"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Bersatu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bersatu. Papar semua catatan

Khamis, 11 Jun 2026

Minda Presiden:Hadi Awang dedah 'perangai' Bersatu

 

PAS mendedahkan beberapa punca yang didakwa menjadi sebab kepimpinan pusat parti itu mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan PAS.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Bersatu dan parti lain sebelum ini adalah bagi mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun (SD).

Menurut beliau, langkah itu melalui proses yang betul dan bukannya menerusi apa yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton yang bersifat singkat, sebelum diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu.

Katanya, apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, tujuan asal demi perpaduan umat didakwa telah berubah kepada usaha menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam,  tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai teras pemerintahan dan dominasi Melayu bumiputera.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam.

“Seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi penulisan Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) secara rakus tanpa mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah keahlian, selain didakwa memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai jumlah ahli serta kekuatan jentera parti itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ahli PAS yang bekerja secara sukarela terpaksa bertindak seperti buruh paksa bagi membantu calon-calon yang didakwa tidak mempunyai kelayakan dan jentera sendiri.

“Malah, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh PAS telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.

Beliau turut mengimbau episod kejatuhan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menyaksikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengisi jawatan berkenaan.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.

“Langkah oportunis pemimpinnya mengganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS sebelum ini telah berusaha melakukan pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang disifatkan lemah serta menegur sikap yang dianggap tidak wajar menerusi mesyuarat, pertemuan khusus dan perbincangan secara peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya PAS tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip serta meneruskan perjuangan secara istiqamah, khususnya dalam menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk.

“PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan parti Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain. Sehinggakan, PAS terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi.

“Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada PAS sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

“PAS juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada PAS,” katanya. – UTUSAN

Isnin, 8 Jun 2026

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT berkaitan KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

 KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut:

i. Memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah;

ii. Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa;

iii. Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU;

iv. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16; dan

v. Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 22 Zulhijjah 1447 / 8 Jun 2026

Source 

Ahad, 24 Mei 2026

Siri Pengkhianatan PAS:Dari UMNO,DAP,PKR hingga BERSATU

 

Ramai duk bawak cherita versi PAS mengkhianati semua gabungan yang disertainya. Setiap cherita akan ada sekurang-kurangnya dua naratif yang berbeza. Oleh sebab ramai dah share naratif PAS MENGKHIANATI, kita bawak pula cherita bersi PAS DIKHIANATI:

1) PAKATAN RAKYAT

-Isu suara akar umbi PAS tak dilayan oleh PKR/DAP di beberapa negeri dalam hal pentadbiran negeri

-PKR/DAP sailang jawatan-jawatan dalam negeri, menyisihkan PAS

-DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS (isu RUU Hudud Kelantan), tapi masih mahu bekerjasama dengan pemimpin PAS yang lain (G18)

-Muktamar PAS respon dengan memutuskan hubungan dengan DAP

-Kumpulan G18 dalam PAS keluar parti, tubuh AMANAH

-PKR pula putuskan hubungan dengan PAS

-Pakatan Rakyat terbubar.

(DAP dan PKR yang khianati PAS)

2) GAGASAN SEJAHTERA 

-Tiada isu

-rakan gabungan tewas dalam PRU14

(Tak tau jadi apa)

3) MUAFAKAT NASIONAL 

- PAS mahu penyatuan ummah

- dimulakan dengan PAS dan UMNO

- menjemput BERSATU, sama-sama tandatangan

- UMNO tidak mahu berkawan dengan BERSATU

- BERSATU menubuh Perikatan Nasional 

- PAS ajak UMNO bersama-sama dalam Perikatan Nasional untuk PRU15

- UMNO enggan, sebab BERSATU jadi ketua 

- UMNO/BN go solo. MN terbarai.

- UMNO/BN join Kerajaan Madani (komplot Cikgu/Murid)

(UMNO kata PAS khianat MN, PAS kata UMNO yang khianat MN)

4) PERIKATAN NASIONAL 

- beberapa pemimpin BERSATU hadapi tuduhan mahkamah

- krisis dalaman BERSATU: Hamzah vs Muhyiddin

- isu Perlis: SD tolak MB, MB PAS letak jawatan

- pemecatan Hamzah daripada BERSATU

- isu N9: Tarik SD tanpa berbincang

- BERSATU reject permohonan Berjasa, Pejuang, Reset, Kuasa dan Perkasa untuk join PN

- Presiden PAS mahu kaji hubungan dengan BERSATU

- On going... (status terkini: PAS menguasai PN)

Jika ada naratif lain, boleh cheritakan di ruangan komen.

Source 

Rabu, 24 Julai 2024

Isu PN mahu guling kerajaan Pahang sengaja dicetus, kata pemimpin

Bersatu Pahang berkata tiada perbincangan dibuat antara pemimpin PN dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu.


 Pemimpin PN Pahang Mohd Yazid Mohd Yunus dan Andansura Rabu tidak mengetahui ada pertemuan wakil gabungan itu dengan Adun Peramu Nizar Najib.

PETALING JAYA
Isu pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Adun Peramu Nizar Najib untuk menggulingkan kerajaan Pahang sengaja dicetuskan pihak tertentu bagi menjejaskan reputasi gabungan itu menjelang PRK Nenggiri bulan depan.

Timbalan ketua Bersatu Pahang yang juga Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung khabar angin konon pertemuan itu diadakan.

Katanya, tiada perbincangan rasmi dibuat antara pemimpin PN Pahang dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Saya tidak pasti pula (bagaimana cerita itu boleh timbul). Cerita sebegini tiba-tiba timbul mungkin PRK Nenggiri sudah dekat,

 katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada FMT.

Semalam, Nizar menafikan beliau berjumpa pemimpin pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Wan Rosdy.

Katanya, mustahil untuknya berkomplot mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya bersama ahli parti sejak ia ditubuhkan pada 1946.

Terdahulu tular satu hantaran di media sosial yang mengatakan kerajaan Pahang sedang goyah dan akan membentuk pentadbiran baharu.

Hantaran itu mengaitkan ‘anak Bossku’ yang dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PN.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, juga memaklumkan isu tersebut tiada dalam pengetahuannya.

Saya tidak ada maklumat tentang ini (perbincangan gulingkan kerajaan Pahang), jadi saya tidak mahu mengulas lanjut,

 kata Adun Beserah.-FMT

Khamis, 4 Julai 2024

PRK Nenggiri: Bersatu pilih anak Gua Musang sebagai calon

 

Kamarudin
Kamarudin

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kamarudin Md Nor mengesahkan kesemua tiga nama yang dihantar untuk menjadi calon wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah anak kelahiran Gua Musang.

Beliau berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRK 17 Ogos ini.

"Kesemua calon itu mempunyai latar bekalang yang baik dan mampu menepati cita rasa rakyat Nenggiri.

"Dua calon itu adalah bekas kakitangan awam dan seorang lagi pemimpin setempat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan oleh kepimpinan parti tidak lama lagi.

Ujarnya, beliau telah selesai menyerahkan nama-nama calon pada dua hari lalu untuk dinilai.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.

-SH Online 

Simpati nasib Najib, Noh Omar masuk Bersatu

 freemalaysiatoday.com

Mohamad Fadli
-04 Jul 2024, 06:36 PM

Noh Omar berkata Najib Razak sebelum ini pernah menasihatkan supaya kekal dalam Umno dan tidak sertai mana-mana parti.
Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar menyertai Bersatu semalam.

PETALING JAYA: Noh Omar mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.

Dalam video kepada FMT, bekas ketua Umno Selangor berkata beliau memohon menjadi ahli Bersatu semalam secara dalam talian dan terus diterima.

Dakwanya, antara faktor beliau menyertai Bersatu termasuk simpati terhadap nasib dan perkembangan dalam kes bekas perdana menteri, Najib Razak.

Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan bekas presiden Umno itu memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah.

“Disebabkan rayuan Najib tidak berjaya maka ambil keputusan untuk sertai Bersatu secara online semalam.

“Saya sebelum ini beberapa kali berjumpa dengan ‘Bosku’ di mahkamah dan pesan ‘kamu kena sabar, jangan masuk mana-mana parti dan bertenang Insya-Allah perjuangan kita berjaya’,” katanya.

Noh pernah menganggotai Kabinet di zaman pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan Ismail Sabri Yaakob.

Antara portfolio dipegangnya termasuk kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan serta pertanian dan industri asas tani.

Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal itu digugurkan daripada kerusi itu pada PRU15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau antara individu disebut-sebut bakal dipertaruhkan PN jika berlaku PRK di kerusi terbabit susulan permohonan Bersatu mengosongkannya.

Ini selepas penyandangnya Dr Zulkafperi Hanapi terlucut keahlian Bersatu kerana gagal mematuhi arahan parti dengan terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Rabu, 3 Julai 2024

6 penentang Bersatu yakin tiada PRK

 Bagaimanapun Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berkata mereka kekal sebagai wakil rakyat bebas dan hanya akan menyertai parti baharu selepas tamat penggal PRU15.



Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman minta semua pihak menghentikan spekulasi dan menunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terlucut keahlian yakin tidak akan berlaku kekosongan kerusi seperti diramal pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang mewakili kumpulan berkenaan mendakwa mereka tidak pernah keluar parti, yang membolehkan berlaku kekosongan kerusi mengikut Akta Anti Lompat Parti.

“Kami masih Ahli Parlimen yang sah dan tidak pernah meninggalkan parti yang kami sertai… kami dipecat dan untuk itu kami yakin kekal menjadi wakil rakyat dan tidak akan berlaku kekosongan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

“Status kami sekarang Ahli Parlimen bebas menyokong kerajaan, saya harap lepas ini tiada lagi spekulasi sebab di sana sini orang meramalkan esok PRK esok PRK… tunggulah speaker umum,” katanya sambil tersenyum.

Turut hadir, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan iaitu Zahari Kechik (Jeli), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada 24 Jun mengesahkan menerima notis daripada Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee dan akan membuat keputusan dalam 21 hari berhubung permohonan mengosongkan enam kerusi wakil rakyat menentang parti itu.

Suhaili berkata pindaan Perlembagaan Bersatu pada Mac lalu juga disifatkan sebagai cubaan pucuk pimpinan Perikatan Nasional(PN) untuk menganiaya mereka melepaskan kerusi berkenaan.

“Pindaan Perlembagaan Bersatu hanya berkuatkuasa pada 1 April sedangkan kami menyatakan sokongan kepada PMX (Anwar Ibrahim) sebelum itu lagi.

“Ia dipinda dengan niat jahat untuk pastikan kemi berenam sebagai kambing hitam atau lebih jelas kami dianiaya pucuk pimpinan Bersatu dan PN hanya kerana kami memilih untuk mengutamakan rakyat daripada terus menyokong pembangkang yang tanpa henti menghentam kerajaan,” katanya.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu terhadap Perkara 10 yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Jika itu terjadi, mereka perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK.

Suhaili menambah mereka kekal sebagai Ahli Parlimen bebas dan hanya akan menyertai parti baharu selepas tamat penggal PRU15, iaitu berbaki tiga setengah tahun.

“Kita cukup arif dengan Akta Anti Lompat Parti bermakna andai kata kami berminat nak sertai mana-mana parti, ia mestilah selepas habis tempoh PRU15.

“Selepas itu baru kita putuskan mana nak pergi,” katanya.-FMT

Ahad, 9 Jun 2024

Johari tiada pilihan lain, isytihar 6 kerusi kosong - Wan Saiful

 WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP

WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mempunyai pilihan lain melainkan mematuhi Perlembagaan Malaysia dan mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen parti itu yang digugurkan keahlian mereka adalah kosong.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, ini kerana gugurnya keahlian seseorang itu adalah urusan dalaman parti berkenaan dan bukan bidang kuasa Speaker.

"Setelah parti ada pegangan dalam hal berkenaan, maka tindakan Speaker mestilah berdasarkan apa yang Perlembagaan Persekutuan kehendaki setelah seseorang itu terhenti keahliannya.

"Ini adalah ujian penting konsep pengasingan kuasa dalam Parlimen kita," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam, MPT Bersatu dilapor sudah memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu termasuk enam ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang Adun Bersatu pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Wan Saiful dalam pada itu turut mendakwa negara dan dunia akan menghakimi sama ada Johari bertindak untuk memelihara kemulian Dewan Rakyat dan keluruhan Perlembagaan atau secara kepartian.

Menurutnya, langkah diambil oleh Bersatu mengenai wakil rakyatnya yang berpaling tadah juga seharusnya tidak didedahkan kepada umum.

"Saya rasa kita tak perlu dedahkan satu persatu langkah yang akan diambil," katanya.

-myMetro 

Isnin, 3 Jun 2024

PRK Sungai Bakap: BERSATU sedia beri laluan kepada PAS

 Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

KUALA TERENGGANU: BERSATU bersedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan mengenai calon selepas Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya DUN itu.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU dan PAS serta parti kompenan PN di Pulau Pinang sudah mengerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRK DUN Sungai Bakap.

"Kita akan putuskan calon sama ada daripada BERSATU atau PAS untuk bertanding di kerusi itu pada perbincangan yang akan diadakan nanti.

"Majlis Pimpinan Tertinggi PN juga akan mendapatkan maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu di Pulau Pinang," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

SPR akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Sungai Bakap.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata parti berkenaan akan berlapang dada siapa pun calon yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Kita akan menyokong siapa pun calon sama ada daripada PAS atau BERSATU, paling utama adalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu kepada PN," katanya.

-BH Online 

MP Berpaling Tadah:BERSATU hantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat

 Datuk Razali Idris. - Foto BH

Datuk Razali Idris. - Foto BH

KUALA TERENGGANU: BERSATU akan menghantar notis kekosongan kerusi, selepas keahlian enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan dari parti secara automatik, akhir bulan lalu.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata notis kekosongan itu akan dihantar oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

Katanya, kerusi Parlimen itu kosong selepas enam Ahli Parlimen BERSATU menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala ADUN Selat Klang menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Notis kekosongan kerusi kepada Johari akan dihantar selepas enam Aahli Parlimen berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.

"Notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, sebelum ini dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian parti, selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu berkata, notis kekosongan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Selat Klang juga akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN Selangor, Lau Weng San.

Katanya, kerusi itu kosong selepas Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta gagal menjawab surat taat setia kepada parti dalam tempoh ditetapkan.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) enam kerusi dan DUN yang kosong, Razali berkata, speaker dan Yang Dipertua DUN akan memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

"Kita serahkan tanggungjawab itu kepada Speaker dan Yang Dipertua DUN untuk memaklumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan PRK diadakan," katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Foto BERNAMA

-BH Online 

Peguam: Wakil rakyat BERSATU perlu kosongkan kerusi

Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan menyatakan wakil rakyat yang dilucutkan keahlian dalam parti perlu mengosongkan kerusi.

Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata jika dimaklumkan oleh parti yang wakil rakyat berkenaan dilucut keahliannya, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak ada pilihan lain, selain daripada mengisytiharkan kerusi berkenaan sebagai kosong.

"Speaker mesti patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Speaker tidak ada hak untuk membuat siasatan bagaimana keahlian wakil rakyat berkenaan dilucutkan kerana itu urusan parti terbabit.

"Speaker tidak mencampuri urusan parti kerana speaker mesti bertindak secara 'apolitical' iaitu tidak membuat keputusan mengikut kecenderungan atau fahaman politik," katanya di media sosial hari ini.

Semalam, Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU digugurkan keahlian serta-merta, selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Perkembangan itu dimaklumkan beliau ketika dihubungi BH sambil menjelaskan ia diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

"Parti sudah bermesyuarat. Mereka (enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN) gugur keahlian automatik," katanya ketika ditanya mengenai keputusan parti dan tindakan terhadap enam Ahli Parlimen serta dua ADUN yang dipercayai tidak memberi respons terhadap surat arahan MPT itu.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, yang sebelum ini dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian partinya selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, sekiranya wakil rakyat berkenaan tidak berpuas hati dengan keputusan kerusinya dikosongkan, mereka boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

"Sebelum ini, keputusan speaker adalah 'non-justiciable' iaitu tidak boleh dipertikai waima di mahkamah sekali pun.

"Ahli parti yang membawa pertikaian partinya ke mahkamah pula, secara automatik juga gugur keahliannya. Kesimpulan, ikut mana pun, pilihan raya kecil (PRK) terpaksa lah dilakukan juga," katanya.

-BH Online 

Rabu, 22 Mei 2024

7 YB BERSATU kena ikrar sokongan terkini jika mahu kekalkan status

 Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

'Lompat-melompat' dan mengalih sokongan dalam kalangan wakil rakyat adalah fenomena biasa dalam amalan politik Malaysia selepas merdeka. Antara peristiwa berpaling tadah pernah menggegarkan politik negara ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Wan Said Mohd Noor dan Abdul Kader Mohamed mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai UMNO menyebabkan kerajaan Terengganu tumbang pada 30 Oktober 1961.

Peristiwa Turn About turut berlaku pada 1968 di Kelantan apabila lima ADUN PAS iaitu Abdul Rahman Salleh, Yusoff Abdul Latiff, Saiful Idris, Abdullah Yusof dan Omar Mohammad mengalih sokongan kepada UMNO tetapi gagal menggugat kerajaan Kelantan.

Pada 2009, empat ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Perak, Datuk Nasarudin Hashim, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi, Datuk Mohd Osman Mohd Jailu, dan Datuk Hee Yit Foong mengumumkan menyokong Barisan Nasional (BN) sekali gus menumbangkan kerajaan PR berusia 11 bulan di Perak.

Pada 2020, 11 Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar daripada parti membentuk blok bebas menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Semua peristiwa berpaling tadah ini tidak mengejutkan kerana sudah berlaku sebelum Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang ahli Parlimen bertukar parti dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022.

Namun, apa yang lebih menggemparkan arena politik negara apabila enam wakil rakyat BERSATU mengumumkan menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 meskipun selepas pindaan akta ini dikuatkuasakan dan Perkara 10.4 Perlembagaan BERSATU diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 April lalu.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menjadi wakil rakyat BERSATU membuat keputusan menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Berdasarkan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan dan pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU diluluskan ROS, jelas semua wakil rakyat terbabit hilang status mereka sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, sekali gus wujud kekosongan membolehkan pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).

Justeru, Speaker Dewan Rakyat seharusnya tidak berlengah melaksanakan tugas selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan menyerahkan notis memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari.

Enggan kosongkan kerusi

Bagaimanapun, enam Ahli Parlimen terbabit bertegas menyatakan tidak akan mengosongkan kerusi selagi mahkamah tidak mengarahkan tindakan sedemikian kerana mereka yakin masih berstatus wakil rakyat berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes empat Ahli Parlimen BERSATU di Sabah pada 2023.

Pada 2023, BERSATU membuat semakan kehakiman terhadap Speaker dan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) tetapi Mahkamah Tinggi pada November lalu menolak permohonan berkenaan kerana bertentangan Perkara 63 Perlembagaan melindungi prosiding Majlis Parlimen mahupun Jawatankuasa daripada dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah.

Keputusan Speaker dan Mahkamah Tinggi membabitkan empat Ahli Parlimen ini mempunyai fakta dan merit, jelas berbeza daripada situasi dialami tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung.

Tiga fakta kes terbabit memperkukuh hujah bahawa kekosongan tidak berlaku di empat kerusi di Sabah iaitu keputusan mereka keluar BERSATU Sabah dilakukan secara en bloc, menjadi ahli langsung dan bertanding atas tiket parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Persoalannya, adakah tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung keluar parti secara en bloc atau menjadi ahli langsung dan bertanding menggunakan tiket gabungan parti politik lain pada PRU-15 lalu. Semakan maklumat dan fakta terhadap tujuh wakil rakyat berkenaan membuktikan tidak ada satu tindakan mereka sama seperti empat Ahli Parlimen di Sabah sebelum ini.

Bagi menyelamatkan kerusi dimiliki parti, BERSATU pada 17 Mei lalu menghantar surat kepada semua wakil rakyatnya untuk menyatakan sokongan kepada parti dan perlu dijawab dalam tempoh 14 hari. Jika surat berkenaan gagal dijawab dalam tempoh ditetapkan, maka keahlian mereka akan terhenti dan kedudukan sebagai wakil rakyat tergugur serta-merta.

Tindakan BERSATU ini tidak bercanggah perlembagaannya dan usaha tujuh wakil rakyat terbabit mencabar keputusan berkenaan di mahkamah adalah langkah sia-sia kerana bertentangan Seksyen 18 (C) Akta Pertubuhan 1966 iaitu sebarang keputusan parti adalah muktamad dan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.

Oleh demikian, tujuh wakil rakyat BERSATU terbabit mempunyai beberapa pilihan sekiranya masih mahu mengekalkan kedudukan dan menikmati keistimewaan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN sehingga berakhirnya penggal perkhidmatan mereka.

Pertama, mereka perlu menjawab surat dikirim parti untuk menjelaskan dan menyatakan sokongan mereka yang terkini. Kedua, menamatkan perbalahan dan perang mulut berlarutan dengan kepimpinan parti kerana kemenangan mereka pada PRU-15 atas kapasiti parti, bukannya perjuangan individu.

Ketiga, elakkan bertindak bertentangan dengan prinsip parti seperti berceramah atas pentas seteru politik dalam mana-mana PRK mahupun program di luar musim kempen pilihan raya dan keempat, usah mentafsir undang-undang dan perlembagaan parti mengikut selera politik masing-masing demi menghalalkan tindakan politik peribadi.

Di samping itu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak perlu melayan tujuh wakil rakyat parasit politik daripada BERSATU yang tidak menguntungkan kerajaan hari ini bahkan boleh mencalarkan imej kerajaan kerana 'membela katak politik' yang tidak mempunyai pendirian tetap.

Kerajaan Perpaduan hari ini amat stabil untuk mengemudi negara kerana memiliki 146 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan perlu bersedia untuk menyertai PRK pada bila-bila masa untuk mengisi kekosongan enam Parlimen dan satu DUN.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

-BH Online 

Rabu, 26 Januari 2022

PRN Johor: Bersatu bukan pembangkang, rundingan hanya sesama kami, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata rundingan dengan Bersatu untuk PRN Johor tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Bersatu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Pengerusinya Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana perbincangan hanya membabitkan pembangkang.

“Bersatu pembangkang?,” kata Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, hari ini.

Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman mencadangkan supaya kerjasama blok pembangkang perlu diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional (PN), jika PH mahu menundukkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.

Beliau berkata, PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli, turut mencadangkan supaya diwujudkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) yang menggabungkan PN bersama semua parti pembangkang termasuk PH, Pejuang, MUDA dan Warisan untuk bertanding pada PRN Johor.

Razrul berkata, formula meletakkan PN, PH dan parti pembangkang bawah satu panji adalah relevan dan dilihat terbaik.-FMT

Khamis, 13 Januari 2022

Shahidan Kassim bakal diambil tindakan disiplin, keputusan rayuan Tun Faisal hari ini

 

Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa melanggar disiplin parti dengan mengibarkan bendera Bersatu bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Arau.

Seorang Menteri UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal berdepan tindakan disiplin, sementara keputusan rayuan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bakal diputuskan esok.

Sumber dalaman Agenda Daily mendedahkan Shahidan yang sebelum ini antara yang lantang dan berbeza pendapat dengan ketetapan parti khususnya semasa kemelut politik sebelum ini bakal diambil tindakan disiplin selepas terdapat aduan dibuat terhadap Ketua UMNO bahagian Arau tersebut.

“Berkemungkinan keputusan bersabit pelanggaran disiplin Shahidan akan diumumkan esok, ia selepas pucuk pimpinan parti mendapati terdapat tindakan yang dilakukannya sebelum ini melanggar peraturan parti,” kata sumber.

Berhubung bentuk hukuman yang bakal dihadapi Menteri Wilayah Persekutuan tersebut, berkemungkinan parti akan menggantung keahliannya seperti tindakan yang diambil sebelum ini terhadap Tun Faisal.

Tun Faisal sebelum ini digantung keahliannya selama enam tahun dan sedang dalam proses rayuannya yang juga akan diketahui esok.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar menghantar surat kepada Setiausaha Agung, Datuk Ahmad Maslan menggesa supaya Shahidan dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Syed Atif mendakwa, pelanggaran disiplin berlaku ketika Shahidan hadir pada Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Kangar, Perlis pada 17 OKtober lalu.

Antara kesalahan tersebut ialah mengibarkan bendera Bersatu bersama-sama bendera UMNO sebagai hiasan di ruang majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian Arau.

Selain itu, Shahidan turut didakwa mengedarkan draf usul yang jelas bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan, malah membuat ucapan yang bertentangan dengan keputusan parti kepada ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua sayap cawangan.

Untuk rekod, Shahidan sebelum ini berada dalam kem Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak bersama dalam satu kem lagi yang dikepalai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, rayuan yang dikemukakan Tun Faisal sebelum ini juga bakal diputuskan Panel Rayuan UMNO hari ini (Rabu).

Beliau dipanggil untuk memberi sebarang pembelaan dan membuat penerangan berhubung rayuan yang dibuatnya sebelum ini, dijangka keputusan berhubung rayuan juga akan diputuskan pada hari ini.

Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, digantung keahlian UMNO selama enam tahun, malah semua manfaat sebagai ahli UMNO juga dilucutkan secara sementara sepanjang tempoh itu.

Pada 19 Februari 2021 lalu, beliau diminta mengemukakan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO, susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Zahid.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu itu bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya.

Tun Faisal sebelum itu mendakwa Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti kerana mengerakkan jajaran politik baharu bersama PKR dan DAP walaupun ia bertentangan dengan dasar parti.

-Agenda Daily

Sabtu, 5 Jun 2021

Pas-UMNO ibarat adik-beradik, haram diputuskan.Bersatu Adik beradik sesusu – Takiyuddin

 

Takiyuddin Hassan

HUBUNGAN antara Pas dan UMNO yang ‘retak menanti belah’ ketika ini disifatkan ‘haram’ diputuskan, sebaliknya perlu diteruskan demi kepentingan agama dan bangsa.

Bercakap mengenai soal itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan hubungan antara Pas dan UMNO yang ketika ini bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) diibaratkan sebagai adik-beradik ‘sedarah sedaging’.

Pada masa sama, hubungan antara parti tersebut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula merupakan adik-beradik sesusu.

Menurut beliau, ketiga-tiga parti tersebut wajib disatukan kembali dalam kerjasama perpaduan nasional.

“Pas-UMNO adalah hubungan adik-beradik sedarah sedaging yang haram diputuskan. Pas-Bersatu adalah hubungan adik-beradik sesusu.

“Ketiga-tiga wajib disatukan kembali dalam keluarga besar perpaduan nasional demi bangsa, agama dan watan. #Bulatairkeranapembetungbulatkatakeranamuafakat,” kata beliau dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: UMNO-Pas masih ‘cium mulut lagi’ kata Tok Mat

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad yang menyifatkan gesaan untuk menamatkan kerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai tidak relevan.

Sebaliknya, Md. Alwi mahu kerjasama kedua-dua parti itu terus diperkukuh serta dipertahankan dalam MN kerana ia merupakan harapan orang Melayu melihat dua parti itu bersatu dan memenangi pilihan raya.

Semalam, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Pas sebagai satu liabiliti sekiranya UMNO menjadikan parti itu sebagai sekutu dalam PRU-15.

Beliau mendakwa Pas ketika ini lebih cenderung memiliki kuasa, kedudukan dan wang serta tidak lagi boleh diharap mendukung tanggungjawab sebagai rakan sekutu dalam MN.

-utusantv.com