"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label PPBM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PPBM. Papar semua catatan

Selasa, 8 Disember 2020

'ABATA' tidak lagi sesuai dengan UMNO

 

Muhammad Amiin Ridhuwan

KOTA BHARU - Perkataan 'ABATA' (agama, bangsa dan tanah air) yang sinonim dengan perjuangan UMNO sudah tidak boleh diguna pakai lagi kerana semuanya dianggap palsu setelah mereka menjatuhkan kerajaan majoriti Melayu dan Islam di Perak dengan bersekongkol bersama pembangkang daripada DAP.

Itu merupakan pandangan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Muhammad Amiin Ridhuwan berikutan krisis hangat kedudukan jawatan Menteri Besar Perak yang turut mengaitkan UMNO.

Muhammad Amiin berkata, dengan menggunakan peribahasa Melayu, ‘tikam belakang’ itulah yang dilakukan oleh kesemua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak sehingga pembentangan belanjawan negeri itu tergugat dan pelbagai pelan insentif yang ingin diberikan kepada rakyat terbantut seketika.

“Mereka tidak langsung memikirkan soal kesengsaraan rakyat pada waktu ini. (Mungkin) mereka sudah lama merancang untuk menjatuhkan seorang menteri besar.

“Jadi UMNO sudah tidak relevan lagi dengan slogan memperjuangkan orang Melayu, agama dan bangsa sekiranya mereka sanggup tidur sebantal dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak.

“Hari ini kita boleh lihat apabila Pas dan Bersatu berasa kecewa dengan tindakan mereka dan kemungkinan tidak akan bersama kerajaan yang akan dibentuk nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Muhammad Amiin menyifatkan, Bersatu dan Pas cukup bersabar dengan kejutan daripada pihak UMNO yang langsung tidak menghormati gabungan perikatan ini.

“Presiden UMNO juga sanggup berkolaboratif dengan DAP demi sebuah cita-cita untuk mendapatkan kerusi menteri besar kepada anak buahnya. Bila mereka ‘cah keting’ kawan sendiri, tapi berharap kawan mengangkat mereka semula, itu satu tindakan yang silap.

“Kami tidak akan balas dendam melalui sidang dewan di Johor dengan apa yang berlaku di Perak di mana UMNO menjatuhkan Timbalan Presiden kami, namun kami lebih memikirkan keadaan rakyat daripada kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Amiin turut mempersoalkan tindakan UMNO itu sambil menyifatkan mereka perlu bersabar dan tunggu sehingga PRU15 tidak lama lagi.

Tegasnya, sekarang bukan masa parti politik bergaduh sebaliknya masa untuk semua pihak membantu rakyat yang semakin susah.

“Keretakan dilakukan UMNO ini telah membuka mata semua pihak bahawa mereka ingin berkuasa dan memang tidak boleh duduk lama di 'second fiddle' seperti kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam wawancara oleh Sinar Harian baru-baru ini.

“Bagi saya, politik yang mereka bawa ini bukan setakat boleh duduk di 'second fiddle' tetapi sepatutnya berada lebih bawah lagi. Bila bangsawan tidurnya biasa di dalam sejuknya 'aircond' mana mungkin nak merasai tidur di bawah sejuknya kipas, itu tidak sama,” dakwanya.

-SH Online

Susulan ‘Langkah Perak’, masa depan Muafakat Nasional penuh persoalan

 

PPBM, Umno, PAS, Hamzah Zainudin, Ahmad Zahid Hamidi, Perak, menteri besar, Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA: Adakah nasib Muafakat Nasional di hujung tanduk? Persoalan ini timbul susulan kenyataan terbaru PPBM lewat malam semalam mengenai penyingkiran timbalan presiden parti itu sebagai menteri besar Perak oleh Umno.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin, berkata parti itu akan meningkatkan kerjasama dengan PAS melalui Perikatan Nasional (PN) demi “kestabilan politik peringkat nasional dan negeri”.

Beliau tidak merujuk langsung kepada kerjasama dengan UMNO, mahu pun Muafakat Nasional yang menggabungkan PPBM, PAS, dan Umno dalam kenyataan itu.

Agak ketara PPBM amat marah dengan tindakan 24 daripada 25 Adun Umno menolak usul percaya terhadap terhadap Ahmad Faizal Azumu di DUN Perak Jumaat lalu, sekali gus memaksanya meletak jawatan sebagai MB.

Ada yang bertanggapan kemarahan itu reda berikutan perkembangan di Johor dua hari kemudian.

Meskipun berpeluang mencantas MB daripada Umno, Hasni Mohamad, 13 ADUN PPBM dan PAS mendokong Belanjawan Johor 2021, sekali gus membolehkan ia diluluskan sebulat suara dan kedudukan Hasni tidak terjejas.

Antara mereka, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ADUN Gambir.

Malam semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM.

Nada kenyataan yang dikeluarkan selepas perjumpaan itu menunjukkan PPBM masih terkilan dengan apa yang berlaku di Perak.

“MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap usul keyakinan majoriti ADUN terhadap (Faizal) yang diusulkan oleh Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan,” menurut kenyataan PPBM.

Kenyataan rasmi PAS pula berhubung kemelut di Perak adalah parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Umum menjangkakan kerajaan baharu Perak akan ditunjangi UMNO yang mempunyai jumlah ADUN paling ramai di DUN Perak.

‘Penolakan’ UMNO oleh PPBM itu berlaku pada malam sama UMNO menyatakan komitmen mempertahankan kerajaan PN di Perak, sekali gus menolak spekulasi ia akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dijadualkan ke Ipoh hari ini untuk menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan pencalonan parti untuk jawatan menteri besar Perak baharu.

Sudah tentu fokus adalah sama ada semua lapan ADUN PPBM dan PAS akan menyokong calon UMNO jika diperkenan Istana sebagai menteri besar baharu.

Zahid diuar-uarkan akan mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Saarani Mohamad.

Muafakat Nasional atau MN ditubuhkan untuk meningkatkan kerjasama UMNO, PAS, dan PPBM supaya tiga parti Melayu itu tidak bersaing sesama mereka dan memastikan pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, hubungan PPBM dan UMNO dilihat begitu rapuh ketika ini, manakala PAS tersepit antara dua ‘sahabatnya’ tetapi dilihat lebih cenderung kepada PPBM.

Menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, Dewan Tertinggi BN dan Jawatankuasa Perunding MN masing-masing dijadualkan bermesyuarat hari ini dan esok.

Berdasarkan kenyataan tegas PPBM yang tersurat dan tersirat terhadap Umno malam tadi, serta pendirian PAS tidak mahu menyertai kerajaan baharu Perak, masa depan MN yang dianggotai tiga parti itu penuh persoalan yang mendebarkan ahli dan penyokong mereka.-FMT

Penyatuan ummah sia-sia jika PAS utamakan PPBM, kata penganalisis

 

PETALING JAYA: Penyatuan ummah yang diuar-uarkan PAS dan UMNO akan jadi ‘perjuangan sia-sia’ jika parti Islam itu terus mengutamakan hubungannya dengan PPBM dan ‘dingin’ terhadap UMNO, kata seorang penganalisis politik.

Mengatakan perpecahan dengan UMNO akan merugikan pakatan serta PAS dan PPBM, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata PAS yang tidak konsisten menyebabkan pemimpin Umno terasa hati dan keresahan itu semakin ketara.

“Dalam hubungan UMNO-PAS ini, PPBM boleh dilihat sebagai pihak ketiga, ibarat kewujudan orang ketiga dalam pasangan kekasih,” katanya kepada FMT.

Awang Azman percaya kecenderungan PAS itu mungkin kerana UMNO kurang berkuasa berbanding PPBM, yang memegang jawatan tertinggi kerajaan dan kata putus dalam setiap keputusan tertinggi negara.

Selain itu, PPBM mengisi kelemahan PAS yang kurang berpengaruh di pantai barat Semenanjung, seperti parti serpihan UMNO, Semangat 46, satu ketika dulu.

