"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label SRC International. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SRC International. Papar semua catatan

Khamis, 17 Oktober 2024

PAC akan panggil Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB bulan depan

 
Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani

 KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk prosiding bagi mendapatkan maklumat lanjut komitmen jaminan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut dipanggil ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) yang berada di bawah Lembaga ini.

Prosiding bagi kedua-dua isu ini akan ditetapkan pada bulan November ini, kata Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pagi tadi, Ketua Audit Negara, atuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi telah memberikan taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini berhubung Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 – Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

Taklimat ini bermula pada pukul 11.30 pagi dan telah berlangsung selama dua jam.

“Antara perkara yang menarik perhatian PAC dalam taklimat pada hari ini adalah ABT dan komitmen jaminan 1MDB,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 mengesyorkan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan aset berkaitan syarikat 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada pelbagai pihak, sama ada dari dalam dan luar negara.

Menurut laporan itu, dana berkenaan bagi menampung perbelanjaan balik hutang syarikat 1MDB dan SRC serta perbelanjaan hutang lain memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya pada 2028, seperti yang ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA.

Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan geran berjumlah RM39.737 bilion kepada syarikat 1MDB bagi tempoh 2019 hingga 2023 untuk tujuan pelunasan prinsipal dan perbelanjaan lain termasuk faedah bon serta bayaran kupon.

Selain pelunasan berkenaan, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.456 bilion yang terdiri daripada sejumlah RM5 bilion bagi prinsipal Sukuk Islamic Medium Tern Notes (IMTN) yang akan matang pada 27 Mei 2039 dan RM4.456 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039 (15 tahun enam bulan.)

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 3/2024 itu, Kerajaan Persekutuan sudah mula melaporkan Komitmen Jaminan terhadap pinjaman syarikat 1MDB sebanyak RM32.208 bilion (2017: RM31.651 bilion) dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahun 2018.

Pelaporan dalam penyata kewangan berkenaan adalah berbangkit daripada ‘Letter of Support’ dan ‘Settlement Agreement’ pinjaman syarikat 1MDB oleh Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan baki Komitmen Jaminan syarikat 1MDB bagi tempoh lima tahun daripada 2019 hingga 2023 menunjukkan penurunan berikutan penyaluran geran oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pelunasan pinjaman syarikat 1MDB, katanya.

Menurut laporan tersebut, Kerajaan Persekutuan perlu membuat pelunasan bayaran kupon IMTN sebanyak RM287.50 juta setahun dengan unjuran sebanyak RM4.456 bilion daripada 2024 sehingga tempoh matang pada 2039. – MalaysiaGazette

Rabu, 24 Ogos 2022

SRC difitnah, ugut, tawar habuan. Perlu telus & Najib boleh bayar.

 

Istana Kehakiman di Putrajaya. - NSTP/Aizuddin Saad

1. 'Paling tak boleh dilupakan apabila pasukan siasatan kes SRC difitnah, diugut dan ditawarkan habuan'

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak membuktikan kerajaan tidak campur tangan dalam sistem perundangan negara.

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin, berkata ia menutup terus ruang yang boleh dimanipulasi sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu akan 'diselamatkan' oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN). 

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohammad Zin

"Kerajaan kita diketuai pemimpin daripada BN yang berjaya menutup terus tanggapan kononnya ada campur tangan kerajaan dalam kes itu, sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini.

"Saya menyambut baik ketegasan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam mengekalkan sabitan terhadap kes SRC," katanya kepada BH, di sini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke Penjara Kajang, petang semalam, bagi menjalani hukuman terbabit.

Bahri memainkan peranan utama sebelum ini dalam siasatan kes SRC pada 2015 sebelum ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau yang memegang jawatan Pengarah BOK Khas sejak 16 Jun 2014 bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas sasaran kes berkenaan.

Bagaimanapun, Bahri kembali kepada SPRM pada Mei 2018 bagi membantu menyambung semula penyiasatan kertas siasatan kes SRC.

Pada masa sama, mengimbau kembali pengalaman siasatan kes SRC itu, Bahri berkata, paling tidak boleh dilupakannya apabila pasukannya difitnah, diugut dan ditawarkan habuan bagi menghentikan tugasan mereka.

"Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila Timbalan Pendakwa Raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

"Saya pernah berasa 'keseorangan' ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu," katanya. (BH)

2. Ketelusan sistem kehakiman perlu dihormati 

KOTA BHARU: Pemimpin kerajaan diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, setiap pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya terlibat dengan sebarang kes penyelewengan ketika mengurus dan mentadbir negara.

Katanya setiap pemimpin perlu mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang penyelewengan, di samping menjaga imej negara itu sendiri.

“Isu ini adalah sebagai suatu peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati ketika melaksanakan tugas. Walaupun boleh jadi tujuan kita baik tapi cara dan proses itu mestilah tidak menyalahi undang-undang.

“Niat ini, boleh jadi seseorang itu ada niat yang baik. Tapi kalau cara tidak betul dan menyalahi undang-undang ia boleh menimbulkan masalah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Semalam Najib gagal dalam rayuannya apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM120 juta atas kesalahan penyelewengan dana tersebut.

Mohd Amar berkata, sebarang tindakan dan keputusan yang diambil mahkamah dilihat mengikuti proses ditetapkan.

Malah katanya sebarang keputusan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini perlu dihormati semua pihak.

“Walaupun mungkin ada tidak puas hati dan ada yang terkilan dengan keputusan tersebut tetapi prosesnya berjalan mengikut apa yang sepatutnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

3. Najib boleh bayar denda RM210 juta   sepanjang tempoh dipenjara  

KUALA LUMPUR: Terdapat ketidakpastian bila Datuk Seri Najib Tun Razak akan membayar denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Berkaitan hal ini, golongan peguam berpendapat bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu boleh membayar jumlah denda yang besar tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun beliau dipenjarakan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata berdasarkan prinsip undang-undang, Najib boleh membayar denda itu pada bila-bila masa namun jika beliau gagal berbuat demikian selepas hukuman penjaranya dijadualkan berakhir maka tempoh pemenjaraan akan ditambah lima tahun seperti perintah Mahkamah Persekutuan.

Peguam Lim Wei Jiet turut berkongsi pandangan sama dan berkata tiada had masa yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung tempoh pembayaran.

“Oleh itu, beliau boleh melunaskannya pada bila-bila masa sepanjang tempoh 12 tahun pemenjaraannya,” kata peguam itu.

Peguam M.Viswanathan pula berkata Najib boleh membuat bayaran secara ansuran atau mengeluarkan arahan untuk menjual hartanah seperti yang diperuntuk di bawah Seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kebiasaannya, tempoh masa yang munasabah diberikan untuk membuat pembayaran,” katanya.

Semakan dengan pihak berkuasa pula mendapati adalah tidak jelas sama ada Najib sudah membayar denda itu atau sebaliknya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas beliau pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, beliau turut gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu di peringkat Mahkamah Rayuan. – BERNAMA

Sabtu, 16 Julai 2022

Jho Low didakwa tawar RM1.5 bilion kepada kerajaan untuk selesai semua tuduhan

 

Menurut The Edge, kerajaan menolak tawaran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, yang turut berdepan tindakan saman daripada 1MDB dan empat anak syarikatnya. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, didakwa menawarkan kepada kerajaan RM1.5 bilion sebagai penyelesaian bagi pertuduhan mahkamah dikenakan terhadapnya.

Menurut The Edge yang memetik sumber, cadangan itu dirunding dengan Putrajaya melalui bekas peguam negara, Apandi Ali.

Bagaimanapun, kerajaan menolak cadangan terbabit.

Jho Low dituduh menggelapkan wang daripada 1MDB, kini berdepan saman USD3.78 bilion (hampir RM15.85 bilion) difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Dipercayai, Jho Low menggunakan khidmat Apandi mewakilinya dalam perundingan dengan kerajaan.

Bagaimanapun, Apandi tidak memberi maklum balas kepada The Edge berhubung dakwaan itu.

Apandi dilantik sebagai peguam negara, pada 2015, di bawah pemerintahan Najib Razak, sebelum khidmatnya ditamatkan, pada Jun 2018, susulan peralihan kuasa kerajaan pusat kepada Pakatan Harapan.

Beliau menyaman Putrajaya sebanyak RM2.23 juta berhubung penamatan khidmatnya dan pada Apr lalu, penyelesaian berhubung perkara itu dicapai.

Low dikatakan orang kepercayaan Najib, yang mana bekas perdana menteri itu disabit bersalah dalam perbicaraan SRC International dan sedang berdepan perbicaraan bagi lebih 25 pertuduhan berhubung dakwaan salah guna dana 1MDB.-FMT

Rabu, 16 Mac 2022

Laporan polis ke atas artikel alegasi hakim terlibat kes 1MDB, SRC


PUTRAJAYA – Satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia ke atas dua artikel berkaitan alegasi penglibatan seorang Hakim Mahkamah Rayuan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. (SDR).

Menurut kenyataan Istana Kehakiman, dua artikel tersebut bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac 2022.

 “Adalah dimaklumkan bahawa kenyataan yang disiarkan dalam artikel-artikel tersebut mengandungi beberapa perkara yang dipercayai akan menganggu gugat penjalanan pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara ini.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat ini agar siasatan dapat dijalankan di bawah seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 499 Kanun Keseksaan dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu penjalanan sesuatu kes yang sedang dibicarakan, sekali gus mengganggu-gugat pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara. – KOSMO! ONLINE

Jumaat, 7 Januari 2022

‘Saya curi tapi kamu, keluarga berbilion-bilion aset?’, Najib sindir Dr M berhubung dakwaan kes SRC

 

Najib Razak menyindir Dr Mahathir Mohamad dengan mempersoalkan sama ada anak beliau pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Ahli Parlimen Langkawi itu.

PETALING JAYA: Ketika masih berdepan kes mahkamah berkaitan 1MDB, Najib Razak hari ini tampil membidas dakwaan Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah mencuri dan tidak pernah didakwa kerana mencuri dan merompak.

“Saya tidak pernah didakwa mencuri atau merompak.

“Tak sama dengan kes (Lim) Guan Eng yang didakwa bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, iaitu meminta atau menerima suapan dan juga bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan – criminal misappropriation of property,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga didakwa bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu sekali lagi menegaskan, ia bukan untuk kegunaan peribadi.

“Bukan curi dan rompak sebab wang bukannya untuk kegunaan peribadi saya atau keluarga. Semasa menjatuhkan hukuman, hakim juga kata bahawa dana RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah.

“Jika saya curi dan rompak, apa yang saya beli dengan hasil curian ini untuk diri sendiri atau keluarga?” soalnya.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu mengekalkan keputusan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, iaitu SRC International Sdn bhd.

Sabitan dan hukuman bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling tinggi dalam negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir Mahathir dengan mempersoalkan sama ada anak-anak beliau pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Adakah saya memiliki ladang kuda, projek resort tepi pantai, sebahagian kepentingan dalam hotel mewah lima bintang ataupun syarikat perkhidmatan jet peribadi seperti kamu?

“Saya yang mencuri tapi kamu dan keluarga berbilion-bilion aset pula?” soal Najib.-FMT

Ahad, 28 November 2021

Najib buat laporan polis, minta siasat jika wujud persembunyian bukti kes 1MDB dan SRC


Najib buat laporan polis, minta siasat jika wujud persembunyian bukti kes 1MDB dan SRC
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas membuat laporan jika wujud persembunyian bukti material berhubung transaksi wang berkaitan 1MDB dan SRC International. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat jika wujud persembunyian bukti material berhubung transaksi wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.
Bekas Perdana Menteri itu turut memohon PDRM menjalankan siasatan terperinci berkaitan beberapa pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa beliau, sengaja menyembunyikan bukti berkaitan 1MDB
Najib turut mengakui kekecewaannya apabila beliau dan pasukan guamannya tidak dimaklumkan mengenai hubung kait atau urus niaga antara ahli keluarga terdekat seorang bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low
Najib namakan beberapa individu, tidak dedahkan kerana dalam siasatan
Dakwa Najib, tindakan pihak tertentu menyembunyikan fakta dan bukti tersebut menjejaskan usaha pembelaan beliau dalam kes mahkamah
Najib buat laporan polis dakwa bukti disembunyikan
"Kebanyakan rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) minggu lepas bahawa baki RM65 juta daripada dana dilaporkan dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB di bank akaun yang dikaitkan dengan keluarga terdekat bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) telah dikembalikan ke Malaysia oleh pihak berkuasa Singapura.
"Laporan media telah mengatakan bahawa sebanyak RM700 juta telah dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sejak tahun 2007 hingga tahun 2013.
"Tiada siapa yang boleh lebih kecewa daripada saya kerana tiada agensi penyiasatan yang pernah mendedahkan kepada saya tentang kaitan keluarga bekas Gabenor (tersebut) kepada Jho Low atau urusan mereka kerana saya telah mempercayainya (bekas Gabenor BNM itu) sepenuhnya semasa saya menjadi Perdana Menteri," jelasnya.
Najib berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan kekecewaannya apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengesahkan sedar akan urus niaga tersebut ketika masih memegang jawatan.
"Lebih mengecewakan lagi, pendedahan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dua hari lalu itu (bahawa) dia sedar tentang urus niaga tersebut ketika beliau memegang jawatan seperti dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar di Parlimen Isnin lalu.
"Bahawa polis telah mengetahui mengenai perkara ini sejak tahun 2019 di bawah rejim kerajaan Pakatan Harapan tetapi masih menyiasat sehingga kini hampir penghujung tahun 2021," dakwa Najib lagi.
Tambah Najib, maklumat terbabit tidak pernah dimaklumkan kepada beliau dan pasukan undang-undangnya untuk digunakan dalam pembelaannya di mahkamah berhubung kes 1MDB dan SRC International.
"Saya juga dimaklumkan bahawa seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam kes SRC saya juga telah menerima lebih daripada RM85 juta dana yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB dan sekali lagi saya dan pasukan undang-undang saya tidak diberitahu tentang perkara ini walaupun individu memainkan peranan penting dalam kes SRC.
"Oleh itu, saya membuat laporan untuk meminta polis menyiasat jika terdapat percubaan yang disengajakan untuk disembunyikan bukti material daripada saya dan semua rakyat Malaysia oleh individu penting di Pejabat Peguam Negara dan SPRM yang dilantik semasa pentadbiran Pakatan Harapan," jelasnya lagi.
-AstroAwani

Jumaat, 11 Jun 2021

PENJELASAN NAJIB MENGENAI KE MANA PERGINYA WANG RM4 BILION KWAP

 


Berikut merupakan penjelasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai dana RM4 bilion KWAP yang kerap dijadikan sebagai modal politik oleh Pakatan Harapan untuk memfitnahnya selama ini.

Penjelasan mudah, jika masih lagi ada pihak yang memainkan isu basi ini sedangkan kes ini sedang dibicarakan di mahkamah walaupun tanpa kehadiran saksi utamanya iaitu Jho Low dan Nik Faisal, maka bolehlah meminta mereka yang “tahu fakta” ini tampil menjadi saksi bagi pihak pendakwaan.

Bolehlah mereka kemukakan ‘bukti’ tersebut di mahkamah kelak namun perlu diingatkan, mereka akan berdepan dengan barisan peguam bela yang pasti akan menyoal balas untuk mencari kebenaran.

Sedikit nasihat, kalau boleh elakkanlah bukti yang hanya berdasarkan dengar-dengar atau ‘hearsay‘ dan hanya agak-agak atau ‘assumption‘, seperti yang selalu diberikan oleh saksi-saksi sebelum ini.

Perkara ini hanya akan memalukan diri sendiri jika tidak bersedia dengan fakta-fakta solid dan bukannya ‘level‘ hebahan dan makluman di media sosial sahaja.

Justeru penjelasan penuh Datuk Seri Najib boleh dirujuk dan siapa yang tidak mempercayainya digesa membandingkan dengan ‘bukti’ yang mereka ada termasuk menyemak sumbernya. Berikut merupakan penjelasan beliau;

Antara propaganda yang sering digunakan atas saya ialah “Najib rompak RM4 bilion duit pencen KWAP dan negara terbeban dengan hutang SRC”.

Tetapi Hakim dalam kes ini tidak beritahu ke mana dana itu pergi dan bagaimana wang RM4 bilion itu dicuri Najib.

