"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Pakar perlembagaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakar perlembagaan. Papar semua catatan

Khamis, 17 Jun 2021

Persidangan Parlimen hanya selepas pelbagai syarat dipenuhi: Pakar Perlembagaan

 Dapat nasihat daripada KKM, MKN sebelum berlangsung



KUALA LUMPUR, 6 Zulkaedah 1442H, Khamis – Persidangan Dewan Rakyat boleh diadakan selepas Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat dipenuhi, dan ia mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), menurut pakar perlembagaan.

Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat antaranya menyatakan Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

“Peraturan 11 ini juga menyatakan Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri boleh mengubah tarikh persidangan itu dari semasa ke semasa, namun persoalannya adakah Peraturan 11 ini terpakai.

“Pada pandangan saya, ia masih terpakai selagi mana ia tidak dinafikan pemakaiannya oleh Ordinan Darurat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Shamrahayu berpandangan satu perbincangan secara muafakat juga perlu berlaku antara Seri Paduka dan Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, dalam menetapkan tarikh persidangan Parlimen berkenaan.

Katanya, ini kerana berdasarkan Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan Ketua Majlis mempunyai kuasa menentukan dari semasa ke semasa tarikh untuk persidangan Dewan Rakyat.

“Permuafakatan tentang tarikh itu hendaklah juga mendapat perkenan Seri Paduka, barulah sistem kita ini nampak lunak dan boleh memberikan keserasian,” katanya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, berdasarkan krisis kesihatan ekoran pandemik COVID-19 ketika ini, persidangan Parlimen turut perlu mendapat nasihat daripada KKM dan MKN sebelum ia boleh berlangsung.

“Agensi-agensi ini perlu menasihati kerajaan kerana ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan, dengan persidangan juga tidak boleh dilakukan secara normal apabila ia berlangsung,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Basirun mencadangkan supaya sesi Parlimen tidak boleh berlangsung secara berterusan dalam tempoh masa lama serta diselang seli dengan proses sanitasi.

“Persidangan secara fizikal boleh diadakan selama 60 hingga 90 minit dan perlu berhenti rehat seketika bagi proses sanitasi sebelum bersambung semula,” katanya sambil menegaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dua lapis serta penjarakan fizikal mesti sentiasa diamalkan.

Tambahnya, Ahli Parlimen dan petugas juga perlu segera beredar pulang dan mengelak dari bersembang atau berkumpul di luar Dewan bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

 – Bernama

Credit: Wak Labu Farm

Ahad, 2 Mei 2021

Suruhanjaya Pasukan Polis: Pinda dahulu Perlembagaan - Dr Shamrahayu

Suruhanjaya Pasukan Polis: Pinda dahulu Perlembagaan - Dr Shamrahayu

SHAMRAHAYU: Sekiranya dicadangkan kepada individu lain yang harus mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi SPP, ia memerlukan kepada pindaan undang-undang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diberikan kepada golongan profesional seperti seorang hakim atau bekas hakim.
Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, SPP ditubuhkan mengikut Perkara 140 (3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jawatan pengerusi kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis (Menteri Dalam Negeri).
Menurutnya, pindaan terhadap jawatan pengerusi itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Maknanya Perlembagaan telah menetapkan bahawa menteri yang dipertanggungjawabkan itu sebagai Pengerusi SPP.
Sekiranya dicadangkan kepada individu lain yang harus mengambil tanggungjawab sebagai pengerusi, maka ia memerlukan kepada pindaan undang-undang terutamanya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Pada saya cadangan itu baik dan saya setuju," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Pakar Perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, pindaan tersebut wajar bukan sahaja melibatkan polis tetapi badan berkanun lain bagi memastikan tiada campur tangan politik dalam pelantikan pegawai tinggi.
BACA: KPN kritik campur tangan menteri dalam PDRM
BACA: Pelik Abdul Hamid serang Hamzah di akhir perkhidmatan - Bersatu Kepong
Pada Jumaat iaitu tiga hari sebelum menamatkan perkhidmatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang akhbar terakhirnya menyarankan SPP tidak dipengerusikan oleh seorang menteri.
Menurut Abdul Hamid, lebih baik jawatan Pengerusi SPP itu diserahkan kepada seorang hakim atau bekas hakim bagi mengelak campur tangan politik.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula berkata, tiada peruntukan khusus bagi bekas ketua hakim atau hakim untuk mempengerusikan suruhanjaya dalam Perlembagaan Persekutuan kecuali Suruhanjaya Siasatan Diraja.
"Kalau sudah ada dalam Perlembagaan, macam mana kita mahu tukar? Kena buat pindaan di Parlimen (Dewan Rakyat), tak boleh tukar sesuka hati," kata beliau.
BACA: Fungsi Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut Perlembagaan Persekutuan
BACA: "Bukan mirip, memang benar audio itu suara saya" - Hamzah Zainudin
Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sembilan ahli SPP dipengerusikan Menteri Dalam Negeri dengan ahli lain adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara, bekas hakim, pegawai polis, bekas polis dan pegawai KDN.
"Kena ubah di Parlimen kalau nak ubah (peruntukan jawatan Pengerusi SPP).
"Dalam SPP, bukan Menteri Dalam Negeri seorang yang buat keputusan. Ada ahli lain dan mereka berbincang sebelum sesuatu keputusan dibuat.
"Orang politik cenderung menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan," katanya.
-AstroAwani

Rabu, 20 Januari 2021

Proklamasi Darurat tidak boleh cabar di mahkamah – Prof Dr Shamrahayu

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh dicabar di mahkamah.

Menurut Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu Abd Aziz, pengisytiharan darurat yang dilaksanakan ketika ini dibuat atas kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dalam Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, secara jelas menyatakan hal puas hati Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Dalam Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, perenggan A mengatakan kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Perenggan B pula, Perkara 150, Fasal 8, Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar ataupun menerima, ataupun membuat keputusan dalam hal-hal berkaitan, keesahan ataupun ketidakesahan kepada Proklamasi Darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Di sini menunjukkan bahawa, menurut Perkara 150 dalam Fasal 8, dibaca dengan Fasal 1, Perlembagaan Persekutuan, apa juga tindakan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat ataupun membuat undang-undang yang kita namakan ordinan dalam keadaan darurat itu, (tidak boleh dicabar di mahkamah),” ujarnya dalam satu tembual bersama Radio Ikim, pada Selasa.

Jelasnya, kata Shamrahayu, ada dua perkara mengenai Proklamasi Darurat yang tidak boleh dicabar di mahkamah, iaitu pengisytiharan darurat itu sendiri dan juga undang-undang yang dibuat untuk menyekat penularan Covid-19 itu.

Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipersoalkan di mahkamah mengikut peruntukan Perkara 150 dalam Fasal 8, ini adalah keputusan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Maka, tiada mahkamah boleh mendengar permohonan tersebut, iaitu permohonan untuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong, tegas beliau.

Beliau menjelaskan sedemikian ketika ditanya status berhubung tindakan segelintir pihak yang berhasrat untuk mencabar Proklamasi Darurat yang dilaksanakan kerajaan di mahkamah baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2021

Sabtu, 24 Oktober 2020

APA itu Darurat? 15 perkara Yang anda perlu tahu -Pakar perlembagaan

BERIKUT penjelasan oleh Pakar Perlembagaan Prof Dr Shamrahayu A. Aziz tentang apa itu darurat sepertimana dipetik daripada hantaran di akaun Facebook beliau:

Assalamu’alaikum wrt wbt

Masih belum tenang suasana politik negara.

Kita doakan moga yang dikatakan “gencatan politik” tiba jua dan sekali gus menjadi penamat kepada bahang panas keadaan semasa.

Kita doakan yang baik-baik untuk semua.

Pada paparan kali ini saya mahu berkongsi beberapa fakta perundangan berkenaan DARURAT.

Saya mengambil tajuk ini kerana DARURAT mula menjadi bualan dan cakap-cakap dalam media dan saya juga sering ditanya tentangnya oleh media.

Di bawah adalah 15 soalan dan jawapan saya berkaitan DARURAT.

Mungkin akan ada soalan lain selepas ini, dan saya akan cuba berkongsi pandangan kemudian nanti.

Selamat membaca, moga bermanfaat.

Soalan 1: Apakah maksud darurat

Jawapan:

Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Soalan 2: Apakah kesan pengisytiharan darurat

Jawapan:

Kesan umum pengisytiharan darurat ialah, Perlembagaan digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif.

Tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharkan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara.

Parlimen masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan.

Ketika proklamasi darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri. (Perkara 150(4)).

Kesan lain, dari segi pentadbiran dan perundangan dibincangkan dalam jawapan kepada soalan seterusnya.

Soalan 3: Adakah pengisytiharan darurat dibenarkan oleh Perlembagaan

Jawapan:

Ya. Perlembagaan membenarkan pengisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 adalah satu daripada tiga peruntukan yang berada di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian berkaitan Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.

Bahagian XI ini membenarkan undang-undang bagi tujuan pencegahan dibuat, termasuklah tahanan pencegahan bagi tujuan menangani keadaan darurat.

Soalan 4: Apakah yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya (TELAH) wujud.

Di bawah Perkara 150(2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat proklamasi darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam HAMPIR BENAR berlaku.

Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman ke atas

i. Keselamatan negara; atau

ii. Kehidupan ekonomi; atau

iii. Ketenteraman awam

Soalan 5: Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan

Jawapan:

Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama ada semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang atau pun tidak, atau juga semasa parlimen bubar.

Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.

Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Perkara 150(1) dan (2).

Soalan 6: Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri

Jawapan:

Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia).

Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. Walau bagaimana pun persoalan timbul ialah adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?

Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

Frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” atau dalam bahasa Inggeris, “if the Yang di-Pertuan Agong is satisfied” menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat.

Beberapa keputusan kes telah membuat pernyataan tentang perkara ini.

Kes Stephen kalong Ningkan (No.2) (tahun 1968) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati.

Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge…”

Walaubagaimana pun, keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri.

Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati.

Lord Diplock menyatakan:

“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet.

So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question”.

Justeru, menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh ini, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri, atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Soalan 7: Adakah Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat dan membuat Ordinan semasa darurat boleh dipersoalkan (justiciable)

Jawapan:

Keputusan kes Stephen kalong Ningkan (No.2) secara nyata Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge and once His Majesty is satisfied that a state of emergency exists, it is not for the court to inquire as to whether of not he should have been satisfied”.

Maksudnya, menurut Ketua Hakim Barakbah, mahkamah tidak boleh mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong.

Pandangan majoriti ini disanggah oleh Ong Hock Thye, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam penghakiman sama. Hakim Ong Hock Thye menyatakan pandangan minoriti.

Beliau menyatakan:

“His Majesty is not an autocratic ruler since Article 40(1) of the Federal Constitution provides that “in the exercise of his function under this Constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agong shall act in accordance with the advice of the Cabinet…Article 150 specifically provide that the emergency must be one ‘whereby the security or economic life of the Federation or any part thereof is threatened.. If those words of limitation are not meaningless verbiage….Article 150 does not confer on the Cabinet an untrammeled discretion to cause an emergency to be declared at their mere whim and fancy.”

Maksudnya, Yang di-Pertuan Agong bukan memerintah secara autokratik kerana baginda bertindak atas nasihat.

Dalam pelaksanaan kuasa baginda, mahkamah boleh memeriksa keputusan yang dibuat oleh baginda dan juga Jemaah Menteri ketika membuat proklamasi darurat supaya ia terhad kepada keadaan yang disebut, iaitu keselamatan negara dan kehidupan ekonomi.

Perkara 150 tidak memberikan kuasa budi bicara yang tidak teratur.

Keputusan Teh Cheng Poh, seperti yang dipetik di atas adala juga menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 boleh disemak oleh mahkamah.

Selepas keputusan kes Teh Cheng Poh seperti yang dipetik di atas, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan memasukkan peruntukan yang secara jelas TIDAK membenarkan mahkamah menyemak keputusan Yang di-Pertuan Agong, atau apa-apa tindakan yang dibuat oleh baginda berkenaan kuasa, fungsi dan peranan di bawah Perkara 150. Hal ini terdapat pada Perkara 150(8) yang menyatakan:

Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini –

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1):

(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau

(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Walaupun begitu, Fasal 8 ini belum diuji di mahkamah.

Soalan 8: Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Pengisytiharan Darurat

Jawapan:

Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 mengenai pengisytiharan darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan berlainan atau keadaan berlainan.

Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi darurat pada masa sama atau pada masa berlainan. Hal ini terdapat dalam Perkara 150(2A).

Soalan 9: Bilakah Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan Darurat

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong boleh boleh mengisytiharkan dan menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan.

Soalan 10: Apakah peranan Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat

Jawapan:

Sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta. Ini disebut dalam Perkara 150(2B).

Maksud “Majlis Parlimen tidak bersidang serentak” boleh difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan “Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang HANYA jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.

Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak, kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada Parlimen.

Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak, semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan darurat masih berlangsung.

Walaubagaimana pun, Parlimen boleh membuat Ordinan untuk memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh).

Soalan 11: Adakah parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat

Jawapan:

Semasa keadaan darurat ini Parlimen boleh membuat Ordinan jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur perundangan boleh diketepikan.

Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes En Keok Cheng, Wylie C.J menyatakan, “The true effect of Article 150 is that, subject to certain exceptions set out therein, Parliament has, during an emergency, power to legislate on any subject and to any effect, even if inconsistencies with articles of the Constitution (including the provisions on fundamental liberties) are involved”.

Fasal (2C) Perkara 150 menyatakan “…Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaku diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”.

Lihat juga Perkara 150(5), yang mana Parlimen boleh membuat undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama mana-mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang-undang.

Parlimen tidak boleh membuat Ordinan darurat dalam beberapa perkara tertentu sahaja, iaitu Hukum Syarak (Undang-Undang Islam), adat Melayu atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak.

Parlimen juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. (Lihat 150(6A)).

Proklamasi darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong semasa darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen apabila keduanya bersidang serentak.

Soalan 12: Apakah kesan Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Darurat

Jawapan:

Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah berkuat kuasa dan berkesan seolah-olah ia adalah Akta Parlimen.

Ia boleh berkesan sehingga dibatalkan. Setelah Parlimen bersidang, Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Ordinan tersebut boleh diteruskan sekiranya diluluskan dan hendaklah dihentikan sekiranya tidak diluluskan oleh Parlimen.

Sekiranya Ordinan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen, ia tidak memberi kesan ke atas apa jua yang berlaku sebelum itu menurut kuat kuasa Proklamasi darurat atau Ordinan.

Bahkan, ketidaklulusan oleh Parlimen juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat yang lain atau Ordinan yang lain bagi tujuan darurat lain tersebut. (Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi pada masa sama atau pada masa berbeza, atas sebab yang sama atau atas sebab yang berbeza).

Soalan 13: Bolehkah Yang di-Pertuan Agong membuat Ordinan Perbekalan (Bajet)

Jawapan:

Melihat kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, yang mana baginda boleh, sekiranya perlu dan baginda berpuas hati, memasyhurkan apa-apa ordinan semasa dua Majlis (Dewan) Parlimen tiada atau tidak bersidang serentak, maka sekiranya baginda berpuas hati dan perlu bagi memasyhurkan apa-apa perbelanjaan negara, baginda boleh berbuat demikian.

Namun setiap Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan kepada kedua Majlis Parlimen setelah keduanya bersidang serentak. Ordinan tersebut boleh dirungkaikan oleh resolusi yang dibuat oleh Parlimen. (Lihat Perkara 150(2) dan (3)).

Soalan 14: Bilakah Darurat akan Berakhir dan siapa yang mengumumkan darurat telah berakhir

Jawapan:

Perkara 150 tidak menyebut secara nyata tentang isu pengungkaian (annulling) proklamasi darurat – bila dan siapa.

Perkara 150(3) menyebut secara tidak langsung, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) … hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi…” Frasa yang bergaris ini menunjukkan pengungkaian (annulment) suatu proklamasi dan undang-undang darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu boleh dibuat melalui resolusi yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen.

Kes The Cheng Poh menyatakan:

"The power to revoke, however, like the power to issue a proclamation of emergency, vests in the Yang di-Pertuan Agong, and the Constitution does not require it to be exercised by any formal instrument. In their Lordships' view, a proclamation of a new emergency declared to be threatening the security of the Federation as a whole must by necessary implication be intended to operate as a revocation of a previous Proclamation, if one is still in force."

Soalan 15: Apakah akan berlaku kepada Ordinan yang dibuat semasa darurat apabila darurat berakhir

Jawapan:

Ordinan yang dibuat bagi tujuan darurat hendaklah terhenti berkuatkuasa setelah tamat tempoh enam bulan dikira dari tarikh Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa.

Maksudnya Ordinan tersebut boleh berkuat kuasa lagi sehingga habis tempoh enam bulan dari tarikh darurat berakhir. (Lihat Perkara 150(7)).

Jumaat, 9 Oktober 2020

Hasrat Anwar jadi PM boleh cetus PRU15 lebih awal kata pakar perlembagaan

Anwar mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

SHAH ALAM - Hasrat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri dalam masa terdekat boleh mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal.

Pakar perlembagaan yang merupakan Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, nasib Anwar bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk menerima atau menolak nasihat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selaku Perdana Menteri, Muhyiddin boleh terus meletakkan jawatan atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan terpulang untuk baginda sama ada untuk menerima atau menolak permintaan itu.

“Jika permohonan ditolak, maka Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan kalau berlaku yang sebaliknya maka berlakulah PRU15,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Anwar mendakwa telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Dipercayai, tujuan ketua pembangkang itu mahu menghadap Seri Paduka Baginda kerana beliau dikatakan sudah mempunyai sokongan yang kuat untuk membentuk satu gabungan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar sahkan menghadap Agong Selasa ini

Tambah Muhammad Fathi, Anwar juga akan berdepan dengan beberapa cabaran lain meskipun beliau berjaya membuktikan Muhyiddin hilang majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

“Terdapat kemungkinan Anwar mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi tidak mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

“Tidak mustahil mereka yang menyatakan sokongan kepada Anwar berbuat demikian semata-mata untuk memastikan berlaku PRU lebih awal.

“Berdasarkan beberapa kenyataan umum, kelihatan tokoh-tokoh dari UMNO sangat mengharapkan agar PRU diadakan segera.” katanya.

Katanya, besar kemungkinan UMNO hanya menggunakan Anwar sebagai alat untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan kebanyakan pemimpin mereka dilihat yakin untuk menghadapi PRU dan mengambil kembali kuasa yang hilang dalam PRU lepas.

Selain itu, Muhammad Fathi turut berpendapat rundingan untuk membentuk kerajaan baharu juga kemungkinan besar gagal akibat daripada perbezaan ideologi parti yang terdapat dalam kerajaan yang menggantikan PN.

“Walaupun wujud kemungkinan elemen-elemen tertentu dalam UMNO benar-benar ingin menyokong Anwar menubuhkan kerajaan baharu, hal berkenaan bukan satu jaminan yang kukuh.

“Konflik akan mula wujud khususnya antara elemen UMNO dan DAP yang pada zahirnya amat sukar untuk bergabung.

“Keadaan yang demikian jika tidak dapat dirungkaikan akan membawa kepada PRU15 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

-SH Online