Khamis, 4 Julai 2024

PRK Nenggiri: Bersatu pilih anak Gua Musang sebagai calon

 

Kamarudin
Kamarudin

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kamarudin Md Nor mengesahkan kesemua tiga nama yang dihantar untuk menjadi calon wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah anak kelahiran Gua Musang.

Beliau berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRK 17 Ogos ini.

"Kesemua calon itu mempunyai latar bekalang yang baik dan mampu menepati cita rasa rakyat Nenggiri.

"Dua calon itu adalah bekas kakitangan awam dan seorang lagi pemimpin setempat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan oleh kepimpinan parti tidak lama lagi.

Ujarnya, beliau telah selesai menyerahkan nama-nama calon pada dua hari lalu untuk dinilai.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi.

-SH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan