Jumaat, 6 November 2020

427 hektar tanah kerajaan diceroboh di Selangor, kata menteri besar

 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kerajaan Selangor menjalankan usaha pemutihan sejak 2008 dan memberi ruang pemilikan tanah kosong di negeri itu pada harga pasaran semasa.

SHAH ALAM: 427 hektar tanah kerajaan Selangor diceroboh pihak tidak bertanggungjawab setakat ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 40 hektar tanah diceroboh di daerah Petaling, Klang (86 hektar), Gombak (32 hektar), Hulu Langat (33 hektar), Sepang (29 hektar), Kuala Langat (142 hektar), Kuala Selangor (40 hektar), Hulu Selangor (20 hektar) dan Sabak Bernam (1 hektar).

“Kesemua kegiatan pencerobohan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu telah dikeluarkan notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa menjawab pertanyaan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru), mengenai keluasan tanah kerajaan negeri yang diceroboh dan jenis aktiviti yang dilakukan di atas tanah berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, majoriti aktiviti pencerobohan di atas tanah kerajaan negeri itu adalah berkaitan pertanian, namun lama-kelamaan ia melibatkan struktur binaan seperti stor dan perumahan, malah terdapat juga kegiatan pembuangan sampah haram.

Bagi pembinaan rumah tanpa kebenaran di tanah yang diceroboh, beliau berkata kerajaan Selangor telah melakukan usaha pemutihan sejak 2008 dan memberi ruang pemilikan tanah-tanah kosong lain di negeri itu dengan harga pasaran semasa.

Sementara itu, exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata, projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2, termasuk pembinaan kolam perkhidmatan dan sistem agihan dijadualkan siap sepenuhnya pada 31 Dis, 2023 dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.38 bilion.

“(Sebahagian) LRA Langat 2 telah mula beroperasi pada 21 Dis, 2019 dengan kapasiti 565 juta liter sehari (JLH) melalui ‘Stream B’.

“Air bersih berkenaan dibekalkan ke wilayah Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur dengan purata pengeluaran semasa sebanyak 430 JLH.

“Manakala ‘Stream A’ yang juga berkapasiti 565 JLH telah selesai pentauliahan dan diserahkan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pada 30 Okt lepas.

“Namun, disebabkan jaringan paip agihan air bersih belum siap, kapasiti sepenuhnya LRA ini masih belum dapat digunakan,” katanya.

Hee berkata, 12 tindakan penguatkuasaan berkaitan isu pencemaran air di LRA Semenyih dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sejak 2017 hingga kini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) mengenai tarikh operasi LRA Langat 2 dan kos projek berkenaan, selain jumlah tindakan yang diambil dalam isu pencemaran air melibatkan LRA Semenyih.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan