"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label PRU15. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRU15. Papar semua catatan

Rabu, 23 November 2022

PH, BN setuju tubuh Kerajaan Perpaduan?

 Istana Negara. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Istana Negara. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dipercayai sudah mencapai kata sepakat berhubung formula bagi pentadbiran negara yang menjanjikan untuk mengembalikan kestabilan dan perpaduan dalam negara.

Dilihat sebagai formula saling menguntungkan menerusi pembentukan kerajaan perpaduan yang menjadi pertimbangan kedua-dua pihak, mereka turut membuka pintu bagi parti lain khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk bersama.

Menurut sumber, pendekatan ke arah konsep 'Kerajaan Perpaduan Malaysia' baharu itu ialah mewujudkan kerajaan perpaduan disertai semua parti dan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan dokumen cadangan perjanjian 10 perkara oleh PH dan BN yang dilihat New Straits Times (NST), ia antara lain menyatakan:

* Kedua-dua pihak bersetuju kerajaan PH-BN akan dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia

* Komposisi kerajaan mempunyai wakil setiap parti yang akan memegang jawatan kanan selepas rundingan dimuktamadkan.

* Penggal Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum tamat tempoh lima tahun

* Kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi memastikan dasar, program, pendirian dan hala tuju kerajaan, termasuk wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-Raja Melayu supaya tidak mengguris atau melanggar soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputera dan monarki.

* Jawatan Perdana Menteri dipegang Ahli Parlimen PH, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh pemimpin BN

* Portfolio utama iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan akan dirunding oleh Perdana Menteri dan Timbalannya supaya agihan berlaku secara adil dan saksama berdasarkan kesesuaian serta kepakaran masing-masing.

* PH dan BN akan bekerjasama membentuk kerajaan negeri Pahang dan Perak, dengan jawatan Menteri Besar dipegang oleh BN.

* Pengagihan jawatan dalam Kabinet dibuat berdasarkan peratusan Ahli Parlimen parti yang membentuk kerajaan.

* Pelantikan Ahli Parlimen BN dalam Kabinet mesti mendapat kelulusan Dewan Tertinggi gabungan itu.

* Pelantikan Ahli Dewan Negara, jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan penting lain dalam kerajaan mesti dimaklum serta dibincang bersama oleh Perdana Menteri dan Timbalannya.

Difahamkan, gabungan baharu yang sedang dibentuk itu optimis bahawa parti dalam blok Borneo akan menyertai kerajaan bagi mengukuhkan kehadirannya di Putrajaya, selain membantu pembinaan semula negara.

Sementara itu, sumber lain memberitahu, BN sudah menyatakan pendirian untuk bersama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mesej berkenaan disampaikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Seri Paduka ketika sesi menghadap di Istana Negara, pagi semalam.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong juga menerima menghadap pemimpin blok Borneo diketuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mendengar sendiri sama ada mereka menyokong PH atau PN.

Kelmarin, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata partinya menyokong pembentukan kerajaan campuran PH dan BN atas faktor memenangi kerusi terbanyak pada PRU15.

"Sokongan ini juga atas pemahaman kerajaan Persekutuan baharu akan menyelesaikan semua 21 tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963," katanya sambil berharap gabungan itu dapat membentuk kerajaan baharu untuk mengembalikan kestabilan politik dan perpaduan.

Dalam perkembangan terbaharu petang ini, beberapa pemimpin kanan BN dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di sini, dipercayai bagi membincangkan tawaran gabungan diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Antara yang menghadiri pertemuan kira-kira dua jam itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala PN diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber UMNO menyatakan, Dewan Tertinggi BN akan memutuskan sama ada bekerjasama dengan PH atau PN bagi membentuk kerajaan.

BN membentuk jawatankuasa tujuh anggota yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Mohamad dan Ismail Sabri.

Hasil rundingan BN dengan kedua-dua gabungan itu dijangka dibentang oleh Mohamad pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini, disusuli kepada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pagi esok sebelum pembentangan kepada 30 Ahli Parlimen BN.

-BH Online 

Selasa, 15 November 2022

KJ: Kes mahkamah pemimpin Umno takkan digugur, imej mesti dipulihkan


Khairy Jamaluddin berkata dia mahu memulihkan imej Umno dan menurutnya Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein juga sependapat dengannya.

“Ismail, Hisham dan saya sendiri agak tegas di mana kita mahu membawa Umno untuk memastikan imej kita dipulihkan,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

Menjawab soalan berhubung imej Umno tercemar akibat rasuah, menteri kesihatan sementara itu menegaskan kes mahkamah tidak akan digugurkan sekiranya BN kembali berkuasa.

“Adalah sangat penting bagi pemimpin Umno seperti saya untuk menyatakan secara terbuka bahawa tidak akan ada campur tangan dalam proses kehakiman.

“Kita tidak mahu dikenali sebagai satu lagi parti yang menggugurkan kes membabitkan pemimpin parti dan ini penting.

"Saya telah memberitahu Ismail Sabri bahawa ini mesti menjadi pendirian kita apabila kita kembali berkuasa, sama seperti sebelum ini apabila dia (Ismail Sabri) tidak campur tangan dalam proses kehakiman, atau mempertimbangkan campur tangan sekali pun,” tambahnya.
Walaupun Khairy tidak menyebut "parti lain" yang dimaksudkannya, dia dipercayai merujuk kepada DAP dan kes "banglo" terhadap pengerusi parti itu, Lim Guan Eng.

Bekas presiden Umno Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, manakala presiden semasanya, Ahmad Zahid Hamidi berdepan dengan tuduhan rasuah.

Bukan lagi parti ‘bossku’

Sementara itu, Khairy berkata dia percaya Umno adalah "parti yang baik terdiri daripada orang yang baik" dan mereformasikannya bukanlah agenda yang jauh.

“Kami tahu akan ada pemilihan parti sejurus selepas pilihan raya umum (PRU), sebab itu anda mempunyai barisan pemimpin baru ini, bukan sahaja saya tetapi seperti (ketua penerangan Umno) Shahril Hamdan dan (bekas timbalan ketua Pemuda Umno) Khairul Azwan Harun.

“Saya mahu melihat mereka memenangi tempat di peringkat bahagian, saya mahu melihat mereka menggantikan beberapa pemimpin lama untuk menunjukkan Umno sedang berubah. Ini bukan projek lima atau 10 tahun, ia akan berlaku selepas pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada Umno boleh melakukan pembaharuan dari dalam, Khairy berkata perkara itu mungkin tidak dapat dilakukan pada masa lalu.

“Tetapi kita telah melalui perlbagai kesukaran. Kita kehilangan kerajaan dan ada kesedaran di lapangan,” tambahnya.

Khairy turut mengimbas kembali keputusannya untuk bertanding jawatan presiden Umno selepas PRU 2018.

“Semua orang menyangka saya adalah perosak undi tetapi saya melihat Ku Li (veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai perosak undi. Jika undi kami (undi untuk mereka berdua) digabungkan, saya sudah menjadi presiden Umno,” katanya lagi.
Menjawab soalan lain mengenai pembaharuan dalam Umno selepas sudah dua dekad dalam parti itu dan memegang pelbagai jawatan, Khairy menjawab: “Saya rasa pembaharuan sentiasa ada. Sesetengah orang berkata… ia mengambil masa tetapi saya rasa saya sudah bersedia sekarang, saya telah matang sebagai ahli politik..”

Mengenai sokongannya kepada Najib di tengah-tengah skandal 1MDB yang dilihat bercanggah dengan agenda pembaharuan yang dicanangnya, Khairy menjawab bahawa banyak perkara yang telah terbongkar dari dalam.

“Banyak perbezaan pendapat dalaman berlaku (semasa kemuncak skandal) dan sudah tentu itu bukan alasan, tetapi secara luaran, kami mahu mempamerkan perpaduan menjelang pilihan raya lalu.

“Sudah tentu, selepas kami kalah, saya membuat keputusan bahawa sudah cukup, kita tidak boleh teruskan ini, ini bukan ‘parti bossku’ lagi…” tambahnya.

Khairy, yang akan bertanding di Sungai Buloh pada PRU kali ini, juga mengakui bahawa dia sepatutnya lebih lantang sebelum ini.

“Itu mungkin akan menjadi salah satu penyesalan terbesar saya dalam karier saya tetapi kita melakukan kesilapan dan kita mengakuinya, dan mudah-mudahan, kita boleh menebusnya,” tambahnya.

-Wak Labu Farm

Sabtu, 5 November 2022

PRU 15:DHPP terima 4 kerusi ditawarkan PAS untuk bertanding

 

Pengerusi DHPP, N Balasubramaniam (dua dari kanan) bersama calon PAS Parlimen Jerantut dan penyokong lain ketika penamaan calon.

PETALING JAYA: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diberi satu kerusi Parlimen dan tiga DUN untuk ditandingi pada PRU15.

Jumlah itu jauh berbeza berbanding tiga kerusi Parlimen dan 13 DUN yang diminta sayap penyokong bukan Islam PAS itu.

Pengerusi DHPP, N Balasubramaniam berkata, calon sayap itu bertanding di Parlimen Bukit Mertajam di Pulau Pinang dan DUN Jelapang, Sungkai, dan Pasir Bedamar di Perak.

DHPP menerima keputusan itu atas prinsip setiakawan dan sedar peluang calonnya.

DHPP menerima keputusan itu atas prinsip setiakawan dan sedar peluang calonnya.

“Kami faham dengan kekangan parti terutama tuntutan rakan Perikatan Nasional. Bersatu dan Gerakan juga ramai calon bukan Islam.

“Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan akan terus berkempen untuk PAS,” katanya kepada FMT.

DHPP tidak mendesak diberi kerusi tetapi meminta kerusi tertentu.

Tambahnya, permintaan terhadap kerusi daripada semua parti terlalu tinggi dan tidak pernah disaksikan pada PRU sebelum ini. Keadaan itu menyebabkan DHPP menerima kerusi yang ditawarkan dan berusaha keras walaupun diberi “kerusi yang sangat sukar”.

Calon DHPP di Bukit Mertajam, Koh Tien Yew akan berdepan Steven Sim daripada DAP, dan Tan Yang Pang daripada MCA.

Di DUN Sungai, G Thilak Raj berdepan A Sivanesan daripada DAP, Mahhadee Ramlee (bebas) dan V Elango (MIC).

Di DUN Jelapang, calon DHPP, S Navinten akan menentang Hamidah Muhamad (Makkal Sakthi) dan penyandang kerusi itu, Cheah Pou Hian daripada DAP.

S Surianarayanan akan berdepan Woo Kah Leong daripada DAP dan Kong Sun Chin (MCA) untuk merebut kerusi DUN Pasir Bedamar.

Balasubramaniam berkata, PAS menunjukkan keikhlasan dengan menawarkan jawatan senator kepada sayap itu dua tahun lalu.

Beliau juga berharap, lebih ramai ahli DHPP dilantik sebagai senator pada masa akan datang. Balasubramaniam dilantik sebagai senator pada 2020.-FMT

PRU 15:Pencalonan ditolak SPR, Peter akan fail bantahan di mahkamah

 

Pencalonan Peter Anthony di kerusi Parlimen Tenom ditolak pegawai SPR pagi tadi kerana pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada beliau layak bertanding di Parlimen Tenom pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau akan memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini dan laporan polis dibuat bagi meminta penjelasan mahkamah mengenai status kelayakannya sebagai calon PRU15.

Terdahulu, pencalonan Peter ditolak pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Keputusan itu menyebabkan penyokongnya merusuh di luar pusat pencalonan, dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

“Penghakiman bagi kes saya sebelum ini dibenarkan untuk ditangguhkan (bagi menunggu rayuan), maka ia bermakna saya tidak mempunyai apa-apa kesalahan pada masa ini.

“Semua dokumen itu telah saya serahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya, namun mereka tidak terima perkara ini dan (melayan) saya seolah-olah penjenayah serta tidak layak bertanding,” katanya dalam sidang media di Tenom.

Mei lalu, Peter dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun, selepas didapati bersalah memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah untuk kontrak penyelenggaraan sistem.

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu juga didenda RM50,000.

Menurut laman sesawang SPR, individu yang disabitkan bersalah, dipenjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan, tidak layak bertanding di kerusi DUN dan Parlimen.-FMT

Selasa, 25 Oktober 2022

PRU15: Wan Azizah tanding Bandar Tun Razak, kata sumber

 

Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka dibuat pada Jumaat.

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Sumber dari PKR bahagian Bandar Tun Razak memberitahu FMT, perkara itu disahkan minggu lalu.

Ia sama ada beliau atau Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

“Memandangkan Anwar akan bertanding di Tambun, Wan Azizah (diputuskan) akan bertanding di sini,” kata sumber itu.

Keputusan siapa yang akan dicalonkan dijangka diumumkan Jumaat ini apabila PKR mengumumkan senarai penuh calonnya untuk PRU15.

“Setakat ini, senarai calon sudah 98% lengkap,” kata sumber itu lagi.

Kerusi Bandar Tun Razak dimenangi Kamarudin Jaffar pada PRU14 ketika masih bersama PKR.

Bagaimanapun, beliau adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah kepada Bersatu pada Februari 2020, yang menyaksikan kejatuhan PH.

Sebelum itu, Khalid Ibrahim dari PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak u pada PRU12 dan PRU13.

Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor selepas PRU12 pada 2008 tetapi dipecat PKR pada 2014 selepas enggan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Wan Azizah.

Wan Azizah, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pandan adalah pengerusi PH dan presiden PKR sebelum memberi laluan kepada suaminya, Anwar.

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilaporkan mahu bertanding di Pandan pada PRU15, kerusi yang pertama kali dimenanginya pada PRU13 ketika membuat penampilan sulung di Parlimen.-FMT

Khamis, 13 Oktober 2022

PRU 15:Najib tak layak tanding: Peguam

 

Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun penjara setelah kekal didapati bersalah melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata satu-satu cara untuk Najib bertan­ding pada PRU-15 ialah mendapatkan pengampunan diraja sebelum hari penamaan calon.

Menurutnya berdasarkan Perkara 48 itu, Najib secara automatik hilang kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya kerana bekas Perdana Menteri itu dihukum penjara lebih setahun dan didenda lebih RM2,000.

Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.”

Satu-satu cara Najib boleh bertanding pada PRU-15 ialah kena dapatkan pengampunan diraja bagi membatalkan sa­bitan, kesalahan dan hukuman. Satu jam sebelum penamaan calon pun masih boleh diterima. Namun, jika tiada (pengampunan), dia tidak layak,” katanya menurut Utusan.

Terdahulu, nama Najib adalah antara lima individu yang disenaraikan UMNO Bahagian Pekan untuk bertanding pada PRU-15 akan datang.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang memaklumkan Najib boleh bertanding, walaupun dia sedang menjalani hukuman penjara dan pencalonan boleh dihantar menerusi wakilnya.

Haniff kecewa dengan kenya­taan Ab Rashid kerana apa yang dinyatakan itu bercanggah dengan Perlembagaan dan boleh mengelirukan mas­yarakat.

“Perkara ini perlu berlandaskan fakta kerana termaktub dalam Perlembagaan dan bukannya boleh bagi pendapat dan ulasan begitu sahaja. Sepatutnya dia (Ab Rashid) tahu perkara ini kerana dia bekas Pengerusi SPR,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata Najib tidak boleh bertanding pada PRU-15 kerana telah disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

“Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan.

“Serta dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas,” katanya.

Katanya, walaupun Najib telah memfailkan suatu petisyen bagi pengampunan namun petisyen tersebut hanya menghalang kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli Majlis Parlimen sebagaimana yg diperuntukkan di bawah Fasal (4) Perkara 48.-wrlr

Kenyataan Anwar ‘disalah petik’, PH takkan kerjasama dengan Muhyiddin, kata Guan Eng

 

Lim Guan Eng berkata parti pembangkang lain mesti menerima Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan kerjasama dengan Muhyiddin Yassin hanya boleh berlaku jika Majlis Presiden PH menarik balik keputusan sebelum ini.

PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim disalah petik berhubung kemungkinan kerjasama dengan bekas sekutu Muhyiddin Yassin, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata, Majlis Presiden PH sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan juga Muhyiddin kerana peranannya dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang pada Feb 2020 selepas 22 bulan berkuasa.

“Seseorang itu tidak boleh bekerjasama dengan individu yang mempunyai isu kepercayaan yang serius,” kata Lim dalam kenyataan.

Kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dibuat sekiranya Majlis Presiden PH menarik balik keputusan sebelum ini.

“Saya akan menentang sebarang usaha menarik balik keputusan ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, PH terbuka untuk berunding mengenai kerjasama dengan Muhyiddin dan juga bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Apabila ditanya adakah beliau akan mempertimbangkan kerjasama dengan Mahathir yang juga pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan pengerusi PN, Muhyiddin sekali lagi, Anwar berkata, PH hanya bekerjasama dengan mereka yang menolak rasuah dan salah guna kuasa.

Mengenai kemungkinan kerjasama dengan Mahathir, Lim berkata, PH sedia bekerjasama dengan parti pembangkang tanpa syarat kecuali menerima Anwar sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan pendirian Mahathir,” katanya dengan menambah, Anwar memberi jaminan kepadanya mengenai prinsip ini dan menjelaskan kenyataannya disalah petik.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata parti itu tidak berhasrat mengadakan perbincangan dengan GTA dan PN berhubung kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15.

Anwar juga sebelum ini menolak kerjasama dengan Mahathir lagi dalam pilihan raya akan datang kerana pendirian pemimpin itu terhadap sesuatu perkara sering berubah-ubah.-FMT

Ahad, 2 Oktober 2022

Kadang-kadang UMNO tidak fikir panjang, kata Hamzah

 Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KOTA KINABALU: BERSATU menyifatkan tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai tidak mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ini kerana keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 perlu dibuat selepas mendapat pandangan daripada Jemaah Menteri.

Katanya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara itu tetapi beliau perlu mendapatkan pandangan anggota Kabinet terlebih dahulu.

Apakah itu tujuan dan matlamat mereka? Saya tak tahulah... yang pentingnya dalam Perlembagaan bahawa Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen setelah berbincang dengan anggota Kabinet.

"Apabila sudah sampai waktu untuk kerajaan membubarkan Parlimen, mungkin kerana sudah adanya keperluan untuk rakyat melantik atau mencari kerajaan yang baharu.

"Kalau kerajaan yang ada hari ini baik, sepatutnya diteruskan sehingga tamat tempoh," katanya pada sidang media selepas dialog awam Program Kita Demi Negara Siri Kedua Zon Sabah bertempat di pekarangan Stadium Likas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MKT UMNO membuat ketetapan PRU15 diadakan tahun ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata UMNO perlu peka bahawa kerajaan dibentuk hari ini bukan diterajui sebuah parti dominan, sebaliknya terdiri daripada pelbagai parti politik sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pembubaran Parlimen.

Jadi kena fikir panjanglah. Kadang-kadang UMNO tidak berfikir panjang dan ini masalah. Saya pula fikirkan kepentingan rakyat kerana segala apa yang kita lakukan adalah untuk kepentingan rakyat.

"Visi kita adalah untuk memastikan negara kita menjadi antara negara terbaik di dunia yang mana semua di seluruh dunia datang untuk melawat, duduk dan memajukan negara ini bersama undang-undang yang dipercayai serta diyakini," katanya.

-BH Online 

Selasa, 20 September 2022

PRU15: PAS terus pelawa UMNO untuk bekerjasama

 

KUALA LUMPUR: PAS terus mempelawa kerjasama antara parti itu dan UMNO diteruskan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika berjaya memenangi pilihan raya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti yang membentuk kerajaan ketika ini untuk terus bekerjasama menghadapi PRU-15 seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berotoriti.

"PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan Ta'awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU-15 nanti.

"Sebaliknya, PAS tetap menegaskan musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk 'khemah besar'. PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti utama Melayu Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU-15," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAS yakin agenda penyatuan ummah dan perpaduan nasional antara orang Melayu Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15.

"Gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahaja mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat, di samping memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

"Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU-14," katanya.

Ini adalah kenyataan kedua dikeluarkan Takiyuddin dalam tempoh dua minggu berkaitan pelawaan parti itu untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO selepas ia diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang baru-baru ini.

Sehingga kini, UMNO masih belum memberi jawapan muktamad terhadap pelawaan kerjasama oleh PAS dalam PRU, dengan hal berkenaan dijangka dibincang dan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual pada 30 September ini.

-BH Online

Isnin, 5 September 2022

Khairy Ke Port Dickson, Anwar Ke Tambun PRU15 Ini?

 

Khairy dikatakan boleh bertanding hampir mana-mana kerusi Parlimen di Negeri Sembilan kerana beliau “boleh menyesuaikan diri secara semula jadi”.

Tetapi bukan kerusi Seremban, kerana ia boleh memusnahkan kerjaya politiknya kerana beliau mungkin berdepan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang memenangi kerusi Parlimen itu sejak 2008.
Ini selaras dengan pendapat Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Negeri Sembilan, Datuk Chong Vee Hing yang mengakui, mana-mana parti sekali pun tidak berupaya memenangi kerusi tersebut sekiranya masih ditandingi oleh Siew Fook.

Menurut Vee Hing, dapatan itu hasil penelitian dan analisis yang dijalankan pihaknya sebelum ini di kerusi berkenaan.

“Hasil penelitian, semakan dan analisis, kami lihat (kerusi) Seremban memang kritikal. Jika Anthony Loke (Siew Fook) masih di sana, tiada peluang untuk mana-mana parti, walaupun Barisan Nasional (BN),” katanya pada Persidangan Perwakilan Negeri Ke-47 Wanita dan Pemuda Ke-35 Gerakan Negeri Sembilan di sini, kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Siew Fook memenangi kerusi tersebut dengan selesa apabila mendapat majoriti undi sebanyak 30,694, menewaskan calon BN, Datuk Chong Sin Woon yang memperoleh 24,809 undi dan calon Pas, Shariffuddin Ahmad dengan 11,506,

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Khairy boleh bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, tetapi hanya jika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak bertanding semula di sana.

Jika Anwar bertanding di kerusi lain, katanya, terdapat peluang baik untuk Khairy merampas semula kerusi Port Dickson buat UMNO.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Khairy berpeluang menang di banyak kerusi campuran kerana prestasinya sebagai menteri Kabinet sejak 2020 diterima baik kebanyakan rakyat Malaysia.

Ditanya mengenai keputusan untuk bertanding di kerusi mana pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Ketua Pembangkang berkata, sama ada dia akan meninggalkan kerusi parlimen Port Dickson untuk ke kawasan lain atau sebaliknya, akan diputuskan pada masa yang sesuai.

Buat masa ini, katanya, hal itu sedang dipertimbangkan.

"Saya sedang teliti... rakan-rakan di Port Dickson minta saya teruskan (di kerusi sekarang), (PKR) Tambun mengatakan mereka sudah bersiap sedia, dan beberapa kawasan lain (juga minta bertanding)," kata Anwar Ibrahim.

Untuk rekod ketika ini kerusi parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, yang memenanginya atas kapasiti calon PH.

Ahmad Faizal menyertai gerakan Bersatu meninggalkan PH - sekali gus menjatuhkan kerajaan berkenaan - semasa Langkah Sheraton. Dia kini menyertai kabinet sebagai menteri belia dan sukan.

Laporan berkaitan..

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin masih merupakan aset kepada parti itu dan tidak mungkin digugurkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, membazir untuk Umno tidak mencalonkan Khairy, manakala Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, parti itu akan mendapat persepsi negatif.

Azmi memberitahu FMT, Khairy menunjukkan prestasi baik sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi, di mana beliau memikul tugas besar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan kini menjadi menteri kesihatan.

“Walaupun beliau agak menyendiri, menentang Presiden (Ahmad Zahid Hamidi), keseluruhannya beliau adalah aset Umno, khasnya dalam menarik pengundi neutral,” kata Azmi.

“Khairy tidak lantang menentang kehendak presiden, berbanding individu lain seperti (Ahli Parlimen Ketereh dan bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa).”

Oh pula berkata, Khairy menampilkan imej reformis yang amat diperlukan Umno, sesuatu yang sangat diperlukan untuk parti itu menarik sokongan pengundi atas pagar.

Tetapi, beliau mendapati Khairy berpotensi menghadapi kesukaran kerana beliau tidak disenangi “puak arus perdana” dalam Umno.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, beliau mungkin tidak bertanding dalam PRU15 selepas diminta “memberi laluan” kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan di kerusi Parlimen Rembau.

“Tak apa, senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” kata Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal.

Azmi berkata, Khairy boleh bertanding hampir mana-mana kerusi Parlimen di Negeri Sembilan kerana beliau “boleh menyesuaikan diri secara semula jadi”.
Tetapi, Azmi dan Oh senada, kerusi seperti Seremban boleh memusnahkan kerjaya politiknya kerana beliau mungkin berdepan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang memenangi kerusi Parlimen itu sejak 2008.

Azmi berkata, Khairy boleh bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, tetapi hanya jika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak bertanding semula di sana.

Jika Anwar bertanding di kerusi lain, katanya, terdapat peluang baik untuk Khairy merampas semula kerusi Port Dickson buat Umno.

Oh berkata, Khairy berpeluang menang di banyak kerusi campuran kerana prestasinya sebagai menteri Kabinet sejak 2020 diterima baik kebanyakan rakyat Malaysia ~ FMT

Hannah Yeoh pula mencadangkan agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya selepas Khairy dilaporkan mengakui bakal berpindah dari Parlimen Rembau selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhasrat untuk bertanding di situ.

“KJ (Khairy Jamaluddin) patut bertanding di Putrajaya,” katanya dalam ciapan beliau semalam.

Namun cadangan Hannah itu mengundang kritikan orang ramai khususnya penyokong UMNO yang meminta beliau agar tidak mencampuri urusan dalaman parti... laporannya sila baca di SINI

-Anak Sungai Derhaka

Rabu, 26 Januari 2022

UMNO perlu buang imej rasuah sebelum PRN Johor, PRU15

 


Dalam ucapan dan rencana saya semenjak tahun 2012, iaitu dua tahun sebelum PRU14, saya secara konsisten berkata bahawa UMNO berada di atas landasan yang betul, tetapi masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya.

Untuk pulih semula UMNO perlu membersihkan dirinya daripada pemimpin-pemimpin yang terlibat atau terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka hendaklah berundur atau disingkir. Terus terang saya telah menyebut nama DS Najib dan DS Zahid.

Penyokong-penyokong mereka, terutama sekali orang-orang DS Zahid, sangat marah kepada saya dan mengutuk saya, khususnya keadaan fizikal saya yang uzur itu. Saya tidak kisah.

Saya memuji DS Najib kerana melepaskan jawatan Presiden UMNO. Saya juga memuji DS Zahid kerana bercuti apabila beliau dituduh di mahkamah.

Kebetulan dalam tempoh beberapa bulan itu, apabila DSU Mohamad Hassan memangku jawatan Presiden UMNO dari 20 Disember 2018 ke 30 Jun 2019, BN, tegasnya UMNO, memenangi tiga pilihan raya kecil secara berterusan.

Tiga pilihan raya kecil tersebut adalah:

1. PRK Parlimen P.078 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari 2019.
2. PRK DUN N.24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac 2019.
3. PRK DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan, pada 13 April 2019.

Saya merasa lega dan mengharapkan bahawa itu tanda UMNO sudah mula pulih. Tetapi, melihat perkembangan itu DS Zahid kembali semula memegang teraju UMNO. DS Najib pula dibawa balik sebagai Penasihat UMNO.

Saya melihat ini sebagai tanda UMNO tidak akan berubah. Apa yang berlaku semenjak itu hingga sekarang menunjuk ke arah itu.

DS Najib dan DS Zahid nampak seperti mula menggunakan UMNO untuk membebaskan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka, manakala ahli-ahli MKT menurut perancangan mereka. Dalam keadaan itu saya tidak fikir UMNO akan berubah.

Keputusan PRN Melaka yang di luar dugaan itu menyebabkan saya menulis, antara lain:

“Pengajaran paling penting kepada UMNO ialah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh dan mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser yang merebak dari dalam.

Pemimpin-pemimpin UMNO jaga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO dalam PRU 14.

Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi DS Zahid. Ia adalah in spite of him. Ini kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.

Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara semenjak Merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, DS Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO.

Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya dalam PRU 14. Mereka boleh membantu kempen UMNO dari belakang tabir. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka perolehi daripada UMNO selama ini.

Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik “Hidup Bossku” sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive). Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.”

Seorang bekas Ahli MKT UMNO menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak mempedulikan saya kerana saya sudah bedridden. “Apa yang dia tulis ni aku pun tak pasti ini Tun Hamid tulis ker atau macai mana yang tulis, kan? Dia bedridden, bila masa dia tulis? Dari dia punya otak dia tu, tak tau nak cakap apalah. Dia memang pro, nampak gaya memang pro kepada Muhyiddin. Dan dia tak boleh fikir bahawa Dato Seri Zahid dituduh di mahkamah kerana apa, kerana dia tak nak membubarkan UMNO, kalau dia membubarkan UMNO dia tak didakwa sampai 80 lebih pertuduhan.”

Tidak mengapa, saya tidak mahu menjawabnya. Saya tidak akan turun ke tingkat itu. Biarlah pembaca berfikir sendiri.

Saya cuma hendak mengemukakan satu soalan kepada pemimpin UMNO tersebut: Jika itulah sebabnya DS Zahid dituduh, mengapa dari awal lagi DS Zahid tidak menggunakan alasan itu untuk membuat permohonan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya atau membangkitkan isu itu dalam soal balas saksi-saksi pendakwaan untuk membolehkannya membangkitkan alasan itu dalam pembelaannya jika dan apabila beliau dipanggil membela diri?

Biar apa pun, DS Zahid telah dipanggil membela diri dalam 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah), lapan pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM (rasuah) dan 27 pertuduhan money-laundering.

Ertinya, berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Maka, terserahlah kepada beliau untuk membela dirinya.

Pada masa yang sama, DUN Johor telah dibubarkan dan kemungkinan PRU 15 diadakan dalam masa yang terdekat semakin kuat. PAS tidak boleh diharap untuk berganding bahu dalam menghadapi PRN Johor dan PRU 15. Sebab-sebabnya saya telah beri dalam “Keputusan PRN Melaka: Pengajaran Kepada Parti-parti Melayu Dalam PRU 15” (22 11 2021). Maka, UMNO perlu menghadapinya sendirian.

UMNO boleh merasa lega dengan keputusan PRN Melaka itu dan mengharapkan ia akan berulang di Johor. Tetapi, ada faktor-faktor lain yang mungkin menjadi penghalang.

Pertama, Johor adalah negeri TS Muhyiddin. Pengaruhnya tentu masih ada, cuma kita tidak tahu setakat mana kuatnya.

Kedua, ini kali pertama pengundi-pengundi 18 tahun hingga 21 tahun akan mengundi. Kita boleh meneka dengan yakin pengundi-pengundi muda keturunan Cina akan bersepadu mengundi calon DAP dan PH. Tetapi, perkara seperti itu tidak mungkin berlaku kepada pengundi-pengundi muda Melayu: undi mereka akan berpecah, paling kurang kepada empat kumpulan, mungkin lebih.

Pertama, ada yang idealistik yang merasa mereka lebih pandai daripada semua penjawat awam dan hendak mengubah dunia. Mereka mungkin tertarik dengan parti MUDA yang juga berpusat di Johor.

Kedua, ada sekumpulan yang menggelar diri mereka liberal, yang tidak mahu dikenali sebagai Melayu lagi dan telah lupa daratan walaupun hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Mereka ini tentu akan mengundi PH “untuk menentang politik rasis, merobohkan sistem feudal yang lapuk dan mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil (fair) kepada semua orang tanpa mengira kaum.”

Ketiga, ada satu kumpulan yang taksub dengan jenama Islam, sedangkan isinya tiada apa beza dengan yang lainnya. Mereka akan mengundi PAS dan PAN.

Keempat ialah kumpulan yang merasa terhutang budi kepada BN, khususnya UMNO yang telah mengubah nasib datuk dan ibu bapa mereka hingga membolehkan keluarga dan diri mereka berada di mana mereka berada sekarang. Mereka tahu UMNO tidak sempurna tetapi, sekurang-kurangnya, ia mempunyai track record yang boleh menjadi asas ukuran. Mereka ini akan mengundi UMNO/BN.

Perpecahan akan lebih buruk jika Pejuang, Perkasa dan Warisan juga turut serta. Walaupun tidak berapa banyak undi yang mereka akan perolehi, tetapi dalam pertandingan banyak penjuru, ia cukup untuk memberi kemenangan kepada PH. Malays never learn.

Faktor yang akan amat sangat mempengaruhi golongan muda ini adalah perkataan “rasuah”, “penyalahgunaan kuasa” dan “integriti”. PH akan menggunakan perkataan-perkataan itu sebagai senjata paling tajam mereka terhadap UMNO dan golongan muda akan termakan dengannya. Sekarang pun PH telah memulakan perang urat saraf itu, dengan membesar-besarkan tuduhan tehadap TS Azam Baki.

Bagi saya, inilah faktor utama yang, jika tidak ditangani dengan tegas, akan menyebabkan kekalahan UMNO/BN dan memungkinkan berulangnya pemerintahan PH.

Maka, UMNO tidak ada pilihan. Ia mesti buang imej rasuah yang ada padanya. Ia mesti rehatkan pemimpin-pemimpinnya yang terlibat atau terpalit dengan rasuah. DS Najib dan DS Zahid mestilah berundur atau direhatkan.

Diharapkan Majlis Tertinggi UMNO dan/atau Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 ini akan dapat menyelesaikan isu ini sebelum PRN Johor dan PRU 15. Menunggu Perhimpunan Agung UMNO 2022 mungkin terlalu lewat.

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

-Agenda Daily