“Jalan selamat kepada UMNO-PAS-PPBM jika mahu terus berkuasa pada pilihan raya umum ke-15 ialah PAS harus keluar dari Perikatan Nasional dan fokus kepada Muafakat Nasional sahaja,” katanya.

Awang Azman berpandangan PAS harus memikirkan semula rakan politik yang boleh membawa kepada kemenangan besar.

“Manakala PPBM perlu akur kepada tuntutan MN dan realiti semasa bahawa UMNO ialah parti yang kukuh dari segi akar umbi dan kini bangkit semula,” kata beliau.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob, yang juga menteri besar Kelantan, pada 2 Dis berkata usaha mengekalkan perpaduan Melayu menerusi perjuangan politik tidak boleh mengenepikan PPBM, dan pergerakan parti Melayu juga perlu melibatkan parti serpihan UMNO itu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin, yang berkata kekuatan partinya dan PAS sudah mencukupi untuk menjadi dominan.

UMNO Kelantan pula kurang jelas sama ada PAS ingin meneruskan MN atau sebaliknya susulan kenyataan Ahmad itu, mengatakan mereka akan bertembung di semua kerusi pada PRU-15 “sekiranya PAS lebih cenderung untuk mengetepikan MN yang telah disepakati”.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia bagaimanapun berkata kenyataan Ahmad itu selaras pendirian PAS dan UMNO yang mahu mengukuhkan MN dengan melibatkan PPBM.

Tafsiran lain, katanya, “perkara yang tiada seperti diada-adakan”.

Justeru, hasrat menubuhkan majlis presiden yang diumumkan Presiden PPBM, Muyiddin Yassin, baru-baru ini harus segera dilaksanakan bagi melancarkan pakatan itu.

“Majlis presiden ini harus diperluaskan ke peringkat negeri dengan melibatkan pengerusi parti peringkat negeri pula.

“Di sinilah tempatnya kalau nak bergaduh, berbincang atau berunding, bukan jadikan media sebagai platform berbalah,” katanya.

Jawatankuasa Pemandu MN mengundang PPBM menyertai MN secara rasmi pada Ogos, diikuti jawapan rasmi PPBM menyatakan kesediaan berbuat demikian pada bulan sama.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, bagaimanapun berkata akar umbi parti itu tidak selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai MN.-FMT

Jumaat, 4 Disember 2020

PPBM kesal dengan situasi di Perak, akan buat keputusan samada tinggalkan UMNO


PETALING JAYA: PPBM kesal atas tindakan ADUN Umno yang tidak menyokong usul percaya terhadap Ahmad Faizal Azumu, sekaligus memaksa timbalan presiden parti itu berundur sebagai menteri besar Perak.

Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin berkata, paihaknya mengambil maklum bahawa usul keyakinan majoriti terhadap Faizal ditolak oleh Umno dan Pakatan Harapan.

“PPBM sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“PPBM akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama PAS dan teman-teman parti anggota PN yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hamzah, hanya seorang daripada 25 Adun Umno yang menyokong usul percaya kepimpinan Faizal itu. Kesemua tiga Adun PAS turut memberi sokongan kepada beliau.

Turut menyokong Faizal adalah 2 Adun Bebas dan 4 Adun PPBM.

“Biro politik PPBM dalam mesyuaratnya petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini,” kata Hamzah.

 Pentadbiran Faizal tumbang selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri, apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pagi tadi.


Sebanyak 48 ADUN tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan 1 undi rosak.

-tuncarlos.com

Rabu, 30 September 2020

Ahli Parlimen Umno mahu ‘pertimbang pilihan’ meski dalam proses bincang bersama PAS, PPBM

Pemimpin Umno, PAS dan PPBM akan berbincang minggu ini mengenai beberapa isu.

PETALING JAYA: Beberapa ahli Parlimen Umno dikatakan sedang mempertimbang pilihan untuk membubarkan Parlimen ketika perbincangan antara parti itu bersama PAS dan PPBM sedang berjalan.

Mereka juga mahu keputusan kukuh dibuat berhubung masa depan Umno sebelum pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata sumber kepada FMT.

Tiga ahli Parlimen Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan pertemuan itu berkata, perbincangan adalah mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga mahukan petunjuk lebih jelas bila pilihan raya akan diadakan.

Seorang daripada mereka memberitahu FMT, “sedang mempertimbangkan pilihan” kerana beberapa ahli Parlimen Umno sudah bersetuju Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri dan presiden Umno menjadi timbalannya.

Begaimanapun, beliau mengakui Muhyiddin mempunyai beberapa “nilai tambah” untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat akan membandingkan beliau dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Imej beliau jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ramai ahli Parlimen Umno mungkin tidak menyokong belanjawan pada November sekiranya Muhyiddin tidak bersetuju dengan presiden Umno sebagai timbalannya atau jika beliau gagal memberi petunjuk bila pilihan raya kilat akan diadakan.

Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno ketika ini.

Muhyiddin akan hilang sokongan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen, beliau kemudian akan meletak jawatan bersama Kabinet.

Oleh itu, katanya, beberapa ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai alternatif untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

“Perbincangan yang akan diadakan minggu ini mengenai masa depan Umno, PAS dan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS sudah bersedia untuk pilihan raya kilat tetapi PPBM mungkin tidak mahu buat masa sekarang.

Ahli Parlimen Umno yang lain berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan PPBM. “Sebilangan ahli Parlimen Umno berkata sekiranya mereka membenarkan Muhyiddin menjadi perdana menteri, maka mereka perlu mendapat lebih banyak kerusi untuk PRU15.

“Kami adalah ahli parti. Kami mahu Umno mempunyai kerusi sebanyak mungkin dan memiliki lebih ramai ahli parlimen Umno di Dewan Rakyat,” katanya, sambil menambah Umno hanya boleh memutuskan langkah seterusnya selepas Muhyiddin membuat keputusan.

Namun seorang lagi ahli Parlimen Umno berkata mereka mahukan keputusan penting itu dibuat sebelum Anwar menghadap Agong.

“Selepas menghadap, Agong mungkin mahu bertemu Muhyiddin untuk meminta nasihatnya, kita mahu keputusan itu dibuat sebelum itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung pada 22 September.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun berkata, majlis itu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).

-FMT

Khamis, 10 September 2020

PM beri bayangan kemungkinan PRU15 akan berlaku masa terdekat

Muhyiddin ketika hadir pada Majlis Ulangtahun ke- 4 Parti Bersatu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Bernama

Muhyiddin gesa jentera Perikatan Nasional kerja bersungguh-sungguh seperti esok PRU

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-4 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini malam kelmarin, Presiden Bersatu tersebut memberi peringatan kepada semua pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan ahli parti agar bekerja keras seolah-olah Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung esok.

“Jangan tanya saya bila PRU akan datang. Yang Penting kita perlu bekerja dengan bersungguh-sungguh seolah-seolah esok pilihan raya akan diadakan... seolah-olah esok pilihan raya akan diadakan.

“Faham betul bahasa Melayu saya itu,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam kelmarin.

Muhyiddin berkata lagi, bagi menentukan kejayaan pada PRU15, kesemua pemimpin dan ahli PN perlu mengukuhkan semangat perpaduan tanpa perasaan cemburu dan iri hati.

Muhyiddin Yassin

“Jangan ada perasaan-perasaan yang boleh menyebabkan kerenggangan hubungan sesama kita. Kita harus mempercayai antara satu sama lain, harus bantu dan tolong satu sama lain,” kata Perdana Menteri.

Beliau menyentuh penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional yang katanya, dilakukan tanpa berfikir panjang sebaik menerima jemputan daripada kerjasama dua parti Melayu Islam tersebut.

Katanya, yang penting sekarang ialah bergerak ke depan dan memastikan kerjasama itu membuahkan sesuatu yang bermanfaat kepada negara dan kerajaan.

Muhyiddin berkata, walaupun empat tahun adalah suatu tempoh yang singkat sejak penubuhannya, Bersatu berjaya melakar sejarah sebagai parti politik dan pimpinan kerajaan.

Bercakap mengenai sambutan keempat tahun penubuhan Bersatu, Muhyiddin mengingatkan semua ahli agar terus mewujudkan barisan yang kuat dan kukuh.

-SH Online

Selasa, 8 September 2020

BILA LAGI BERSATU NAK PECAT OSMAN SAPIAN? ADAKAH MUHYIDDIN TAKUT?

Bekas Menteri Besar Johor, Osman Sapian hadir dalam satu majlis anjuran Pejuang malam tadi, tiga hari selepas Lembaga Disiplin Bersatu berkata Adun Kempas itu masih menjadi anggota parti tersebut.

Abu Bakar Yahya, Setiausaha Politik Tun Mahathir Mohamad malam tadi memuat naik gambar dan video kehadiran Osman dalam majlis meraikan jentera Pejuang daripada Johor yang berkempen dalam PRK Slim baru-baru ini.

Gambar-gambar itu memaparkan Osman berucap, bergambar dan makan malam bersama pendukung Pejuang dan turut melaungkan “Hidup Pejuang!”.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada sebuah portal berita sama ada beliau sudah meninggalkan Bersatu dan menyertai Pejuang, Osman hanya menjawab: “Belum lagi”.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Megat Najmuddin Megat Khas enggan mengulas perkara itu dan berkata, pihaknya hanya dapat bertindak jika terdapat aduan rasmi dibuat dan bukti dikemukakan.

Pendirian Osman amat penting bagi menentukan kestabilan kerajaan Johor yang Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai kelebihan dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 29-27.

Jika Osman dipecat daripada Bersatu dan kemudian mengalihkan sokongannya kepada pembangkang, kedudukanDUN Johor akan jadi tergantung atau dalam kedudukan 28-28.


PN sebelum ini mengambil alih kerajaan negeri dengan memiliki 29 kerusi berbanding 27 di pihak Pakatan Harapan (PH).

Osman sebelum ini juga hadir dalam kempen Pejuang dalam PRK Slim tetapi menjelaskan kunjungan itu hanya untuk menjenguk kawan-kawan.

Beliau malah didapati berkempen untuk calon Pejuang dalam PRK Slim itu.

Laporan awal ketika itu memetik Megat Najmuddin sebagai berkata keahlian Osman telah gugur dengan sendirinya berikutan kehadirannya dalam program Pejuang yang merupakan blok pembangkang dalam negara ini.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, perkara itu seolah-olah ditarik balik dengan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mengatakan, siasatan akan dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Osman.

Soalnya, sudahkah siasatan dijalankan terhadap Osman?

Kenapa lambat sangat?

Mengapa memecat pemimpin Bersatu yang lain begitu cepat dan pantas, bahkan tanpa siasatan dan tanpa dipanggil membela diri?

Kenapa pula siasatan lanjut mahu dijalankan terhadap Osman?

Bukankah kehadirannya dalam majlis Pejuang, malah berkempen dalam PRK Slim sudah terang lagi nyata?
Sementara itu, kehadiran Osman buat kali kedua dalam program Pejuang malam semalam jelas merupakan cabaran buat Bersatu agar berani mengambil tindakan atau memecatnya.

Beranikah Muhyiddin Yassin mengambil tindakan memecat Osman atau Muhyiddin lebih takut kerajaan negeri Johor tumbang akibat daripadanya?

Dalam pada itu, maklumat dari Johor menyebut, jika Osman dipecat, ada tiga hingga lima Adun Bersatu akan turut mengikut jejak langkahnya.

Apakah dalam hal ini, bekas Menteri Besar Johor itu bebas berbuat apa saja, termasuk terus hadir lagi dalam program-program Pejuang selepas ini? (Shahbudindotcom 07/09/2020)

Jumaat, 4 September 2020

BOLEH PULA ~ Osman Sapian kekal ahli BERSATU,tidak gugur secara automatik

PENGERUSI Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas (kanan), ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam perkembangan terkini, memutuskan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, kekal sebagai ahli parti itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata pihaknya akan memanggil bekas Menteri Besar Johor itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Penjelasan itu dibuat selepas laporan media awal hari ini, memetik Megat Najmuddin sebagai berkata, keahlian Osman terhenti secara automatik selepas didapati melanggar Perkara 10.2.3 perlembagaan parti iaitu membantu kempen parti lawan.

"Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita kena memberi keutamaan kepada rakyat.

"Buat masa ini, kita akan memanggil Osman supaya menghadap lembaga disiplin parti dalam tempoh terdekat. Kita akan mengeluarkan surat kepada beliau dan memberinya tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada PRK DUN Slim, Osman didakwa turun berkempen membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dakwaan itu berikutan penularan video memaparkan Osman dipercayai sedang berucap dalam kempen calon Bebas berkenaan di Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya ketika itu sekadar bertemu rakan lama dan tiada kaitan dengan politik.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini Perikatan Nasional (PN) menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.-BH Online

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen Calon Bebas,Osman Sapian Gugur Sebagai Ahli Bersatu

Kempen Calon Bebas,Osman Sapian Gugur Sebagai Ahli Bersatu


Keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian lucut serta merta secara automatik susulan tindakannya yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.

Justeru, kata pengerusi lembaga displin, Megat Najmuddin, Adun Kempas itu tidak perlu didakwa di depan lembaga disiplin parti atas tindakannya.

“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.

“Tak perlu di dakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah Osman sudah dipanggil oleh pihak lembaga disiplin dan tindakan yang diambil susulan tindakan Osman yang didakwa membantu calon Bebas di PRK Slim baru-baru ini.
Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan Osman yang dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika di PRK Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.

Osman bagaimanapun, enggan mengulas mengenai kenyataan Megat Najmuddin itu ketika dihubungi.
“Saya tak nak komen,” jawabnya ringkas.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada lembaga disiplin parti itu untuk menentukan tindakan terhadap Osman berhubung tindakannya itu.

Ahmad Faizal berkata jawatankuasa lembaga disiplin sebelum itu perlu menyiasat dan memanggil Osman untuk memberi keterangan.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Namun jika Osman bertindak menyertai Pejuang, iaitu parti serpihan Bersatu dan bersama Pakatan Harapan, maka sidang DUN Johor negeri itu akan tergantung.

Ini akan menyaksikan jumlah kerusi diperoleh PH dengan PN masing-masing terikat kepada 28 kerusi.

Pada 3 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan dewan undangan negeri - bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan - jika perebutan kuasa berlaku.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad dilantik sebagai menteri besar baru bulan Februari setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.

Beliau menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Ini adalah pelantikan menteri besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

-Minda Rakyat

Selasa, 1 September 2020

Ketua Penerangan Warisan Semporna Penipu – Ramli Saraman

Sidang media
Bekas ketua Kampung Simunul Ramli Saraman menafikan dakwaan Ketua Penerangan Warisan Bahagian Semporna Hasbullah Rauddah yang dia telah menipu PM Muhyiddin Yassin kerana menyatakan seramai 5000 ahli Warisan telah menyertai PPBM.
Majlis kemasukan ahli Parti Warisan Kampung Simunul ke parti PPBM telah berlangsung di Kota Kinabalu dihadapan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua PPBM Sabah Datuk Hajiji Noor pada 29hb Ogos 2020.
Sebaliknya yang menyertai PPBM ialah 2600 ahli Warisan. Jumlah ini sudah dipastikan.
Maksudnya dia tidak menipu yang menipu dan memfitnah ialah Hasbullah Rauddah kerana mengeluarkan angka yang palsu.
Namun begitu menurut Ramli Saraman jumlah itu akan bertambah dalam tempoh yang terdekat ini.
Antara sebab utama kenapa mereka meninggalkan Warisan ialah kerana kepimpinan dan kerajaan Warisan gagal menjaga kebajikan mereka ataupun komuniti Kampung Simunul. Seperti contoh perkampungan Kampung Simunul dirobohkan dan tapak perkampungan berkenaan akan dibangunkan dengan sektor pelancongan.
Sedangkan rumah PPR yang menjadi ganti pula perlu disewa setiap bulan yang akan membebani mereka. Selain keluasannya yang tidak menampung keluarga yang besar.
Ramli Saraman mempersoalkan kenapa beberapa kampung di pantai barat telah diwartakan sedangkan Kampung Simunul yang terletak di Semporna dirobohkan.
Selain itu pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hasbullah kerana telah memfitnah mereka.

Selasa, 18 Ogos 2020

Azmin untung bila wajahnya tidak jelas - Puad Zarkashi


Selepas kumpulan Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan menyertai Bersatu secara rasmi pada 22 Ogos ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi mempersoalkan kemampuan mereka meraih sokongan sama seperti ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, dengan menyertai Bersatu, Azmin akhirnya menunjukkan wajah sebenar, sedangkan, Azmin sebenarnya lebih beruntung ketika wajahnya tidak jelas.

Sebagai contoh, Puad mengimbau bagaimana ketika bersama PH, Azmin yang tidak sehaluan dengan partinya PKR masih mendapat empat jawatan menteri, sedangkan penyokong pro-Anwar hanya mendapat tiga jawatan menteri.

Begitu juga, kata Puad, semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN), Azmin dilantik menjadi menteri kanan walaupun tidak mempunyai sebarang parti.

“Azmin nampaknya sentiasa untung bila wajahnya tidak jelas.

“Tetapi apabila menyertai Bersatu barulah wajah Azmin nampak jelas. Cuma bila wajah sudah jelas, bolehkah Azmin menang lagi di Gombak?

“Setelah menyertai Bersatu, bukan mudah bagi Azmin dan kumpulannya meraih sokongan solid (padu) orang Cina seperti di PRU-13 dan 14,” katanya.

Untuk rekod, Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak selama tiga penggal.

Pada PRU 2018, Azmin menang di Gombak dengan majoriti 48,721 undi, dalam pertarungan tiga penjuru menentang Umno-BN dan PAS. Bersatu yang ditubuhkan empat tahun lalu, belum pernah teruji di kerusi Gombak.

Gombak adalah kerusi majoriti Melayu dengan seramai 77 peratus pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing sekitar 11 peratus pengundi.

Selain Gombak, Azmin juga menang kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang terletak di kawasan parlimen Gombak sejak PRU 2008.

Kata Puad, penyertaan kumpulan Azmin ke dalam Bersatu akan menjadikan Bersatu mempunyai dua orang menteri kanan.

Selain Azmin, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin melantik Mohd Radzi Md Jidin dari Bersatu, Ismail Sabri Yaakob dari Umno-BN, dan Fadillah Yusof dari GPS sebagai menteri kanan, masing-masing mengendalikan kluster pendidikan dan sumber manusia, keselamatan dan infrasturktur.

Beberapa hari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kumpulan Azmin- seramai 10 ahli parlimen bekas PKR- akan secara rasmi menyertai Bersatu pada 22 Ogos ini.

"Kita cuma sebahagian daripada Bersatu. Sebab itu di Parlimen kami diletakkan sebagai ahli Bersatu. Ini cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami.

“Pada 22 Ogos akan ada majlis besar untuk umumkan penyertaan kami dalam Bersatu," katanya dipetik Harian Metro.

Pada 7 Ogos, Ahli Parlimen Santhara Kumar memberitahu media yang dia sudah menyertai Bersatu atas kerelaannya sendiri.

Bekas ahli Parlimen PKR lain yang akan menyertai Bersatu ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Kata Puad, menyertai Bersatu bermakna Azmin akan menyertai Muafakat Nasional - bersama Umno-BN dan PAS, justeru nasihatnya buat Azmin: “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.

“Jangan nak mengaum pula macam harimau.

“Rakyat nampak wajah sebenar Azmin. Ketua Polis Negara sahaja yang kata wajah Azmin masih kabur,” katanya tanpa mengulas kenyataanya itu.

Puad dipercayai merujuk sebuah kes video intim yang dikaitkan dengan Azmin tahun lalu. Polis kemudian menghantar klip video berkenaan untuk dianalisis oleh pakar forensik digital di AS.

Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dibuat atas alasan pakar “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah, sementara polis berkata kes itu bukan ditutup, tetapi menunggu sekiranya terdapat sebarang bukti baru.-mKini