"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Sabtu, 26 Ogos 2023

Siaran Lansung Live Kedah vs JDT Liga Super (LS21) 26 Ogos 2023

 Perlawanan Kedah FC vs Johor Darul Ta'zim, JDT merupakan perlawanan tumpuan dalam aksi saingan Liga Super 2023 minggu kedua puluh satu (LS21). JDT akan bertandang ke Kedah Darul Aman bagi meraih 3 mata penting dalam saingan Liga Super.

Kedah vs JDT

Perlawanan antara pasukan Kedah FC menentang pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, JDT dijadualkan berlansung pada 26 Ogos 2023, hari Sabtu jam 9:00 malam bertempat di Stadium Darul Aman, Kedah.

Ini merupakan perlawanan tumpuan yang sengit antara pendahulu liga, JDT bertemu pasukan Kedah yang berada di tempat ketiga liga. Dalam 5 perlawanan terakhir, prestasi Skuad Sang Kenari terus cemerlang mencipta kemenangan demi kemenangan. 

Manakala Skuad Harimau Selatan, JDT terus unggul di persada liga di tangga teratas dengan beza 17 mata dengan pasukan Kedah FC. 

Pada pertemuan pertama JDT vs Kedah LS8, pasukan Kedah dibelasah teruk dengan bolos 6 gol hasil ledakan Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Óscar Arribas, Bérgson, Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velázquez tanpa balasan gol.

Pasukan JDT sudah terus akan terus memburu kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang liga berlansung. 

Dengan kemenangan perlawanan berturut-turut akan menjadikan suntikan semangat buat pasukan Kedah dan bersedia menentang pendahulu liga, JDT.

Kedah vs JDT (LS21)

Waktu siaran : Sabtu, 26 Ogos 2023, jam 9:00 malam
Tempat : Stadium Darul Aman, Kedah
Siaran TV/ Platform penstriman : Astro Arena Bola (CH803), Astro GO dan Sooka
Link streaming : Link 1, Link 2

Siaran Lansung Live Kedah vs JDT Liga Super (LS21) 26 Ogos 2023

Info Tiket perlawanan Kedah FC vs Johor Darul Ta'zim, JDT

Tiket untuk perlawanan Liga Super antara pasukan Kedah FC dan Johor Darul Ta'zim, JDT yang berlansung pada hari Sabtu, 26 Ogos 2023, jam 9:00 malam di Stadium Darul Aman, boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi tickethotline.com.my.

Harga Tiket

Teres (Terbuka) : RM 15
Pavilion (Berbumbung) : RM25
Grandstand (Astaka) : RM35

Harga Tiket kanak-kanak (12 tahun dan ke bawah)

Zon Teres & Pavilion (Kaunter B & Kaunter F) : RM10
Zon Grandstand (Terhad 200 tiket sahaja) (Kaunter F Sahaja) : RM20
*Semua kanak-kanak akan dikenakan tiket

Siaran Langsung Live Streaming Kedah FC vs JDT Liga Super 26 Ogos 2023 LS21

Penonton di rumah boleh menyaksikan Siaran Lansung antara Kedah vs JDT dari Stadium Darul Aman, Kedah menerusi saluran 803 Astro Arena Bola dan Astro GO.

Tonton secara online menerusi platform Sooka seawal jam 8:30 malam bermula dengan siaran pra rancangan dengan langganan pas perlawanan berharga RM7.90.

Keputusan masa penuh perlawanan Kedah vs JDT Liga Super 2023 (LS21)

Keputusan perlawanan antara Kedah vs JDT dalam saingan LS21 secara langsung/ live score akan dikemaskini sehingga tamat masa penuh perlawanan

Keputusan Penuh
KEDAH FC/ KDA (3) - (3) JOHOR DARUL TA'ZIM FC/ JDT

Jumaat, 25 Ogos 2023

'Ada negeri diberi keutamaan dalam belanjawan Persekutuan, tapi tiada perancangan ekonomi yang baik' - Rafizi

 Rafizi bercakap pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Program Kepimpinan Digital Eksekutif antara MyDIGITAL Corporation dengan Asia School of Business, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Rafizi bercakap pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Program Kepimpinan Digital Eksekutif antara MyDIGITAL Corporation dengan Asia School of Business, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri, dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama untuk negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan ketika ini, terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Namun, katanya, sebahagian negeri berkenaan tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Pada masa sama, beliau berkata, negeri yang berada pada tahap ekonomi sederhana, terutama Negeri Sembilan, Melaka dan Perak, tidak mendapat peruntukan tinggi sedangkan ia tidak begitu kaya dan tidak juga begitu miskin.

"Sarawak memang mendapat peruntukan tinggi tetapi ia turut disertai dengan perancangan ekonomi yang baik pada peringkat negeri, jadi pertumbuhan ekonominya adalah baik.

"Bagaimanapun, kita tidak mendapat perkara sama di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis contohnya. Jadi, ia hanya satu hala yang mana tiap-tiap tahun, (meminta) tolong beri peruntukan yang lebih, sedangkan mereka memang sudah dapat (peruntukan) antara yang paling tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Program Kepimpinan Digital Eksekutif antara MyDIGITAL Corporation dengan Asia School of Business (ASB), di sini, hari ini.

Justeru, Rafizi berkata, keseimbangan perlu dilakukan dalam agihan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu.

Ia bagi mempercepat pertumbuhan (negeri) dan pada masa sama, seluruh kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan peruntukan berkenaan. Jika tidak, kita tidak bersikap adil kepada negeri lain dengan membuat dasar yang menghukum negeri yang mempunyai pengurusan lebih baik. Itu tidak betul.

"Ini adalah cabaran dan beberapa perubahan yang perlu kita perhalusi. Kita perlu turut berlaku adil kepada negeri seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, selain memberi tumpuan kepada negeri yang sebelum ini sudah diberi tumpuan. Itu yang kita kena bezakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata perhatian khusus amat perlu diberikan kepada sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional, memandangkan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar serta membimbangkan.

Noor Azlan dipetik berkata, kira-kira 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di sembilan negeri berkenaan, iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan.

-BH Online

#Berkaitan artikel ini...ini respon MB Terengganu memalui fb beliau.

Respon ringkas terhadap kenyataan Menteri Ekonomi

1. Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan Negeri/Negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik. Lama kelamaan rakyat akan muak dan benci species ahli politik yang hanya mementingkan diri semata. 

2. Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa "superiority complex". Pandangan kita walau hebat macamana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.

3. Isu yang dibangkitkan oleh YB Menteri Ekonomi, adalah umpama "mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri" atau disebut sebagai "shooting your own foot" dalam bahasa yang lain.

4. Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh Negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua Negeri. Saya ulang : semua rakyat dan negeri. 

5. Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. Maka semua Negeri-Negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua Negeri-Negeri ini.

6. Semua bidang kuasa kerja kerajaan adalah termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa. Zaman dahulu, perkara ini adalah satu ilmu pelajaran Kertas Pengetahuan Am Tingkatan Enam. Tak perlu mengaji di Amerika atau Perancis untuk tahu perkara ini.

7. Semua yang ada dalam senarai projek pembangunan di Negeri-Negeri, iaitu semua Negeri, adalah melalui proses bincang dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum menjadi senarai dalam RMk-12 yang ada sekarang ini. Itu belum termasuk Rolling -Plan. 

8. Bila kata bincang, bermakna kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua Kerajaan Negeri. Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama  dan bukan Negeri seorang diri. Kenapa Negeri yang nak diperlekehkan ? Politik lah tu.

9. Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana pihak Menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.

10. Tidak bolehkah kita membina hubungan yang lebih harmoni, dengan duduk berbincang, samada di negeri-negeri atau Putrajaya, kerana itulah sebab ada Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan, dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas Pilihanraya dijalankan ?

11. Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua.

12. Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka.

13. YB Menteri, kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan.

Ahad, 20 Ogos 2023

The Untold Story-MB Sanusi:ABANG BUDIN RAJA SUNGAI

 Cerita SANUSI

ABANG BUDIN RAJA SUNGAI 

Lagenda Budak Seluar Lipat (lipat kemedian selik boh dipinggang nu..)


Ini budak seluar lipat, kakak sulungku menggelarkannya begitu kepada adiknya yang lahir sebagai anak kedua Mereka berdua sangat akrab sebagai kakak dan adik. 

Rupanya sewaktu kecil dahulu dek kerana kemiskinan dia hanya mampu memakai seluar tanpa kancing. Tiada kancing no problem, lipat kemudian selit saja macam pakai kain batik. 

Dengan berseluar begitu pun, budak seluar lipat tetap lincah. Seluar itu tidak pernah melurut biar pun dipakai ketika memanjat pokok pinang. Dari sebatang pokok pinang ke pokok pinang yang lain budak seluar lipat ini hanya perlu melompat sahaja, tidak perlu turun kebawah dan memanjat semula. Tidak pula terbogel dia disitu.

Menghabiskan zaman dan usia kanak-kanak dengan berbakti kepada emak dan bapakku sehinggakan melebihi kemampuan sebenar seorang kanak-kanak seusianya. Emak ketika bercerita tentang budak seluar lipat pasti mengalir air matanya. 

Kebolehan menyelam budak seluar lipat mungkin bermula ketika itu, bilamana dia merajai sungai dan lubuk. Habis semua lubuk ikan dijarahnya. Sumber protein yang tinggi ini telah mengisi perut seisi keluarga  lantas menghasilkan manusia yang pintar dan sihat tubuh badan. 

Biarpun miskin masalah kebutuhan gizi diselesaikan dengan sumber alam yang ada antaranya buah petai, hahaha super food. Kalau tidak masakan harganya mahal kan?

Perjalan hijrah budak seluar lipat meninggalkan kampung diusia teramat muda telah membuka lembaran baru buat budak seluar lipat, menumpang tidur di rumah seorang tauke cina berhati mulia membuatkan emak menangis tidak tidur malam taku-takut anaknya dijamu dengan daging babi, menaiki keretapi ke Lumut. 

Bermusafir tanpa bekalan hanya beban kemiskinan sebagai teman. Tidaklah itu menjadi halangan, maklumlah hero kan.

Aku dan adik- adik mula belajar menggosok gigi dan punyai berus gigi yang pertama dibawa ia pulang sebagai buah tangan oleh budak seluar lipat. Belajar sambil mandi manda di sungai. Habislah aku dan adik-adik di suruh belajar berenang. 

Aku sewaktu kecil tidak banyak masa bersama budak seluar lipat. Tapi aku sangat mengingati baunya. Suatu malam, ketika aku dan adik-adik asyik mengaji di atas rumah, aku mencium aroma yang amat ku kenali dan rindui ketika itu. Bacaan terhenti, " wehhh abg Budin balik" berlari kami semua turun kebawah. Tepat! Abg Budin balik, bersamanya ole-ole yang masih ku ingat sehingga kini, sebuah Muqaddam setiap seorang. Itulah ole-ole yang melambangkan siapakah dia abg Budin, budak seluar lipat. 

Alhamdulillah Tauhid yang bapakku tanamkan pada budak seluar lipat tumbuh elok didadanya. Merantau keseluruh ceruk dunia dan bergaul dengan pelbagai bangsa manusia tidak mematikan benih taudid yang talah bapakku semai sedalam dalamnya.


Nurkilan 

Dato'Seri Muhammad Sanusi Md Nor

The Untold Story:Kisah MB SANUSI-Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak

 Kisah MB SANUSI

Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak


Pagi tu Pak bersiap awal. Parang dengan tali sudah di tangan... “Shi! Shi! Jik! Bakek! Jom ikut aku gi bukit." Pak mengejutkan kami sambil menyarungkan bajunya.  

"Bangat laa!.. matahari nak nek dah nuu.. satgi sape sayok, nak kelek pukol bropa." 

Aku mengeliat sambil menahan liur basi dalam rongga mulut, takut tertumpah ke bantal. "Laaa bangat laa... gi basoh muka. Pakey seluar panjang. Roto-roti pong habih dah. Kelek satgi la kita makan kot kedei Mat"

Aku bingkas duduk, menggenyeh mata, kain gebar yang malam tadi berkongsi dengan Ajik dan Adi, dapat kat Ajik semua, dia tarik kat dia sorang. 

“Woi! Jik, jom, Pak hajak gi cari petey”! Aku kejutkan Ajik, air liur basi bertakung di bawah lidah.

Pak ikat tali nilon warna biru bergulung-gulung di pinggang. Baju kemeja yang sudah hilang warna, hanya  tinggal dua butang di tengah sudah membungkus tubuhnya. Parang berhulu kayu kopi, Pak selit antara peti rantai dengan semanggang. Kami sudah atas pelantar gerek yang Pak tambah dua batang kayu terjongket di belakang. Nanti nak letak petai senang.

Pak pusing pedal pengayuh ke belakang... Ppraaappp!! rantai bergeser dengan peti yang menutupnya. Sebelah kakinya atas pedal, sebelah kaki menujah tanah, gerek meluncur menuruni gon depan rumah. Gerek tua bergalang dua tu Pak beli daripada Usin gagap dengan harga $60. Gerek itu menabur jasa sehingga tersandar di dinding belakang rumah. Pak jual bangkainya di Batu Lima. 

Kayuhan Pak laju, mengejar matahari yang semakin mula menyinsing. Ada irama kayuhan Pak yang menemani kesejukan pagi itu. Pak berdiri sambil mengayuh bila sampai di gon depan rumah Kholed Bedah, gon itu tinggi dan lanjut, selekohnya tajam, kiri kanannya gaung, beberapa buah kereta pernah terjunam ke semak samun dibawah tebing. Di belakang telinga Pak, peluh sudah meleleh. Bau keringat Pak sekuat kasih sayangnya kepada anak-anak.

Pak membelok ke jalan kolam, batu yang menonjol atas muka jalan menujah melambung gerek tua Pak, punggung di atas pelantar terhentak terhempas , gerek yang hanya berirama perlahan di atas jalan raya tadi kini hingar bingar. Semua sendinya longgar dan bergegar.

Pak sandarkan gerek di perdu cempedak dalam tanah yang dipugar orang-orang siam. Lalang dan pokok kapal terbang yang tumbuh bebas di sekeliling, masih basah disiram embun. Matahari mula menyuluh, kabus tebal menyelubungi bukit belantara sayup-sayup berbalam di depan, warna putihnya terserlah disimbah sinar mentari, mawa dan lotong di bukit mula menyanyi.

Perjalanan menyusur denai belukar di tanah rata itu membasahkan seluar baju, meranduk embun di hujung dedaun, sesekali Pak mendengus sambil asap rokok daunnya menggulung pecah membelah dedaun lalang yang tegak hijau dan tunduk separa kering.

Laluan mula menempuh alur charok dari bukit sebelum memasuki kawasan yang Pak namakan Charok Air (A) Merah. Pak mendahului kami melangkah alur, dua tiga kali kami melompat berpaut pada batang anak-anak kayu sebesar lengan.

Air charok jernih tapi nampak seperti keruh dek lumut-lumut dan daun kayu yang perang- kuning mendap di dasarnya. Sesekali anak katak menujah arus, lelabah berkaki panjang merayap laju di permukaan. Kami terus mendaki bongkah-bongkah batu besar berlumut hijau.

Nyanyian burung, mawa dan lutong - bersipongang

Bunyi nyaring lolongan mawa, kera dan lotong bersahutan berulang-ulang, bergema saling memantul, membelah dan mencelah batang pokok dan bungkah batu, menyapa dedaun, menuruni lembah mendaki puncak, (Mungkin irama inilah yang SN Dato’ Shahnon Ahmad namakan 'bersipongang') seperti menyambut kami datang. 

Di atas kepala sepasang burung enggang melintas dengan suara nyaring… kuang! Kuang! kuang!..kepalanya berjambul, paruhnya besar berbonggol, kakinya melunjur ke belakang, kepaknya lebar berbulu hitam, seekor di depan seekor di belakang, laju, makin sayup dan hilang. 

Pak berhenti di perdu pokok petai besar, sebesar tiga atau empat pemeluknya. Mendongak sambil menepuk batangnya. "Tua dah! Moha tungu sini, aku nak cari galah". Kata Pak. 

Aku dan Ajik melabuh punggung atas batu besar, di sebelah kanan tebing curam, berbatu bongkah besar, licin berlumut hijau. Dibawahnya ada larian air yang laju di celah-celah batu menuruni permukaan curam, jernih, sejuk, taat menuruti hukum alam.

Galah dan sigai

Pak muncul dari celah anak-anak pokok dengan sebatang buluh panjang, siap diberkas 'rawit' cabang kayu dihujungnya, aku mengetuk anak-anak batu, berhibur dengan bunyi yang memantul-mantul meluru di celah-celah pokok. Ajik mengibas nyamuk, mukanya merah basah berpeluh.

Pak memanjat pokok berdaun lebar berbatang merah empat lima depa dari perdu petai. Galah bersandar menjulang, di tangan Pak segulung rotan, dipinggangnya gulungan tali yang terbuai terhayun. Pokok batang merah mula condong ke arah pokok petai, rotan pak melingkari batang kedua- dua pokok, semakin ditarik semakin dekat dan bercantum. Pokok batang merah itu kini menjadi sigai.

Sukar untuk diceritakan bagaimana Pak mampu memaut, mencondong dan mencantum dua pokok sebesar itu dengan seutas rotan, tekniknya luar biasa. Dalam kehairanan itu, Pak sudah mencapai celah dahan pertama pokok petai tinggi menyayup itu. 

Bayang pokok petai dan pokok-pokok di sekeliling bawahnya menjadikan naungannya redup dan gelap. Hanya beberapa celah antara dedaun, cahaya matahari menikam tanah dalam sinaran halus dan condong.

Condong cahaya itu menandakan waktu, pastinya jam masa itu melewati pukul 10 pagi. Maknanya perjalanan menyusuri denai dan mendaki berpaut anak pokok, merandok akar dan duri rotan, membawa kami ke Bukit Behong itu melebihi dua jam. Perut sudah mula menyanyi.

Pranggg! Gugusan buah petai yang terlucut daripada rawit di hujung galah Pak terhempas ke daun, dan menjuntai di dahan anak kayu.

"Moha kutip himpun hat dok jatuh tu nah, satgi aku turun ikat". Suara pak sayup-sayup memberi arahan, tubuhnya hilang di sebalik rimbunan daun dan dahan. Kesayupan suara yang sering mengecutkan isi perut itu menandakan betapa tingginya Pak di pucuk pokok, sedang memulas, segugus lepas segugus, dihimpun di celah dahan tempat dia berdiri.

Ajik ambil sebunga, aku sebunga, bersila sambil tangan mengopek papan petai, lepas satu mata satu mata lagi dimamah mengalas perut. Mulut pahit bukan kepalang, air di alur yang sejuk terasa manis, menggantikan air teh atau kopi. Hingga gigi, lidah dan pipi tak sanggup lagi menampung pahit dan kelat, baru kami sudah bersarapan pagi.

"Haaaa! Buka tali". Seberkas petai Pak hulurkan dari atas menyusur batang petai mencecah tanah di celah banir di perdunya. "Buka! Aku nak holor lagi ni." 

Ajik berlari, membuka tali dan melepas, tali merayap naik semula. Seberkas lepas seberkas, akhirnya seluruh tali dilepas, tandanya Pak akan turun, buah sudah terhimpun.

Bintik hijau dihanyut keringat

Aku berdiri di belakang Pak yang mencangkung melilit memberkas gugusan buah petai dengan akar, daun petai berbintik-bintik hijau melekat di belakang dan lehernya disimbah peluh, bajunya yang terlondeh ke belakang, berbau tengik dari bakaran keringat hari ini dan beberapa hari sebelumnya. Rambut dan tubuh kecil Pak basah seperti sedang mandi. Ajik berlari mengutip sisa yang jatuh dan patah, Pak membungkus dengan kain batik dipinggangnya. 

"Dekat seribu keping ada dah niii, kita susuk sini dulu, depan tu ada sepokok lagi." Kata pak, kakinya terus melangkah, meredah, mendaki bukit lagi. Matahari sudah terpacak di atas ubun-ubun.

