Rabu, 18 November 2020

Ku Li saran UMNO kaji semula hubungan dengan Bersatu, Pas

 


SHAH ALAM 
- Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat parti itu wajar mengkaji semula hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, hubungan berkenaan tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat dan negara kerana matlamat masing-masing seakan-akan sama sehingga boleh mencetuskan pergaduhan.

“Jadi, apa untung kita (UMNO) dengan parti Bersatu? Apa untung kita berpakat dengan Pas?

“Masing-masing seakan mempunyai matlamat yang sama, akhirnya kita tak boleh nak bersatu,” katanya menerusi portal The Malaysian Insight hari ini.

Pemimpin veteran UMNO itu yang turut dikenali sebagai Ku Li menegaskan bahawa konflik yang bakal berlaku itu tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan negara.

Tegasnya, UMNO perlu berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa sebarang tindakan.

“Jangan kita nak adakan himpunan besar, nak berseronok, maka kita adakan pakatan seumpama itu sehingga di pengakhirannya kita tak boleh memberi natijah yang baik kepada rakyat.

“Jadi, saya rasa eloklah kita kaji semula hubungan ini,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh turut mempersoalkan pimpinan UMNO kerana parti itu tidak memegang lebih banyak jawatan menteri atau diberi peranan portfolio utama dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, UMNO sepatutnya menguasai kerajaan kerana ia parti yang terbesar dalam blok kerajaan walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu merampas semula kerusi Parlimen Pagoh milik Muhyiddin dan Parlimen Langkawi yang dipegang Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bukan kerana kita besar kepala atau nak jadi ketua, tetapi kita adalah golongan terbesar dan parti yang tertua.

“Selain mempunyai pengaruh di merata-rata tempat, perkara ini juga ada kaitannya dengan perjuangan dan wajar diberi pimpinan.

“Mana kerusi kita dulu kita kekal, tidak ada nak runding-runding lagi. Apa nak runding, kerusi kita,” katanya.

-mindarakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan