harakahdaily.com
July 27, 2024Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR: “DAP sememangnya sentiasa menunjukkan bahawa mereka adalah ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).
“Tidak mengejutkan apabila Pengerusi DAP, YB Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan berupa amaran agar YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dengan mengatakan bahawa Fadhlina bukan ‘Menteri Pendidikan PAS’.
Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan menerusi Facebooknya mengulas laporan portal berita, Malaysiakini yang pada hari ini mengenai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang telah mengingatkan Fadhlina agar tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan, Fadhlina bukan ‘menteri pendidikan PAS’.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP seolah menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN.
Malahan kenyataan Guan Eng itu, tambah beliau, seakan terbukti kebenarannya apabila kabinet membuat keputusan yang senada dengan kenyataan-kenyataan DAP berhubung isu larangan institusi pendidikan menerima sumbangan daripada hasil arak.
“Ia bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang jelas melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Adakah Guan Eng ingin mengajar YB Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak diperkarangan sekolah itu adalah baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?
“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak diperkarangan sekolah?” soal Tuan Ibrahim.
Beliau menyataan, sepatutnya Guan Eng menyokong Menteri Pendidikan yang cuba menjauhkan arak dalam kalangan pelajar sekolah.
“Guan Eng tidak perlu mengajar YB Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi Menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.
“Kepada pemimpin Umno yang masih berada dalam Kerajaan, adakah budaya seperti ini yang akan terus disokong?” katanya.
-Wak Labu Farm
0 ulasan:
Catat Ulasan