Selasa, 27 Oktober 2020

Najib mengaku cadang Umno sokong Anwar

 


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini mengaku mencadangkan untuk Umno menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, cadangan kedua itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan pertamanya iaitu untuk Umno mendesak satu tarikh yang tetap bagi Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa hadapan selepas Covid-19 terkawal.

“Umno perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika Umno masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini,” katanya hari ini.

Dia yang berdepan dengan tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd itu berkata, Umno sebelum ini boleh bekerjasama dengan dua bekass pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli parlimen Umno, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?” soalnya.

Najib menegaskan kerjasama bersyarat dengan Anwar termasuk membuka jalan untuk Umno mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi.

“Pada masa kini PPBM memonopoli jawatan PM, Menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti Umno, Pas atau mana-mana parti lain,” luahnya.

-Malaysia Dateline

0 ulasan:

Catat Ulasan