Selasa, 13 Oktober 2020

Janji temu di Istana Negara, Anwar ‘disekolahkan’ oleh Agong

Oleh:MOHD LUTTFI ABD KHALID 

RAKYAT MUAK DENGAN PERMAINAN ‘POLITIKUS’ KEMARUK KUASA, PERJUDI KESELAMATAN UMUM
PERTEMUAN yang digembar-gemburkan sejak lama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim memakan masa tidak sampai 25 minit sahaja. 

 Drama saspen yang cuba dilakonkan oleh Sang PM Menunggu berakhir dengan terpadamnya “sumbu api” yang sudah malap baranya. 

 Sekali angin sepoi bahasa menerjah, bara kecil itu terus padam. 

 Dan padam jugalah hasrat Anwar Ibrahim untuk menggegar gelanggang politik negara. 

 Rupa-rupanya mantan pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu telah di “check mate” dan di”sekolah”kan pula oleh Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong (YDPA). 

 Isi kandungan Kenyataan Media dari Istana Negara bertarikh 13 Oktober 2020 antara lain berbunyi: 

 “…Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.” 

 Itu dia! Satu “tamparan keras” seumpama Ottoman Slap yang sekiranya menyinggah di pipi seseorang akan membuatnya terhuyung-hayang, “blur” seketika, berdesing gegendang telinga dan mungkin mengalami “hilang ingatan sementara” (temporary loss of memory). 

Bayangan yang segera timbul di fikiran ialah babak seorang ayahanda yang bijaksana dan luas pengalamannya sedang menasihati sang anak yang bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk memiliki sesuatu benda yang sudah lama diidam-idamkan. 

 Dalam bahasa politik hari ini, Kebawah Duli YDPA sedang menyekolahkan Anwar Ibrahim mengenai adab menuntut kuasa dan cara-cara bagaimana kuasa itu dapat diperolehi, iaitu dengan melihat kepada Perlembagaan Persekutuan. 

 Saya tidak ingin mengulas apa yang dimaksudkan oleh “proses-proses perundangan” seperti disebut di dalam kenyataan media di atas, tetapi satu ‘point’ yang cukup jelas ialah Kebawah Duli Tuanku sangat memahami undang-undang dan juga Perlembagaan Persekutuan. 

Secara tersirat juga menggambarkan yang Anwar Ibrahim tidak sensitif akan perkara ini dalam keghairahannya untuk meyakinkan Kebawah Duli YDPA, kononnya beliau sudah memiliki jumlah penyokong yang sangat kuat (formidable numbers) untuk mengambil alih kepimpinan negara dari kerajaan sekarang. 

Strategi dan taktik ini tidak laku langsung dan gagal menambat perhatian Kebawah Duli YDPA untuk melayan hasrat Ahli Parlimen Port Dickson itu lebih lanjut. 

Ramai orang boleh berhujah mengenai kaedah, cara dan proses yang sedia ada untuk Anwar Ibrahim mencapai hasratnya, tetapi satu yang sangat ketara ialah ahli politik asal Cherok Tok Kun itu perlu belajar lebih banyak lagi dan mendalami Perlembagaan Persekutuan dengan lebih serius. 

Mungkin pada ketika itu, beliau akan faham apa yang dimaksudkan dengan “proses-proses perundangan” yang dimaksudkan oleh Kebawah Duli YDPA. 

 Tidakkah pelik, seorang yang berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri, yang seharusnya lebih faham tentang Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkannya menasihati Kebawah Duli YDPA di dalam urusan menjalankan tugas dan tanggungjawab, sebagai Yang Dipertuan Agong, terpaksa perlu di “sekolah”kan oleh Ketua Negara sendiri? 

 Hakikat dan pengajaran ini sudah tentu tidak didedahkan di dalam sidang media oleh Anwar Ibrahim pada petang tadi. 

Siapakah yang waras (lebih-lebih lagi setelah dikantoikan “big time” oleh Ketua Negara sendiri) untuk membuka pekong di dada secara begitu memalukan sekali? 

 Segala ungkapan dan gubahan susun kata dan kalimat keramat yang dibuat hanyalah sekadar halwa telinga sahaja, untuk menyedapkan hati para penyokong taksub Anwar Ibrahim yang sangat sabar mengharungi penantian selama 20 tahun lebih untuk melihat tokoh politik pujaan mereka merasakan keempukan kerusi Perdana Menteri di Putrajaya. 

Kekecewaan itu tidak akan dapat dibendung lagi, meskipun akan dibentangkan alasan demi alasan yang mulus dan tulus di sebalik “tamparan keras” yang di“rasai” oleh Anwar Ibrahim pada pagi tadi di Istana Negara. 

 Tamparan itu bukan lagi “luka kecil” bagi seorang yang dianggap sebagai “Tokoh Negarawan” oleh para penyokong tegarnya. 

 Dalam suasana kebimbangan dan keresahan rakyat menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin melebarkan jaringannya, tindakan Anwar Ibrahim sekali lagi membuktikan keghairahan dan keserakahan tidak bertempat dan tidak sensitif kepada perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan sekarang. 

 Anwar Ibrahim sebenarnya sudah kesuntukan masa. 

Permohonan untuk mencabar keabsahan beliau yang “diberi keampunan Diraja” (Royal Pardon) terhadap hukuman liwatnya masih belum dibicarakan di Mahkamah. 

Gelanggang politik tempatan kerap bergolak gara-gara hasrat yang meluap-luap untuk menjadi pemimpin negara ini. 

 Sudah berapa banyak kerusi yang dikorbankan dan prinsip yang digadaikan demi menyegerakan perjalanannya menuju Putrajaya. 

 Rakyat jelata sudah muak dengan permainan politik gila oleh para politikus yang kemaruk kuasa, yang lebih rela memperjudikan keselamatan dan kesihatan umum, lantaran hawa nafsu politik yang tidak pernah terpuaskan atau didiamkan. 

Gelagat ahli-ahli politik ini lebih mengeruhkan suasana dan mengganggu usaha-usaha untuk keluar dari kemelut ketidakpastian dan ketidakstabilan ini secepat mungkin. 

 Apapun, pada hari ini, satu sejarah besar telah dipahat dan dirakamkan: Bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah di“sekolah”kan oleh Kebawah Duli YDPA sendiri pada 13 haribulan Oktober 2020. 

 Kat mana nak sembunyi muka Syeikh?

 * Mohd Luttfi Abd Khalid Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)

0 ulasan:

Catat Ulasan