"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label PRN Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRN Sabah. Papar semua catatan

Isnin, 16 November 2020

Biar saya mati dalam gelanggang politik - Shafie

 


Bekas ketua menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal mempertahankan keputusannya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas kerajaan Warisan pimpinannya diganggu-gugat pihak tertentu.

"Saya rela mati dalam gelanggang politik daripada menyerahkan kerajaan. Biar rakyat tentukan," katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shafie berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Alamin (BN-Kimanis) apakah dia kesal kerana mencadangkan pembubaran Dun bagi mengadakan PRN Sabah sehingga membawa peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Tegas Shafie dia tidak akan tunduk kepada pihak yang mengamalkan konsep "cash is king" dan mempunyai keupayaan untuk membeli wakil rakyat.

Katanya, PRN Sabah tidak akan berlaku jika kerajaan pimpinannya tidak diganggu oleh pihak tertentu.

"Saya bukan sanggup mati kerana Covid-19, saya nyatakan nak menyerahkan kuasa bukan kepada pihak yang bergantung kepada ‘cash is king’ kerana ‘purchasing power’.

"Nak serah kuasa baik saya mati dalam gelanggang politik. Bukan mati kerana covid, mati di gelanggang politik," katanya.

Mohd Shafie memohon perkenan bagi membubarkan DUN Sabah selepas sekumpulan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bersamanya mengalih sokongan kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Parti Warisan Sabah (Warisan) tewas dalam PRN Sabah yang berlangsung 26 Sep lalu apabila hanya berjaya memenangi 29 kerusi.

Manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara berjaya membentuk kerajaan negeri yang baru di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi.

GRS dianggotai Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, BN mendapat 14 kerusi, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) menawan tujuh kerusi.
Selepas PRN Sabah, negara menyaksikan gelombang ketiga penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Shafie berkata jika tidak gangguan daripada kerajaan kini, maka situasi Covid-19 di negeri itu kekal terkawal.

Katanya, sebelum PRN negeri itu adalah negeri paling terkawal dari wabak pandemik berkenaan.

“Kalau sekiranya tidak ada gangguan daripada kerajaan yang ada pada hari ini negeri Sabah adalah negeri yang amat terkawal keranan mempunyai paling banyak ‘green area’.

“Tetapi malangnya kerana mereka berkuasa mereka mahu mengambilnya,” katanya lagi.

-detikdailyonline

Jumaat, 2 Oktober 2020

SEDIH:Marhaien mengeluh orang politik bawa pulang durjana

 Sekali lagi malaysia dilanda gelombang covid19. Kali ini seperti dilihat lebih serius. Dengan situasi kes yang kembali meningkat, semestinya merisaukan rakyat marhaen yang bertungkus lumus memastikan rangkaian covid19 dapat diputuskan. 

Ibarat retak menanti belah. Kerana gila berpolitik di sabah yang ketika itu berlaku penularan besar covid19, semua macai balaci politik seolah merasakan diri mereka kebal atau virus covid memilih parti untuk dihinggap. 

SOP? Persetan
Denda? Rakyat jerr

Kenapa perlu membabitkan semenanjung untuk pergi ke sabah berkempen. Apa pemimpin disabah buta idea untuk berkempen?

Berbaloikah sekarang mendenda rakyat tapi bisu semasa kempen PRN Sabah.







Khamis, 1 Oktober 2020

Hampir seluruh negara dijangkiti Covid-19 dari Sabah


PUTRAJAYA – 
 Hampir keseluruhan negeri dan wilayah di negara ini dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) dari Sabah.

Menerusi data terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara negeri yang merekodkan jangkitan dari Sabah adalah Kedah sebanyak dua kes, Selangor (lima), Johor (satu) dan Sarawak (tiga) kes.

Selain itu, Kuala Lumpur dan Terengganu merekodkan tiga kes positif yang turut melibatkan individu pulang dari Sabah manakala Pahang serta Perlis dua kes.

Empat negeri dan wilayah lain iaitu Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak masing-masing merekodkan satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak 20 September lalu, pihaknya merekodkan 88 kes positif dikesan dari Sabah.

“Hari ini sebanyak 25 daripada 86 kes penularan dalam negara dikesan mendapat jangkitan ketika berada di Sabah,” katanya.

Menurutnya, Sabah masih lagi negeri tertinggi merekodkan kes positif harian dengan 35 kes melibatkan rakyat tempatan.

“KKM mengesan 18 kes dalam saringan bergejala, sembilan kes positif daripada Kluster Bangau-Bangau dan tiga kes kontak rapat kepada kes positif.

“Selain itu, KKM turut mengenalpasti empat individu daripada Kluster Benteng LD didapati positif Covid-19.

“Satu kes saringan kematian di Hospital Tawau turut disahkan positif,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merekodkan 13 kes di Kedah termasuk dua yang pulang dari Sabah.

“KKM mengesan lima kes saringan kontak rapat kepada kes positif iaitu kes ke-11,129 dan tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembok,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua individu bergejala yang disaring di negeri itu turut disahkan positif wabak itu.

“Kluster Sungai merekodkan satu kes baharu,” katanya.

Menurutnya, di Selangor, daripada lima kes lain dikesan, masing-masing dua kes bergejala dan saringan masuk kerja.

“Satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal yang melibatkan warga asing,” katanya.

Katanya, di Johor pula, tujuh kes daripada Kluster Bakawali turut dikesan.

“Kes indeks kluster ini merupakan pasangan suami isteri yang pulang dari Sabah,” katanya.

-Minda Rakyat

Isnin, 28 September 2020

PRN Sabah:Shafie Apdal jatuh dari puncak kuasa

 


PILIHAN
 raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 menjadi saksi kebangkitan Pakatan Harapan (PH) selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah lebih 60 tahun mendominasi pemerintahan negara.

Namun memasuki tahun 2019 momentum PH semakin perlahan terutamanya selepas BN membentuk kerjasama dengan Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional.

Pada tahun 2020 tsunami politik semakin ganas membadai PH apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar daripada PH.

Akibatnya kerajaan PH tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).

Peralihan kuasa gabungan di Pusat menyaksikan satu demi satu kerajaan negeri iaitu Perak, Melaka, Kedah dan Johor turut bertukar tuan memihak kepada PN.

Drama politik ganas itu turut berjangkit ke Sabah apabila Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada penghujung Julai lalu.

Pada satu ketika, Tan Sri Musa Aman daripada BN hampir diangkat semula sebagai Ketua Menteri namun, Mohd Shafie berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang diadakan semalam.

Sekali imbas Mohd Shafie mengambil satu langkah bijak berbanding menyerahkan kuasa kepada Musa begitu sahaja.

Mohd Shafie yakin rakyat akan kembali memberikan mandat kepada Warisan Plus iaitu gabungan daripada beberapa parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah serta parti tempatan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Namun, walaupun Shafie dan Warisan Plus mengangkat semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ sepanjang kempen dua minggu, namun keputusan PRN kali ke-16 malam tadi memberi tamparan hebat buat bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu.

Parti gabungannya tewas sekali gus menyaksikan Mohd Shafie jatuh dari puncak kuasa selepas memerintah Sabah selama 29 bulan.

Strategi makan diri

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg melihat kesilapan utama Mohd Shafie adalah kerana beliau memperjuangkan retorik semangat ‘Sabah untuk Sabahan’ bagi menawan hati pengundi.

Hakikatnya, menurut Romzi, sekiranya Shafie jujur untuk memperjuangkan semangat berkenaan, beliau tidak menyertakan parti dari Semenanjung iaitu PKR, DAP dan Amanah dalam sekutunya.

“Rakyat Sabah tidak mahu lagi bermain dengan retorik politik semata-mata. Kalau kita nak sangat ‘Sabah untuk Sabahan’, kenapa tidak tolak terus parti PKR, DAP dan Amanah. Itu salah satu kesilapan Mohd Shafie.

Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.

Walaupun cuba mempertahankan kedudukannya, namun Shafie Apdal terpaksa akur dengan kekalahan di tangan BN, PN dan PBS.

“Beliau mengatakan menolak parti dari Semenanjung tetapi bekerjasama dengan parti dari Semenanjung melalui Warisan Plus. Itu kesilapan yang memakan diri,” katanya kepada Sinar Harian malam tadi.

Selain itu, menurut Romzi, terdapat dua faktor lain yang menyebabkan tumpulnya taring Mohd Shafie walaupun beliau mempertahankan kemenangannya di DUN Senallang.

Faktor itu, tegas Romzi, adalah kegagalan Mohd Shafie menghalang PRN daripada berlaku ketika Sabah berdepan dengan pandemik Covid-19 dan sentimen antipendatang asing terutama di sepanjang pantai barat dan pedalaman Sabah.

“Kita masih lagi berhadapan dengan isu kemiskinan dan dalam keadaan sekarang iaitu melibatkan isu pandemik Covid-19. Tambahan pula ketika pandemik berlaku, kerajaan negeri ada masalah untuk menangani penularan wabak tersebut.

“Sehingga kini ada juga rakyat cuba menyalahkan kerajaan negeri sebab kenapa tidak menghalang PRN. Seolah-olah ada kerisauan dalam kalangan pengundi yang juga membawa kepada persepsi khususnya Ketua Menteri tidak melihat aspek keselamatan rakyat dan cuba mengheret rakyat ke satu situasi iaitu bertarung nyawa dengan Covid-19.

“Selain itu saya juga melihat tentang isu imigrasi dan ada juga rakyat mengatakan apabila Warisan menjadi kerajaan, golongan yang diragui kewarganegaraan semakin berani tampil ke hadapan. Itu khususnya mempengaruhi pengundian terutamanya melibatkan kawasan Kadazan Dusun Murut,” katanya.

Sehaluan dengan Pusat

Berkongsi pandangan yang sama, Pensyarah Kanan (Kerajaan dan Politik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, tindakan pembubaran DUN Sabah oleh Presiden Warisan itu merupakan langkah reset untuk menyelesaikan krisis politik Sabah pasca-PRU14.

“Dengan pembubaran DUN Sabah, ini bermakna beliau telah bersedia dengan kemungkinan yang bakal berlaku sama ada menang atau kalah pada PRN Sabah,” katanya.

Tony berkata, ketika pembubaran DUN yang dibuat pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie percaya beliau mempunyai sokongan kuat daripada Warisan dan parti dalam PH serta UPKO.

Namun keputusan dengan kemenangan tipis yang memihak kepada PN, BN dan sekutunya membuktikan percaturan Mohd Shafie kali ini membawa padah sehingga menyebabkan beliau hilang majoriti untuk membentuk kerajaan selepas hampir 60 peratus daripada 1.1 juta pengundi membuang undi semalam.

Menurut Tony, terdapat banyak faktor yang menyebabkan rakyat Sabah tidak kembali memilih Warisan antaranya termasuklah isu melibatkan ekonomi.

“Berdasarkan tinjaun yang dilakukan badan-badan bebas, terdapat beberapa isu yang menjadi keutamaan rakyat antaranya isu ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Rakyat melihat bagaimana bantuan-bantuan disalurkan dan bagaimana ekonomi negara diuruskan menyebabkan mereka lebih tertarik kepada PN dan mereka percaya PN dapat menangani isu-isu ekonomi semasa.

“Keduanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membicarakan tentang pembangunan dan kestabilan berjaya meyakinkan rakyat Negeri Di Bawah Bayu,” katanya lagi.

Beliau berkata, amat penting kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan sehaluan agar segala perancangan dan pembangunan berjalan dengan lancar dan berkesan.

Ditanya sama ada keputusan PRN Sabah ke-16 mampu memberi impak kepada kerajaan Pusat ketika ini dan juga kepada PRU-15, Tony berkata, PRN Sabah sangat penting sebagai salah satu indikator dan kayu pengukur kepada kepimpinan PN di peringkat nasional.

“Ia sudah pasti menyuntik semangat dan keyakinan terhadap PN dan juga kepimpinan Muhyiddin. Kemenangan ini akan mengukuhkan kedudukan PN dalam menghadapi PRU kelak,” katanya.-DetikDaily

PRN Sabah :Rina Jainal tewaskan calon veteran BN dengan majoriti 10 undi

Dua muka baharu antara tujuh calon wanita yang berjaya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pertarungan sengit antara dua wanita daripada era berbeza antara yang menarik perhatian dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan apabila menyaksikan calon muka baharu daripada Warisan Rina Jainal mengetepikan calon veteran Barisan Nasional (BN) Chaya Sulaiman dengan majoriti tipis 10 undi.

Rina, 39, yang merupakan Ketua Wanita Warisan Bahagian Kalabakan menang dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi berkenaan dengan memperoleh 2,834 undi manakala Chaya mendapat 2,824 undi.

Selain Rina, calon Perikatan Nasional-STAR, Flovia Ng, 51, juga mencatat kemenangan pertamanya di DUN baharu Tulid dengan meraih 2,267 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Lima lagi calon wanita yang turut mencatat kemenangan dalam PRN kali ini ialah Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang mempertahankan kerusi Api-Api, Julita Mojungki (PBS) pula mengekalkan kerusi Matunggong manakala tiga calon Warisan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).

Seramai 43 calon wanita bertanding pada PRN Sabah kali ini yang menyaksikan 29 daripada mereka hilang wang deposit setelah gagal meraih 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

- Bernama

______

PBS dakwa ‘parti kapal’ hubungi pemimpinnya untuk beli kerusi, tawar duit, jawatan

PBS mendakwa disebabkan mahukan jawatan dan kuasa, terdapat pihak tertentu daripada “parti kapal” mula menghubungi pemimpin parti itu bertujuan untuk membeli kerusi.

PETALING JAYA: PBS hari ini mendakwa parti itu dijadikan sasaran fitnah susulan kemelut pelantikan calon ketua menteri Sabah yang sehingga kini masih belum selesai.

Parti itu dalam kenyataan di Facebook berkata, disebabkan mahukan jawatan dan kuasa, terdapat pihak tertentu daripada “parti kapal” mula menghubungi pemimpin daripada parti itu bertujuan untuk membeli kerusi.

“Mainan politik kotor parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti kini berubah wajah, berubah rupa.

“Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik daripada parti Malaya tetapi sebenarnya bertopengkan musang. Kerana mahukan jawatan dan kuasa, parti kapal ini mula menghubungi Yang Berhormat (YB) PBS untuk beli kerusi.

“Mereka sanggup menawar duit dan jawatan untuk YB PBS,” katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai menafikan dakwaan akan bersatu tenaga dengan Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, PBS berjaya memperoleh kemenangan di 7 kerusi ditandingi mereka. Kerusi itu adalah di DUN Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.

Menurut parti itu, PBS bukan parti yang baru dibina serta bukan parti murahan dan tidak berwibawa. Katanya, PBS terbentuk daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

“Sedarlah wahai Warisan Plus, PBS bukan parti yang baru dibina kelmarin, PBS bukan parti yang murahan dan tidak berwibawa.

“PBS pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat. PBS berpegang pada prinsip dan maruah, PBS akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS menang 38 daripada 73 kerusi dipertandingkan pada PRN Sabah sekali gus berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Warisan Plus pula memenangi 32 kerusi, manakala bakinya dikuasai calon bebas.

Jumaat, 25 September 2020

PRN Sabah:PENILAIAN RISIKO PENULARAN COVID-19 DI NEGERI SABAH

 PENILAIAN RISIKO PENULARAN COVID-19 DI NEGERI SABAH

1. Sehingga 25 September 2020, masih terdapat lima (5) kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat (4) zon merah di Sabah  (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna) dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu Kota Setar.

2. Seperti dimaklumkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 24 September 2020, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran. Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya. Sebarang perubahan kepada arahan ini akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. Elakkan mempercayai dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau palsu.

3. Daripada situasi terkini, didapati jumlah kes positif COVID-19 di negeri Sabah masih tetap meningkat. Seperti diumumkan, 97 lagi kes positif COVID-19 dilaporkan pada hari ini di negeri Sabah. Tambahan pula, didapati terdapat 10 kes yang dikesan positif COVID-19 setelah kembali dari Sabah pada Minggu Epid ke-39 (iaitu 20 September 2020 hingga hari ini). Kesemua mereka ini telah diasingkan dan kini mendapat rawatan di hospital. Pengesanan kontak bagi kesemua kes ini juga giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan. 

4. Keputusan terkini yang baru diterima dari makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan 23 virus COVID-19 yang diasingkan dan dikultur daripada Kluster Benteng LD di Sabah didapati mempunyai mutasi D614G, namun ianya tidak berkaitan dengan virus COVID-19 mutasi D614G yang ditemui di kluster-kluster di negeri Kedah.

5.     Nasihat kepada masyarakat di Sabah:

   - Berdasarkan penilaian risiko seperti di atas, KKM menggesa semua masyarakat di Sabah untuk lebih berwaspada dan meningkatkan pematuhan Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk semasa tempoh berkempen bagi Pilihanraya Negeri Sabah dan semasa hari mengundi. 

   - Seperti resmi budaya kita di Malaysia, masyarakat sangat digalakkan untuk saling tegur menegur antara satu sama lain dalam mematuhi SOP, agar kita dapat saling melindungi diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita daripada jangkitan COVID-19.

   - KKM menggalakkan masyarakat untuk keluar mengundi namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di pusat mengundi dan amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizers, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat. Dapatkan bantuan kesihatan sekiranya anda bergejala.

   - Penuhilah tanggungjawab dan hak mengundi anda dengan baik. KKM juga akan terus meningkatkan kesiapsagaan di lapangan, klinik-klinik, makmal-makmal dan hospital bagi terus berusaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.

Sumber:MKN

Selasa, 22 September 2020

PRN Sabah:2 anggota keselamatan bawa wang disyaki untuk beli undi diberkas

 


KOTA KINABALU: Dua anggota keselamatan diberkas di Lahad Datu semalam selepas dipercayai membawa sejumlah wang, disyaki untuk membeli undi bagi sebuah parti politik.

Sumber memaklumkan mereka ditahan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung “tindakannya yang menjadi wakil kepada parti politik itu”.

“Wang itu dipercayai akan diberikan kepada anggota agar mengundi parti berkenaan hari ini,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.-FMT

Isnin, 21 September 2020

PRN Sabah:Mohammadin Ketapi Anggap Peristiwa Berdarah Tanduo Lahad Datu Sandiwara Sahaja

 Astaghfirullahalazim. 

Betapa hinanya apabila seorang yang bertaraf wakil rakyat yang pernah menjadi menteri sanggup mengungkapkan kata-kata sebegini. Apakah beliau terlalu asyik berpolitik dan berkempen sampai sanggup keluarkan kenyataan menghina dan memperlekehkan wira-wira negara sebegini?

Dalam sebuah ucapan yang tular dan dilaporkan dalam berita, beliau menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing dalam peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu 2013 dulu.

Lebih menyedihkan lagi, apabila beliau berkata begitu semasa berucap, kedengaran hadirin yang hadir bersorak dan bergelak ketawa pula. Ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi saya anggap sebagai satu perkara yang perlu dirisaukan kerana ada yang bersetuju dan menyokong kenyataan itu dengan penuh bersemangat. Inilah yang kita panggil sebagai para 'pentaksub' yang sentiasa bersorak pada apa jua yang diperkatakan oleh pemimpin mereka. 

Semestinya, aggota-anggota keselamatan akan tersinggung terutamanya yang pernah terlibat dalam operasi tersebut. Yang pasti paling tersinggung adalah keluarga anggota-anggota keselamatan yang telah terkorban dalam perjuangan mempertahankan Lahad Datu daripada penceroboh itu.

Saya pasti, warga Sabah turut tersinggung akan kata-kata nista bekas menteri PH itu kerana perjuangan mempertahankan Sabah daripada ancaman luar diperlekehkan. Lebih-lebih lagi ketika sekarang, ancaman dari pihak luar terhadap Sabah semakin kian terasa terutamanya isu pertikaian Laut China Selatan dan isu tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah. 

Sebab itulah saya katakan dalam ucapan Hari Malaysia saya baru-baru ini, agar rakyat Sabah memilih mereka yang benar-benar patriotik, cintakan negara dan paling penting yang mempunyai kesedaran bahawa kedaulatan Sabah perlu dipertahankan dari ancaman luar. 

Bayangkan, apa implikasinya jika pemimpin kawasan anda yang berjaya naik sebagai wakil rakyat (tidak kira kerajaan mahupun pembangkang) tidak peduli pun mengenai keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Lebih teruk lagi, jika kita tidak cakna, mungkin akan ada yang menjadi talibarut pula.

Sepatutnya semua pihak bersatu padu dalam agenda dan isu yang melibatkan kedaulatan negara, bukannya menjadi bahan dagangan politik murahan kerana musuh di luar sentiasa memerhati. 

Jangan hanya menang bersorak, NEGARA tergadai. 

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

21 September 2020


Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/09/21/mohamaddin-anggap-kes-lahad-datu-hanya-sandiwara/


#MembangunUmatBeragenda

#MengangkatSuaraUmat

____


▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya

▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

Jumaat, 18 September 2020

Sejak bila PAS beranakkan PAN?

 

DALAM mencari undi tanpa batasan moral, pemimpin WARISAN mendakwa PAN adalah anak kepada PAS. Tujuannya hanya satu, untuk mengelirukan pengundi supaya penyokong PAS mengundi mereka. 

Dakwaan ini amat janggal, bahkan bertentangan dengan dakwaan Lim Kit Siang bahawa merekalah yang mengusahakan penubuhan PAN. Hatta, warna oren itu pun adalah pilihan DAP untuk mewarnai perjuangan PAN.

Semua khalayak politik tahu, bahawa PAN bermula dengan penubuhan PASMA (Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia) dalam September 2014.

 Apabila sebahagian mereka tewas dalam pemilihan PAS 2015, mereka membentuk G18 (Kumpulan 18), sebelum bertukar menjadi GHB (Gerakan Harapan Baru), dan akhirnya menjadi PAN setelah beberapa proses ‘membeli’ parti KITA (Kesejahteraan Insan Tanah Air) dan Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP). Inilah ‘origin of PAN.’

Ada juga pengkaji yang mengatakan PAN adalah parti yang disusun penubuhannya oleh IRC. Sejak 1998, terdapat segolongan ahli IRC menyusup masuk (infiltrate) ke dalam PAS, tetapi ia berlaku secara besar-besaran selepas 2004. Mereka cuba menguasai pos-pos strategik dalam PAS dan akhirnya berusaha menguasai kepemimpinan PAS. 

Pergerakan IRC telah diwakili oleh IKRAM di dalam parti-parti pembangkang ketika itu. Kerana itu berlaku pertembungan besar dalam kepemimpinan PAS sebelum 2015. Mereka adalah pemimpin PAS yang menyokong Anwar Ibrahim, tidak mendukung Presiden PAS. Mereka juga membawa agenda Liberal dalam PAS.

 Apabila mereka gagal menguasai PAS pada 2015, mereka menubuhkan PAN.

Mungkin ada orang yang berpendapat bahawa secara teknikal PAN memang anak PAS kerana ia ditubuhkan oleh bekas-bekas pimpinan dan ahli PAS. 

Tetapi saya bertegas, bahawa PAN bukan ditubuhkan oleh bekas pimpinan PAS, tetapi ia ditubuhkan oleh pimpinan dan ahli PAN yang berada dan menyusup dalam PAS.

 Dasar, fikrah dan agenda mereka sudah lama dibiakkan dalam PAS, tetapi mereka gagal memperdayakan pimpinan dan ahli PAS.

 Mereka cuba mengubah dasar dan perjuangan PAS tetapi gagal. Mereka cuba menjadikan PAS parti Islam yang Liberal tetapi mereka juga gagal.

 Lalu seluruh pimpinan dan ahli PAN yang berada di dalam PAS terpaksa menjelmakan diri dan wajah sebenar mereka pada 2015. Maka lahirlah PAN.

Hakikatnya, PAN adalah parti yang ditubuhkan oleh pemimpin dan ahli PAN yang berada di dalam PAS. Mereka sekali-kali bukan PAS!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 17/9/2020

Isnin, 14 September 2020

Punca PAS Tidak Dibenarkan Bertanding Di PRN Sabah Tersebar

 Salah satu kejutan terbesar dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah setakat ini adalah apabila PAS dikecualikan daripada barisan Gabungan Rakyat Sabah, walaupun parti Islam itu secara terbuka menuntut 10 kerusi untuk ditandingi.

Bagi pensyarah geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Azmi Hassan, keputusan itu tiada kena mengena dengan reputasi PAS, sebaliknya merupakan strategi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan kepadanya dan Perikatan Nasional.

"Sebab itu saya melihat keengganan PN memberi peluang kepada PAS walaupun kepimpinan PAS telah memberi sokongan tanpa belah bahagi kepada PN menyerlahkan bagaimana PN mentafsirkan betapa kritikalnya sokongan yang diperlukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terutama sekali dari PPBM (Bersatu) Sabah.

"Isunya tiada kena mengena dengan kemelut Bible atau sikap konservatif PAS tetapi jika PN memberi peluang walau satu kerusi kepada PAS, ini sudah tentu akan membangkitkan kemarahan ahli PPBM Sabah yang sudah tentu mengugat keutuhan PN," katanya.

Muhyiddin kini mendapat sokongan sekurang-kurangnya 113 anggota Parlimen di Dewan Rakyat, di mana enam daripadanya adalah anggota parlimen Bersatu dari Sabah.

Sekiranya PAS bertanding dalam pilihan raya Sabah, ini bermaksud Bersatu Sabah dan Umno Sabah harus menyerahkan beberapa kerusi kepada PAS, memandangkan ketiga-tiga parti itu bertanding di kawasan majoriti Muslim.

Walaupun pemimpin tertinggi PAS mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara itu kepada akar umbi parti, Azmi percaya sedikit sebanyak ia bakal menggugat kepercayaan mereka terhadap PN.

James Chin , yang merupakan profesor pengajian Asia di University of Tasmania dan pakar politik Malaysia Timur berkata PN mungkin mengecualikan PAS kerana sifatnya yang pragmatik.

"PAS selalu melakukan perkara yang sangat buruk di Sabah, dan mereka tahu sama ada mereka bertanding atau tidak, tak memberi kesan.

"Jadi, dalam kes ini, kerana BN dan PN bertanding, mereka telah tersingkir. Dengan kata lain, jika mereka bertanding di sana, mereka juga akan kalah semua kerusi di sana," kata Chin kepada Malaysiakini.

Tidak seperti Azmi, Chin tidak percaya episod ini akan menjerat hubungan antara PAS dan PN, kerana Bersatu Sabah dan Umno Sabah adalah pemain utama di negeri ini.

Sementara itu, Profesor Madya Universiti Utara Malaysia, Azizuddin Mohd Sani juga memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan mengecualikan PAS tiada kaitan dengan ucapan anggota parlimen PAS mengenai isu Bible kerana parti itu sudah tidak popular di Sabah.

Pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung pula percaya kenyataan berkenaan akan memberi kesan sekiranya PAS bertanding, memandangkan Sabah mempunyai jumlah penduduk Kristian yang ramai.

"Ini boleh menjadi salah satu isu hangat, kerana tentunya Warisan dan sekutunya akan memainkannya.

"Kita dapat melihatnya sekarang, dengan Warisan menggunakan kata 'Unity' sebagai kata kunci dalam kempen mereka," katanya. - mk

PRN Sabah:Bekas pemimpin PKR dakwa dapat restu PN tanding di Inanam


KOTA KINABALU: 
Bekas penyandang kerusi Inanam, Kenny Chua mendakwa Perikatan Nasional memberi restu kepadanya untuk bertanding semula di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri, selepas PBS melanggar perjanjian tidak bertanding di kerusi sekutu.

“Pemimpin daripada PN, iaitu PPBM dan STAR memberi lampu hijau kepada saya untuk bertanding di Inanam dengan sokongan PN.

“Mereka (PBS) tidak sepatutnya bertanding di kerusi yang ditandingi STAR, bukan hanya di Inanam, tetapi mereka juga meletakkan calon untuk melawan Presiden STAR (Jeffrey Kitingan) di Tambunan, Moyog, Kepayan, Tanjung Aru dan Paginatan.

“Saya fikir apa yang berlaku adalah beberapa orang mahu sangat menjadi calon, jadi mereka teruskannya, sudah pasti semua orang marah,” katanya sebelum menyampaikan ceramah di Kampung Mabpai di Inanam hari ini.

Bendera PN dan STAR turut dijadikan latar belakang pusat ceramah itu.

Chua berkata, beliau pada mulanya bertanding atas tiket bebas di Inanam, tetapi memutuskan untuk mewakili PN selepas menyerahkan borang pencalonan semalam.

“Saya berhak berdepan semula dengan rakyat, sama ada mereka mahu mengundi saya semula atau tidak.”

Bekas naib ketua PKR Sabah itu memenangi kerusi Inanam atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, Chua dipecat daripada PKR selepas menyokong usaha Musa Aman untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal pada Julai lalu.

Chua sebelum ini membayangkan akan menyertai parti tempatan untuk bertanding di Inanam pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, namanya tiada dalam senarai calon PN, BN dan PBS, walaupun sering dilihat menghadiri majlis anjuran PN.

Sumber :  FMT  

Ahad, 13 September 2020

PRN Sabah:PN, BN, PBS sekutu tapi tembung sesama sendiri di 17 DUN


Nampaknya 'pertembungan mesra' antara sahabat politik Perikatan Nasional, BN dan PBS dalam pilihan raya Sabah telah meningkat daripada 11 kerusi menjadi 17 kerusi.


Ini selepas BN dan PBS menukar keputusan perjanjian rundingan mereka dengan meletakkan lebih banyak calon daripada jumlah calon yang telah diumumkan pada hari Khamis.

Satu-satunya ahli sekutu yang memegang kata-katanya ialah PN, yang berjanji untuk bertanding 29 kerusi dalam pilihan raya Sabah dan mengotakannya semasa proses penamaan calon pagi semalam.

PBS berjanji mahu meletakkan 15 calon tetapi hari ini meletakkan 22 calon manakala BN yang berjanji akan meletakkan 40 calon akhirnya menambah bilangan menjadi 41 calon.

Bahkan sebelum hari penamaan calon lagi, parti-parti sekutu yang merujuk sebagai Gabungan Rakyat Sabah itu dijangka bertembung sesama sendiri di 11 kerusi DUN.

Muhyiddin tiba di Kota Kinabalu semalam dalam usaha terakhir untuk menghalang pertembungan di 11 kerusi itu tetapi gagal meleraikan kebuntuan.

Berikut senarai 17 kerusi DUN yang bakal menyaksikan bertembungan sesama sendiri antara BN, PN dan PBS:

N02 Bengkoka - Umno vs PBS
N05 Matunggong - PBRS vs PBS
N07 Tandek - PBRS vs PBS
N11 Kadamaian - PBRS vs PBS
N22 Tanjung Aru - Umno vs PBS
N25 Kapayan - MCA vs PBS
N26 Moyog - Star vs PBS
N34 Lumadan - Umno vs PBS
N38 Paginatan - Umno vs Star vs PBS
N39 Tambunan - Star vs PBS
N40 Bingkor - Star vs PBS
N41 Liawan - Star vs PBS
N42 Melalap - Umno vs PBS
N44 Tulid - Star vs PBRS vs PBS
N45 Sook - Star vs PBRS
N47 Telupid - Umno vs PBS
N54 Karamunting MCA vs PBS

Ketika penamaan calon pagi semalam, BN memutuskan untuk menamakan Jamawi Ja’afar bertanding kerusi DUN Melalap membawakan pertembungan dengan PBS.

Jamawi, sebelum ini berpaling tadah dari Umno untuk menyertai Warisan dan kemudian menyokong idea rampasan kuasa bekas ketua menteri Musa Aman terhadap kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan.

Bagaimanapun, namanya tidak termasuk dalam senarai calon Umno yang diumumkan pada Khamis.

Dengan penglibatan Jamawi, Umno akan bertanding di 32 kerusi, diikuti dengan lima dari PBRS dan empat MCA, membawa kepada jumlah keseluruhan 41 kerusi di bawah naungan BN.

Sementara itu tiga parti menggunakan logo PN, iaitu Bersatu (19 kerusi), STAR (8 kerusi) dan SAPP (dua kerusi). PBS menggunakan logo sendiri.

Kesemua tiga parti ini, kecuali SAPP sebahagian dari kerajaan persekutuan PN tetapi bertanding menggunakan tiga logo berlainan pada PRN Sabah.

Muhyiddin pastikan PN 29 kerusi

Mengikut peraturan pencalonan, calon yang berhasrat untuk bertanding di bawah parti atau gabungan perlu menerima surat watikah. Ia biasa dilakukan oleh ketua parti atau pengerusi gabungan.

Bagi PN, ketuanya ialah Muhyiddin Yaasin dan beliau telah menjelaskan bahawa tidak akan membenarkan sebarang calon tambahan diletakkan selain daripada senarai yang telah diputuskan dalam perbincangan.



Perkara yang sama tidak boleh dijelaskan bagi pihak BN yang diketuai oleh Zahid Hamidi dan PBS yang diketuai Maximus Johnity Ongkili.

Kejutan terbesar mungkin daripada PBS, yang bertanding lebih tujuh kerusi daripada perjanjian yang telah dipersetujui.

Tujuh tambahan kerusi itu ialah DUN Moyog (PBS vs PN), Lumadan (PBS vs BN), Paginatan (PBS vs BN vs PN), Tambunan (PBS vs PN), Bingkor (PBS vs PN), Liawan (PBS vs PN), Tulid (PBS vs BN vs PN).

Kerusi tambahan ini bermaksud PBS dilihat melancarkan 'perang' terhadap sekutu dengan menambah lima kerusi dan memperburuk pertembungan dalaman yang mana BN dan PN sudah pun bertembung sesama sendiri.

Semua pertembungan PBS dengan PN secara khususnya menentang Star manakala pertembungan PBS dengan BN pula menentang calon Umno dan PBRS.

Timbalan Presiden PBS Radin Malleh berkata partinya sebelum ini merancang bertanding 15 kerusi dan turut mengambil maklum akan berlaku pertempuran di sekurang-kurangnya lima kerusi.

“Sudah tentu kami mengambil ini dengan niat baik bahawa pilihan raya akan dijalankan dengan cara untuk memperkukuhkan kedudukan PN di Sabah," katanya.

PBS dakwa ‘pertembungan mesra’

Radin juga berkata, untuk ini PBS telah melakukan analisis di kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) berdasarkan permintaan akar umbi dan memutuskan bertanding enam kerusi.

“Secara kebetulan, kerusi itu diperuntukkan buat Star.

"Mesyuarat pengagihan kerusi yang dipengerusikan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin, sudah tentu kami mengemukakan permintaan untuk bertanding di kerusi ini. Jadi itu bukan perkara baru,” kata Malleh dalam satu kenyataan.

Malleh (gambar, bawah) juga mendakwa Star mencalonkan Anita Baranting di Tandek, kerusi yang diperuntukkan untuk PBS.



Bagaimanapun, semakan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Anita bertanding calon bebas dan bukancalon PN atau Star.

Jelas Malleh PBS juga membuat keputusan untuk bertanding di DUN Lumadan susulan permintaan akar umbi Melayu.

Bagaimanapun, Malleh menegaskan semua pertembungan sesama sendiri ini aadalah “pertembungan mesra” dan menegaskan komitmen PBS untuk bekerjasama. 

"Kami menganggapnya sebagai satu pertembungan mesra. Apa yang penting ialah parti komponen PN memenangi semua kerusi yang ditandingi,” katanya.

Tiada pertembungan antara Warisan Plus 

Sementara itu, tiada pertembungan sesama sendiri antara gabungan saingan BN-PN-PBS, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, PKR, DAP, Amanah dan Upko.

Walaupun PKR pada mulanya kesal kerana mendapat tujuh dari 14 kerusi yang diinginkannya, namun Presiden PKR Anwar Ibrahim nampaknya menepati janji dengan tidak membenarkan penggunaan logo PKR melebihi tujuh calon berkenaan.



DAP juga bertanding tujuh kerusi manakala Amanah pula bertanding satu kerusi. Kedua-duanya menggunakan logo Warisan.

Menariknya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan Amanah bertanding dengan logo sendiri.

Bagaimanapun, pengarah pilihan raya Amanah Sabah Harieyadi Karmin menegaskan Amanah menggunakan logo Warisan, berkata SPR mungkin tersilap.

"Saya rasa ini satu kesilapan. Saya akan merujuk kepada SPR. 

Pencalonan kami diterima oleh SPR sebagai calon Warisan, bukan Amanah," katanya kepada Malaysiakini.

Warisan bertanding 46 kerusi manakala Upko, yang menggunakan logo sendiri, bertanding 12 kerusi.

PRN Sabah: 447 calon 73 kerusi DUN

Pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi DUN Sabah 26 Sept ini.

Seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, PKR (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).
Seramai 56 calon bebas turut disahkan bertanding pada PRN Sabah.

DUN Bengkoka, menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu 11 penjuru diikuti Inanam dengan pertandingan 10 penjuru.