Rabu, 25 November 2020

Zaid Ibrahim saman Zaid Ibrahim & Co

 

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim mengambil tindakan mahkamah terhadap firma guaman yang diasaskannya pada 1987.

Tuntutan saman itu bertujuan mendapatkan perintah mahkamah supaya firma itu berhenti menggunakan namanya.

Peguam Zai, Messrs Suflan TH Liew & Partners, memfailkan tuntutan itu di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 November.

Firma guaman Messrs Zaid Ibrahim & Co dinamakan sebagai defendan tunggal.

Setelah berada di firma itu selama 21 tahun, Zaid meninggalkannya pada Mac 2008 untuk menjawat jawatan menteri undang-undang. Dia memegang jawatan menteri sehingga September tahun sama sebelum meletakkan jawatannya.

Pada 28 Oktober lalu, dilaporkan pengerusi DAP Kelantan, Zaid akan kembali ke firma guaman yang ditubuhkannya 33 tahun lalu. Dia kemudiannya memegang jawatan pengerusi firma itu berkuatkuasa 1 November.

Zaid mendakwa bahawa setelah menjawat jawatan ketua firma guaman itu pada 1 November, syarikat itu tiba-tiba pada 9 November memberinya notis pemberhentian daripada semua jawatan di firma tersebut dengan serta-merta..

"Penamatan tersebut adalah berlandaskan apa yang diistilahkan sebagai "tindakan tidak sah" (unauthorized acts) yang plaintif kononnya telah lakukan secara sepihak, butir-butir perincian tidak dinyatakan.

"Plaintif menyatakan dan akan behujah bahawa penamatan daripada kedudukan beliau sebagai pengerusi dan sebagai rakan kongsi ekuiti firma tersebut (Zaid Ibrahim & Co) adalah salah dan beliau memelihara haknya untuk mendapatkan relif yang sesuai daripada defendan.

"Penggunaan nama peribadi plaintif oleh defendan bagi nama firma guamannya akan mendorong orang awam atau sebahagian daripada orang awam untuk mempercayai bahawa khidmat-khidmat yang diberikan oleh defendan adalah sebenarnya khidmat-khidmat yang diberikan oleh plaintif atau bahawa defenda mempunyai hubungan ekonomi bersama plaintif," kata pernyataan tuntutan saman itu.

"Atas sebab penggunaan salah nama plaintif oleh defendan bagi nama amalan guamannya, plaintif telah dilucutkan daripada penggunaan nama peribadinya yang beliau telah gunakan untuk membangunkan firma defendan tersebut pada permulaannya,” dakwa pernyataan itu lagi.

Plaintif juga mendakwa bahawa firma itu salah menggunakan namanya pada nama firma tersebut kerana ia akan dianggap sebagai pelanggaran Peraturan Majlis Peguam No 2.01.

Zaid memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghalang defendan, pegawainya atau ejennya atau dengan apa saja cara, daripada penggunaan namanya dalam bentuk dan gaya apa pun seperti nama syarikat.

Plaintif memohon mahkamah untuk menghantar semua bahan, seperti cop surat, kepala surat, invois, dan brosur, yang digunakan oleh firma tersebut dalam menjalankan amalan guaman yang membawa namanya.

Dia juga menuntut penilaian mengenai ganti rugi atas penggunaan nama plaintif yang salah dengan faedah, kos, dan pelepasan lebih lanjut yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-detikdailyonline

0 ulasan:

Catat Ulasan