PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata keputusan mesyuarat khas majlis kerja tertinggi (MKT) Umno semalam menunjukkan parti itu sedang bekerja keras untuk memulihkan imejnya.
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pemulihan itu daripada parti yang hanya mengejar jawatan dalam kerajaan kepada parti benar-benar mahu menjaga kebajikan rakyat, keamanan dan kestabilan politik negara.
“Sebelum mesyuarat itu, khabar angin mengatakan Umno memutuskan nama calon timbalan perdana menteri selain menetapkan syarat pengekalan sokongan kepada kerajaan, tetapi ternyata tidak berlaku.
“Begitu juga dengan khabar angin desakan dibuat supaya semua penjawat kerajaan daripada Umno meletakkan jawatan mereka ternyata tidak berlaku,” katanya kepada FMT.
Semalam, Umno menegaskan semua anggota Kabinet yang mewakili parti itu kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga beriltizam terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas MKT Umno yang berlangsung hampir 5 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Dalam pada itu, Kamarul berkata sebarang kebimbangan ahli Parlimen Umno akan menarik diri daripada menyokong kerajaan tidak lagi wujud.
Katanya, ini menunjukkan Muhyiddin dan pemimpin parti lain yang menyokong kerajaan boleh menarik nafas lega buat seketika.
“Begitu pun, keputusan terakhir mesyuarat itu berbunyi Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mengwujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum menunjukkan hayat kerajaan ini tidak akan bertahan lama.
“Sebaik sahaja pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum sudah pasti Umno akan kembali menarik diri daripada menyokong kerajaan bagi memaksa PRU dilangsungkan. Ini menjadikan semua pihak perlu bersiap sedia bagi menghadapinya,” katanya.
Kamarul berkata, jika Muhyiddin dan pemimpin parti lain yang menyokong kerajaan mahu mengelakkan PRU selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal, mereka perlu memikirkan kerjasama dengan pihak lain.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Sivamurugan Pandian berkata, Umno bersedia untuk menghadapi PRU selepas keadaan Covid-19 terkawal dan minimum.
Katanya, ini kerana Umno mahu mengembalikan mandat kepada rakyat supaya keadaan tidak menentu ketika ini tidak berterusan.
“Ramai membuat spekulasi mengenai jawatan timbalan perdana menteri dan saya melihat ia adalah kuasa mutlak perdana menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Siapakah yang dicadangkan untuk dilantik tidak ada dalam kenyataan media hari ini (semalam),” katanya kepada FMT.
Sivamurugan berkata, Umno juga menjunjung titah Agong dan akan menghalusi Belanjawan 2021 dengan beberapa cadangan pengukuhan agenda rakyat.
“Rekonsiliasi nasional mungkin mahu dijadikan sebagai platform politik siasah buat masa ini sehingga ke PRU15. Saya percaya rekonsiliasi akan membawa semua parti bersama dalam 1 matlamat iaitu mendepani isu Covid-19,” katanya.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan