"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Ebit Lew. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ebit Lew. Papar semua catatan

Jumaat, 24 Januari 2025

Fitnah:Mondy Tattoo diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew

 

KUALA LUMPUR: Pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo diarah membayar RM20,000 kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew sebagai ganti rugi kerana memfitnah pendakwah itu merogolnya.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas meneliti dan mendengar hujah Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit selaku plaintif.

Perkara itu kemudian dikongsi Ebit menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.

Alhamdulillah syukur pada Allah, saya menang saman pada Mondy atau Dita Restu dan beliau diminta membayar RM20,000 kepada saya,” katanya.

Menerusi hantarannya, Ebit turut berkongsi tangkap layar writ saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Berdasarkan dokumen itu, Mondy diperintah membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 berserta faedah sebanyak 5 peratus setahun bermula daripada tarikh pemfailan writ saman sehingga tarikh penyelesaian penuh kes.

Ebit turut memaklumkan samannya terhadap Caprice yang menyiarkan ‘podcast’ (audio siar) berkaitan dakwaan terbabit akan berlangsung pada Mei ini.

Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah terbabit.

Ebit juga membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.

Pada 6 Jun tahun lalu, Ebit dilaporkan tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

Pada 26 September 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun 2023.

-BuletinTV3

Ahad, 20 Februari 2022

Tuduhan tidak berasas, melampau untuk jatuhkan kredibiliti saya, kata Ebit Lew

 

Pendakwah dan dermawan terkenal Ebit Lew menyifatkan pertuduhan terhadapnya hari ini adalah tidak berasas dan melampau.

Bercakap kepada media selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Ebit berkata, tujuan utama pertuduhan dibuat ke atasnya untuk menjatuhkan kredibilitinya supaya dia nampak dihina, direndah-rendahkan dan menghentikan kerja membantu orang susah

“Yang saya nampak memang untuk menjatuhkan kredibiliti saya supaya saya nampak dihina, direndahkan agar saya menghentikan kerja-kerja kebajikan saya,” katanya.

Beliau merasakan terdapat satu kumpulan yang telah merancang untuk mengenakan dirinya dan ia bukannya melibatkan satu atau dua hari.

Tuduhan tidak berasas, melampau untuk jatuhkan kredibiliti saya, kata Ebit Lew
Ebit Lew bersama peguam hadir ke Mahkamah Tenom, Sabah hari ini

Peguamnya yang turut bersama beliau memaklumkan 11 pertuduhan itu adalah daripada seorang pengadu sahaja di bawah sekyen 509 Kanun Keseksaan

Menurut peguamnya, pertuduhan itu diperolah pada saat-saat akhir pada minggu lalu, dan mereka bersiap sedia datang ke mahkamah hari ini.

“Kita dibacakan pertuduhan tersebut dan kita kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

“Tarikh sebutan telah ditetapkan mahkamah pada 22 April 2022 untuk pengadu serah segala dokumen yang berkaitan kepada kita untuk kita sediakan pembelaan, tarikh perbicaraan pula ditetapkan pada bulan Jun

“Tanpa dokumen-dokumen tersebut kita pun tak dapat bagi maklum balas,” kata peguam.

Bercerita lebih lanjut Ebit memaklumkan beliau terkejut dengan pendakwaan ini beberapa hari lepas kerana kehadirannya ke Sabah untuk melakukan kerja amal bukan semata-mata hadir ke mahkamah.

“Saya terkejut juga sebab saya tengah buat kerja amal, saya datang ke sini bukan rancang untuk ke mahkamah …tidak ada,” katanya lagi.

Dengan 11 pertuduhan ini, Ebit berkata beliau tidak gentar kerana dia tahu dia tidak bersalah dan mengandaikan tindakan ini adalah perancangan daripada kumpulan tertentu sejak dahulu lagi yang tidak senang terhadap kerja amal yang dilakukannya.

“Tapi saya redha dengan ketentuan Allah dan saya anggap ini adalah ketentuan Allah kerana tujuan kita ialah ampunkan dosa, beri pahala dan diangkat darjat, jadi saya rasa tenanglah.

“Bila kita kena kita akan rasa ujian ini sangat berat, tetapi saya ambil nasihat ulama-ulama jangan bersedih, sentiasa bangun malam solat dan sentiasa menganggap ujian yang datang ini adaah sebahagian daripada sunnah walaupun kita tidak sempurna berbanding Nabi Muhammad SAW

“Saya rasa bersyukur dengan ujian ini mudah-mudahan Allah kurniakan kebaikan kepada saya di akhirat,” kata beliau lagi.

Ebit Lew, hari ini dihadapkan di mahkamah Tenom, Sabah dipercayai membabitkan 11 pertuduhan, termasuk berkaitan gangguan seksual.

-malaysiadateline

Sabtu, 5 Februari 2022

Ebit, Uncle Kentang mahu bekerjasama dalam misi bantuan

Ebit (kiri) bersama Uncle Kentang.

PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew meluahkan rasa bahagia apabila dapat bertemu rakan seperjuangan iaitu aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang, semalam.

Ebit dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Uncle Kentang berkunjung ke rumahnya untuk beraya sempena Tahun Baharu Cina.

Bahagianya rasa dapat jumpa Uncle Kentang. Seorang yang amat saya hormati dan sayangi. Dah lama nak jumpa beliau dan sentiasa mengikuti beliau di Facebook,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ebit turut berkongsi kesungguhan Uncle Kentang yang sempat membantu orang lain ketika sampai di rumahnya.

Ebit (kiri) melayan Uncle Kentang yang bertandang ke kediamannya sempena Tahun Baru Cina.

“Tadi sampai-sampai sahaja ‘uncle’ tengah selesaikan seorang makcik tua terlantar di rumah dan tiada siapa nak jaga. Kena mandikan dan ambil dengan ambulans.

“Beliau ada berpuluh ambulans dan van jenazah untuk khidmat masyarakat selain rumah jagaan orang tua. Entah berapa ramai keluarga dalam tanggungannya sekarang,” katanya.

Menurut Ebit, dia mengagumi sifat peribadi Uncle kentang yang baik dan sentiasa merendah diri serta berhasrat untuk berkerjasama dengannya pada masa hadapan.

“InsyaAllah kami ada niat untuk bekerjasama pada masa akan datang. Walaupun umur dah 60-an, tapi masih kuat membantu.

“Syukur sangat. Rezeki saya hari ini berjumpa dengan orang mulia, baik dan hebat. Tak terbalas jasa dan pengorbanannya,” katanya. – K!ONLINE

Khamis, 30 Disember 2021

Kertas siasatan kes gangguan Ebit Lew sudah lengkap

USTAZ EBIT LEW

PETALING JAYA: Kertas siasatan melibatkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual telah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan selanjutnya.

“Kita sedang menunggu maklum balas daripada AGC dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.

 “Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ketika ditanya sama ada untuk menyenaraikan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) susulan pendakwah terbabit yang difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal, Abd. Jalil berkata, buat masa ini tiada sebarang keperluan.

“Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya. Jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan,” katanya.

Julai lalu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit Lew dirakam percakapan sebanyak dua kali membantu siasatan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.- UTUSAN ONLINE

Sabtu, 24 Julai 2021

Nafi terima sumbangan RM20 juta setiap tahun, Nadir Al-Nuri jawab soalan Ebit Lew

 


Sewaktu sidang media pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew berkaitan misi kemanusiaannya di Gaza tempoh hari, beliau turut mengajukan soalan berkenaan sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM20 juta setahun kepada Presiden Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri.

Berikutan itu, pihak Cinta Gaza Malaysia mengadakan sesi siaran langsung Townhall CGM di Facebook dan menjemput saudara Nadir bagi memberi penjelasan tentang persoalan tersebut.

“Tuduhan itu adalah palsu”

Jelas Nadir, beliau menafikan kenyataan CGM menerima sumbangan sebanyak RM20 juta pada setiap tahun seperti yang dilontarkan oleh segelintir pihak.

Malah jika betul CGM menerima RM20 juta, 3% sahaja akan digunakan untuk diberi kepada staf yang berada di bumi Gaza dan Malaysia.

“Orang tuduh kita ambil percent yang tinggi tapi alhamdulillah anda sendiri boleh tengok berapa kami ambil hanya 3 peratus (management charge) sahaja. Sebenarnya tak ada lah kami dapat 20 juta setahun. Itu adalah palsu.
“RM20 juta itu bukannya disumbangkan setiap tahun. Tapi kita tak ambil gaji banyak. Jadi tuduhan itu adalah sangat-sangat tidak baik seolah-olah kita dapat duit yang begitu banyak. Tapi saya tidak tujukan kepada sesiapa,” katanya.

3% sahaja untuk staf & duit turut diuruskan oleh rakan2 NGO anak muda

Nadir turut menegaskan bahawa pihak CGM tidak mengambil gaji puluhan ribu ringgit dan hanya cukup-cukup untuk hidup dalam keadaan sederhana.

“Tuduhan RM20 juta itu adalah satu tuduhan yang sangat salah, dan saya tak salahkan sesiapa kerana ia adalah tuduhan yang dilandaskan daripada kejahilan tentang sesuatu tempat,” ujarnya.

Selain itu, duit sumbangan RM20 juta itu tidak diuruskan oleh CGM sahaja tetapi ia dikutip oleh rakan-rakan yang berada di bawah NGO anak-anak muda yang telah berpuluh tahun berkhidmat dalam kerja kebajikan.

Di samping itu, beliau turut mengalukan NGO yang lain untuk membentangkan perbelanjaan masing-masing dan menjadi tanggungjawab untuk mendedahkan di mana sumbangan tersebut disalurkan agar semua aktiviti kebajikan dilakukan dengan telus dan amanah.

Terdahulu, nama Nadir ‘dipetik’ ketika sidang media Ebit Lew berkenaan pertanyaan kemana duit sumbangan bernilai RM20 juta tersebut.

Nadir memaklumkan yang beliau akan menjawab persoalan yang dilemparkan Ebit Lew dalam masa terdekat, dan nampaknya ia sudah pun terjawab hari ini.

Tonton video penuh di sini.

Sumber: Facebook Terkini dan Sensasi Palestin

Credit

Jumaat, 23 Julai 2021

Isu RM20 Juta, Nadir Minta Semua Rileks! – “Kita NGO Ada Hitam Putih, Cuma Sehari Dua Ni…”


Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri tamapil memberi reaksi mengenai kenyataan dilemparkan terhadapnya oleh pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew.

Menurut Nadir, dia meminta orang ramai supaya tenang dengan situasi yang berlaku.

Jelasnya, segala urusan kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semuanya mempunyai perjanjian dan dokumen sah.

“Rilex guys, saya ok je. Kita kerja NGO ni semua ada hitam putih. Tiada problemlah,” katanya menerusi saluran Telegram malam semalam.

Tambahnya, dia memohon orang ramai memberi sedikit masa untuk dia menyelesaikan projek tertentu terlebih dahulu.

“Cuma sehari dua ni nak kena settle projek korb4n ni dahulu,” katanya.

Nadir berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ebit yang mempersoalkan ke mana pergi duit RM20 juta yang didermakan rakyat Malaysia untuk sumbangan di Gaza setiap tahun.

Selain mahu Nadir tampil membuktikan mengenai RM20 juta sumbangan rakyat Malaysia dalam usaha membantu rakyat negara yang bergolak itu, Ebit juga menegaskan tidak tahu mengenai syarikat Hala seperti yang didakwa.

Nadir dikatakan menuduh Ebit membayar harga yang tinggi kepada syarikat Hala untuk masuk ke Gaza sehingga menyukarkan NGO atau organisasi lain di seluruh dunia untuk berada di negara itu pada masa hadapan.

Sekadar info, semalam Ebit melakukan siaran langsung bagi menjawab segala persoalan dibangkitkan Nadir dan juga penyanyi rap, Caprice.

Dengan penjelasan tersebut, Ebit berharap agar beliau dapat menjawab persoalan bersifat fitnah kepadanya apabila ramai yang mendakwa dirinya penunggang agama dan memakan duit haram.

Disaksikan lebih 200, 000 yang menonton live, Ebit bagaimanapun dengan tenang mengatakan sudah memaafkan semua pihak yang memfitnah dan salah faham terhadapnya.

Sumber:Gempak

Khamis, 22 Julai 2021

Mana pergi duit sumbangan RM20 juta kepada Gaza? Soal Ebit Lew


Ebit Lew ketika sidang media secara maya hari ini.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew mempersoalkan di manakah duit sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM20 juta yang diberikan kepada rakyat Gaza menerusia Persatuan Cinta Gaza Malaysia. 

Ebit dalam siaran langsungnya hari ini meminta presiden persatuan itu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al Nuri mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk Gaza. 

Beliau menerusi laman Instagramnya berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana ia melibatkan jumlah sangat besar.

 “Dia ada minta sumbangan untuk Gaza. Tapi, saya ke Gaza guna duit saya sendiri dan tak pernah buka sebarang tabung Gaza. “Ada beberapa sahabat yang sangat rapat dan juga ada beberapa rakan di Facebook menyumbang tetapi mereka tak mahu nama mereka disebut. Mereka ikhlas membantu,” katanya.

 Ebit turut berkata, ramai yang telah memakinya dengan pelbagai panggilan hingga menggores hati isteri, anak-anak dan keluarganya.

“Saya tak kisah kalau saya seorang saja yang kena. Itu dah biasa, tetapi apabila sampai melibatkan isteri, anak-anak dan keluarga yang lain, saya jadi sedih. 

“Saya dah biasa dituduh dengan panggilan yang macam-macam… susah saya nak sebutkan, tapi saya sebutkan juga hari ini, antaranya babi, penunggang agama, dajjal, syaitan dan macam-macam lagi.

 “Bila keluarga tanya mengenai dakwaan ini dan mereka terpalit juga, sebab tu saya tampil hari ini,” katanya. Siaran langsung selama 1 jam 31 minit itu juga, Ebit menjawab dakwaan yang turut dilemparkan daripada penyanyi rap tempatan Caprice. 

“Saya tak pernah lagi buat ‘live’ sebut nama orang, tetapi apa yang telah mereka buat pada saya, agak melampau.

“Saya maafkan mereka cuma tuduhan itu tanpa asas atau bukti. Saya ada segala bukti dan sudahpun diserahkan kepada pihak sepatutnya. 

“Biasanya siapa yang dakwalah perlu bag bukti, tapi tak apalah,” katanya lagi. Jelasnya, Nadir perlu tampil menjawab persoalan ini kerana kerana ia melibatkan jumlah yang sangat besar. 

“Dia ada sebut dalam ‘live’ dia mengenai sumbangan RM500,000 yang dikatakan sedikit. Bagi saya tu dah cukup besar. 

“Saya mahu balikkan soalan itu kepada dia, di mana sumbangan RM20 juta, ada resit, ada bukti?,” katanya. 

Tidak hanya itu, Ebit turut menjawab dakwaan mengenai pembelian barang-barang bantuan di Kaherah sedangkan menurut Nadir Al Nuri ia boleh didadapati di dalam Gaza.

“Ada barang yang ada di Gaza tetapi mahal. Ada yang tak da dan perlu tunggu hingga enam bulan. Jadi, apabila kita dah berada di Kaherah, kita beli semua kelengkapan dan mengapa tidak menggunakan khidmat Nadir adalah kerana sebut harga yang diberikan Nadir adalah tinggi sekitar $40 dolar dan ada pihak lain yang menawarkan kepada kami hanya pada kos $20 dolar, kotak makanan yang sama dengan Nuri.

“Sebenarnya persoalan itu sepatutnya tak dibangkitkan kerana satu-satunya NGO dibenarkan ialah Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir,” katanya. – MalaysiaGazette

KERJA AMAL EBIT LEW SEPATUTNYA DISOKONG, BUKAN DIBUBUH RACUN


 Pada mulanya saya agak malas untuk melibatkan diri menulis sebarang kata berkaitan isu yang muncul kebelakangan ini melibatkan pendakwah budiman, Ustaz Ebit Lew.

Bagi saya, sama ada apa yang dibangkitkan oleh Caprice atau Nadir Al Nuri tentang misi bantuan Ebit Lew ke Gaza, ia tidak lebih “gelagat budak-budak baru nak up” cuba menumpang publisiti daripada populariti pendakwah tersebut.

Isu-isu yang mereka bangkitkan terlalu remeh berbanding pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang sanggup Ebit Lew lakukan selama ini.

Begitu pun, dengan sampai beliau membuat laporan polis terhadap mereka yang dianggap memfitnahnya, luka hatinya ternampak begitu dalam rasa pedihnya.

Meski pertama kali memberi bantuan untuk Gaza, tetapi beliau telah banyak menabur bantuan di seluruh pelusuk negara sebelum ini sehingga peranannya kadangkala melebihi wakil rakyat atau menteri.

Barangkali boleh dibilang dengan jari mereka yang berkemampuan dan kaya, namun sanggup ke sana sini mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit mencari orang susah, lalu menghulur bantuan kepada mereka.

Kebanyakan yang kaya, sementara ramai yang suka hidup dengan kekayaan mereka, yang berhati mulia pula kebanyakannya lebih suka memilih jalan mudah dalam menderma iaitu hanya dengan memberi wang atau membelikan apa yang diperlukan.

Tetapi, Ebit Lew lebih daripada itu, beliau memberi wang untuk menolong orang susah hasil rezeki kekayaan daripada perniagaannya, sambil memberikan sama masa dan tenaga untuk pelbagai misi bantuan yang dilakukannya.

Tidak dinafikan mungkin ada penderma atau rakan-rakannya yang pemurah turut sama menghulur bantuan kepadanya, namun mereka melakukannya secara ikhlas tanpa perlukan publisiti atau mahu dikenali oleh sesiapa.

Maka dengan itu, asalkan bantuan yang dilakukannya ternampak sudah disampaikan, itu sebenarnya sudah memadai tanpa perlu ada pihak yang gila publisiti menuntut agar audit dilakukan pula.

Baik untuk Gaza atau segala bantuan yang dilakukannya selama ini, Ebit Lew tidak pernah menadah tin milo untuk meminta sumbangan daripada orangramai atau daripada syarikat korporat tertentu.

Jika tiada dana awam yang dikutip, sepertimana Pas yang mengutip berjuta-juta ringgit untuk Gaza baru-baru ini tapi sehingga ini senyap begitu saja, di mana perlunya audit dilakukan terhadapnya?

Kenapa tidak diminta audit dilakukan terhadap parti dan NGO yang banyak mengutip dana awam itu?

Selain itu, sekali baca apa yang Caprice dan Nadir bangkitkan juga dengan mudah terlihat adanya unsur-unsur dengki dan iri hati di dalamnya.

Soal agen yang digunakan untuk masuk ke Gaza, berapa bayarannya dan di mana barang keperluan untuk bantuan itu dibeli, itu bukanlah urusan pihak lain untuk campurtangan dan menentukannya.

Barang di rumah kita dan teksi apa yang perlu kita gunakan, kenapa orang lain yang sibuk-sibuk melihat tepi kain kita?

Soalnya juga, adakah mereka yang menceceh berkenaan Ebit Lew itu mampu memberi sumbangan masa, tenaga dan wang ringgit melebihi atau menyamai apa yang pendakwah itu lakukan?

Jika kita sendiri tidak mampu dan mempunyai keupayaan terhad, janganlah dengki atau iri hati.

Kerja-kerja amal Ebit Lew adalah misi kemanusiaan yang secara sukarela dilakukannya dengan hanya satu tujuan sebagaimana kerap disebutnya di mana-mana – semoga Allah sayang kita semua.

Maka, berhentilah mempertikai atau mencari pasal terhadap apa yang dilakukannya jika derma atau amal jariah kita sendiri sekadar menderma seminggu sekali saja di tabung masjid pada hari Jumaat atau pemergian kita sendiri ke Gaza melalui dana orangramai.

Kerja amal dan menolong orang susah yang dilakukan Ebit Lew kadangkala melebihi kemampuan wakil rakyat yang bergaji mewah dan berkereta Mercedes atau kebanyakan orang kaya yang kita sendiri kenali.

Jadi, kita patut bersyukur ada manusia seperti Ebit Lew di sekeliling kita.

Kerja-kerja amalnya perlu disokong sambil kita juga harus mendoakan kemurahan rezeki untuknya kekal berpanjangan agar misi bantuannya, di dalam negara, Gaza atau di mana saja, sentiasa berterusan.

Durjana sangatlah jika ada di kalangan kita yang sanggup meletak racun terhadap kerja amalnya, walhal kita sendiri, jangankan mahu berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, menulis di FB dan mengangkat tangan berdoa untuk Gaza pun hanya sesekali dan sambil lewa saja. 


(ShahbudinHusin 22/07/2021)

Rabu, 21 Julai 2021

'Misi Gaza guna duit sendiri, bukan derma' kata Ustaz Ebit Lew,buat laporan polis serta akan adakan sidang media esok

 Ebit Lew selepas membuat laporan polis berkaitan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Ebit Lew selepas membuat laporan polis berkaitan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pendakwah Ebit Lew menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin, adalah menggunakan wangnya sendiri bukannya daripada kutipan mana-mana tabung derma.

Beliau menyatakan perkara itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia membazirkan kos tertentu hasil sumbangan terhadap misi berkenaan untuk masuk ke Gaza.

"Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang tadi.

Beliau yakin perkara untuk memburuk-burukkan niat baik pasukan bantuannya itu tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.

"Niat kami bersama sahabat-sahabat saya adalah membantu rakyat di Gaza, Palestin dan tak pernah ada satu tabung pun diwujudkan.

"Segala kos dan perbelanjaan adalah menggunakan duit saya sendiri," katanya.

Ebit Lew buat laporan polis


KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Lew tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi untuk membuat laporan polis dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Ebit yang tiba jam 6.16 petang menaiki Toyota Vellfire dengan diiringi tiga pikap dijangka mengadakan sidang media selepas itu.

Hari ini, rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.

Ebit Lew (kiri) membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ebit Lew (kiri) membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin


Ebit Lew akan buat penjelasan terperinci esok


KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Lew hari ini membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.

Ebit bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci butiran laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebelum menyatakan akan memperjelaskan isu berkenaan esok.

Sebelum ini saya berdiam diri dengan tohmahan dan fitnah terhadap diri saya dari dulu lagi, namun berkaitan isu terbaru ini apabila anak dan isteri saya sendiri menangis dan kecewa mengenai segala tuduhan yang dilemparkan, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis.

USTAZ Ebit Lew mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan polis menafikan tuduhan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
USTAZ Ebit Lew mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan polis menafikan tuduhan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

"Laporan ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Dang Wangi.

Terdahulu rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia mendakwa pasukan misi Ebit Lew membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.

Ebit berkata beliau sedih dengan laporan tidak berasas yang disebarkan di media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.

"Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.

"Segalanya akan saya perjelaskan esok," katanya.

-BH ONLINE

Ahad, 18 Julai 2021

'Kita cuba bawa kasih sayang, tapi ada yang benci' - Ebit Lew

 Ebit Lew

Ebit Lew

Kuala Lumpur: "Saya sedih sebab sejak kebelakangan ini ramai yang cuba cari gaduh dengan sesiapa," luah Ustaz Ebit Lew.

Luahan itu dibuat Ebit susulan kontroversi antara dirinya dengan penyanyi rap Caprice yang mula tular sejak semalam.

Beliau berkata, apa yang dilakukan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan adalah demi Allah SWT semata-mata.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak mengambil endah kejian dan buruk sangka orang lain terhadap apa yang dilakukan.

Namun katanya, kejian itu kini dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Walau kita cuba bawa kasih sayang dalam dunia tapi masih ada orang yang benci kita.

"Dulu saya jahat, bila kita cuba buat baik tapi ujian itu tidak henti-henti," katanya dalam video tular di laman media sosial.

Ebit berkata, semua rakyat adalah sebuah keluarga tanpa mengira agama dan bangsa yang perlu hidup bahagia.

Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Dia juga mendakwa Ebit hanya menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza demi tarikan bahan kandungan di media sosial.

Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang netizen terutamanya dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit.

-myMetro

Isu Ebit Lew: 'Jangan 'seronok' pegang popcorn'

 Farra Adeeba

Farra Adeeba

Kuala Lumpur: Personaliti TV, Farra Adeeba berkongsi penjelasan mengenai isu Ustaz Ebit Lew (UEL) yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Dalam hantarannya di Instagram, Farra juga berkongsi surat rasmi ucapan takziah daripada Kementerian Luar Gaza kepada Ebit.

Ini dia penjelasan dari sumber rasmi Gaza Palestin berkenaan isu Ustaz Ebit Lew. Harap terlerai segala kerisauan.

"Saya percaya kita semua hanya nak lihat Palestin bebas dari penjajahan. Kita buat kerja sama-sama. Kita berdoa, jangan sebab isu kecil, kerja besar kita terjejas," tulisnya.

Farra juga mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya, dikenali sebagai Dr Wesam yang menetap di Gaza atas perkongsian dan penjelasan itu.

"Terima kasih Dr Wesam, sahabat saya, pensyarah di Universiti of Gaza, di atas maklumat dan penjelasan.

"Saya kongsikan di sini surat rasmi dari Kementerian Luar Gaza yang diberikan kepada Ustaz Ebit Lew.

Menutup hantarannya, Farra juga mengajak pengikutnya di platform media sosial itu supaya mencari jalan perdamaian sekiranya berlaku perselisihan faham.

Surat rasmi ucapan takziah daripada Kementerian Luar Gaza kepada Ebit yang dikongsi Farra Adeeba di Instagram.
Surat rasmi ucapan takziah daripada Kementerian Luar Gaza kepada Ebit yang dikongsi Farra Adeeba di Instagram.

"Tenang sikit hati ini bila dapat maklumat rasmi. Dan kalau ada perselisihan, kita damaikan. 

"Jangan kita tambah api, atau 'seronok' pegang popcorn tengok saudara kita berbalah macam menonton filem. Ia sangat menjengkelkan," tulisnya.

Turut dikongsikan Farra adalah tangkap layar mesej yang dihantar sahabatnya mengenai sambutan baik rakyat Palestin di atas kehadiran Ebit dan pasukannya.

"Saya baca tadi mengenai isu Ustaz Ebit Lew yang sedang hangat di Malaysia. Di Gaza, tak ada apa-apa cerita orang marah atau apa.

"Rakyat Palestin berterima kasih dan hargai semua orang yang bersoladariti dengan orang Palestin. Terima kasih Ustaz Ebit Lew, terima kasih Malaysia.

"Semoga semua rakyat Malaysia selamat, semoga Allah pelihara rakyat Malaysia dari wabak Covid-19," tulisnya dalam tangkap layar mesej itu.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai perbalahan antara penyanyi rap, Caprice yang ingin mendedahkan sesuatu mengenai kehadiran Ebit bersama pasukannya di Gaza, Palestin baru-baru ini.

Caprice bagaimanapun menunggu tarikh 21 Julai ini untuk membuat penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

-myMetro

Sabtu, 17 Julai 2021

Beri Teguran Isu Bantuan Ust Ebit, Caprice Dakwa Disekat Di Instagram Ebit Lew, Ini Jawapan Capricee

 

PETALING JAYA-Rapper dan pengusaha Caprice mendedahkan bahawa dia disekat oleh mubaligh bebas Ustaz Ebit Lew di laman Instagramnya hari ini.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32 tahun, baru-baru ini mempersoalkan tingkah laku Ebit semasa misi kemanusiaan di ga z@, p@ lestin, melalui platform Instagram Stories.

“Anak miskin yang sama, menerima mainan yang sama, tetapi diminta untuk membuat kamera dua kali. Orang-orang di ga z@ mempersoalkan mengapa ia kelihatan seperti foto yang diambil sekali.

“Caprice selalu menjadi penyokong ustaz nombor satu. Setelah rakyat ga z@ bertanya kepada Caprice mengenai foto ini, isu mainan menimbulkan sensasi,” tulisnya dalam sekurang-kurangnya 13 catatan cerita Instagram petang ini.
Menurutnya, dia secara peribadi mengirim pesan panjang kepada Ebit, tetapi penyanyi itu mendakwa bahawa dia akhirnya disekat oleh laman Instagram Ebit.
Menurutnya, beliau sudah menghantar mesej panjang lebar secara peribadi kepada akaun Ebit namun penyanyi itu mendakwa dirinya akhirnya telah disekat dari laman Instagram Ebit.

Pendedahan tersebut dilihat menimbulkan rasa kurang senang netizen terutamanya dalam kalangan penyokong Ebit.

“UEL (Ustaz Ebit Lew) baru saja kehilangan arwah ayah beliau. Awak boleh pula hendak cakap dan perli ustaz ketika ini,” komen @arsyadrosman.

“Kalau boleh, tengok dan baca kedua-dua belah pihak. Jangan sokong sesiapa lagi. Serius,” ujar @fdlismazairi.

Sejak beberapa hari lalu, nama Caprice hangat diperkatakan selepas penyanyi itu memberitahu bakal mendedahkan satu perkara yang akan mengejutkan orang ramai pada 21 Julai ini.

Dalam pada itu, pengguna-pengguna media sosial turut mendakwa Caprice menyindir seseorang di laman sosial miliknya melalui ruangan kapsyen dan komen.

Pengguna-pengguna media sosial turut membuat spekulasi dan mendakwa penyanyi itu sedang menyindir Ebit di laman sosial miliknya.

Terdahulu, Caprice berangkat ke ga z@, p@ lestin pada 24 Jun lalu untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk di sana.

Namun, beliau dikatakan masih belum boleh memasuki ga z@ dan kini berada di Kaherah, Mesir.

-todaynewsmail.com

Khamis, 17 Jun 2021

Ebit Lew masih belum dapat masuk Gaza

 Ebit Lew

Ebit Lew

Kuala Lumpur: Rombongan pendakwah Ustaz Ebit Lew yang membawa bantuan untuk penduduk Palestin dilaporkan masih belum dapat masuk ke Semenanjung Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, bantuan daripada rombongan itu juga belum dapat dibawa masuk ke kawasan itu.

Bagaimanapun, Nadir yang dihubungi hari ini tidak mengulas lanjut mengapa usaha pendakwah terbabit masih gagal masuk ke Gaza.

Sebelum ini, banyak pihak tertanya-tanya mengenai perkembangan misi bantuan kemanusiaan itu selepas Ebit Lew dan kemudiannya dilaporkan Wisma Putra sedang mendapatkan perkembangan terkini pendakwah terbabit.

Bagaimanapun, Wisma Putra pada 12 Jun lalu mengesahkan Ebit Lew dan delegasinya berada dalam keadaan baik dan dipercayai masih meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ebit Lew dilaporkan berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, Nadir berkata, bandar Gaza kini masih menunggu pembangunan semula kerana terdapat infrastruktur di bandar itu belum di baiki.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan semua kementerian yang terbabit bagi memulakan kerja baik pulih.

"Terdapat infrastruktur yang masih belum dibaiki dan kini dalam proses menunggu untuk pembangunan semula.

"Pihak CGM tidak menunggu sesiapa untuk menjalankan kerja, kami boleh meneruskan kerja (baik-pulih)," katanya.

Awal pagi hari ini, Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza dengan mendakwa ia sebagai tindak balas terhadap tindakan pejuang wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel.

Tentera Udara Israel menyasarkan sekurang-kurangnya satu lokasi di timur bandar Gaza iaitu selatan Khan Younes.

Ia adalah serangan terbaharu rejim Zionis di Semenanjung Gaza sejak Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada 21 Mei lalu susulan serangan 11 hari tentera Israel di wilayah berkenaan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terbunuh.-myMetro