KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik agihan peruntukan kepada negeri, dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan ia lebih adil, terutama untuk negeri yang tidak mendapat peruntukan tinggi sebelum ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan ketika ini, terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.
Namun, katanya, sebahagian negeri berkenaan tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.
Pada masa sama, beliau berkata, negeri yang berada pada tahap ekonomi sederhana, terutama Negeri Sembilan, Melaka dan Perak, tidak mendapat peruntukan tinggi sedangkan ia tidak begitu kaya dan tidak juga begitu miskin.
"Sarawak memang mendapat peruntukan tinggi tetapi ia turut disertai dengan perancangan ekonomi yang baik pada peringkat negeri, jadi pertumbuhan ekonominya adalah baik.
"Bagaimanapun, kita tidak mendapat perkara sama di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis contohnya. Jadi, ia hanya satu hala yang mana tiap-tiap tahun, (meminta) tolong beri peruntukan yang lebih, sedangkan mereka memang sudah dapat (peruntukan) antara yang paling tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama Program Kepimpinan Digital Eksekutif antara MyDIGITAL Corporation dengan Asia School of Business (ASB), di sini, hari ini.
Justeru, Rafizi berkata, keseimbangan perlu dilakukan dalam agihan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu.
Ia bagi mempercepat pertumbuhan (negeri) dan pada masa sama, seluruh kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dengan peruntukan berkenaan. Jika tidak, kita tidak bersikap adil kepada negeri lain dengan membuat dasar yang menghukum negeri yang mempunyai pengurusan lebih baik. Itu tidak betul.
"Ini adalah cabaran dan beberapa perubahan yang perlu kita perhalusi. Kita perlu turut berlaku adil kepada negeri seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, selain memberi tumpuan kepada negeri yang sebelum ini sudah diberi tumpuan. Itu yang kita kena bezakan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata perhatian khusus amat perlu diberikan kepada sembilan negeri yang merekodkan pertumbuhan dan tahap pendapatan lebih rendah daripada purata penengah isi rumah nasional, memandangkan data semasa menunjukkan jurang dengan lima negeri lain semakin melebar serta membimbangkan.
Noor Azlan dipetik berkata, kira-kira 49 peratus rakyat Malaysia tinggal di sembilan negeri berkenaan, iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Pahang, Perlis, Sabah, Perak, Kedah dan Kelantan.
-BH Online
#Berkaitan artikel ini...ini respon MB Terengganu memalui fb beliau.
Respon ringkas terhadap kenyataan Menteri Ekonomi
1. Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan Negeri/Negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik. Lama kelamaan rakyat akan muak dan benci species ahli politik yang hanya mementingkan diri semata.
2. Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa "superiority complex". Pandangan kita walau hebat macamana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah.
3. Isu yang dibangkitkan oleh YB Menteri Ekonomi, adalah umpama "mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri" atau disebut sebagai "shooting your own foot" dalam bahasa yang lain.
4. Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh Negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua Negeri. Saya ulang : semua rakyat dan negeri.
5. Setiap rakyat ada bayar cukai, tak kira apa nama atau jenis cukainya. Hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. Maka semua Negeri-Negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua Negeri-Negeri ini.
6. Semua bidang kuasa kerja kerajaan adalah termaktub dalam Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, dengan tiga kaedah pembahagian kuasa. Zaman dahulu, perkara ini adalah satu ilmu pelajaran Kertas Pengetahuan Am Tingkatan Enam. Tak perlu mengaji di Amerika atau Perancis untuk tahu perkara ini.
7. Semua yang ada dalam senarai projek pembangunan di Negeri-Negeri, iaitu semua Negeri, adalah melalui proses bincang dan penilaian puluhan pakar, agensi dan kementerian sebelum menjadi senarai dalam RMk-12 yang ada sekarang ini. Itu belum termasuk Rolling -Plan.
8. Bila kata bincang, bermakna kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi telah berbincang sebelum ini dengan semua Kerajaan Negeri. Bukan bincang tepi jalan. Itu tanggungjawab bersama dan bukan Negeri seorang diri. Kenapa Negeri yang nak diperlekehkan ? Politik lah tu.
9. Saya tidak ingin menyebut angka-angka, atau peratusan nombor semua perkara ini, kerana pihak Menteri sepatutnya membaca angka-angka ini dan melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian.
10. Tidak bolehkah kita membina hubungan yang lebih harmoni, dengan duduk berbincang, samada di negeri-negeri atau Putrajaya, kerana itulah sebab ada Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan, dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas Pilihanraya dijalankan ?
11. Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua.
12. Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka.
13. YB Menteri, kalau apa yang saya nukilkan ini salah, mohon banyak kemaafan, saya hanya mahu kita semua bergerak pantas ke hadapan.
0 ulasan:
Catat Ulasan