Pak menebang buluh beting, rantingnya dicantas meninggalkan tunggul-tunggul menjadi anak tangga, ditambat ke perdu petai dengan rotan, galah di tangan, tali di pinggang, Pak memanjat lagi.

Kami dibawah menjamu nyamuk. Sesekali mata terlelap keletihan, bunyi mawa, kera dan lotong sudah tidak kedengaran, hanya kibasan sayap unggas dan kicauan burung menjadi teman. 

"Jaga! Aku nak thok (tohok) galah nii". Gedebuk!, buluh itu terpacak di tanah, tergedik- gedik menjulang di celah dahan-dahan pokok. Pak turun mengikat hasil yang dipulas, disangkut di hujung kayu pengandar sepanjang sedepa, memulakan langkah pulang. 

Singgah di perdu pokok pertama tadi, kayu pengandar menjadi dua. Lebih seribu keping di depan dan belakang kayu pengandar di bahu kiri dan kanan, menenggelamkan separuh tubuh Pak. Aku terhoyong hayang di belakang dengan 50 keping, Ajik 100 keping kerana badannya lebih besar.

Lekok bahu dibenam kayu- lekok tanah dibenam langkah.

Masih terbayang ternampak-nampak, kayu pengandar dua batang itu tenggelam merenyak otot di bahu Pak, kakinya terbenam dalam taburan daun-daun hitam basah yang menutupi tanah. Setiap langkahannya jelas begitu berat menampung beban, menuruni tebing meninggalkan lubang di tanah. Lubang-lubang itu kami turuti mengelak tersembam. Sesekali punggung terhempas ke tanah, terlambat bangun, Pak hilang di balik perdu pokok jauh di depan.

Gugusan petai sudah menutup tayar dan galang gerek tua Pak, kayu dua batang di hujung pelantar menampung limpahan kepingan papan petai melayah ke belakang, kami menapak di belakang kehausan, Pak menyorong gerek, sesekali terhoyong ke kiri ke kanan.

Husin Tok Ratna tersenyum menanti di bangsal depan rumah Mad Jab Pak Long Ad (Saad). Pak Su Mid menyedut curut cap ikan sambil bersandar di tiang bulat. Beberapa gugus petai yang dalam ikatan kecil, nampak layu tergantung di depan bangsal, mungkin buah kelmarin. 

"Petai papan ka padi Nok?" Husin Tok Ratna menyapa sambil membelek melurut keping petai yang masih di atas gerek. Pak mengehela nafas keletihan. "Petai papan Bang Seng oo! Butey mata besar molek, papan panjang-panjang, buah bukit Behong!" Pak menggoda harga terbaik daripada Hussin Tok Ratna. 

"Tolak kat ku la sikit Bang Seng ooo, banyek tu mu tak dan habih juai". Pak Su Mid mencelah. Buah petai bertukar tangan, aku di pelantar gerek antara Ajik dan Pak, menuruni gon kubur, makin laju gerek meluncur, makin sejuk angin menyapa muka, lega. Pak beli beras, ikan masin dan roti empatsegi (biskut) di kedai Mat. Air lemenet sarsi membasah tekak, Ajik meneguk air oren, tercungap-cungap, menghela bunyi puas.

Sampai di rumah, sepi. Mak mungkin ke rumah Tok Wamah atau rumah Mak Long Jah atau rumah Kak Yam Mahmud menyeret adik-adik. Kami menerpa ke dapur. Lauk tamban masin bakar, cabai tumbuk, sisa kuah sayur air ikan darat menanti dibawah saji buluh beranyam. Nasi masik dalam periuk hitam bertelinga di atas dapur. 

Matahari sudah condong ke barat, panas teriknya kian reda, bayang kayu penyidai kian panjang, petunjuk itu membawa maksud waktu sudah lebih jam 4:00 petang.

Berebut Rezeki Antara Kera dan Lotong

Episod begini berulang-ulang, berpuluh tahun lamanya, selalunya hanya Pak seorang saja ke hutan. Ada kalanya dia pulang tangan kosong, sasarannya sudah menjadi rezeki kera dan lotong, sudah masak kehitaman, atau ada orang lain sudah mendahului. Kadang-kadang dia hanya pulang dengan buah tampoi, pucuk cemperai, atau gelung rotan atau akar kayu. Demikian kehidupan yang dijalani sarat dengan kegigihan, merenyak tubuhnya yang kecil tapi sasa.... Pak adalah hero kami sepanjang zaman....

Pada satu malam, lepas aku berceramah, Pak Long Chek – kawan lama Pak yang setia , usianya 6 tahun lebih tua daripada  Pak – yang asyik tersenyum puas, mengangguk dan ketawa sejak awal ceramah, berbicara tentang kisah lama mereka berdua. “Pak mu bela moha semua anak-anak dia, berebut rezeki dengan kera dan lotong di hutan. Aku kenai sungguh-sungguh moha adik-beradik sebab aku thu sangat-sangat lorong denai yang  Pak mu lalu, untuk bela moha sampai besar.”

“Berpuluh tahun aku dok tengok sendiri setara mana kuatnya Pak mu berdepan dengan susah payah untuk anak-anak dia. Syarahan mu tadi hebat sebab Pak mu orang hebat, rezeki moha berkat. Masa dok ambik upah mukol padi kot belah padang dulu, aku paling kuat buleh lah 12 hingga 15 guni sehari, Pak mu koman-koman pun dapat 20 guni sehari. Seumur aku hidup atas bumi ni, tak dak orang boleh teng Pak mu! Sungguh niii!” 

Demikian Pak Long Chek memberi testimoninya tentang Pak, Hj Md Nor bin Taib, pesara Imam Masjid Ubudiyah, Kg Sungai Pau, Sik Kedah.

Rabu, 2 Ogos 2023

PRN 15 negara dipengaruhi Amerika Syarikat?

 Sedang tersebar luas sebuah laporan yang mendedahkan bahawa negara Amerika Syarikat sedang cuba mempengaruhi Pilihanraya Negeri (PRN) di negara kita. 

Laporan ini agak mengejutkan dan amat membimbangkan apabila dinyatakan bagaimana peranan agensi Amerika dalam mencaturkan politik negara. Adakah selama ini adalah hasil percaturan Amerika? 

Kalau dahulu PH berada di pihak pembangkang, mungkin apa yang boleh mereka lakukan terhadap negara agak terhad tetapi kini mereka sudah menjadi pemerintah, maka sudah pasti mereka boleh lakukan segalanya. Apakah bermakna segala polisi dan strategi negara nnati adalah mengikut kehendak Amerika? 

Kita kena ingat tidak ada negara yang akan selamat jika duduk di bawah telunjuk Amerika apatahlagi jika terhutang budi dengan 'personal' sebegitu rupa. Mereka idak akan benarkan kita bergerak bebas dan muncul sebagai satu kuasa. 

Sebaliknya mereka akan tekan dan memaksa negara untuk mengikut telunjuk mereka. Pemimpin tidak lain hanya sebagai puppet semata. Adakah kita mahu negara kita sedemikian?

Satu siasatan perlu dilakukan ke atas pihak yang teribat bagi memastikan kebenaran apa yang dilaupurkan agar rakyat tahu dari mana sebenarnya dana parti-parti politik, termasuk kerajaan dan pembangkang benar-benar datang. 

Kita tidak mahu masa depan negara kita ditentukan oleh orang lain yang tidak ada perasaan kasih kepada negara dan kecintaan kepada watan. Mereka hanya mahu memastikan segala kepentingan serakah dan nafsu mereka dipelihara sahaja. 

Ini bukan kali pertama kita dengar dana luar masuk untuk menyokong parti-parti tertentu untuk menang. Sefaham saya memang tiada undang-undang yang melarangnya kerana sehingga kini akta berkenaan pendanaan masih tiada, dan kerajaan mahupun pembangkang dilihat tidak serius pun untuk mengusulkannya di parlimen.

Jangan kerana kita terlalu teruja dalam persaingan politik yang begitu kompetitif hari ini sehingga kita lalai; tergadai segala-galanya di kemudian hari.

Renung-renungkanlah.

Aminuddin Yahaya

2 Ogos 2023

Rujukan: https://murrayhunter.substack.com/p/us-influence-in-the-coming-state?utm_medium=email&isFreemail=true