"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Inspirasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Inspirasi. Papar semua catatan

Khamis, 5 Februari 2026

Dari seorang banduan kes bunuh kini bergelar Doktor Falsafah yang berjaya

 


Bayangkan pada umur 14 tahun datang KL dari Sabah dengan niat nak cari kerja tapi berakhir dengan tuduhan membunuh.

Ini bukanlah plot filem aksi, tetapi realiti pahit yang terpaksa ditelan oleh Murad atau kini lebih dikenali sebagai Dr. Murad. 

Seringkali kita rasa ujian kita sudah cukup berat namun bila kita dalami kisah beliau, barulah kita sedar erti syukur yang sebenar.

1. Harapan Yang Dikhianati

Kisah sadis ini bermula jauh di pedalaman Sabah. Didorong keinginan membara untuk mengubah nasib keluarga, Murad nekad mengikut seorang lelaki yang baru dikenali sebagai ejen pekerjaan. 

Beliau dijanjikan gaji RM800 sebulan satu jumlah yang besar buatnya ketika itu. Walaupun ditentang hebat oleh ibu bapa kerana faktor usia dan tiada kenalan di Semenanjung Murad tetap melangkah pergi.

2. Terperangkap Dalam Neraka Dunia

Tiba di Kuala Lumpur pada tahun 2001, impian menjadi pembuat kek berkecai. Murad dan lapan rakannya ditipu hidup-hidup. 

Mereka dijadikan buruh paksa tanpa gaji, dokumen dirampas, dan sering dipukul jika tidak menurut perintah. 

Dalam usia yang sangat mentah Murad terpaksa bekerja sehingga tengah malam dalam ketakutan dan penyesalan yang tidak berhujung.

3. Detik Hitam Di Pintu Grill

Selepas lima bulan menderita takdir membawa Murad ke satu malam yang tragis. Terlihat pintu grill terbuka Murad cuba melarikan diri dari 'neraka' tersebut. 

Namun, tindakannya dihidu majikan yang kemudian bertindak memukulnya tanpa belas kasihan. 

Dalam keadaan terdesak demi mempertahankan nyawa beliau mencapai pisau (kerana tugasnya sebagai tukang masak) dan tertikam majikannya dalam pergelutan tersebut.

4. Pelarian Dan Penangkapan

Murad melarikan diri ke lapangan terbang untuk pulang ke Sabah dengan sisa wang yang ada. Namun tepat jam 6 pagi sebelum menaiki pesawat dunia Murad gelap apabila beliau ditahan polis. 

Majikannya disahkan meninggal dunia. Oleh kerana faktor umur di bawah 18 tahun, beliau terlepas daripada hukuman gantung tetapi dijatuhi hukuman Tahanan Limpahan Sultan bermaksud beliau dipenjara tanpa tarikh bebas yang pasti, bergantung sepenuhnya kepada pengampunan Tuanku

5. Hidayah Dan Cahaya Ilmu

Di sebalik tembok batu, Murad menemui sinar baru. Beliau memeluk Islam dan mula menyedari bahawa hanya ilmu mampu merubah darjatnya. 

Walaupun asalnya hanya tamat darjah enam dan tidak tahu membaca, penjara dijadikan universiti kehidupan. 

Beliau membuktikan keajaiban dengan menggenggam SPM, STPM, Ijazah, Sarjana dan akhirnya PhD.

6. Keajaiban Penajaan

Belajar di penjara memerlukan kos sendiri, namun aturan Tuhan itu sangat indah:

▶️ SPM & STPM: Dibiayai melalui bantuan zakat Mualaf.

▶️ Ijazah (Degree): Mendapat Dermasiswa sepenuhnya daripada Open University Malaysia (OUM).

▶️ Sarjana (Master): Mendapat sokongan biasiswa daripada hamba Allah yang percaya kepada potensi beliau tanpa mengharapkan sebarang balasan.

▶️ PhD: Ditaja sepenuhnya oleh pihak OUM sebagai graduan PhD pertama dari tirai besi.

Dalam podcast tersebut Dr. Murad secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Datuk Dr. Hartini sebagai individu yang sangat berjasa memberikan biasiswa dan sokongan moral kepada beliau sepanjang proses transformasi tersebut.

7. Peluang Kedua Buat Dr. Murad

Selepas 24 tahun meringkuk di sebalik tirai besi, Dr. Murad akhirnya mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor. 

Beliau kini pulang ke pangkuan keluarga di Sabah bukan lagi sebagai banduan, tetapi sebagai seorang ilmuwan dan usahawan tani yang mahu membantu bekas banduan lain melalui syarikatnya, Hikmas Enterprise.

Kadang-kadang kita rasa hidup kita paling susah tapi kisah Dr. Murad ini mengajar kita bahawa masa lalu bukan penjara sebenar minda yang menyerah itulah penjara yang paling kejap.

Tahniah Dr. Murad! 

Ini bukti nyata bahawa peluang kedua itu sentiasa ada asalkan kita sendiri yang nekad untuk menciptanya.

Credit sumber berita : Studio 9 UMS / Penang Netizen

Source 

Jumaat, 11 April 2025

Ikon:Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady.

 


Golongan muda mungkin tidak ramai kenal nama arwah Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady.

Nama tokoh usahawan Melayu dan syarikat Securiforce ini tak dapat dipisahkan.

Syarikat ini antara yang nama besar dalam servis perkhidmatan keselamatan.

Semasa kecil, arwah Datuk Maznah tinggal bersama neneknya di Jerlun, Kedah kerana kedua ibubapanya telah bercerai.

Sebelum jadi businesswoman, beliau bekerja sebagai guru bahasa persendirian dan penterjemah bahasa di beberapa kedutaan asing sekitar Kuala Lumpur. 

Di sini beliau bergaul dengan golongan kaya dan berjaya serta didedahkan dengan gaya hidup dan cara pemikiran mereka. Ini pengaruhi dirinya dan bentuk cara berfikirnya.

Arwah melihat kekayaan ia hanya boleh dicapai dengan berniaga. Malah, ada orang kenamaan nasihatkan beliau agar ceburi bisnes yang belum dibuat oleh orang lain.

Bekerja di kawasan dan rumah orang kaya yang ada rumah pengawal, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi berinya idea untuk ceburi bisnes kawalan keselamatan.

Ketika itulah datang satu tawaran untuk ambil alih sebuah syarikat kawalan keselamatan yang hampir bankrup. 

Arwah Datuk Maznah dan suaminya, tidak lepaskan peluang dan terus belinya dengan harga lima ribu ringgit pada tahun 1980.

Ia dimulakan dengan 5 orang pengawal keselamatan dan 5 orang pelanggan yang terdiri orang kenamaan. 

Pada peringkat awal, arwah dan suaminya terpaksa buat semua kerja termasuk jadi pengurus, kerani, akauntan dan penyambut tetamu.

Malah, mereka pernah jadi pengawal keselamatan gantikan pengawal keselamatan yang bercuti Hari Raya. Arwah Datuk Maznah mengawal sebuah pasaraya manakala suaminya mengawal rumah kediaman seorang kenamaan. 

Untuk tambah modal bagi tampung belanja syarikat, Datuk Maznah buat pelbagai jenis pekerjaan termasuk jual insurans, mengajar, menterjemah, jadi ejen hartanah dan juga ejen jualan langsung.

Mereka pernah mohon pinjaman bank tetapi tidak berjaya. 

Jadi, arwah Datuk Maznah dan suaminya jual rumah mereka dan pindah ke kawasan setinggan yang tiada bekalan elektrik dan air yang sewanya hanya 50 ringgit sebulan.

Selama dua tahun pasangan ini duduk di kawasan setinggan dan pengorbanan mereka ini berbaloi kerana modal dari hasil jualan rumah itu berjaya bantu kembangkan bisnes tersebut.

Kerana berjaya bangunkan bisnesnya tanpa sebarang pinjaman dan juga bantuan kerajaan, Datuk Maznah sering nasihatkan usahawan muda;

"Jangan sesekali mulakan bisnes dengan wang pinjaman."

(Al Fatihah untuk arwah dan semoga Allah SWT merahmati roh beliau).

Perkongsian: Mazlan Mohamad

Source 

Selasa, 14 Mei 2024

Ibu contoh:Semua 12 anak menjadi

 FAUZIAH bersama 12 anak, cucu dan cicit ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

FAUZIAH bersama 12 anak, cucu dan cicit ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

Kota Bahru: Pengorbanan seorang ibu mendidik 12 anak berbaloi apabila kesemua mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Wanita berkenaan, Fauziah Awang, 79, berkata, dia dan Allahyarham suami, Wan Ismail Wan Mahmood yang meninggal dunia sejak 18 tahun lalu itu sangat menekankan didikan agama dan pendidikan akademik dalam kehidupan anaknya bagi memastikan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Malah, hasil didikan itu menjadikan kesemua anak mereka berjaya apabila tiga daripadanya menjadi pensyarah di universiti terkemuka negara dengan jawatan profesor dalam bidang undang-undang syariah, bioteknologi dan pembangunan komuniti dan ekonomi manakala empat lagi terbabit dalam bidang perniagaan.

Selebihnya, masing-masing seorang menjadi guru agama, pegawai belia, pegawai kewangan, jurutera dan bekerja sendiri.

Nenek kepada lebih 40 cucu itu juga menjadi ibu contoh dan dianugerahkan Keluarga Mawaddah peringkat negeri Kelantan pada 2021.

Fauziah berkata, sejak anaknya kecil, dia bersama suami memberi didikan agama apabila mengajar al-Quran sendiri di rumah, manakala arwah suaminya mencari rezeki sebagai usahawan dan kontraktor binaan.

"Sebaik pulang dari sekolah, saya akan memastikan anak mengaji al-Quran dan menyiapkan kerja sekolah sebelum mereka memulakan aktiviti yang lain.

"Saya juga akan memantau pergaulan anak bagi memastikan mereka tidak salah memilih kawan kerana ia akan memberi kesan kepada pelajaran dan kehidupan. Selain itu, tidak ada tips khusus dalam mendidik anak-anak, tetapi sebagai ibu bapa kita perlu tegas dan pada masa yang sama memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Alhamdulillah, semua anak taat dan saya sentiasa menasihati mereka secara berhikmah," katanya yang tinggal di Kampung Pangkal Changgong, Machang.

Menurutnya, memberi nasihat dan teguran kepada anak sangat penting untuk memastikan mereka sentiasa ingat apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan harian.

"Anak akan jadikan kita contoh tauladan untuk membina kehidupan mereka. Jadi sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa menjaga pertuturan," katanya.

Fauziah bersyukur semua anak-anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi termasuk berkelulusan doktor falsafah (PhD).

Katanya, 12 anak-anaknya iaitu Wan Rosmawati Wan Ismail, 62; Rosminah, 60; Wan Zaiton, 58; Wan Kamaruzaman, 56; Wan Abdul Rahman, 53; Dr Wan Ahmad Kharsani, 51; Profesor Dr Wan Abdul Fattah, 49; Wan Mohd Khairi, 46; Profesor Dr Wan Iryani, 45; Profesor Dr Wan Ahmad Amir Zal, 42; Wan Nurul Huwaina, 41, dan Wan Zulkarnain, 36, sudah berkeluarga dan ini mempunyai kehidupan masing-masing.

-myMetro 

Sabtu, 27 April 2024

Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?

 "Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?"

Tanyalah orang Kelantan, mesti majoritinya akan beli buku di SMO. Bila dah nak habis cuti sekolah je, pasti SMO penuh diserbu budak-budak sekolah yang nak beli kelengkapan persekolahan.

Malah Pesta Buku Kelantan yang sedang berlangsung sekarang di Mydin Tunjong sehingga 4 Mei 2024 turut dianjurkan oleh SMO Sdn Bhd.

Macam mana sebenarnya sejarah SMO ini bermula?

SMO yang merupakan akronim kepada Syarikat Muda Osman dibangunkan oleh Allahyarham Haji Muda Osman pada 1939. Wah lama dah rupanya SMO ni!

SMO bermula sebagai perniagaan yang menjual karung guni, pinggan mangkuk, kisaran dan kitab berpusat di Pasir Mas, Kelantan. Sekitar 1940-an, perniagaan runcit ini diteruskan dengan menambah perkhidmatan menjahit baju dan songkok.

Pada 1955, SMO dilantik sebagai “sub-distributor” untuk mengedarkan rokok Malayan Tobacco Company di kawasan Pasir Mas.

Pada 1961, SMO menukarkan perniagaan mereka dari menjual pinggan mangkuk dan peralatan dapur kepada buku dan alat tulis.

Setahun kemudian, mereka dilantik menjadi ejen untuk mesin jahit jenama PFAFF (Jerman) di kawasan Pasir Mas.

Lama-kelamaan, anak-anak Haji Muda Osman mengembangkan perniagaan ke Kota Bharu pada 1967 dengan membuka sebuah kedai buku dan alat tulis di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu.

Anak-anaknya, Haji Hassan, Haji Othman, dan Haji Yusoff meneruskan perniagaan SMO ini sehinggalah ianya diturunkan kepada generasi ketiga iaitu cucu-cucu Haji Muda Osman iaitu Tuan Haji Ahmed Azim Othman, Tuan Haji Noor Hisham Yusoff, dan Tuan Haji Ahmed Azman Othman.

Siapa sangka, pada 1976 SMO dilantik menjadi pengedar tunggal buku Dewan Bahasa dan Pustaka untuk seluruh negeri Kelantan. Selepas lebih 10 tahun, Syarikat Muda Osman diperbadankan menjadi sebuah syarikat sendirian berhad yang membawa konsep “kedai buku dan alat tulis serba lengkap serta selesa” dengan membuka sebuah kedai di Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu pada 1987.

SMO terus berkembang dan pada 1993, mereka membuka sebuah kedai buku dan alat tulis serba lengkap di Pasir Puteh.

Pada tahun 1998, walaupun dalam suasana ekonomi negara yang sedang meleset SMO telah menambah modal dibenarkan dari RM500,000 ke RM5,000,000 dan modal berbayar dari RM165,003 ke RM1,005,003. Ini menunjukkan satu petanda positif dari segi penilaian prestasi, keupayaan perniagaan dan kestabilan kewangan.

SMO yang pada asalnya menjadi pengedar rokok Malaysian Tobacco Company bagi seluruh negeri Kelantan termasuk utara Terengganu memberhentikan perniagaan rokok tersebut pada 1999 dan hanya tertumpu pada buku dan alat tulis. Pejabat cawangan pengedaran rokok SMO di Machang diubahsuai menjadi kedai buku dan alat tulis.

SMO telah diiktiraf sebagai pengedar tunggal Dawama Sdn. Bhd. untuk buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di seluruh negeri Kelantan di samping beberapa penerbit yang tidak asing lagi di kalangan pembaca. 

SMO juga merupakan pembekal utama buku-buku teks pelajaran ke sekolah-sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan. 

SMO juga merupakan penaja kepada beberapa Pesta Buku Kelantan, satu acara tahunan anjuran Jabatan Pelajaran Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) bagi mempromosikan buku-buku disamping menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta kanak kanak di pelbagai peringkat usia.

Kini, SMO telah mempunyai 32 cawangan rangkaian kedai buku dan alat tulis di seluruh negeri Kelantan seperti di Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Rantau Panjang, Tumpat dan tak ketinggalan di Terengganu, Pahang dan Selangor.

Oleh: Azizul Farhan

___


Credit 

Rabu, 4 Mei 2022

KELUARGA B40 AYUH BUKTIKAN, KITA JUGA BOLEH BERJAYA !!!

Dulu keluargaku hidup susah. Serba serbi dalam kekurangan. Kadang-kadang makan pun bercatu. Lauk telur goreng biasanya dipotong dua, kongsi makan dengan adik beradik yang ada.

Aku adalah anak sulong dari 6 adik beradik. Sebagai anak sulong, Aku menyaksikan segala keperitan dan kepayahan mak dan ayah Aku membanting tulang dalam membesarkan Aku dan adik-beradik.

Arwah bapaku adalah seorang bekas askar tidak berpencen. Mak Aku pula adalah seorang surirumah sepenuh masa.

Selepas berhenti dari askar, arwah bapaku mencari rezeki dengan menanam sayur. Ibuku pula membantu dengan mengambil upah jahit baju dan menoreh getah.

Masih Aku ingat, masa sekolah dulu Aku jarang makan kat kantin sekolah sebab duit sekolah Aku cukup2 beli kuih dan tambang bas saja.

Kalau teringin nak beli nasi lemak atau mee kari kat kantin tu memang kena kumpul 2 hari duit sekolah baru cukup. Selalunya Aku bawa bekal saja dari rumah.

Selepas SPM tahun 1996, Aku bekerja sebagai operator kilang di Machap Johor. Itulah pengalaman pertama Aku bekerja untuk mencari duit sendiri. 

Gaji basic Aku masa tu RM300 sebulan, campur dengan OT dapatlah dalam RM400 camtu. Kerjanya agak penat, hampir 13 jam sehari dan setiap masa kena berdiri.😥

Lepas result SPM keluar, Aku mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) kampus di jalan Gurney, dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik & Elektronik. 

Jalan Gurney sekarang sudah ditukar nama ke jalan Semarak. Banyak juga kena guna duit masa mula-mula nak daftar masuk ke UTMKL dulu.

Kalau tak silap Aku dalam seribu lebih jugak untuk bayar yuran dan asrama penginapan. Kalau nak harap duit gaji kerja kilang saja memang tak cukup.

Masa tu lah Aku rasa sangat sebak dan bersalah bilamana melihat mak Aku terpaksa korek tabung simpanan duit upah menjahit dia semata-mata nak tengok Aku masuk U.

Sampai sekarang Aku masih ingat lagi masa mula nak lapor diri di UTMKL. Betapa gembiranya wajah mak tengok Aku nak masuk U.

Aku bertolak dengan van Ford lama tanpa aircond dari Johor bersama ahli keluarga termasuk datuk dan nenek sekali.

Sebenarnya memang itulah impian mak Aku. Dia ingin buktikan yang anaknya juga boleh berjaya sama seperti anak orang lain.

Mengenangkan keluarga Aku yang susah, Aku cuba jimat sehabis yang boleh masa semester pertama tu. 

Sepanjang 3 bulan pertama di Universiti, hampir setiap hari Aku makan maggi sebagai makan malam. Natijahnya, suatu hari Aku telah diserang migrain dan sakit kepala yang teruk ketika kuliah.

Aku stop makan maggi selepas kejadian itu dan mula mengambil nasi dan telur mata sebagai menu makan malam.

Masa cuti sem tahun ke-2, Aku mula buat kerja part time sebagai "security guard". 

Gigih kumpul duit sebab taknak susahkan keluarga dikampong. Nasib baik la dapat duit biasiswa JPA masa tu. Bolehlah survive sikit-sikit...

Lepas habis Diploma, Aku dapat kerja sebagai "technician" kat kilang Sharp di Sri Gading Batu Pahat Johor.

Kerjanya ialah repair "viewcam". Aku masuk kerja masa tu dengan gaji basic RM970 sebulan.Dekat setahun setengah jugaklah Aku kerja kat kilang Sharp ni.

Satu hari tu Aku terbaca iklan jawatan kosong bagi pengambilan Inspektor untuk tahun 2001. Gaji basic Inspektor masa ni ialah RM1106 bagi lulusan Diploma Kejuruteraan.

Tanpa berlengah Aku pun trylah mohon, manalah tahu ada rezeki Aku jadi pegawai polis macam Inspektor Mazlan lakonan AC Mizal dalam "Gerak Khas".

Alhamdulillah, rezeki tak pernah salah alamat...Aku berjaya dalam temuduga pengambilan Inspektor Polis tersebut. 

Aku tak sangka Ya Allah. Aku terpilih diantara beribu yang layak ke peringkat akhir dalam temuduga itu.

Daripada 26 ribu permohonan, Aku antara 114 orang yang terpilih untuk menjadi seorang pegawai polis. Aku bersyukur kerana cita-cita dan impian Aku tercapai akhirnya.

Selepas tamat latihan asas kepolisan yang berjalan selama setahun, sekali lagi tuah memihak kepadaku. 

Aku berjaya melepasi saringan ketat ujian pemilihan bagi pengambilan juruterbang baru pdrm. Syukur tak terkata kerana telah terpilih untuk menjadi seorang juruterbang polis diraja malaysia. 

Aku menjalani Kursus Asas Penerbangan (PPL) di Ipoh Perak dan kemudiannya (ATPL) di MFA Melaka pada tahun 2005. Akhirnya, Aku berjaya mendapatkan lesen penuh penerbangan pada tahun 2007. 

Pelbagai cabaran, rintangan dan dugaan yang telah berjaya Aku harungi sebelum berjaya bergelar sebagai juruterbang. Aku telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan PDRM dengan pangkat terakhir sebagai Superintendent Polis. 

Aku bersyukur kerana telah diberikan peluang berjuang mencurahkan bakti demi keamanan dan kesejahteraan rakyat M'sia.

Kini Aku telah mengorak langkah ke kerjaya baru yang diidam-idamkan oleh ramai juruterbang didunia. Hasrat Aku untuk membawa pesawat yang lebih besar juga akhirnya telah dimakbulkan Allah. 

Bagi Aku, tidak lengkap kiranya kerjaya Aku sebagai juruterbang ini jika tidak dapat merasa membawa pesawat besar seperti Boeing ataupun Airbus.

Kawan...

Sememangnya hidup ini keras, hanya yang kuat dan tidak mudah mengalah sahaja akan menang dalam perlumbaan mengejar kejayaan.

Untuk orang muda dan adik-adik diluar sana, tiada formula yang mudah untuk berjaya. Bukan senang nak senang TAPI amat senang untuk susah jika kita mudah menyerah kalah. 

Kejayaan tidak akan datang tanpa usaha, tidak akan datang tanpa doa dan tidak akan datang tanpa Tawakal. 

Bermulalah dari bawah, cari ilmu dan pengalaman supaya kita kuat untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Fokuslah dalam mencari ilmu untuk membina asas masa depan kita. 

Kawan...

Kalau kita miskin dan tidak punya apa-apa, serius orang takkan pandang maupun hormat pada kita. Malah akan ada yang menghina kerana kau adalah golongan B40 yang tidak punya apa-apa.

Dikesempatan ini Aku cuma nak pesan, jika kau sedang belajar, maka belajarlah bersungguh-sungguh, jika kau sedang bekerja atau sedang berniaga, buatlah betul-betul. 

Cuba bina asas yg kukuh dan cari kekuatan untuk berdiri di atas kaki sendiri. Kerana apabila kita kuat, kita akan mampu untuk memberi tanpa mengharapkan ehsan dan simpati orang lain. 

Kepada mereka yang mungkin sedang down, please wake up!!!. Bangkit dari kejatuhan. Bangkit kembali dengan lebih kuat. Anda mampu jadi jauh lebih baik dari apa yang anda fikirkan. 

Hanya diri kita sendiri yang boleh menolong kita dan menentukan sejauh mana kita boleh melangkah pergi. Aku percaya kita semua boleh!!! Yakin Boleh!!!

Percayalah pada Qada dan Qadar. Rezeki itu datang dari Allah SWT. Dia yang pegang kunci pintu rezeki untuk semua Hamba-Nya. 

Sabar adalah kunci kepada kejayaan setiap insan bernama manusia.

Diharapkan coretan Aku ni dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada semua pembaca khususnya golongan B40 yang sudi baca dan follow penulisan Aku hingga akhir...


Sekian, Terima Kasih🤗

Sumber: Fb Mohd Ezairol Rezan Zainol

Jumaat, 17 Disember 2021

Inspirasi: Ditertawa rakan jual kayu api,tetapi......

 MOHAMAD Ammar menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’ yang pada mulanya dibuat secara sampingan. FOTO BERNAMA

MOHAMAD Ammar menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’ yang pada mulanya dibuat secara sampingan. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: "Sekadar mencuba, akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka." Demikian kisah Mohamad Ammar Sobri dengan perniagaan menjual kayu api Unggun By The Shepherd yang pada mulanya dibuat secara sampingan.

Anak muda berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini menjalankan perniagaan jualan 'kambing golek' dan menggunakan kayu api sejak awal 2021, untuk menggantikan arang.

Pada awalnya, beliau menjual kayu api sekadar untuk menampung pendapatan perniagaan 'kambing perap dan golek' yang sedikit terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjual kayu api ini. Asalnya mahu mencuba menu daging yang berasaskan salai. Sebelum ini, kami menggunakan arang untuk bakar daging tapi kali ini kami cuba menggunakan kayu api.

"Jadi semasa tengah buat menu daging smoked, ada rakan yang tanya kenapa tidak tolong sediakan kayu api untuk orang yang minat dengan aktiviti perkhemahan dan juga mahu membuat barbeku (BBQ). Dari situ saya mula terfikir dan cuba peluang ini ditambah pula saya sekeluarga suka berkhemah," katanya dalam wawancara di premis perniagaannya di Kajang, Selangor. baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan perbezaan daging smoked yang dihasilkannya berbeza dengan daging salai yang biasa ada dalam pasaran.

"Daging smoked menggunakan kayu api tetapi dimasak di dalam smoker brick atau dalam smoker offset antara 6 hingga 12 jam (bergantung kepada jenis daging) sehingga daging boleh dimakan terus berbanding daging salai yang perlu dimasak balik, sebagai contoh daging salai masak lemak," katanya.

Menurut Mohamad Ammar, 33, beliau kemudian membuat keputusan untuk menjadikan jualan kayu api sebagai satu lagi sumber pendapatannya selepas yakin ia mempunyai potensi dan mensasarkan golongan yang gemar aktiviti perkhemahan serta sukar mendapatkan bahan bakar itu.

"Sekarang ramai yang suka aktiviti perkhemahan dan kebanyakannya tidak tahu cara untuk mendapatkan kayu api. Daripada situ saya terfikir mengapa saya tidak membekalkan kayu api yang mereka perlukan untuk aktiviti perkhemahan," katanya.

 MOHAMAD Ammar memotong kayu mengikut saiz yang ditetapkan sebelum dijual kepada pelanggan. FOTO BERNAMA

MOHAMAD Ammar memotong kayu mengikut saiz yang ditetapkan sebelum dijual kepada pelanggan. FOTO BERNAMA

Bermula daripada cetusan idea, kemudian lahirlah perniagaan menjual kayu api Unggun By The Shepherd. Untuk perniagaan ini, beliau mempunyai tiga orang pekerja untuk memotong kayu.

"Biasanya pekerja saya akan masuk di kawasan yang hendak dijadikan projek pembangunan semula. Contoh ada kebun getah yang perlu dibersihkan, dan kami akan bersihkan secara percuma dan pokok yang ditebang, kayunya kami ambil sebagai upah.

"Dalam hal ini, kami bekerjasama dengan pihak pemaju, dan kawasan yang dibersihkan adalah untuk projek perumahan, " jelas Mohammad Ammar, sambil menambah pihak bertumpu di kawasan sekitar Klang, Selangor.

Kesemua kayu yang dijual Mohamad Ammar kepada pelanggan adalah batang kayu dari pokok yang boleh ditanam semula seperti pokok rambutan, durian, getah, akasia, petai, cempedak, pokok bakau serta leban.

"Kebanyakan kayu yang dijual adalah daripada pokok buah-buahan. Setiap kayu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Terdapat dua jenis kategori kayu iaitu ringan atau kayu lembut dan kayu jenis keras.

"Contoh kayu lembut ialah kayu pokok getah dan durian. Manakala kayu keras dari pokok bakau, rambutan, cempedak dan leban. Kayu keras sangat sesuai untuk tahan bara, untuk memasak dan sangat sesuai untuk kegunaan perkhemahan," katanya.

Kayu yang dijual mempunyai dua saiz, iaitu yang pendek, bersaiz 22.9 sentimeter sementara yang panjang, bersaiz 45.7 sentimeter. Setiap ikat mempunyai 17 batang kayu dengan harga bermula daripada RM20 hingga RM55, bergantung kepada jenis kayu.

Selain kayu api yang dijual kepada pelanggan, Mohamad Ammar turut menghasilkan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu manggis, yang dijual dengan harga RM100 satu.

Bercakap lanjut mengenai pelanggannya, Mohamad Ammar berkata, selain mereka yang mencari kayu api bagi kegunaan aktiviti perkhemahan serta pengusaha tapak perkhemahan, terdapat juga pelanggan, yang kebanyakannya kaum Cina, mencari kayu untuk kegunaan hiasan.

Berkongsi pendapatannya dalam penjualan kayu itu, Mohamad Ammar berkata beliau mampu meraih antara RM400-RM600 sehari.

 Mohamad Ammar memotong kayu api untuk dijual. FOTO BERNAMA

Mohamad Ammar memotong kayu api untuk dijual. FOTO BERNAMA

Menurut Mohamad Ammar, sehingga kini, masih ada yang tidak yakin dengan potensi perniagaan jualan kayu api yang beliau usahakan bersama isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi, 33.

"Bila saya cakap saya jual kayu api, ramai yang gelakkan saya. Soalan yang sering diajukan, apa dapat jual kayu api? Ada lagi ke orang di Kuala Lumpur hendak beli kayu api? Ternyata mereka silap. Sebenarnya di Kuala Lumpur masih ada golongan yang memang mencari kayu api.

"Contoh, baru-baru ini datang lima orang pelanggan ke kedai saya mereka mencari kayu api untuk kegunaan majlis kenduri yang berkonsepkan rewang. Mereka perlu banyak kayu api. Selain itu ada juga yang baru berjinak dengan aktiviti perkhemahan. Kita akan kongsi kelebihan kayu yang sesuai digunakan," katanya, sambil menambah, beliau memulakan perniagaan kayu api dengan modal hanya RM600 untuk membeli sebilah kapak jenama Fiskars yang berkualiti tinggi.

"Jadi apa yang saya nampak perniagaan kayu api ini bukan semata-mata kayu api, banyak lagi boleh dilakukan, bergantung kepada apa yang boleh kita tawarkan kepada pelanggan," katanya.

Di akhir wawancara, Mohamad Ammar menasihatkan anak muda yang mungkin melalui pengalaman pahit yang sama atau sebarang masalah, untuk bangkit dan tabah menerima sebarang ujian.

"Dengan keadaan yang kita lalui ini, jangan terlalu memilih kerja, jangan cepat putus asa sebab kadang-kadang ada perkara yang datang itu, ia datang dengan ujian. Mesti bijak mencari peluang dan mencuba sesuatu yang baharu untuk diteroka.

"Disebalik ujian, insya-Allah ada ganjaran yang Allah SWT hendak beri yang mungkin mempunyai 1001 kelebihan," jelasnya.-myMetro

Sabtu, 25 September 2021

Inspirasi: Jutawan hartanah berjiwa kampung

 MOTOSIKAL  digunakan Mohamad Azlan dalam menjalani kehidupan seharian.

MOTOSIKAL digunakan Mohamad Azlan dalam menjalani kehidupan seharian.

Besut: Sebut sahaja Jutawan Pengutip Sampah pasti ramai terbayang susuk tubuh seorang lelaki berjanggut yang bergerak dengan helikopter dari rumah ke kedai kopi dan pelbagai sikap merendah diri lelaki ini.

Ramai yang teruja melihat kejayaan anak muda berusia 34 tahun dari Kampung Tok Raja, Besut itu yang bangkit daripada keluarga miskin tegar berubah kepada seorang jutawan hartanah yang disegani.

Terbaru tular videonya menaiki helikopter dan mengambil bapanya di rumah untuk bersarapan di kedai kopi di Kuala Besut sehingga mencapai 1.6 juta tontonan di Facebook.

Hakikatnya, masyarakat hanya lihat sisi mewahnya di media sosial namun terlepas pandang akan sisi sederhana Mohamad Azlan Abdullah @ Ali atau lebih dikenali sebagai Mohamad Azlan Al Amin yang tidak kekok menjalani kehidupan biasa selain menguruskan ternakan lembunya biarpun kini memiliki aset puluhan jutaan ringgit.

Tanpa berselindung Mohamad Azlan mengakui lebih selesa menjalani kehidupan di kampung sambil menguruskan ternakan lembu.

"Orang kenali saya dengan penampilan korporat dan menaiki helikopter di media sosial, tetapi hakikat sebenar hanya orang kampung yang bergelumang dengan lumpur dan najis lembu.

"Berkain pelekat dan berbaju t-shirt putih ialah pakaian kegemaran saya pada setiap masa. Jika boleh ketika hadir ke mesyuarat juga ingin pakaian seperti itu.

"Kita bekerja dengan masyarakat dan perlu ikut peraturan dan kesesuaian masa dan tempat," katanya.

TANGKAP layar video tular menunjukkan Mohamad Azlan membawa bapanya bersarapan menaiki helikopter.
TANGKAP layar video tular menunjukkan Mohamad Azlan membawa bapanya bersarapan menaiki helikopter.

Katanya, beliau tidak pernah menyangka videonya menaiki helikopter dan pulang ke rumah mengambil ayahnya, Abdullah @ Ali Ahmad, 74, untuk ke kedai kopi menjadi tular.

"Saya menjalankan perniagaan hartanah dan kaedan pengangkutan udara iaitu helikopter diperlukan untuk meninjau tanah daripada pandangan udara.

"Tiada niat untuk menunjuk-nunjuk cuma helikopter itu satu keperluan dalam kerjaya saya. Apabila tindakan saya pulang ke rumah dengan helikopter, ia sesuatu yang pelik kerana situasi seperti itu jarang berlaku.

"Bagaimanapun, bagus juga tular kerana ia secara tidak langsung memberi motivasi kepada anak-anak muda untuk bangkit berjaya seperti saya," katanya.

Tambahnya, dia tidak memiliki kemewahan seperti yang disangka ramai dan lebih selesa hidup sederhana.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kejayaannya dalam bidang hartanah dan perniagaan termasuk produk kesihatan yang dijalankan menjadi inspirasi kepada orang ramai.

MOHAMAD Azlan sedang menguruskan lembu miliknya di kandang.
MOHAMAD Azlan sedang menguruskan lembu miliknya di kandang.
-myMetro

Jumaat, 15 Januari 2021

Kisah Anak Seorang Pemandu Teksi Jadi Billionaire Terbaharu Di Malaysia


 Tan Eng Kee, ahli baharu kelab billionaire di Malaysia, yang kehilangan ayahnya pada umur 13 tahun tidak pernah membayangkan bahawa dia akan berada setaraf dengan billionaire yang lain.

Dia yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Greatech Technology yang berpangkalan di Pulau Pinang menyaksikan sahamnya melonjak 330% pada tahun lalu, mendorong Tan menjadi ahli baharu kelab billionaire dengan nilai bersih lebih dari $1 bilion (RM4.04 bilion), lapor Forbes.

Syarikatnya yang bertanggungjawab menghasilkan peralatan automasi industri untuk pelbagai pengeluar yang berbeza telah disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia 13 Jun 2019.

“Saya tidak pernah mempunyai impian untuk menjadi jutawan. Saya sama sekali tidak mengharapkan ini. Saya mempunyai kehidupan yang sederhana – saya datang ke pejabat; buat kerja dan saya pulang. Tidak ada yang berubah kerana ini,” katanya kepada Forbes.

Tan dibesarkan di Pulau Pinang dari keluarga yang tidak mempunyai apa-apa. Ayahnya seorang pemandu teksi, meninggal dunia ketika Tan berusia 13 tahun. Ini memaksa dia untuk bekerja seawal usia 16 tahun di sebuah kedai roti selepas waktu persekolahan.

Tan kemudian memperoleh sijil dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada tahun 1991, dan mula bekerja sebagai perancang pengeluaran untuk syarikat alat ketepatan. Dua tahun kemudian, dia meminjam RM10,000 dari ibunya, dan menubuhkan Greatech (M) Sdn Bhd.

Tidak bergerak sendiri, dia memanggil seorang lagi teman untuk membantunya dalam bidang pemasaran, dan pada tahun 1995, dia berjaya meyakinkan teman sekolahnya Khor Lean Heng untuk turut serta dengannya. Tetapi pada tahun 2001, Tan menutup syarikat tersebut.

Bagaimanapun, dia dan Khor telah menubuhkan Greatech Integration, syarikat yang menghasilkan peralatan separa automatik dan automatik untuk sektor elektronik pengguna. Greatech mula berkembang ke industri semikonduktor pada tahun 2002 dan ke sektor solar pada tahun 2010.

Kini, menurut Forbes, penjualan untuk sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2020 meningkat 17 peratus kepada RM184.78 juta sementara keuntungan bersih melonjak 64 peratus kepada RM59.338 juta. Syarikat itu memperoleh keuntungan besar ketika permintaan untuk kenderaan elektrik dan tenaga surya meningkat.

Walaupun berlakunya wabak, semua lapan kilang syarikatnya sudah beroperasi. “Perniagaan kami semakin kuat,” kata Tan, yang bersiap untuk pertumbuhan lebih lanjut.

Pada bulan Disember, Greatech memperluas kapasitinya dengan membuka kilang pemasangan baru di Batu Kawan dan kini sedang berusaha untuk membeli lebih banyak tanah di kawasan industri yang berdekatan.

Greatech juga telah membuka pejabat pertamanya di AS – kemudahan ujian di Michigan – pada suku ketiga 2020 untuk pelanggan kenderaan elektriknya. Beberapa pejabat seperti ini akan turut dibuka pada suku ketiga tahun ini di Illinois dan Arizona. Tan juga merancang untuk membina pejabat di Jerman pada suku ketiga 2021 dan berkembang ke Eropah dan India.

-thevocket.com

Rabu, 30 Disember 2020

Dibuang Keluarga Ketika Hamil 9 Bulan, Ini Kisah Sidhutai Sapkal ‘Ibu’ 1700 Anak Yatim Di India

 

Dengan panggilan ‘Ibu Anak Yatim’, wanita berusia 72 tahun yang dikenali sebagai Sindhutai Sapkal ini merupakan antara wanita yang menjadi sumber inspirasi buat ramai penduduk India. Di saat kanak-kanak lain sibuk bermain, wanita ini melalui zaman kanak-kanak yang perit apabila terpaksa berkahwin di usia 10 tahun bersama pasangannya yang ketika itu berusia 30 tahun atas desakan ibunya.

Namun, kerana pengalaman perit yang dialami selama bertahun-tahun lamanya, wanita ini tidak pernah patah semangat dan putus asa untuk membesarkan anak-anak. Tidak hairanlah kisah inspirasi beliau telah difilemkan oleh pengarah Marathi dalam filem berjudul ‘Mee Sindhutai Sapkal’.

Pernah dibuang ibu sendiri, dipukul suami

Sidhutai Sapkal dilahirkan dalam keluarga yang susah pada 14 November 1948 di kampung Pimpri Meghe di daerah Wardha. Walaupun beliau sangat berminat untuk belajar namun dia terpaksa menggunakan daun pokok Bharadi untuk menulis kerana keluarganya tidak mampu membeli batu tulis. Akhirnya pada usia 10 tahun dia dipaksa kahwin awal bersama lelaki berusia 30 tahun sekaligus melenyapkan impiannya untuk belajar tinggi.

Saya diberitahu hanya ada dua proses dalam kehidupan seorang wanita iaitu pertama ketika dia berkahwin dan satu lagi ketika dia mati. Bayangkan keadaan fikiran saya ketika mereka membawa saya dalam perarakan ke rumah suami saya di hutan Navargaon di Wardha.

Namun perkahwinan yang dibina itu tidaklah bertahan lama apabila suaminya sering memukul dan mendera beliau. Pada usia 20 tahun dia akhirnya dihalau dari rumah ketika sedang hamil 9 bulan. Malah beliau turut ditumbuk dan ditendang di perutnya, kemudian beliau diseret dengan rambutnya ditarik lalu dicampak keluar sebelum dihalau dari rumah. Sidhutai Sapkal meraung kesakitan. Darah membasahi bajunya, tetapi tidak ada siapa yang peduli. Tidak ada yang menghulurkan bantuan.

Bersalin dalam kandang lembu keseorangan

Dalam keadaan sarat mengandung, Sidhutai Sapkal menuju ke kandang lembu. Beliau duduk menangis dalam kesakitan yang tidak terkira. Bayangkan, dalam keadaan najis lembu merata-rata, bau busuk yang menusuk hidung, Sidhutai Sapkal bertarung nyawa seorang diri melahirkan anak ketiganya.

Saya memotong tali pusat dengan batu bermata tajam yang terletak di dekatnya.

Kejadian itu menyebabkan dia pernah terfikir untuk bunuh diri, namun dia cepat-cepat menghilangkan perasaan tersebut dan terus mula mencari sesuap makanan di landasan kereta api  demi menjaga puterinya.

Anak saya baru 10 hari dan saya keseorangan. Keluarga mertua dan keluarga saya sendiri membuang saya. Ketika itu saya sedar betapa teruknya perasaan sunyi. Saya mula menyanyi lagu keagamaan di landasan kereta api untuk mendapatkan makanan.

Makanan itu saya kongsi dengan pengemis yang lain. Dari situ mereka mula berada disisi saya dan melindungi saya. Mereka sentiasa bersama saya. Saya menjadi ibu mereka dan kami menjadi satu keluarga.

Ketika dia menghabiskan banyak waktu mengemis di landasan kereta api, beliau sedar bahawa terdapat ramai anak yatim dan anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Setelah berpengalaman menghadapi kesulitan itu sendiri, dia dapat merasakan penderitaan mereka dan memutuskan untuk menerima mereka semua sebagai anak angkat.

Beliau mula mengemis dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memberi makan kepada anak angkatnya yang ramai. Secara perlahan-lahan Sidhutai memutuskan untuk mengambil anak angkat setiap anak jalanan yang datang sehingga beliau mampu membuka sebuah rumah anak yatim dan digelar ‘ibu anak yatim’.

Anak yatim yang dipelihara semua berjaya

Sehingga kini, dia telah mengambil anak angkat seramai 1,700 orang dengan membantu mereka mendapatkan pendidikan, menikah dan menyokong mereka dalam kehidupan seharian. Dia dipanggil “mai” (ibu) oleh anak-anak yatim ini. Dia memelihara anak tersebut seperti anaknya sendiri sehingga ada di antara mereka yang berjaya menjadi peguam, doktor dan jurutera yang kini kembali membantu beliau.

Ketika saya keluar di jalan-jalan memohon makanan dan berjuang untuk bertahan setiap hari, saya menyedari bahawa terdapat begitu ramai anak yatim yang tidak dapat dikunjungi. Saya memutuskan untuk menjaga mereka dan membesarkan mereka sebagai milik saya sendiri

Buat masa sekarang, anak perempuan Sidhutai sendiri menguruskan rumah anak yatim yang dibukanya sejak 20 tahun lalu. Dan kini, beliau tetap memperjuangkan makanan seharian untuk anak-anak tidak bernasib baik ini. Setiap kali beliau memberi motivasi ini, beliau cuma meminta  untuk mendapatkan roti dan mentega setiap hari buat anak-anak yatim dipelihara.

Dengan rahmat Tuhan, saya mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya boleh pergi dan bercakap dengan orang lain dan mempengaruhi mereka semua. Kelaparan membuat saya bercakap dan ini menjadi sumber pendapatan saya. Saya memberi banyak ucapan di pelbagai tempat dan ini memberi saya sejumlah wang yang saya gunakan untuk menjaga anak-anak saya.

Daripada hanya lima orang anak yatim, kini Sidhutai Sapkal sudah memelihara lebih 1,700 orang anak yatim. Apa yang mulianya apabila Sidhutai telah memaafkan bekas suami dan turut menerimanya sebagai anak yatim bawah jagaanya. Sidhutai Sapkal telah menerima lebih 700 anugerah sehingga ke hari ini.

Terima anugerah dari Presiden India

Lebih menyayat hati apabila ditanya oleh wartawan : ‘Kenapa puan bantu anak-anak itu sedangkan hidup puan sendiri miskin, makan sendiri pun tak tentu. Kenapa masih susahkan diri untuk mereka?’ Jawapan beliau sangat memberi inspirasi kepada ramai orang.

Aku hidup selepas aku makan roti yang dibakar di atas tempat pembakaran mayat orang mati. Kini aku hidup untuk orang lain.

Buat pengetahuan ramai, ketiga-tiga anaknya itu mempunyai PHD dan mempunyai jawatan yang besar. Anaknya berjaya menjadi orang luar biasa sama seperti apa yang difikirkannya dahulu. Walaupun anak-anaknya sudah kaya dan berjaya, Sidhutai Sapkal tetap meneruskan kehidupannya sama seperti dahulu bersama anak-anak jalanan.

Sidhutai Sapkal telah menghidupkan jiwa anak-anak jalanan yang dulunya dipandang hina oleh masyarakat, kini telah dipandang mulia. Atas dasar kemanusiaan, Sidhutai Sapkal menyerahkan seluruh hidupnya untuk melihat anak-anak ini membesar menjadi manusia yang berguna. Hari ini dia dipanggil Dr. Sithudai Sapkal.

-ohbulan.com