Bukan hakim sahaja tetapi Peguam Negara dan pihak pendakwaan juga tidak tahu apa terjadi dengan RM4 bilion itu sebab Peguam Negara akui dalam mahkamah belum buat checking walaupun dia sudah lama dakwa saya.

Bukan itu sahaja tetapi kedua-dua Menteri Kewangan PH dan PN tidak pernah beritahu rakyat Malaysia apa terjadi dengan dana tersebut dan apakah usaha untuk dapatkan kembali dana tersebut.

Seperti dalam penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi kes SRC, “wang itu telah dipindah ke Switzerland lalu dibeku”.

Namun, kerajaan Switerland sudah dua kali sahkan saya tidak terlibat dalam kes ini sebelum dan selepas PRU-14.

Berikut antara laporannya dan ia sahih.

“Feb 2016 – Swiss AG: Najib not a suspect in our 1MDB probe”. Rujuk pautan;

https://www.malaysiakini.com/news/329024

“July 2018: Najib not under investigation in Swiss 1MDB probe”. Rujuk pautan;

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/07/389372/najib-not-under-investigation-swiss-1mdb-probe

Pada tahun-tahun sebelum PRU-14, satu langkah yang diusahakan oleh penjawat awam Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan II sudahpun diluluskan oleh saya untuk mendapatkan semula dana tersebut.

Ini turut disahkan oleh saksi pendakwaan dalam mahkamah.

Berikut petikan keterangan dalam mahkamah:

Shafee: Are you not satisfied that the MoF office from the Minister of Finance right up to the deputy. They were doing their best to recover the money. Are you now satisfied?

Ahmad Husni: Based on the effort as you mentioned, yes. They are trying to do their job.

“28 April 2021: SRC appeal: There was a plan to retrieve RM3.6b frozen SRC funds in Switzerland, says defence”. Rujuk pautan;

https://www.theedgemarkets.com/article/src-appeal-there-was-plan-retrieve-rm36b-frozen-src-funds-switzerland-says-defence

Ketika dipindahkan oleh SRC ke Switzerland untuk pelaburan dengan sebuah bank, dana itu bernilai RM3.6 bilion (atau US$1.2 bilion ketika itu).

Pemindahan itu disahkan oleh seluruh Ahli Lembaga Pengarah SRC yang pernah melawat ke Switzerland.

“Ahli Lembaga Pengarah SRC lawat sebuah bank di Switzerland: Saksi”. Rujuk pautan;

https://www.sinarharian.com.my/article/31894/BERITA/Mahkamah/Ahli-Lembaga-Pengarah-SRC-lawat-sebuah-bank-di-Switzerland-Saksi

Seperti laporan-laporan duit SRC, pelaburan di Switzerland itu turut memberi pulangan.

Dengan pulangan ini, SRC melantik sebuah syarikat untuk membuat kerja CSR dan kebajikan untuk rakyat.

“Ihsan Perdana was appointed to implement corporate social responsibility (CSR) programmes for SRC over a period of two years from Sept 3, 2014, with a grant of RM250 million. In return, the firm was required to provide in detail receipts and utilisation of the grants every year and provide CSR reports. Rujuk pautan;

https://www.theedgemarkets.com/article/july-28-fixed-case-management-src-civil-suits

Inilah syarikat yang memasukkan dana RM42 juta itu ke akaun atas nama saya tanpa pengetahuan saya.

Kedua-dua pengurus itupun kata dia tidak tahu nombor akaun itu adalah milik saya dan telah meminta maaf kepada saya. Rujuk pautan;

https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10157853180720952

Jadi, jika pemilik akaun dan juga bossnya yang masukkan duit RM42 juta itu tidak tahu sumber duit sebenarnya daripada SRC dan tidak tahu akaun yang dimasukkan itu adalah akaun atas nama saya, bagaimana pula saya akan tahu?

Ya, saya didakwa terlibat dalam jaminan kerajaan (bukan saya yang arah, suruh, cadang) diluluskan kabinet pada tahun 2011.

Kenapa pulak saya kena tunggu 4 tahun kemudian (dan perlu menang PRU-13 serta pemilihan parti UMNO terlebih dahulu) untuk “curi” RM42 juta (1 peratus daripada RM4b itu) yang dibayar melalui 3 kali ansuran antara tahun 2014 hingga 2015? Pelik bukan?

Akhirnya, saya tidak didakwa “curi” wang tersebut tetapi hakim Mahkamah Tinggi (yang tiba-tiba dipindah dari mahkamah sivil untuk ganti hakim kes saya setelah perbicaraan telah bermula) berkata ia bukan hak saya untuk sedekahkan RM42 juta tersebut.
“Duit RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah, kata hakim”. Rujuk pautan;

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/271571

Tetapi persoalannya ialah selepas dibeku oleh kerajaan Switzerland, iaitu setelah orang kuat Mahathir pergi ke sana untuk membuat laporan, tiada siapa tahu apa terjadi dengan dana RM3.6 bilion tersebut dan tiada siapa daripada kerajaan PH dan PN pernah beritahu apa usaha untuk mengembalikannya.

Seolah-olah kerajaan PH dan PN tidak berapa minat untuk mengambil balik dana tersebut daripada kerajaan Switzerland. Begitu besar jumlah itu.

Kenapa? Sebab masa dana RM3.6 bilion itu dipindah dan ditukar kepada US Dollar pada kadar FOREX masa itu, ia bernilai US$1.2 bilion.

Tetapi jika dikembalikan sekarang, ia akan bernilai RM5 bilion. Itupun belum ambil kira faedah dan pulangan bagi dana tersebut.

Takkan Najib curi RM4 bilion duit pencen tetapi yang dikembalikan pula ialah RM5 bilion? Dan kenapa Najib tidak ambik RM4 bilion tetapi RM42 juta sahaja?

Ini seperti kes perjanjian penyelesaian dengan syarikat IPIC dibuat antara kerajaan Abu Dhabi dan Malaysia pada tahun 2017 bawah BN di mana deadline 31 Disember 2020 untuk kembalikan dana 1MDB sebanyak US$7 bilion yang sudah dipindah dan dijamin negara itu.

IPIC ialah sebahagian syarikat Mubadala milik kerajaan Abu Dhabi yang bernilai US$232 bilion (hampir RM1 trilion) dan sudah tentu mampu untuk memulangkan US$7 bilion jika kita berunding dengan baik seperti ditetapkan dalam perjanjian penyelesaian. Rujuk pautan;

https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-01-07/abu-dhabi-crisis-dealmaker-mubadala-to-crack-wealth-fund-top-10

Tetapi yang peliknya ialah deadline untuk perjanjian penyelesaian antara dua buah negara yang bernilai lebih RM30 bilion sudah 6 bulan terlepas begitu sahaja tetapi kerajaan PN (dan juga semua pemimpin dalam kerajaan PH) seolah-olah tidak mahu ambil tahu. Jumlah ini juga begitu besar.

Kenapa ya?

Sebab jika dipulangkan maka (ini membuktikan) Najib memang telah berusaha untuk menyelesaikan masalah dan tidak rompak duit tersebut. Dan mengesahkan bahawa dana itu semua ada dan tidak dicuri. Dan sudah tentu jika mereka berusaha, akan terbukti bahawa apa yang diungkapkan mereka selama ini adalah fitnah.

Tetapi tidak mengapalah. Kes 1MDB masih berjalan.

Kes SRC pula sudah selesai rayuan hampir sebulan tetapi hakim-hakim mahkamah rayuan kata mereka belum sedia memberi keputusan namun barisan peguam saya telah buat sebaiknya dan In sha Allah, saya yakin saya akan berjaya membersihkan nama saya.

“18 Mei 2021: Rayuan Najib dalam kes SRC selesai, Mahkamah Rayuan tangguh keputusan”. Rujuk pautan;

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rayuan-najib-dalam-kes-src-selesai-mahkamah-rayuan-tangguh-keputusan-298613

Kesimpulannya, cukup-cukuplah membuat fitnah kerana apa yang berlaku sejak Barisan Nasional tumbang sehingga ke hari ini satu persatu pembalasan Allah Taala boleh dilihat.

Pembodohan yang berlaku di Zaman Pakatan Harapan berterusan sehingga pemerintahan Perikatan Nasional dan boleh dilihat serta dirasai sendiri oleh rakyat di negara ini. Itulah kesan fitnah yang memeningkan kepada pemfitnahnya sehingga kini.

Wallahualam. 

-editormalaysia.com