Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine:
Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine
Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.
Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..
90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.
ANGGOTA polis di hadapan rumah suspek. FOTO Aizat Sharif
Kangar: Seorang suri rumah maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat lans koperal di Simpang Empat di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian berlaku kira-kira 6 pagi di dalam bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Jalan Kangar-Alor Setar.
Kejadian berlaku selepas suspek yang berasal dari Terengganu itu baharu sahaja tamat syif tugasannya dan berdasarkan saksi kejadian iaitu bapa mentuanya, dia tiba-tiba mengeluarkan pistolnya jenis Walther P99 dan menembak isterinya yang dikenali sebagai Safsufarnisya Salleh yang berusia 27 tahun.
Suspek melepaskan lebih daripada lima das tembakan pada jarak dekat mengenai bahagian muka terutama di bahagian mata sebelah kiri menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar hari ini.
Katanya, tembakan itu juga menyebabkan bapa dan ibu mentua, anak saudara suspek yang turut mendiami kediaman itu bertempiaran lari meninggalkan rumah.
"Bapa mentua suspek kemudian menelefon abang ipar suspek untuk memaklumkan kejadian sebelum menghubungi polis.
"Polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 7.26 pagi kemudian bertindak pergi ke rumah mangsa dan didapati suspek masih berada dalam rumah.
"Cubaan untuk meminta suspek menyerah diri bagaimanapun gagal apabila suspek hanya mendiamkan diri dalam rumah berkenaan dan apabila polis berjaya memasuki rumah berkenaan, didapati suspek hanya duduk mendiamkan diri di samping pistol masih lagi berada dalam tangannya," katanya.
Yusharifuddin berkata, suspek ditahan dan mayat isterinya pula ditemui dalam keadaan mengiring di atas katil di bilik berkenaan.
"Beberapa kelongsong peluru turut ditemui di lantai berhampiran katil dimana mayat mangsa ditemui.
"Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan kerana didapati tidak berlaku sebarang pergaduhan atau pertikaian antara pasangan berkenaan yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga.
"Siasatan juga akan menjurus sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebagainya.
"Pasangan berkenaan tidak mempunyai anak dan suspek sudah empat tahun bertugas di IPK Perlis," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap anggota polis boleh membawa senjata api ketika bertugas dan mempunyai kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Kangar.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Kangar, esok untuk perintah reman.
JEMPOL: Seorang peniaga cedera akibat dipukul dengan penyapu dan getah paip selepas didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang, di sini, Isnin lalu.
Lebih malang, wang milik peniaga berjumlah RM15,000 turut dikebas suami wanita berkenaan.
Sumber berkata, peniaga berusia 20-an itu berkenalan dengan wanita berkenaan melalui aplikasi Whatsapp sejak dua bulan lalu sebelum menjalinkan hubungan istimewa.
Bagaimanapun, hubungan berkenaan dihidu suami wanita itu dan peniaga itu kemudian diminta datang ke rumahnya.
Kata sumber, sebaik peniaga itu sampai di rumah suami wanita berkenaan pada kira-kira 1 pagi, dia dipukul oleh suami wanita dan lima ahli keluarganya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 akta yang sama.
-BH Online
Lelaki berkenaan dipercayai dipukul dengan penyapu, batang cangkul dan getah paip pada badan serta kepala, selain ditumbuk pada bahagian mata.
Suami wanita itu kemudian meminta kad bank dan nombor PIN milik lelaki itu sebelum mengeluarkan wang berjumlah RM15,000.
Sumber berkata, enam suspek berusia 17 hingga 28 tahun itu sudah ditangkap polis dan direman bermula 24 Januari lalu.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki Rohingya bergelar Long Tiger ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam jenayah mengurung seorang bekas pekerjanya
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan lelaki bernama Abdul Hamim Ab. Hamid, 35, itu ditahan di sekitar Muar pada pukul 9.45 malam.
Ayob Khan
“Penahanan suspek dibuat berhubung satu kejadian individu berkenaan mengurung seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang merupakan bekas pekerjanya.
“Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, lelaki berkenaan mempunyai banyak rekod jenayah lampau bersabit kes peras ugut, culik, jenayah dan rogol.
“Punca suspek mengurung bekas pekerjanya itu bagaimanapun masih dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.-K! ONLINE
Muhd Izani Mustapha menunjukkan 'kaki laporan' polis yang dibuat pada Jumaat lalu selepas mendakwa wang tunai miliknya berjumlah RM600 dilarikan oleh empat lelaki yang mendakwa anggota polis dalam kejadian pada malam Khamis lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Machang: Seorang pekerja kilang mendakwa terkejut dan trauma apabila ditumbuk di perut selain wang tunai RM600 dilarikan empat lelaki dipercayai anggota polis dalam kejadian Khamis lalu.
Dalam kejadian di lampu isyarat di Kilometer 2.6 Jalan Machang-Tanah Merah, dekat bandar Machang, Muhd Izani Mustapha, 21, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di kampung Hutan Putih pada 8.15 malam.
Muhd Izani berkata, dia sepatutnya pulang ke rumah jam 6 petang, namun disebabkan mengalami sakit kepala, dia berehat di kilang selepas menelan panadol sebelum bergerak pulang ke rumah jam 8 malam.
"Bagaimanapun, ketika berada di lampu isyarat 'flyover' di bandar Machang, secara tiba-tiba motosikal saya dihalang oleh sebuah kereta jenis Proton Preve yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari hadapan menyebabkan saya terkejut dan pada ketika itu juga tidak banyak kenderaan yang berada di atas jalan.
"Sebaik menyerahkan kad pengenalan, saya di minta untuk memberikan beg galas yang dibawa bersama," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Padang Selising, di sini, hari ini.
Muhd Izani berkata, selepas dompet dan beg galasnya diambil, salah seorang daripada mereka bertanya dan mendakwa dia mengambil barangan terlarang, namun dia menafikan perkara itu dan secara tiba-tiba perutnya ditumbuk.
"Pada masa sama, mereka juga bertanya sama ada saya mampu membayar atau tidak. Ketika itu saya terpinga-pinga dan tidak mengetahui apa yang dimaksudkan sebelum wang RM630 diambil di dalam dompet yang dipegang oleh mereka.
"Saya cuba merayu supaya mereka mengembalikan semula wang itu kerana wang berkenaan untuk membayar ansurans bulanan motorsikal, cukai jalan, serta melunaskan sewa rumah.
"Bagaimanapun selepas merayu, mereka hanya memberikan RM30 kepada saya sebelum beredar menghala ke Kota Bharu," katanya yang masih trauma dalam kejadian yang berlaku itu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, selepas kejadian malam itu, dia balik dalam keadaan ketakutan dan masih terfikir kenapa dia diperlakukan sedemikian.
"Saya tidak pernah mengambil barang terlarang sebagaimana yang didakwa anggota polis berkenaan.
"Susulan kejadian itu, saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang Jumaat lalu untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy mengesahkan menerima laporan berkenaan ketika dihubungi dan siasatan lanjut akan dijalankan.
"Polis sudah menjalankan siasatan dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
"Tindakan akan diambil bagi melengkapkan siasatan termasuk merakamkan percakapan serta membuat kawad cam bagi mengenal pasti suspek yang terbabit selain tindakan lain yang perlu," katanya.-myMetro
Kuala Lumpur: Siapa Ben? Itu persoalan besar di sebalik kegiatan penyeludupan rokok seludup di Malaysia yang menyebabkan negara kerugian lebih RM5 bilion setiap tahun.
Ben kini didakwa menjadi 'Bapa Segala Bapa' atau 'Raja Penyeludup' rokok di negara ini.
Dia juga didakwa antara individu pertama menjalankan kegiatan haram itu di negara ini sebelum menjadi 'jutawan segera' apabila permintaan rokok seludup meningkat.
Untuk rekod, permintaan rokok seludup melambung selepas kerajaan menaikkan kadar cukai rokok menyebabkan harga rokok sah dalam pasaran menjadi mahal bermula tahun 2015.
Menurut sumber, Ben diibaratkan sebagai gunting dalam lipatan buat negara kerana dipercayai mengawal dan menjadi dalang di sebalik kegiatan haram itu di seluruh negara sejak 2012.
"Ramai mendengar namanya, tetapi tidak mengenalinya. Namanya sering disebut mendalangi kegiatan haram ini dan pelbagai kisah diperkatakan mengenai sosok berkenaan," katanya.
Bercerita lanjut, sumber itu berkata, Ben didakwa memulakan perniagaan haramnya iaitu aktiviti penyeludupan rokok seludup jenis Canyon, U2 dan John serta berpangkalan di Johor pada tahun 2012.
"Ketika itu permintaan rokok seludup masih rendah kerana harga rokok sah dalam pasaran tidak terlalu mahal. Dasar kerajaan yang menaikkan cukai rokok pada tahun 2015 menjadikan Ben jutawan segera.
"Rokok sah mahal, perokok tegar mula mencari alternatif untuk membeli rokok seludup dan permintaannya hingga kini meningkat. Malah, rokok seludup kini dikatakan menguasai sehingga 60 peratus pasaran di seluruh Malaysia," katanya.
Sumber itu berkata, Ben kemudian mengembangkan empayarnya ke seluruh Semenanjung termasuklah Sabah dan Sarawak.
"Ketika awal mulakan bisnes ini (rokok seludup), Ben kuasai Johor. Ketika itu ramai pesaing namun kini selepas dia bergelar jutawan, Ben mula menggabungkan pesaingnya di bawah satu konsortium dan memayungi mereka semua hinggalah dia digelar sebagai King of Smuggler atau Raja Penyeludup," katanya.
Katanya, Ben juga tidak lagi menguruskan aktiviti penyeludupan di Johor sebaliknya ia sudah diambil alih pengganti dikenali sebagai Ken.
"Ken dikatakan orang kanan kepada Ben dan dia jugalah antara pemain utama menguruskan aktiviti kemasukan rokok di seluruh negara," katanya.
Ditanya adakah pihak berkuasa mengetahui identiti sebenar Ben, sumber itu berkata, pasukan penguatkuasaan berkaitan mungkin mengetahuinya.
"Mungkin juga tidak (tahu siapa Ben) tetapi saya percaya ada pasukan penguatkuasa yang memiliki atau mempunyai profil siapakah Ben sebenarnya. Mereka mungkin gagal mengaitkannya dengan aktiviti haram itu kerana cut off yang diwujudkan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai konsortium dikendalikan Ben itu, sumber itu berkata, jutawan itu mungkin hanya memberi arahan kepada orang kanannya untuk menggerakkan aktiviti penyeludupan ataupun memantau dari jauh sahaja bagaimana bisnes haram itu dikendalikan.
"Bisnes ini besar dan tidak boleh bergerak sendirian. Ia perlukan ramai orang. Saya dengar Ben dah cuci tangan, remote (kawal) dari jauh sahaja sebab pasukannya sudah lengkap. Tunggu hasil (duit) sahaja," katanya.
Katanya, konsortium itu mempunyai hirarki lengkap untuk mengawal dan menguruskan kewangan (pembelian/pembayaran), perundangan, transport, simpanan (stor) hinggalah rokok seludup sampai kepada peruncit.
"Transport sahaja merangkumi perkapalan, bot, kenderaan darat serta laut. Ini bukan biasa-biasa. Mereka satu organisasi yang sangat tersusun," katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, sindiket penyeludupan rokok kini melakukan pemindahan ratusan juta batang rokok seludup dari kapal kargo atau kapal tangki yang diubahsuai ke bot barter trade di lautan antarabangsa.
Modus operandi terkini aktiviti penyeludupan selepas kerajaan mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus sahaja selain mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport .-myMetro
Johor Bahru: Seramai 12 pegawai agensi penguat kuasa ditahan menerusi Op Pelican 3.0 dipercayai terbabit kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Nicky.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 49 tahun, dengan dua daripadanya adalah daripada agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi antara 21 April hingga hari ini, di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Pecahan tangkapan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah meliputi seorang berpangkat Superintendan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan seorang Inspektor bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Bagi Kontinjen Selangor meliputi seorang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor, seorang Asisten Superintendan (ASP) bertugas di cawangan khas IPK Selangor, selain dua Inspektor bertugas di JSJ IPK Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
"Bagi Kontinjen Melaka meliputi seorang berpangkat DSP bertugas di JSJ IPD Melaka Tengah, manakala Kontinjen Kuala Lumpur meliputi dua polis berpangkat ASP bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan JSJ IPD Sentul," katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.
Ayob Khan berkata, turut ditahan, seorang Inspektor yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Negeri Sembilan, selain seorang berpangkat Penolong Pesuruhjaya SPRM dan seorang lagi Penguasa SPRM yang bertugas di Putrajaya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.
"Sehingga kini, jumlah keseluruhan ditahan adalah 64 individu. Siasatan masih dijalankan (soalan bagi rampasan sewaktu tangkapan dan adakah mereka melindungi Geng Nicky).
"Kalau ada nama-nama baharu, kita akan jalankan operasi susulan. Biar kita jalankan soal siasat terperinci, siapkan kertas siasatan. Saya tidak boleh bagi perinciannya. Saya pun tidak menyebut nama sebab mereka belum dituduh lagi.
"Jumlah ini tidak statik. Saya tidak boleh kongsi ada lagi 10 ke, mungkin sebelum ini kita kata ada 34, tapi apabila buat tangkapan, jumlahnya kecil, tidak cukup bukti untuk tuduh. Bergantung kepada siasatan yang dibuat, ia akan berkembang," katanya.
"InsyaAllah... tidak pasti Nicky berada di Malaysia atau luar negara (soalan adakah penangkapan ini membawa kepada penemuan Nicky)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Grou, Nicky Liow Soon Hee.
Pada sidang media sama, Abdul Hamid turut memaklumkan 68 ahli kumpulan jenayah terbabit ditahan termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.
Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa, tiba di Mahkamah Majistret di Klang pada jam 9 pagi diiringi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tujuh pertuduhan yang dibacakan menurut Astro Awani..
KLANG : Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang, di sini, atas lima pertuduhan termasuk menyebabkan kecederaan terhadap dua pengawal keselamatan di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.
Tertuduh Chung Chee Yang, 43, didakwa bersama pembantu peribadinya Choo Hin Voon, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P Sarulatha.
Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana telah menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di antara jam 10.30 hingga 11.30 malam di luar halaman rumah di Jalan Batu Nilam 9, Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 13 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Chee Yang didakwa bersuhabat dengan tertuduh kedua dengan mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44, menggunakan senjata iaitu sebatang rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima, Chee Yang turut dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam Zulkepli pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Manakala bagi tertuduh kedua, Choo Hin Voon, 43, dia berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kedua-dua mangsa menggunakan rotan pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau dua daripada mana-mana hukuman itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh pertama Chee Yang diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, dan RM20,000 bagi dua lagi pertuduhan.
Manakala tertuduh kedua Hin Voon dibenar diikat jamin sebanyak RM20,000 atas dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurrazi Ahmad, manakala tertuduh diwakili Peguam Loi Yap Loong.
RIWAYAT Ahmad Najib (kiri) berakhir di tali gantung pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh.
Kuala Lumpur: Masih 'melekat' di benak ingatan penulis ketika melihat sosok wanita separuh dekad muncul di pejabat Biro Pengaduan Awam Wisma MCA, Jalan Ampang di sini. Mukanya agak lesu manakala bola matanya berair kemerahan. Mungkin kerana banyak menangis.
Jam ketika itu menunjukkan waktu 11.45 pagi, bertarikh 15 Jun 2003. Wanita itu kemudian dibawa masuk ke bilik khas sebelum sidang media dimulakan oleh Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong.
Sekitar 20 wakil media dan jurugambar kebanyakannya media cetak berbahasa Cina memenuhi ruang kamar berkenaan termasuk penulis mewakili akhbar Harian Metro.
Sebaik memulakan bicara Micheal memperkenalkan wanita itu sebagai Pearly Visvanathan Ong, 60-an. Dia adalah ibu kandung wanita jelita, Canny Ong Lay Kian, 27, yang dilaporkan diculik sejak 13 Jun 2003.
Turut menemaninya adalah salah seorang anaknya yang juga adik mangsa, Ong Lee Shian, 21. Objektif kehadirannya hanya satu, mahu pihak media membantu menjejaki kehilangan anak kesayangannya yang diculik di kawasan parkir Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC) Bangsar, Kuala Lumpur.
Lokasi kejadian hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari Balai Berita New Straits Times (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.
Menurutnya, Canny Ong dilahirkan di Ipoh, Perak, berhijrah dan bekerja sebagai penganalisis teknologi maklumat di San Diego, California, Amerika Syarikat dan mempunyai suami bernama Brandon.
Mereka merancang untuk memiliki cahaya mata. Namun apabila mengetahui bapanya, Ong Bee Jeng menghidap kanser, Canny Ong bergegas terbang pulang ke Malaysia untuk menziarahi bapanya yang terlantar sakit.
Bagaimanapun, mereka yang meraikan majlis perpisahan dikejutkan dengan kejadian penculikan Canny Ong.
Dia dilarikan seorang lelaki menggunakan kereta mangsa jam 10.45 malam hari kejadian, 13 Jun.
Pada sidang media itu juga gambar wajah Canny Ong diedarkan kepada semua wartawan yang hadir. Harapan tinggi diletakkan supaya wanita malang itu dapat ditemui dengan selamat.
CANNY Ong
Malah, gambar Canny Ong bersaiz poskad itu masih tersimpan rapi dalam laci penulis sehingga kini.
Ketika sidang media berakhir, tiada siapa menyangka ia hanyalah babak permulaan kepada plot tragedi pembunuhan ngeri bakal menggemparkan seluruh negara. Tanda tanya kehilangan Canny Ong akhirnya terjawab lima hari kemudian pada 17 Jun 2003 apabila mayatnya ditemui dalam keadaan rentung dibakar.
Dia dibunuh kejam sebelum mayatnya disumbat ke dalam lubang longkang berhampiran tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya, Selangor.
Fakta kes mula terungkai satu per satu apabila 'sahabat akrab' penulis, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abu Bakar Mustafa mendedahkan 'misi syaitan' lelaki bernama Ahmad Najib.
Menurutnya, Canny Ong dan penculiknya, Ahmad Najib sempat ditemui di dalam kereta Proton Tiara oleh anggota polis, Lans Koperal S Ravichandran yang melakukan rondaan bermotosikal di Kelana Jaya, Selangor iaitu kira-kira sejam selepas mangsa diculik.
Sewaktu sedang melakukan pengecaman identiti, polis terbabit mendakwa terlihat Canny Ong membuat isyarat tangan seolah-olah sedang berdoa atau meminta tolong. Curiga dengan isyarat dilakukan Canny, polis terbabit mengarahkan suspek untuk keluar daripada kenderaan.
KELIBAT Ahmad Najib dapat dirakam melalui litar kamera tertutup (CCTV) di kawasan parkir BSC.
Namun begitu Najib memecut laju kereta tanpa mengambil semula kad pengenalannya. Walaupun dua das tembakan dilepaskan polis namun suspek berjaya bolos.
Menurut Abu Bakar, suspek kemudian sempat meminjam jek dari seorang pemandu kereta wanita bernama Aminah di Jalan Sungai Way, bagi menukar tayar kenderaan yang bocor ditembak polis itu.
Katanya, Aminah juga sempat melihat Canny melambai tangan ke arahnya seolah-olah meminta tolong. Terdetik di hati Aminah, sesuatu buruk sedang berlaku. Dia kemudian segera membuat laporan ke Balai Polis Subang Jaya selepas suspek beredar dalam keadaan tergesa-gesa.
Klimaks kepada kejadian adalah apabila Canny Ong diperkosa di dalam kereta berhampiran Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama, beberapa jam kemudian sebelum mangsa ditikam hingga mati.
ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa.
Mayat Canny Ong kemudian disumbat ke dalam lubang longkang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen. Penjenayah kemudian muncul semula di lokasi kejadian sehari selepas itu - 15 Jun dengan membawa dua botol petrol dibeli di stesen minyak Jalan Pantai Baharu.
Petrol itu dijirus pada mayat mangsa sebelum dibakar hingga rentung. Mujur kejadian itu disedari pengurus tapak binaan lebuh raya sebelum laporan polis segera dilakukan.
Lima hari kemudian iaitu pada 20 Jun 2003, pihak polis akhirnya berjaya menangkap 'binatang' bernama Ahmad Najib Aris, 27, yang membunuh Canny Ong susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman, Amidon Anan ketika ini yang amat 'mesra media' memaklumkan pada penulis, berdasarkan laporan bedah siasat, tangan Canny Ong diikat sehelai kain selain punca kematiannya akibat dijerut dan dicekik di leher.
Perbicaraan ke atas Ahmad Najib berlangsung selama 13 tahun hingga ia dianggap sebagai perbicaraan kes jenayah paling lama berlangsung dalam landskap jenayah Malaysia.
Dengan bukti kukuh seperti DNA dan kesan air mani, Ahmad Najib yang kerap tampil memakai kopiah akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2005.
Pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh, riwayat Ahmad Najib yang bekerja pencuci kabin kapal terbang berakhir di tali gantung.
Walaupun pembunuh dapat diheret ke mahkamah ketika itu, muncul pelbagai 'spekulasi liar' kononnya Ahmad Najib adalah bekas kekasih Canny Ong.
KEADAAN mayat mangsa yang ditemui rentung dalam lubang longkang berhampiran tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya, Selangor.
Wujud tuduhan kononnya ia akibat isu hutang along selain dakwaan Ahmad Najib adalah 'kambing hitam' kes bunuh itu. Banyak persoalan sukar dijawab penulis dan ramai anggota polis yang terbabit dengan kes itu sehingga kini.
Mengapa Canny tidak melarikan diri ketika penjenayah sedang cuba menukar tayar kereta sedangkan dia adalah pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri. Mengapa Canny tidak menjerit meminta tolong ketika kereta dinaiki ditahan anggota polis.
Apa motif sebenar pembunuhan dan benarkah semua itu dilakukan secara spontan atau 'suka-suka' oleh Ahmad Najib?
Muncul tanda tanya sama ada Ahmad Najib adalah seorang psikopat ataupun sebaliknya. Semua itu mengundang kebingungan dan tiada jawapan jelas hingga kini.
Bagi penulis, walaupun kes pembunuhan tidak berhati perut ini sudah berlalu hampir 18 tahun namun ia payah dilupakan.
Kuala Lumpur: Seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan Geng Nicky yang didalangi Pengasas Winner Dynasty Group Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee pada 20 hingga 28 Mac lalu.
Antara individu yang ditahan berkenaan adalah dua adik kepada Soon Hee, masing-masing bergelar Datuk Seri serta Datuk berusia 28 dan 30 tahun, selain seorang lagi Datuk Seri bersama lima Datuk lain.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah itu, 42 lelaki membabitkan 27 warga tempatan serta 15 warga China serta enam wanita termasuk tiga warga China ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dua belas lagi individu membabitkan 11 warga China termasuk seorang wanita serta seorang wanita Myanmar ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/69, manakala lapan lagi lelaki tempatan ditahan kerana didapati positif dadah.
"Dua puluh lima lelaki dan 25 wanita warga tempatan pula dibebaskan selepas proses dokumentasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Abdul Hamid berkata, pihaknya merampas wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM773,145 serta 16 kenderaan mewah bernilai RM6.67 juta dalam serbuan berkenaan.
"Selain itu, kami juga merampas pelbagai barangan lain seperti jam tangan berjenama yang akan dinilai semula oleh pakar bagi mendapatkan nilaian sebenar.
"Kami juga sudah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4.05 juta dan 35 kenderaan bernilai RM8.86 juta membabitkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia serta Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
"Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan," katanya.
Beliau berkata, operasi khas itu dijalankan susulan maklumat risikan yang diperoleh pada pertengahan Januari lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor selepas Operasi Pelican 2.0 membabitkan kegiatan Macau Scam.
Katanya, hasil siasatan dilakukan mendedahkan kewujudan aktiviti penipuan dalam talian menggunakan 'akaun keldai' dan mempunyai transaksi kewangan dengan syarikat milik Winner Dynasty Group.
Hasil daripada dapatan itu, pihak task force mengembangkan lagi siasatan dan mendapati terdapat sejumlah 'keldai akaun' yang mempunyai kaitan dengan syarikat dan individu bersekutu dengan Syarikat Winner Dynasty Group.
"Keldai akaun berkenaan dipercayai terbabit dengan aktiviti jenayah komersial seperti along, pelaburan tidak wujud dan tipu jual beli dalam talian," katanya.
Katanya, semakan mendapati terdapat lima syarikat yang bersekutu dengan Winner Dynasty Group berserta pengarahnya dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis Johor mengesan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengubahan wang haram serta jenayah komersil.
Ayob Khan dipetik berkata, Soon Hee, 33, yang beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Menurutnya, Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan di Puchong, Selangor dan menahan 12 individu termasuk seorang lagi yang bergelar Datuk Seri.
Selain itu, polis Johor juga mengesan bekas Timbalan Pendakwa Raya, Md Azar Izwam Mohd Arifin @ Datuk A Janus, 42, kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial berhubung kes sama berkaitan Soon Hee ~ MyMetro
Harian Metro juga melaporkan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay telah mendedahkan Pengasas Winner Dynasty Group Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dipercayai melarikan diri dengan membawa 'bekalan' lapan beg yang dipenuhi wang tunai.
"Maklumat diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati Nicky mempunyai wang berjumlah RM40 juta di dalam akaun milik peribadinya," katanya.
Beliau berkata, Nicky Liow mempunyai hubungan rapat dengan dua adiknya yang bergelar Datuk Seri serta Datuk masing-masing berusia 28 dan 30 tahun.
"Semakan juga mendapati Nicky mempunyai 12 rekod berkaitan kesalahan jenayah termasuk mendatangkan kecederaan, ugutan dan dadah.
Juga dilaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan terdapat pegawai dan anggotanya yang membocorkan maklumat dalam usaha polis memburu Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Beliau berkata, ada 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan individu dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket ini adalah pegawai dan anggota polis selain agensi penguat kuasa lain.
"Mereka ini (anggota penguat kuasa) bergaul, menjadi ahli, membantu dan menerima suapan daripada sindiket berkenaan.
"Saya akan memperhalusi dan menyiasat akaun bank bagi menyiasat kaedah pembayaran dibuat dan lain-lain perkara untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang.
"Saya akan ambil tindakan kerana tiada isu mahu cover (lindung) dan tiada apa mahu dimalukan. Ini hakikatnya.
"Betapa teruknya keadaan ini. Sampai bila? Saya tidak akan jemu dengan perkara ini. Teruskan bersihkan elemen ini di mana penjenayah masuk dalam PDRM, atur tindakan dapat perlindungan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nicky Liow diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan V Prakash di talian 0125209767 atau mana-mana balai polis berdekatan... terima kasih..
ISTANBUL: Seorang pendakwah televisyen terkenal di Turki dipenjara 1,075 tahun atas pelbagai kesalahan, sebahagian besarnya jenayah seksual.
Adnan Oktar, 64, dikenakan hukuman itu selepas disabitkan atas kesalahan serangan seksual, amang seksual, penipuan dan melakukan kegiatan pengintipan ketenteraan.
Pendakwah itu ditahan pada Jun 2018 oleh unit jenayah kewangan polis Istanbul dalam usaha pihak berkuasa melumpuhkan kegiatan kumpulannya.
Seramai 236 suspek lain turut dituduh di mahkamah dengan 78 daripada mereka ditahan.
Perbicaraan kes membabitkan pendakwah itu turut mendedahkan perincian dakwaan jenayah seksual yang mengejutkan.
Dalam satu perbicaraan, Oktar memberitahu mahkamah pada Disember lalu bahawa beliau memiliki 1,000 teman wanita.
"Hati saya penuh dengan perasaan cinta terhadap wanita. Cinta adalah kualiti seorang manusia. Ia adalah kualiti sebagai seorang Islam," katanya.
Seorang daripada wanita yang memberi keterangan dalam perbicaraannya, yang hanya dikenali sebagai CC, memberitahu mahkamah Oktar berulang kali merogolnya dan beberapa wanita lain.
Katanya, beberapa wanita yang dirogol itu turut dipaksa memakan pil perancang keluarga bagi mengelakkan kehamilan.
Ditanya mengenai penemuan 69,000 pil perancang keluarga di kediamannya oleh polis, Oktar berkata ia digunakan bagi merawat masalah kulit dan ketidaktentuan haid.
Oktar turut menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) diketuai pendakwah, Fehullah Gulen, yang dituduh mendalangi cubaan rampasan kuasa pada 2016. - AFP