Selasa, 27 Oktober 2020

Proton X50 dilancarkan, harga bermula RM79,200

 


Proton X50 ditawarkan pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300 seunit. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini secara rasminya melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) keduanya, Proton X50 menerusi saluran media sosial dan ditawarkan pada harga bermula RM79,200 hingga RM103,300 seunit.

SUV dalam empat varian itu berharga RM79,200 itu bagi 1.5T Standard; RM84,800 untuk 1.5T Executive; RM93,200 bagi 1.5T Premium manakala RM103,300 bagi varian 1.5TGDi Flagship.

Proton X50 adalah kenderaan kedua yang diusahakan bersama Proton dan rakannya, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Sepertimana Proton X70, pelancaran SUV kedua ini juga membolehkan syarikat tersebut bersaing dalam pasaran segmen B.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata tempahan bagi Proton X50 dibuka secara rasmi pada 16 September lepas.

“Setakat ini lebih 200,000 tempahan diterima daripada kalangan rakyat yang teruja menjadi antara pembeli pertama kenderaan itu.

“Tahap minat orang ramai terhadap Proton X50 ini juga amat menakjubkan dan sesuatu yang belum pernah berlaku, terutamanya dalam tahun yang banyak dipengaruhi oleh faktor luaran.

“Kami menerima pertanyaan sejak tahun lepas lagi dan sokongan dalam bentuk liputan pelbagai saluran media menyaksikan jangkaan tinggi dalam kalangan pembeli kereta Malaysia,” katanya dalam kenyataan media selepas pelancaran Proton X50 secara maya menerusi platform media sosial Facebook Proton di sini, hari ini.

Sama seperti SUV sebelumnya, usaha sama bagi Proton X50 ini memerlukan Proton dan Geely bekerjasama di pelbagai peringkat termasuk kakitangan dari China dan Malaysia yang bekerja dalam rangkaian pasukan pelbagai fungsi (CFT).

Selain itu, ia turut membabitkan ujian atas jalan sejauh 1.9 juta kilometer di jalan raya negara ini untuk memastikan kesesuaian dengan iklim panas dan lembap serta keadaan jalan raya yang unik di sini, kata Roslan.

Menurutnya, pada masa sama, jurutera pengeluaran syarikat memulakan usaha membina unit percubaan, praproduksi dan akhirnya pengeluaran penuh Proton X50 di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang siap dibina pada 2019 dengan kos sebanyak RM1.2 bilion.

“Proton X50 ini ditawarkan lengkap dengan pakej komprehensif bagi meningkatkan pengalaman pemilikannya termasuk jaminan jarak tempoh tanpa had selama lima tahun selain pakej data lima tahun yang menyediakan 1GB data percuma bagi setiap bulan,” katanya.

Selain itu, 30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum atau pada 31 Disember 2020, akan menerima caj khidmat buruh percuma untuk lima kali servis.

Malah, semua pelanggan ditawarkan pelbagai faedah sekiranya insurans Proton X50 mereka diperolehi menerusi Pakej Perlindungan Insurans Premium Proton, katanya.

Kadar pembiayaan pinjaman rendah bermula daripada 2.22 peratus turut ditawarkan kepada semua pembeli melalui syarikat kewangan dalaman Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd.

"Kami yakin pelanggan akan gembira dengan spesifikasi, harga dan pakej faedah yang ditawarkan menerusi pembelian Proton X50.

“Terdapat varian yang bersesuaian dengan setiap keperluan dan perbelanjaan. Kami juga berharap sepertimana Proton X70, SUV terbaharu kami akan menarik lebih ramai pelanggan,” katanya. - Bernama

-SH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan