"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Rabu, 30 Jun 2021

Bendera Putih: Rakyat Tolong Rakyat, Wakil Rakyat Buat Apa?

 

Sebenarnya Kempen kibar bendera putih ini bukan dicetuskan oleh golongan politik tetapi oleh masyarakat sivil setelah melihat situasi rakyat kini yang tertekan dan mengalami tekanan perasaan sehingga mengambil tindakan tidak masuk akal.

Kempen kibar bendera putih ini digerakkan oleh rakyat adalah tanda solidariti dan keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pandemik Covid-19.

Selain dari gobok rezeki dan sebagainya, inisiatif kibar bendera putih adalah satu fenomena baharu yang menunjukkan solidariti rakyat sangat membantu antara sama lain demi kebaikan bersama.

Jadi Ahli-ahli politik tak perlulah menangguk di air keruh dengan memperlekeh usaha itu seolah-olah mereka gagal memahami situasi yang berlaku kini dan mempolitikkan kempen ini kerana selama ini mereka terlalu sibuk dengan Politik.

Jangan mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat diketika ini, kerana mereka semua telah gagal memahami masalah yang dihadapi rakyat dalam menghadapi PKP ini dan sebelumnya.

Diharap juga kempen ini tidak akan disalah guna oleh golongan tidak bertanggungjawab yang akan “berlakon susah” demi mengambil kesempatan atas kebaikan serta keprihatinan masyarakat kita.
-----
RAKYAT Malaysia kelmarin dikejutkan dengan paparan imej menyayat hati seorang lelaki mati tergantung di jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor. Ini bukanlah kali pertama, baru-baru ini kita telah mendapat berita seorang warga emas ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dipercayai bunuh diri akibat kemurungan dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu ketika PKP 1.0, satu kenaikan yang mendadak sebanyak 20 peratus berbanding 188 kes pada tahun 2019. 

Ini merupakan satu fenomena yang amat merisaukan terutama dengan kesan pandemik yang dijangka lebih mencengkam pada bulan-bulan yang akan datang.

Apa yang kita saksikan adalah manifestasi kesan pandemik kepada kesihatan mental. Bermula dengan kemurungan kerana tertekan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan seterusnya mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.

Fenomena yang menakutkan ini memang telah dijangka. Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Dunia(WHO), Tedros pernah mengungkapkan bahawa “Pemimpin Dunia kena bertindak pantas dan secara tuntas untuk memperuntukkan perbelanjaan dalam menyediakan program Kesihatan Mental demi menyelamatkan nyawa ketika pandemik atau pascanya.”

Di New Zealand, Jacinda Ardern memperuntukkan NZ$1.9 bilion untuk program rejunevasi kesihatan mental dan mutakhir mengumumkan NZ$28 juta untuk program kesihatan mental di peringkat sekolah rendah. Kerajaan Malaysia juga telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghadapi permasalahan ini.
Saya tidak berminat untuk membincangkan apa yang telah dilakukan dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana itu adalah tanggungjawab mereka yang mempunyai pelbagai sumber dan kepakaran. Apa yang lebih menarik perhatian dan menyentuh perasaan ialah respons rakyat Malaysia.

Rakyat telah bersama sama tampil di hadapan dan mengambil peranan dalam menangani permasalahan sama ada dalam bentuk sumbangan keperluan harian, sokongan emosi dan memaparkan solidariti yang tidak berbelah bahagi di dalam komuniti masing-masing. 

Secara sukarela, rakyat daripada pelbagai lapisan tampil dengan pelbagai kreativiti dalam keadaan sumber yang amat terhad. Mereka membuka pusat-pusat khidmat, mengedarkan pek-pek makanan, mewujudkan sistem sokongan kepada keganasan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling secara percuma.

Mutakhir sekali ialah kempen bendera putih sebagai satu gerak isyarat simbolik “saya perlu bantuan.” Tiada siapa tahu bagaimana bermulanya gerakan tersebut, namun ia didapati mendapat sambutan yang begitu meluas dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Semua ini berlaku ketika elit politik masih lagi bergelumang dengan pendekatan parokial yang sempit, tuding menuding antara satu dengan yang lain dan berdebat isu remeh seperti sama ada parlimen perlu bersidang secara hibrid atau bersemuka.

Apakah tindakan ini memaparkan rakyat sudah sampai kepada tahap “tidak lagi memberikan harapan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka” dan sudah sampai kepada situasi di mana “Rakyat tolong Rakyat” menjadi pilihan utama?

Dalam suasana rakyat sudah jelik dengan budaya kepimpinan politik yang dicemari dan diwarnai oleh perkauman sempit, ekstrem agama yang melampau, amalan korupsi kronik, mementingkan diri sendiri dan dipandu oleh prinsip-prinsip garis parti paroki, adakah ia satu petanda permulaan bibit-bibit untuk rakyat berganding bahu dalam satu pergerakan massa yang mewakili nadi, harapan dan visi rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik?

Dan adakah rakyat ingin menghantar satu mesej yang jelas dan lantang bahawa masa hadapan negara tidak boleh lagi dibiarkan di tangan elit politik yang sudah tidak mampu memberikan harapan kepada masa depan negara? 

Rakyat telah membuktikan kemampuan mereka setakat ini. Persoalannya, adakah usaha ini akan mempunyai nafas yang panjang dan akhir memungkinkan perubahan yang didambakan?

Zaharudin Othman

Kredit:Anak Sungai Derhaka

Pfizer, Moderna lindungi daripada COVID-19 sepanjang hayat

 Gambar hiasan. - Foto AFP

Gambar hiasan. - Foto AFP

LONDON: Kajian menunjukkan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna mampu memberikan perlindungan sepanjang hayat daripada ancaman wabak itu.

Daily Mail melaporkan, pasukan penyelidik mendapati individu yang menerima mana-mana dua dos suntikan vaksin menggunakan teknologi mRNA mempunyai tindak balas imun kuat yang berkekalan.

Vaksin itu juga menghasilkan tahap antibodi peneutralan yang tinggi terhadap dua varian COVID-19 iaitu beta dan alpha.

Ini bermakna individu yang menerima vaksin Pfizer dan Moderna mempunyai imuniti berkekalan atau berpotensi sepanjang hayat mereka serta mungkin tidak memerlukan dos suntikan penggalak lagi, lapor The New York Times.

Pakar imunologi dari Universiti Washington, yang juga pengarang utama penyelidikan diterbitkan dalam jurnal Nature, Dr Ali Ellebedy, berkata ia adalah petanda baik yang menunjukkan ketahanan imuniti daripada vaksin itu.

Bagi kajian itu, pasukan penyelidik merekrut 14 orang yang menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer dan daripada jumlah itu, lapan orang pernah dijangkiti COVID-19.

Penyelidik mengkaji nod limfa (lymph node) yang menghasilkan sejenis sel sistem imun dikenali sebagai sel memori B.

Berdasarkan laporan The Times, selepas seseorang individu dijangkiti COVID-19 atau sudah divaksin, satu 'pembentukan kuman' berlaku di nod limfa, yang bertindak seperti penyimpan bagi sel memori B.

'Pembentukan kuman' itu membantu melatih sel B untuk mengenal pasti urutan genetik virus serta sebarang varian.

Hasil kajian menunjukkan, individu mempunyai 'pembentukan kuman' aktif dan bilangan sel memori B yang mengenal pasti virus tidak berkurangan. - AGENSI

Jual durian kampung 6kg hanya RM10

Shahmi Azani (kiri) dan isteri, Shaidatul Fatini menunjukkan buah durian kampung bersaiz besar yang dijual pada harga RM10 di Kampung Smat Jal, Tumpat.

TUMPAT – Niat untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati durian ketika ini, seorang penjual di Kampung Semat Jal di sini menjual raja durian kampung pada harga RM10 untuk enam kilogram.

Jualan durian yang boleh dimuatkan dalam satu plastik besar itu dilakukan oleh Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 27, untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi menikmati buah itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, jualan durian semurah RM10 itu dilakukan dalam tempoh lima hari bermula kelmarin sehingga Jumaat ini.

“Pendekatan ini dilakukan selepas saya turut menerima rungutan orang ramai yang tidak mampu membeli, namun teringin makan durian.

“Disebabkan simpati dengan nasib mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi ketika ini, maka saya ambil keputusan untuk menjual durian pada harga yang murah agar semua orang dapat menikmatinya,” katanya ketika ditemui semalam.

Shahmi Azani berkata, dia yang merupakan pemborong durian di kawasan itu akan menjual sebanyak 12 tan buah setiap hari bemula pukul 8 pagi sehingga pukul 7 petang.

Katanya, bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah bekalan durian, malah ada ketika buah durian akan habis seawal pukul 2 petang.

 “Bekalan pelbagai jenis durian termasuk IOI ganja dan kunyit akan sampai setiap hari. Kebiasaannya, saya menjual durian pada harga berpatutan antara RM3 sekilogram sehingga RM35 sekilogram mengikut gred buah itu.

“Semua bekalan durian ini dibawa dari luar Kelantan iaitu kawasan ke kebun di Tangkak, Johor, Jelebu (Negeri Sembilan) dan Banting (Selangor),” katanya.

Shahmi Azani yang juga ahli kumpulan Pemburu Buah Group, berkata, dia turut mendapat sokongan isterinya, Shaidatul Fatini Shamsudin, 29, untuk terus menjalankan perniagaan itu sejak lebih 11 tahun lalu.

Katanya, dia tidak pernah berkira dengan pelanggan dan disebabkan itu juga gerainya menjual buah durian itu pada harga yang amat berpatutan.-K! ONLINE.

Kekalkan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor – desakan dari 17 cabang AMK

 


PETALING JAYA: Sebanyak 17 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR menuntut supaya ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi dikekalkan sebagai Ketua AMK Negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan, 17 AMK menyifatkan Najwan Halimi digugurkan dari jawatan Ketua AMK Negeri Selangor tanpa sebarang asas dan alasan kukuh.

“Mewakili anggota AMK peringkat cabang seluruh Negeri Selangor, kami membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus melibatkan pimpinan AMK cabang Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata mereka, sepanjang tempoh lebih dua tahun Najwan memimpin AMK Selangor, beliau telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang serta berperanan penting dalam menyatupadukan anggota AMK yang berpecah belah pasca Langkah Sheraton.

“Beliau juga telah memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.

“Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi serta menuntut Ketua AMK agar menarik semula keputusan beliau semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Selangor demi memastikan kestabilan sayap pemuda PKR serta untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti,” katanya.

Mereka turut menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan akan terus mempertahankan beliau dari digugat oleh pihak-pihak yang cuba melemah serta memecahbelahkan parti.

Cabang AMK yang menyokong Najwan adalah AMK Kuala Langat, AMK Puchong, AMK Damansara, AMK Hulu Langat, AMK Bangi, AMK Hulu Selangor, AMK Kota Raja, AMK Klang, AMK Petaling Jaya, AMK Tanjong Karang, AMK Kapar, AMK Ampang, AMK Gombak, AMK Kuala Selangor, AMK Selayang, AMK Sungai Buloh dan AMK Pandan. – UTUSAN ONLINE 

Terkini: Muhyiddin dimasukkan ke hospital kerana diarea

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimasukkan ke hospital di ibu negara pagi ini bagi menerima rawatan dan pemantauan selepas mengalami diarea sejak semalam.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

"Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri mengalami diarea sejak semalam.

"Sehubungan itu, beliau didaftar masuk ke sebuah hospital di ibu negara pagi ini untuk menerima rawatan dan pemantauan," katanya kenyataan itu.

-BH Online

Isu positif dadah: 'Tunggu beberapa hari lagi' - Zarina Anjoulie

 Zarina Anjoulie

Zarina Anjoulie

Kuala Lumpur: "Bukan nak lari, nanti saya cerita."

Itu kata pelakon kontroversi Zarina Anjoulie susulan dakwaan tangkapan selebriti wanita positif dadah di Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.

Zarina berkata, dia berjanji akan memberikan kenyataan dan berkongsi perkara itu dalam masa beberapa hari lagi.

Malah, secara berterus terang Zarina mahu mengambil kesempatan menerusi kisah yang sedang hangat diperkatakan itu dengan membuat ulasan produk bagi mendapatkan duit.

"Bukan nak lari, yang kenal saya, saya takkan sorok. Cumanya saya tak nak bagi kenyataan sekarang. Biar saya buat duit dengan 'review' dulu. Kalau cerita sekarang, ia habis di situ. Esok sudah tidak ada cerita. Jadi, biar saya pulun 'review' dulu.

"Bagi saya dua ke tiga hari. Kalau bagi sekarang, tak bolehlah buat duit dulu. Selepas itu saya cerita. Apa pun, buat duit dulu," katanya.

Zarina yang membuat sesi siaran langsung di Instagram pada jam 7 pagi, hari ini berkata, dia juga tidak malu mengaku salah sama seperti kebanyakan masalah yang pernah ditimbulkan sebelum ini.

Jawapan itu bagi menjawab soalan warganet yang menulis mana ada pencuri nak mengaku.

"Pertama kali, saya tak pernah mencuri. Mungkin kau (merujuk pada pengguna akaun) yang biasa curi. Tapi kalau saya buat salah, saya tak malu mengaku. Saya tak macam kau. Jangan samakan saya macam kau. Kita tak sama.

"Sebab untuk saya, banyak perkara memalukan dalam hidup saya terjadi tak pernah elak. Saya bukan jenis lari dari masalah. Saya akan sentiasa beritahu pada orang. Semua kenal saya dan tahu, perkara memalukan apa sekalipun, saya takkan lari dari 'followers'.

"Siapa 'follow' tahulah. Dari gaduh dengan sesiapa, cerai, semua tahu saya macam mana. Bukannya tak tahu dan tak biasa dengan saya. Banyak saja benda memalukan berlaku dalam hidup, saya tak lari. Harap anda faham. Pada saya, apa saja terjadi dalam hidup, teruk macam mana pun, saya tak pernah lari dari masalah. Saya tak berselindung. Saya jenis buat salah, saya mengaku," katanya.

Menerusi sesi sama juga, Zarina berkata mahu buka cerita jika jumlah pengikut di Instagram (IG) mencecah 1 juta. Ketika ini 'follower' akaun IG miliknya berjumlah 980,000.

"Apa pun saya nak menuju sejuta 'followers'. Semalam naik 5,000. Naik saja sejuta, saya buka cerita. Kena faham saya ahli perniagaan, otak bisnes. Saya takkan sia-siakan cerita tular ini. Kalau cerita sekarang saya tak boleh buat duit.

"Alang-alang dah macam ini, baik buat amal sekali. Buat duit dulu. Ulasan di IG Story, dapat RM20,000 sehari iaitu hari ini dan esok, saya akan buat 'give away' RM 1,000 pada anda. Cerita sekarang di 'live' rugilah.

"Setiap kali 'viral' saya buat duit. Kalau saya buat, anda semua tahu, saya tidak pernah tak kongsi dengan 'followers'. Bagi saya, duit yang masuk daripada anda. Sebab itu beri semula pada anda. Duit itu pusing-pusing datag daripada anda juga, penyokong saya," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang membuat serbuan di rumah berkenaan.

"Selebriti itu dibawa ke pejabat Narkotik IPD Nilai bagi tujuan saringan awal air kencing.

"Keputusan mendapati wanita itu positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, suspek diberi jaminan polis setelah selesai memberi keterangan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-myMetro

EURO2020: Sterling, Kane wira England singkir Jerman ke suku akhir

 Penyerang England Raheem Sterling meraikan jaringan pembukaan ketika aksi 16 terakhir Euro 2020 menentang Jerman di Wembley. - Foto AFP

Penyerang England Raheem Sterling meraikan jaringan pembukaan ketika aksi 16 terakhir Euro 2020 menentang Jerman di Wembley. - Foto AFP

LONDON: England mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Jerman 2-0 hasil jaringan Raheem Sterling dan Harry Kane di Wembley.

Kemasukan Jack Grealish menggantikan Bukayo Saka di pertengahan babak kedua ternyata memberi impak apabila pemain itu terbabit dalam gol pembukaan Sterling pada minit ke-75.

Jerman mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi Thomas Muller yang hanya berdepan penjaga gol Jordan Pickford menyaksikan percubaannya tersasar.

Penyerang England, Raheem Sterling (tengah) ledak pertama. - Foto AFP

Penyerang England, Raheem Sterling (tengah) ledak pertama. - Foto AFP

England memastikan kemenangan pada minit ke-86 menerusi Harry Kane yang meledak gol pertamanya di kejohanan kali ini.

Sterling pula meledak tiga gol dalam empat perlawanan di pentas Euro 2020 dan masih berpeluang untuk memburu Kasut Emas kejohanan.

England akan bertemu pemenang di antara Ukraine dan Sweden yang akan bertembung sebentar lagi. - AGENSI

Penyerang England, Harry Kane meledak gol kedua. - Foto AFP
Penyerang England, Harry Kane meledak gol kedua. - Foto AFP

Harry Kane meraikan gol jaringannya dihadapan penyokong. - Foto AFP
Harry Kane meraikan gol jaringannya dihadapan penyokong. - Foto AFP

Pemain England meraikan gol jaringan Raheem Sterling (kanan). - Foto AFP
Pemain England meraikan gol jaringan Raheem Sterling (kanan). - Foto AFP

Copa America 2021: 'Jangan pandang rendah Colombia'


Cavani (kiri) antara watak penting kebangkitan Uruguay pada saingan Copa America 2021 di Brazil. FOTO: AFP

PENGENDALI Uruguay, Oscar Washington Tabarez tidak mahu pemain-pemainnya memandang rendah keupayaan Colombia apabila kedua-dua pasukan pada pusingan lapan terbaik Copa America 2021 di Stadium Mané Garrincha, Brasília minggu ini.

Malah menurut Tabarez, rekod kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan pada tahun lalu juga tidak boleh dijadikan sandaran pada pertemuan kali ini.

"Colombia yang kini bukan lagi pasukan yang pernah kita tentang pada tahun lalu, kerana pada saingan Copa America 2021 kali ini mereka melakukan persiapan cukup rapi.

"Pada masa ini mereka berada pada tahap terbaik seperti yang telah dibuktikan sepanjang saingan peringkat kumpulan pertandingan ini.

 "Colombia merupakan pasukan yang sedang meningkat sejak kebelakangan ini tambahan pula mereka memiliki jurulatih yang cukup berpengalaman selain pemain berkualiti," katanya.

Sebelum itu, gol tunggal jaringan pemain sensasi Manchester United, Edinson Cavani sudah cukup membolehkan Uruguay mengesahkan status naib juara kumpulan sekaligus mengiringi Argentina selaku juara ke pusingan lapan terbaik pertandingan.

Pada aksi di Stadium Nilton Santos Rio de Janeiro, gol hasil sepakan penalti Cavani berjaya memacu La Celeste dari kedudukan keempat sebelum ini ke tempat kedua kumpulan.

Mengulas lanjut Tabarez percaya Los Cafeteros kendalian Reinaldo Rueda akan lebih matang selepas tewas kepada skuadnya pada aksi kelayakan Piala Dunia sebelum ini.

"Sememangnya satu motivasi apabila dapat menewaskan Colombia pada perlawanan tersebut, namun kita perlu mengakui bahawa ketika itu lawan juga tidak mudah menyerah kalah.

"Colombia merupakan pasukan yang cukup sukar untuk ditewaskan apatah lagi negara tersebut mempunyai komuniti bola sepak yang cukup aktif melahirkan pemain-pemain baharu, jadi kita boleh menjangkakan tentangan sengit

“Aksi menentang Brazil sebelum ini sudah cukup menceriakan segala-galanya mengenai keazaman Colombia untuk pergi lebih jauh dalam kejuaraan ini," katanya.

-SH Online

Kes anggota polis hubungi wanita menerusi WhatsApp disiasat

Polis akan memanggil wanita yang mendakwa dihubungi seorang anggota polis.

 Polis akan memanggil seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dirinya dihubungi oleh anggota polis melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pegawai penyiasat akan memanggil wanita tersebut dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan.

"Kita telah mengesan satu isu berkenaan yang tular di Twitter pada Selasa. Menurut 'posting' yang dimuat naik wanita tersebut, dia telah pergi ke Balai Polis Setapak bertujuan memohon permit untuk merentas negeri," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Ashari berkata, wanita tersebut telah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak berkaitan isu itu pada jam 7.30 malam.

"Kita juga telah mengenal pasti anggota polis yang didakwa menghubungi wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan sebarang salah laku dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

"Siasatan berkaitan isu tular ini sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Kuala Lumpur," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-SH Online

Selasa, 29 Jun 2021

PM perlu letak jawatan jika enggan dengar titah Agong kata Anwar


Yang di-Pertuan Agong menzahirkan supaya parlimen perlu bersidang sebelum tamat darurat pada 1 Ogos supaya proklamasi dan ordinan darurat dapat dibahaskan, kata Anwar Ibrahim.

"Maknanya, sidang parlimen itu mestilah dilakukan dilaksanakan segera dalam notis yang singkat,” kata ketua pembangkang yang juga presiden PKR.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah secara khusus menyentuh Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada parlimen untuk membatalkan proklamasi darurat dan ordinan darurat sekiranya parlimen bersetuju.

Oleh itu, kata Anwar, speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus mengambil langkah-langkah memanggil parlimen bersidang dengan segera.

Tambahnya, Muhyiddin harus mengundurkan diri jika enggan mengendahkan perintah Agong.

Anwar berkata bahawa kabinet Muhyiddin "tidak rasa malu" walaupun Agong berulang kali menyatakan parlimen harus bersidang segera.

 Saya yakin Agong hanya menyuarakan pandangan majoriti MP dan majoriti rakyat negara ini,” kata Anwar.

"(Agong) lebih faham derita mereka (rakyat), kesukaran mereka dan tidak angkuh dan sombong seperti kita melihat jawapan demi jawapan yang dibuat oleh menteri-menteri dan pimpinan negara kita termasuk peguam negara, speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.”

Putrajaya sebelum berkata akan membuka semula parlimen pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Namun, tidak dapat dipastikan bila fasa itu akan bermula kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian Covid-19, kesediaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi negara.

Sebelum ini, Azhar dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim menjangkakan sidang parlimen secara hibrid boleh diadakan pada akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

-mKini

Pemimpin PKR sahkan pendedahan Nazri berhubung pakatan Anwar-Zahid

 agendadaily



Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya jangan lupa pendirian UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengesahkan secara tidak langsung pendedahan pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa wujud pakatan antara Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengakuan tersebut dibuat Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang berkata keputusan untuk menjayakan jajaran baharu bergantung kepada Zahid dan PKR sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Jadi selepas Ahmad Zahid membuat keputusan, maka tidak ada masalah jajaran baharu boleh dibentuk demi negara dan rakyat. Terpulang kepadaZahid untuk membuat keputusan, semua bergantung kepada beliau.

“Kita sentiasa bersedia bila-bila masa saja juga tidak sabar untuk bersama UMNO atau tidak kira siapa sahaja atau mana-mana parti sekali pun termasuk parti bebas,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengakuan Abdullah Sani ini secara tidak langsung sudah wujud persefahaman awal antara kedua parti, namun Zahid perlu membuat keputusan dengan segera dan memuktamadkan kerjasama antara UMNO dengan PKR.

Jelasnya, PKR sangat mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri atas tujuan untuk menyelamatkan negara dan mengelak kerosakan yang lebih teruk.

“Kalau sekiranya ahli-ahli Parlimen UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alhamdulillah. Kita mengharapkan sedemikian. Apabila Ahmad Zahid menyebut jajaran baharu yang diperkenalkannya, tentulah langkah mengkiblatkan kepada negara ini dibina semua dan menyelamatkan negara.

“Jadi tidak ada masalah kerana dalam konteks menyokong itu bukan bermakna membeli orang dengan jawatan-jawatan dan sebagainya. Sudah memadai ia diberikan keinsafan kepad ahli Parlimen bahawa negara ini sudah berada dalam keadaan kerosakan luar biasa dan tidak boleh lagi diselamatkan kalau diteruskan PN memerintah,” katanya.

Nazri sebelum ini mendedahkan sudah mengumpul surat akuan (SD) untuk menyokong Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai jurucakap rasmi kepada 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), ia sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Nazri berkata langkah itu sebagai tindakan balas terhadap Zahid yang memberikan maklumat mengelirukan kepada YDPA berhubung sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Nazri juga mendakwa ditipu Zahid semasa menarik sokongan terhadap kerajaan pada Oktober tahun lalu apabila ketua perancang tersebut mendapat peruntukan untuk kawasan Parlimennya dan beliau pula tidak diberikan peruntukan kerana tindakan menarik sokongan itu.

-Wak Labu Farm

FIFA iktiraf 89 gol Mokhtar Dahari

 FIFA sahkan 89 gol dijaringkan Mokhtar sepanjang mewakili Malaysia.

FIFA sahkan 89 gol dijaringkan Mokhtar sepanjang mewakili Malaysia.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengesahkan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad kebangsaan sepanjang kariernya.

Pengesahan itu muncul selepas badan induk bola sepak dunia itu mengeluarkan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di laman Twitter mereka, hari ini.

Perkembangan itu turut menyaksikan Mokhtar yang lebih dikenali sebagai 'Supermokh' berada dalam kelompok tiga pemain teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Jumlah sebenar jaringan gol antarabangsa yang di ledak Mokhtar sebelum ini menjadi perdebatan apabila ada yang mendakwa dia meledak 86 gol daripada 131 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Malah, terdapat juga laporan sebelum ini yang memetik beberapa sumber statistik bahawa Mokhtar menjaringkan 85 gol buat Harimau Malaya sepanjang kariernya.

Berdasarkan laporan BH Sukan, minggu lalu, beberapa statistik yang melaporkan mengenai jumlah jaringan gol antarabangsa, Mokhtar meledak 89 gol dalam 142 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pencapaian 89 gol itu dikatakan dilakar sehingga tahun 1991 sebelum Mokhtar menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun itu.

Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan. 

Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.

Senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman:

1. Ali Daei (Iran), Cristiano Ronaldo 109 gol

2. Mokhtar Dahari (Malaysia) 89 gol

3. Ferenc Puskas (Hungary) 84 gol

4. Godfrey Chitalu (Zambia) 79 gol

5. Hussein Saeed (Iraq) 78 gol

6. Pele (Brazil) 77 gol

7. Ali Mabkhout (Emiriah Arab Bersatu) 76 gol

8. Sandor Kocsis (Hungary), Kunishige Kamamoto (Jepun), Bashar Abdullah (Kuwait), Lionel Messi (Argentina) 75 gol -BH Online

Pandemik: Kempen bendera putih sentuh hati rakyat

Tangkap layar perkongsian video dan gambar netizen meluahkan kebuntuan menerusi kempen kibarkan bendera putih.

PETALING JAYA – Sikap prihatin rakyat Malaysia terbukti apabila apabila lebih ramai netizen menyahut seruan kempen mengibar bendera putih di pelbagai platform media sosial hari ini.

Ramai meluahkan rasa terharu dengan solidariti yang ditunjukkan dan menyifatkan ia sebagai lambang kekuatan rakyat.

“Kibarkan bendera putih menjadi satu daripada sebab mengapa saya bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia sangat penyayang, bijaksana, baik hati dan pemurah. Terima kasih rakyat Malaysia. Bukti bahawa kita boleh jaga kita,” ujar pemilik akaun Twitter bernama @SyazanaMI.

“Terharu bila inisiatif ini dibuat oleh rakyat. Terbukti Malaysia ramai orang yang baik-baik. Sama-sama cakna bila nampak jiran atau yang terdekat memerlukan pertolongan,” tulis Wan Wan di ruangan komen Facebook Kosmo! Online.

“Senang tidak perlu isi borang. Bagus rakyat kita prihatin sampai begini,” komen pengguna Facebook bernama Red Ros.

Ada juga dalam kalangan netizen berkongsi mereka telah mula memerhatikan jika ada jiran tetangga menaikkan bendera putih berdekatan rumah masing-masing.

 “Saya akan melihat di sekitar kawasan saya jika ada bendera putih. Bantuan makanan Insya-Allah. Saya percaya kepada rakyat Malaysia. Mereka akan menolong anda,” ujar netizen bernama The Comedian.

“Bolehkan kita mempunyai bendera lain juga. Bendera untuk orang yang tidak memerlukan barang dapur tetapi sangat memerlukan teman berbual untuk menyembuhkan tekanan jiwa,” ciap @FrugalFliza.

“Naikkan bendera putih jika perlu bantuan. Sama ada anda berada di rumah atau media sosial. Boleh hantar mesej kepada saya jika anda memerlukan sokongan mental dan emosi dan seseorang untuk bercakap,” balas netizen bernama @etresm0I.

Segelintir netizen turut mencadangkan mereka yang menghulurkan bantuan tidak merakam gambar atau video penerima bantuan.

“Kali ni jangan ambil gambar atau video, biar kebaikan kamu Tuhan saja yang tahu. Kita kena jaga maruah mereka,” komen Vijay Kumar Vijay di laman Facebook.

“Inilah masa mak cik bawang bertindak gunakan sensitiviti anda untuk membantu bukan menghakimi mereka. Mohon jaga perasaan penerima dengan tidak menyiarkan gambar mereka,” sokong Maureen Danau.

Tanda pagar Rakyat Jaga Rakyat yang sohor kini di laman Twitter hari ini turut dilihat senada dan mempunyai matlamat serupa dengan kempen berkenaan. – K! ONLINE

Covid19: Rakyat tak larat hidup ‘berimunisasi’ PKP

 

Gambar hiasan

Hari ini, rakyat terus ‘berkurung’ ekoran lanjutan tempoh Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 selama dua minggu lagi.

Kes harian Covid-19 ketika ini masih melebihi 5,000 kes walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Situasi itu menyebabkan rakyat terus tertekan, apatah lagi masalah vaksinasi yang belum selesai kerana negara-negara besar membolot vaksin tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 109,806 daripada 122,328 panggilan direkodkan berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial akibat Covid-19.

Statistik itu diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 1 Januari hingga 18 Jun lalu.

Bagi pakar kekeluargaan yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM), Prof. Dr. Fatimah Daud, pelanjutan itu menyebabkan orang ramai tidak boleh lagi ‘berimunisasi’ dengan perkataan PKP atau Fasa 1 yang masih gagal mengurangkan kes Covid-19.

Tegasnya, rakyat hanya ingin tahu apakah pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kerajaan supaya mereka dapat menjalani kehidupan bebas.

“Jika dahulu, rakyat mengambil serius termasuk ‘berkurung’, namun kini mereka semakin tertekan susulan tiada duit dan kerja.

“Rakyat cuma mahu kerajaan mencari punca sebenar mengapa kes Covid-19 tidak turun. Perkara ini menjadi fokus tidak kira mereka yang masih mempunyai gaji atau sebaliknya kerana enggan mendengar lagi penyambungan PKP,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Fatimah memberitahu, pelanjutan PKP menyebabkan sebilangan kecil rakyat berpendapat bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekadar mengganggu urusan mereka termasuk dalam soal ibadat.

“Sampai ada tahap berpendirian kalau hendak mati, mati juga. Namun, kejayaan melawan Covid-19 ini adalah gandingan antara kerajaan dan rakyat.

“Peperangan menentang virus Covid-19 adalah berbeza dengan peperangan fizikal yang boleh diketahui pengakhirannya,” kata beliau.

Umum mengetahui, perdebatan mengenai isu pembukaan kilang yang dikategorikan per­khidmatan perlu terus berpanjangan apabila tetap berlaku pe­langgaran SOP.

“Malah terdapat kilang yang mengambil kesempatan bero­perasi tanpa kebenaran dan memalsukan surat permohonan mereka,” ujar Fatimah.

Sementara itu, pakar sosiologi dan politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. P. Sivamurugan berpendapat, kekurangan dalam memerangi Covid-19 ketika ini adalah pemfokusan yang lebih tertumpu kepadaRakyat tak larat hidup ‘berimunisasi’ PKP ekonomi dan kesihatan, sedang­kan terdapat satu lagi isu besar iaitu hubu­ngan sosial dalam masyarakat serta keluarga.

Menurutnya, PKP perlu ada pe­ngubahsuaian berikutan rak­yat telah mula rasa kecewa, marah serta boleh dilihat mahu memberontak yang berkemungkinan memberikan kesan lain kepada negara.

“Isunya ada tiga perkara iaitu bagaimana hendak memastikan SOP dipatuhi dengan ketegasan yang jitu tanpa ada double stan­dard, komunikasi maklumat kepada rakyat supaya jelas dan tidak wujud sekali lagi prasyarat yang berbeza.

“Selain itu, kita harus terus mempertahankam petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus untuk melandaikan keluk ini,” katanya.-K! ONLINE