"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Penceroboh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penceroboh. Papar semua catatan

Rabu, 18 Februari 2026

Kronologi Sebenar disebalik isu pencerobohan Tanah Rawang Perdana yang ramai tak tahu

 


Baru-baru ini, saluran ZRA Strim telah mengupas satu isu yang sangat panas dan tular berkaitan konflik pencerobohan tanah. 

Dalam sesi temubual eksklusif tersebut, Tuan Haji Zainal duduk bersama wakil Yayasan Al-Kubra, iaitu Ustaz Ismail Mina dan Saudara Arif bagi membongkar fakta sebenar di sebalik isu tersebut.

Ramai yang keliru. Ramai yang menghukum tanpa tabayyun. Ada yang melabel tuan tanah sebagai pembuli dan penjenayah. Hari ini kita bongkar kronologi sebenar di sebalik isu tanah di Rawang Perdana yang melibatkan Yayasan Al-Kubra.

Ini bukan soal perkauman. Ini soal hak dan kedaulatan undang udang.

Berikut adalah 5 fakta penting hasil penjelasan Ustaz Ismail Mina dan saudara Arif (wakil Yayasan):

1. Status Tanah: Hak Milik Mutlak Sejak 1998 

Tanah ini bukan tanah kerajaan atau tanah rizab. Ia adalah milik sah Yayasan Al-Kubra sejak 28 tahun lalu. 

Kuil yang ada di situ bermula dari struktur kecil pondok kontraktor yang ditinggalkan kemudian menceroboh secara perlahan-lahan.

2. Beban Amanah Syariat 

Sebagai pemilik Muslim, Yayasan Al-Kubra memikul tanggungjawab berat di sisi agama.

▶️ Tanah adalah amanah untuk diurus mengikut syariat.

▶️ Pemilik wajib memastikan tanah tidak digunakan untuk aktiviti syirik, maksiat, atau khurafat (seperti nombor ekor/port matpet).

▶️ Niat asal adalah murni: Membangunkan Kompleks Asnaf untuk membantu golongan fakir miskin.

3. Politik dan Manipulasi Media 

Inilah punca utama isu ini meledak.

▶️ Sebenarnya rundingan antara Tuan Tanah dan Pihak Kuil sudah hampir selesai secara baik. Pihak kuil sendiri ada yang mengaku mereka silap duduk di tanah orang.

▶️ Malangnya, ada ahli politik yang datang menunggang isu ini demi undi dan populariti.

▶️ Ada pula pihak media dan media sosial melabel tuan tanah sebagai "MOB" (perusuh) dan kontraktor (Tamim) dituduh menceroboh. Logik apa tuan tanah menceroboh tanah sendiri?

4. Keputusan Rasmi PBT dan Polis 

Pihak Yayasan tidak bertindak melulu. Mereka ada hitam putih:

▶️ Mac 2022: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesahkan tanah itu milik yayasan dan memberi lampu hijau untuk pengosongan.

▶️ OSC (Jawatankuasa Pusat): Keputusan ini turut dihadiri dan diketahui oleh pihak polis.

▶️ Mediator IPD Gombak: Dalam pertemuan terbaru di balai polis, pihak kuil secara terbuka bersetuju untuk keluar dalam tempoh 14 hari.

5. Hikmah dan Timbang Rasa 

Walaupun undang-undang memihak kepada mereka, Yayasan Al-Kubra memilih jalan paling harmoni:

▶️ Mereka setuju memberi tempoh 2 minggu untuk pihak kuil pindah barang.

▶️ Malah, wakil Yayasan sendiri mengarahkan semua penyokong supaya tidak ke tanah tersebut buat sementara waktu bagi mengelakkan provokasi. Ini adalah sifat orang Mukmin yang memegang janji.

Berhentilah melabel langkah menjaga hak sebagai penindasan minoriti. Keadilan tidak melihat pada warna kulit tetapi pada kebenaran fakta. 

Jangan biarkan penunggang undi merosakkan muhibah yang kita bina dengan konspirasi politik terancang. 

Dunia mungkin melihat kita garis keras tapi syariat menuntut kita menjadi garis benar. 

Penulisan ini adalah ringkasan padat berdasarkan kupasan isu yang dibincangkan dalam sesi podcast ZRA Stream baru-baru ini.

Kredit : ZRA Stream

Source 

Selasa, 2 Februari 2021

Hutan di Lipis, Pahang diceroboh 6 kali: Kenapa masih tak jumpa dalang?

 


BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Tidak masuk akal apabila identiti syarikat atau ‘taukeh’ kumpulan sindiket yang menjalankan kegiatan melombong emas secara haram masih tidak diketahui.

Walhal, mengikut rekod, pihak berkuasa telah mengesan lima kes sama tahun lalu dan menahan beberapa individu.

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi PEMBELA yang juga Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya susulan terbongkarnya kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan kawasan cari gali bahan berharga itu di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, Lipis, Sabtu lalu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, kes pencerobohan bagi tujuan perlombongan emas secara haram di hutan bukannya kali pertama berlaku bahkan sudah berkali-kali.

Justeru, beliau menganggap serbuan demi serbuan yang dilakukan seolah-olah kerja sia-sia sahaja apabila kes sama masih berulang.

“Tahun 2020 sahaja, dilaporkan sebanyak lima kes serbuan diadakan. Ini sungguh tidak masuk akal. Pada setiap kali serbuan, dilaporkan pihak berkuasa menyita jentera dan jentolak besar serta alat-alat cari gali.

“Jentera, jentolak dan alat-alat cari gali bukanlah murah. Dan operasi cari gali dengan skala sebegini bukannya boleh dilakukan oleh orang sebarangan tetapi ianya pasti dilakukan oleh syarikat yang besar,” katanya.

Terdahulu, hasil semakan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di tempat berkenaan.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan itu menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.

Katanya, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.

Katanya lagi, difahamkan terdapat sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

Serentak itu, Haji Aminuddin mempersoalkan sama ada penceroboh itu – jika sama – terlalu kaya sehingga mampu beli jentera-jentera baharu sebanyak lima kali.

“Jika ini dilakukan oleh penceroboh yang berlainan, apakah di daerah Lipis ini terlalu ramai penceroboh yang pandai melombong emas? Ini baru di Lipis, berapa ramai di seluruh Pahang pula?

“Sudah lima kali serbuan dan ada beberapa tangkapan sebelum ini, mengapa identiti syarikat atau ‘taukeh’ masih tidak diketahui? Apakah ada ‘deal’ dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa?,” soalnya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut menegaskan kegiatan menjarah hasil secara haram di tanah milik kerajaan adalah satu pencurian harta rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjejak penceroboh dan dalangnya dan memberikan hukuman yang setimpal.

-pembela.com.my

Rabu, 23 Disember 2020

204 pekebun Musang King Raub gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman

 204 pekebun Musang King gagal peroleh kebenaran semakan kehakiman

Ahli-ahli NGO memegang sepanduk di luar Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember lalu berhubung kes semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah. - Bernama
KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terlibat dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan fizikal dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.
Siew berkata, mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
"Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini," katanya.
Siew berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.
Ditanya jika plaintif akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah atau membuat rayuan kepada pentadbir tanah yang mengeluarkan notis pengosongan itu, Siew berkata pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat.
"Kita akan berbincang apakah tindakan yang efisien dan lebih baik supaya penyelesaian terbaik dapat diambil supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan.
"Bagaimanapun, saya berpendapat memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, jika kami membuat rayuan, ia adalah terhadap keputusan mahkamah hari ini berbanding merayu terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965," katanya.
Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.
Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak.
Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
-- BERNAMA

Isnin, 30 November 2020

82 kes curi balak di Pahang sepanjang PKP

 Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Balak curi di Hutan Simpan Chini dicampur dengan balak berlesen bagi mengaburi pihak berkuasa.NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekod 82 kes curi balak dan kayu bergergaji sepanjang lapan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad, berkata Jun mencatat kegiatan mencuri balak tertinggi, iaitu 19 kes diikuti Julai dan September masing-masing 15 kes, Oktober (10), Ogos (tujuh), April (enam) serta Mei dan Mac masing-masing lima.

Katanya, dalam tempoh berkenaan pihaknya turut melumpuhkan beberapa kes kegiatan melombong emas secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

"Sepanjang PKP kita dapati kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji meningkat dengan pelbagai cara dan helah digunakan sindiket terbabit untuk melepaskan diri," katanya, dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, terbaharu sindiket curi balak dikesan mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak atau matau.

Katanya taktik yang sama dikesan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan sebanyak 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000 berlaku pada Jun lalu.

"Kegiatan curi balak ini menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian.

"Tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak yang didapati bersalah," katanya.

-BH Online

Isnin, 23 November 2020

Kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan Tanah -Presiden Isma

 


Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan tanah di Raub dan di Pahang? Apa kepentingannya dan impak apa yang saya harapkan?

Saya ingin jelaskan sama ada di Raub, di Pahang atau di mana-mana sahaja, isu tanah ini bukanlah satu perkara kecil dan boleh dipandang enteng. Tanah bukan seperti barang dagangan. Tanah adalah lambang kewujudan bangsa, lambang peradaban dan lambang akan sejarah sesuatu bangsa. 

Penjajah British amat sedar akan perkara ini maka sebab itu mereka akur dengan tuntutan Raja-Raja Melayu bahawa hak orang Melayu di atas tanah ini harus dipertahankan dengan memberikan apa yang diistilahkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Tanpa tanah, suatu bangsa itu akan hilang kewujudan dan keabsahannya. Kemuliaan bangsa itu akan hilang dan sebaliknya akan dihina dan menjadi tidak lebih seperti pelarian sahaja. Malah jika dibiarkan suatu bangsa itu hilang tanahnya, maka ianya akan menjadi pengemis dan pelarian di bumi sendiri. Inilah yang berlaku di Palestin dan di negara-negara lain. 

Namun, apa yang menyedihkan ialah wujudnya mereka-mereka yang tidak sedar diri oleh kerana kerakusan dan haloba duniawi, sehingga sanggup menggadaikan tanah-tanah rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12% sahaja atau mungkin kurang daripada itu. 

Mereka juga menggadaikan tanah-tanah kerajaan yang bernilai jutaan ringgit kepada tauke-tauke yang membiayai hidup mereka. Mereka tidak sedar sebenarnya mereka telah menggadaikan maruah bangsa Melayu, memperjudikan nasib anak cucu mereka sendiri, menjatuhkan maruah watan dan bangsa hanya kerana nafsu serakah diri yang menggila. 

Sebab itu tidak ada perkataan lain yang lebih layak yang harus diberikan kepada mereka melainkan ‘PENGKHIANAT’. Walaupun mereka memegang jawatan dan mempunyai kedudukan yang berkuasa tapi mereka tidak lebih hanyalah bahan ketawa dan mainan “tauke-tauke”. Sungguh memalukan.

Saya tidak akan perkatakan sebegini kalau ia hanya melibatkan 10 ekar atau 20 ekar tetapi sudah melibatkan ribuan malah mungkin mencecah jutaan hektar yang telah hilang di seluruh negara. Walaupun ada undang-undang yang menjaga tanah rizab Melayu dan tanah kerajaan, namun ia tidak lebih dari sekadar nota-nota yang tercatit di dalam kertas-kertas yang layak disampahkan.

Saya benar-benar tidak faham apa yang dilakukan oleh penasihat undang-undang negeri, pihak Pejabat Tanah dan Galian, pihak Jabatan Perhutanan, pihak SPRM dan sebagainya. Semuanya menyepi diri dan mengunci mulut dalam isu-isu sebegini. 

Apa erti politik dan kepimpinan Melayu kalau tanah sudah hilang? Apakah kita hanya mahu dan sanggup memerintah tanah orang? Ini kegilaan apa namanya? Kalau kita telusuri sejarah maka kita akan dapati banyak tanah orang-orang Melayu yang telah hilang. 

Telah hilang baik di utara mahupun di selatan tanah air yang menjadi bukti bahawa ianya sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Itu belum saya sebut lagi beberapa pulau di dalam negara juga telah tergadai.

Ini bukan isu mainan tetapi isu kelangsungan hidup orang Melayu. Jangan kita biarkan pengkhianat-pengkhanat ini bermaharajalela meratah dan menggadai hak kita sebagai rakyat. 

Ayuh, marilah bersama-sama pejuangkan tanah air tercinta ini. Saya dan kawan-kawan tidak mampu berjuang tanpa sokongan rakyat semua. 

Ini adalah isu survival orang Melayu!

Aminuddin Yahaya

Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

23 November 2020

#MembangunUmatBeragenda

#MengangkatSuaraUmat

____

▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya

▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

Ahad, 15 November 2020

Tanah seluas 18 hektar di Rompin pula diceroboh

 

ROMPIN, 28 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dilaporkan mengesan aktiviti penerokaan secara haram di kawasan Hutan Simpan Lesong seluas 18 hektar, di sini.

Pegawai PHD Rompin, Shairani Mamat berkata, tanah itu digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengusahakan tanaman durian Musang King.

Beliau berkata, kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Katanya, selain Musang King, pihak terbabit turut menanam pokok durian belanda, nangka dan kelapa, malah mereka membina stor simpanan barangan serta pejabat dalam kawasan berkenaan.

“Serbuan dilakukan semalam diketuai Pegawai Pemelihara Hutan Daerah (PPDH) Rompin, Yusof Othman bersama lebih 10 anggota penguat kuasa selepas beberapa kali melakukan intipan.

“Pihak terbabit dipercayai mahu membuka lebih luas kawasan tanaman durian Musang King kerana terdapat jentolak sedang melakukan kerja membersihkan hutan selain benih durian yang belum ditanam juga masih lagi banyak disimpan di tapak semaian,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Shairani berkata, tindakan tegas diambil berikutan kedegilan pihak terbabit terutama selepas lima kali sesi nasihat dan amaran diberikan supaya mereka memberhentikan kerja penerokaan seterusnya meninggalkan Hutan Simpan Lesong.

“Bagaimanapun amaran yang diberikan tidak dipedulikan pihak terbabit, justeru kita terpaksa bertindak tegas melakukan serbuan bagi memastikan pihak berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita menahan empat lelaki berumur antara 29 hingga 63 tahun, turut disita sebuah jentolak, masing-masing dua traktor dan jengkaut serta tiga kenderaan empat roda,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana kesalahan menceroboh dan berada dalam hutan simpan tanpa permit.

“Kita memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti pertanian dan kegiatan lain tanpa lesen atau kebenaran, tindakan tegas menanti pihak yang bersalah,” katanya.

-ismaweb

Rabu, 28 Oktober 2020

Projek Musang King:Mahkamah sahkan status pekebun haram sebagai penceroboh


 

KUANTAN, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu 110 penanam durian Musang King di Raub tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mereka mengosongkan kebun.

Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili enam responden yang dinamakan dalam permohonan itu berkata penanam terlibat tidak diberikan sebarang hak atau lesen pendudukan sementara (TOL) mahupun mempunyai hak milik terhadap tanah yang telah diusahakan dengan tanaman tersebut.

Keadaan ini, menurut Noor Fadzila menjadikan status mereka sebagai penceroboh atau setinggan.

Beliau berkata pemohon juga tersilap apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan pentadbir tanah.

“Pemohon seharusnya memfailkan notis rayuan kerana notis bukanlah suatu yang disyaratkan undang-undang untuk dikeluarkan tetapi sebagai makluman kepada pemohon atau orang yang terlibat apabila ada kesalahan dilakukan yang mana dalam kes ini berlaku pencerobohan terhadap tanah kerajaan.

“Kerajaan negeri mengeluarkan notis yang memberikan peluang lebih kurang sebulan untuk pemohon mengosongkan tanah walaupun sebagai pemilik, mereka boleh terus masuk dan membuat execution,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz.

Noor Fadzila berkata jika pemohon terkesan dengan notis penggosongan itu di bawah Seksyen 418 Kanun Tanah Negara 1965, mereka boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan pentadbir tanah Raub dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis diserahkan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata mahkamah tidak perlu memberikan kebenaran kepada pemohon kerana permohonan itu tidak mempunyai asas, sia-sia dan menyalah guna proses mahkamah.

Sementara itu, peguam Siew Choon Jern berkata status pemohon sebagai setinggan perlu dihujahkan semasa perbicaraan penuh dan bukannya pada peringkat permohonan kebenaran yang sedang berlangsung.

“Pada peringkat ini kami telah menunjukkan beberapa merit supaya mahkamah dapat memberi kebenaran tersebut kerana memberikan kebenaran tidak bermakna anak guam kami telah menang. Kami perlu mengemukakan segala alasan kami untuk pertimbangan hakim,” katanya.

Zainal Azman menetapkan 9 Disember ini untuk keputusan terhadap permohonan itu dan membenarkan perintah penggantungan terhadap notis penggosongan yang sepatutnya berakhir hari ini, disambung sehingga tarikh sama.

Siew juga memaklumkan mahkamah bahawa salah seorang pemohon daripada 111 penanam kumpulan pertama yang memfailkan permohonan itu telah memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan tersebut.

Penanam durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – Bernama

Selasa, 1 September 2020

Pekebun durian haram bawa kes ke mahkamah, dakwa nenek moyang juga berasal dari situ

Mahkamah Tinggi di Kuantan menetapkan 28 Okt depan untuk mendengar permohonan 111 penanam durian Musang King di Raub bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap arahan dan keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mengosongkan kebun mereka.

Peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua penaman durian di sekitar Sungai Ruan, Tras dan Sungai Chalit itu memaklumkan demikian kepada pemberita, selepas selesai prosiding di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz, hari ini.

Menurut Siew, permohonan yang difailkan pada Jumaat lalu, sepatutnya didengar hari ini, namun Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili responden yang dinamakan dalam permohonan itu meminta lanjutan masa bagi meneliti semua afidavit yang disertakan.

"Kami tiada bantahan kerana, mereka sememangnya memerlukan lebih masa untuk membacanya, tetapi dalam masa sama, kami juga memohon diberikan perintah penggantungan terhadap keputusan pihak terlibat berhubung pengusiran penanam durian itu sehingga keputusan permohonan hari ini diberikan.

"Mahkamah telah membenarkan permohonan kami sehingga tarikh pendengaran permohonan (28 Okt) yang bermaksud penanam durian boleh masuk dan menjalankan kerja harian di tanah yang menjadi subject matter (isu utama) dalam hal ini, sehingga tarikh yang telah diberikan," katanya.

Siew berkata pihaknya akan segera menghantar perintah penggantungan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana mendakwa terdapat penanam terlibat bimbang untuk ke kebun kerana tempoh yang diberikan untuk mereka mengosongkan tanah sudah berakhir.

Beliau juga mendakwa semua anak guamnya masih bersedia untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian dalam isu itu kerana telah lama mengusahakan kebun berkenaan, selain nenek moyang mereka juga berasal dari kawasan itu.

"Anak guam saya tidak terlibat dalam insiden memusnahkan pokok durian yang tular di media sosial yang dikatakan sebagai bantahan kepada arahan yang diterima, sebaliknya mereka bersedia mengikut prosedur yang betul iaitu melalui perundangan dan perbincangan," kata Siew.

Semua 111 penanam durian itu memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

- Bernama