"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Saman Fitnah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Saman Fitnah. Papar semua catatan

Khamis, 22 Disember 2022

Pertuduhan jenayah terhadap saya adalah konspirasi politik dirancang - Anwar

 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto ASWADI ALIAS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan pada Isnin lalu, terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ia adalah dendam keji yang dilakukan untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.

Menurut Anwar, beliau adalah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sebelum 2 September 1998 dan mempunyai rekod prestasi sempurna sebagai orang yang memegang jawatan awam kedua tertinggi selain disenaraikan sebagai satu daripada empat menteri kewangan teratas oleh Euromoney dan dinamakan sebagai Menteri Kewangan terbaik pada 1996 oleh Asiamoney.

 Namun, saya telah disingkirkan dari kedua-dua jawatan awam oleh pihak yang berkuasa pada 1998. Bagi merosakkan reputasi serta imej, saya telah didakwa dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali.

Sebelum dipecat, saya dengan bersunguh-sungguh dan tanpa henti mengekalkan pendirian tidak bersalah dan menegaskan bahawa semua pertuduhan jenayah terhadap saya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang," katanya.

Anwar, 75, selaku plaintif berkata demikian menerusi pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan dalam samannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah "Jelajah PN Best Tambun".

Menurut Anwar, atas sebab itulah, Yang di-Pertuan Agong menganggap dan melihat adalah wajar untuk mengampuni beliau pada 16 Mei 2018 bagi memulihkan imej dan reputasinya.

Katanya, tujuan utama dan kesan titah Seri Paduka untuk memerintahkan Pengampunan Diraja adalah untuk memadamkan sepenuhnya dan secara muktamad semua atau mana-mana keburukan terhadapnya berkenaan kesalahan jenayah yang disabitkan.

Walaupun defendan (Muhammad Sanusi) mempunyai pengetahuan penuh berkenaan perkara ini, beliau telah secara melulu tanpa mengambil kira kesan dan akibat Pengampunan Diraja oleh Seri Paduka, telah memfitnah saya," kata Anwar.

Pada 13 Disember lalu, Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Sementara itu, peguam Datuk S N Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama hari ini berkata saman terpinda itu sudah diserahkan kepada peguam defendan dari Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, petang tadi. – BERNAMA

Khamis, 3 Februari 2022

Najib diarah fail pembelaan terhadap saman fitnah dikemuka Dr Dzulkefly

 

Dr Dzulkefly Ahmad telah menghantar notis tuntutan melalui peguamnya kepada Najib Razak, pada Jan tahun lalu.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak diarahkan menfailkan pembelaannya pada 17 Feb, berikutan saman fitnah difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut laporan The Edge Market, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi mengarahkan peguam Dzulkelfy daripada Tetuan Farida & Company untuk memfailkan hujahan balas terhadap penyataan pembelaan Najib menjelang Mac, ketika mengumumkan pengurusan kes berkenaan hari ini.

Beliau juga menetapkan 4 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya.

Hari ini, portal itu melaporkan Dzulkefly telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM5 juta terhadap Najib.

Saman itu difailkan berhubung catatan Najib di Facebooknya yang mendakwa bekas menteri kesihatan itu mengamalkan nepotisme membabitkan anak perempuannya, Nurul Iman, yang dilantik sebagai ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pada 2019.

Dzulkefly, dalam penyata tuntutannya yang dilihat portal berita itu, mendakwa bekas perdana menteri itu memfitnahnya dengan dakwaan dibuat dalam catatan Facebook bertarikh 24 Ogos 2020 dan Dzulkefly memaklumkan, ia dilaporkan oleh akhbar harian berbahasa Melayu.

Walaupun Ahli Parlimen Kuala Selangor itu telah menafikan dakwaan nepotisme yang menurutnya dilaporkan secara meluas oleh media, beliau berkata, catatan itu belum dipadamkan dalam Facebook Najib, setakat Nov 2021.

Dzulkefly berkata, beliau telah menghantar notis tuntutan melalui peguamnya kepada Najib pada Jan tahun lalu dan kemudiannya dijawab oleh wakil perundangan bagi pihak Najib pada Feb, menjelaskan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu tidak melakukan apa-apa kesalahan, yang mana menyebabkan saman fitnah itu dikemukakan.

Dzulkefly juga mendakwa pelantikan Nurul dibuat sebelum beliau menjadi menteri kesihatan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan anaknya dilantik semula atau dikekalkan bagi jawatan dalam organisasi kredit mikro itu, awal tahun lalu.

“Najib dengan berniat jahat untuk memfitnah dengan membuat dakwaan tanpa pengesahan, menyebabkan hantaran itu dikongsi 970 kali oleh pengikutnya.

“Siaran Facebook itu disunting enam kali selepas itu dan ini menunjukkan bahawa beliau merancang menerbitkan artikel itu untuk memfitnah saya,” kata Dzulkelfly dalam penyataan tuntutannya.-FMT

Isnin, 3 Mei 2021

Mohon maaf dalam 7 hari atau hadap saman RM10 juta, bekas KPN beritahu Dr M

 

Khalid Abu Bakar mengarahkan firma guaman menghantar notis tuntutan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 22 April lalu.

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, memberi Dr Mahathir Mohamad tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang berunsur fitnah bulan lalu.

Khalid turut menuntut bekas perdana menteri itu menarik balik kenyataan disiarkan sebuah portal berita yang disifatkan tidak benar dan menjejaskan reputasi serta maruahnya selaku bekas KPN.

“Saya beri Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya,” Khalid dipetik sebagai berkata oleh portal PNBBC.

“Jika gagal saya akan arahkan peguam saya meneruskan tindakan saman kerana memfitnah.”

Kenyataan Mahathir yang disiarkan portal berita itu pada 16 April lalu bertajuk “Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib”.

Antara kandungannya yang didakwa memfitnah Khalid adalah “Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Ketua Polis Negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad”.

“Perdana Menteri ketujuh itu mendedahkan demikian sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat kerajaan itu masih menjadi Gabenor Bank Negara.”

Khalid mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda menghantar notis tuntutan kepada Mahathir pada 22 April lalu bagi menuntut beliau membuat permohonan maaf terbuka secara bertulis dalam portal berita itu dan media sosialnya seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji tidak mengulangi kenyataan sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran, serta menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah.

Sekiranya gagal memenuhi segala tuntutan ini, Mahathir akan berdepan saman RM10 juta.- FMT

Rabu, 14 April 2021

Guan Eng mahu ‘jutaan ringgit’ daripada penulis blog sebagai ganti rugi dakwaan rasuah

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada Lim Guan Eng pada 25 Mei ini, yang memperoleh penghakiman ingkar terhadap Raja Petra Kamarudin.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, hari ini menetapkan 25 Mei untuk memberikan keputusan mengenai jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut negeri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Arief Emran Arifin menetapkan tarikh keputusan itu yang akan disampaikan melalui aplikasi Zoom, selepas mendengar keterangan dan hujah Lim dari peguamnya, Simon Murali.

Lim sebelum ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap Raja Petra tahun lalu selepas penulis blog tersebut gagal memasukkan kehadiran di mahkamah.

Pasukan perundangannya juga membuat permohonan kepada mahkamah untuk serahan ganti notis saman yang diiklankan Lim di tiga akhbar pada 10 Feb tahun lalu. Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman itu menyebabkan Lim memfailkan penghakiman ingkar.

Arief juga mengarahkan Simon untuk memfailkan permohonan tambahan mengikut kelaziman dalam ganti rugi mahkamah membabitkan kes fitnah.

“Saya boleh berikan amaun yang munasabah, dengan mempertimbangkan dia (Lim) adalah bekas menteri kewangan dan ketua menteri dan sejauh mana penerbitan (kenyataan fitnah itu),” katanya.

Terdahulu, Arief bertanya kepada Lim jumlah ganti rugi yang dituntut daripada Raja Petra.

“Sekurang-kurangnya RM10 juta untuk setiap artikel,” kata Lim, sambil menambah Raja Petra menerbitkan 10 artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut itu.

Ini mendorong Arief berkata: “Itu banyak, Tuan Lim.”

Arief: Sejauh mana reputasi anda tercemar?

Lim: Tidak terkira. Tetapi terserah kepada mahkamah untuk memutuskan jumlahnya.

Pada 6 Sept 2019, Lim menuntut ganti rugi, permohonan maaf di muka hadapan dan injunksi bagi menghalang Raja Petra daripada mengulangi dakwaan itu yang terkandung dalam satu siri artikel bertajuk “From the MACC Files” yang diterbitkan pada 24 Feb dan 15 Mac tahun yang sama.

Dalam penyataan tuntutannya, Lim menuntut ganti rugi teladan atas hujahan bahawa Raja Petra “mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca artikel terbabit yang ramai” dan keuntungan itu mungkin lebih banyak daripada “jumlah ganti rugi” yang mungkin dianugerahkan kepadanya.

Peguam Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog itu yang diketahui di Sungai Buloh, namun gagal.-FMT

Rabu, 7 April 2021

Fitnah KSU: Sabahkini2 berdepan tindakan


Tangkap layar artikel berbaur fitnah yang disiarkan di blog Sabahkini2.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blog Sabahkini2 susulan fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Isham Ishak.

Kenyataan berunsur fitnah itu merujuk kepada artikel dimuat naik Sabahkini2 bertajuk, ‘Dulu di MOTAC disiasat SPRM kini di MOT KSU buat Runding Terus KTMB’ untuk kroni?’ yang diterbitkan blog tersebut baru-baru ini.

MOT menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan lanjut seterusnya termasuk mengheret mana-mana pihak yang sengaja menyebar fitnah ke muka pengadilan.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat terhadap blog Sabahkini2 untuk tindakan susulan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa pihak yang meluluskan perolehan secara rundingan terus bagi projek KTMB itu adalah Kementerian Kewangan dan bukannya kementerian pelaksana.

“Malah, perolehan secara rundingan terus ini juga adalah mengikut pekeliling dan garis panduan ditetapkan iaitu PK7.15 – Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus,” katanya.

Katanya, iklan tender bagi Perolehan 10 Set Electric Train Set (ETS) Baharu telah dipamer pada 23 Januari 2020.

Namun, selepas tutup tempoh tender, hanya tiga petender yang mengemukakan cadangan dan Laporan Penilaian Tender telah dibentangkan kepada Lembaga Perolehan pada 23 Jun 2020.

Bagaimanapun, katanya, kesemua petender tidak mencapai markah lulus bagi penilaian kewangan dan teknikal kerana tidak mencapai kriteria-kriteria yang ditetapkan di dalam dokumen tender. K! ONLINE

Jumaat, 25 Disember 2020

Fitnah:Hj Joe bincang tindakan terhadap Siti Kasim


Hj Joe yang menjadi mangsa gambar disunting dan dikaitkan dengan ‘Kempen Basmi Janda’ sedang berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Kasim.

Hj. Joe berkata, ramai peguam telah menghubungi dirinya untuk menawakan perkhidmatan bagi menyaman Siti Kasim selepas aktivis tersebut berkongsi gambar beliau yang disunting sedang memegang sepanduk bertulis ‘Kempen Basmi Janda’.

“Saya sedang berbincang dengan peguam saya untuk tindakan seterusnya. Semoga saya diberi petunjuk oleh Allah dalam menyelesaikannya,” kata Hj. Joe di Facebooknya sebentar tadi.

Menurut beliau, pada mulanya dia hanya beranggapan apa yang dikongsi oleh Siti Kasim di media sosialnya hanyalah satu guruan selepas beberapa rakannya menghubungi untuk bertanya kebenaran perkongsian yang dilakukan oleh Siti Kasim.

Hj Joe berkata, pada waktu itu dia sedang memandu dan hanya mengiyakan bahawa gambar yang dikongsi oleh Siti Kasim adalah wajahnya namun foto tersebut telah disunting.

Bagaimanapun keadaan menjadi tidak terkawal selepas anak, isteri dan saudara maranya turut menghubungi  bertanyakan perkara yang sama.

“Saya anggap ia adalah gurauan di Facebook. Tanpa membaca apa yang ditulis oleh beliau. Malas nak layan. Lagipun saya tengah memandu.

“Anak sulung saya menghubungi saya mengatakan ramai kawan-kawannya menghubungi beliau dan bertanyakan hal yang sama.

“Kemudian di WhatsApp isteri saya, bertalu-talu WhatsApp daripada kawan-kawannya menanyakan hal yang sama.

“Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Bertalu-talu menanyakan hal yang sama,” kata Hj. Joe.

Tidak sedap hati dengan kejadian itu dia kemudiannya memberhentikan kenderaan untuk membaca hantaran yang dibuat oleh Siti Kasim.

Hj. Joe berkata, dia berasa diri dan keluarganya telah diaibkan selepas dia melihat apa yang ditulis oleh Siti Kasim dan membaca komen-komen dalam hantaran tersebut.

“Saya “screenshot” tulisan dan komen dalam hantaran tersebut.

“Saya hubungi Siti Kasim melalui mesengger beliau dan mohon beliau padamkan hantaran tersebut. Tidak berjawab.

“Kemudian saya tulis hantaran di facebook menawarkan peguam untuk mewakili saya untuk menyaman Siti Kasim. Bertalu-talu peguam menawarkan diri. Siti Kasim ada menjawab keesokan harinya di mesengger,” kata Hj. Joe.

 Pada 22 Disember lalu, Siti Kasim telah berkongsi gambar Hj. Joe sedang memegang sepanduk yang bertulis ‘Kempen Basmi Janda’ dengan logo seorang lelaki dewasa memegang tangan tiga orang kanan-kanak bersama dua wanita dewasa.

Gambar asli adalah foto Hj Joe sedang memegang sepanduk bertulis ‘Jangan Zalimi Felda’.

Dalam hantaran asal yang telah dipadam namun sempat ditangkap layar itu, Siti Kasim telah membuat kritikan.

“Bukan nak cakap apalah kan… aku ingat janda pon tak nak muka-muka lahabau ni. Haha… dia orang ingat janda sekarang desperate ke or janda aka kelas mata dia orang buta ker… hahaha.

“Bodow punya jantan-jantan Melayu… tak ada mende lain dia orang nak pikir kan? Sengal,” kata Siti Kasim.

Bagaimanapun selepas menyedari kesilapannya, Siti Kasim meminta maaf secara terbuka kepada Hj Joe hari ini melalui Facebooknya.

Menurut Siti Kasim, dia telah mengambil gambar itu dari ciapan seorang pengguna di Twitter tanpa memeriksa keaslian foto tersebut.

“Saya dengan tulus ikhlas, meminta maaf kepada Hj Joe atas pengeposan yang saya buat dua hari yang lalu berkenaan ‘Selamatkan Janda’.


“Apabila beliau memberitahu saya bahawa gambar tersebut telah diedit, saya menurun gambar tersebut dengan serta-merta.

“Saya tidak ada keraguan untuk meminta maaf sekiranya saya melakukan kesilapan,” kata Siti Kasim.

Menurut Siti Kasmi dia sendiri telah menjadi mangsa oleh pihak tertentu yang telah menyunting gambarnya dan telah dipanggil dengan pelbagai nama.

“Saya hanya manusia biasa dan saya membuat kesilapan dengan tidak memeriksa kebenaran foto tersebut.

“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada Hj Joe dengan kesilapan saya,” kata Siti Kasim. – SM






Sumber: https://cin-ca.blogspot.com/

Sabtu, 14 November 2020

YB Ahmad Fadhli Bin Shaari buat report polis facebooker kaki fitnah

 


Saya tidak tahu apa jawatan pengguna akaun FB ini, tetapi melihat kepada 'kerosakan' yang saya terpaksa tanggung dan komentar-komentar dalam posting tersebut, saya masukkan juga dalam laporan polis petang ini dan mengarahkan peguam saya mengambil tindakan lanjut.

Mohon maklumat dari rakan-rakan jika ada lagi pengguna FB yang memuat naik poster ini. Terima kasih. 😊

Rabu, 21 Oktober 2020

MB Kedah Saman Fitnah 4 Individu termasuk Mahfuz Omar, cybertropper PH Berkaitan Tuduhan Pembelian Vellfire

 


ALOR SETAR –
 Menteri Besar Kedah, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor telah melantik beberapa peguam bagi memfailkan saman fitnah terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang serta individu yang telah melontarkan fitnah terhadap beliau berkaitan dengan tuduhan pembelian kereta Vellfire yang tular di media sosial.

“Orang politik nak mendidik orang ramai perlu mendidik dengan fakta, asasnya mesti kebenaran, tidak boleh menimbulkan kekeliruan atas faktor yang tidak benar, menimbulkan kebencian, salah faham serta membina persepsi buruk terhadap orang lain atas fakta yang tidak benar.

“Sebab itu lah, tidak hairan berlaku generasi baru anak muda tidak lagi berminat dengan politik.

Mereka membuat kecaman-kecaman, kerana orang politik sekarang ini tidak lagi bersandarkan kepada fakta untuk menghalalkan matlamat mereka dengan membuat fitnah atau tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” ujar beliau ketika sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurut beliau, jika keadaan ini berterusan sektor politik akan menjadi sektor yang paling terkebelakang untuk diambil peduli.

“Saya harap dengan tindakan mahkamah terhadap isu vellfire ini akan memberi kesedaran bahawa cakap mesti berfakta, tuduhan mesti diselidik.

“Jangan ambil berita daripada orang yang fasik, orang-orang yang tidak boleh dipercayai untuk membina pandangan dan pendirian orang ramai,” ujar beliau lagi.

Baru-baru ini SADA telah membuat pencerahan berkaitan pembelian kereta vellfire di media sosial. Pengarah SPRM Dato' Hj Shaharom Nizam Abd Manap dalam 1 kenyataan kepada RTM, juga mengesahkan tiada kesalahan dikesan berkaitan isu pembelian sebuah kereta mewah oleh Syarikat SADA. Beberapa pegawai SPRM telah hadir ke SADA untuk menjalankan siasatan dan tiada isu dibawah akta yang berkaitan dikesan.

'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'

-mindarakyat