ARAU : Tidak sampai dua bulan mengusahakan tanaman padi, kira-kira 100 pesawah dari Kampung Oran, Mata Ayer di sini berdepan dugaan besar apabila kawasan bendang seluas 81 hektar itu tenggelam sehingga paras pinggang berikutan air dari Sungai Ngulang yang terletak berhampiran melimpah masuk ke kawasan terbabit.
Pesawah mendakwa, kerja-kerja penyelenggaraan sungai tersebut menyebabkan sisa-sisa sampah tersangkut pada pintu tandop sekali gus menyebabkan air tersekat seterusnya melimpah masuk ke kawasan bendang berhampiran.
Berikutan itu, pesawah terbabit mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM500,000 selepas hasil tanaman mereka itu berkemungkinan musnah sepenuhnya.
Seorang pesawah, Zulhairi Mat Zain,48, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM48,000 selepas tanaman padi di kawasan seluas enam hektar miliknya itu ditenggelami air.
Lebih menyedihkan katanya, dalam musim ini sahaja sudah tiga kali kawasan sawahnya tenggelam bagaimanapun sebelum ini tanaman masih dapat diselamatkan.
“Rasa sedih sangat apabila pagi ini datang lihat kawasan sawah semuanya tenggelam. Hasil penat-lelah mengusahakan tanaman padi yang baharu masuk hari ke-45 musnah dalam sekelip mata sahaja.
“Sistem perparitan kurang memuaskan itu menyebabkan setiap kali hujan lebat padi di kawasan ini tenggelam. Pihak bertanggungjawab perlu melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi pesawah, Azuzin Saad,58, berkata, kerja-kerja menyelenggara yang sedang dilakukan di sungai berhampiran menyebabkan sisa-sisa sampah, kayu dan sebagainya tersangkut pada pintu tandop.
“Apabila sangkut, air tidak dapat mengalir seterusnya melimpah ke kawasan bendang. Kami berserah pada takdir sama ada padi masih boleh diselamatkan atau sebaliknya,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM12,000.
Mohd. Asri Dali,52, pula berkata, luluh hatinya apabila melihat keseluruhan kawasan sawahnya tenggelam sewaktu datang untuk menyulam padi pada sebelah pagi ini.
“Padi ini baru diusahakan sejak 45 hari lalu dan kini semuanya tenggelam menyebabkan pesawah di sini terjejas teruk. Duit hasil padi yang diharapkan untuk membeli kelengkapan sekolah anak pada tahun depan nampaknya lenyap begitu sahaja,” kata bapa kepada empat orang anak itu. -UTUSAN ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan