpelanting atau skidding memang tak sah. 

Tak cukup dengan itu, fikirkan pula cara burung buat ‘perfect landing’ ke dahan pokok dalam altitud kelajuan tinggi. Jarang pula burung terhempas langgar pokok atau terbabas ke tanah. 

Uniknya, burung-burung lakukan semua ini tanpa bantuan menara pengawasan, radio, satelit atau GPS! Masya Allah. Dan semestinya semakin kecil objek itu untuk mempunyai keupayaan seperti sebuah kapal terbang. 

Berapa juta agaknya nilai teknologi yang ada pada semua jenis burung itu. 

Kawan-kawan,

Allah Taala berfirman dalam surah Al Mulk (ayat-19):

https://quran.com/en/al-mulk/19

"Tidakkah mereka melihat burung-burung yang berada di atas mereka dengan sayap yang terbentang dan [kadang-kadang] berlipat-lipat? 

Tidak ada yang mengangkatnya kecuali Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia Maha Melihat dari segala sesuatu".

Allah Maha Berkuasa, Makhluk Tiada Daya Upaya.

Begitulah. 

Hafizul Hakim