BALING – Seorang pekerja kilang cedera parah akibat ditikam suami sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Iboi, Kupang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun bertengkar dengan suaminya berusia 33 tahun yang berada di luar rumah.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali memberitahu, suspek kemudian bertindak menendang pintu dapur dan meluru masuk ke dalam rumah.
“Suspek terus masuk ke dalam bilik isterinya dengan memegang pisau pendek dan berlaku pergelutan sebelum suspek dilihat keluar dari bilik tersebut untuk melarikan diri.
“Ibu mangsa kemudian masuk ke dalam bilik berkenaan dan mendapati anaknya mengalami cedera di perut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, wanita terbabit terus menghubungi jiran untuk mendapatkan bantuan.
Menurutnya, mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dekat sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa didapati ditikam sebanyak dua kali di tempat berbeza di bahagian perut sebelah kiri dengan kedalaman tikaman kira-kira tiga sentimeter,” ujarnya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek berang dengan tindakan mangsa bekerja di sebuah kilang di Kulim dekat sini tanpa memberitahunya terlebih dahulu sebagai seorang suami.
Tambahnya, suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan