"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Pandemik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pandemik. Papar semua catatan

Ahad, 13 Februari 2022

Covid19:Keberkesanan dos penggalak merosot pada bulan keempat

 VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP

VAKSIN Moderna. FOTO fail AFP

Washington: Keberkesanan dos penggalak vaksin teknologi messenger asid ribonukleik (mRNA), Pfizer dan Moderna akan merosot dengan ketara pada bulan keempat pengambilannya.

Kajian terbaharu itu dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, kelmarin.

Walaupun diketahui keberkesanan vaksin menurun selepas dua dos, namun tidak banyak kajian diterbitkan mengenai tempoh masa perlindungan selepas mengambil dos penggalak.

Kajian itu berdasarkan lebih 241,204 individu yang mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan atau klinik dan 93,408 kemasukan hospital orang dewasa yang dijangkiti Covid-19 dengan lebih serius antara 26 Ogos 2021 hingga 22 Januari lalu.

Keberkesanan vaksin pula dilihat dengan membandingkan kebarangkalian keputusan positif ujian Covid-19 antara pesakit yang divaksin dan tidak divaksin yang menggunakan kaedah statistik untuk faktor kawalan seperti kawasan geografi, tahap penularan tempatan serta ciri pesakit seperti komorbiditi.

Sepanjang tempoh pra-dominasi varian Omicron, keberkesanan vaksin dalam mencegah kedatangan pesakit ke jabatan kecemasan atau klinik adalah 87 peratus dalam tempoh dua bulan selepas dos ketiga tetapi menurun kepada 66 peratus pada bulan keempat.

Keberkesanan vaksin dalam mencegah kemasukan ke hospital adalah 91 peratus dalam dua bulan pertama, namun menurun kepada 78 peratus pada bulan keempat selepas mengambil suntikan dos ketiga.

"Penemuan perlindungan yang diberikan vaksin mRNA berkurangan pada bulan-bulan seterusnya selepas menerima dos ketiga mengukuhkan lagi kepentingan pertimbangan lanjut tentang keperluan dos tambahan lain untuk mengekalkan atau meningkatkan tahap perlindungan," kajian itu menyimpulkan.

Bercakap dalam taklimat di White House, Rabu lalu, Penasihat Perubatan Tertinggi Presiden Joe Biden, Anthony Fauci berkata, ia menunjukkan kemungkinan dos keempat diperlukan untuk meningkatkan kembali tindak balas imunisasi golongan lemah seperti warga emas dan individu kurang daya tahan terhadap penyakit.

Dalam pada itu Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut meluluskan rawatan antibodi baru yang dihasilkan makmal dari syarikat farmaseutikal Lilly yang dikenali bebtelovimab.

Ubat ini diberikan sebagai suntikan intravena selama sekurang-kurangnya 30 saat dan mendapat kebenaran untuk digunakan sebagai rawatan untuk pesakit Covid-19 ringan hingga sederhana dalam lingkungan usia 12 tahun ke atas yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk.

-myMetro

Rabu, 5 Januari 2022

Terkini: IHU, varian terbaharu COVID-19

 Orang ramai beratur untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di New York. - Foto AFP

Orang ramai beratur untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di New York. - Foto AFP

PARIS: Saintis di Perancis mengenal pasti varian baharu COVID-19 yang dikatakan mempunyai 46 mutasi, ketika dunia sedang bergelut melawan varian, Omicron.

Portal Independent melaporkan, varian baharu itu dinamakan IHU, iaitu B.1.640.2 setakat ini menjangkiti 12 orang di tenggara Perancis.

Kes pertama dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Cameroon, Afrika Barat, kata penyelidik dalam kertas yang diterbitkan di medRxiv.

Bagaimanapun, pakar segera mengumumkan hanya kerana varian baharu ditemukan, itu tidak bermakna IHU akan terbukti menular seperti strain lain, termasuk Omicron.

Dalam analisis, penulis laporan itu menemui 46 mutasi yang tidak dikesan di negara lain, atau melabelkan varian yang sedang disiasat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Genom diperoleh dengan penjujukan generasi akan datang.

Penulis laporan mendakwa orang yang dikenal pasti dengan varian IHU sudah divaksin sepenuhnya.

Individu terbabit diuji positif untuk COVID-19 selepas pulang dari perjalanan tiga hari, di Cameroon.

Penulis kertas penyelidikan itu berkata "pengesanan seterusnya... tiga mutasi dalam gen spike (pepaku) untuk menyaring varian... tidak sepadan dengan corak varian Delta yang terbabit dalam hampir semua jangkitan SARS-CoV-2 pada masa itu," katanya.

Dengan alasan kemunculan varian baharu itu menekankan kepentingan 'pengawasan genomik', pengarang berkata, pemerhatian mereka sekali lagi menunjukkan 'tidak dapat diramalkan kemunculan varian baharu SARS-CoV-2'.

Dalam rangkaian Twitter yang panjang, ahli epidemiologi dan rakan di Persekutuan Saintis Amerika, Eric Feigl-Ding berkata, varian baharu itu sedang dipantau untuk menilai sejauh mana ia boleh berjangkit atau berbahaya.

"Terdapat banyak varian baharu ditemui sepanjang masa, tetapi ia tidak semestinya menjadi lebih berbahaya.

"Apa yang menjadikan varian lebih terkenal dan berbahaya ialah keupayaannya untuk membiak kerana bilangan mutasi yang dimilikinya berhubung dengan virus asal," katanya. - AGENSI

Jumaat, 31 Disember 2021

Covid 19: Russia catat kes kematian kedua tertinggi di dunia selepas AS

 

Pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. - Gambar AFP

Russia mengatasi Brazil di tempat kedua dengan jumlah kematian tertinggi di dunia akibat pandemik Covid-19, di belakang Amerika Syarikat (AS), menurut data negara itu serta kiraan Reuters pada Khamis.

Perkhidmatan statistik, Rosstat, berkata 87,527 pesakit meninggal dunia yang berpunca daripada Covid-19 pada November, menjadikannya bulan paling maut di Russia sejak permulaan wabak pada 2020.

Keseluruhannya, jumlah kematian akibat pandemik itu di Russia mencecah 658,634, menurut kiraan Reuters berdasarkan angka dikeluarkan Rosstat sehingga akhir November dan data daripada pasukan petugas Covid-19 untuk Disember, mengatasi Brazil yang mencatatkan 618,800 kematian.

Jumlah kematian di AS lebih tinggi, iaitu 825,663 pesakit, menurut pengiraan Reuters, tetapi populasinya dua kali ganda lebih besar daripada Russia.

Pengiraan Reuters juga menunjukkan Russia mencatatkan 835,000 lebihan kematian sejak awal wabak pada April 2020 hingga akhir November, berbanding purata kematian pada 2015-2019.

Sesetengah ahli epidemiologi mengatakan bahawa mengira lebihan kematian adalah cara terbaik untuk menilai kesan sebenar wabak.

Setakat ini, jumlah kematian si Russia tidak terjejas oleh varian Omicron dan kebanyakannya disebabkan oleh lonjakan jangkitan pada Oktober dan November, di mana pihak berkuasa kesihatan menyalahkan varian Delta dan kempen vaksinasi yang perlahan.

Pada Khamis, pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. – Reuters

Khamis, 16 Disember 2021

Covid 19: Omicron bakal jadi varian dominan di Eropah pertengahan Januari

 

Varian Delta dan Omicron Covid-19 membayangi sambutan Krismas dan Tahun Baharu di negara-negara Kesatuan Eropah. - Viacheslav Peretiatko/GettyImaees

Omicron dijangka menjadi varian Covid-19 yang dominan di 27 negara Kesatuan Eropah (EU) menjelang pertengahan Januari depan, sambil pegawai tertinggi blok itu berkata peningkatan mendadak dalam jangkitan akan menyebabkan Eropah diselubungi kesuraman ketika musim cuti.

Namun, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata EU bersedia melawan Omicron dengan 66.6 peratus penduduknya telah diberi vaksin sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan kekecewaan apabila pandemik itu akan sekali lagi mengganggu musim perayaan akhir tahun tetapi berkata beliau yakin EU mempunyai ‘kekuatan’ dan ‘cara’ untuk menangani Covid-19.

“Seperti anda semua, saya berasa sedih sambutan Krismas tahun ini dibayangi pandemik Covid-19,” katanya.

Angka vaksinasi di EU menutup fakta bahawa sesetengah negara blok itu seperti Portugal dan Sepanyol mempunyai kadar vaksinasi yang sangat tinggi manakala yang lain agak ketinggalan, seperti Bulgaria di mana hanya 26.6 peratus daripada penduduknya lengkap divaksin, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Benua Eropah boleh melihat Britain untuk mengetahui apa yang akan berlaku ketika Omicron merebak, setelah pegawai kesihatan United Kingdom (UK) mengatakan Omicron akan menjadi varian dominan dalam hanya beberapa hari. Ketua Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Dr Jenny Harries, sebelum ini berkata Omicron menunjukkan kadar penularan yang mengejutkan berbanding varian lain.

“Angka-angka yang kita lihat pada data dalam beberapa hari akan datang akan agak mengejutkan berbanding dengan kadar peningkatan yang dilihat dalam kes untuk varian sebelumnya,” kata Harries kepada jawatankuasa Parlimen.

Sebanyak 78,610 lagi jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, kira-kira 10,000 lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelumnya yang dilaporkan pada Januari. Lebih 11 juta orang kini diuji positif Covid-19 di UK, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 67 juta.

“Ketika jangkitan Omicron bermula kami menjangkakan penularannya antara empat atau lima hari, sebaliknya di beberapa tempat di UK ianya hanya mengambil masa dua hari,” kata Harries.

Loceng amaran yang dibunyikan susulan peningkatan jangkitan yang membimbangkan tatkala musim sejuk menghampiri dan varian Delta pula kekal bebas, mendorong banyak kerajaan Eropah untuk melaksanakan langkah kesihatan awam setelah kematian meningkat ketika musim gugur.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata 77 negara telah melaporkan kes omicron, tetapi varian itu mungkin telah ada di kebanyakan negara sekarang, namun belum dikesan.

Menurut analisis data pada Selasa dari Afrika Selatan, di mana Omicron memacu lonjakan jangkitan, varian itu nampaknya lebih mudah merebak tetapi jangkitannya adalah ringan dan sederhana.

“Omicron merebak pada kadar yang tidak pernah kita lihat dalam mana-mana kes varian sebelumnya. Kami bimbang orang ramai menganggap Omicron tidak memberi ancaman.

“Sudah tentu kita telah belajar sekarang ini untuk tidak memandang rendah terhadap bahaya virus berkenaan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus

Dengan Omicron yang semakin menular, lebih banyak negara mengambil langkah memperketatkan kawalan, termasuk melaksanakan perintah sekatan.
Itali minggu ini mewajibkan pengembara menunjukkan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 walaupun telah diberi vaksin, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa langkah serupa di tempat lain akan mengehadkan keupayaan warga EU untuk melakukan perjalanan pada musim cuti.

Portugal mengambil langkah yang sama pada 1 Disember, mewajibkan ujian negatif untuk semua penumpang ketika ketibaan menerusi penerbangan, tanpa mengira status vaksinasi, tempat asal atau kewarganegaraan mereka.

Von der Leyen berkata EU kini berdepan dua cabaran dengan peningkatan mendadak kes disebabkan varian Delta dan kini perlu berdepan varian Omicron.

“Kita kini melihat peningkatan bilangan individu yang jatuh sakit, beban yang lebih besar ke atas hospital dan malangnya, peningkatan dalam jumlah kematian,” katanya kepada Parlimen Eropah. – Agensi

Rabu, 15 Disember 2021

Covid-19: Jumlah kematian di AS lebih 800,000

 

Universiti Johns Hopkins melaporkan 50.2 juta jangkitan sejak kes pertama disahkan di Washington pada Januari 2019. - Gambar NYT

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi 800,000 pada Selasa, sekali gus berada di tangga teratas, lapor Universiti Johns Hopkins.

Institusi pendidikan terkenal berpangkalan di Maryland itu turut mendaftar lebih 50.2 juta jangkitan sejak kes pertama disahkan di negeri Washington pada Januari 2019.

Terdahulu, jurucakap White House, Jen Psaki memetik kajian baharu daripada Commonwealth Fund, yang menurutnya mendapati bahawa vaksinasi telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa, menghalang lebih daripada 10 juta kemasukan ke hospital dan mencegah lebih daripada 35 juta kes Covid-19 sejak Presiden Joe Biden mengambil jawatan.

“Ini bukan secara kebetulan. Presiden menjadikan keutamaannya untuk memastikan vaksin tersedia kepada rakyat Amerika seawal mungkin,” kata Psaki.

Selepas varian Delta, yang menyebabkan peningkatan dalam bilangan kes di seluruh negara, AS kini dikejutkan dengan kebimbangan terhadap varian baharu Omicron, yang pertama kali dikenal pasti di Afrika Selatan.

Pihak berkuasa kesihatan AS mengumumkan kes pertama varian Omicron di California pada 1 Disember lalu. Pesakit itu adalah pengembara yang pulang pada 22 November dari Afrika Selatan dan disahkan positif pada 29 November.

Sejak itu, varian baharu telah dikenal pasti di sekurang-kurangnya 29 negeri dan Washington, DC.

AS mula memberi vaksin Covid-19 kepada rakyatnya pada 14 Disember 2020. Setahun kemudian, lebih 486 juta dos vaksin telah diberikan setakat ini di negara itu. – Agensi

Rabu, 1 Disember 2021

Varian Omicron: Kerajaan sekat sementara pekerja, pelajar masuk dari negara risiko tinggi

 

Khairy Jamaluddin berkata, penerbangan terus atau transit dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi dilarang memasuki Malaysia.

PETALING JAYA: Kerajaan akan menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara yang disenaraikan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan varian membimbangkan (VOC) Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penerbangan terus atau transit dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan terbaru – Malawi dilarang memasuki Malaysia.

Difahamkan, 20 negara melaporkan pengesanan VOC Omicron setakat ini, dengan 203 daripada 215 kes itu dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“Varian ini disyaki telah berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun rendah, dan menular pada kadar lebih pantas daripada varian lain. Ini menunjukkan kemungkinan besar ianya lebih mudah merebak.

“Bukti awal menunjukkan varian ini juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula berbanding VOC lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, langkah lain yang diambil Kementerian Kesihatan termasuk memantau dan mengemas kini senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron untuk diedarkan kepada kementerian berkaitan melalui Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, kawalan di pintu masuk antarabangsa turut dipertingkatkan dengan menghentikan segera penggunaan sistem “autogate” Jabatan Imigresen buat sementara.

Beliau berkata, rancangan mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang disenaraikan turut ditangguhkan.

Katanya, pengembara yang menyertai VTL udara antara Malaysia dan Singapura digalakkan menjalani ujian kendiri Covid-19 pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Beliau menasihatkan warga emas dan individu mempunyai komorbiditi tidak melakukan perjalanan ke luar negara serta mengelakkan ke kawasan sesak.

“Saya ingin mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia bahawa kita belum menang dalam peperangan melawan Covid-19.”-FMT

Selasa, 30 November 2021

Covid 19: Afrika Selatan huru-hara akibat Omicron

 

PENUMPANG beratur di kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg selepas beberapa negara mengenakan sekatan penerbangan. - AFP

JOHANNESBURG: Situasi huru-hara melanda Afrika Selatan selepas pengumuman varian Covid-19 Omicron dikesan pertama kali di negara itu.

Penemuan varian koronavirus baharu itu turut mengakibatkan sebahagian besar negara melarang penerbangan dari Afrika Selatan, selain mencetuskan kebimbangan perintah berkurung ketat bakal dilaksanakan secara besar-besaran.

Penerbangan dari Afrika Selatan ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Eropah dibatalkan sejurus selepas saintis secara rasmi mengumumkan penemuan varian tersebut.

“Situasi di sini amat huru-hara, tiada sesiapa yang dapat menjelaskan perkara yang mungkin ketika ini.

“Keadaan berubah dari semasa ke semasa dan kami dibiarkan dalam kesusahan,” kata seorang pengembara yang terkandas di Lapangan Terbang OR Tambo di Afrika Selatan.

Setakat ini, varian Omicron sudah ditemukan di beberapa negara termasuk Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan.

Kes jangkitan Covid-19 harian di negara ini juga meningkat 13 kali ganda sejak awal November dengan 3,220 kes baharu dilaporkan pada Sabtu lalu.

Sebanyak lapan orang meninggal dunia akibat Covid-19 sekaligus menjadikan jumlah kematian kepada 89,791 kes sejak pandemik bermula.

Kira-kira 600 penumpang dalam dua penerbangan KLM dari Johannesburg ke Amsterdam dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Schiphol selepas keadaan panik berlaku berikutan pengumuman itu.

“Amat naif bagi negara maju mempercayai bahawa penularan varian ini boleh dihentikan dengan larangan perjalanan dari semua negara Afrika.

“Virus itu sudah menjangkiti masyarakat daripada individu yang tidak pernah pergi atau bersentuhan dengan sesiapa sahaja dari Afrika Selatan.

“Hakikatnya, virus itu ditemukan di sini dan itu tidak semestinya menjadikannya sebagai varian Afrika Selatan,” kata pakar vaksin Afrika Selatan, Shabir Madhi.

Menurut Madhi, Afrika Selatan mempunyai kemudahan penjujukan Covid yang terbaik di dunia berdasarkan pengalaman dalam merawat penyakit batuk kering dan HIV.

“Kami sudah lama mendahului perkara ini namun kami masih menjadi ‘mangsa kejayaan’,” ujarnya.

Sekatan yang dikenakan terhadap semua penerbangan dari negara ini yang dilakukan secara tiba-tiba memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan, menyaksikan pembatalan tempahan tiket meningkat mendadak.

“Saya benar-benar terkejut. Pada pagi Jumaat lalu, semuanya baik-baik sahaja dan kini dalam tempoh 48 jam, sekatan penerbangan dikenakan dan kami menyaksikan banyak tempahan dibatalkan,” kata pemilik rumah persinggahan Mziki Safari di wilayah Barat Laut, Manuela Pallamer.

Sektor pelancongan Afrika Selatan kehilangan kira-kira AS$10 bilion (RM42.8 bilion) dalam tempahan pada 2020 disebabkan kemerosotan pengunjung asing susulan pandemik Covid-19.

Malah, sektor itu dianggarkan bakal mengalami kerugian kira-kira AS$10 juta (RM42.8 juta) setiap minggu apabila penerbangan digantung daripada pasaran utama pelancongan luar negara.

“Kita mempunyai pasaran pelancongan tempatan yang baik namun jika semua pelancong asing membatalkan tempahan, maka sektor ini akan musnah,” kata Pallamer.

 LOBI TARIK BALIK SEKATAN 

Usaha melobi untuk menarik balik larangan bermula selepas kerajaan Afrika Selatan dan sektor swasta mengecam dan mempersoalkan mengapa mereka ‘dihukum hanya kerana memaklumkan perkara sebenar’.   

Menurut The Federated Hospitality Association of Southern Africa (FEDHASA), pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Afrika Selatan untuk menarik balik larangan berkenaan atau mencabarnya di mahkamah.

“Kami tidak akan membiarkan isu ini berlaku kepada kami. Sebagai sebuah industri, kami akan bekerjasama dengan kerajaan dan badan industri lain untuk mencabar perkara ini secara sah.

“Kami percaya dapat memberi penjelasan saintifik kepada UK dan negara-negara lain bahawa tindakan yang dilakukan ketika ini tidak wajar dan tidak masuk akal,” kata Pengerusi FEDHASA, Rosemary Anderson. – AGENSI

Isnin, 22 November 2021

Lebih ramai alami sindrom tekanan akibat Covid-19, kata pakar

 

Lebih ramai orang mengalami tekanan teruk dan simptom keresahan akibat pandemik.

PETALING JAYA: Ketidaktentuan pandemik Covid-19 menyebabkan lebih ramai orang mengalami tekanan disebabkan kebimbangan mengenai kesihatan diri, penjagaan kesihatan, keselamatan pekerjaan dan bekalan makanan serta kelengkapan rumah yang mencukupi, kata pakar terapi.

“Sesiapa sahaja boleh mengalami sindrom tekanan Covid-19 tetapi mereka yang memang mempunyai masalah keresahan dan kesihatan mental akan berdepan dengan risiko lebih besar,” kata pakar hipnoterapi klinikal Nivedita Ramanujam.

Katanya, fobia dan bimbang dijangkiti juga boleh menjejaskan ketahanan dan penyesuaian diri seseorang dalam era pasca-Covid-19.

Sebuah persidangan antarabangsa minggu lalu turut diberitahu bahawa lebih ramai orang mengalami tekanan teruk dan simptom keresahan akibat pandemik menyebabkan penyesuaian tingkah laku perlu dilakukan dengan kerap sebagai respons kepada risiko yang berubah-ubah serta garis panduan kerajaan.

Persidangan Kesihatan Mental Antarabangsa anjuran London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia itu membincangkan bagaimana gejala yang lebih teruk ini boleh membawa kepada sindrom tekanan Covid-19.

Pakar hipnoterapi klinikal Nivedita Ramanujam dan Gavin Emerson.

Sindrom ini terutamanya dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental yang lemah dan kesan sosial seperti pembelian panik, menghindari orang secara berlebihan dan mekanisme daya tindak balas yang tidak efektif ketika tempoh pengasingan.

Pada persidangan itu, pakar hipnoterapi klinikal bertauliah, Gavin Emerson berkata, ketahanan diri adalah dinamik dan apabila berdepan kesukaran, ia akan menyebabkan seseorang tidak berupaya untuk mengatasinya.

“Ia bukan mengenai kekuatan mental tetapi cara kita bertindak balas terhadap krisis seperti sindrom tekanan Covid-19,” katanya.

“Sikap belas kasihan terhadap diri, alat hipnoterapi yang terbukti boleh menimbulkan emosi positif untuk menangani sindrom tekanan Covid-19, meningkatkan ketahanan dan penyesuaian diri pasca-Covid-19,” katanya.

Nivedita berkata, hipnoterapi boleh digabungkan dengan jenis psikoterapi lain seperti terapi tingkah laku kognitif untuk melengkapi klien dengan keupayaan untuk mengawal tindak balas emosi dan psikologi masing-masing.

Beberapa strategi pengurusan lain termasuk mengamalkan pengambilan makanan sihat, kerap melakukan senaman dan mendapatkan bantuan profesional menerusi rawatan terapi.-FMT

Kematian akibat Covid-19 lepasi 30,000 kes, Selangor tertinggi

 

Pecahan kes berkaitan Covid-19 mengikut negeri sehingga 21 November 2021. - Sumber KKM

Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun empat hari berturut-turut, menurut laporan harian Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman sesawangnya COVIDNOW, hari ini.

Semalam seramai 24 pesakit Covid-19 di sepuluh negeri meninggal dunia, berbanding 38 kes kematian pada Sabtu, Jumaat (45 kes), dan Khamis (55 kes). Seramai 68 pesakit dilaporkan meninggal dunia pada Rabu (17 November 2021).

Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak wabak Covid-19 mula melanda negara awal tahun lalu kini sebanyak 30,002 kes, termasuk 6,064 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan perubatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Mengikut rekod KKM, dalam tempoh 24 jam semalam Kelantan mencatat lima kematian, menjadikan kumulatif 1,121 kes. Negeri itu merekodkan 151,711 kes positif dengan 144,514 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Kelantan mencatatkan 6,111 kes aktif, termasuk 4,673 yang menjalani kuarantin di rumah; 813 ditempatkan di PKRC; 583 dimasukkan ke hospital; dan 42 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 25 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Johor merekodkan empat kematian; diikuti masing-masing tiga di Kedah dan Perak; dan masing-masing dua di Sabah, Sarawak serta Terengganu.

Satu kes kematian masing-masing dicatatkan di Negeri Sembilan, Pahang, dan Pulau Pinang.

Tiada kes kematian direkodkan di Melaka, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, kes aktif di Selangor terus meningkat kepada 18,210 semalam, berbanding 17,822 pada Sabtu.

Daripada jumlah kes aktif itu, 15,828 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,267 ditempatkan di PKRC; 1,025 dimasukkan ke hospital; dan 90 pesakit dirawat di ICU), dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor juga merekodkan kumulatif positif sebanyak 740,277 kes, berbanding 713,882 pesakit disahkan sembuh, manakala 9,727 lagi meninggal dunia.

KKM juga melaporkan jumlah kes aktif di seluruh negara semalam turun 695 kes menjadi 68,790, berbanding 69,485 kes pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 55,026 pesakit dikuarantin di rumah; 7,792 ditempatkan di PKRC; 5,431 dimasukkan ke hospital; dan 541 pesakit dirawat di ICU, dengan 267 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara mencatat 2,580,874 kumulatif positif dengan 2,487,809 pesakit telah sembuh.

-Agenda Daily

Sabtu, 9 Oktober 2021

Pandemik Covid19:200,000 hilang sumber rezeki majlis kahwin tidak dibenarkan

Pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara. - Foto hiasan
Pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nasib 200,000 pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara, terjejas teruk apabila hilang sumber rezeki kerana sektor itu masih tidak dibenarkan selepas diarah tutup sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Majoriti pekerja dalam golongan B40 itu dikategorikan individu bekerja sendiri kerana bergantung kepada upah harian dalam sektor berkenaan yang belum dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1, 2 dan 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen, berkata pendirian kerajaan terhadap sektor perkhidmatan sosial itu menyebabkan ada pengusaha gulung tikar, selain terpaksa menjual aset perniagaan kerana tidak mampu menanggung beban kos operasi tinggi.

Zarinah Mohideen.
Zarinah Mohideen.

Justeru, beliau berkata, pengusaha juga tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada kumpulan pekerja terbabit yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi, selagi majlis sosial dan perkahwinan tidak dibenarkan beroperasi.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 perniagaan majlis perkahwinan dan katering mula terjejas tetapi ada yang masih mampu bertahan dan meneruskan operasi. Apa bila PKP 2.0 dan 3.0 dikuatkuasakan ia memburukkan lagi keadaan kami sehinggakan ada yang rugi teruk dan terpaksa tutup perniagaan.

"Apabila tiada majlis kenduri kahwin diadakan maka mereka ini tidak mempunyai kerja seterusnya hilang sumber pendapatan manakala pengusaha pula menjual aset dan kelengkapan sebagai cara mengurangkan kos operasi kerana banyak kerugian perlu ditanggung.

"Dianggarkan terdapat 10,000 pengusaha majlis perkahwinan katering di negara ini. Daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus gulung tikar, masing-masing terpaksa menjual aset dan kelengkapan seperti kereta, motosikal, kerusi, meja dan bermacam-macam lagi," katanya kepada BH hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Industri Perkhidmatan Perkahwinan Pahang, Azri Che Mukhtar, berkata kebimbangan pihaknya adalah ketidaktentuan landskap perniagaan ketika ini sehingga menjejaskan sosio-ekonomi masyarakat setempat apabila tidak dapat membekalkan peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah.

Azri Che Mukhtar.
Azri Che Mukhtar.

Katanya, khidmat mereka ini digunakan bagi membantu menyiapkan dekorasi, pelamin, menghidang makanan dengan upah di antara RM100 hingga RM150 bagi satu majlis perkahwinan.

Katanya, secara purata bagi setiap majlis itu memerlukan sekitar 31 pekerja dan jika 10,000 majlis perkahwinan diadakan setiap tahun maka ia menjadikan sebanyak 31,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada masyarakat setempat.

"Inilah kesan kepada rantaian bagi industri perkahwinan dan katering yang perlu diberi perhatian pelbagai pihak. Apakah jaminan sosial bagi membantu mereka yang sudah pasti hilang pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan selagi sektor ini tidak dibuka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, penurunan pendapatan isi rumah seperti yang dilaporkan sebelum ini di mana keluarga yang dahulunya dalam kategori M40 kini turun ke B40 turut memberi kesan besar kepada pengusaha industri perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering.

"Kesannya amat dirasai kami apabila pelanggan kini lebih berhati hati dalam berbelanja untuk pakej perkahwinan.

"Purata bilangan jemputan bagi satu majlis juga berkurangan kepada sekitar 250 hingga 300 jemputan pada tahun lalu, berbanding 650 pada 2019.

"Jadinya, kami terpaksa mengambil pelbagai pendekatan demi kelangsungan perniagaan termasuk menyediakan pakej ekonomi kepada pelanggan yang berhasrat menempah pakej perkahwinan dengan bilangan jemputan yang kecil," katanya.

-BH Online

Isnin, 19 Julai 2021

Penutupan Penuh Kilang Akan Beri Kesan Buruk Kepada Ekonomi

 

KUALA LUMPUR - Penutupan penuh sektor perkilangan yang menyumbang jumlah eksport lebih RM1 trilion setiap tahun akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau sebaliknya menyokong supaya tindakan bersasar dan penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan ke atas kilang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menunjukkan peningkatan kes Covid-19.

“Apabila kita bercakap tentang kluster, kita sering merujuk kepada perkilangan, pembinaan, peruncitan dan beberapa kategori lagi. Sebenarnya dalam konteks kluster, sekitar 15 ke 20 peratus sahaja (daripada keseluruhan kes).

“Namun untuk terjemahkan bahawa semua kilang kena tutup, itu tidak betul. Tidak semua kilang berhadapan dengan kes yang melonjak,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di akhbar Sinar Harian hari ini.

Noor Azlan berkata, kilang-kilang di negara ini memainkan peranan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting kerana sebahagian besarnya berada dalam jaringan pembekalan antarabangsa dan penutupan tanpa sebab akan menjejaskan pengeluaran syarikat gergasi yang pembekalnya beroperasi di Malaysia.

Beliau juga berkata, tujuh pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai kira-kira RM530 bilion dengan sekitar RM83 bilion suntikan langsung seperti bantuan Program Subsidi Upah (PSU) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh merangsang pertumbuhan ekonomi selain membantu kelangsungan hidup rakyat.

Noor Azlan berkata, jumlah suntikan langsung itu menyamai dua tahun perbelanjaan pembangunan kerajaan dan jumlah besar tersebut memberi kesan sehingga tiga kali ganda (kesan pengganda) kepada ekonomi negara.

“Bayangkan kalau saya daripada keluarga penerima BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) dan saya berbelanja, bererti pusingan yang pertama mungkin kedai runcit tempat saya belanja dapat manfaat. Kedai runcit itu pula, dia berbelanja dengan beli barang untuk stok kedai yang akan jadi pusingan kedua dan begitulah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, semua pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan mengambil kira komponen kesihatan, rakyat dan perniagaan dengan penumpuan khusus kepada kumpulan rentan.

Mengulas kewajaran individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 diberikan keistimewaan seperti kebenaran untuk keluar bekerja, Noor Azlan berkata perkara itu wajar dipertimbang berdasarkan beberapa faktor bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita perlu ingat apabila mereka bergerak, mereka berbelanja,” katanya. - Bernama

Ahad, 18 Julai 2021

Covid19: Tiga negeri tak lagi penuhi kriteria Fasa Dua PPN


Pulau Pinang, Sarawak dan Pahang yang telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lagi memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan negeri beralih ke Fasa Dua PPN iaitu purata tujuh hari kes Covid-19 di bawah nilai ambang yang ditetapkan, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Di Pulau Pinang, Sarawak dan Pahang, purata kes jangkitan harian selama tujuh hari melebihi nilai ambang yang ditetapkan kerajaan.

 Kes baru Covid-19 di ketiga-tiga negeri itu meningkat dalam tempoh tujuh hari sehingga semalam. Peningkatan paling ketara dilihat berlaku di Pulau Pinang dan Sarawak.

Purata kes tujuh hari di Pahang pula adalah 156 peratus lebih tinggi daripada nilai ambang yang ditetapkan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata negeri yang telah beralih ke Fasa 2 tidak akan berpatah balik ke Fasa Satu tanpa mengira sama ada negeri-negeri tersebut tidak lagi memenuhi kriteria.

Sebaliknya, katanya, hanya lokasi atau kawasan tertentu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bukannya keseluruhan negeri.

Fasa Dua PPN membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dibuka semula.

-mKini

Selasa, 13 Julai 2021

Terkini: Rekod baharu 11,079 kes Covid-19, lebih separuh direkod di Selangor

 

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 11,079 kes baharu Covid-19 rekod tertinggi dilaporkan.

Sebelum ini rekod tertinggi dilaporkan pada 10 Julai lalu iaitu 9,353 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor terus kekal menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi dengan 5,263 kes dengan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan.


Ini disusuli Kuala Lumpur dengan 1,521 kes, Negeri Sembilan (1,033), Kedah (497), Sarawak (472), Johor (406), Perak (329), Melaka (323), Pahang (321), Sabah (239), Pulau Pinang (234), Kelantan (211), Terengganu (93), Putrajaya (77) dan Labuan (60), manakala Perlis tidak mencatatkan kes baharu.-FMT

Jumaat, 9 Julai 2021

MISSION IMPOSSIBLE : 77 Day Covid19 Free

Berikutan Kejayaan Kempen Bendera Putih yang menggerakkan Rakyat Malaysia sendirian tanpa campur tangan kerajaan, satu lagi kempen inisiatif Rakyat Malaysia untuk membebaskan Malaysia daripada covid19 akan di mulakan oleh sekumpulan individu yang menggelar diri mereka SUARA RAKYAT MALAYSIA.

Kandungan seperti dilampiran mungkin berguna untuk dihadam dan difahami. Pelan dan rancangan diolah dan disusun dengan agak kemas dan Ianya dirancang agar dapat mengulangi kejayaan kempen bendera putih. Saya tidak pasti adakah ini hanyalah khayalan,mimpi dongengan selepas sedutan THC atau sesuatu yang benar2 akan dibuat kerana penglibatan pihak Istana juga disebut. (konfius) Yang nyata dan pasti, masa sudah suntuk dan kita diambang sesuatu yang tidak dapat digambarkan (barangkali). Pihak berkenaan akan mengadakan siaran LIVE di bawah. Sama sama kita ikuti apakah yang ditawarkan dan kita buat penilaian sendiri yang rasional. LIVE SUARA RAKYAT 3.0 akan berlangsung di Youtube berikut : https://lnkd.in/gnrctvg Pada 10 Julai / 9PM / SABTU


Sumber

Isnin, 5 Julai 2021

Video tular: 'Ya, semua mereka positif Covid-19'

 Sejak tengah hari tadi, video berdurasi 52 saat yang memaparkan sejumlah besar individu beratur panjang sehingga ke persimpangan sebuah pasaraya besar itu tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA

Sejak tengah hari tadi, video berdurasi 52 saat yang memaparkan sejumlah besar individu beratur panjang sehingga ke persimpangan sebuah pasaraya besar itu tular di media sosial. FOTO IHSAN PEMBACA

Shah Alam: Dianggarkan lebih 1,000 individu yang disahkan positif Covid-19 beratur sepanjang 500 meter di laluan pejalan kaki untuk memasuki Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, sejak pagi hingga petang hari ini.

Sejak tengah hari tadi, video berdurasi 52 saat yang memaparkan sejumlah besar individu beratur panjang sehingga ke persimpangan sebuah pasar raya besar itu tular di media sosial.

Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, pertambahan jumlah pesakit berlaku antara dua hingga tiga minggu kebelakangan ini.

"Ya, semua yang beratur (mereka yang disahkan) positif Covid-19 dan ini pertama kali mereka ke Stadium Malawati untuk tujuan penilaian (daripada pihak KKM) sebaik disahkan positif.

"Kehadiran pada hari ini saya jangkakan antara jumlah paling tinggi dalam operasi CAC sejak Februari lalu, tetapi jumlah tepat hanya pihak KKM boleh sahkan.

"Sebagai koordinator mewakili Stadium Shah Alam, saya hanya boleh mengesahkan video yang tular sejak pagi tadi adalah gambaran suasana berlaku mutakhir ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Sayuti berkata, mereka datang ke CAC berkenaan seawal jam 6.30 pagi.

"Sehingga 3 petang, mereka masih lagi beratur terutama yang datang menaiki bas dari kilang dan sebagainya.

"Apa yang dilihat dalam video, itu memang situasi sebenar di sini, jumlah warga asing yang datang memang mendadak dan kebanyakannya dari kilang.

"Semua yang datang adalah di bawah kawal selia Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling sahaja," katanya yang turut bertugas sebagai sukarelawan di lokasi berkenaan setiap hari.

-myMetro