"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Kes Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kes Rasuah. Papar semua catatan

Rabu, 5 Jun 2024

Pegawai kanan JAIPs dan imam masjid kaut RM1.18 juta uruskan pendaftaran pernikahan

 

Suspek utama yang juga pegawai kanan JAIPs serta dua lagi suspek termasuk seorang imam masjid di Kangar dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Kangar oleh anggota SPRM Perlis. FOTO: NSTP

KANGAR: Seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan imam sebuah masjid di sini antara tiga individu yang direman kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis.

Kejadian berlaku sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu.

Seorang lagi suspek ialah anak kepada imam itu.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman lima hari sehingga Ahad ini (9 Jun).

Suspek usia antara 25 hingga 52 tahun ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis di beberapa lokasi berasingan di Kangar semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas ketiga-tiganya dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini.

Sumber SPRM berkata suspek utama yang bertugas sebagai penjawat awam berusia 45 tahun itu ditahan di pejabatnya di JAIPs sekitar jam 4.10 petang.

Manakala dua lagi suspek ditahan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar pada jam 6 hingga 6.15 petang selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurut sumber itu, suspek utama dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek iaitu imam masjid dan anak kepada imam masjid itu yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.

Tambah sumber itu lagi, siasatan awal mendapati bagi setiap permohonan nikah terutama bagi pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahannya itu semula di negara ini akan berhubung dengan syarikat yang dimiliki oleh suspek ketiga yang juga anak kepada imam masjid itu.

Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftarkan pernikahan itu semula bayaran wang sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan itu.

Sumber turut memaklumkan daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs sebagai wang denda terhadap pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.

Manakala baki daripada jumlah itu pula akan dibahagi-bahagikan antara ketiga-tiga suspek membabitkan akaun peribadi milik penjawat awam dan imam masjid serta akaun syarikat milik suspek ketiga.

Kesemua suspek disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.

Tambahnya, siasatan juga mendapati terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan selain tidak melalui Mahkamah Syariah.

Sumber itu berkata, suspek utama dipercayai mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun tahun lalu.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan.

-buletintv3.my

Selasa, 13 Julai 2021

Perbicaraan hari pertama kes rasuah Guan Eng tegang [METROTV]

 Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Perbicaraan hari pertama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah, bermula tegang apabila pihak pembelaan mempertikaikan kaitan beberapa keping gambar yang dikemukakan pendakwaan.

Terdahulu, pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, yang bermula kira-kira 10 pagi hari ini, pihak pendakwaan memulakan sesi dengan memanggil saksi pertamanya, Datuk Geethanjali G, 35, yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian mengemukakan beberapa keping gambar kepada saksi bagi tujuan pengecaman.

Ketika ditanya di mana gambar berkenaan diambil? Geethanjali menjawab: "Di rumah saya".

Wan Shaharuddin: Siapa individu dalam gambar berkenaan?

Geethanjali: Gambar pertama, suami saya dan Guan Eng

Wan Shaharuddin: Suami anda pakai kasut atau stokin?

Geethanjali: Pakai stokin

Wan Shaharuddin: Guan Eng?

Geethanjali: Pakai stokin

Mendengar keterangan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng kemudian membantah dan mempersoalkan sama ada soalan yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah relevan.

Gobind: Apa kaitan pakai stokin atau tidak?

Wan Shaharuddin: Sekiranya ada bantahan, kami ingin tahu bantahan dibuat mengikut Seksyen berapa?

Gobind: Akta Keterangan menyebut bahawa keterangan perlulah relevan.

Wan Shaharuddin: Saya ingin tahu Seksyen berapa?

Gobind: Baiklah, kalau nak saya sekolahkan, saya akan sekolahkan.

Melihat ketegangan itu, Hakim Azura Alwi mencelah dan meminta kedua-dua pihak bertenang dan meneruskan soal balas.

Geethanjali kemudian meneruskan keterangan dengan membacakan pernyataan saksinya dan memaklumkan mahkamah bahawa Guan Eng pernah hadir ke rumahnya.

"Pada ketika itu, saya sedang tidur dan suami mengejutkan saya lebih kurang jam 2 pagi.

"Suami minta saya bersiap memandangkan ada tetamu datang ke rumah dan dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang sudah sampai," katanya,

Katanya, selepas bersiap beliau turun ke bawah untuk berjumpa Guan Eng.

"Saya kemudian diperkenalkan kepada Guan Eng berserta seorang lagi individu iaitu Datuk Zarul (Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli).

"Untuk makluman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya sahkan bahawa Datuk Zarul mengambil semua gambar berkenaan menggunakan telefonnya," katanya.

Tambahnya, selepas mengambil gambar berkenaan, suaminya meminta beliau untuk beredar kerana perlu berbincang perkara sulit dengan Guan Eng dan Zarul.

"Seingat saya, Guan Eng hanya pernah datang sekali ke rumah saya, manakala Zarul pernah hadir beberapa kali atas urusan perniagaan dengan suami," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Gobind sama ada beliau biasa berjumpa dengan ahli politik dan mengambil gambar bersama mereka, Geethanjali menjawab: "Ya".

Pada perbicaraan itu, pendakwaan turut memanggil Pegawai Penyiasat SPRM, Saadon Abd Samad selaku saksi pendakwaan kedua untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes bersambung esok.

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, menolak permohonan Guan Eng supaya kesnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR, Pulau Pinang pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley Cit, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-myMetro

Jumaat, 9 Julai 2021

Bekas Pengurus Besar Air Kelantan antara 3 ditahan berkait rasuah lebih RM27 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara tahun 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Menurut sumber SPRM, mereka ditahan antara 4.25 petang dan 6.30 petang semalam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan, lapor Bernama.

SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap ketiga-tiga mereka.

Difahamkan, siasatan lanjut dilakukan atas dakwaan pembabitan mereka dalam rasuah daripada sebuah syarikat untuk mendapatkan projek dan kerja daripada AKSB, yang juga anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menurut sumber, kes berkenaan adalah antara kes berprofil tinggi yang membabitkan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, dan siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa telah mendedahkan salahlaku yang berlaku di dalam AKSB bagaimanapun AKSB telah menyaman Husam.

Namun selepas perbicaraan diadakan, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak saman itu pada 29 Mac 2021 lalu dan memerintahkan AKSB membayar kos perbicaraan itu.

Pada 5 Mac 2018, Husam menuntut penjelasan kerajaan negeri Kelantan berhubung kelulusan tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11 (Pakej 1) yang bernilai RM27.1 juta.

Dia mendakwa, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Bagaimanapun Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB Hanifa Ahmad sebaliknya berkata, syarikat terbabit hanya ‘menukar nama’.

Hanifa juga menjelaskan AKSB melantik Cdah Construction dan Jangka Prestasi yang terlibat dalam usaha sama selepas syarikat terbabit lulus semua peringkat penilaian jawatankuasa tender.

Susulan itu pada 28 Mei 2018, AKSB mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan itu.

-Malaysiadateline

Isnin, 21 Disember 2020

Rasuah:Tengku Adnan dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta

 HARI ini Mahkamah Tinggi telah mensabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM2 juta.

Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan denda berjumlah RM2 juta ke atas Tengku Adnan Mansor yang juga merupakan Ahli Parlimen Putrajaya, atas sabitan bersalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tengku adnan mansor penjara 12 bulan

Hakim bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan untuk memfailkan rayuan di peringkat mahkamah seterusnya. 

Ketua Peguam Bela Datuk Tan Hock Chuan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dalam masa 14 hari.

Sebelum Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara atau denda, pihak pembelaan yang mewakili Tengku Adnan, iaitu Datuk Tan Hock Chuan menyampaikan hujah bagi proses mitigasi.

Ketua peguambela memohon Hakim mengenakan hukuman denda di bawah nilai RM2,000 kerana mengambil kira sumbangan Tengku Adnan sebagai seorang ahli politik termasuk niat beliau menyediakan perumahan mampu milik untuk kakitangan DBKL dan penduduk Kuala Lumpur yang kurang berkemampuan.

Menurutnya lagi demi niat itu, pemaju sendiri iaitu Tan Sri Chai Kin Kong juga telah menanggung kerugian berjumlah RM100,000 apabila unit yang disediakan melalui projek itu adalah di bawah harga pasaran.

Namun pihak pendakwaan, timbalan pendakwa raya Julia menegaskan bahawa secara prinsip hukuman perlu bersifat 'deterrent' (pencegahan) agar menjadi teladan kepada orang lain untuk mengulangi kesalahan itu.

Tambahnya lagi kerugian RM100,000 yang ditanggung oleh pemaju kononnya untuk kebaikan rakyat, maka dana RM2 juta juga perlu diambil kira sebagai kerugian pemaju kerana ia dibayar sebagai dana politik untuk balasan bagi mendapatkan projek.

Berhubung hukuman denda sahaja yang dipohon oleh pihak pembela, kata Julia merujuk kes di bawah seksyen yang sama melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo: "Perbicaraan penuh sehingga ke peringkat lebih tinggi, tetapi hukuman tetap dikekalkan dengan satu tahun penjara,"

Tambahnya lagi, wakil rakyat datang dan pergi, sekiranya Tengku Adnan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat maka orang lain boleh melalui proses untuk mengganti dan berkhidmat kepada rakyat.

"Mereka di kedudukan amat berkuasa, dan amat berpengaruh, tindak tanduk mereka dilihat semua orang, perbuatan jadi turutan dan tauladan," katanya.

Oleh itu Julia memohon Hakim menjatuhkan hukuman denda lebih RM2 juta berserta hukuman penjara bagi memenuhi prinsip 'deterrent' supaya menjadi teladan kepada orang awam.

"Saya menyebut kenyataan tertuduh sendiri bahawa RM2 juta hanyalah seperti 'duit poket' maka ia dianggap tidak munasabah jika hukuman denda hanya di bawah RM2,000 seperti yang dimohon oleh pihak pembelaan," kata Julia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan bersalah terima rasuah RM2 juta


Sumber — https://www.milosuam.net/

Ku Nan bersalah terima rasuah RM2 juta

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong, empat tahun lalu.

Dalam keputusannya yang mengambil 20 minit untuk dibacakan, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata, pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

Mahkamah kini sedang berehat dan akan menetapkan hukuman selepas mendengar permohonan meringankan hukuman oleh peguam bela, Tan Hock Chuan dan hujahan timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim.-FMT

Rabu, 2 Disember 2020

Pegawai Imigresen enggan bersekongkol akan 'dipulau'

 ANGGOTA Imigresen yang terbabit memalsukan pengesahan cop keluar masuk sempadan negara, dilaporkan berebut sesama mereka untuk memperolehi 'projek' daripada ejen yang mahu membawa masuk warga asing.

Sumber yang dipetik oleh Utusan Malaysia memaklumkan bahawa segelintir pegawai imigresen 'kelabu mata' dan sanggup menggadai integriti untuk menjalankan kegiatan itu disebabkan imbuhan lumayan yang diterima mereka.

Pegawai Imigresen ditahan

Selain itu menurut sumber berkenaan, sistem kemasukan yang lemah di samping tiada tindakan dalaman yang tegas punca anggota terlibat semakin berani bersekongkol dengan ejen warga asing.

Lebih malang apabila ada anggota Imigresen yang tiba-tiba menarik diri dan enggan bersekongkol selepas bersetuju melakukan kegiatan itu, mereka bukan saja 'dipulau' malah mereka pula dianggap sebagai tidak berdisiplin.

"Jika perkara ini tidak dibendung, tidak mustahil kemungkinan semua pintu masuk di negara ini bolos dan menyebabkan mudahnya warga asing masuk tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telus,"

"Penguatkuasaan lebih mendalam perlu dibuat. Jika Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bolos, tidak mustahil pintu masuk lain lebih mudah warga asing masuk ke negara ini tanpa pemeriksaan ketat," katanya.

Op Selat yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 17 November lalu setakat ini telah membuat 65 tangkapan membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen termasuk ahli sindiket yang berperanan sebagai ajen.

Daripada kesemua jumlah yang ditahan, 56 individu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala sembilan lagi masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

-milosuam.net

Isnin, 12 Oktober 2020

KES RASUAH: 2 pertuduhan terhadap Lim Guan Eng akan dipinda

 BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama akan meminda dua daripada empat pertuduhan yang dihadapi bekas menteri kewangan itu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

"Pihak kami akan mengemukakan pindaan tersebut pada tarikh sebutan semula kes 28 Oktober depan, apabila tertuduh hadir ke mahkamah," katanya.

Wan Shaharuddin turut memohon tarikh perbicaraan kes itu ditetapkan ketika kehadiran tertuduh pada tarikh sama dan Azura membenarkan permohonan itu.

Terdahulu, Azura turut membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, untuk mengecualikan Lim, 60, daripada menghadiri prosiding hari ini kerana tertuduh perlu ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Pada 7 Ogos lalu, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu, balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli iaitu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 10 Ogos lalu pula, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 11 September, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Lim, didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Beliau juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.


-myMetro

Jumaat, 14 Ogos 2020

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MBSA ditahan SPRM


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Pengarah Jabatan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi membantu siasatan berhubung kes melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Penahanan ke atas Pengarah MBSA berusia 59 tahun ini dilakukan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi tadi.

Beliau akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi mengesahkan tangkapan ini tetapi enggan mengulas lanjut.

Semalam tiga penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Semua yang ditahan berusia di antara 40 hingga 43 tahun.

Mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Selasa lalu empat pegawai MBSA turut ditahan SPRM sebelum ditahan reman selama tujuh hari.-myMetro

Selasa, 11 Ogos 2020

Siapa Zarul Ahmad - Individu utama kes rasuah Guan Eng


Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini dikenakan tuduhan rasuah kedua.

Selain Lim, satu lagi nama yang sering dikaitkan dengan kes ini ialah Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

 Zarul mendapat perhatian selepas menjadi wajah umum kepada sebuah konsortium yang pada tahun 2013 diberikan peranan untuk melaksanakan projek infrastruktur besar-besaran, iaitu tiga lebuh raya bahagian pulau di Pulau Pinang dan terowong bawah laut di seberang Selat Pulau Pinang.

 Sebelum itu, ahli Umno berusia 60 tahun itu dikenali sebagai tokoh korporat yang mempunyai hubungan baik yang bermula sebagai setiausaha syarikat dan kemudiannya terlibat dengan pelbagai syarikat, daripada IT sehinggalah pembinaan.

 Melalui hubungan Zarul juga, Beijing Urban Construction Group Co Ltd (BUCG) yang berpangkalan di China dibawa masuk untuk menjadi sebahagian daripada konsortium yang memenangi kontrak projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion pada tahun 2013.

Projek ini pada awalnya dianggarkan bernilai RM8 bilion. Konsortium berkenaan, Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, terdiri daripada Zenith Construction Sdn Bhd yang diterajui Zarul, BUCG, Juteras Sdn Bhd, dan Sri Tinggi Sdn Bhd.

 Walau bagaimanapun, BUCG dikeluarkan daripada projek itu pada tahun 2016, dikatakan berpunca daripada kejadian yang tidak berkaitan di Kuala Lumpur, di mana sebuah kren yang dikendalikan oleh syarikat itu jatuh dan menghempap seorang wanita di dalam keretanya. BUCG kemudiannya dikeluarkan dari nama konsortium.

 Projek di Pulau Pinang itu menghadapi pelbagai bantahan sejak awal lagi, melibatkan pelbagai isu, daripada kebimbangan mengenai masalah alam sekitar sehinggalah isu kestabilan kewangan, tetapi peranan Zarul yang paling menonjol muncul pada tahun 2016.

 Cadangan pembinaan terowong bawah laut dan tiga lebuh raya tersebut menjadi senjata politik BN untuk menyerang projek itu, manakala Zarul sebagai pengerusi konsortium, berada di barisan depan untuk mempertahankan inisiatif berkenaan.

 Pada Januari 2018, SPRM melakukan beberapa serbuan berkaitan projek tersebut dan Zarul ditangkap dan direman selama 11 hari. Sehingga kini tidak ada tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Zarul (gambar) meminta wang dikembalikan selepas penangkapan itu. 

 Selanjutnya, dilaporkan Zarul telah meminta pertolongan untuk mempengaruhi anggota kerajaan persekutuan BN ketika itu supaya menggugurkan kes tersebut.

 Zarul didakwa membayar RM19 juta kepada seorang "Datuk Seri" yang kononnya mendakwa dia mempunyai hubungan dengan anggota kanan kerajaan BN pada masa itu yang boleh menghentikan tindakan SPRM. Zarul juga didakwa membayar RM3 juta lagi kepada seorang "Datuk" untuk menggunakan hubungannya dengan seorang ahli parlimen kerajaan untuk tujuan yang sama. 

Kedua-dua insiden itu terbongkar apabila Zarul pada 24 Februari 2018 - sebulan selepas penangkapannya - mengeluarkan surat tuntutan melalui konsortiumnya, meminta wang itu dikembalikan setelah mereka nampaknya gagal mendapat kesepakatan dalam 'tawar-menawar' yang dibuat.

Wang itu disebut sebagai "yuran perundingan". Zarul percaya "Datuk" itu ialah wakil kepada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim dan oleh itu mengarahkan surat tuntutan itu kepadanya.

 Abdul Azeez menafikan isi surat tuntutan Zarul dan membuat laporan polis.


Menurut Azeez, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd kemudian menarik balik surat tuntutan itu dan meminta maaf. Syarikat itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen.

 Sementara itu, seorang "Datuk Seri" yang juga ahli perniagaan berusia 39 tahun, G Gnanaraja, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada bulan April 2019 kerana didakwa menipu Zarul mendakwa dirinya mempunyai hubungan politik untuk membuat SPRM menutup kes tersebut dengan bayaran RM19 juta.

 Zarul, pada bulan Julai 2018, mengaku melakukan pembayaran itu tetapi mendakwa dia berbuat demikian kerana diugut. 'Pistol diacu ke kepala saya'

 "Mereka meletakkan pistol ke kepala saya. Jika kami tidak bayar, kami akan dapat masalah.

 "Semasa kerajaan lalu, ketika orang membuat ugutan, anda menganggapnya serius, kerana anda tidak tahu apakah perkara yang akan berlaku kepada anda atau tidak, jika itu benar atau tidak, ia berbeza ketika itu.

 "Saya menganggapnya serius. Bagi saya, saya hanya mahu meneruskan perniagaan saya. Saya tidak mempunyai niat atau minat untuk menjadi sebahagian daripada sengketa politik," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini, dua bulan selepas kerajaan PH mengambil alih pentadbiran persekutuan daripada BN. Zarul berkata, dia akhirnya membuat laporan SPRM mengenai pembayaran tersebut.

 Kerajaan PH runtuh pada Februari selepas 22 bulan memerintah negara dan digantikan kerajaan PN.

 Meneliti perkembangan semasa, di bawah kerajaan baru PN, kemungkinan besar Zarul akan menjadi saksi utama dalam kes rasuah Lim. Lim, yang berkhidmat sebagai ketua menteri Pulau Pinang dari 2013 ke 2018 dan sebagai menteri kewangan dari 2018 ke Februari tahun ini, pada Jumaat lalu (7 Ogos) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan dari Zarul sebanyak 10 peratus keuntungan yang akan dibuat projek infrastruktur di Pulau Pinang itu kerana membantu mendapatkan kontrak.

 Hari ini (10 Ogos), Lim dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan rasuah sebanyak RM3.3 juta kerana dikatakan membantu syarikat Zarul menjalankan projek bernilai RM6.3 bilion itu.
Kertas pertuduhan itu tidak menyatakan sifat suapan RM3.3 juta yang didakwa, tetapi pihak pendakwaan, yang memohon untuk memindahkan pertuduhan kedua ke Kuala Lumpur supaya dapat dibicarakan dengan pertuduhan pertama, memberikan beberapa butiran.

 Pihak pendakwaan mengatakan rasuah itu didakwa dibayar secara berperingkat, di beberapa tempat antaranya dilakukan di Lembah Klang.

 Tuduhan pertama di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan, manakala pertuduhan kedua pula di bawah Seksyen 23 undang-undang sama yang membawa hukuman serupa.

 Lim, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, dijangka akan dituduh dengan pertuduhan ketiga esok tetapi butiran lanjut masih belum tersedia.

 Projek infrastruktur yang dirancang merangkumi: Expressway Bypass Ayer Itam-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7km.

Expressway Tanjung Bungah-Teluk Bahang sepanjang 10.53 km.

Expressway Bypass Gurney Drive-Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 4.075km.

Terowong menghubungkan Gurney Drive dan Bagan Ajam sepanjang 7.2km.

Projek di atas menelan anggaran RM5.49 bilion manakala kajian kebolehlaksanaan akan menelan belanja RM305 juta dan RM546 juta untuk pengambilan tanah, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar RM6.341 bilion.

 Kerja-kerja awal telah dimulakan di lebuh raya tetapi pembinaan terowong itu dijangka akan bermula pada tahun 2023.

sumber