Sabtu, 21 November 2020

Siput laut serah diri di pantai Rusila, kawasan Tok Guru Abdul Hadi?

 

Siput laut mendarat di Pantai Rusila

Marang: Isinya sedap seperti sotong dan cengkerangnya yang cantik boleh dibuat hiasan, menyebabkan Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di sini menjadi tumpuan orang ramai, untuk mencari siput laut yang banyak terdampar pada musim tengkujuh kali ini.

Kebanyakan penduduk berusia lebih 50 tahun yang ditemui Bernama mendakwa, siput laut itu hanya pernah dilihat ketika mereka masih kecil kira-kira 40 tahun lalu dan tidak pasti apakah nama atau spesis sebenar siput itu.

Kamariah Mohammad, 64, berkata, kemunculan semula siput laut itu sejak dua hari lalu, mengimbau kembali kenangannya sewaktu kecil dan dia teruja dapat menikmati isi hidupan laut itu yang sangat enak untuk dimakan dengan pelbagai jenis masakan.

"Mak cik saja datang ke pantai ini sebab tengok makin ramai cari siput laut, lagipun rumah dekat sahaja. Tak sangka pula, siput laut ini masih wujud sebab sudah lebih 50 tahun tak nampak.

"Kebanyakan yang datang cari siput laut ini tidak jual sebab mereka nak rasa sendiri... Ada yang agihkan kepada penduduk kampung dengan niat berkongsi rezeki," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Tahun lalu, Pantai Rusila menjadi tumpuan orang ramai disebabkan fenomena kerang bulu yang terdampar dalam jumlah banyak, namun pada musim tengkujuh kali ini, jumlah siput laut pula lebih banyak ditemui berbanding kerang.

Seorang lagi penduduk Kampung Rhu Dua Muhammad Nasaruddin Ramli, 26, berkata, dia memperoleh hampir tujuh kilogram (kg) siput laut, setelah mencari hampir tiga jam.

"Semalam dapat hanya tiga kg dan keluarga kata sedap dibuat gulai masak lemak serta masak tumis serai. Saya niat hendak sedekah pada saudara dan jiran yang tidak berkesempatan datang hari ini," katanya yang tidak pernah melihat siput itu sebelum ini.

PENDUDUK tempatan mencari siput laut yang banyak terdampar di Pantai Rusila, Kampung Rhu Dua. FOTO Bernama.

Selain mencari siput laut, pengunjung yang datang juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda dan bersantai bersama keluarga berikutan cuaca yang agak baik, namun pada masa sama mereka mengakui sangat berhati-hati dan menetapkan had jarak agar tidak terlalu jauh ke tengah laut.

Seorang lagi penduduk, El Gamillo Habibun Tan, 40, berkata, dia ke pantai itu sejak petang semalam selepas dimaklumkan sahabatnya mengenai fenomena unik yang jarang terjadi sebelum ini.

"Alhamdulillah, musim tengkujuh di Terengganu kali ini terus memberi pelbagai rezeki dan nikmat kepada penduduk, terutama penggemar makanan eksotik. Semalam ramai ke Pantai Pandak dekat Chendering untuk mencari kerang dan hari ini, Pantai Rusila pula jadi tumpuan.

"Ada rakan saya di Sabah kata siput ini dikenali sebagai 'sikad-sikad' dan mudah ditemui di perairannya. Saya ke sini untuk merakam foto dan video, kerana mahu menyimpannya sebagai kenangan berharga sepanjang bertugas di Terengganu," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang.

Sementara itu Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Universiti Malaysia Terengganu Norainy Mohd Husin berkata, beliau akan ke Pantai Rusila untuk melihat sendiri siput laut yang didakwa sudah berpuluh tahun tidak ditemui.

"Berdasarkan gambar dan video yang saya lihat, nama saintifik siput ini ialah Margistrombus dan ia boleh dimakan.

"Siput ini banyak terdapat di perairan Indo-Pasifik termasuk Sabah dan Johor. Cuma di Terengganu, kemunculannya mungkin disebabkan beberapa faktor semula jadi yang perlukan kajian lanjut," katanya. BERNAMA


Kredit:ibnuHasyim.com

0 ulasan:

Catat Ulasan