KUALA LUMPUR - Setelah hampir empat jam bermesyuarat, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Hasil mesyuarat itu juga mengekalkan pendirian parti untuk menolak kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli-ahli parlimen UMNO akan terus mendokong kerajaan PN.
"Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli parlimen UMNO akan terus mendokong kerajaan PN.
"UMNO menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang haris berpaksikan nilai kehormatan dan political consensus," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik selesai mesyuarat kira-kira jam 12 tengah malam.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO berlangsung sejak jam 8.30 malam.
Ahmad Zahid berkata, antara lain yang diputuskan, UMNO menyarankan agar inisiatif Rekonsoliasi Nasional atau Agenda Pendamaian Nasional segera dilaksanakan dengan mengembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.
"Mesyuarat juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah,"katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata UMNO turut menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menolak permohonan pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi UMNO, keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut adalah amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.
"UMNO mendokong sepenuhnya titah dan saranan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan," katanya.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dibangkitkan ketika mesyuarat melibatkan
Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) petang semalam.
Antara cadangan yang dibangkitkan adalah memberi sokongan kepada Anwar tanpa melibatkan kerjasama DAP.
Kenyataan Ahmad Zahid
-SH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan