Ronnie Liu ditahan polis susulan didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew ditahan polis berhubung kenyataannya didakwa berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,
Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata Liu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 10.40 pagi tadi.
"Kita akan rakam keterangan Lui dan sama ada beliau akan dibebaskan atau tidak bergantung kepada keterangan diberikan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada BH, hari ini.
Semalam, polis melakukan siasatan terhadap empat pemilik akaun Twitter dan Facebook (FB) kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed semalam berkata, antara individu yang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman itu ialah pemilik akaun Facebook Ronnie Liu Tian Khiew.
Polis turut dilaporkan menyiasat pemilik akuan Twitter Uncle Ireeve kerana memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA, selain Liew Lip Nan yang mempertikaikan video dimuat naik Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
Siasatan juga dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Ho Ruey Terng yang memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap YDPA.
Polis meminta pemilik akaun media sosial terbabit tampil menyerah diri dan jika ingkar, tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan