Sejurus Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang Dipertua Agong di Istana Negara maka kembali berkecamuklah politik Malaysia. Anwar bertekad mahu muncul sebagai Perdana Menteri dengan dakwaan kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi PM setelah hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
Tetapi sebaik beliau melangkah keluar, tiada perakuan dari Istana yang kuasa pentadbiran telah bertukar tangan. Sebaliknya Istana menyarankan agar Anwar akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun Anwar terus berkeras. Dalam sidang akhbarnya selepas keluar dari Istana beliau bertegas menyatakan yang Muhyiddin tidak lagi PM. Lalu terus hingarlah pentas politik dalam negara, sedang wabak Covid19 yang melanda negara dan dunia tidak berkesudahan.
Apa pun kerajaan Perikatan Nasional yang ada terus kekal, Muhyiddin dan kabinetnya terus menjalankan tugas sehinggalah sesuatu yang lebih meyakinkan terbit dari tuntutan Anwar itu.
Dalam pada itu hubungan tiga parti teras yang membentuk kerajaan iaitu Bersatu, Umno dan PAS pula kelihatan goyang, ditambah dengan serangan dan pelbagai tohmahan, berita palsu dan adu-domba yang berligar di alam maya.
Kiranya usaha untuk memperteguhkan kembali hubungan tiga parti utama ini gagal, ternyata akan semakin kukuhlah tuntutan Anwar, dan tidak mustahil dalam waktu terdekat terkabullah cita-cita Anwar sekian lama untuk menjadi PM dan yang lebih puaka, kembalilah DAP mendominasi kuasa di Putrajaya.
Kita yakin dan percaya kemelut politik ini tidak akan berpanjangan. Ketiga-tiga parti walaupun punya matlamat dan pendekatan berbeza, rata-rata ketiga-tiga sedar bahawa terbentuknya kerajaan PN adalah lantaran tuntuan untuk menyelamatkan nasib dan masadepan umat Melayu Islam.
22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan menginsafkan ramai bahawa beberapa perkara pokok perlu diubah dan tidak diizinkan kembali muncul.
Jelasnya ketiga-tiga pihak enggan menerima kehadiran DAP, tidak akan memberi laluan pada Anwar mahupun Tun Dr Mahathir.
Kerajaan PN terbina atas perkara pokok ini, bagi rakyat yang mendukung dan bersama PN mengizinkan salah satu atau ketiga-tiga kembali bermakna mengkhianati kepercayaan dan sokongan yang telah mereka berikan.
Ketika Muafakat Nasional, iaitu kesatuan politik bersejarah antara PAS dan Umno terbina, Bersatu masih bersama PH. Segala perbezaan dan persengketaan politik dua musuh sejak Merdeka ini terlerai dan dilupakan melalui langkah berani ini demi mengejar cita-cita membina kekuatan kesatuan politik Melayu Islam di tanahair.
Kedua parti mengakui bahawa kiranya kedua kekuatannya disatukan, MN berupaya memenangi majoriti kerusi di Parlimen, cukup membentuk kerajaan Persekutuan dalam PRU ke 15 kelak.
Maka bergeraklah kedua parti yang asalnya bermusuh membina ukhuwah dan perpaduan yang sekian lama dirindui.
Terbukti cita-cita MN bukan sekadar tercatat atas kertas dan hasil kajian semata-mata tetapi ia diterjemahkan di medan terbuka. Beberapa siri pilihanraya kecil yang diadakan telah memenangkan calon-calon MN menewaskan calon-calon PH atau tajaan mereka, ini membuktikan yang inisiatif kedua pihak cukup efektif.
Dalam dua PRK yang dimaksudkan iaitu di DUN Semenyih dan Parlimen Tg Piai, calon MN malah menewaskan calon PH dari Bersatu. PKR dan DAP juga tewas berhadapan MN.
Tanpa diduga, dalam kesungguhan PAS dan Umno membina kekuatan bersama melalui MN bagi menghadapi PRU 15, kerajaan PH roboh apabila PM Tun Dr Mahathir tiba-tiba letak jawatan.
Dalam kelompongan kuasa, apabila Bersatu bertindak keluar dari PH, tawaran dibuat agar PAS dan Umno bersama Bersatu dan parti-parti rakan yang lain termasuk dari Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan baru di Putrajaya atas runtuhan kerajaan PH itu.
Melihat kepada pentingnya urusan kerajaan terus berjalan, dan melihat peluang jalan pintas untuk menyelamatkan nasib dan masadepan umat Melayu Islam dan rakyat Malaysia amnya, maka PAS dan Umno melalui MN bersetuju menyertai kerajaan dan terbentuklah kerajaan baru PN. Atas persetujuan bersama PAS dan Umno masuk menyertai kerajaan.
Hari ini kerajaan ini dicabar, dan masadepannya menjadi tidak menentu. Apakah ia dapat diselamatkan, atau keluarga besar PN ini akan berkecai, bercerai-berai dan akhirnya muncul kembali Anwar serta sekutunya DAP dan lain-lain untuk merangkul kuasa di Putrajaya dan memuaskan nafsu mereka.
Lantas semua pihak perlu kembali waras serta matang dan menyemak kembali kepentingan dan matlamat perjuangan kita, jangan sampai menang sorak kampung tergadai, jangan sampai ayam dikepok mati kelaparan itik di air mati kehausan.
Jika agenda memperkasakan Agama, bangsa dan negara kekal dan terus menjadi keutamaan kita maka berusahalah mempertahankannya kerana itu kemahuan mereka yang menyokong kita di luar sana.
Jika ego, agenda peribadi yang mahu kita kejar, maka tiada beza kita dengan PH yang telah kita runtuhkan itu. Apatah lagi jika ada yang ghairah mengejarnya sehingga rela bersekongkol pula dengan puaka yang dimusuhi perjuangan ini maka layaklah kita menjadi pengkhianat kepada perjuangan keramat ini. Pantang Melayu khianat pada perjuangan.
Kita masing-masing punya kelebihan dan kekuatan yang perlu kita pergunakan bersama untuk mengejar cita-cita dan menghadapi musuh yang sama. Gembelinglah bersama kelebihan dan kekuatan itu kerana ia tidak sekali-kali dapat menjana hasil jika ikatannya terlerai atau kita berpecah-pecah kerana termakan perangkap dan adu-domba musuh.
Realitinya Umno dan PAS punya kekuatan akar-umbi yang luar biasa. Bersatu perlu menyumbang ke arah menambah-baik lagi kekuatan yang sedia ada. Segala ketidakpuasan hati perlu dirunding dan dibawa berbincang secara cermat dan tuntas bukannya dibawa secara terbuka sehingga mengguris hati mana-mana pihak.
Tugas mencetuskan perpaduan ummah ini bukannya sesuatu yang mudah tetapi ia berjaya dipelopori Rasulullah saw dizamannya dan kita juga mampu menjejakinya jika kita ikhlas, komited dan meletakkan Agama, bangsa dan negara sebagai fokus utama.
MN hari ini dianggotai bersama PAS, Umno dan Bersatu. Marilah bersama kita memupuk dan memelihara Piagam MN yang disepakati pada tanggal 14 September 2019 itu.
Bersatu perlu menerima piagam ini dan bersama kita berjuang menegakkan agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk sebagaimana terkandung dalam piagam keramat itu.
Rakyat di luar menantikan pembinaan sebuah Malaysia yang menggariskan tawaran baharu iaitu meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.
PH, Anwar dan DAP telah gagal. Kini giliran kita, dengan syarat kita bersedia berunding dan bermuafakat sebagaimana saranan Yang Dipertuan Agong. Muafakat membawa berkat insyallah.
ROSLAN SMS
-mindarakyat
0 ulasan:
Catat Ulasan