
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal dalam misi memburu kemenangan kedua selepas dibelasah 1-4 oleh Pohang Steelers FC pada aksi pusingan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Kekalahan itu meletak skuad Harimau Selatan turun ke tangga ketiga dengan kekal tiga mata dan kelab dari Korea Selatan itu melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul enam mata, manakala Nagoya Grampus kekal selaku pendahulu kumpulan selepas membelasah Ratchaburi FC 4-0 pada aksi pertama.
Kesilapan Leandro Velazquez, Mauricio Dos Santos dan Matthew Davies yang menghadiahkan sepakan penalti pada babak pertama dan babak kedua walaupun di awal perlawanan Velazquez mencipta jaringan buat JDT untuk mendahului 1-0 nyata meranapkan impian Harimau Selatan memburu kemenangan.
Beraksi di padang yang basah tampak tidak beri masalah buat Pohang Steelers menghadirkan cemas di kubu JDT pada minit ke-11 berpunca daripada kesilapan Velazquez yang mengumpan bola ke belakang dan sempat di sambar Borys Tashti yang menyusup masuk ke dalam kotak dan merembat bola leret namun sempat diselamatkan penjaga gol, Farizal Marlias.


















